Showing posts with label Teori Kepimpinan C.H.I.E.F.. Show all posts
Showing posts with label Teori Kepimpinan C.H.I.E.F.. Show all posts

Friday, August 28, 2020

MENGATASI DINDING PERHUBUNGAN DENGAN PERKONGSIAN MATLAMAT

Setiap perhubungan manusia pasti perlu dimulai dengan proses komunikasi dan interaksi yang berkesan dan mampu untuk menghilangkan kegugupan mahu pun rasa malu yang amat sangat. Mengatasi dinding iaitu penghalang diantara kita dengan orang kedua yang baru kita kenali adalah penting dalam usaha untuk mengikat perhubungan, membina kepercayaan serta mengenali diantara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Proses ini mestilah dilakukan dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan aktif, terbuka serta kerap. Kadangkala, ada dikalangan kita mampu dan mudah untuk memulakan komunikasi dan interaksi. Dan terdapat juga dikalangan kita yang mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi yang tinggi, jadi adalah mudah untuk mereka ini memulakan perhubungan dan mengatasi dinding yang menghalang mereka.

Perbincangan kita adalah dikhususkan kepada mereka yang biasa, tidak mempunyai kekuatan sebagaimana mereka yang luar biasa. Adalah normal, jika seorang manusia berasa malu dalam memulakan komunikasi. Ini adalah kerana, terdapat pelbagai andaian dalam fikiran kita sebelum memulakan sesuatu perhubungan komunikasi. Antaranya ialah;
  1. Niat untuk memulakan perhubungan atau pergaulan yang salah.
  2. Mengandaikan pemikiran orang lain.
  3. Beranggapan apa yang hendak dilakukan itu adalah salah.
  4. Berasa rendah diri.
  5. Tidak yakin dengan kemampuan dan matlamat berkomunikasi.
  6. Tidak merasakan kepentingan dalam komunikasi.

Semua perkara diatas adalah sesuatu yang perlu diatasi oleh sesiapa sahaja khususnya ahli Pembimbing Rakan Sebaya. Oleh yang demikian, proses perkenalan atau suaikenal pada peringkat awal perhubungan adalah sangat penting dan sebahagiannya mengatakan wajib untuk mereka. Proses ini juga merupakan proses yang dituntut oleh agama Islam bahawasanya Allah menciptakan manusia ini berpuak-puak adalah untuk mereka saling kenal-mengenali. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku li ta‘ârafû (supaya kamu saling kenal). …. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Proses perhubungan atau perkenalan ini terdapat 4 peringkat atau fasa yang berakhir dengan hubungan rapat dan berkesan.

Fasa Satu: Mengenali (Ta'aruf)
Ia proses untuk mengenali orang lain melalui nama, tempat belajar, tempat tinggal atau sebagainya. Ia lebih bermatlamat untuk memulakan komunikasi dan proses ini hanya untuk dijadikan subjek perbincangan pada peringkat awal perkenalan.

Fasa Dua: Memahami (Tafahum)
Ia proses peringkat kedua. Apabila komunikasi pertama berjaya, kebiasaannya ia akan menimbulkan persepsi di dalam pemikiran kita tentang orang yang kita bersama dan akhirnya persepsi ini membawa kepada proses memahami orang lain. Persepsi ini tidak harus diluahkan tetapi haruslah mencari kebenaran disebaliknya. Dalam proses ini, kita akan mula mengetahui tentang sikap dan perangainya, suka dan tidak suka mereka dan sebagainya.

Fasa Tiga: Menolong (Ta'awun)
Ia semakin baik! Perhubungan yang bermula dengan komunikasi, kita memahami, dan hasilnya kita akan terdorong untuk membantu sekiranya proses memahami tadi benar-benar dalam dan berjaya membina kepercayaan dan keterbukaan. Maka, sedialah kita untuk membantu jika ada masalah dan kita mampu untuk membantu.

