Tuesday, March 31, 2026

Minyak Naik, Dunia Bergolak: Antara Realiti Global Dan Tanggungjawab Kita


Bila dunia bergolak, dapur kita pun terasa. Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar isu luar negara. Ia meresap perlahan-lahan ke dalam kehidupan kita. Harga barang naik. Kos pengangkutan meningkat. Perbualan di warung berubah nada dan tiba-tiba isu minyak menjadi perbualan nasional. Minyak itu global, bukan lokal.

Ramai melihat kenaikan harga minyak sebagai kegagalan dasar tempatan. Tetapi hakikatnya harga minyak adalah permainan global, bukan keputusan satu negara. Apabila kawasan strategik seperti laluan minyak dunia terancam, pasaran akan bertindak balas. Apabila risiko meningkat maka harga akan naik, ketidakstabilan berlaku akan sebabkan pelabur panik dan akhirnya bekalan terganggu yang menyebabkan kos melonjak. Malaysia tidak terkecuali. Kita hanyalah sebahagian daripada ekosistem dunia yang saling bergantung.

Malaysia ni sebenarnya berada dalam keuntungan atau beban? Inilah uniknya kedudukan malaysia. Kita adalah pengeluar minyak, tetapi dalam masa sama pensubsidi bahan api. Maka berlakulah paradoks bahawa negara “untung” apabila harga minyak dunia naik sepatutnya hasil negara juga meningkat. Hakikatnya kerajaan “terbeban” kerana harga domestik dikawal, subsidi menjadi semakin meningkat. Kita sebagai rakyat yang sebenarnya “dilindungi sementara” sahaja. Harga tidak naik mendadak, tetapi kos sebenar sedang ditanggung di belakang tabir.

Persoalannya, subsidi ini rahmat atau ilusi? Subsidi sering dilihat sebagai penyelamat dan dalam banyak keadaan tidak dapat kita nafikan. Ia dapat meredakan tekanan kos hidup, menstabilkan ekonomi dan memberi ruang bernafas kepada rakyat. Namun dalam diam, ia juga membawa persoalan berapa lama kita mampu menahan harga daripada realiti sebenar? Jika harga dunia terus meningkat, subsidi bukan lagi pelindung, tetapi boleh menjadi beban yang memakan masa depan.

Situasi ini, memerlukan kita berlaku jujur dalam menilai. Saya berpendirian langkah kerajaan mengekalkan subsidi dalam jangka pendek adalah wajar, berperikemanusiaan demi untuk menstabilkan keadaan. Tetapi kita juga kena sedar, dalam jangka panjang subsidi menyeluruh tidak mampan, ketirisan boleh berlaku dan sistem perlu diperbaiki lagi.

Oleh yang demikian, masalah sebenar kita di malaysia ini adalah cara kita berfikir. Ini jelas dalam masyarakat, sering muncul dua reaksi ekstrem iaitu yang pertama menyalahkan sepenuhnya kerajaan seolah-olah semua berpunca dari dasar tempatan dan tidak kurang juga yang menafikan langsung masalah, seolah-olah semuanya terkawal dan tidak perlu risau. Kedua-duanya lahir dari satu punca yang sama apabila kita melihat tanpa memahami.

Allah mengingatkan dalam Al-Quran, “…dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya…” (surah Al-Isra’: 36)

Ayat ini seolah-olah menegur cara kita memberi reaksi hari ini. Khususnya dalam isu minyak ini, pendirian seorang muslim bukan sekadar menyokong atau membantah tetapi biarlah memahami sebelum menghukum. Lihatlah isu dari sudut global, bukan sempit. Jika menyokong, sokonglah dengan kesedaran bukan sokongan membuta tuli. Sokong berasaskan kefahaman. Kritikan amat digalakkan, tetapi kritiklah dengan beradab. Usahlah bertuankan emosi, tetapi membina. Elakkanlah dengan perkataan cacian dan makian apatah lagi memperolok-olokkan tindakan kerajaan.

Kita juga disuruh untuk berfikir jangka panjang bukan hanya hari ini. Masa depan ummah harus menjadi peranan kita dan ia lebih dari sekadar pengguna biasa. Kita mungkin tidak menentukan harga minyak dunia. Tetapi kita masih punya peranan mendidik masyarakat agar faham reality, mengelakkan penyebaran naratif salah dan membina budaya berfikir, bukan sekadar memberi maklum balas kerana akhirnya krisis bukan hanya menguji ekonomi, tetapi juga kematangan fikrah umat.

Harga minyak mungkin naik dan turun. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah adakah kita juga naik dalam kefahaman atau sekadar turun naik dalam emosi? Dunia akan terus bergolak. Konflik akan silih berganti. Namun jika kita tidak membina cara melihat yang benar kita akan terus terperangkap dalam kitaran yang sama, panik, marah, keliru dan akhirnya penat sendiri.

Maka mungkin hari ini, di sebalik isu minyak allah sedang mengajar kita untuk tidak hanya melihat apa yang berlaku, tetapi memahami bagaimana kita sepatutnya melihatnya.

Monday, March 30, 2026

Di Tengah Dentuman Dunia: Memilih Pendirian Tanpa Kehilangan Keadilan


Ketika dunia membara, hati kita di mana? Ini persoalan yangn bermain diminda saya. Dunia sekali lagi bergetar. Konflik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar berita antarabangsa ia sudah menembusi ruang emosi umat. Media sosial dipenuhi reaksi pelbagai. Marah, kecewa, keliru dan tidak kurang juga yang saling menuding jari tambahan pula di tanah air, kenyataan pemimpin seperti DS Anwar Ibrahim turut menjadi bahan perbahasan. Ada yang menyokong, ada yang mempersoal. Namun, dalam riuhnya suara dunia kita perlu bertanya, di mana sebenarnya pendirian kita sebagai seorang Muslim?

Ini adalah perkara antara emosi dan prinsip. Ada sesuatu yang sering berlaku setiap kali dunia bergolak. Kita cepat memilih “pihak”, tetapi lambat membina “prinsip”. Kita akan mudah berkata, “Ini salah mereka! Ini semua agenda Barat!” Yang ini mesti disokong!” Tetapi jarang kita berhenti dan bertanya, adakah pendirian ini lahir dari ilmu atau sekadar emosi?

Ingatlah, islam tidak mengajar kita membuta tuli. Allah mengingatkan kita semua dalam Al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil.” (Surah Al-Ma’idah: 8)

Ayat ini sangat keras maknanya. Ia tidak berkata, “Bersikap adil hanya kepada kawan” sebaliknya berlaku adillah walaupun kepada pihak yang kita benci dan di sinilah bezanya iman dengan sentimen.

Teman-teman, geopolitik tidak pernah hitam putih. Realitinya, konflik dunia bukan cerita dongeng. Ia bukanlah hero vs penjahat, baik vs jahat macam selalu yang kita tonton dalam filem-filem Marvel atau DC. Sebaliknya, ia melibatkan kepentingan kuasa, strategi ekonomi, pengaruh wilayah dan ditambah dengan naratif media. Maka dalam keadaan ini, jika kita melihat dunia secara simplistic, kita akan mudah dipengaruhi propaganda, terperangkap dalam sentiment dan palingn teruk kita akan hilang keupayaan berfikir.

Maka, saya syorkan untuk kita letakkanlan pendirian kita, sebagai seorang muslim atas tiga akar utama. Pertama, keadilan mengatasi sentimen. Ini bukan soal siapa yang kita suka tetapi apa yang benar di sisi allah. Kedua, nyawa lebih utama dari politik. Setiap nyawa yang terkorban tanpa mengira bangsa atau negara adalah amanah yang dilanggar. Ketiga, biarkan ilmu yang mengawal emosi. Emosi itu perlu, tetapi ia mesti dipandu oleh kefahaman. Tanpa ilmu, emosi hanya menjadi bahan bakar kepada kekeliruan.

Peranan kita bukan menjadi “penganalisis sofa”. Kita mungkin tidak berada di meja rundingan dunia tetapi kita juga bukan sekadar penonton. Peranan kita adalah untuk mendidik diri dan masyarakat, membina kesedaran yang seimbang, menyuburkan doa dan empati serta menjaga adab dalam berbeza pandangan kerana akhirnya kekuatan umat bukan pada suara paling lantang tetapi pada fikrah yang paling benar.

Muhasabahlah diri kita, kita di pihak siapa sebenarnya? Mungkin soalan sebenar bukan “awak sokong siapa?” Tetapi “adakah aku benar-benar berada di pihak keadilan?” Sedarlah kita, kadang-kadang ada orang nampak tegas tapi sebenarnya emosional, ada juga yang nampak berprinsip tapi sebenarnya ikut arus bahkan tidak dilupa juga yang diam tetapi sedang membina kefahaman yang jauh lebih dalam.

Teguhkanlah diri dalam kabus. Dunia akan terus berubah. Hari ini isu ini, esok mungkin isu lain pula. Jika kita tidak membina pendirian berasaskan iman dan ilmu, kita akan terus hanyut bersama arus. Tetapi jika kita berpegang kepada prinsip, adil walau kepada musuh, menolak kezaliman tanpa memilih pihak dan mendahulukan ilmu daripada emosi, maka, insya-allah kita tidak hanya menjadi pemerhati sejarah tetapi insan yang dipandu oleh kebenaran di tengah kekeliruan dunia.

Sunday, March 29, 2026

Solat dalam Ujian, Keadilan Tanpa Pilih Kasih


Ada satu persoalan yang sangat jujur untuk kita renungkan bersama. Adakah kita hanya menjaga iman ketika keadaan tenang atau kita mampu mempertahankannya ketika keadaan sukar? Ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ membawa kita ke satu realiti yang sangat praktikal tentang bagaimana iman itu hidup dalam dua situasi paling mencabar iaitu ketika kita sibuk dan terancam dan pada ketika kita perlu membuat keputusan yang melibatkan keadilan. Ini bukan ayat teori. Ini ayat yang mengajar cara hidup dan amat dekat dengan situasi kita hari ini.

Solat tidak digugurkan walau dalam keadaan berbahaya. Ini mesej yang sangat jelas dalam ayat 102 yang turut memperkenalkan konsep solat khauf yakni solat dalam keadaan takut atau peperangan. Sebahagian sahabat solat bersama Nabi SAW, sementara sebahagian lagi berjaga. Kemudian mereka berganti. Apabila dirujuk tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ini menunjukkan bahawa solat tetap diwajibkan walaupun dalam keadaan paling genting. Jika dalam peperangan pun solat tidak ditinggalkan, apa alasan kita meninggalkannya kerana kesibukan?

Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangan antara dunia dan akhirat. Ayat ini juga mengajar satu keseimbangan yang indah. Tidak lalai dalam ibadah serta tidak lalai dalam tanggungjawab dunia. Islam tidak mengajar kita memilih salah satu sebaliknya aa mengajar kita untuk mengurus kedua-duanya dengan bijaksana.

Ayat 103 menyebutkan, “Ingatlah Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring…”

Ini membawa kita kepada satu tahap iman yang lebih tinggi, zikir yang tidak terhenti. Hubungan dengan Allah tidak terhad kepada waktu tertentu. Kemudian Allah tegaskan bahawa solat itu diwajibkan pada waktu-waktu tertentu. Iman bukan sekadar ritual malahan ia adalah kesedaran yang berterusan.

Pesan saya untuk diri saya terutamanya, jangan lemah dalam perjuangan. Ayat 104 mengingatkan, jangan merasa lemah, jangan merasa berat kerana jika kita merasa sakit, orang lain juga merasa sakit cuma perbezaannya, orang beriman mempunyai harapan dari Allah. Inilah kekuatan sebenar bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang yakin.

Keadilan tidak pernah berpihak melainkan kepada kebenaran. Ayat 105 adalah antara ayat paling penting dalam soal keadilan, “Janganlah kamu menjadi pembela bagi orang yang khianat…”

Asbabun nuzul ayat ini menjelaskan tnetang kebenaran lebih tinggi dari identiti. Tafsir Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan apabila seorang Muslim mencuri dan cuba menuduh seorang Yahudi sebagai pelaku. Sebahagian masyarakat cuba mempertahankan lelaki Muslim itu kerana “dia dari kalangan kita”. Namun Allah menurunkan ayat ini untuk menegaskan bahawa kebenaran tidak bergantung kepada siapa tetapi kebenaran bergantung kepada apa yang benar. Keadilan sebenar bukan memihak kepada orang kita tetapi memihak kepada kebenaran.

Mari kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya hubungan antara ibadah dan integriti dalam dunia hari ini. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sibuk tanpa henti, penuh tekanan serta dipenuhi kepentingan dan dalam keadaan ini solat kita sering ditangguhkan, kebenaran sering dikompromi. Ayat 102–105 datang sebagai peringatan bahawa iman mesti kekal dalam tekanan dan keadilan mesti kekal dalam konflik.

Kritikan untuk diri saya sendiri mungkin. Kita mungkin rajin beribadah, tetapi tidak adil atau adil dalam kata, tetapi lemah dalam ibadah. Ayat ini mengajar bahawa kedua-duanya mesti berjalan bersama. Hubungan dengan Allah dan kejujuran dengan manusia.

Saya sarankan diri saya dan teman-teman beberapa langkah perubahan praktikal sebagai muhasabah diri kita. Jagalah solat walau sibuk. Jadikan ia keutamaan, bukan pilihan. Latihlah diri untuk berlaku adil walaupun terhadap orang yang kita sayang. Kurangkan kompromi terhadap kebenaran walaupun ia tidak popular dan hidupkan zikir harian supaya hati sentiasa terhubung dengan Allah.

Kesimpulannya, ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ mengajar satu prinsip yang sangat kuat, iman bukan hanya tentang ibadah tetapi juga tentang integrity dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, adakah kita menjaga hubungan dengan Allah? Pada masa yang sama, adakah kita berlaku adil kepada manusia? Pengakhirannya, iman yang sebenar adalah teguh dalam ibadah dan jujur dalam keadilan.

Saturday, March 28, 2026

Makna Hijrah, Darjat Orang Berjuang dan Rahmat dalam Syariat



Ada satu persoalan yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Adakah kita benar-benar sedang bergerak menuju Allah atau sekadar berada di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan? Ayat 95 hingga 101 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu tema besar dalam Islam iaitu iman itu perjalanan dan perjalanan itu menuntut pengorbanan, kejujuran dan keberanian untuk berubah.

Kita patut telah mengetahui bahawa tidak semua sama di sisi allah. Ayat 95 menyebut dengan jelas, tidak sama antara orang yang duduk dan orang yang berjuang di jalan Allah. Ini satu hakikat yang kadang-kadang kita sukar terima dan dalam kehidupan moden, kita cenderung melihat semua orang sebagai sama. Tetapi dalam Al-Quran, Allah menilai berdasarkan usaha kita, pengorbanan dan kesungguhan. Namun ayat ini juga membawa satu keindahan bahawa ada pengecualian bagi yang mempunyai keuzuran.

Turunnya ayat ini adalah untuk menjelaskan kepada kita tentang keikhlasan lebih besar dari kemampuan. Tafsiran yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir, seorang sahabat buta bernama Abdullah ibn Umm Maktum berasa sedih kerana tidak mampu turut serta dalam jihad. Lalu turunlah ayat yang memberi pengecualian kepada mereka yang uzur. Ini sangat menyentuh hati. Islam tidak menilai manusia hanya pada apa yang mereka lakukan, tetapi juga pada apa yang mereka ingin lakukan tetapi tidak mampu.

Darjat yang lahir dari pengorbanan adalah darjat dari kkalangan mereka yang berjuang. Pastinya mereka akan diberikan keampunan serta rahmat. Ini dijelaskan dalam ayat 96. Ini memberi satu perspektif yang penting bahawa pengorbanan tidak pernah sia-sia di sisi Allah walaupun manusia tidak nampak, Allah melihat setiap usaha kecil.

Ayat 97 memberi teguran kepada yang tidak mahu berubah. Ia satu teguran yang sangat kuat. Golongan yang dizalimi tetapi tidak berhijrah ditanya, “Bukankah bumi Allah luas?”

Tafsir Al-Tabari menjelaskan, ayat ini merujuk kepada mereka yang mampu berhijrah tetapi memilih untuk kekal dalam keadaan yang merosakkan iman mereka. Jelas sekali, kadang-kadang kita tidak berubah bukan kerana tidak mampu tetapi kerana kita terlalu selesa.

Allah turut memberikan rahmat untuk mereka yang lemah dan ini bukti keseimbangan melalui ayat 98-99. Allah mengecualikan mereka yang benar-benar tidak mampu, tidak tahu jalan atau caranya dan Allah memberi harapan bahawa mereka akan diampuni. Ini menunjukkan satu keindahan Islam, tegas dalam prinsip tetapi lembut dalam rahmat.

Ayat 100 membawa satu mesej yang sangat besar iaitu sesiapa yang berhijrah di jalan Allah akan menemukan keluasan dan rezeki. Ini bukan mesej hijrah biasa tetapi lebih dari sekadar perpindahan. Hijrah bukan hanya tentang berpindah tempat. Ia adalah tentang meninggalkan dosa, meninggalkan persekitaran yang merosakkan dan memilih jalan yang lebih dekat dengan Allah serta yang paling menyentuh hati adalah jika seseorang mati dalam perjalanan hijrah, pahalanya tetap sempurna. Allah menilai arah hidup kita, bukan hanya hasil akhirnya.

Rahmat sentiasa ada dalam setiap syariat. Ini dijelaskan dalam ayat 101 yang menyebutkan tentang keringanan solat ketika musafir. Ini mungkin kelihatan kecil tetapi ia membawa mesej besar yang mana Islam bukan agama yang menyusahkan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya mendedahkan, rukhsah ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Semakin kita memahami Islam, semakin kita melihat rahmatnya.

Bagaimana hijrah dalam kehidupan moden? Hari ini, mungkin kita tidak berhijrah secara fizikal. Tetapi kita semua sedang berhadapan dengan pilihan, kekal dalam kebiasaan atau berubah ke arah yang lebih baik. Hijrah moden mungkin dalam bentuk, meninggalkan dosa yang berulang, menjauh dari persekitaran negatif serta membina kehidupan yang lebih dekat dengan Allah.

Ramai orang mahu berubah tetapi tidak semua sanggup keluar dari zon selesa, menanggung kesukaran dan istiqamah dalam usaha. Ayat-ayat ini telah mengingatkan kita bahawa perubahan sebenar memerlukan harga dan ia amat berbaloi.

Langkah perubahan praktikal yang saya fikir kita wajar untuk pertimbangkan sebagai muhasabah adalah bermula dengan kenal pasti “hijrah” peribadi kita, apa yang perlu kita tinggalkan? Selepas itu, mulakan dengan langkah kecil sahaja, jangan terlalu besar, tetapi konsisten. Jangan tunggu sempurna sebaliknya lakukanlah walaupun perlahan. Yakinlah dengan rahmat Allah kerana Allah tidak menilai kesempurnaan, tetapi usaha.

Ayat 95 hingga 101 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat mendalam bahawa iman bukan keadaan statik sebaliknya aa adalah perjalanan dan dalam perjalanan itu ada pengorbanan, ada kesukaran tetapi sentiasa ada rahmat dan mungkin inilah muhasabah paling penting untuk kita, adakah kita sedang bergerak menuju Allah? Atau kita hanya berada di tempat yang sama? Pada akhirnya, yang penting bukan di mana kita bermula tetapi ke mana kita sedang tuju.

Friday, March 27, 2026

Nilai Nyawa, Bahaya Menghukum Tanpa Ilmu dan Fitnah di Era Media Sosial


Ada satu perkara yang sering kita lupa dalam kehidupan moden. Kita mungkin tidak membunuh dengan tangan, tetapi kita boleh “membunuh” dengan kata-kata. Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu asas yang sangat penting dalam Islam iaitu kesucian nyawa, keadilan dalam hukum dan disiplin dalam menilai manusia. Ini bukan sekadar hukum jenayah bahkan ini adalah pendidikan hati.

Nyawa bukanlah satu perkara kecil atau ringan yang tidak perlu kita ambil perhatian. Ayat 92 menyatakan bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya membunuh mukmin yang lain, kecuali tersalah. Walaupun kesalahan itu tidak disengajakan, Islam tetap menetapkan tanggungjawab kepada si pelaku untuk membebaskan seorang hamba, membayar diyat kepada keluarga kecuali jika si pelaku tadi dimaafkan. Ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir yang menunjukkan bahawa Islam sangat serius dalam menjaga nyawa manusia. Kesalahan tanpa niat pun ada tanggungjawab apatah lagi kesalahan yang disengajakan.

Sekiranya berlaku nyawa diragut dengan sengaja maka ayat 93 datang dengan amaran yang sangat keras. Si pelaku akan ke neraka, mendapat kemurkaan Allah, dilaknat serta dijanjikan azab yang besar. Ini menunjukkan bahawa pembunuhan bukan sekadar kesalahan sosial. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan terhadap Tuhan dan dalam Al-Quran, jarang kita melihat hukuman yang disebut dengan begitu tegas. Secara langsung ini menjelaskan semakin besar kesan sesuatu dosa kepada manusia, semakin besar akibatnya di sisi Allah.

Asbabun nuzul ayat 94 mempunyai latar belakang yang sangat menyentuh. Jangan hukum hati manusia lain seperti yang dijelaskan dalam riwayat tafsir oleh ibn kathir dan al-tabari, disebut bahawa seorang sahabat telah membunuh seseorang yang telah mengucapkan syahadah dalam peperangan. Dia menyangka orang itu hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. Namun Rasulullah SAW menegurnya dengan tegas, adakah kamu membelah hatinya? Soalan ini sangat dalam yang jelas memisahkan antara apa yang zahir dan apa yang tersembunyi malahan manusia tidak diberi hak untuk menilai yang tersembunyi.

Bahaya jika kita menghukum tanpa ilmu dan inilah diajar dalam ayat 94. Teliti dahulu sebelum membuat keputusan, jangan cepat menuduh, jangan menolak seseorang hanya kerana sangkaan dan satu peringatan penting, “kamu dahulu juga seperti mereka, lalu Allah memberi nikmat kepada kamu…”

Maksud ayat itu Allah tegaskan, jangan merasa diri lebih baik, jangan lupa kita juga pernah berada di tempat orang lain.

Era media sosial, “membunuh” mungkin tidaklah sehingga seseorang itu kehilangan nyawa. Hari ini, kita mungkin tidak terlibat dalam peperangan tetapi kita hidup dalam satu medan lain di mana, di sinilah berlaku perkara-perkara seperti pembunuhan karakter, fitnah, tuduhan tanpa bukti dan “trial by public opinion”. Hanya dengan satu komen boleh menjatuhkan seseorang. Hanya dengan satu perkongsian boleh merosakkan kehidupan. Ayat ini bukan hanya tentang pedang atau senjata lain tetapi ia juga tentang lidah dan jari kita.

Hari ini, kita hidup dalam budaya yang cepat menilai, cepat menghukum dan lambat memahami. Ramai orang lebih suka menjadi “hakim” daripada menjadi “pencari kebenaran”. Namun, Al-Quran mengajar kita sebaliknya iaitu berhenti, teliti, fahami kemudian barulah  membuat keputusan.

Kedatangan syawal tahun ini diharapkan kita kembali kepada hati yang bersih kerana dalam suasana syawal, kita sering bercakap tentang maaf, silaturahim bahkan tentang pembersihan hati. Tetapi ayat ini mengajak kita bertanya adakah kita benar-benar menjaga hati orang lain? Adakah kita berhati-hati dengan kata-kata kita? Persoalan ini timbul adalah kerana hati yang bersih bukan hanya memaafkan tetapi aa juga tidak mudah menghukum.

Oleh itu, marilah kita berusaha mengambil langkah-langkah perubahan yang praktikal dalam kehidupan kita sebagai muhasabah diri selepas ramadan. Berhentilah sebelum menghukum. Tanya duluu diri adakah aku tahu keseluruhan cerita? Selepas itu, mari kita kurangkan sangkaan sebab tidak semua yang kita nampak adalah realiti sebenar. Kemudian, jagalah lisan dan media sosial kita supaya jangan menjadi penyebab orang lain terluka. Akhir sekali, latihlah empati dalam diri kita. Cubalah kita letakkan diri kita di tempat orang lain.

Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ mengajar satu perkara yang sangat mendalam. Islam bukan hanya melarang pembunuhan fizikal. Ia juga melatih kita untuk tidak “membunuh” manusia dengan penilaian yang zalim dan mungkin inilah muhasabah paling penting, berapa ramai yang pernah kita hukum tanpa kita benar-benar tahu? Berapa banyak kata-kata kita yang mungkin telah melukakan orang lain? Ini muhasabah yang penting kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang apa yang kita lakukan, bahkan tentang bagaimana kita melihat manusia lain.

Thursday, March 26, 2026

Cabaran Iman, Munafik dan Tekanan Sosial di Era Moden


Ramadan telah pun berlalu dan Syawal menjelma, suasana berubah. Masjid mungkin tidak lagi penuh seperti sebelumnya. Disiplin ibadah mula longgar dan kehidupan kembali kepada normal. Tetapi sebenarnya, di sinilah ujian sebenar bermula. Ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang sangat jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika suasana baik, tetapi bagaimana kita mempertahankan iman dalam suasana yang mencabar.

Perbincangan kita dari ayat-ayat ini antaranya berkisar tentang keyakinan yang menjadi penentu arah hidup. Ayat 87 menegaskan satu asas besar bahawa, Allah pasti akan mengumpulkan manusia pada hari kiamat dan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini bukan sekadar maklumat tentang akhirat. Ia adalah asas kepada cara kita hidup. Jika akhirat benar-benar hidup dalam hati kita, keputusan kita akan berubah, keutamaan kita akan berubah dan keberanian kita juga akan berubah.

Seterusnya dalam ayat 88 menunjukkan bahawa orang beriman sendiri boleh berbeza pandangan dalam menilai golongan munafik. Ini adalah satu bentuk kekeliruan dalam menilai manusia. Ini sangat realistik. Hari ini di Malaysia, kita juga melihat, perbezaan pandangan dalam isu agama, kekeliruan dalam menilai siapa yang benar dan juga perdebatan yang kadang-kadang lebih emosional daripada berprinsip. Harus kita ingat, tidak semua kelembutan itu hikmah dan tidak semua ketegasan itu keras. Kita memerlukan kebijaksanaan, bukan sekadar reaksi.

Malahan hari ini, wujud pelbagai tekanan untuk menjadi “seperti mereka” atau bersama dalam kumpulan-kumpulan mereka. Ayat 89 sangat tajam apabila Allah berfirman dengan menekankan bahawa mereka mahu kita menjadi seperti mereka supaya kita sama. Inilah realiti tekanan sosial khususnya dalam konteks semasa di Malaysia. Contohnya, tekanan untuk “ikut trend”, tekanan untuk melonggarkan prinsip agama, tekanan untuk tidak kelihatan “terlalu alim” dan kadang-kadang, iman bukanlah diuji dengan kesusahan tetapi diuji dengan normalisasi perkara yang salah. Seba itu, menjadi berbeza itu tidak mudah, tetapi iman memang memerlukan keberanian untuk berbeza.

Maka, pentingkah bagi kita untuk berlaku adil dalam menghadapi perbezaan. Ayat 90 menunjukkan bahawa Islam tidak bersikap ekstrem. Tidak semua yang berbeza perlu dianggap musuh. Ada yang tidak memerangi dan cenderung kepada keamanan. Mereka perlu dilayan dengan adil. Ini sangat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Islam sendiri mengajar keseimbangan. Tegas pada prinsip dan adil dalam tindakan.

Bahaya menjalani hidup tanpa pendirian. Perkara ini dijelaskan dalam ayat 91 yang menyebutkan tentang manusia yang mahu selamat dari semua pihak, tidak mahu bertanggungjawab kepada kebenaran dan hanya memilih apa yang menguntungkan sahaja. Ini adalah sikap opportunis dan dalam dunia hari ini, sikap ini sering kelihatan sebagai “bijak”. Tetapi dalam Al-Qur’an, ia adalah tanda kelemahan iman. Iman bukan tentang memilih yang selamat. Iman adalah tentang memilih yang benar.

Saya nak ajak kita membuat refleksi Syawal dan menilai ia sebagai ujian selepas Ramadan. Syawal bukan sekadar hari raya. Aadakah kita kekal dengan prinsip atau kembali hanyut dengan arus? Ketika suasana ziarah, pergaulan dan budaya raya adakah kita menjaga batas? Adakah kita menjaga percakapan? Adakah kita masih ingat Allah dalam kegembiraan? Kerana iman bukan hanya untuk masjid. Ia juga untuk ruang tamu, meja makan dan kehidupan sosial.

Kita hidup dalam dunia yang mengaburkan garis antara benar dan salah, mengangkat populariti lebih daripada prinsip serta menggalakkan kompromi tanpa nilai dan dalam keadaan ini, ayat 87–91 menjadi sangat relevan. Ia mengingatkan kita bahawa tidak semua yang popular itu benar dan tidak semua yang diterima ramai itu baik.

Oleh itu, saya terfikir beberapa langkah perubahan untuk diri sendiri khususnya wajar untuk diambil tindakan sebagai muhasabah syawal. Pertama, perkukuh keyakinan kepada akhirat supaya dunia tidak terlalu menguasai hati. Kedua, belajarlah untuk menilai dengan hikmah dan jangan terlalu cepat menghukum, tetapi jangan juga terlalu longgar. Tiga, berani berbeza jika itu yang diperlukan untuk menjaga iman. Keempat, elakkan sikap opportunis. Pilihlah kebenaran walaupun tidak popular.

Akhir sekali sebagai kesimpulan, ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat penting, iman bukan hanya tentang apa yang kita percaya bahkan ia tentang siapa kita apabila kita ditekan dan mungkin inilah muhasabah paling jujur selepas Ramadan. Adakah kita masih sama seperti dalam Ramadan? Atau kita sudah kembali kepada arus tanpa arah? Kerana akhirnya, iman bukan diukur ketika suasana baik, sebaliknya ia diukur ketika kita berhadapan dengan pilihan yang sukar.

Wednesday, March 25, 2026

Taat kepada Rasul, Bahaya Riya’ Sosial dan Adab Komunikasi dalam Islam


Kehidupan dunia hari ini, kita digerakkan dalam dua realiti serentak iaitu dunia ibadah dan dunia komunikasi. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir tetapi pada masa yang sama, kita juga berkongsi berita, memberi komen dan menyebarkan maklumat. Ayat 80 hingga 86 Surah An-Nisa’ datang seperti satu peringatan yang sangat relevan mengenai iman bukan hanya tentang hubungan dengan Allah tetapi juga tentang bagaimana kita berinteraksi dengan manusia.

Jika kita telusuri bacaan ini, ujian ketaatan yang sebenar adalah mentaati Rasul SAW. Ayat 80 menyebut satu prinsip besar, “sesiapa yang mentaati rasul, maka dia telah mentaati Allah…”

Ibn kathir menghuraikan, ayat ini sebenarnya menegaskan bahawa sunnah bukan pilihan tambahan bahkan ia adalah sebahagian daripada agama. Namun dalam realiti hari ini, ramai yang memilih apa yang sesuai dan meninggalkan apa yang sukar. Ketaatan sebenar bukan ketika kita setuju tetapi ketika kita tetap taat walaupun sukar.

Hari ini, terdapat hipokrasi halus dalam kehidupan moden. Ini dijelaskan melalui ayat 81 yang menyebutkan tentang mereka yang berkata, “kami taat” tetapi dalam diam, mereka melakukan perkara yang bertentangan. Ini bukan hanya tentang zaman Nabi SAW. Ini tentang realiti manusia sepanjang zaman. Hari ini, hipokrasi mungkin tidak kelihatan jelas. Tetapi ia boleh muncul dalam bentuk imej baik di depan orang, sikap berbeza di belakang. Ini persoalan siapa kita ketika tiada siapa melihat maka itulah iman kita yang sebenar.

Masalah umat lebih kritikal hari ini apabila mereka tidak mentadabbur dan ini dipertanyakan dalam ayat 82, “tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran?” Masalah umat bukan kerana Al-Quran tidak dibaca. Masalahnya kerana Al-Quran tidak difahami dan direnungi.

Jika kita telusuri tafsir Al-Tabari, tadabbur bermaksud melihat makna yang mendalam dan menghubungkannya dengan kehidupan. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi juga untuk mengubah cara kita berfikir dan hidup.

Ayat 83 sangat relevan dengan zaman media sosial. Satu peringatan mengenai bahaya menyebarkan sesuatu maklumat tanpa semakan. Apabila datang berita tentang sesuatu, mereka terus menyebarkannya, tanpa semakan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan, ini adalah larangan menyebarkan maklumat tanpa memastikan kebenarannya. Setiap “share”, “forward” dan “post” adalah amanah dan dalam dunia digital, satu klik boleh menyebarkan kebaikan atau menyebarkan fitnah.

Maka ingatlah. Jangan tunggu orang lain berubah. Ayat 84 mengajar sesuatu yang sangat penting iaitu bertindak walaupun bersendirian. Ramai orang menunggu supaya suasana berubah atau orang lain berubah tetapi hakikatnya ayat ini mengajar kita perubahan bermula dari diri sendiri.

Ketahuilah, kesan tindakan kita lebih besar daripada kita sangka. Ayat 85 menyebutkan sesiapa yang mendorong kepada kebaikan, dia mendapat bahagiannya. Ini sangat mendalam. Kita bukan hanya bertanggungjawab atas diri sendiri. Kita juga bertanggungjawab atas apa yang kita galakkan dan apa yang kita sebarkan.

Mari kita bermula dari adab kecil yang akhirnya mampu membina masyarakat besar. Ayat 86 mungkin kelihatan sederhana. Balaslah salam dengan yang lebih baik. Tetapi di sinilah keindahan islam. Masyarakat yang sihat tidak hanya dibina dengan hukum besar. Ia dibina dengan adab kecil yang konsisten. Iman bukan hanya dalam perkara besar. Ia juga dalam perkara kecil yang kita ulang setiap hari.

Mari kita bersama lakukan refleksi iman di era digital ini. Ayat 80–86 sangat kuat dalam konteks hari ini. Kita mungkin rajin beribadah dan aktif berkongsi. Tetapi persoalannya, adakah kita jujur dalam iman? Adakah kita bertanggungjawab dalam komunikasi? Perasan atau tidak, dalam dunia digital, dosa tidak lagi memerlukan pergerakan fizikal. Cukup dengan satu jari.

Saya punyai pandangan kritis untuk diri kita khususnya diri saya sendiri. Hari ini, ramai orang mahu kelihatan baik tetapi tidak semua mahu benar-benar menjadi baik. Kita hari ini hidup dalam budaya imej lebih penting daripada hakikat, reaksi lebih cepat daripada semakan dan suara lebih kuat daripada kebenaran. Ayat-ayat ini mengajak kita keluar daripada budaya itu.

Langkah perubahan yang praktikal sebagai muhasabah kita harus bermula dari menapis sesuatu maklumat sebelum kita kongsi. Jangan sebarkan sesuatu yang tidak pasti. Kemudian, latihlah keikhlasan dengan kurangkan keinginan untuk dilihat. Selain itu hidupkanlah usaha tadabbur Al-Quran, jangan sekadar baca tetapi usahakan juga untuk fahami. Terakhir, jagalah adab yang kecil kerana di situlah konsistensi iman terbina.

Saya tutup dengan kesimpulan ayat 80 hingga 86 surah An-Nisa’ yang mengajar kita satu perkara yang sangat penting. Iman bukan hanya tentang apa yang kita percaya. Ia tentang bagaimana kita hidup setiap hari, baik dalam kata-kata kita, dalam tindakan kita, dalam perkara kecil yang kita ulang tanpa sedar dan mungkin inilah muhasabah paling penting, adakah kehidupan kita mencerminkan iman kita?

Tuesday, March 24, 2026

Iman, Keberanian dan Tanggungjawab Selepas Syawal


Ada satu persoalan yang sangat penting selepas kita melalui Ramadan dan memasuki Syawal, adakah iman kita hanya menjadikan kita baik untuk diri sendiri atau juga bermanfaat untuk orang lain? Ayat 75 hingga 79 Surah An-Nisa’ membawa kita keluar daripada zon selesa ibadah peribadi, kepada satu dimensi yang lebih luas iaitu iman sebagai tanggungjawab sosial dan keberanian moral. Ini bukan lagi tentang apa yang kita rasa. Ini tentang apa yang kita lakukan.

Persoalannya, mengapa kita tidak bangkit? Ayat 75 datang dengan satu pertanyaan yang menggoncang jiwa, “mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah dan membela orang-orang yang tertindas…”

Golongan yang disebut bukan sekadar simbolik. Lelaki, wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam penindasan dan berdoa agar dibebaskan. Huraian oleh ibn kathir dalam tafsir klasik menjelaskan, ayat ini merujuk kepada mereka yang tidak berdaya di mekah pada waktu itu. Tetapi mesejnya lebih luas. Iman bukan hanya tentang menyelamatkan diri. Iman juga tentang membela mereka yang tidak mampu menyelamatkan diri.

Ayat 76 menjelaskan dengan sangat jelas, tiada jalan neutral. Orang beriman berjuang di jalan Allah, orang lain berjuang di jalan taghut dan ini memberi satu realiti yang tegas bahawa dalam hidup ini, kita tidak benar-benar neutral. Pilihan kita, tindakan kita, dan sikap kita, semuanya berada dalam salah satu jalan dan ayat ini mengingatkan bahawa walaupun kezaliman kelihatan kuat, tipu daya syaitan itu lemah. Maknanya, kebenaran mungkin kelihatan kecil, tetapi ia mempunyai kekuatan yang sebenar.

Ayat 77 sangat dekat dengan realiti manusia. Ada orang yang sebelum diwajibkan berjuang, mereka berkata, “mengapa belum diperintahkan?” Tetapi apabila perintah datang, mereka menjadi takut. Ini sangat jujur. Kita sering bersemangat dalam idea tetapi takut dalam tindakan. Selepas ramadan, kita mungkin mempunyai semangat yang tinggi tetapi syawal menguji, adakah kita berani bertindak atau kembali kepada kebiasaan? Jika kembali kepada kebiasaan, inilah yang dikatakan ketakutan yang menghentikan tindakan.

Kematian tidak boleh dielakkan. Ayat 78 membawa perspektif yang sangat besar, di mana sahaja kamu berada, kematian akan menemui kamu. Ini membebaskan manusia daripada satu ketakutan yang sering menghalang mereka daripada melakukan kebaikan. Kadang-kadang kita tidak bertindak kerana takut kehilangan keselamatan, keselesaan bahkan kedudukan. Tetapi ayat ini mengingatkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada takdir.

Berhentilah menyalahkan orang lain. Ayat ini juga menggambarkan sikap manusia apabila mendapat kebaikan dikatanya dari Allah tetapi bila mendapat musibah, mulalah menyalahkan orang lain. Ini sangat biasa dalam kehidupan moden dan ayat 79 meluruskan, apa sahaja kebaikan dari Allah dan apa sahaja keburukan dari diri kamu sendiri.

Al-Qurtubi memberikan tafsiran bahawa ayat ini mengajar manusia mesti bertanggungjawab atas pilihan mereka. Ini adalah titik perubahan hidup. Berhenti menyalahkan dan mulalah bermuhasabah.

Ramadan telah berlalu dan mulakanlah usaha dari ibadah ke tindakan. Ramai yang merasakan diri lebih dekat dengan Allah. Tetapi ayat 75–79 membawa satu cabaran, adakah iman itu akan diterjemahkan dalam tindakan? Adakah kita lebih peka terhadap ketidakadilan? Adakah kita lebih berani mempertahankan kebenaran? Adakah kita lebih jujur melihat kelemahan diri? Kerana syawal bukan sekadar sambutan. Ia adalah ujian sama ada kita benar-benar berubah.

Satu pandangan kritis untuk zaman kita ini. Hari ini, ramai orang mahu menjadi baik tetapi tidak semua mahu menjadi berani. Tidak kiralah sama ada berani berkata benar, berani menolak kezaliman mahupun berani mengakui kesalahan diri. Kita hidup dalam dunia yang sering menggalakkan keselesaan, bukan keberanian. Tetapi Al-Quran mengajar bahawa iman yang sebenar bukan sekadar lembut. Ia juga tegas apabila diperlukan.

Saya ingin mencadangkan langkah perubahan untuk diri kita khususnya diri saya sendiri sebagai refleksi praktikal selepas syawal. Latih diri untuk peduli dan jangan hanya fokus kepada diri sendiri. Kedua, ambil langkah kecil membela kebenaran walaupun sekadar suara atau tindakan kecil. Ketiga, hadapilah ketakutan dengan iman dan usah biarkan ketakutan menghalang kebaikan. Terakhir, biasakanlah bermuhasabah diri. Kurangkan menyalahkan dan usaha tambah kebaikan.

Akhir sekali, kita rujuk ayat 75 hingga 79 surah an-nisa’ ini, ia mengajar kita bahawa, iman itu hidup dan iman yang hidup akan bergerak. Ia tidak hanya berada dalam hati bahkan ia keluar dalam tindakan dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan iaitu adakah kita hanya menjadi hamba yang beribadah? Atau kita juga menjadi hamba yang membela, berani dan jujur? Kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang hubungan kita dengan allah. Ia juga tentang bagaimana kita berdiri di dunia ini.

Monday, March 23, 2026

Membina Rumah Berjiwa Wahyu & 10 Sifat Mukmin Sejati


Kadang-kadang kita terlalu sibuk membina kehidupan hingga terlupa membina jiwa dalam kehidupan itu sendiri. Rumah dibesarkan. Jadual dipenuhkan. Anak-anak dihantar ke kelas terbaik. Tetapi satu persoalan halus yang jarang kita tanya, apa yang sebenarnya hidup dalam rumah kita? Surah Al-Ahzab ayat 34–35 membawa kita kembali kepada asas yang bukan sekadar bagaimana kita hidup, tetapi apa yang menghidupkan kita.

Jadikanlah rumah kit aitu sebagai rumah yang tidak sekadar berpenghuni. Allah berfirman agar isteri-isteri Nabi SAW, “Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumah kamu daripada ayat-ayat Allah dan hikmah…”

Rumah Rasulullah SAW bukan rumah biasa. Ia bukan sekadar tempat berehat, tetapi tempat wahyu bernafas. Ada Al-Quran dibaca, ada sunnah diamalkan, ada perbualan yang mengingatkan kepada Allah dan yang paling penting ada kesedaran yang sentiasa dihidupkan.

Hari ini, rumah kita juga ada suara. Tetapi suara apa? Adakah ayat-ayat Allah yang bergema? Atau bunyi skrin yang tidak pernah berhenti? Adakah perbualan yang membina jiwa? atau perbualan yang hanya mengisi masa? Rumah tidak pernah kosong. Jika bukan wahyu yang mengisinya, dunia akan mengambil tempatnya.

Ayat 35 hadir seperti satu senarai, tetapi sebenarnya ia adalah cermin besar untuk kita semua. Allah menyebutkan lelaki dan wanita yang muslim, lelaki dan wanita yang beriman, lelaki dan wanita yang sabar, jujur, khusyuk berulang-ulang. Sepuluh kali. Apabila Allah menyebut lelaki dan wanita bersama, seolah-olah Allah ingin menegaskan jalan menuju Allah tidak ditentukan oleh siapa kita tetapi oleh bagaimana kita membina diri kita. Tiada keistimewaan automatik. Tiada jalan pintas bahkan yang ada hanyalah usaha dan kesungguhan.

Ayat ini bukan sekadar menyenaraikan sifat. Ia sebenarnya menggambarkan perjalanan jiwa seorang mukmin. Maka diberikan 10 sifat mukmin yang bukan hanya sekadar senarai tetapi perjalanan yang perlu diberi perhatian. Ia bermula dengan Islam yang bermaksud tunduk secara Zahir, kemudian kepada Iman iaitu percaya secara mendalam. Kemudian bergerak kepada ketaatan (qunut), kejujuran (sidq) serta kesabaran (sabr) yang akhirnya membina hati yang hidup (khusyuk), tangan yang memberi (sedekah), diri yang terjaga (iffah) juga jiwa yang sentiasa terhubung (zikir). Ini bukan checklist untuk ditanda. Ini adalah proses menjadi manusia yang allah redha.

Mari kita muhasabah, di mana kita sekarang? Cuba berhenti seketika. Tanya diri dengan jujur, adakah aku sekadar Muslim pada nama atau benar-benar hidup dengan iman? Bila diuji, aku memilih sabar atau reaktif dengan emosi? Apabila aku dalam kesibukan, lidahku lebih banyak mengadu atau berzikir? Rumah aku lebih dekat dengan wahyu atau lebih dekat dengan dunia? Kadang-kadang jawapannya tidak selesa, tetapi di situlah permulaan perubahan.

Jom kita mulakan langkah kecil tetapi kesannya besar. Tidak perlu tunggu sempurna. Mulakan dengan kecil tetapi konsisten. Kita mulakan dengan hidupkan “suara wahyu” di rumah. Tetapkan 5–10 minit sehari bacaan al-quran walaupun sedikit. Pasanglah bacaan al-quran ketika waktu tertentu di rumah. Kemudian, bina satu sifat dalam 1 minggu. Fokus satu sifat dari ayat 35 contohnya minggu ini, jujur, minggu depan sabar, seterusnya zikir dan hingga akhirnya. Jangan kejar semua, tapi jangan tinggalkan semua.

Latih juga berzikir dalam aktiviti harian sama ada dalam kereta kita beristighfar, semasa menunggu giliran kita selawat atau sebelum tidur kita lakukan muhasabah ringkas. Wujudkan “momen hikmah” dalam keluarga. Kongsi satu ayat atau hadis setiap minggu dan bincang nilai, bukan sekadar hukum.

Allah menutup ayat ini dengan dua perkara, keampunan dan pahala yang besar. Bukan kejayaan dunia. Bukan pengiktirafan manusia. Tetapi dosa yang diampunkan dan ganjaran yang berkekalan kerana hakikatnya kejayaan bukan apabila kita nampak hebat di dunia, tetapi apabila kita selamat di hadapan Allah.

Bayangkan satu hari nanti, kita kembali kepada Allah. Segala yang kita bina di dunia ditinggalkan dan yang tinggal hanyalah iman yang pernah kita jaga, sabar yang pernah kita tahan, zikir yang pernah kita ulang dan rumah yang pernah kita hidupkan dengan wahyu. Maka pada hari itu, kita berharap, “Ya Allah… aku tidak sempurna. Tetapi aku pernah berusaha untuk menjadi hamba-Mu.”

Sunday, March 22, 2026

1 Syawal & Surah Al-A‘laa: Kemenangan Tazkiyah atau Permulaan Kelalaian?


Pagi ini, kita bangun dengan takbir. Langit seakan-akan dipenuhi dengan kalimah yang sama, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar… Kita melangkah ke tempat solat. Kita berdiri bersama dan imam membaca Surah Al-A‘laa. Bukan kebetulan. Seolah-olah, selepas sebulan Ramadan mentarbiah jiwa, Allah menutupnya dengan satu surah yang merumuskan semuanya dan dalam masa yang sama, memberi amaran tentang apa yang akan datang selepasnya. Hari ini bukan sekadar hari raya. Hari ini adalah hari penilaian dan arah baru kehidupan maka jadikan tasbih sebagai permulaan segala perubahan. 

“Sabbihisma rabbikal a‘la. Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi.”

Ramadan telah mengajar kita menahan diri. Tetapi Syawal mengajar kita sesuatu yang lebih dalam iaitu mengagungkan Allah dalam kemenangan. Takbir yang kita lafazkan sejak malam tadi bukan sekadar tradisi. Ia adalah deklarasi hati bahawa Allah lebih besar daripada nafsu yang kita tundukkan. Lebih besar daripada dunia yang kita kejar. Lebih besar daripada segala yang pernah kita risaukan. Namun persoalannya, adakah tasbih itu hanya di bibir atau sudah menjadi cara kita melihat hidup? Tasbih yang sebenar adalah apabila kita berhenti mempersoalkan takdir dengan hati yang sempit dan mula melihat kehidupan dengan pandangan tauhid.

“Qad aflaha man tazakka, berjayalah orang yang menyucikan diri.”

Tazkiyah diri kita dan ketahuilah inilah makna kemenangan. Sepanjang Ramadan, kita berlapar. Kita menahan marah. Kita menjaga lisan. Kita bangun malam. Semua itu bukan tujuan tetapi proses. Tujuannya adalah tazkiyah dan hari ini, 1 Syawal, adalah seolah-olah hari pengumuman siapa yang benar-benar berjaya? Siapa yang hanya sekadar melalui Ramadan? Kemenangan dalam Islam bukan diukur pada kemeriahan raya, tetapi pada perubahan jiwa. 

Jika hati kita lebih lembut maka itu tanda-tanda kemenangan. Jika solat kita lebih hidup, itu juga kemenangan. Jika dosa yang lama kita tinggalkan, itu kemenangan. Tetapi jika semuanya kembali seperti biasa, maka mungkin kita hanya berpuasa, tetapi tidak benar-benar disucikan.

“Wadhakarasma rabbihi fasalla. Dia mengingati nama Tuhannya, lalu dia mendirikan solat.”

Bukankah ini yang kita lakukan hari ini? Zikir dan solat adalah ritual raya yang penuh makna. Kita bertakbir sepanjang malam adalah zikir. Kita berhimpun di pagi hari untuk solat Aid. Seolah-olah seluruh hari raya adalah praktikal ayat ini. Namun di sebalik amalan itu, ada satu persoalan yang lebih dalam, adakah kita benar-benar mengingati Allah atau sekadar mengulangi lafaz? Zikir yang sebenar bukan pada suara, tetapi pada hati yang sedar.

“Bal tu’thirunal hayata-d-dunya. Tetapi kamu mengutamakan kehidupan dunia.”

Ayat ini terasa sangat tepat pada hari ini. Peringata untuk kita bahawa ujian sebenar bermula hari ini. Ramadan berlalu maka nafsu kembali bebas, rutin kembali sibuk dan dunia kembali menggoda. Inilah ujian sebenar. Bukan ketika kita berlapar tetapi ketika kita sudah tidak lagi diwajibkan berlapar. Adakah kita akan kembali kepada corak lama? Atau kita akan membawa roh Ramadan ke dalam kehidupan? Surah ini seperti satu peringatan lembut pada pagi raya, jangan biarkan kemenangan ini hanya sehari.

“Wal-akhiratu khairun wa abqa. Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.”

Arah hidup kita sebenarnya dunia atau akhirat? Persoalan yang mesti kita jawab dalam kesibukan beraya, berkunjung, bergembira. Ayat ini hadir sebagai penyeimbang. Bukan untuk menghilangkan kegembiraan tetapi untuk memberi arah. Bahawa semua ini sementara, perjalanan kita masih panjang dan destinasi kita bukan di sini. Hari raya sepatutnya bukan sekadar baju baru malahan hati yang diperbaharui arah hidupnya.

Akhir sekali, surah Al-A‘laa yang dibacakan pagi ini bukan sekadar bacaan solat. Ia adalah mesej penutup Ramadan dan pembuka kepada perjalanan selepasnya. Ramadan telah membersihkan kita tetapi Syawal akan menguji kita dan dalam gema takbir yang masih bergema, surah ini seakan berbisik, kemenangan bukan pada hari ini sebaliknya pada siapa yang mampu kekal bersih selepas hari ini.

Saturday, March 21, 2026

Iman, Pengorbanan dan Ujian Selepas Ramadan


Ada satu hakikat yang jarang kita fikirkan selepas Aidilfitri, Ramadan melatih kita. Syawal menguji kita. Ayat 66 hingga 74 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika mudah, tetapi bagaimana kita bertindak ketika iman menuntut sesuatu yang berat dan di sinilah persoalan sebenar muncul, adakah iman kita kekal selepas Ramadan atau ia hanya sementara sahaja?

Kita perlu fahami bahawa iman yang tidak diuji tidak akan terbukti. Ayat 66 menyebutkan bahawa jika Allah memerintahkan sesuatu yang sangat berat seperti meninggalkan kampung halaman atau pengorbanan besar, akan sedikit sahaja manusia yang benar-benar akan melakukannya. Ia jelas seperti yang dihuraikan salam tafsir oleh Ibn Kathir, ayat ini menggambarkan realiti manusia. Ramai yang mengaku beriman, tetapi tidak semua sanggup membayar harga iman. Ramadan mungkin telah melatih kita untuk menahan lapar, menjaga lidah dan bangun malam, tetapi Syawal akan bertanya, adakah kita sanggup mengekalkan itu semua tanpa suasana Ramadan?

Ingatlah, ketaatan membuka jalan hidayah. Ini dijelaskan dalam ayat 67–68 yang menjanjikan bahawa mereka yang benar-benar taat akan diberikan ganjaran besar dan petunjuk ke jalan yang lurus. Ini sangat penting. Hidayah bukan hanya datang sebelum ketaatan. Hidayah juga datang selepas ketaatan. Ini bermakna, setiap kali kita memilih untuk taat, Allah membuka jalan yang lebih jelas.

Ayat 69 adalah antara ayat paling indah dalam Al-Qur’an. Mereka yang taat akan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang soleh dan menurut tafsir Al-Qurtubi, ini adalah motivasi rohani yang sangat tinggi bahawa ketaatan bukan sekadar tentang pahala, tetapi tentang siapa kita akan bersama di akhirat bahkan di dunia, kita mungkin tidak berada dalam lingkungan orang soleh, tetapi di akhirat, kita diberi peluang untuk memilih, jalan kita menentukan siapa teman kita.

Ayat 70 mengingatkan bahawa semua itu adalah kurnia allah. Ia adalah rahmat yang tidak terlihat. Ini satu keseimbangan penting apabila kita berusaha tetapi Allah yang memberi hasil. Ia mengajar kita untuk tidak sombong dengan amal dan tidak putus asa dengan kelemahan.

Ayat 71–72 pula seterusnya membawa kita kepada realiti manusia yang sangat dekat. Ada yang lambat bertindak, ada yang penuh alasan, tidak kurang juga yang hanya bergerak apabila keadaan selamat. Ini bukan sekadar tentang peperangan. Ini tentang sikap hidup. Inilah yang boleh kita katakana sebagai iman yang bertangguh. Berapa banyak perkara baik yang kita tangguhkan? Berapa banyak perubahan yang kita tahu perlu dibuat, tetapi kita kata, “Nanti dulu…”

Ada pula manusia yang berada dalam kelompok beriman yang bersyarat. Ayat 73 menggambarkan satu lagi jenis manusia ini. Apabila mereka terlepas peluang kebaikan, mereka berkata, “Alangkah baiknya jika aku bersama mereka…” Ini adalah iman yang datang selepas hasil. Mereka tidak mahu bersama perjuangan, tetapi mahu bersama kejayaan. Ini sangat relevan selepas Ramadan. Ramai mahu pahala Ramadan, tetapi tidak semua mahu disiplin Ramadan.

Ayat 74 adalah klimaks kepada bahagian ini, “Hendaklah berjuang di jalan Allah mereka yang menjual kehidupan dunia dengan akhirat…”

Ini bukan tentang meninggalkan dunia sepenuhnya. Ini tentang meletakkan akhirat sebagai keutamaan. Janganlah sehingga kita menjual dunia untuk akhirat. Para mufassir menjelaskan, ayat ini menggambarkan manusia yang membuat pilihan yang jelas sama ada dunia di tangan atau akhirat di hati.

Kita muhasabah bersama, bahawa syawal adalah bulan ujian selepas tarbiah. Syawal bukan sekadar perayaan. Ia adalah ujian kesinambungan. Solat malam mungkin berkurang, tilawah mungkin semakin sedikit dan disiplin mungkin mula longgar. Tetapi di sinilah ayat 66–74 menjadi sangat relevan. Allah tidak hanya melihat bagaimana kita bermula. Allah melihat bagaimana kita meneruskannya.

Kehidupan moden kini, ramai orang mahu hasil tanpa proses. Mahukan berjaya tanpa disiplin, mahukan syurga tanpa pengorbanan bahkan mahukan perubahan tanpa kesungguhan. Ayat-ayat ini memecahkan ilusi itu. Iman bukan perasaan. Iman adalah pilihan yang datang berulang kali, setiap hari.

Oleh yang demikian, mari kita bersama berusahai untuk kekalkan satu amalan ramadan walaupun kecil, tetapi konsisten. Kedua, latih diri untuk tidak bertangguh dalam kebaikan. Jangan tunggu “masa sesuai”. Ketiga, nilai semula keutamaan hidup. Adakah kita benar-benar memilih akhirat? Terakhir, cari lingkungan yang baik kerana kita akan bersama siapa yang kita dekati.

Saya tutup dengan satu hakikat yang sangat jujur dari ayat 66 hingga 74 surah an-nisa’ ini iaitu iman itu mahal. Ia menuntut, kesabaran, pengorbanan dan kejujuran dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan. Adakah kita hanya kuat dalam suasana ramadan? Atau kita benar-benar sedang membina iman yang berterusan? Kerana akhirnya, iman bukan diukur pada satu bulan. Ia diukur pada kesetiaan sepanjang kehidupan.

Friday, March 20, 2026

Antara Dakwaan Iman dan Ketaatan Sejati Menjelang Syawal


Ada satu persoalan yang sangat halus tetapi menggoncang jiwa apabila kita membaca ayat 60 hingga 65 Surah An-Nisa’, adakah kita benar-benar beriman atau hanya merasa kita beriman? Ayat-ayat ini tidak sekadar berbicara tentang hukum. Ia membedah realiti hati manusia, bagaimana seseorang boleh mengaku beriman tetapi dalam masa yang sama memilih jalan selain daripada wahyu apabila diuji. Lebih menarik lagi, tadabbur ini datang tepat ketika kita hampir memasuki 1 Syawal, disaat kita meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Tetapi, kemenangan apa sebenarnya yang kita raikan?

Ayat 60 menggambarkan satu kelompok manusia yang mendakwa beriman, tetapi apabila berlaku perselisihan, mereka mencari penyelesaian kepada selain daripada apa yang Allah turunkan. Ia menjelaskan bagaimana keadaan manusia apabila iman tidak menjadi rujukan mereka dan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, konsep taghut merangkumi segala bentuk rujukan yang menolak hukum Allah. Maka, di sinilah ujian iman yang sebenar berlaku bukan ketika kita bercakap tentang iman. Tetapi ketika kita membuat keputusan.

Kita mungkin membaca Al-Quran setiap hari dalam Ramadan. Tetapi apabila berdepan konflik todak kiralah sama ada dalam keluarga, pekerjaan atau kehidupan, persoalannya adakah kita benar-benar kembali kepada wahyu?

Ayat 61 menjelaskan reaksi mereka apabila dipanggil kepada Allah dan Rasul, mereka berpaling. Ini sangat dekat dengan realiti kita. Inilah gambarannya, apabila kebenaran dipanggil tetapi hati berpaling darinya. Kadang-kadang kita tahu apa yang betul. Tetapi hati kita berat untuk menerimanya. Ia bukan kerana kita tidak faham, tetapi kerana kita tidak mahu melepaskan apa yang kita suka.

Ayat 62 membawa satu lagi dimensi yang sangat penting. Niat baik tidak sentiasa membenarkan jalan. Apabila mereka ditimpa akibat perbuatan mereka, mereka berkata, “Kami hanya mahu kebaikan dan perdamaian.”

Ini adalah bahasa yang sangat biasa dalam kehidupan hari ini. Ramai orang melakukan sesuatu yang salah, tetapi membungkusnya dengan niat yang baik. Namun Al-Quran mengajar satu prinsip penting iaitu niat yang baik tidak menghalalkan jalan yang salah.

Ayat berikutnya, 63, menyentuh tentang panduan dakwah yang menyentuh hati. Ayat ini memberi panduan yang sangat halus. Dakwah tidak perlu konfrontasi yang keras, memberi nasihat dan menggunakan kata-kata yang menyentuh jiwa. Ini mengajar kita bahawa perubahan manusia bukan hanya berlaku melalui hujah. Ia juga berlaku melalui sentuhan hati.

