Siapa sahaja di Mekah dahulu tidak mengenali Muhammad dengan gelar Al-Amin? Gelar yang tidak punya pada orang lain bahkan gelar yang cukup tinggi dalam nilai masyarakat Mekah ketika itu. Pada usia yang muda, Baginda Rasul s.a.w. sudah mendapat kepercayaan masyarakatnya ditambah lagi dengan latar keturunan Baginda yang begitu dihormati. Sengaja Allah s.w.t. menukilkan kisah-kisah akhlak Baginda Rasul s.a.w. supaya menjadi tatapan manusia kemudian mengenai kepentingan tinggi akhlak dan nilai budi sekaligus memberikan pengaruh yang baik sebagai seorang pemimpin. Kepimpinan adalah daya membina pengaruh. Pengaruh kita boleh paksakan tetapi ia tidak akan kekal lama. Pengaruh yang dipaksakan akan segera ditanggalkan apabila ada peluang. tetapi, jika pengaruh dibina atas sebab-sebab yang boleh dicontohi orang lain, atas sebab kebaikan dan sifat amanah, maka ia akan meninggalkan kesan lebih lama walaupun sudah tentu pengaruhnya tidak segera. Pemimpin yang baik tidak menyuruh pengikutnya berbuat, sebaliknya mereka akan memulakannya dahulu sehingga ia menjadi ikutan pengikutnya. Mereka lebih sedia untuk menghabiskan masanya memberikan contoh untuk diikuti serta mendidik pengikutnya kerana pemimpin seharusnya membangun. Bangunkan akal dan jiwa pengikutnya. Pengikutnya tidak harus kekal menjadi pengikut bahkan harapannya pada suatu hari di masa hadapan, pengikutnya akan mula memimpin orang lain untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan. Tidak dinafikan, untuk melahirkan seorang pemimpin bukan kerja senang, namun menjadi contoh kepada orang lain juga tidaklah payah. Paling utama kekalkan jiwa amanah, pemikiran terbuka serta harapan yang besar untuk melihat ummat menjadi lebih baik dari yang sedia ada. Inilah yang tergambar dalam ungkapan "Pemimpin yang Mendidik dan Pendidik yang Memimpin."
Kesimpulannya, pengikut lebih mudah dipengaruhi sekiranya seorang pemimpin itu berupaya untuk menunjukkan contoh. Amat tidak mustahil sekiranya contoh itu juga diberikan pada hal-hal yang buruk atau kerosakan. Perkara buruk dan kerosakan, apabila dicantikkan dengan bahasa yang baik, dengan hujah-hujah memperbodohkan, tanpa prinsip yang jelas serta ditutupi dengan kebaikan-kebaikan sehingga termakan budi, amatlah bahaya sekali. Kita perlukan seorang pemimpin yang memberikan contoh baik, positif, mengekalkan cara komunikasi yang positif dan efektif, membuka ruang perbincangan yang sihat, dengan prinsip yang jelas serta melakukan kebaikan-kebaikan antara insan di dalam organisasi itu bukan dengan niat untuk dituruti segala arahan, tetapi hanya semata-mata kerana mereka punya hak sebagai yang dipimpin, maka bentuk kepimpinan yang sebegini yang harus kita ketengahkan. Katanya boleh dipegang, janjinya ikhtiar untuk dikotakan. Catatan seorang penulis dalam salah sebuah bukunya amat sesuai untuk kita selami dan jadikan panduan. Catatannya berbunyi, "Leadership is influencing others by example. True leaders don't tell anyone what to do. They would rather invest their time teaching what they know and showing how it is done--so others can get where they want to go. Most of all, being a leader is about putting other first without regard to the payoff." (John Fuhrman)
Kepimpinan ada di pelbagai peringkat. Diri, keluarga, masyarakat, tempat kerja, guru, pembimbing dan banyak lagi ruangan. Maka pilihlah untuk membina pengaruh melalui memberikan contoh dan tauladan yang baik.

No comments:
Post a Comment