Fasa Empar: Menjaga Kebajikan (Takaful)
Inilah peringkat terakhir dan tertinggi. Perhubungan yang terjalin atas persahabatan kerana Allah. Meletakkan kesusahan orang lain pada diri dan merasainya. Rakan ketawa dan tangis bersama. Sebagaimana sebuah kisah 3 orang sahabat yang keluar berperang untuk menegakkan kalimah Allah. Disaat peperangan berada dikemuncak, ketiga-tiga sahabat ini telah mengalami kecederaan yang parah dan dihantarkan mereka dikhemah rawatan untuk diberikan perhatian. Ketika di dalam khemah, terkejut ketiga-tiga mereka kerana bertemu di dalam sebuah khemah yang sama. Lalu datang perawat membawa ari untuk sahabat yang pertama. "Kau berikanlah air ini kepada sahabatku disebelah, aku amat yakin, dia lebih memerlukannya lebih dari aku" kata sahabat yang pertama tadi.

Berlalulan perawat tadi kepada orang yang kedua dan sahabat yang kedua pula berkata, "Aku belum amat memerlukan air ini berbanding sahabat ku di sana (sambil menunjukkan kepada orang yang ketiga)" kata sahabat yang kedua. Perawat pun bersegera bergerak kepada sahabat yang ketiga tadi. Setibanya si perawat, alangkah terkejutnya si perawat apabila mendapati sahabat yang ketiga telah pun meninggal dunia. Jadi kembalilah si perawat kepada 2 sahabat yang dipermulaannya tadi dan sungguh terharulah si perawat kerana kedua-duanya juga meninggal dunia kerana mementingkan rakan mereka yang lain. Inilah apa yang dikatakan sebagai takaful dalam perhubungan kita. Moga-moga kita berusaha sehingga sampai ke tahap ini.

Oleh yang demikian, proses ini haruslah berterusan agar ia mencapai pada tahap yang baik. Bahkan, di dalam setiap perhubungan, mestilah kita mempunyai matlamat yang jelas yang dapat kita fahami serta rakan kita juga memahaminya. Matlamat ini juga antara faktor yang menjadikan kita lebih dipercayai, dilihat jujur serta mampu mengawal diri dari apa-apa agenda yang tersembunyi. Antara agenda atau matlamat yang harus dikongsikan dalam perhubungan sesama kita adalah;
  1. Tetapkan dalam diri bahawa, tuntutan untuk mencari ilmu itu adalah keutamaan. Iaitu kemahuan untuk belajar, mengajar dan mencintai ilmu. Ini membantu kita membicarakan perkara yang bermanfaat berbanding perkataan yang sia-sia.
  2. Menimba pengalaman dari orang lain kepada orang yang pandai akan belajar dari pengalaman sendiri, tetapi orang yang bijaksana akan belajar dari pengalaman orang lain. Kerana itulah Allah mensyariatkan kita belajar dari penciptaan makhluk-Nya.
  3. Memenuhi tuntutan tanggungjawab di dalam masyarakat; iaitu saling berkenalan dan berukhuwah. Islam amat melarang kita bermusuhan dan bertelagah khususnya di antara ummat Islam itu sendiri.
  4. Menjadi sebaik-baik manusia seperti mana hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

"Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain." Perbaiki dan TUNE diri kita semua bersama.

Friday, August 14, 2020

PENGURUS VS PEMIMPIN

Penglibatan diri di dalam organisasi merupakan suatu pendedahan kepada beberapa bentuk pembinaan diri khususnya dari sudut komunikasi dan sosial. Keperluan latihan berterusan begini membolehkan seseorang yang terlibat itu meningkatkan kematangan di dalam soal membuat keputusan, menjadi contoh serta membentuk kepercayaan dan keyakinan pasukan.

Terdapat pelbagai pandangan di dalam membina keberkesanan di dalam kerja berpasukan atau organisasi. Antara elemen yang penting di dalam organisasi adalah ketua mereka. Ketua ini boleh dikenali di dalam dua bentuk iaitu ketua sebagai pengurus atau ketua sebagai pemimpin. Semua pemimpin boleh menjadi pengurus tetapi tidak semua pengurus boleh menjadi pemimpin. Mengapa begitu?

Ketua yang terbaik akan mampu memberikan kesan yang terbaik juga kepada orang-orang yang dipimpinnya. Maka kemahiran berorganisasi ini memerlukan keupayaan mengurus, merencana, mempengaruhi dan memberikan bimbingan. Keupayaan pastinya tidak dipunyai oleh seorang pengurus tetapi terdapat kepada seorang pemimpin. Terdapat 5 perbezaan yang dapat kita bincangkan antara siapa itu pengurus dan siapa itu pemimpin.