Al-Quran juga banyak menjelaskan tentang jalan kembali yang sentiasa terbuka untuk kita. Ayat 64 membuka satu ruang harapan. Jika manusia melakukan kesalahan, mereka boleh kembali, memohon ampun kepada Allah dan mencari jalan melalui Rasul. Ini menunjukkan bahawa walaupun seseorang tersasar, pintu kembali tidak pernah tertutup dan di sinilah mesej Ramadan bersambung dengan Syawal.

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah bahkan ia latihan untuk kembali dan Syawal adalah ujian, adakah kita akan terus berada di jalan itu, atau kembali seperti sebelum ini?

Ayat 65 membawa definisi iman yang sebenar. Ayat ini adalah klimaks kepada bahagian ini. Allah bersumpah bahawa seseorang tidak dianggap beriman sehinggalah menjadikan Rasul sebagai rujukan dalam perselisihan, tidak merasa berat terhadap keputusan itu serta menerima dengan sepenuh hati. Tafsir Al-Qurtubi menjelaskan, ayat ini menegaskan bahawa iman bukan sekadar kepatuhan zahir. Ia mesti sampai ke tahap kerelaan dalam hati.

Sedikit refleksi Syawal. Kita akan menyambut Aidilfitri dengan pakaian baru, makanan yang enak dan pertemuan bersama keluarga. Tetapi mungkin soalan yang lebih penting ialah, adakah hati kita juga baru? Selepas sebulan kita belajar menahan diri, menjaga lidah dan mendekatkan diri kepada Allah, adakah kita benar-benar berubah? Atau kita hanya menukar rutin sementara?

Ayat 60–65 mengingatkan kita bahawa kemenangan sebenar bukan pada berakhirnya Ramadan. Kemenangan sebenar ialah apabila kita terus, merujuk kepada Allah dalam keputusan, tunduk kepada kebenaran walaupun berat dan menjaga hati daripada penolakan halus terhadap wahyu.

Saya ajak bersama untuk kita fikirkan, dalam dunia hari ini, ramai orang mengaku beriman. Tetapi dalam masa yang sama, ramai juga yang memilih nilai berdasarkan keselesaan, menolak hukum apabila tidak selari dengan kehendak diri bahkan menggunakan alasan “niat baik” untuk membenarkan tindakan. Ayat-ayat ini mengajak kita keluar daripada zon selesa itu. Ia memaksa kita melihat iman bukan sebagai identiti, tetapi sebagai komitmen.

Oleh yang demikian, sebagai penutup Ramadan dan permulaan Syawal, mungkin kita boleh mengambil beberapa langkah seperti biasakan merujuk Al-Quran dalam keputusan hidup, latih hati untuk menerima kebenaran walaupun pahit, kurangkan rasionalisasi terhadap kesalahan diri serta hidupkan semangat taubat yang kita bina dalam Ramadan.

Akhirul kalam, ayat 60 hingga 65 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat jujur, iman bukan pada apa yang kita katakan, tetapi pada apa yang kita pilih dan mungkin inilah muhasabah paling penting menjelang Syawal. Apabila Ramadan pergi, adakah iman kita juga akan pergi? Atau kita akan terus berjalan di jalan yang sama, jalan kembali kepada Allah.

Thursday, March 19, 2026

Puasa dan Emosi: Mengapa Ramadan Sepatutnya Menjadikan Kita Lebih Tenang


Setiap kali Ramadan tiba, kita sering diingatkan tentang menahan lapar dan dahaga. Namun realitinya, cabaran terbesar dalam berpuasa bukan pada perut tetapi pada emosi. Kita mungkin mampu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari. Tetapi apabila berdepan dengan kesesakan jalan raya, tekanan kerja, karenah anak-anak atau kata-kata orang lain, emosi kita mula terganggu. Lalu timbul persoalan yang jujur, jika puasa itu ibadah, mengapa kita masih mudah marah?

Maka, ini menimbulkan kesedaran hakikatnya bahawa, puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi melatih jiwa. Allah SWT menjelaskan tujuan puasa dengan sangat jelas, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)

Ramai memahami taqwa sebagai takut kepada Allah. Tetapi dalam konteks kehidupan, taqwa sebenarnya adalah sistem kawalan dalaman diri kita. Ia adalah kemampuan untuk berkata kepada diri sendiri, “Aku boleh… tapi aku memilih untuk tidak.”

Ini menjadikan ibadah puasa sebagai satu bentuk latihan yang sangat unik. Ketika kita berpuasa, kita menahan perkara yang halal seperti makan, minum dan keinginan diri walaupun kita mampu melakukannya. Ini melatih kita untuk mengawal perkara yang lebih sukar, termasuk emosi. Puasa ini secara langsung adalah latihan menahan diri dari perut ke emosi.

Ilmu psikologi menjelaskan, kemampuan menahan keinginan dikenali sebagai delayed gratification. Ia adalah asas kepada kawalan diri. Bayangkan situasi ini. Makanan ada di depan mata. Tiada siapa melihat. Kita boleh sahaja makan. Tetapi kita menahan diri sehingga waktu berbuka. Jika kita mampu menahan perkara asas seperti ini, maka sebenarnya kita sedang melatih diri untuk menahan perkara lain juga seperti menahan marah ketika disakiti, menahan kata-kata kasar ketika tertekan atau mungkin menahan ego ketika dicabar. Oleh itu puasa bukan sekadar menahan lapar bahkan ia adalah latihan disiplin emosi dari akar keinginan manusia.

Puasa mengajar kita berhenti apabila marah datang. Rasulullah SAW bersabda, “Puasa itu perisai. Maka janganlah seseorang itu berkata kotor dan jangan bertengkar. Jika seseorang mencacinya atau mengajaknya bergaduh, katakan: Aku sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sangat mendalam. Ia tidak mengatakan bahawa orang berpuasa tidak akan marah. Tetapi ia mengajar sesuatu yang lebih penting iaitu apa yang perlu dilakukan ketika marah itu datang. Semua kita sedia tahu dalam kehidupan harian, kita sering bertindak secara spontan apabila ada orang potong kereta secara berbahaya, kita akan marah. Kadangkala ada orang tegur kita, kita akan bersikap defensive, tidak mahu dipersalahkan. Tidak kurang juga orang yang berkasar dengan kita, biasanya kita akan balas yang setimpal dengannya atau mungkin berlebihan. Namun puasa mengajar kita satu perkara yang jarang kita lakukan, berhenti seketika. Ayat “aku sedang berpuasa” bukan sekadar pemberitahuan, ia adalah brek emosi. Ia mencipta ruang antara perasaan dan tindakan dan dalam ruang itulah, kematangan emosi terbina.

Satu perubahan halus yang berlaku dalam Ramadan ialah kita menjadi lebih sedar terhadap diri sendiri. Kesedaran diri atau merasa sebelum bertindak. Kita sering mengingatkan diri aku sedang berpuasa, aku perlu jaga lidah atau aku perlu jaga sikap. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah: 197)

Kesedaran bahawa Allah sentiasa melihat menjadikan kita lebih berhati-hati dan dalam keadaan biasa, kita mungkin terus menengking anak apabila mereka membuat kesilapan. Tetapi dalam Ramadan, ramai yang mampu berhenti seketika, menarik nafas dan memilih respon yang lebih tenang. Puasa tidak menghapuskan emosi tetapi ia meningkatkan kesedaran sebelum emosi dilepaskan.

Salah satu keunikan puasa ialah ia berlaku tanpa pengawasan manusia di sinilah terhasilnya taqwa dan membolehkan pada manusia itu kawalan tanpa pengawasan. Seseorang boleh sahaja minum air di tempat tersembunyi, dan tiada siapa akan tahu. Namun dia tetap tidak melakukannya. Kenapa? Kerana dia sedar bahawa Allah melihat. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak berhajat pada dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari)

Ini menunjukkan bahawa nilai puasa bukan pada lapar, tetapi pada perubahan akhlak dan emosi. Apabila seseorang mampu mengawal dirinya tanpa pengawasan manusia, dia sebenarnya telah mencapai tahap kawalan emosi yang lebih tinggi.

Puasa juga membuka ruang empati. Empati boleh menatijahkan hati menjadi lembut. Apabila kita merasa lapar dan dahaga, kita mula memahami keadaan orang lain yang hidup dalam kesusahan. Rasulullah SAW digambarkan sebagai orang yang paling pemurah dan Baginda menjadi lebih pemurah di bulan Ramadan (Riwayat Bukhari).

Rasa lapar melembutkan hati. Ia mengurangkan ego, kemarahan dan keras hati lalu menggantikannya dengan belas kasihan, kesyukuran dan empati. Orang yang hatinya lembut, biasanya emosinya juga lebih terkawal.

Akhirnya, kita perlu jujur dengan diri sendiri. Adakah Ramadan kali ini berjaya sekolahkan emosi kita sebagai manusia? Jika selepas Ramadan kita masih cepat marah, masih kasar dalam percakapan dan masih mudah melenting maka, mungkin kita hanya berjaya menahan lapar dan dahaga tetapi belum benar-benar belajar daripada puasa. Rasulullah SAW bersabda, “Boleh jadi orang yang berpuasa, tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)

Oleh kerana itu, kita seharusnya sedar bahawa Ramadan sebenarnya adalah sekolah emosi. Ia melatih kita selama 30 hari untuk menjadi manusia yang lebih sabar, lebih tenang, lebih matang dalam bertindak

Kesimpulannya, satu persoalan yang perlu kita timbulkan adalah siapa mengawal hidup kita? Puasa mengajar satu soalan yang sangat penting, iman atau emosi yang kawal hidup kita? Jika kita berjaya menjadikan iman sebagai pemandu, maka emosi akan menjadi terkawal. Tetapi jika emosi yang memimpin, maka walaupun berpuasa, kita tetap akan, marah tanpa kawalan, bercakap tanpa fikir dan bertindak tanpa hikmah. Maka Ramadan bukan sekadar masa untuk menahan lapar. Ia adalah peluang untuk membina diri menjadi manusia yang lebih kuat bukan pada fizikal, tetapi pada jiwa dan emosi.

Wednesday, March 18, 2026

Amanah, Kuasa dan Prinsip Kepimpinan dalam Islam


Kita hayati surah An-Nisa’, kita melihat satu pola yang sangat menarik. Al-Quran tidak hanya mengkritik penyimpangan manusia, tetapi juga membina semula asas sebuah masyarakat yang adil. Ayat 52 hingga 59 berada tepat pada titik perubahan itu. Selepas ayat-ayat sebelumnya menyingkap bagaimana ilmu boleh diputar, bagaimana manusia boleh merasa dirinya suci dan bagaimana kebenaran boleh ditolak walaupun sudah jelas, bahagian ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar iaitu tentang apa yang berlaku apabila manusia kehilangan hidayah dan bagaimana masyarakat beriman sepatutnya dibina.

Ayat 52 adalah berkenaan kesan apabila hati dijauhkan dari rahmat. Ia membawa maksud mereka yang dilaknat oleh Allah dan apabila merujuk bahasa Al-Quran, jelas sekali laknat bukan sekadar kutukan. Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, keadaan ini menggambarkan manusia yang telah menutup dirinya daripada petunjuk sehingga dia tidak lagi mampu melihat kebenaran walaupun ia berada di hadapannya. Ini adalah tragedi rohani yang sebenar. Seseorang boleh memiliki kekayaan, kedudukan atau pengaruh, tetapi apabila rahmat Tuhan menjauh daripadanya, kehidupannya kehilangan arah.

Kita bersama memasuki ayat ke 53 yang menjelaskan dengan sinis tentang kuasa dan hati yang kedekut. Ayat ini bertanya dengan nada sinis, adakah mereka memiliki bahagian kekuasaan? Jika mereka memiliki kuasa sekalipun, mereka tidak akan memberi kepada manusia walaupun sedikit. Ayat ini menggambarkan satu sifat yang sering muncul apabila manusia melihat kuasa sebagai milik peribadi. Kuasa menjadi sesuatu yang perlu dipertahankan, bukan amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Sejarah manusia penuh dengan contoh ini. Apabila kuasa tidak lagi dilihat sebagai amanah, ia berubah menjadi alat untuk mengukuhkan kepentingan diri.

Kemudian ia diikuti dengan perbincangan tentang satu penyakit hati yang sangat tua dalam sejarah manusia iaitu iri hati dan bagaimana iri ini mengalahkan kebenaran. Sebahagian manusia menolak kebenaran bukan kerana ia salah, tetapi kerana mereka tidak suka siapa yang membawanya. Menurut tafsir Al-Tabari, ayat ini merujuk kepada iri hati sebahagian kelompok terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa wahyu. Ini adalah satu pelajaran yang sangat mendalam. Kadang-kadang manusia tidak menolak idea. Mereka menolak orang yang menyampaikan idea itu dan apabila iri hati menguasai hati, kebenaran yang jelas pun boleh kelihatan salah.

Terdapat dua reaksi terhadap wahyu dalam ayat 55 bahawa dalam kalangan manusia ada yang beriman kepada wahyu dan ada yang berpaling daripadanya. Ini menunjukkan bahawa wahyu tidak memaksa manusia untuk percaya. Ia membuka jalan, tetapi manusia tetap bebas memilih arah. Pilihan itu akhirnya menentukan masa depan rohani mereka. Sebahagian manusia melihat wahyu sebagai cahaya yang membimbing kehidupan dan tidak kurang juga sebahagian lagi yang melihatnya sebagai ancaman kepada kepentingan mereka.

Ayat 56 dan 57 memberikan gambaran akhir perjalanan. Ia menggambarkan dua destinasi yang sangat berbeza dimana bagi mereka yang menolak ayat-ayat Allah, Al-Quran menggambarkan azab yang berterusan. Sebaliknya bagi orang yang beriman dan melakukan kebaikan, dijanjikan syurga yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Gambaran ini mengingatkan bahawa kehidupan manusia bukan sekadar perjalanan dunia. Ia adalah perjalanan menuju satu keputusan akhir yang akan menentukan nasib mereka selama-lamanya.

Maka, tibalah kita kepada Prinsip Besar Masyarakat Beriman dalam ayat ke 58. Ia satu prinsip yang sangat penting dalam pembinaan masyarakat. Allah memerintahkan manusia untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan menghukum antara manusia dengan keadilan. Menurut tafsir Al-Qurtubi, ayat ini dianggap sebagai salah satu asas dalam sistem keadilan Islam. Dua konsep besar disebut secara jelas iaitu amanah dan keadilan. Amanah memastikan bahawa kuasa tidak disalahgunakan. Keadilan pula memastikan bahawa keputusan tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri. Tanpa dua prinsip ini, masyarakat akan mudah terjatuh ke dalam kezaliman.

Perbincangan hari ini ditutup dengan struktur ketaatan dalam Islam. Ayat 59 membawa kita kepada satu prinsip yang sering disebut dalam perbincangan tentang kepimpinan iaitu taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Namun ayat ini juga memberi satu garis yang sangat penting. Apabila berlaku perselisihan, perkara itu mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak. Ia berada dalam kerangka ketaatan kepada wahyu. Pemimpin dihormati, tetapi wahyu tetap menjadi rujukan tertinggi.

Struktur besar ayat 52–59 ini adalah apabila kita melihat keseluruhan ayat ini sebagai satu unit. Kita akan melihat satu perjalanan yang sangat jelas. Ia bermula dengan gambaran manusia yang kehilangan hidayah kerana penyakit hati seperti iri dan cinta kuasa diikuti dengan akibat menolak wahyu dan ganjaran kepada mereka yang beriman. Akhirnya, Al-Quran membina asas masyarakat beriman melalui dua prinsip besar iaitu amanah dan keadilan serta satu struktur ketaatan yang berpaksikan wahyu. Seolah-olah Surah An-Nisa’ sedang menunjukkan bahawa pembinaan masyarakat yang adil bermula daripada hati yang bersih dan sistem yang amanah.

Apabila membaca ayat-ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita mungkin melihat bahawa cabaran yang sama masih wujud. Kuasa sering dilihat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan, bukan sebagai amanah untuk melayani masyarakat. Perbezaan pendapat sering dipengaruhi oleh iri hati atau persaingan, bukan pencarian kebenaran. Situasi begini seharusnyanya mengingatkan kita bahawa kekuatan masyarakat tidak hanya bergantung kepada sistem politik atau ekonomi. Ia bergantung kepada dua perkara yang lebih asas iaitu kejujuran hati dan keadilan dalam kuasa.

Tadabbur ayat ini saya ingin mengajak kita melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan. Pertama, melihat setiap tanggungjawab yang kita pegang sebagai amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah. Kedua, berusaha berlaku adil dalam keputusan walaupun ia tidak menguntungkan diri kita. Ketiga, mengawal penyakit hati seperti iri dan keinginan terhadap kuasa yang boleh merosakkan hubungan manusia dan akhirnya, sentiasa kembali kepada wahyu apabila kita berhadapan dengan kekeliruan.

Ayat 52 hingga 59 Surah An-Nisa’ mengingatkan bahawa masyarakat yang adil tidak lahir secara kebetulan. Ia lahir apabila manusia memahami bahawa kuasa adalah amanah, keadilan adalah kewajipan dan wahyu adalah rujukan tertinggi. Apabila tiga perkara ini dijaga, masyarakat boleh bergerak menuju keseimbangan dan mungkin di situlah rahsia sebenar pembinaan tamadun dalam Al-Quran bahawa ia bermula dengan hati manusia yang tunduk kepada Tuhan sebelum ia membentuk sistem di dunia.

Tuesday, March 17, 2026

Rahsia Tarbiah Dalam Surah Al-Waqi'ah: Memahami Psikologi Tiga Golongan Manusia Dalam Dakwah


Banyak surah di dalam Al-Quran, Allah menggambarkan kehidupan akhirat sebagai satu peringatan kepada manusia. Namun dalam Al-Waqi'ah, terdapat satu dimensi yang sering kita terlepas pandang. Surah ini bukan sekadar menceritakan tentang hari kiamat. Ia sebenarnya menggambarkan psikologi manusia dalam perjalanan iman.

Allah membahagikan manusia kepada tiga golongan. Pertama, as-sabiqun. Iaitu golongan yang mendahului. Kedua, ashab al-Yamin atau golongan kanan dan ketiga ashab al-Shimal, golongan kiri. Pembahagian ini bukan hanya realiti di akhirat. Jika diperhatikan dengan teliti, ia juga menggambarkan dinamika manusia dalam dakwah, tarbiah dan gerakan Islam sepanjang zaman. Surah ini seolah-olah memberi kita satu peta psikologi manusia dalam perjuangan.

Golongan pertama yang digelar as-sabiqun adalah jiwa yang mendahului perubahan. Golongan ini sentiasa berada di hadapan dalam kebaikan. Mereka bukan sekadar orang yang baik. Mereka adalah manusia yang tidak menunggu orang lain untuk bergerak dan dalam psikologi tarbiah, golongan ini mempunyai beberapa ciri penting. Pertama, mereka cepat tersentuh dengan kebenaran. Kedua mereka memiliki kesedaran spiritual yang tinggi dan ketiga mereka sanggup berkorban lebih daripada orang lain. Golongan ini biasanya kecil jumlahnya.

Bahkan al-Qur’an sendiri memberi isyarat bahawa mereka lebih ramai dalam generasi terdahulu berbanding generasi kemudian seperti yang dikhabarkan dalam sejarah dakwah, golongan ini adalah mereka yang memulakan gerakan, menggerakkan perubahan dan memikul beban perjuangan yang berat. Tanpa golongan ini, kebangkitan umat tidak akan bermula. Namun cabarannya juga besar. Golongan ini sering berjalan lebih laju daripada masyarakat di sekeliling mereka.

Ashab al-yamin pula adalah golongan kedua yang majoritinya menyokong perubahan. Mereka juga berjaya dan mendapat nikmat syurga. Tetapi kedudukan mereka berbeza daripada golongan yang mendahului. Bahkan di dalam konteks dakwah dan gerakan, golongan ini biasanya merupakan majoriti masyarakat yang menerima kebaikan apabila ia sudah jelas. Mereka menyokong kebenaran, melakukan amal kebaikan dan hidup dengan nilai iman. Tetapi mereka tidak selalu menjadi yang pertama bergerak. Mereka memerlukan contoh, inspirasi dan kepimpinan.

Apabila golongan as-sabiqun memulakan perubahan, golongan ashab al-yamin akan menjadi kekuatan yang memperbesarkan gerakan tersebut. Jika kita lihat dalam mana-mana organisasi atau gerakan dakwah, golongan inilah yang sebenarnya membentuk kekuatan massa. Tanpa mereka, perubahan tidak akan meluas.

Golongan yang ketiga pula adalah ashab al-shimal yang mana mereka dinilai memiliki psikologi penolakan terhadap kebenaran. Mereka digambarkan dengan suasana yang penuh penderitaan di akhirat. Namun jika kita melihat lebih dalam, surah ini juga memberi gambaran tentang psikologi penolakan manusia terhadap kebenaran. Al-Quran menyebutkan bahawa mereka dahulu hidup dalam kemewahan, terus melakukan dosa besar lalu menolak idea kebangkitan selepas mati. Masalah mereka bukan kekurangan bukti. Masalah mereka ialah kesombongan hati dan dalam realiti dakwah, golongan ini sentiasa wujud. Mereka mungkin mengejek usaha perubahan, meremehkan nilai agama serta mempertahankan gaya hidup lama. Kehadiran mereka sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ia adalah sebahagian daripada sunnatullah dalam perjalanan dakwah.

Inilah realiti gerakan. Tiga golongan ini sentiasa wujud. Apabila kita melihat sejarah para nabi, pola ini sentiasa berulang. Setiap kebangkitan dakwah biasanya bermula dengan sekumpulan kecil manusia yang mendahului (as-sabiqun), kemudian majoriti yang akhirnya menyokong (ashab al-yamin), serta golongan yang terus menolak (ashab al-shimal). Perkara ini berlaku dalam dakwah Nabi Muhammad SAW dan ia terus berlaku dalam sejarah umat Islam. Surah ini sebenarnya mengajar kita satu perkara penting iaitu gerakan perubahan tidak pernah bermula dengan majoriti. Ia selalu bermula dengan sekelompok kecil manusia yang berani mendahului.

Akhirnya, tadabbur surah ini membawa kita kepada satu persoalan yang sangat peribadi iaitu dalam perjalanan kehidupan ini, kita berada di golongan yang mana? Adakah kita termasuk dalam mereka yang, mendahului dalam kebaikan, menyokong apabila perubahan telah bermula atau masih ragu-ragu terhadap kebenaran?

Surah ini mengingatkan bahawa kehidupan bukan sekadar tentang menjadi orang baik. Ia juga tentang sejauh mana kita berani mendahului kebaikan kerana dalam pandangan Allah, ada perbezaan antara mereka yang sekadar mengikuti dan mereka yang membuka jalan. Mungkin itulah rahsia besar yang tersembunyi dalam Al-Waqi'ah. Bahawa sejarah perubahan dunia sering dimulakan oleh sebilangan kecil manusia yang memilih untuk menjadi as-sabiqun.

Monday, March 16, 2026

Apabila Yang Pasti Itu Datang


Ada satu hakikat yang sering kita cuba lupakan. Hakikat bahawa kehidupan ini sebenarnya sedang bergerak menuju satu titik yang tidak boleh dielakkan. Al-Qur’an menamakannya sebagai Al-Waqi'ah atau peristiwa yang pasti terjadi. Bukan kemungkinan. Bukan ramalan. Tetapi sesuatu yang pasti berlaku. Surah ini tidak bermula dengan nasihat lembut.

Ia bermula dengan satu pengumuman yang tegas, “Apabila berlaku al-Waqi'ah, tiada siapa yang dapat mendustakannya.”

Seolah-olah Allah ingin menggoncang kesedaran manusia yang terlalu selesa dengan dunia. Dunia kelihatannya kukuh dan terlihat. Bumi kelihatan kukuh di bawah kaki. Gunung berdiri teguh di ufuk langit. Kehidupan berjalan seperti biasa. Tetapi surah ini membuka tirai dengan gambaran yang sangat berbeza. Bumi digoncang. Gunung dihancurkan. Segalanya menjadi debu yang berterbangan.

