Setiap tahun di Malaysia, umum mengetahui pada 17 Ramadhan merupakan sambutan hari nuzul Al-Quran. Sebahagiannya menyambut dengan bertadarus, sebahagiannya tilawah berkumpulan dan terkini, sempena PKP ini, ramai juga yang ber'group' whatsapp untuk tilawah, saling bertukar-tukar juzuk. Tidak juga dilupakan mereka yang mengambil peluang bercuti bahkan ada juga dikalangan kita yang tidak menyedarinya walaupun telah melaluinya saban tahun. Cabaran buat ummat Melayu untuk mengiktiraf Al-Quran sebagai sumber rujukan mereka apabila bahasa yang terpakai dalam Al-Quran bukan Bahasa Melayu. Maka, sebahagian besar ummat Melayu Islam di Malaysia menjadikan tilawah Al-Quran sebagai satu-satunya cara memuliakan Al-Quran. Ini merupakan satu fenomena yang cukup baik buat masa dahulu tetapi semakin tidak relevan pada hari ini. Bukanlah dimaksudkan tilawah itu tidak relevan, tetapi dengan hanya bertilawah itu sahaja yang menyebabkan ia menjadi tidak relevan. Keperluan untuk kita bersama menginsafi penurunan Al-Quran ini sendiri membawa kita bersama untuk menyelami atau mentadabbur makna-makna ayat Allah s.w.t.. Adalah menjadi kewajiban bagi Muslim untuk mengenali sumber rujukan utama ini untuk kita mempercayainya. Ramai para orientalis dan pemusuh Islam cuba mempertikaikan kitab yang kita rujuki ini atas dasar kesahihan serta keasliannya memandangkan umurnya sudah mencecah 1440 tahun. Pada mereka, mana mungkin, ia tidak terjejas dengan sebarang kerosakan pada tangan-tangan manusia. Cabaran dan persaingan mereka ini bukan baru bahkan telah berlaku sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Hud ayat 13 yang bermaksud;
“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: ‘Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Kitab ini bukan milik Muhammad bahkan bukan milik mana-mana manusia di bumi ini. Kitab ini ada pemiliknya dan pemilik itulah yang memiliki seluruh alam raya ini. Maka, pemiliknya Yang Maha Besarlah pemelihara mutlak ke atas kitab ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Isra' ayat 88 yang bermaksud;
“Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”
Oleh sebab itulah segala cubaan untuk meruntuhkan kredibiliti Al-Quran sebagai sumber Islam yang mutawatir serta sebagai mukjizat Baginda Rasulullah s.a.w.. selalunya berakhir dengan kebuntuan. Tambahan pula, para pengkaji Al-Quran dari kalangan musuh-musuh Islam yang pada mulanya membenci Islam itu sendiri, setelah mentadabbur isi kandungan Al-Quran, pandangan mereka semakin lunak dan berhati-hati terhadap Islam. Boleh ditonton beberapa pandangan mereka yang bukan Islam di YouTube seperti Lesley Hazleton dan Gary Wills. DIA punya cara tersendiri untuk memeliharanya. Semua kita maklum terdapat pengukuhan dan penegasan mengenai penurunan Al-Quran di dalam Al-Quran itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
Al-Quran Diturunkan Pada Malam Yang Dimuliakan
Al-Quran diturunkan di dalam bulan Ramadhan tanpa diisyaratkan bila sebenarnya ia diturunkan. Para ulama' berbeza pendapat dalam hal penurunannya namun, pada dasar yang jelas, di dalam bulan Ramadhan. Maka kemuliaan bulan Ramadhan itu ditambah lagi selain dari kewajiban berpuasa. Allah juga berfirman di dalam surah Ad-Dukhaan ayat 3 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.”
Keberkatan malam itu yang dijanjikan kebaikannya menyamai 1000 bulan. Malam yang menjadi rahsia kewujudan bagi memberi peluang kepada semua insan untuk berterusan berusaha mencarinya sehingga ditemukan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qadr ayat 1 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Al-Quran Adalah Al-Haq
Ia merupakan kitab sebagai petunjuk kepada seluruh ummat yang beriman dengan keseluruhan isi kandungannya. Sebab itulah membaca serta memahaminya adalah perkara sama penting dan perlu dijadikan keutamaan buat ummat hari ini. Belajar membaca Al-Quran itu baik bahkan lebih baik sekiranya turut memahami isi kandungannya. Pandangan Lesley Hazleton dan Gary Wills berubah apabila mereka mula mentadabbur Al-Quran. Bagaimana insan yang bukan berbahasa Arab, bukan berbangsa Arab bahkan bukan Islam boleh menyelami sebaik itu makna di dalam Al-Quran. Hidayah itu milik Allah s.w.t. dan yang penting hidayah Allah s.w.t. itu kepada sesiapa sahaja selagi mana mereka mahu menjadi ummat yang berfikir. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Haj ayat 50 hingga ayat 54 yang bermaksud;
"Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia. Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan (kemauan untuk beriman); mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasulpun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitanpun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat, dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus."
Maka, dalam kita mencari-cari malam Lailatul Qadar, malam yang menentukan untung rugi kita, yang mana sebahagian ulama' menjelaskan ia sebagai malam ketetapan atau hukum. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Ia turut dikhabarkan turunnya para malaikat dan Jibril pada malam ini membawa rahmat serta disediakan keselamatan dan kebaikan sehingga terbit fajar. Adapun secara tepatnya bila akan berlaku telah punya perbincangan yang panjang oleh para ulama', namun adalah lebih molek sekiranya kita mengandaikan malam itu berlaku pada mana-mana malam sepanjang bulan Ramadhan agar dapat kita menghiaskan malam-malam Ramadhan kita dengan amalan-amalan kerohanian. Hikmahnya bukan pada mendapat malam tersebut, tetapi kepada pengamalan yang istiqamah untuk mencari redha Allah s.w.t.. Marilah bersama kita memperbanyakkan usaha untuk melakukan perkara-perkara berikut dan moga ia dapat diistiqamahkan.
- Melakukan solat malam (Qiyamullail)
- Berdoa memohon keampunan dan dihapuskan dosa yang lalu
- Beriktikaf (mustahil dalam tempoh PKP)
- Melakukan solat fardhu secara berjemaah
- Perbanykkan membaca Al-Quran
- Perbanyakkan doa, selawat dan zikir (khususnya wanita dalam keuzuran)
- Memberi makan kepada orang yang berbuka (khususnya wanita dalam keuzuran)
- Perbanyakkan sedekah (khususnya wanita dalam keuzuran)
Tiadalah kenikmatan yang lebih besar selain dari dianugerahkan malam Lailatul Qadar kepada ummat ini. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita diberikan rahmat, pengampunan serta di selamatkan dari azab api neraka. Ambillah ibrah penurunan Al-Quran serta sejarah disebalik kitab ini sebagai satu hikmah besar mengenai kepentingan berpegang dengannya. Al-Quran adalah cahaya buat hati yang malap. Al-Quran adalah penawar buat hati yang sakit. Al-Quran adalah penentu hak dan batil. Al-Quran adalah manual kehidupan yang wajib kita lazimi bacaannya dan hadami makna kandungannya.

Comments