PERTAMA; KOMUNIKASI
Seorang ketua akan menggunakan bentuk komunikasi sehala dan paling minima. Mereka lebih mudah memberikan arahan berbanding perbincangan yang merupakan pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin. Kurangnya komunikasi juga menjadikan perlaksanaan sesuatu pekerjaan itu tiada kesepakatan serta tidak bersama-sama. Komunikasi yang berkesan oleh seorang pemimpin pula akan mampu menjana rasa bersama mereka yang dipimpin dan memudahkan perhubungan di dalam sesuatu organisasi.

KEDUA; KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN
Seorang pemimpin akan sentiasa mementingkan keikhlasan dan kejujuran di dalam melaksanakan tugas bersama. Pengurus pula lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu atas dasar tugas semata-mata dan tidak mementingkan soal perasaan serta keutamaan kejujuran di dalam tindakan mereka. Kadangkala, seorang pengurus lebih mementingkan kejayaan peribadi berbanding memikirkan kebajikan orang dibawahnya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melebihkan orang yang dipimpinnya berbanding dirinya sendiri.

KETIGA; INISIATIF
Pengurus seringkali mengharapkan orang bawahan mereka untuk melakukan kerja lebih daripada kemampuan mereka tetapi mereka sendiri sering ingin melepaskan diri. Ada juga dikalangan mereka yang hanya menunggu arahan dari orang atasan tanpa bersikap proaktif dalam mendepani permasalahan yang ada. Prinsip bagi seorang pemimpin adalah melakukan apa yang termampu dalam diri mereka. Bukanlah semata-mata melakukan apa yang disuruh atau memenuhi semua permintaan tanpa memikirkan keupayaan pasukannya. Selalu bersikap proaktif menangani sebarang masalah dan halangan dalam tugasan yang diberikan.

KEEMPAT; BERKESAN
Bagi seorang pemimpin, mereka melakukan tugasan mereka dalam keadaan yang sentiasa bersungguh-sungguh. Bukan hanya tatkala ada orang yang memerhatikan mereka. Pemimpin sentiasa menjadikan kerja atau tugasan itu bersama dan amanah yang mesti dilaksanakan dalam cara yang paling baik. Berbeza pula keadaannya dengan seorang pengurus, keutamaannya adalah memastikan orang atasan atau sesiapa sahaja yang melihat mereka bekerja berpuashati dan menerima pujian. Semangat mereka adalah terhadap pujian dan balasan yang diterima bukan pada kesungguhan melaksanakan amanah.

KELIMA; MEMBIMBING
Perbezaan yang paling ketara antara keduanya adalah dari sudut membimbing orang bawahannya. Bagi seorang pengurus, hanya perintah atau suruhan sahaja yang ada di dalam kamus berorganisasinya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melihat orang dibawahnya harus dipimpin dan diberikan peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri. Keutamaan dalam membimbing ini akan menghasilkan pekerja yang sentiasa positif terhadap tugas dan peranan mereka. Jika dibandingkan dengan mereka yang hanya disuruh dan tidak dibimbing bahkan sentiasa dimarahi.

Perbincangan ini bukan bermakna ia adalah semestinya sebagaimana yang telah dicatatkan. Ini adalah suatu pandangan dimana, pemimpin seharusnya mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dibincangkan. Tidak kiralah dimana sekalipun kita diamanahkan sebagai ketua, baik di dalam syarikat, jabatan kerajaan mahupun organisasi bukan kerajaan. Menjadi pemimpin bermakna menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain, maka, setinggi-tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.

Marilah bersama kita menilai diri kita adakah kita ini hanyalah seorang pengurus atau pemimpin atau berada dalam konteks antara keduanya. Jika anda adalah orang yang berada diantara keduanya, bermakna, kita masih berada dalam posisi mementingkan diri sendiri dalam setiap tindak tanduk kita. Berwaspadalah kerana masyarakat kita memerlukan lebih ramai pemimpin berbanding pengurus. Bagaimana anda di rumah pula.

Friday, July 17, 2020

KEPIMPINAN MERENTAS DENAI

Kepimpinan bukan kesenangan apatah lagi kemewahan. Namun, dalam suasana politik tanah air saat ini, kepimpinan adalah amat sinonim dengan kuasa dan pemilikan. Kuasa itu lambang kehidupan serba ada dalam kemewahan dan kesenangan. Mana tidaknya, apabila kepimpinan itu terkait dengan pendapat yang tinggi serta peluang untuk memiliki pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah terfikir dalam akal kita sebagai manusia yang hidup biasa-biasa. Gambaran ini jelas merosakkan imej kepimpinan. Jika dinukilkan sejarah mereka yang terdahulu walau dimanapun mereka berada, kepimpinan pasti akan terkait dengan kesukaran, kebimbangan, ancaman serta keperitan hidup. Rupa-rupanya hari ini, segala tekanan itu dijadikan alasan untuk mereka berpayung kononnya kehidupan mereka dan perjuangan mereka adalah untuk rakyat dan yang seangkatan dengannya. Usahlah kita terpedaya dengan idea tin kosong ini. Bunyinya nyaring tetapi tiada apa pun yang boleh diharapkan darinya hanya semata-mata angin sahaja. Sebab itu, kepimpinan sebenarnya lebih mudah untuk kita fahami dengan perkataan payah dan penuh dengan onak dan dugaan. Kepimpinan begini hanya punya satu landasan, berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua mereka yang dipimpinnya.

Landasan ini pasti akan menjanjikan kepimpinan itu melalui jalan yang sukar dan tidak pernah mudah. Mereka bukan hanya merasai kepahitan, bahkan, tawar, kelat bahkan masam juga masin adalah rasa yang sentiasa perlu ditelan hanya untuk berpegang kepada prinsip yang asas itu tadi. Mereka akan sentiasa berada di atas persimpangan antara kepentingan diri dan kepentingan orang yang dipimpinnya. Kepentingan kelompok sendiri atau masyarakat yang ramainya. Keutamaan berkata benar walaupun pahit itu pasti akan dilaluinya. Pepatah ditelan mati emak diluah mati bapa itu akan terasa hakikatnya namun, kerana telah memilih untuk memimpin, ketegasan dan keteguhan prinsip yang bakal menjadi taruhan. Sebab itu pemimpin perlu hilangkan ketakutan. Bukan takut kepada seteru jawatan atau bimbang ada orang baru yang lebih berbakat seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura Dilanggar Todak, sebaliknya takutlah kepada sifat yang tidak amanah serta meletakkan kepentingan peribadi lebih dari kepentingan masyarakat. Takutlah kepada hal yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan tuhan.

Oleh sebab itulah, hanya pemimpin yang bersedia jiwa dan raganya yang akan mampu membentuk kepimpinan yang memenuhi tuntutan pengorbanan serta sentiasa berada dihadapan memulakan langkah. Tiada keraguan pada diri mereka kerana yang dicari adalah solusi kepada kepemimpinan yang terbaik bukan soal siapa yang terbaik. Mereka sentiasa mencari jalan yang termudah untuk orang lain bukan jalan yang memudahkan mereka. Keputusan mereka sentiasa untuk kebaikan orang lain dan amat sedikit atau mungkin tidak adapun yang tinggal untuk dirinya. Persoalannya, wujudkan pemimpin seumpama ini pada hari ini? Cabaran kepada siapapun yang mempunyai kuasa kepimpinan adalah untuk mempertahankan maruah diri mereka terhadap amanah yang mereka pegang. Lazimnya, kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa akan berlaku apabila tiada pihak yang boleh menjadi penimbang tara dalam banyak keputusannya. Sama ada mereka tidak wujud kerana telah termakan budi atau wujud tetapi diikat rapat serta disekat ruang kebebasan untuk bersuara.

Kepimpinan yang sebegini mungkin amat disenangi oleh masyarakat awam kerana petah dan baik budi bahasanya serta lambakan pelbagai kebaikan darinya, namun, dari satu sudut jangka masa panjang, kepimpinan sebegini akan melebarkan lagi sayap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk terbang lebih tinggi bebas tanpa sebarang sekatan. Puncanya hanya satu, kepimpinan yang tidak mahu berkorban sebaliknya mendesak orang lain berkorban atas nama apapun kebaikan sama ada kebebasan, hak majoriti, hak minoriti mahupun kepentingan tertentu yang boleh dijadikan propaganda perjuangan hanya untuk mempertahankan dirinya sahaja. Kita seharusnya menjauhkan diri dari membina tabiat kepimpinan yang songsang ini. Malulah kita jika pemimpin itu diberikan dengan gelaran khalifah, apatah lagi apabila disandarkan kepada Allah (Khalifatullah) tetapi melakukan kerosakan demi kerosakan hanya kerana tamak dan takut direndahkan. Inilah yang dilalui Iblis laknatullah apabila hadir pencabarnya Nabi Adam 'alaihissalam. Maka bermulalah siri hasut-menghasut bagi memastikan kegagalan untuk manusia pertama itu. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya.

Sebab itulah dapat kita simpulkan bahawa, kepimpinan ini adalah tugas merentas denai, membuka laluan untuk mereka yang dibelakang. Memenuhkan ketamakan kita hari ini hanya akan menarik seluruh anak bangsa kita berada dalam seksaan yang amat pedih. Tidak perlu kita nantikan siksaan neraka kerana telah dapat kita lihat dan nilai sendiri ketika berada di alam hayat ini lagi. Apatah lagi, sekiranya di bawa menghadap Allah 'Azza waJalla. Tugas merentas ini berhadapan dengan bahaya yang terlihat dan yang tidak terduga. Namun yang wajib ada bagi seorang pemimpin itu adalah sifat sabarnya mendengar teriakan orang di belakang yang menyuruh agar cepat. Pada masa yang sama, harus berhati-hati mendengar teriakan itu kerana adakalanya ia sebenarnya sedang meminta tolong. Ketika kita risau melihat jalan dihadapan, mungkin sahaja ada musuh yang datang menerkam kita atau mereka yang kita pimpin. Sekali lagi ditegaskan. Ia bukan kerja mudah. Kepimpinan yang merentas denai adalah kepimpinan yang sedia menghadapi sebarang risiko bagi memastikan orang yang dibelakangnya sampai ke destinasi yang dituju mereka.

Wednesday, June 17, 2020

PEMIMPIN HARUS MENYENTUH HATI YANG DIPIMPINNYA

Tidak dapat kita nafikan ada ramai di luar sana yang mengimpikan untuk menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati dalam pelbagai bidang baik pekerjaan, pendidikan mahupun kemasyarakatan. Ramai mereka yang menunjukkan pelbagai kebolehan dan keupayaan ditambah lagi dengan kemudahan media yang hari ini amat mudah untuk menampakkan setiap tindakan itu dengan harapan mereka akan diberikan perhatian serta dihormati kerananya. Video dibuat, rakaman aktiviti, catatan pengalaman dan sebagainya Peluang yang amat besar ini sentiasa menjadi tarikan dan sentiasa dimanfaatkan khususnya generasi milenial yang menilai kemasyhuran adalah sebahagian dari kejayaan kehidupan, apatah lagi hidup sebagai orang yang memimpin, benarkah begitu?

Ingin menjadi pemimpin itu adalah keinginan yang sangat dimuliakan sekiranya ia wujud kerana desakan untuk mengeluarkan pimpinan kita dari satu lembah yang gelap dan berbahaya. Namun, ia amat berbeza apabila ingin menjadi pemimpin hanya kerana bersaing untuk menunjukkan siapa yang lebih jaguh dalam membina pengaruh dan berjaya menawan ramai hati-hati yang sebenarnya kosong. Mengapa kosong? Mereka yang hatinya kosong amat mudah terpengaruh dengan kemewahan kebendaan yang amat sementara. Maka kepimpinan sebegini adalah kepimpinan yang sangat mudah untuk mereka lupakan. Pada mereka, berbudi dengan harta boleh dibalas dengan harta. Berjasa dengan kemewahan boleh dibayar dengan kemewahan. Kepimpinan sebegini adalah kepimpinan yang berpenyakit.

Oleh sebab itu, apabila kepimpinan ini dikuasai oleh pemimpin yang berpenyakit, maka daya kepimpinan mereka tidak akan melahirkan jiwa manusia yang subur dengan kebaikan dan keikhlasan sebaliknya setiap amal perbuatan dan kebaikan yang dilakukan adalah untuk mendapatkan perhatian dan dokongan serta cakap-cakap pujian yang meniti dari satu bibir ke bibir yang lain. Apabila ada yang mengata atau menyatakan pendirian yang berbeza dengan mereka maka dituduhnya mereka tiada semangat berpasukan dan apabila mereka menyanggah tindakan-tindakan salah oleh pemimpin mereka dikatakan pula mereka melawan keputusan organisasi. Pemimpin harus diingatkan bahawa kepimpinan ini adalah amanah bukan kemasyhuran. Ia adalah beban tanggungan bukan kelebihan. Kesempatan digunakan untuk memastikan kita menyampaikan dan berbuat pada kadar yang terbaik bukan mengambil kesempatan atas peluang itu.

Kepimpinan yang benar-benar berkesan adalah kepimpinan yang berjaya mengusik hati mereka yang dipimpinnya. Mereka mengusik hati-hati pengikutnya dengan kesempurnaan akhlak serta betapa lurus hati dan lidahnya. Kepimpinan yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk melakukan perubahan dari kerosakan atau kekurangan yang nyata terlihat oleh mata akal mereka.Kepimpinan bukan kerja membina pengaruh dengan tawaran kesenangan, tetapi menawar diri untuk berkorban bagi melihat kesenangan orang lain yang menjadi perhatian mereka. Pemimpin begini bukan sekadar akan disegani, dihormati bahkan akan diingati selagi mana jasa kebaikan yang ditinggalkan mereka dirasai oleh generasi seterusnya walaupun sedikit. Bangunan kita boleh namakan, patung boleh didirikan untuk kita paksakan mereka ingat, tetapi yang benar-benar menjadi siulan dan cerita dibibir insan adalah jasa yang mereka kenangkan hasil dari pengorbanan yang dilakukan. Benarlah seperti kata Maya Angelou, "I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel."

Thursday, June 4, 2020

PEMIMPIN IKHLAS DAN PRIHATIN

Pemimpin yang ikhlas dan prihatin adalah pemimpin yang memiliki kemampuan mempengaruhi dengan kelebihan peribadi mereka. Menurut catatan buku Gaya Kepimpinan Islam yang Berkesan dan Berpengaruh karangan Jamal Hasan Sa'd Madhi, terdapat tiga ciri melalui kemampuan ini iaitu berinisiatif (al-mubada'ah), berjiwa pemimpin (al-qiyadah) dan dipercayai (as-siqah). Apabila segala gerak kerja pemimpin itu tidak untuk memenuhi matlamat peribadinya, sebaliknya mereka sering melebarkan kasih sayang melalui nilai keprihatinannya yang tinggi dan sentiasa menyatukan kepentingan antara individu dengan  ahli kumpulan itulah yang dimaksudkan dengan yang dipercayai. Pernah dicatatkan oleh John Fuhrman di dalam bukunya yang berbunyi, "Caring about--without trying to figure out how you'll be rewarded--is the fastest way to achieve wealth and happiness." Pemimpin yang ikhlas dan prihatin tidak akan pernah memikirkan tentang apa balasan yang akan diperolehi tetapi melakukannya sebagaimana yang mereka rasakan perlu melakukannya untuk kebaikan semua.

Pemimpin yang ikhlas dan prihati akan melayani setiap yang dipimpinnya dengan penuh keadilan. Keadilan itu adalah petanda keikhlasan tanpa mengira siapa latar belakang mereka melainkan penilaian itu adalah semata-mata berdasarkan keberkesanan mereka melakukan sesuatu tugasan atau pekerjaan. Mereka mat percaya bahawa, kejayaan orang yang mereka pimpin itu adalah kejayaan mereka dan kegagalan yang dipimpin itu juga adalah kegagalan mereka. Mereka penuhkan di dalam benak fikiran dan dada mereka hanya untuk memastikan orang yang mereka pimpin sentiasa berada di dalan keadaan yang terbaik dan gembira. Kegembiraan sebenar mereka adalah kegembiraan yang dipimpinnya dan kegembiraan itulah yang akan mendatangkan kepuasan kepada diri mereka.