Al-Qur’an seperti ingin memberitahu sesuatu kepada kita, apa yang kita sangka kukuh, sebenarnya rapuh di sisi Allah. Dunia yang kita bina dengan segala usaha, kerjaya, reputasi dan kedudukan akhirnya hanyalah persinggahan yang sementara. Pada hari itu, apabila tiba masanya, manusia tidak sama. Ketika tirai akhirat dibuka, manusia tidak lagi berada dalam satu barisan yang sama. Surah ini membahagikan manusia kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah as-sabiqun. Mereka yang sentiasa mendahului dalam kebaikan. Mereka bukan sekadar orang baik. Mereka adalah manusia yang tidak menunggu orang lain untuk berbuat baik. Mereka bersegera kepada amal, kepada iman, kepada ketaatan dan kerana itu mereka berada paling dekat dengan Allah.

Kedua, datang ashab al-yamin, golongan kanan. Mereka juga berjaya. Mereka beriman dan beramal. Kehidupan mereka dipenuhi rahmat dan kenikmatan di syurga. Tetapi surah ini juga menyebut satu golongan yang lain iaitu ashab al-shimal. Golongan kiri. Mereka hidup di dunia dengan kesombongan, menolak kebenaran dan menafikan kebangkitan semula. Akhirnya mereka menyedari kesilapan itu apabila semuanya sudah terlambat.

Syurga memberikan gambaran yang menghidupkan harapan melalui surah ini. Ia melukiskan syurga dengan gambaran yang sangat hidup. Singgahsana yang tersusun indah. Buah-buahan yang tidak pernah habis. Minuman yang tidak memabukkan. Suasana damai yang tidak pernah terganggu. Semua ini bukan sekadar janji abstrak. Ia adalah realiti yang sedang menunggu mereka yang beriman. Kadang-kadang manusia merasa berat untuk berbuat kebaikan. Berat untuk bersabar. Berat untuk meninggalkan dosa. Tetapi gambaran syurga dalam surah ini seolah-olah berkata, segala pengorbanan itu tidak sia-sia.

Selepas menggambarkan kenikmatan syurga, surah ini membawa kita melihat sisi yang lain. Gambaran neraka yang menggerunkan. Golongan kiri berada dalam suasana yang sangat menyakitkan. Angin panas yang membakar. Air mendidih yang tidak dapat menghilangkan dahaga. Bayangan asap hitam yang tidak memberi kesejukan. Ia bukan sekadar hukuman fizikal. Ia adalah akibat daripada kehidupan yang penuh kesombongan terhadap Allah. Manusia yang merasa dirinya tidak memerlukan petunjuk akhirnya menghadapi realiti yang sangat pahit.

Menariknya, selepas menggambarkan akhirat, Allah tidak terus menutup perbincangan dengan mengajak kita berfikir. Allah mengajak manusia melihat dunia di sekeliling mereka. Siapa yang mencipta manusia? Siapa yang menumbuhkan tanaman daripada tanah yang mati? Siapa yang menurunkan hujan dari langit? Siapa yang mencipta api yang memberi manfaat kepada manusia? Soalan-soalan ini sebenarnya bukan untuk mencari jawapan. Jawapannya sudah jelas. Ia untuk menyedarkan manusia bahawa Tuhan yang mencipta kehidupan ini pasti mampu menghidupkan manusia semula selepas mati.

Tiba dipenghujung surah, Allah membawa kita kepada satu detik yang sangat dekat dengan kehidupan manusia. Saat yang tidak dapat dielakkan. Detik kematian. Ketika roh sampai ke kerongkong, manusia mula menyedari bahawa perjalanan dunia sudah hampir berakhir. Pada saat itu, keluarga tidak mampu membantu. Kekayaan tidak memberi manfaat. Kuasa tidak lagi bermakna. Segala yang tinggal hanyalah amal. Barulah jelas siapa yang tergolong dalam golongan yang dekat dengan Allah, siapa yang selamat dan siapa yang menyesal.

Surah ini sebenarnya tidak sekadar bercerita tentang akhirat. Ia meninggalkan satu soalan yang sangat peribadi kepada setiap pembacanya. Jika hari itu datang hari ini, aku berada dalam golongan yang mana? Adakah aku termasuk dalam mereka yang mendahului dalam kebaikan? Atau sekadar berharap untuk selamat? Atau sebenarnya masih hidup dalam kelalaian terhadap akhirat?

Kesedaran inilah yang akhirnya membawa kita kepada penutup surah yang sangat indah, “Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Agung.”

Seolah-olah selepas melihat seluruh perjalanan kehidupan dan akhirat, manusia akhirnya memahami satu hakikat yang besar. Bahawa kehidupan ini hanya akan bermakna apabila ia dipenuhi dengan kesedaran terhadap kebesaran Allah.

Sunday, March 15, 2026

Apabila Ilmu Tidak Lagi Membimbing


Ada satu ironi besar dalam sejarah manusia. Kadang-kadang mereka yang paling dekat dengan kitab suci bukanlah yang paling dekat dengan kebenaran. Mereka mungkin memiliki ilmu, hafalan dan tradisi keagamaan yang panjang, tetapi hati mereka tidak lagi jujur kepada wahyu.

Ayat 45 hingga 51 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada persoalan yang sangat mendalam iaitu apa yang berlaku apabila manusia mempunyai ilmu agama tetapi kehilangan kejujuran hati dan di sinilah kita melihat bagaimana kebenaran boleh diputar, bagaimana manusia boleh merasa dirinya suci dan bagaimana ilmu yang sepatutnya membimbing boleh berubah menjadi alat kesesatan.

Musuh yang tidak selalu jelas. Ayat 45 mengingatkan bahawa Allah lebih mengetahui siapa sebenarnya musuh kepada orang beriman. Musuh dalam ayat ini bukan semata-mata mereka yang menentang secara terang-terangan. Musuh kepada kebenaran, dalam banyak keadaan boleh datang daripada mereka yang kelihatan sangat dekat dengan agama. Tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini merujuk kepada sebahagian Ahli Kitab yang memusuhi Nabi Muhammad SAW walaupun mereka memiliki kitab dan pengetahuan tentang wahyu.

Namun ayat ini tidak berakhir dengan nada ancaman. Ia berakhir dengan satu kalimat yang sangat menenangkan, Allah cukup sebagai pelindung dan penolong. Seolah-olah Al-Qur’an mengingatkan bahawa dalam perjalanan mempertahankan kebenaran, yang menentukan kemenangan bukanlah bilangan manusia tetapi pertolongan Allah.

Ayat 46 menyebut tentang satu bentuk penyelewengan yang sangat halus iaitu memutar perkataan dari tempatnya. Bahasa digunakan untuk mengaburkan kebenaran. Menurut tafsir Al-Tabari, sebahagian manusia sengaja mengubah makna wahyu melalui permainan bahasa dan tafsiran yang diputar. Ini bukan sekadar kesalahan intelektual. Ia adalah strategi untuk mengaburkan kebenaran. Masalah manusia sering bukan kerana kebenaran tidak jelas. Masalahnya ialah kerana ada pihak yang mempunyai kepentingan untuk menjadikan kebenaran kelihatan kabur dan dalam sejarah agama, permainan tafsiran sering menjadi alat kuasa.

Sejarah sebagai cermin. Ayat 47 memberi peringatan kepada mereka yang telah menerima kitab sebelum ini supaya beriman kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Jika tidak, mereka diingatkan tentang nasib kaum yang melanggar perintah Tuhan pada hari Sabtu. Kisah itu bukan sekadar cerita sejarah. Ia adalah peringatan bahawa umat manusia sering mengulangi kesilapan yang sama iaitu mengetahui kebenaran tetapi mencari jalan untuk mengelaknya. Sejarah dalam Al-Qur’an bukan sekadar rekod masa lalu. Ia adalah cermin untuk manusia melihat dirinya sendiri.

Ayat 48 menyebut satu prinsip yang sangat penting dalam teologi Islam, Allah tidak mengampuni dosa syirik, tetapi Dia mengampuni dosa selain itu bagi sesiapa yang dia kehendaki. Ini adalah dosa yang paling besar. Syirik dianggap dosa paling besar kerana ia merosakkan asas hubungan manusia dengan Tuhan. Namun ayat ini juga membawa harapan yang besar. Selagi manusia tidak menyekutukan Allah, pintu pengampunan masih terbuka. Ini menunjukkan keluasan rahmat Tuhan yang tidak terbatas oleh kelemahan manusia.

Ingatlah, sangat bahaya bila kita merasa diri suci. Ayat 49 dan 50 menyentuh satu penyakit rohani yang sangat halus ini. Al-Qur’an bertanya dengan nada yang sangat tajam, adakah kamu melihat orang yang menyucikan diri mereka sendiri? Menurut tafsir Ibn Kathir, ini merujuk kepada kelompok yang percaya bahawa mereka pasti mendapat kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Mereka melihat diri mereka sebagai umat pilihan yang tidak mungkin tersalah. Ini adalah bentuk kesombongan rohani. Apabila manusia merasa dirinya sudah selamat, dia berhenti memeriksa dirinya sendiri. Padahal perjalanan rohani yang sebenar sentiasa bermula dengan kesedaran bahawa kita masih jauh daripada sempurna.

Apabila ilmu tidak lagi membimbing, ia menjadi satu hakikat yang sangat mengejutkan. Ayat 51 membawa kita perkara ini. Sebahagian manusia yang telah diberi kitab memilih untuk percaya kepada perkara yang batil dan bahkan menganggap pihak yang menentang wahyu lebih mendapat petunjuk dan dalam tafsir Al-Qurtubi, ayat ini menunjukkan bahawa ilmu tidak semestinya membawa kepada hidayah. Ilmu boleh menjadi cahaya, tetapi ia juga boleh menjadi alat kesesatan jika hati manusia tidak jujur. Hidayah bukan hanya soal mengetahui kebenaran. Hidayah adalah keberanian untuk menerima kebenaran walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri.

Apabila kita melihat ayat 45 hingga 51 sebagai satu unit, kita akan melihat satu perjalanan yang sangat mendalam. Ia bermula dengan peringatan tentang musuh kebenaran, kemudian menunjukkan bagaimana bahasa dan ilmu boleh digunakan untuk memutar makna wahyu, lalu membawa kepada bahaya kesombongan rohani dan akhirnya kepada hakikat bahawa ilmu tanpa kejujuran hati tidak akan membawa kepada hidayah. Ini adalah pelajaran yang sangat besar dalam sejarah agama. Kerosakan agama jarang bermula dengan kejahilan. Ia sering bermula dengan ilmu yang kehilangan keikhlasan.

Apabila membaca ayat-ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita mungkin menyedari bahawa cabaran yang sama masih wujud. Hari ini manusia mempunyai akses kepada ilmu agama yang sangat luas. Buku, ceramah, video dan perbahasan agama boleh ditemui di mana-mana. Namun pada masa yang sama, kekeliruan tentang agama juga semakin banyak. Kadang-kadang ilmu digunakan untuk memenangkan hujah, bukan untuk mencari kebenaran. Tafsiran digunakan untuk mempertahankan identiti atau kepentingan kelompok, bukan untuk mendekati kehendak Tuhan dan dalam keadaan seperti ini, persoalan yang paling penting bukan lagi siapa yang paling banyak tahu. Persoalan yang lebih penting ialah siapa yang paling jujur kepada kebenaran.

Tadabbur ayat ini mengajak kita melakukan beberapa perubahan penting dalam kehidupan rohani. Pertama, sentiasa memeriksa niat apabila kita mencari atau menyampaikan ilmu agama. Kedua, mengelakkan perasaan bahawa kita sudah cukup baik atau sudah pasti benar. Ketiga, menggunakan ilmu untuk mendekatkan manusia kepada kebenaran, bukan untuk memenangi perdebatan dan yang paling penting, sentiasa berdoa agar Allah menjaga hati kita daripada kesombongan rohani.

Ayat 45 hingga 51 Surah An-Nisa’ mengingatkan bahawa kebenaran bukan hanya soal ilmu. Kebenaran adalah soal hati. Seseorang boleh memiliki kitab, tradisi dan pengetahuan yang luas, tetapi jika hatinya tidak jujur kepada wahyu, ilmu itu tidak akan membimbingnya dan mungkin sebab itu Al-Qur’an tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk mengetahui kebenaran. Ia juga mengajar manusia bagaimana untuk tetap rendah hati di hadapan kebenaran.