Sunday, May 17, 2020

DIDIK EMOSI DENGAN PERHUBUNGAN

Sepanjang waktu berada di rumah, kita mampu pelajari pelbagai isu dan situasi yang mungkin mendebarkan, menghiburkan bahkan memenatkan sampai ke satu tahap membosankan. Duduk, bangun, berjalan ke depan ke belakang, makan, tonton, solat bahkan tidak dapat pula hendak dibezakan sama ada sedang berehat atau sedang berbuat sesuatu. Ada kalangan kita termasuk diri saya yang sampai pada tahap timbul soalan, hari ini hari apa?

Mudah bagi kita yang dewasa mengungkapkan semua ini kerana pada waktu ini kita sudah memiliki kematangan emosi sehingga dapat membezakan segala banyak perasaan yang mungkin muncul sepanjang PKP di negara kita sekarang ini. Persoalannya, bolehkah ia dilalui oleh anak-anak? Bagaimana pula agaknya anak-anak kecil kita melempiaskan emosi mereka? Adakah mereka memberitahu kita? Sepanjang PKP ini, saya di rumah bersama anak-anak buah saya. Melayan karenah mereka membuatkan saya berfikir, patutlah ada yang mengamuk, merajuk atau bergaduh. Mungkin itulah pilihan yang ada dalam mereka menguruskan emosi mereka.

Sepanjang masa inilah dapat saya kenal peel mereka yang suka buat apa, kreativiti, minat, kecenderungan dan macam-macam. Tapi hakikatnya, bahagian bergaduh dan merajuklah pada saya adalah petanda utama untuk kita ambil perhatian, kenapa dan bagaimana untuk ditangani. Pada saya, itu petandanya, sudah hilang kestabilan emosi mereka yang amat rapuh itu. Sebenarnya sama juga macam kita orang dewasa, bila terlalu tertekan, apa yang kita buat? Jawapan saya 'down' atau menangislah juga. Cuma, disinilah kestabilan itu jelas. Melalui teori emosi stabil saya, mereka yang tiba pada satu tahap ujian menimpa diri, tertekan emosi, ia akan merujuk kepada teori kelima saya iaitu, intimacy. Siapa orang terhampir dengan kita yang menjadi pilihan.

Situasi anak-anak buah saya di rumah, berpisah dari papanya yang menjadi front liners, dan mamanya di rumah. Adalah menjadi rutinan cuti sekolah, mamanya akan hantarkan mereka ke rumah kampung agar berlaku perkembangan eksplorasi zaman kanak-kanak mereka dengan baik. Rezeki kali ini pula, perintah PKP berlaku dalam tempoh cuti persekolahan, jadi secara tidak langsung masa mereka amat panjang bersama saya. Saya perasaan, selepas lebih seminggu, apabila anak-anak ini menangis, maka yang disebutnya, "mama, mama, nak mama". Sayu dengar tapi apakan daya kita. Begitu jugalah dengan orang dewasa, kita akan mula mencari dengan siapa yang kita paling intim untuk meluahkan atau menceritakannya bukan? Kadangkala orang suka potong perbincangan masa tengah sedap, dia kata, "kita mengadulah pada Allah". Hah, benar sangat. Penting sekali, secara dasarnya, kita akan mencari siapa orang yang paling rapat dengan kita.

Oleh yang demikian, buat bapa ibu yang membaca tulisan saya ini, bagaimana pengurusan emosi anak-anak kita? Kepada siapa mereka mengadu? Kepada siapa mereka meluahkan perasaan? Sebab itulah, sebahagian dari pendidikan emosi termasuk buat saya dan dewasa lain yang membaca, jawablah panggilan bila anak-anak kecil itu memanggil nama kita dengan jawapan yang menenangkan, layan mereka sebentar dengan jawapan mudah seperti bagusnya, rajinnya dan sebagainya. Khususnya anak-anak kecil kerana apabila mereka remaja, perhatian kurang, maka pilihannya nanti adalah rakan-rakan mereka. Ajarkan kepada mereka juga, jawablah apabila dipanggil. Semua itu mereka tidak belajar melainkan dari orang-orang tua mereka.

Dengarkan cakap mereka walaupun kadang-kadang kita tidak faham. Senyum penting, jawab dengan baik juga penting. Kita jawab menjerit, mereka belajar juga memberi jawapan menjerit. Saya percaya intimacy bapa ibu dengan anak-anak adalah jalan untuk menstabilkan emosi yang mereka tidak pasti bagaimana untuk mereka lakukannya. Menstabilkan emosi kita, adalah dengan intimacy kita dengan pasangan dan ahli keluarga, tanpa menafikan hak Allah. Teruskan perbaiki hubungan kekeluargaan, khususnya buat para remaja, jika ada yang membaca catatan ringkas ini, usahlah pilih rakan sebagai teman, biarlah ahli keluarga kita utamakan. Bukan maksudnya, tiada orang lain yang kita boleh percaya, cuma, jika mereka sudah habiskan mungkin lebih dari separuh masa hidup mereka berkorban untuk besarkan kita, siapa lagi yang patut kita paling percaya?

No comments: