Showing posts with label Teori Motivasi S.M.A.R.T.. Show all posts
Showing posts with label Teori Motivasi S.M.A.R.T.. Show all posts

Saturday, September 5, 2020

NIAT MEMANDU SIKAP HARIAN KITA

Niatkan kebaikan setiap hari kerana ia akan memandu sikap kita pada hari tersebut. Kegagalan untuk kita mengungkapkan niat perbuatan kita seharian boleh menjadikan segala apa yang kita lakukan itu hanyalah perbuatan yang sia-sia. Niat sebenarnya kunci kepada perilaku kita. Ia penguat yang membantu kita dalam melayari kehidupan seharian sibuk. Kenang saja apabila kita niat berpuasa. Niat yang kita lafazkan pada malam hari itu menjadi tenaga membantu kita untuk bangun sahur serta menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh membatalkannya. Namun, harus kita ingat, niat itu tidak menjadi dasarnya kerana perlu ada faktor-faktor lain yang turut menyokong panduan hati yang diniatkan tadi.

Sokongan paling utama adalah kepercayaan. Konteks puasa itu sudah tentulah keimanan kepada perintah dari Allah s.w.t. Maka daya kekuatan itu muncul hasil dari kepercayaan itu yang akhirnya bertukar menjadi tenaga dalam tubuh kita yang membolehkan kita menahan diri walau dalam keadaan lapar dan dahaga yang amat sangat. Mari kita kenangkan kisah Bilal Bin Rabah yang dihempap dadanya dengan batu besar di tengah panas terik padang pasir. Daya tahan dirinya amat luar biasa dan kita semua tahu, yang mendasari kedegilan jiwanya itu adalah kepercayaan kepada khabar gembira yang dibawakan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Kepercayaan terbentuk hasil dari pemerhatian, maklumat serta informasi dan keyakinan pada janji yang diberikan kepada kita.

Niat tadi juga perlu datang bersamanya persekitaran yang turut membantu untuk membina apa yang dihajatkan. Persekitaran akan membantu menguatkan apa yang ingin kita capai. Oleh sebab yang demikian, permulaan niat kita untuk melakukan kebaikan perlulah diwujudkan bersamanya persekitaran yang akan menggalakkan kita untuk melakukannya. Persekitaran yang tidak membantu, tidak semestinya akan menggagalkan, tetapi kebarangkalian untuk gagal sangat tinggi melainkan kita mempunyai pegangan kepercayaan yang sangat kuat dan jitu terhadap apa yang telah kita niatkan. Kita bersama dapat fahami di sini mengapa perubahan seseorang amat sukat tatkala mereka berada di dalam persekitaran yang sangat tidak membantu. Inilah proses hijrah yang diperintahkan Allah s.w.t. kepada baginda Rasulullah sallallahu'alaiwasallam dari Mekah ke Yathrib kerana atas perencanaan Yang Maha Agung itu, persekitaran di Yathrib lebih menggalakkan perubahan dan membina kekuatan serta cahaya terang masa depan sehingga diperkenalkan sebagai Madinah al-Munawwarah.

Persekitaran ini bukan hanya perkara material tetapi termasuk juga dengan rakan-rakan dan saudara sekeluarga kita. Hijrah baginda meninggalkan harta dan keluarga tetapi digantikan dengan persaudaraan baru yang amat luar biasa antara muhajirin dan ansar. Panduan dan sokongan mereka yang berada bersama kita juga penting ditambah dengan satu lagi perkara iaitu perancangan. Tanpa perancangan, kita sedang merancang untuk gagal. Sebab itu, biasakan diri dengan disiplin dan peraturan untuk memenuhkan agenda harian kita. Usahlah kita hanya menjalani kehidupan dengan begitu sahaja. Tanpa menafikan perlunya ada sikap tawakal kepada Allah s.w.t kerana pastinya setiap kita rancangkan itu belum tentu tercapai. Maka akhirilah setiap usaha itu dengan insyaAllah.

Sunday, August 30, 2020

KEUTAMAAN PEMBINAAN SIKAP BAGI SEORANG FASILITATOR

Selama mengendalikan program latihan dan bimbingan fasilitator baru ataupun lanjutan dipelbagai peringkat sasaran, didapati terdapat satu permasalahan utama yang mengundang rasa kurang senang para fasilitator terhadap potensi dan keupayaan sebenar setiap mereka dalam mendepani pelbagai kelompok dalam dunia latihan yang bakal mereka terjun ke dalamnya. Jika merujuk kepada Konsep ABCDE Fasilitator yang ketiga, ia merupakan isi penting di dalam salah satu senarai Ciri Fasilitator itu sendiri. Ciri tersebut adalah untuk mereka memiliki keupayaan memotivasikan diri sendiri yang diterjemahkan melalui Teori Motivasi S.M.A.R.T.. Teori ini menekankan lima ciri penting dan yang menjadi jantungnya adalah huruf 'A' dan sekiranya huruf itu digantikan kepada huruf vokal yang lain, pasti akan menghasilkan bunyi sebutan yang berbeza dari perkataan asalnya. Huruf 'A' disitu ditakrifkan sebagai 'attitude' atau sikap. Tidak dapat kita nafikan, sikap ialah sesuatu yang sukar untuk diukur (konstruk hipotetikal). Kebanyakan skala mengandaikan bahawa sikap boleh diukur melalui pendapat atau kepercayaan seseorang terhadap sesuatu objek sikap. Sikap adalah konsep abstrak yang merujuk kepada proses-proses dan kejadian-kejadian yang dijangkakan berlaku di dalam diri seseorang tetapi tidak boleh dilihat atau diukur secara langsung.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, terdapat beberapa kelompok fasilitator yang mahu memakai gelaran ini tetapi tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab atas peranan sebenar mereka. Keutamaan pembinaan sikap bagi seorang fasilitator adalah untuk memastikan mereka mempunyai sikap yang baik dan tepat sepanjang penglibatan dalam dunia fasilitator khususnya apabila mereka berhadapan dengan peserta yang sentiasa melihat diri mereka sebagai ejen perubahan yang boleh dijadikan contoh dan iktibar. Fasilitator terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang memerlukan perubahan sikap dalam kelompok bimbingan. Oleh sebab yang demikian, pembentukan sikap yang dibentuk sejak kanak-kanak melalui proses sosialisasi yang akhirnya menghasilkan seorang individu fasilitator itu seharusnya baik dan positif. Namun, ini tidak bermakna, tiada harapan bagi mereka yang melalui proses sebaliknya, bahkan kelompok inilah yang harus memberi perhatian terhadap pembinaan sikap baru buat diri mereka yang lebih baik pada masa akan datang. Secara umum, sikap terbentuk melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup.

Sebab itulah di dalam Konsep ABCDE Fasilitator yang kedua, pertama sekali akan ditekankan tentang budaya ilmu dalam I-T.U.N.E.. Huruf 'I' itu merujuk secara khusus kepada ilmu kerana secara hakikatnya, pembinaan sikap atau perubahan padanya adalah sesuatu yang mustahil akibat dari pengaruh persekitaran, agama, budaya dan adat resam yang tebal di dalam diri seseorang. Secara logika, tidak mungkin seseorang yang telah hidup dengan sikap itu melebihi dari 20 tahun akan berubah hanya dalam masa kurang dari 48 jam (3 hari 2 malam). Namun, dengan penambahan ilmu pada diri seseorang beserta dengan kepercayaan kepada kepentingan perubahan itu akan membawa lebih banyak kebaikan, akan mewujudkan kecenderungan untuk mengurangkan nilai negatif itu dengan cara mengubah sikap negatif itu sedikit demi sedikit sehingga sesuai dengan harapan ditetapkan. Akhirnya ia akan menjadi satu sikap baru buat diri kita untuk masa hadapan. Ini yang disebut sebagai Disonans Kognitif oleh Leon Festingerm seorang ahli psikologi sosial Amerika. Keutamaan pembinaan sikap ini akan membantu beberapa kelompok sasaran bimbingan fasilitator khususnya bagi mereka yang suka meniru atau mengikuti perbuatan orang lain.

Segala usaha untuk membina sikap seorang fasilitator perlu dilihat dari 3 komponen bermula dengan afektif atau perasaan terhadap objek atau sesuatu berkenaan. Kemudian lagi adalah kognitif iaitu kepercayaan terhadap keadaan sebenar objek atau sesuatu berkenaan secara objektif berdasarkan kepada maklumat yang ada serta yang terakhir adalah tingkah laku atau cara seseorang itu sebenarnya bertindak atau bercadang untuk bertindak terhadap objek atau sesuatu berkenaan berdasarkan komponen-komponen afektif dan kognitif tadi. Sebab itu, jika dilihat dari segi definisi sikap adalah suatu kecenderungan untuk bertindakbalas kepada sesuatu rangsangan melalui cara-cara tertentu. Maknanya, komponen terakhir itu yang biasanya akan mendominasi 2 komponen lain dalam melahirkan sikap kita terhadap sesuatu perkara. Fasilitator mempunyai peranan menjadi contoh dan memberikan bimbingan kepada kelompok mereka, maka seharusnya sikap mereka akan berfungsi untuk;
  1. memberi makna dan arah bagi sesuatu pengalaman dengan menyediakan suatu struktur rujukan (frame of reference) untuk menilai sesuatu keadaan, objek atau seseorang;
  2. membantu seseorang untuk menyesuaikan diri di dalam sesuatu kelompok pelajar bimbingan supaya dapat diterima;
  3. membolehkan seorang fasilitator menonjolkan keterampilan diri yang positif serta;
  4. melindungi kita daripada mengaku secara terbuka sebarang kekurangan peribadi yang ada (ego-defensive).

Secara kesimpulannya, keutamaan pembinaan sikap fasilitator ini bukan sahaja khusus untuk diri mereka sendiri, bahkan lebih banyak kepada sesiapa yang akan mereka bimbing pada masa hadapan. Fasilitator yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan orang lain akan membiarkan sikap negatif terus bersarang dalam diri serta membenarkan segala keburukan ditonton bahkan dicontohi oleh kelompok bimbingan mereka sendiri. Maka menjadilah kita insan yang bukan mewariskan kebaikan tetapi keburukan yang menjadi bekalan berpanjangan untuk diri kita sendiri. Bercakap tentang perubahan memang mudah tetapi, yang lebih utama adalah untuk berusaha melakukan perubahan. Tambahkan ilmu pengetahuan dan lakukan perubahan sekarang.

Saturday, August 29, 2020

RAHSIA KEJAYAAN BAHAGIAN 2

Kejayaan telah kita bincangkan sebelum ini, bermula dengan kehendak yang kuat untuk berjaya dan ia haruslah bermula dengan diri sendiri. Maka diri kita perlu jelas dengan kehendak dan keupayaan akal kita. Kadangkala kita tertipu dengan diri kita sendiri. Inginkan kejayaan, tetapi maklumat kejayaan itu tidak sampai kepada seluruh tubuh badan kita yang menyebabkan tindakan kita tidak mengarah kepada kejayaan tadi. Begitu juga dan prinsip membantu membangunkan, sama ada untuk diri atau untuk orang di sekeliling kita, selalu kita terkhilaf antara membantu hidup atau membunuh orang lain. Kekhilafan ini bukan sekadar boleh menyebabkan diri kita tidak berjaya bahkan kita juga akan mengakibatkan orang yang berada disekeliling kita juga akan turut tidak berjaya dalam kehidupan mereka.

Maka, selain dari kehendak, perlulah pula kita datangkan usahanya. Orang yang berkehendak mesti berusaha untuk menanam kehendak yang sama kepada mereka yang bersamanya. Perkongsian yang kita mahukan berikan bukan hanya perkongsian hasilnya tetapi turut sama perkongsian rasa dan cara untuk mendapatkan hasil itu. Sebab itulah, apabila berkehendak, perlu adakan usahanya. Antara usaha awal yang perlu kita lakukan adalah dengan mengenalpasti serta mendatangkan minat dan melahirkan keseronokan dalam perkara yang kita lakukan khususnya yangterkait dengan proses pembelajaran. Sebagai individu tidak kiralah sama ada kita pelajar atau pekerja, sangat penting untuk menghormati guru yang mengajar, membimbing dan membangunkan kita. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar jika ada dalam benak fikir kita bahawa setiap usaha yang kita lakukan dan berhasil hanya semata-mata datang dari usaha kita tanpa henti tanpa mengambil kira pendidikan yang datang kepada kita oleh Tuhan melalui pengalaman, cakap orang, tingkah laku orang, pesanan atau teguran orang. Tiada kejayaan yang akan terhasil buat mereka yang tidak mahu belajar dan belajar pastinya akan ada guru sama ada secara formal atau tidak formal.

Usaha kita akan menjadi lebih mudah apabila mempunyai disiplin, peraturan dan adab-adab dan semuanya kita patuhi dengan baik. Disiplin adalah petanda konsisten kita terhadap apa yang diusahakan. Konsisten pada tindakan, cara berfikir, perkataan dan percakapan serta usaha-usaha yang dijalankan. Kadangkala ia dinilai sebagai satu tindakan yang konservatif, menghalang kreativiti serta kesenian dalam mencorak kehidupan. Namun, walaubagaimana kompleks sekali kehidupan mahu pun benda hidup yang Tuhan ciptakan, semuanya memiliki disiplin tertentu sehingga mereka dengan mudah dapat difahami dan dikenali oleh manusia yang mengkajinya. Segalanya ada peraturan yang wajar dipatuhi. Begitulah juga dengan segala bentuk usaha yang hendak kita jayakan misinya.

Kita perlu membuat pelbagai persiapan dan persediaan. Ini adalah sebahagian dari usaha yang penting. Persediaan sebelum melakukan apa kerja sekalipun serta menyusun bagaimana strategi mencipta kejayaan. Namun, kadangkala kita juga perlu tahu bagaiamana untuk berhadapan dengan cabaran dan tekanan untuk menghadapi kejayaan itu. Sejarah telah membuktikan, setiap kejayaan yang besar bermula dari perancangan yang tersusun, kemas dan berlapang dada dengan apa sahaja kemungkinan yang perlu dihadapi. Sebagaimana seorang individu yang merancang untuk pergi bekerja pada keesokan harinya. Pasti, hari ini persiapan dilakukan bermula dari apa yang akan dipakai, kenderaan yang dinaiki sehinggalah pada jam berapa perlu meninggalkan rumah untuk sampai ke destinasi seperti yang diidamkan. Semua ini akan mengukur sejauhmana kita berusaha dan kejayaan hanya akan dirasai oleh orang yang berusaha. Usaha adalah tangga kepada kejayaan.

Kesimpulannya, untuk berjaya tidak mudah. Perlu bermula dengan kehendak dan kehendak itu biarlah juga memberi manfaat kepada persekitaran kita. Jika kehendak yang hanya memenuhi kemahuan peribadi, akan berubah kehidupan kepada insan yang tamak dan individualistik. Susuli kehendak dengan usaha melalui kehidupan yang berdisiplin dan mengikut peraturan. Jika tidak, masakan ada pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Pesanan ini fokus kepada kerja yang berdisiplin dan berterusan. Jangan lupa pada setiap perjalanan itu perlu ada persediaan yang rapi. Pernah ada yang berjaya tanpa persediaan, tetapi kejayaannya amat singkat dan amat sementara. Berhati-hatilah.

Saturday, August 8, 2020

RAHSIA KEJAYAAN BAHAGIAN 1

Berjaya? Apa itu berjaya? Perlu ke saya berjaya? Penting sangat ke? Pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh ramai orang. Tambahan hari ini, kejayaan ini seperti apa yang digambarkan oleh kebanyakan orang dalam media sosial. Kereta mewah, rumah besar, percutian keluarga dan sebagainya yang menunjukkan kesenangan dan kemewahan. Adakah benar begitu? Benarkah, kejayaan itu bukan satu keperluan dan kemestian atau sebaliknya?. Ada sebahagian dari kita merasakan, kejayaan adalah sekadar pencapaian dan ia tidak terlalu penting dan sebaliknya ada yang merasakan ia adalah sebuah kehidupan. Tidak ada makna jika tidak berjaya. Sebagai manusia, kejayaan adalah tuntutan yang utama dalam kehidupan. Banyak sebenarnya kejayaan yang telah kita tempa setiap hari. Ingat, setiap hari! Bukan berlaku sebulan sekali atau setahun sekali, apatah lagi seumur hidup sekali. Apabila malam sebelum kita tidur, kita memasang niat kita untuk bangun awal pagi jam 5.00 untuk berqiamullail atau mengulangkaji, atau menyelesaikan tugasan rumah dan kita berjaya bangun, adakah bangun seawal jam 5.00 pagi itu satu kejayaan apabila kita telah menjadikannya satu sasaran?

Begitulah rutin kita setiap hari iaitu mencipta kejayaan. Kita adalah sang juara semenjak kita lahir lagi. Kita adalah sperma yang berjaya berbanding ribuan sperma yang berebut-rebut untuk bersatu dengan telur ketika di alam awal sebelum kita dilahirkan. Adakah kita sudah lupa? Setiap hari, pada perkara yang kita lakukan secara rutin, kita akan lupa pada apa sebab sebenar pekerjaan atau tindakan itu kita lakukan dan akhirnya, pencapaian itu kita tidak nilai sebagai kejayaan. Kejayaan yang tidak diuruskan dengan betul akan memberikan natijah buruk dalam kehidupan. Kejayaan yang dirasakan kebiasaan adalah kejayaan yang pada pandangan kita cuma perkara biasa yang dilakuka oleh orang lain. Pernahkan kita fikir, pada waktu kita berjaya sampai ke pejabat, sihat dan tepat masa, ada rakan kita yang sakit bahkan sebahagiannya mungkin menghadapi cabaran dengan kereta rosak? Kita berjaya, tetapi mereka gagal. Kegagalan itu memang menyakitkan, tetapi setiap kesusahan Allah telah janjikan kesenangan selepasnya bukan? Ya, memang kita lupa sebenarnya. Jadi mari bersama kita ingatkan kembali bahawa kehidupan ini adalah satu tempat untuk kita mencipta kejayaan. Kejayaan yang kita tempa setiap hari. Menguruskan kejayaan inilah petanda diri kita yang sangat positif kepada kehidupan yang dilalui. Pada setiap kebaikan kita merasakan ia satu kejayaan dan disusuli dengan kesyukuran. Syukur bukan hanya khusus kepada Allah s.w.t. tetapi diajarkan kepada kita, tanda syukur itu urusannya juga melibatkan kita dengan segala makhluk yang lainnya.

Kejayaan adalah sangat sinonim dengan kita sebagai manusia. Cuma yang sentiasa menjadi penghalang kepada kejayaan kita adalah kehendak peribadi kita. Hendak berjaya adalah keinginan diri kita sendiri. Kejayaan yang diuruskan adalah sebahagian dari kemahiran kita menguruskan emosi kita. Kejayaan tidak menambah ego, kejayaan tidak akan menjadikan kita sempurna, kejayaan bukan makna kita boleh mendabik dada, kejayaan tidak langsung bererti sudah habislah usaha dan berhentilah perjuangan dalam kehidupan. Sebab itu, apabila ibu dan ayah kita beria-ia mahukan kejayaan dari kita, tetapi kita tidak ada semangat untuk mencapainya maka ia tidak akan ke mana-mana. Bahkan ramai anak-anak muda hari ini, berhenti mencari kejayaan diri mereka kerana mereka telah berjaya dalam peperiksaan mereka tidak kita diperingkat manapun. Akhirnya, mereka cuma capai kejayaan yang sangat singkat umpamanya, tamatkan SPM, tamatkan Diploma dan lain-lain. Mereka berhenti mencipta kejayaan lain yang sebenarnya mereka mampu kerana mereka beranggapan kejayaan itu hanya satu sahaja, iaitu apa yang mereka idamkan itu.

Oleh kerana itu, untuk berjaya mulakanlah dengan mewujudkan ratusan mahupun ribuan cita-cita. Jangan takut untuk bercita-cita disebabkan cerita Mat Jenin itu. Tekuni kisah itu dengan pelajaran di dalamnya. Mat Jenin tidak fokus dan kurang kesungguhan. Tidak memanfaatkan masa sebaiknya. Kemudian beriltizam dengan cita-cita tersebut. Beriltizam bermaksud, selepas bercita-cita, datangkan minat untuk mencapainya, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan tanamkan keyakinan di dalam diri bahawa "Aku boleh mencapai cita-cita ini!". Buat sehabis baik.

Saturday, July 25, 2020

KEJAYAAN BERMULA DENGAN CITA-CITA

Cita-cita ialah sesuatu perkara yang kita mahukan sama ada perkara itu kita sangat mahukan atau sekadar mahu sahaja. Setiap hari kita memenuhkan cita-cita kita. Cita-cita untuk makan, cita-cita untuk bangun pagi, cita-cita untuk bermain, berkawan bertemu rakan, berjalan-jalan, membeli-belah dan pelbagai lagi. Cuma kadangkala kita tidak mengkategorikan ia sebagai cita-cita, mengapa? Ramai kita beranggapan cita-cita adalah sesuatu yang amat besar yang ingin dicapai dalam hidup sehingga mengenepikan keperluan untuk memenuhi beberapa cita-cita kecil sebelum sampai kepada cita-cita besar tersebut. Cita-cita adalah apa yang kita idamkan dan ia adalah kejayaan apabila dicapai tidak kiralah besar mana sekalipun. Bagi setiap individu, nilai kita berbeza. Bagi mereka yang menaiki basikal, memiliki motosikal itu adalah suatu cita-cita yang besar mungkin. Begitu pula bagi mereka yang memiliki kereta, memiliki sebuah bot laju adalah satu cita-cita yang besar baginya. Selera dan keupayaan kita berbeza. Maka, pada setiap cita-cita itu ada nilai tersendiri dan kita perlu dihargai begitu juga pada cita-cita orang lain.

Begitulah peranan ita-cita. Ini menjadikan cita-cita itu makna dalam kehidupan kita sebagai manusia. Terdapat beberapa bentuk cita-cita yang boleh kita fikirkan bersama. Adakalanya, cita-cita yang sifatnya kita mahu, tetapi kita tidak berusaha pun untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, kemampuan bernafas, berjalan, melihat, makan, berasa kenyang dan sebagainya. Semua ini, kita mahu, tetapi dengan izin Nya tanpa ada sebarang usaha pun yang dilakukan melainkan pada waktu kita kanak-kanak dahulu. Bertatih dahulu satu perjuangan yang amat ditagih oleh anak kecil dan sentiasa dibimbing dan diberikan perhatian oleh ibu dan ayah kita. Sokongan tidak berbelah bagi diberikan dan sentiasa dilihat perkembangannya. Namun hari ini, berjalan itu bukan lagi satu kejayaan melainkan buat mereka yang diberi pengalaman hilangnya nikmat berjalan. Oleh itu ramai yang lupa bahawa berjalan ini merupakan rantaian pencapaian cita-cita yang penting sebelum dapat mencapai yang lebih lagi selepas itu. Lupa kita kepada segala bentuk cita-cita kecil ini akan menjadikan kita seorang yang sombong dan meninggi diri berjalan di atas muka bumi ini. Kita akan kerapa merasakan bahawa kejayaan ini bermula dari usaha khusus kita yang terterntu. Sedangkan, memang jelas, bukan. Usaha yang dilakukan sewaktu kecil itu mungkin tidak ada nilai pada kita ketika jiwa dan pemikiran kita masih mentah dan belum berkembang sepenuhnya. Namun hari ini, rasa bersyukur itu sepatutnya dapat lahir bahkan kita akan manfaatkan pencapaian cita-cita kecil itu untuk cita-cita yang lebih besar.

Jiwa seorang kanak-kanak hanya mahu meneroka dan merasai pengalaman serta mahu berkembang sebagaimana orang lain. Cita-cita tulus ini sukar untuk kita ungkapkan hari ini kerana jiwa kita sudah dipenuhi kebencian, persaingan dan kemahuan hanya untuk kepentingan sendiri. Seharusnya muhasabah itu berlaku pada kehidupan kita hari ini, sebagai insan yang ada upaya berfikir dengan lebih baik berbanding ketika anak kecil. Sedarlah bahawa apa yang kita miliki hari ini, banyaknya bermula dari kemahuan luhur anak kecil untuk melihat dunia yang berada dihadapannya. Namun, tanpa kita sedari, yang dihidangkan dihadapan mereka adalah sesuatu yang terlalu objektif sehingga menutup kebarangkalian lain. Menjanjikan sesuatu yang tiada jaminan, menggambarkan sesuatu kegagalan sebagai sesuatu yang tidak akan berjaya. Kita bertindak sebagai penentu bukan bergantung kepada usaha dan izin dari Tuhan. Adakah ini bermakna cita-cita itu gagal atau cita-cita itu berkesudahan? Tiada istilah gagal dalam cita-cita. Cita-cita yang mesti diteruskan adalah untuk terus berusaha bukan berhenti apabila tidak memperolehnya. Cita-cita besar tidak akan terhenti hanya kerana satu cita-cita kecil tidak berjaya. Cita-cita besar akan tercapai apabila banyak cita-cita kecil yang kita penuhkan, kita capai dan kita usahakan.

Kita boleh perhatikan bagaimana cita-cita kita ini dirosakkan. Ia ditanam dengan kefahaman bahawa kebahagiaan, kesenangan serta pencapaian cemerlang dalam kehidupan itu terletak ada pemilikan rumah mewah, kereta besar, banyak A di dalam peperiksaan dan sebagainya. Sehinggakan kita mendatangkan rasa takut dan was-was untuk manusia itu berfikir akan cita-citanya. Mereka tidak mahu ada cita-cita hanya kerana cita-cita kononya hanya milik orang yang kehidupannya baik sahaja, tidak pada mereka yang pada segala seginya kekurangan belaka. Setiap langkah kejayaan adalah bermula dengan cita-cita. Bermula dari cita-cita kecil sehinggalah menjadi cita-cita yang besar. Janganah tajut untuk meletakkan cita-cita itu dan demia Tuhan Yang Maha Mendengar, Dialah yang akan memakbulkan semua cita-cita kita jika sesuai dengan usaha dan kerja kita untuk mencapainya.

Secara kesimpulannya, apa yang kita mahu, kita usahakan bersungguh-sungguh dan kita akan dapat apa yang kita mahu itu dengan izin dari Nya. Inilah penghargaan Allah s.w.t kepada manusia di dunia atas apa yang diusahakannya. Sebab itu, ringkasan kepada cita-cita itu adalah capai yang terbaik, impian yang tertinggi, tempuhi segala halangan serta anjakkan paradigma. Orang yang mencapai cita-citanya, bersama mereka akan ada ilmu dan pengalaman yang pastinya berbeza dan itulah kelebihannya. Maka, kejayaan hanya akan bersama orang yang berilmu dan berpengalaman. Kejayaan hanya untuk orang yang terus berusaha dan tidak berputus asa serta kekal mengejar cita-citanya.

Sunday, July 19, 2020

RAGU-RAGU MUSUH KEPADA KEJAYAAN

Ragu-ragu datang dari banyak persoalan yang bermain dalam diri kita. Setiap persoalan itu mendatangkan ketakutan kepada kita apabila kita tidak mengetahui atau bertemu dengan sebarang jawapan. Apatah lagi persoalan ini timbul pula dari orang lain yang juga mendorong untuk kita tidak melakukannya. Bukan soalan itu salah tetapi cara kita menimbulkan persoalan itu yang salah. Mengapa kita bertanyakan soalan yang menarik kita ke belakang?  Soalan-soalan ini timbul disebabkan rasa takut kita kepada sesuatu perkara itu. Cuba kita bayangkan semula sekiranya anak kecil kita yang baru merangkak itu mempunyai keupayaan untuk berfikir pada usia yang terlalu awal itu? Nescaya tidak akan berlaku penerokaan ketika anak-anak itu membesar. Keraguan menghalang perkembangan kerana ia secara langsung menghalang usaha penerokaan. Bahkan, keraguan pada ibu bapa itu sendiri kerap kali menghalang anak-anak mereka untuk mencuba sesuatu bukan kerana ibu bapa itu tahu akan kesan buruknya, tetapi hanya kerana mereka takut apa yang akan berlaku kepada anak mereka. Sekali lagi, ketakutan itu berpunca dari segala persoalan yang ditimbulkan dan akhirnya wujudlah segala macam keraguan pada diri mereka.

Antara tanda-tanda yang kita sedang berada dalam keadaan ragu-ragu adalah apabila, pemikiran kita hanya fokus kepada pelbagai alasan untuk tidak mahu melakukannya. Persoalan itu timbul dalam hati kita untuk tidak melakukannya, kemudian kita mula memberikan alasan kepada diri kita mengapa ia tidak mahu kita lakukan. 'Nantilah', 'esok pun boleh', 'orang lain dah buat', 'nanti apa orang kata' adalah antara yang biasa kita dengar dari mereka yang berusaha untuk menyediakan pelbagai alasan untuknya. Ketika perkataan itu diungkapkan, pemikiran mereka masih sibuk menjana pelbagai alasan-alasan lain sehinggakan mereka hanya menumpukan kepada penghasilan alasan. Semakin banyak alasan, sebenarnya semakin jauh ke belakang atau semakin dalam kita terbenam dari keluar untuk mencapai sesuatu kejayaan. Keraguan secara langsung akan membesarkan 'kilang' alasan dalam kehidupan kita. Keraguan akan tambah meningkat apabila persekitaran kita juga adalah mereka yang membantu untuk kita membina alasan-alasan yang kita rasakan munasabah untuk kita. Alasan hanya cara untuk kita melepaskan diri dari keraguan, tetapi ia tidak pernah menghilangkan keraguan tersebut.

Jika kita fikirkan bersama, keraguan adalah perkara yang biasa dalam masyarakat kita. Kenapa dalam masyarakat kita? Adakah tidak wujud dalam masyarakat lain? Keraguan ada di mana-mana pun. Apatah lagi apabila kita berhadapan dengan keadaan yang tidak pernah dilalui atau berhadapan dengan perkara yang kita tidak tahu akan hujung pangkalnya. Kebiasaan yang dilihat dalam masyarakat kita, tidak menggalakkan anak-anak khususnya dalam melakukan pelbagai penerokaan dalam kehidupan. Masyarakat kita lebih gemar untuk melakukan perkara yang biasa dan melihat anak-anak mereka melakukan yang kebiasaannya dilakukan oleh orang lain. Sehinggakan, walaupun yang dilakukan itu suatu kesalahan, ia jadi tidak mengapa hanya kerana orang lain melakukannya. Ia bukan hanya pada masyarakat kita, tetapi banyak masyarakat lain yang juga berada pada situasi yang sama bahkan kebanyakan masyarakat tersebut tidak mampu untuk maju ke hadapan atau lambat dari sudut kemajuan berbanding mereka yang lain. Sekali lagi, keraguan itu bukan hanya menarik kita secara peribadi, bahkan apabila ia berjangkit dalam masyarakat, ia mampu menarik sesebuah kerajaan atau kelompok masyarakat ke belakang. Mengatasi keraguan adalah amat sukar buat kita semua. Apabila kita menongkah arus, maka kita dilihat sedang berusaha untuk membuat kerosakan. Namun dalam membina kejayaan, melawan kebiasaan adalah kebiasaan yang membawa kita ke bawah. Bukan bermakna, melawan kebiasaan itu dengan mengubah sesuatu kebaikan hanya kerana kita ingin mengubahnya. Ubah ia kerana ada pilihan lebih baik dari yang baik atau pilihan yang baik berbanding yang tidak baik.

Maka dapat kita fahami bahawa, keraguan menyekat manusia itu untuk mencari lebih baik dan mengubah yang buruk kepada baik. Tambah parah, apabila keraguan ini mula dicampur adukkan dengan kepercayaan mistik bahkan keyakinan kerohanian. Apabila keraguan bersandar kepada perkara yang tidak dapat diterima oleh akal tetapi yakin di dalam hati, ia jauh lebih sukar untuk diperbaiki kerana keyakinan yang dipegang adalah pada sandaran yang tiada bukti atau hanya pada 'apa orang kata'. Ini adalah perkara yang semua kita dapat fahami dan banyak berlaku dalam kehidupan kita seharian bahkan dalam masyarakat kita. Untuk menghilangkan sekatan ini, harus bermula dari membuang segala kepercayaan yang tiada asas atau bukti jelas padanya. Mula untuk berpegang kepada sesuatu yang terbukti dan elakkan dari bersama mereka yang menyebarkan pelbagai kepercayaan pada 'apa orang kata'. 

Yakin adalah lawan kepada ragu-ragu. Yakin yang akan membawa kepada pelbagai kejayaan, tetapi tidak bermakna tidak akan gagal. Jangan pula kita berpandangan, cukup sekadar ada keyakinan maka kita akan berjaya. Keyakinan akan membunuh keraguan. Tanpa keraguan menjadikan kita tidak taku mencuba. Berani mencuba natijahnya akan berkumpul segala pengalaman baik dan buruk yang mana pengalaman adalah guru yang terbaik buat kehidupan kita. Melalui pengalaman tadilah kita membina kejayaan. Sentiasalah berpegang bahawa tiada jalan rentas untuk berjaya, yang ada cuma jalan sukar untuk berjaya. Jika kita bertemu jalan rentas, kita bersama percaya selepas mereka melalui perlbagai jalan kesusahan sebelumnya. Ragu-ragu adalah musuh dan lawannya adalah keyakinan. Melalui keyakinan, kita akan mampu mencipta kejayaan.

Wednesday, July 1, 2020

PERBEZAAN SISTEMATIK DAN SISTEMIK

Sistematik dan sistemik datang dari kata dasar yang sama. Perkataan sistematik banyak digunakan di dalam hal berkaitan ekonomi dan kewangan. Oleh sebab itu, perkataan sistematik amat biasa kita dengar kerana persoalan ekonomi adalah persoalan kehidupan manusia seharian. Secara umumnya kita fahami, keduanya berasal dari perkataan sistem. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), ia bermaksud cara atau kaedah untuk melakukan sesuatu atau juga disebut aturan. Erti yang lain juga bermaksud kumpulan beberapa bahagian yang sama-sama bekerja untuk satu tujuan atau juga diertikan sebagai kumpulan pendapat yang teratur dan tersusun baik-baik. Pada hakikatnya, ketiga-tiga makna sistem ini dapat kita simpulkan sebagai aturan yang baik. Ini menjelaskan bahawa, sekiranya sistem itu sendiri adalah aturan yang baik, maka sistematik adalah perkataan yang menggambarkan sesuatu yang teratur dengan baik.

Sebagai contoh, sekiranya Kamarul diarahkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan dan dia melakukannya mengikut aturan sebagaimana selalunya dia lakukan. Langkah demi langkah dengan penuh beretika dan konsisten melakukannya, maka Kamarul adalah seorang yang sistematik. Apabila kita mengatakan bahawa Kamarul mempunyai asas yang jelas pada tindakannya, ia bermaksud, kita mengatakan bahawa sistematik adalah apa yang dapat dilihat melalui corak atau metodologi tertentu dalam melakukan sesuatu perkara. Sekiranya seorang individu mengikuti kaedah tertentu membersihkan atau menyusunnya di dalam almari pakaiannya, dia bersistematik jika menurut contoh di atas. Sesuatu yang dicirikan oleh corak atau kaedah yang pasti dirujuk sebagai sistematik.

Sistemik pula merujuk kepada sesuatu yang tertanam di dalam sistem. Proses yang terbina di dalam sesuatu sistem itu dikenali sebagai sistemik dan ini menjelaskan mengapa ia dinilai sebagai lebih penting dalam sesuatu sistem. Ini menerangkan bahawa sistemik itu adalah sesuatu yang dimiliki, berfungsi bersama, atau boleh menjejaskan seluruh badan atau sistem secara keseluruhan. Maknanya, ia lebih memberikan kesan besar dalam kehidupan kita. Mengapa kita tidak pernah atau jarang mengetahuinya? Kerana, istilah ini sememangnya kerap digunakan dalam ilmu berkaitan sistem saraf atau organisma. Oleh kerana itu, jika kita kerap menggunakan racun perosak untuk tanaman, maka ini dinamakan sistemik kerana kita percaya ia akan mematikan makhluk perosak tanpa kita dapat melihat bagaimana ia berfungsi. Sama seperti kita memakan ubat yang diberikan oleh doktor untuk mematikan kuman tertentu di dalam badan kita. Para doktor dan pengkaji tumbuhan telah tahu bagaimana kuman atau makhluk perosak itu berfungsi dan menyediakan keperluan yang dapat melawannya. Proses ini selalunya akan dikaitkan dengan perkataan sistemik. Jika kita cuba untuk terjemahkannya, sistemik menerangkan sesuatu yang wujud dalam sistem. Ia menerangkan sesuatu yang mempengaruhi sistem, seperti badan atau masyarakat secara keseluruhan tanpa ada masukan kepadanya.

Sistemik jika diberikan contohnya paling mudah adalah apabila doktor memberitahu pesakitnya bahawa dia mempunyai lupus sistemik atau jangkitan sistemik maka itu memberi maksud pesakit tadi sedang mengalami jangkitan itu secara menyeluruh, kerana sistem imunisasi tubuh itu sendiri sudah dirosakkan oleh kuman tersebut sekaligus menjejaskan kesihatan tubuhnya. Ini juga menunjukkan bahawa perkembangan kesihatan pesakit adalah kurang baik kerana jangkitannya telah menyebar. Maka sesuatu yang mengukuh dan meruntuh sesuatu sistem disebut sebagai sistemik. Oleh yang demikian, menurut beberapa catatan, sistematik dan sistemik ini mempunyai beberapa perbezaan.
  1. Perbezaan dari sudut ejaan dan sebutan. Paling mudah untuk dikenali.
  2. Sistematik adalah kata sifat yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang konsisten, teratur dan disusun dengan baik manakala sistemik bermakna sesuatu yang ada atau boleh mempengaruhi keseluruhan sistem walaupun ada setengah berpendapat, sistemik juga adalah kata sifat.
Jika kita cuba pindahkan ke dalam kehidupan kita bermasyarakat, masyarakat yang sistematik adalah masyarakat yang mempunyai aturan kehidupan yang dilihat aturan itu baik buat masyarakat serta sekitarnya. Aturan itu akan berterusan baik sekiranya setiap individu di dalam masyarakat tersebut juga hidup secara sistematik. Mereka akan hidup dalam satu sistem kepercayaan antara satu sama lain. Sekiranya ada usaha untuk merosakkan kehidupan masyarakat yang baik ini, mereka perlu menanam benih-benih perosak itu secara sistemik. Ia tidak melalui pengubah aturan kehidupan yang baik kerana ia sudah sistematik, tetapi ia menanam benih yang mampu merosakkan sistem kepercayaan masyarakat itu. Maka, perilaku manusia yang berunsur kepada hasutan syaitan boleh kita samakan dengan sesuatu yang sistemik, merosakkan sistem sedia ada tanpa dapat kita lihat kerosakan itu sehinggalah akhirnya menatijahkan kerosakan yang lebih besar. 

Sumber bacaan;

Tuesday, June 23, 2020

BAGAIMANA UNTUK TERUS BERMOTIVASI?

Bukan mudah untuk mengekalkan motivasi dalam diri. Namun, kerapa kali kita berpesan dengan orang yang kita kenali untuk terus bermotivasi. Saya adalah seorang penceramah dan ramai yang mengenali saya sebagai penceramah motivasi bahkan ada juga dikalangan mereka yang memanggil saya dengan panggilan pakar motivasi. Benarkah ada pakar motivasi? Adakah boleh kita memotivasikan orang lain atau kita mendapatkan motivasi dari orang lain? Kerap kali saya bercerita dan berkongsi dengan ramai pendengar di luar sana bahawa motivasi adalah hak diri sendiri. Ia tidak dimiliki oleh orang lain. Namun kesilapan yang selalu dilakukan adalah dengan meletakkan motivasi itu pada sesuatu yang lain dan menjadikan ia sebagai salah satu alat pelengkap dalam kitaran kepada apa yang ingin kita capai. Saya sudah melihat pelajar yang meletakkan cita-cita kejayaannya kerana ibu atau bapanya. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila salah seorang dari mereka meninggal, ia turut memusnahkan cita-citanya.

Tidak kurang mereka yang meletakkan motif kejayaan mereka pada orang yang tersayang. Rasa sayang dan ingin melakukan yang terbaik untuk mereka amat memberangsangkan dan menyebabkan ia begitu teruja dalam setiap perkara yang disusahakan. Namun, dalam tidak sedar, apabila hubungan yang erbina itu roboh dipertengahan, ia turut meranapkan segala usaha yang telahpun berjalan dan diusahakan. Sebab itu, motivasi harus diletakkan kepada diri sendiri. Kitalah penentu apa yang kita mahu selain bersedah diri kepada DIA yang empunya segalanya. Usah kita melakukan kesilapan dalam meletakkan impian dan cita-cita. Tiada yang dapat meranapkan impian dan cita-cita itu melainkan diri kita sendiri. Ramai pakar-pakar di luar sana yang membincangkan tajuk bagaimana untuk kita mengekalkan motivasi diri kita. Ada yang bermula dengan mengenali diri sendiri dan keupayaan diri. Ada yang bermula dengan memasangkan angan-angan dan cita-cita yang jelas dan ada juga yang mencadangkan agar berani melawan ketakutan dalam diri.

Pada hemat saya, untuk mengekalkan motivasi, sudah pasti seseorang itu telah pun memiliki apa yang kita sebutkan sebagai sasaran, misi atau mudahnya sebagaimana yang selalu saya bincangkan adalah motif mereka. Mereka telah punyainya bahkan saya yakin mereka pasti telah memulakannya. Cuma persoalan yang timbul, apabila tiba dipertengahan perjalanan, semangat tu mula hilang, kobarnya lemah, gendang sudah tiada paluan. Di sinilah bermulanya soalan bagaimana untuk terus bermotivasi? Motivasi diri ini kita boleh gambarkan seperti graf berbentuk loceng. Awalnya menaik dan kemudian akan sampai pada satu tahap, ia mula menurun. Tindakan kita harus segera.

Beritahu Diri
Pertama, sila beritahu diri anda bahawa, akan sampai masa yang motivasi diri ini akan turun dan buatlah persiapan untuk itu. Maka, dari awal, sediakanlah apa sahaja kelengkapan seperti misi, visi yang dicetak dan ditampal didinding, motif yang dirakamkan dalam video untuk tontonan, rakaman suara menjelaskan ke mana hala tuju yang kita ingin pergi. Semua ini adalah persiapan kerana pasti akan sampai perasaan malas, lemah dan bosan itu. Wujudkan 'motivation library' untuk anda tiupkan semula semangat yang semakin menghilang tu.

Pendamping Tegar
Dia mesti seorang yang kenal benar diri kita. Seorang yang sentiasa mahu mencabar dalam masa yang sama membantu membina keyakinan dan kemahuan dalam diri kita. Seorang yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam perhubungan serta penasihat yang tekun untuk memberikan kita pesanan yang terbaik untuk di bawa pulang. Mereka ini tidak lokek dengan ilmunya dan tidak segan menegur kita bahkan merekalah pengkritik yang paling konsisten di dalam kehidupan kita.

Rekod Pengalaman
Cuba biasakan diri untuk menulis diari atau catatan ringkas harian apa yang telah kita lalui. Catatan ini perlu dijadikan bahan bacaan apabila lemah mula menjelma. Kadang kala catatan ini yang sebenarnya akan membangkitkan semangat juang kita yang pudar itu.

Baca dan Dengarlah Pengalaman
Pengalaman amat mematangkan bahkan itulah guru yang tidak pernah berputus asa dengan kita. Carilah dan selamilah pengalaman itu. Pasti ia akan amat bermanfaat. Ada pepatah inggeris mengatakan, orang cerdik adalah mereka ang belajar dari pengalaman dan orang yang lagi cerdik adalah mereka yang belajar dari pengalaman orang lain.

Semoga apa yang dicatatkan ini akan dapat memberikan bimbingan kepada diri kita untuk berhadapan dengan keadaan kelesuan, kelemahan, kemalasan dan kebosanan. Keadaan itu akan datang dan amat bergantung dengan keupayaan kita untuk mengatasinya. Buatlah yang terbaik dan jangan sekali-kali kita tersalah membuat pilihan dalam menentukan bagaimana untuk berterusan bermotivasi. Paling utama, pastikan anda jelas dengan motif diri dan ke mana hala tuju anda yang sebenarnya.

Friday, June 19, 2020

ADAKAH KITA PASTI KITA MAHU KE MANA?

Apakah kita pasti ke mana sebenarnya hala tuju kehidupan kita hari ini? Apa sebenarnya yang ingin kita capai dalam kehidupan kita? Adakah itu yang sepatutnya kita kejar atau ada yang lain? Pelbagai persoalan yang kita fikirkan untuk kelangsungan kehidupan kita setiap hari. Bermula dari buka sahaja mata sehinggalah malam sebelum tirai kehidupan kita dilabuhkan, persoalan ini akan kerap bermain-main di dalam fikiran kita. Maka, tibalah waktu kita termenung sambil membayangkan apa yang ada dalam kehidupan kita, apa yang telah dikecapi, apa yang belum dimiliki dan terbayang wajah-wajah orang yang tersayang yang sentiasa ada bersama dengan kita, menyokong dan mendorong untuk kejayaan diri kita. Namun, sebenarnya adakah kita berada di lorongyang sepatutnya atau kita berada di lokasi yang jauh dari sasaran sebenar kita?

Bayangkan diri kita berada di sebuah ruangan lapang, luas umpama padang pasir. Lalu datang suara dari langit mengarahkan kita untuk berjalan, dan apabila kita bertanya, "Ke mana?" Jawab suara tersebut, "Terpulanglah." Tanpa berfikir, kita memulakan langkah, berjalan melalui segala ranjau yang ada di hadapan sehingga tiba di saat kita terfikir, hendak ke mana? Berjalan tanpa hala tuju, tanpa punca, pastinya tidak akan sampai ke mana-mana. Tidak pernah dinafikan, ada pengalaman yang amat luas, tetapi semua pengalaman ini tidak akan memberikan makna apabila kita tidak pernah tahu mengapa kita melaluinya. Sama sahaja dengan diri kita yang kebiasaannya memandu, berselisih dengan pelbagai perkara namun terpernah kita endahkan sehinggalah datang keperluan untuk kita mencari atau mengenalpastinya.

Berjalan tanpa hala tuju, tidak tahu ke mana untuk pergi menjadikan perjalanan kita seperti tercari-cari sesuatu yang kita sendiri tidak pasti apa. Perjalanan yang sebegini akan memakan masa yang panjang memamah usia kita sendiri. Di kala kita sampai ke penghujung pencarian, mungkin sebahagian dari usia kita tidak memungkin kita merasai apa yang dikecapi atau mungkin kita sendiri tidak sempat mengecapinya. Apa yang lebih kita khuatirkan, sekiranya kita langsung tidak dapat menemui apa yang sebenarnya yang kita mahukan dan melahirkan rasa berputus asa. Mewujudkan pelbagai perasaan negatif pada setiap peluang yang dihidangkan dan sukar untuk bergerak ke hadapan dek kerana pengalaman yang panjang dan sukar yang dilalui sebelumnya. Maka ia akan menatijahkan sikap kita yang amat sukar untuk membuat pilihan walaupun dihidangkan segala kemudahan. Terlalu mudah akhirnya tersalah buat pilihan, penghujungnya menyusahkan pula orang yang terhampir dengan kita. Ia akan jadi satu pengalaman yang amat pahit untuk ditelan. Namun tidak bermakna, kita tiada peluang untuk bangkit dengan syarat kita perlu letakkan hala tuju sebenar apa yang ingin kita capai dalam kehidupan.

Jika diibaratkan kita kembali berada di ruangan lapang, luas umpama padang pasir tadi. Lalu datang sekali lagi suara dari langit mengarahkan kita untuk berjalan, dan kali ini apabila kita bertanya, "Ke mana?" Suara tersebut menjawab, "Pergilah kamu mencari sebatang pokok kelapa." Lebih mudah. Kita berasa, kita ada upaya untuk melakukannya kerana pokok kelapa itu sendiri mudah untuk dilihat di padang pasir yang lapang itu. Begitulah peranan hala tuju kehidupan kita. Pencarian kita akan menjadi begitu mudah dan ikhtiar kita akan begitu kuat apabila impian itu berjaya digambarkan dengan jelas. Pergerakan kita dalam mencarinya atau untuk sampai kepadanya lebih kuat dan pasti. Perbuatan kita hanya akan terarah kepada perjuangan hala tuju itu walau bagaimana sekalipun halangan yang datang. halangan itu mungkin menggagalkan, namun melalui kegagalan itu akan memberikan pengalaman yang jauh lebih berkesan kerana kita mengenal apa yang kita cari selama usaha sebelum ini. Maka, kita boleh segera bangkit memperbaiki kelemahan atau kita akan mudah disedarkan pada sesuatu yang kita tidak mungkin boleh mencapainya.

Itulah sebenarnya makna lain bagi motivasi. Motif dan kita beraksi untuk motif itu. Mengetahui ke mana kita hendak pergi adalah motifnya, dan mengekalkan motif itu juga satu perjuangan yang panjang. Tidak dapat dinafikan ada juga yang kecundang dalam aksinya disebabkan tiada sokongan, dorongan serta kata-kata negatif. Namun, hakikt sebenar kejayaan adalah cerminan diri kita sendiri, yang berjaya itu kita, yang gagal itu juga kita, ia tidak akan pernah terpalit kepada orang lain. Kita bersungguh-sungguh kita berjaya, kita buat separuh-separuh kita berjaya separuh. Kita berjaya bercakap, hanya akan habis pada orang cakap, hasilnya tiada. Mudah-mudahan, kita pasti, kita mahu ke mana.

Tuesday, June 9, 2020

BAGAIMANA KITA INGIN MEMOTIVASIKAN ORANG LAIN?

Motivasi boleh datang dari pelbagai keadaan. Sumber utamanya ada tiga iaitu melalui apa yang kita lihat, apa yang kita dengar dan apa yang kita rasa. Melalui tiga sumber utama ini akan melahirkan dorongan atau perbuatan untuk kita pergi atau bergerak ke arah satu perkara atau untuk kita mencapainya. Sebagai contoh, apabila kita berjumpa dengan singa yang liar, maka ketika itu, dorongan utama kita adalah untuk menyelamatkan nyawa kita. Akal waras manusia akan segera berfikir pelbagai cara dan kemungkinan untuk melakukannya demi mencapai matlamat menyelamatkan nyawa. Maka dari situlah disimpulkan sebagai ada motif dan kita beraksi maka adalah motivasi.

Namun antara keduanya itu ada faktor lain juga yang membantu tiga sumber itu untuk menggerakkan kita memberikan maklum balas sama ada terlalu agresif, sederhana atau pasif. Pertama adalah keperluan asasi seseorang. Apa dia keperluan asasi seseorang? Ada lima iaitu agama atau kepercayaan, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Maklum balas seseorang akan sangat agresif apabila mereka berhadapan dengan keperluan asasi ini. Sebab itulah, apabila nyawa kita berhadapan dengan singa yang buas, kita mampu berlari pantas, memanjat pokok, melompot sungai atau mungkin berenang. Motivasi diri kita juga sifatnya begitu. Kebanyakan kita akan rasa kurang bermotivasi atau pasif adalah kerana kurangnya perasaan untuk memenuhi hak asasi tersebut mungkin kerana hak asasi itu tidak berada pada tahap sangat meruncing atau dirasakan tidaklah penting sangat. Mungkin kerana mata pernah melihat keadaan yang lebih susah pada orang lain, mendengar cerita kesusahan orang lain yang lebih dahsyat atau pernah merasai kesusahan yang lebih parah. Maka, motivasinya, jadi sederhana.

Kedua adalah faktor tahu mereka. Apabila seseorang itu tidak tahu bahawa singa adalah binatang karnivor, maka, mungkin perasaan ingin menyelamatkan diri itu tidak agresif. Mereka mungkin takut kerana tidak kenal, tetapi mereka tidak tahu mengenai singa yang memakan daging. Maka, tahu juga penting dalam usaha memotivasikan diri kita juga orang lain. Disinilah peranan ilmu, lebih banyak yang diketahui maka akan lebih risau dan berhati-hati, apabila datang masalah dan mereka tahu akan ada yang menolong, maka mereka 'chill' sahaja. Tetapi sebaliknya, jika mereka tahu lebih dari itu, maka mustahil mereka akan bersahaja menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupannya. Namun, tahu ini bukan bermaksud menilik nasib, sebaliknya, ia adalah hasil perkongsian dari pengalaman orang lain serta pembelajaran dari teori dan praktikal mereka yang mempunyai pengetahuan tentangnya.

Ketiganya adalah faktor ke mana hala ingin di tuju. Kehidupan tanpa tahu sebab, kerana itulah segala motivasi yang diharapkan tidak membuahkan hasil. Buatkanlah beribu kursus motivasi, tetap tidak sampai kepada penghujung kerana pembinaan matlamat itu sendiri sebenarnya tidak pada landasan asas yang benar. Insan ini harus disedarkan tentang peranan yang wajib mereka penuhi di akhirat sebelum menyusun peranan dan kewajiban di dunia. Akhiratnya jelas, dunianya mudah untuk diselaraskan. Tidak kita nafikan, ramai juga insan yang berjaya walau tidak ada matlamat akhirat, itu amat bergantung kepada sistem penilaian yang kita gunakan iaitulah dalam hal faktor yang keempat, iaitu kayu ukur kejayaan itu sendiri. Melepaskan diri dari singa yang mengejar, kayu ukurnya adalah hidup berjaya atau mati selamat atau bagaimana kayu ukurnya itu? Pernah dikisahkan bahawa ketika Ibrahim bin Adham berjalan bersama para muridnya, tiba-tiba seekor singa menghadang. Para muridnya berkata, "Wahai Ibrahim, binatang buas ini menghalangi kita." Ibrahim memandang singa itu dan berkata, "Wahai singa, jika engkau diperintahkan untuk berbuat sesuatu kepada kami, lakukanlah perintah itu! Jika tidak, menyingkirlah!" Singa menggerakkan ekor dan terus melarikan diri. Para muridnya kehairanan kerana singa memahami ucapan Ibrahim. Semoga Allah redha kepadanya dan memberi kita manfaatnya.

Apabila hidup dan mati itu diletakkan pada kuasa Dia yang menghidupkan dan mematikan, maka, hidup mati bukan lagi kayu ukur keselamatan, tetapi ia telah menjadi nilai penerimaan kehidupan dan keutamaannya adalah keizinan dan keredhaan Allah s.w.t. itu sendiri. Hebatkan? Oleh sebab itulah, dalam usaha untuk kita sebagai seorang insan yang ingin memotivasikan orang lain, antara yang boleh kita lakukan adalah;
  1. Kenali diri kita sendiri dan adakah kita termasuk dalam sebahagian seperti yang kita bincangkan di atas? Ada motif dan adakah kita beraksi dengan agresif atau pasif, faktor-faktor kita kuat atau tidak.
  2. Keraplah kita berdamping dengan orang yang sentiasa memberikan kita semangat dan kita juga harus menjadi insan yang rajin memberi semangat kepada orang lain. Jadikan diri kita contoh kepada mereka.
  3. Jadikan diri kita sebagai pemula, bukan penunggu. Tunggu dan lihat. Sentiasalah kita memulakan, kerana pengalaman memulakan akan membina keyakinan diri kita walaupun kita hanya mulakan dengan perkara yang kecil dan mintalah mereka juga untuk mulakan, jangan tanamkan keraguan sekiranya yang mereka hendak mulakan itu terasa kecil. Sebaliknya, galakkan.
  4. Buatlah yang kecil itu berterusan. Pesan kepada mereka buat sedikit, tapi konsisten. Jangan 'poyo' buat yang hebat tetapi hanya sekali. Buat yang kecil atau sedikit, gagalnya tidaklah sama sakitnya dengan usaha yang terlalu besar. Kita akan mudah untuk memberikan contoh usaha dan jatuh bangun orang lain dengan usaha mereka yang lebih besar dari usaha mareka itu.
  5. Keraplah kita bertanyakan khabar mereka dan jangan berputus asa dengan mereka. Anggaplah, tiada orang lain akan bantu mereka jika bukan kita.
  6. Penting untuk kita pastikan, bantuan atau motivasi kita kepada mereka hanya untuk redha Allah, baik mereka, bukan keuntungan kita di dunia sahaja bahkan di akhirat. Inilah nilai keikhlasan yang tinggi yang kita harapkan. Jangan berkira dengan wang ringgit kita, amalan dan usaha kita itu akan jadi sia-sia.
  7. Berpeganglah bahawa kejayaan itu milik Allah, sama ada kita berjaya atau tidak memotivasikan mereka, ingatlah, kejayaan bukan ditentukan oleh berjayanya mereka begitu juga kegagalan bukan disebabkan gagalnya mereka. Pada mata orang mungkin kita gagal, tapi pada mata Tuhan, mungkin gagal itulah pencetus kejayaannya selepas itu, 'Who knows?'

Sunday, May 31, 2020

BAGAIMANA INGIN MENJADI REMAJA YANG TERATUR?

Bagaimana ingin menjadi remaja yang teratur? Manusia yang teratur adalah mereka yang pada asasnya mempunyai misi yang jelas mengenai masa yang ada pada mereka. Kita lihat sahaja mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk ke tali gantung, bagaimana mereka menghabiskan masa mereka? Adakah kita menyangka mereka akan berharap segala kekayaan yang ada akan kekal bersamanya? Adakah mereka akan menyalahkan orang lain jika berlaku apa-apa kepadanya. Pada saat itu, mereka akan menjadi insan yang pemaaf, penyabar dan amat tenang sekali. Mereka tahu, itu semua adalah persiapan yang perlu dibuat untuk berada aman di sana. Bagaimana pula dengan mereka yang membeli tiket bas apatah lagi kapal terbang. Mereka akan sanggup sampai awal di terminal, merancang waktu perjalanan, elakkan kesesakan hanya untuk memastikan mereka sampai tepat pada masanya bahkan ramai juga yang sanggup datang awal.

Maka, apabila seorang remaja memiliki jelas apa yang mereka ingin miliki, lakukan atau capai di dalam kehidupan mereka, maka mereka secara langsung akan mengatur kehidupan mereka untuk mencapai apa yang mereka harapkan. Oleh kerana itulah, pemikiran remaja harus ditanamkan dengan pelbagai harapan dan misi yang besar bukan hanya perkara-perkara kecil yang akhirnya menjadikan mereka insan yang hanya mementingkan diri sendiri. "Yang penting aku ok, orang lain, lantaklah". Pemikiran begini harus kita atasi dan diubah di dalam minda remaja. Mereka perlu disedarkan mengenai peranan mereka yang besar untuk mengepalai masyarakat pada suatu hari nanti. Mereka tidak boleh merasakan bahawa harapan mereka hanya tergantung kepada cita-cita ibu ayahnya, tergantung kepada jenis bidang pelajarannya atau tergantung pada tempat belajar mereka. Sebaliknya mereka harus bergantung kepada impian dan disiplin diri. Mereka perlu melakukan eksplorasi dalam pelbagai perkara untuk berkembang. Mereka harus ada kemahuan untuk belajar dan di ajar kerana pada usia remaja, mereka bukan hanya penerima bahkan adalah pemberi yang bukan pada harta tetapi, masa, keringat dan pengetahuan mereka. Kuat berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata.

Remaja harus sedar mengenai masa yang sifatnya dipinjamkan. Ia akan diambil semula dan persiapan untuk itu perlu ada. Masa adalah kehidupan dan kehidupan itu sangat singkat. Sekiranya pilihan mereka untuk bersuka ria, maka pembaziran besar-besaran akan berlaku kerana mereka tidak akan tahu menilai harga sebuah kehidupan itu dengan berpesta sana sini. Nilai kehidupan terserlah apabila berhadapan dengan pelbagai konflik dan kesukaran untuk meneruskan apa yang kita hajatkan. Kehidupan adalah cabaran dan rintangan yang tidak akan pernah luput sehinggalah kematian menjengah.Sabda Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam di dalam sebuah hadis yang bermaksud, daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a. daripada Nabi sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda: "Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)."

Remaja yang teratur akan tahu apa itu perkara penting dan segera, akan kenal perkara segera tetapi tidak penting, perkara penting tetapi tidak segera serta mereka akan kenal perkara-perkara yang tidak penting dan tidak segera yang mana ini yang paling banyak menghabiskan usia kebanyakan remaja hari ini. Remaja yang teratur juga akan mampu menilai antara kaca dan permata di dalam persahabatan kerana mereka mempunyai ramai penasihat-penasihat yang bersedia memberikan bimbingan kepada mereka kerana kerapnya masa mereka dihabiskan untuk bersama orang-orang yang dapat memberikan manfaat terbanyak buat mereka. Semua sikap ini juga amat bergantung bagaimana ibu bapa mereka berperanan dalam memberikan kesan yang positif itu. Harapan utama terletak atas bahu ibu bapa kemudian para guru hang seharusnya turut menjadi pendorong kepada diri mereka.

Pemilihan kawan yang sesuai, yang benar-benar ikhlas adalah cabaran sebenar kehidupan remaja. Sekiranya mereka tidak mendapat nasihat dan bimbingan yang betul dari orang dewasa mereka, maka amat mudah mereka akan terjebak dengan pelbagai perkara yang negatif disebabkan pengaruh dari kanawan-kawannya. Fokus remaja adalah untuk memastikan diri mereka adalah yang terbaik untuk ibu bapa mereka, guru-guru, kawan-kawan serta masyarakat yang ada disekitar mereka. Jika mereka berjaya untuk menjadikan diri mereka sebagaimana yang kita bayangkan, berjasa kepada ibu bapa, membanggakan guru di sekolah serta hidup harmoni dan positif di dalam masyarakat, nescaya kita akan mampu melihat remaja yang pasti akan teratur dalam kehidupannya.

Wednesday, May 27, 2020

KEGUNAAN ANALISA SWOT

Analisa SWOT diperkenalkan oleh S Humphrey pada sekitar tahun 1960-an Ketika beliau sedang memimpin sebuah projek di Institut Kajian Stanford dengan menggunakan data-data dari syarikat-syarikat Fortune 500. Metod ini diperkenalkan dengan tujuan untuk mengenalpasti kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat) kepada sesuatu perancangan, projek tidak kira dalam bidang pembangunan mahupun perniagaan bahkan hari ini ia semakin dikembangkan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan insan serta pemberdayaan manusia dalam ekonomi itu sendiri. Hari ini, analisa ini juga mampu memberikan kepada pelajar dan mahasiswa dalam membina kejayaan dan kecemerlangan diri masing-masing. Ia seharusnya menjadi alat muhasabah terpenting yang mampu memandu seseorang untuk lebih cemerlang dengan apa yang mereka miliki saat ini. Oleh yang demikian, mengetahui cara menggunakannya adalah satu kelebihan yang akan meningkatkan kemahiran diri yang terbaik. 

Kita pasti akan dapat menilai diri menggunakan analisa ini melalui 4 tingkap utama iaitu; 

Bagaimana kekuatan kita mampu untuk memanfaatkan peluang yang terbuka 
Apabila seorang pelajar atau mahasiswa menyedari akan peluang yang sememangnya sentiasa terbuka buat mereka, peluang itu akan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik sekiranya mereka mengetahui juga kekuatan dan menggunakan kekuatan mereka dengan baik. Contohnya, bagi seorang pelajar yang mengetahui kekuatan dirinya pada apa yang mereka dengari, maka mengambil peluang untuk sentiasa hadir dalam pelbagai kelas yang dijalankan oleh guru mereka yang rajin itu adalah cara terbaik memanfaatkan peluang dengan kekuatan yang ada. Mungkin dengan merakamkannya juga akan turut membantu. 

Bagaimana kekuatan kita dapat mengatasi segala ancaman 
Kita juga harus tahu tatacara bagaimana kekuatan kita mampu diperalatkan untuk mengatasi segala ancaman yang ada. Ia tidak akan berlaku secara langsung sebaliknya, haruslah melakukan eksplorasi tentang bagaimana ia dapat membantu diri secara tidak langsung. Ancaman yang mungkin datang pada kita adalah teman-teman yang selalu memperlekehkan diri kita apabila kita menunjukkan usaha untuk mencipta kejayaan. Kekuatan kita yang suka mendengar mungkin boleh dimanfaatkan untuk mendengar apa sebenarnya masalah mereka itu. Mendengar dengan baik masalah mereka dan berusaha dengan niat yang baik untuk memperbaiki diri mereka akan menatijahkan kesan secara langsung sikap mereka kepada diri kita yang pada mulanya suka diperlekehkan mereka. 

Bagaimana mengatasi kelemahan dari perkara yang tidak memberikan manfaat 
Kita berpeluang untuk mengurangkan apa sahaja perkara yang boleh membawa kita kepada kurangnya manfaat kepada diri sendiri. Apabila seorang pelajar mengetahui keupayaan mereka lebih melalui pendengaran terhadap apa yang dipelajari, maka mereka seharusnya mengurangkan usaha membaca sebaliknya mula melebihkan usaha terhadap menghadiri kelas serta kelas-kelas bimbingan Bersama guru. Bukan bermakna, mereka tidak perlu membaca, Cuma memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih berkesan itu jauh lebih baik berbanding melakukan perkara yang akhirnya menyebabkan kita berhenti melakukannya hanya kerana kebosanan. 

Bagaimana cara mengatasi kelemahan yang mampu menjadikan ancaman itu suatu kenyataan 
Namun, cabaran terbesar adalah apabila kita gagal mengatasi kelemahan, makai a dikhuatiri akan dapat dimanfaatkan oleh ancaman yang mempunyai persamaan dengan kelemahan tadi. Oleh yang demikian, harus kita teliti segala kelemahan yang boleh membantu ancaman pada kita. Awasi ia daripada semakin membesar dan menguasai diri kita. Mengatasi kelemahan tidak seharusnya dihadapi secara besendirian. Ia perlu dilakukan dengan nasihat dari orang-orang yang berpengalaman, berpengetahuan dan mampu membimbing kita untuk memperbaikinya. 

Keempat-empat komponen SWOT ini mewakili 2 faktor pokok iaitu dalaman (SW) dan luaran (OT). Segala pemfaktoran tadi pula boleh diatasi melalui beberapa strategi kombinasi bermula dari; 
  1. SO – strength-opportunity 
  2. WT – wekness-threat 
  3. ST – strength-threat 
  4. WO – weakness-opportunity 
Ini adalah sebahagian dari asas pengetahuan analisa SWOT ini yang mungkin dapat membantu kita untuk memperbaiki diri kita atau untuk meningkatkan keupayaan diri kita sendiri. Mulakanlah penilaian diri segera kerana yang utama yang dapat membantu diri kita adalah diri kita sendiri.

Thursday, April 2, 2020

POSITIF MULA DARI CARA FIKIR

Fikir bersumberkan 3 sebab, melihat, mendengar serta merasa. Melihat tentunya dari pancaindera mata, mendengar melalui telinga namun, merasa boleh dikelaskan melalui beberapa keadaan yang berbeza pula. Merasa dengan lidah, kulit bahkan boleh jadi juga sebahagian kita terasa dengan hati. Bau juga kita kelaskan ia pada sumber rasa sebagaimana kita sedar, bagaimana deria hidung ini amat rapat dengan lidah sehinggakan pada waktu kita tidak dapat membau kerana hidung yang tersumbat, dan pada saat itulah lidah kita seperti kebas tidak dapat membezakan rasa yang masuk ke tekak kita.

Manusia berfikir atau kita katakan sebagai memproses data yang tersimpan dalam otak yang dikumpulkan melalui persekitaran mereka. Adalah menjadi persoalan asas dalam ilmu kaji otak tentang bagaimana manusia berfikir? Bolehlah kita semak beberapa artikel yang terkait dengan persoalan tersebut secara klinikal yang banyak terdapat di internet. Bagaimana berfikir ini boleh menjadi positif atau negatif?

Menurut Vera Novak dari dari University of Western Australia, untuk manusia berfikir, mereka akan perlu menghabiskan tenaga, simpanan data maklumat, proses pemikiran atau cara berfikir dan reaksi kepada sebarang perkara yang berbahaya. Penggunaan 4 hal ini akan membantu seseorang itu untuk mencapai atau memperoleh apa yang diidamkannya termasuk juga mempelajari mengenai kekeliruan, kesalahan atau kesilapan, penyesalan dan sebagainya. Penggunaan hal-hal tersebut pada dasarnya akan menghasilkan kepada pengakhiran kebarangkalian positif atau negatif, memuaskan atau mengecewakan (rujukan 1).

Oleh demikian apabila dicatatkan bahawa berfikir akan menghabiskan tenaga memberikan penjelasan kepada kita bagaimana pemakanan boleh memberi pengaruh kepada corak berfikir dan kerana sebab itulah bentuk pemakanan yang perlu diambil harus ada keseimbangan. Secara relatifnya, manusia yang sukar mendapatkan sumber makanan akan menghasilkan mereka yang berfikiran ambil mudah, yang cenderung menilai sesuatu hanya pada permukaan sahaja. Namun, kesukaran mendapatkan sumber makanan tidaklah semestinya memberi hasil demikian. Hati turut memainkan peranan dalam hal pemikiran. Oleh sebab itulah, pembersihan jiwa juga menjadi sebahagian dari keutamaan perbincangan oleh pemikir-pemikir besar Islam sepanjang zaman. Maka secara teorinya, pemakanan jasmani amat terkait rapat dengan pemakanan rohani juga, maka ia juga terkawal atau dapat dikawal melalui hatinya yang bersih.

Situasi akan lebih parah apabila penilaian mereka secara buta tanpa memiliki sebarang maklumat disebabkan kurangnya mengambil tahu atau tidak mengutamakan pengetahuan dalam kehidupan. Pengetahuan yang terbatas tidak memungkinkan mereka berfikir secara mendalam. Berfikir secara mendalam memerlukan proses pemikiran yang sentiasa mahu menguji sesuatu fakta itu sebelum diterima atau mengambil sesuatu keputusan atau pandangan selepas ia benar-benar disahkan.

Ketiga-tiga perkara diatas akan bernilai apabila seseorang manusia itu menghadapi sesuatu yang memberikannya cabaran atau bahaya. Oleh sebab itu, apabila tidak ada bahaya untuk mereka, buat apa mahu dibazirkan tenaga berfikir, maka tidaklah perlu kepada maklumat yang baru kerana maklumat lama pun tidak digunakan dan akhirnya proses pemikiran pun tidak akan berlaku. Tiada maklumat yang perlu dicabar atau disahkan.

Secara kesimpulannya, nilai positif manusia itu amat bergantung kepada cara mereka berfikir. Mereka cemerlang berfikir, bukan hanya untuk memahami fakta, mengesahkan fakta, bahkan menilai keperluan serta kegunaannya kepada persekitaran dan masa hadapan. Positif kepada kegagalan bukanlah pemikiran positif, tetapi positif dengan cara menerima kegagalan untuk dibaiki dan ditambah baik. Banyakkan lagi tenaga berfikir, cari maklumat baru sebagai penambahan, menggunakan penilaian dan pertimbangan yang benar sebagai proses pemikiran yang mana disebabkan oleh reaksi kepada kegagalan yang pertama tadi.

Pernah Saidatina Aisyah r.a bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w;
"Bagaimana seseorang mendapatkan keutamaan di dunia?"

Baginda menjawab;
"Dengan akalnya."

Aisyah bertanya lagi;
"Bagaimana seseorang itu mendapatkan keutamaan di akhirat?"

Baginda menjawab lagi;
"Dengan akalnya."

Lantas Aisyah bertanya;
"Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalinya?"

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda;
"Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya." (rujukan 2)



Semakan;
Rujukan 1 (Fitri Al Bisyri, https://www.kompasiana.com/marfityant/552e0aa36ea834d3278b456e/3-cara-manusia-berpikir).

Rujukan 2 (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Wednesday, September 3, 2014

PERIBADI BERMOTIVASI MESTI S.M.A.R.T

Lapan tahun bukanlah petanda usia telah matang. Tetapi pada usia lapan tahun kanak-kanak mula berkenalan dengan dunia persekolahan. Mula tujuh tahun masuk darjah satu, takut dan menangis, tetapi lapan tahun, lagaknya seperti semua tahu. Usia lapan tahun adalah usia belajar dan mempunyai kemampuan mencerap apa yang dilihat walaupun sudah sedikit lemah, tetapi ia waktu melihat contoh, meniru contoh dan waktu banyak ditegur dan buat salah. Tapi apa boleh buat, 'budak-budak'. Itulah ungkapan yang saya boleh bayangkan pada pengalaman yang saya ada dalam bidang latihan.

8 tahun, adalah umur saya untuk belajar lebih dalam melalui bidang ini, lapan tahun juga pengalaman-pengalaman yang saya akan ingat dan ambil contoh, buat apa yang boleh dibuat dan cuba sebanyak yang mungkin. Namun dalam lapan tahun ini saya begitu yakin dengan keupayaan dan pengalaman dan saya tidak lokek untuk kongsikan dengan pembaca sebab ia semua datang dari pengalaman lapan tahun ini. Siapa sangka, rupanya lapan tahun ini lama sehingga ada yang kata, "kau masih buat training lagi?", "boleh survive eh?". Kalau tidak boleh 'survive', mana mungkin saya masih boleh menulis ini lagi?

Saya perasan dalam hidup ini, siapa pun yang hendak berjaya, dalam bidang apa sekalipin, maka kita harus S.M.A.R.T. Apa yang dimaksudkan dengan S.M.A.R.T? 5 ciri utama insan berjaya atau insan S.M.A.R.T iaitu kita harus hidup berstrategi (strategy), minda yang fokus (mindset), sikap yang benar (attitude), bertanggungjawab (responsible) dan pengurusan masa berkesan (time management). 5 perkara ini sangat perlu ada pada peribadi seseorang yang sentiasa ingin melihat kejayaan lahir dalam hidup mereka.

Sukar untuk ditafsir dengan ayat dan kata-kata, tetapi mereka yang memilikinya dan tetap dengannya akan menghasilkan kejayaan, tetapi ia amat bergantung kepada kesungguhan dan keteguhan dalam merealisasikan kelima-lima perkara dalam kehidupan. Ada dikalangan kita yang tidak memahami apa keperluan strategi dalam kehidupan. Tidak kurang juga yang berstrategi tetapi tidak fokus. Apatah lagi apabila sikap yang ada itu tidak benar. Sikap adalah jantung kejayaan itu. Namun bahagian kejayaan yang kita cari adalah kejayaan hidup di dunia dan selepasnya. Oleh itu, pembentukan kejayaan itu tidak terhenti setakat strategi, fokus minda dan sikap, tetapi juga hubungan dan penghargaan hidup yang menjadikan itu satu tanggungjawab yang tidak terpisah bahkan terhadap masa kerana masa adalah kehidupan. Jadilah insan yang S.M.A.R.T agar kejayaan yang dibina dapat dirasai, diri kita dan semua yang bersama kita, semasa di dunia lebih-lebih lagi dunia yang selepasnya.

Saturday, May 9, 2009

KITA DAN SETIAP HARI (MEMBINA PERIBADI S.M.A.R.T DALAN KEHIDUPAN


9 Mei 2009. Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih diberikan nafas untuk saya bangun seawal 5.30 pagi. Setiap hari saya berpesan kepada adik-adik dalam ceramah motivasi, bila bangun pagi buat apa yag pertama? Buka mata dahulu, maka mereka pun ketawa kerana terkena dengan seloroh saya.

Pagi ini saya bangun dengan seribu erti. Saya bangun, lalu tersenyum, walaupun kaki terasa kebas-kebas mungkin kerana kesejukan malam tadi. Alhamdulillah sekali lagi, saya dapat menunaikan solat Subuh dengan baik dan bertenaga pagi ini. Hari ini saya akan ke Shah Alam atas 2 misi penting. Pertama mengiringi isteri untuk berjuang dengan penanya di dalam dewan peperiksaan UiTM dan kedua, menguruskan Karnival Nasyid Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor 2009 di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Wah, inilah perjalanan saya hari ini. Setiap hari saya akan disibukkan dengan hal dunia saya sehinggakan, hal agama saya lupakan dan saya permudahkan kerana ingin menyelamatkan hal dunia yag sebenarnya hanya singgahan dan tidak seberapa. Saya teringat pesanan, bekerjalah seoalah-oalah kita akan hidup selamanya, dan beribadahlah seolah-olah kita akan mati esoknya. Bekerja bersungguh-sungguh betul, tetapi ibadah? Astaghfirullah, itulah yang saya perlu pertingkatkan. Ya Allah perkukuhkan iman ku Ya Allah.

Apalah saya ini sebagai manusia. Macam-macam kita boleh fikirkan, macam-macam boleh dikata kepada manusia lain, seolah-olah, sayalah yang menentukan tahap iman dia. Jatuhkan air muka dan kredibiliti orang. Persoalkan apa yang dibuatnya, tetapi bab ingin lakukannya untuk diri sendiri, alahai, sayalah manusia yang paling liat sekali untuk melakukannya.

Saya tergerak untuk menulis pagi ini atas apa yang telah berlaku semalam dan saya memuhasabahkan diri sendiri. Semalam, saya datang ke sekretariat ABIM Selangor untuk membantu apa-apa kerja yang dapat dibantu untuk menguruskan karnival nasyid hari ini. Seronok, bercampur gusar dalam hati. Mengapa kerja-kerja ibadah, kerja berjemaah serta luangan masa begini tidak dapat diberikan rakan-rakan yang lain? Apa yang difikirkan oleh semua orang lain? Adakah saya tidak tergolong sama dengan mereka ini? Saya semakin gusar. Hari-hari mendatang, saya sentiasa memikirkan pelbagai masalah, penat lelah dan kerja yang tidak pernah sudah. Adakah saya telah terpalit dengan kesibukan dunia yang fana ini atau saya berada pada jalan-Nya?

Ya Allah, tunjukkanlah saya kepada jalan yang benar. Setiap hari saya diperingatkan oleh rakan ku Mr. JH. Macam-macam disebutnya, sehinggakan cair otak saya ini berfikir dan cuba menyelami apa yang disebutkan. Dari segi usaha untuk diri, itu serahlah pada orang yang bercakap, tetapi untuk diri saya sendiri, ia amat menggusarkan lagi. Saya tidak berbuat banyak perkara, solat berjemaah tidak setiap waktu dan hari, bermasyarakat tidak setiap hari, menyebutkan yang hak tidak setiap hari, bersabar selalu (khususnya dengan sahabat saya yang 2 orang itu lah) itu pun tidak setiap hari. Tapi lidah saya ini kelu dan tidak upaya untuk menegur, badan saya ini tidak berdaya untuk berbuat, akal saya ini tidak berupaya untuk berfikir hanya kerana saya merasakan diri ini rendah, kurang dan tidak mampu. Hentikan semua ini.

Semalam perbincangan dan aktiviti bersama disekretariat banyak memberikan saya inspirasi. Yang muda, upaya kreatifnya lebih, inisiatifnya lebih, semangatnya lebih dan segalanya lebih berbanding yang sedikit berumur. Tetapi, apabila yang muda mula merasakan kepenatan, 'kerja banyaklah', pelbagai alasan, 'tak berapa nak anulah' maka adakah kita boleh mengharapkan yang sedikit tua? Tentulah keadaannya akan makin parah. Sebab itu, dikalangan orang yang beribadah, Allah lebih sukakan orang muda yang beribadah.

Setiap hari saya ungkapkan untuk diri, jangan mudah dengar apa orang kata dan fikirkan yang terbaik untuk semua yang berada dengan saya bukan hanya kepentingan tertentu sahaja. Setiap hari juga saya akan memulakan hari dengan berfikir yang pelbagai. Saya mengharapkan rakan-rakan yang sentiasa memberikan inspirasi kepada saya untuk terus berada di dalam bidang ini. Saya dah terfikir kalau-kalau saya bolehlah bekerja di tempat lain. Sebab apa? Itu mungkin rahsia, dan mungkin rakan-rakan saya ada jawapannya.

Maka setiap hari, inilah yang bermain dibenak saya. Esok saya akan ke pejabat lagi, seorang diri. Saya perlu buat pelbagai tanggungjawab lagi. Ya Allah inikah ujiannya atau inikah balasannya kepada dosa-dosa saya yang lalu? Kau ampunkanlah dosa ku Ya Allah...

Setiap hari saya akan mencari jawapan bagi soalan-soalan ini. Kekadang saya bingung, tetapi inilah hakikat kehidupan, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kitalah yang perlu mencari dan menyelongkari erti tersiratnya. Susahkan? Semalam saya terbaca dalam satu laman blog motivasi Indonesia tentang pernyataan Einstein, "saya tidak lah pandai". Kepandaian Einstein ini rupanya adalah hasil desakan persekitarannya. Menyebabkan dia perlu untuk berbuat sesuatu. Betullah yang macam saya fikir, manusia ini bila dalam keadaan tertekan, ketika itulah dia akan mula menggunakan minda kreatifnya untuk lakukan apa sahaja.

Apa yang saya harapkan, dengan banyaknya soalan-soalan, tugasan-tugasan, akan menjadikan saya ini lebih bijak dan terbuka hati untuk menghadapi hari-hari dengan penuh berstrategi dan bercita-cita tinggi. Berstrategi? Apa strategi saya hari ini? Hmm... Strategi... Kita perlukan strategi untuk kita hidup seharian walaupun hanya untuk beberapa saat sekalipun. Kerana strategi menjadikan kehidupan kita lebih bermakna. Strategi menjadikan hidup kita punya tujuan. Strategi menjadikan hidup kita punya pencapaian, strategi menjadikan kehidupan kita terkawal dan strategi membolehkan kita hidup dengan perancangan.

Jika kita tidak merancang hidup kita, maka pasti Allah akan merancang hidup kita. Jika kita gagal merancang maka kita sebenarnya merancang untuk gagal. Ini bermakna, kegagalanku akan disebabkan oleh diri saya sendiri kerana Allah merancang juga untuk kita agar kita diberikan peringatan. Apabila gagal, itulah peringatan supaya kita tidak gagal kali yang kedua. Apabila perancangan terletak pada kuasa Allah, maka keredhaan kita sebagai manusia berada pada tahap yang paling maksimum. Sama ada kita meneruskan apa yang kita kerjakan atau kita akan berputus asa. Merancanglah dengan bijak. Saya tahu, apa yang saya perlukan adalah keyakinan diri kepada keupayaan diri sendiri. Saya tahu yang benar, maka ungkapkanlah, saya tahu yang patut, maka lsayakanlah. Saya hanya perlu perbaiki diriku untuk melihat persekitaran ku berubah. Daya positif dalam diri ku ini akan mampu memberikan setidak-tidaknya kesan positif kepada orang lain dipersekitaran saya. Azam untuk diri saya.

Monday, April 27, 2009

BERSAMA FASILITATOR PEPIAS DAN ABIM SELANGOR DI SAMT TENGKU AMPUAN JAMAAH


Alhamdulillah, perancangan dan perjalanan pada hari yang dijanjikan berakhir dengan kenangan dan pengalaman yang indah dan tidak dapat dilupakan. Pada 24 April 2009, saya bersama jurulatih PEPIAS iaitu Azali dan Dhila membimbing seramai 14 orang fasilitator PEPIAS yang didatangkan dari pelbagai kampus. Ada yang dari KUIS, Matirk UIAM PJ, dan juga MMC.

Perjalanan kami nampak mudah tetapi penuh liku dan cabarannya juga. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dijadikan iktibar pda program-program yang mendatang. Sejenak saya berfikir, apakah caranya lagi untuk saya terus membantu dan membimbing adik-adik ini. Menjadi da'i dan terus bersemarak semangat mereka untuk berdakwah. Sudah tentu pelbagai kekusutan berada dalam benak fikir saya yang tidak mampu terluahkan dengan perkataan.




Saya mengharapkan segala apa yang ada pada saya dapat dicurahkan dan dikongsikan bersama mereka. Pernah saya bincangkan bersama sahabat saya Jo, kita ini sebagai gerakan Islam sering menuding jari dan mencari salah rakan seperjuangan yang mempunyai cita-cita yang sama. Sedangkan musuh sedang mengekori dan memerhatikan kita. Mereka semakin kuat dan bertenaga, tetapi umat Islam, gerakan Islam makin lemah dan tidak bermaya!

"Kita selalu marah budak-budak ni (adik-adik), seolah-olah mereka tiada usaha untuk memperbaiki, kita tidak beranggapan yang mereka adalah saudara dan adik-adik kita jadi mereka sering dijadikan mangsa", teringat saya antara dialog hasil perbincangan kami itu. Saya berfikir dan cuba mengenangkan ia kembali. Cuba mencari cara dan pendekatan yang berkesan untuk memberikan mereka pemahaman dan kesedaran tentang bencana ini.

"Kita kena 'show-off'", kata Jo. Saya bersetuju dengan pandangan Jo, kenapa kita perlu takut untuk bersama mereka tanpa diajak sedangkan kita sama-sama fikir dan risaukan tentang wadah perjuangan ABIM dan PEPIAS. Mentaliti saya perlu berubah. Niat saya perlu dipasangkan semula, strategi perlu berjalan dengan lancar dan beretika.





Setelah berfikir panjang, saya perlu merencana semula usaha dakwah saya. Kelalaian sayalah yang membawa segala punca ini semakin besar. Kenakalan mulutlah akan membawa bencana berat kepada gerakan, telinga dan mata perlu mendengar tetapi hati tidak boleh menghukum. Maka saya bertekad untuk melancarkan apa yang saya sendiri percaya kepadanya iaitu;
  1. Strategy. Permulaan strategi bukanlah perancangan sebenarnya. tetapi asas niat mengapa ia perlu dilaksanakan? Apa niat saya? Apa kehendak dan matlamat saya? Bermula dengan niat akan memancarkan matlamat dan halatuju yang jelas dan jitu. Maka perancangan perlu dibuat dan ditekuni.
  2. Mindsets. Jangan tersasar, tumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang telah dihajati dan halatuju yang diarahkan. Jangan terpesong hanya kerana kelalaian mata, telinga mendengar dan akhirnya minda tertumpu kepada perkara yang bukan utama.
  3. Attitude. Ubahlah, kembalilah kepada Allah yang menentukan hati manusia. Kita? Hanya berusaha menurut apa yang Allah perintahkan. 'Submit our will undr Allh's will'. InsyaAllah, Allah tidak pernah tidur dan pasti mendengar keluhan ummatnya.

TUNE-lah diri kita.

Pengarah Tamrin Jundiy Sekolah 2009
Sek. Agama Men. Tinggi Tengku Ampuan Jamaah
24 sehingga 25 April 2009