Oleh sebab itulah, pembinaan pasukan yang dipimpin dengan berkesan juga amat bergantung kepada bagaimana pemimpin itu menunjukkan keprihatinannya terhadap ahli pasukannya. Pemimpin itu akan cuba untuk melayani setiap keinginan dan keperluan ahli pasukannya selagi mana ia dinilai dapat membantu moral pasukan. Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitab 'Manaqib Amirul Mukminin' menukilkan sebuah kisah mengenai Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan sewaktu pemerintahan Umar bin Al-Khattab r.a.. Suatu ketika beliau ditawarkan makanan oleh rakyatnya dan ia merupakan suatu kelaziman ketika itu. Beliau dikhabarkan, nama makanan itu adalah 'habish' yang dibuat daripada minyak sapi dan kurma. Setelah menjamahnya, gabenor tersenyum sambil mengucapkan Maha Suci Allah (subhanAllah) kerana manis dan enaknya makanan itu. Lalu beliau meminta agar makanan itu disediakan dengan lebih enak lagi untuk dihantar kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Setibanya dua orang utusan beliau ke Madinah, mereka langsung bertemu khalifah dan menghidangkan makanan itu kepadanya sambil menjelaskan apakah makanan itu. Lalu Umar bin Al-Khattab pun bertanya sebelum menjamahnya, "Adakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?"

Terkedu kedua-dua perutusan itu dan menjawab, "Tidak. Tidak semua boleh menikmatinya." Tampak berang sekali Khalifah Umar bin Al-Khattab dan segera memerintahkan kepada perutusan tersebut untuk pulang ke Azrbaijan dan diutuskan surat kepada gabenornya,

'.....makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.'

Begitulah contoh bagaimana keprihatinan seorang pemimpin yang bakal dikasihi oleh orang yang dipimpinnya. Nilai ikhlas dan prihatin ini merupakan seni dalam membina pengaruh kepimpinan. Pengaruh ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengikat hati mereka yang dipimpin untuk terus melakukan kebaikan serta melalui dua nilai ini, seseorang pemimpin itu juga pasti telah bersedia dirinya untuk dipertikai, dinilai dan diberikan teguran. Apabila seseorang itu ingin berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik, maka seharusnya mereka mempunyai dua nilai; ikhlas dan prihatin; yang menggambarkan seseorang pemimpin itu memimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta berintegriti dalam tugasannya. Haruslah diingatkan kepada mereka yang diangkat menjadi pemimpin akan potongan hadis Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam ini yang bermaksud, “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang terdahulu dan yang kemudian pada hari kiamat, tiap-tiap orang yang khianat akan diangkat satu panji-panji yang boleh dikenali ramai. Dikatakan kepadanya, Inilah pengkhianatan pulan bin pulan...”

Wednesday, May 20, 2020

MEMIMPIN ADALAH MEMBIMBING DAN MEMBANGUN



Fokus kepimpinan adalah untuk menjadikan sesuatu yang buruk itu baik dan sesuatu yang baik itu menjadi lebih baik. Fokus ini menjadikan seorang pemimpin itu memimpin bermula dari melakukan penilaian terhadap keberkesanan pasukannya dan mengiktiraf perkara yang jelas memberikan kesan baik kepada kepimpinannya. Perubahan hanya perlu dilakukan sekiranya terdapat kelemahan, kerosakan sistem atau matlamat serta sikap rakan sepasukan yang memerlukan perhatian dan pengubahsuaian.

Pemimpin yang baik akan mengambil masa secukupnya untuk memahami ahli pasukannya serta mengenalpasti faktor-faktor pendorong yang terbaik untuk menggerakkan mereka. Pemimpin yang baik akan sentiasa mengimpikan ahli pasukannya yang sentiasa bermotivasi dalam melaksana tugas mereka. Fokus kepimpinan sebegini akan melahirkan pemimpin yang menyediakan ruang seluasnya buat rakan-rakan mereka membuat perubahan dan tidak bersikap menghukum yang mana ia akan mematikan semangat saling membantu dalam sesebuah organisasi.

Maka, sebagai pemimpin, berilah perhatian kepada perubahan yang positif dan tumpukan kepada proses penambahbaikan. Oleh yang demikian, sentiasalah mewujudkan komunikasi yang berkesan, bukan hanya dari sudut pemilihan perkataan, bahkan dari sudut pemilihan situasi arahan yang diberikan. Jujurlah dengan diri dan rakan yang dipimpin. Usahlah seorang pemimpin itu menampakkan sesuatu yang melebihkan atau mengutamakan diri sendiri. Kejujuran adalah asas dalam komunikasi yang berkesan. Beranilah dalam menghasilkan inisiatif baru untuk kecemerlangan pasukan yang berterusan khususnya ketika pasukan dilanda krisis, maka tindakan segera dan berkesan amat ditagih untuk memastikan keadaan terkawal dan mampu memimpin pasukan untuk menyelesaikan krisis yang melanda. Jadilah pemimpin yang membimbing bukan hanya mengarah. Kata Jim Rohn, "A good objective of leadership is to help those who are doing poorly to do well and to help those who are doing well to do even better."

Sunday, July 11, 2010

KOMUNIKASI BERKESAN; 'TA'ARUF'

Menjadi ahli pembimbing rakan sebaya, memerlukan pelbagai kemahiran dan keupayaan untuk melakukan tugasan yang pelbagai sesuai dengan keperluan pada sesuatu masa. Kemahiran-kemahiran itu wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan umur, pengalaman serta latihan yang diterima.

Bagaimana untuk kita menjadi pembimbing rakan sebaya yang berkesan? Ia amat mudah dapat dipelajari. Namun perlaksanaan dan pengamalannya perlu dihayati dan dilakukan segera. Mari kita mulakan dengan mengenali dan memahami sifat, sikap atau tabiat seseorang. Bagi seorang fasilitator Muslim, ini adalah pendekatan pertama yang disebut sebagai tahap ‘share’ atau perkongsian. Pada tahap ini, seorang fasilitator atau pembimbing rakan sebaya sedang berusaha untuk membina ‘repo’ atau reputasi bersama peserta atau sasaran mereka. Oleh itu alangkah moleknya jika setiap pertemuan atau perjumpaan atau sesi, seorang pembimbing rakan sebaya atau fasilitator memulakan dengan tatacara ‘ta’aruf’ atau berkenalan.

AKTIVITI 1

  1. Sila dapatkan pasangan atau rakan anda secara berdua-duaan.
  2. Adakan sesi suaikenal. Anggaplah teman di hadapan anda itu sebagai orang yang tidak anda kenali.
  3. Anda diberi masa 2 minit setiap seorang untuk menjalankan temubual dan mendapatkan maklumat yang mendalam daripada aktiviti ini.

Apa yang berlaku adalah, kita menjadi kaku dan tidak pasti apa yang perlu ditanyakan kepada rakan kita tadi. Ini adalah disebabkan oleh dinding yang telah kita wujudkan semenjak awal permulaan aktiviti itu. Dinding itu tidak nampak jelas atas perhubungan kita tetapi ia terbentuk dalam minda kita. Punca utama kejadian ini adalah disebabkan oleh wujudnya persepsi dan ketakutan yang tidak pasti.

AKTIVITI 2

  1. Edarkan sehelai kertas kepada setiap peserta.
  2. Minta mereka tuliskan nama mereka.
  3. Edarkan kertas mereka kepada rakan disebelah kanan.

Kita lebih mudah untuk menuliskan emosi atau perasaan atau pemikiran kita berkenaan orang lain berbanding bertanya atau berinteraksi secara terus dengan mereka. Mengapa? Inilah persepsi iaitu agakan atau tekaan kita tentang mereka. Di dalam proses ‘ta’aruf’ atau berkenalan, terdapat 5 objektif yang perlu dicapai bagi memastikan komunikasi dan interaksi kita dapat dilakukan dengan baik iaitu;

  1. Membina kepercayaan bersama mereka;
  2. Menggalakkan keterbukaan dalam perbincangan;
  3. Menjadikan hal-hal yang dibincangkan sebagai satu amanah kerahsiaan;
  4. Mewujudkan suasana kerjasama dalam kumpulan serta;
  5. Mengawal perselisihan faham dengan adab-adab perselisihan (adabul ikhtilaf).

Penerapan 5 objektif ini mesti selari dengan proses berkenalan tadi. Tidak kemal, maka tidak akan hadrilah cinta. Oleh yang demikian, pengenalan bukan sekadar diperingkat tahu namanya, tetapi perlu datang perasaan mahu untuk lebih mengenali mereka.