Ada satu hakikat yang jarang kita fikirkan selepas Aidilfitri, Ramadan melatih kita. Syawal menguji kita. Ayat 66 hingga 74 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika mudah, tetapi bagaimana kita bertindak ketika iman menuntut sesuatu yang berat dan di sinilah persoalan sebenar muncul, adakah iman kita kekal selepas Ramadan atau ia hanya sementara sahaja?
Kita perlu fahami bahawa iman yang tidak diuji tidak akan terbukti. Ayat 66 menyebutkan bahawa jika Allah memerintahkan sesuatu yang sangat berat seperti meninggalkan kampung halaman atau pengorbanan besar, akan sedikit sahaja manusia yang benar-benar akan melakukannya. Ia jelas seperti yang dihuraikan salam tafsir oleh Ibn Kathir, ayat ini menggambarkan realiti manusia. Ramai yang mengaku beriman, tetapi tidak semua sanggup membayar harga iman. Ramadan mungkin telah melatih kita untuk menahan lapar, menjaga lidah dan bangun malam, tetapi Syawal akan bertanya, adakah kita sanggup mengekalkan itu semua tanpa suasana Ramadan?
Ingatlah, ketaatan membuka jalan hidayah. Ini dijelaskan dalam ayat 67–68 yang menjanjikan bahawa mereka yang benar-benar taat akan diberikan ganjaran besar dan petunjuk ke jalan yang lurus. Ini sangat penting. Hidayah bukan hanya datang sebelum ketaatan. Hidayah juga datang selepas ketaatan. Ini bermakna, setiap kali kita memilih untuk taat, Allah membuka jalan yang lebih jelas.
Ayat 69 adalah antara ayat paling indah dalam Al-Qur’an. Mereka yang taat akan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang soleh dan menurut tafsir Al-Qurtubi, ini adalah motivasi rohani yang sangat tinggi bahawa ketaatan bukan sekadar tentang pahala, tetapi tentang siapa kita akan bersama di akhirat bahkan di dunia, kita mungkin tidak berada dalam lingkungan orang soleh, tetapi di akhirat, kita diberi peluang untuk memilih, jalan kita menentukan siapa teman kita.
Ayat 70 mengingatkan bahawa semua itu adalah kurnia allah. Ia adalah rahmat yang tidak terlihat. Ini satu keseimbangan penting apabila kita berusaha tetapi Allah yang memberi hasil. Ia mengajar kita untuk tidak sombong dengan amal dan tidak putus asa dengan kelemahan.
Ayat 71–72 pula seterusnya membawa kita kepada realiti manusia yang sangat dekat. Ada yang lambat bertindak, ada yang penuh alasan, tidak kurang juga yang hanya bergerak apabila keadaan selamat. Ini bukan sekadar tentang peperangan. Ini tentang sikap hidup. Inilah yang boleh kita katakana sebagai iman yang bertangguh. Berapa banyak perkara baik yang kita tangguhkan? Berapa banyak perubahan yang kita tahu perlu dibuat, tetapi kita kata, “Nanti dulu…”
Ada pula manusia yang berada dalam kelompok beriman yang bersyarat. Ayat 73 menggambarkan satu lagi jenis manusia ini. Apabila mereka terlepas peluang kebaikan, mereka berkata, “Alangkah baiknya jika aku bersama mereka…” Ini adalah iman yang datang selepas hasil. Mereka tidak mahu bersama perjuangan, tetapi mahu bersama kejayaan. Ini sangat relevan selepas Ramadan. Ramai mahu pahala Ramadan, tetapi tidak semua mahu disiplin Ramadan.
Ayat 74 adalah klimaks kepada bahagian ini, “Hendaklah berjuang di jalan Allah mereka yang menjual kehidupan dunia dengan akhirat…”
Ini bukan tentang meninggalkan dunia sepenuhnya. Ini tentang meletakkan akhirat sebagai keutamaan. Janganlah sehingga kita menjual dunia untuk akhirat. Para mufassir menjelaskan, ayat ini menggambarkan manusia yang membuat pilihan yang jelas sama ada dunia di tangan atau akhirat di hati.
Kita muhasabah bersama, bahawa syawal adalah bulan ujian selepas tarbiah. Syawal bukan sekadar perayaan. Ia adalah ujian kesinambungan. Solat malam mungkin berkurang, tilawah mungkin semakin sedikit dan disiplin mungkin mula longgar. Tetapi di sinilah ayat 66–74 menjadi sangat relevan. Allah tidak hanya melihat bagaimana kita bermula. Allah melihat bagaimana kita meneruskannya.
Kehidupan moden kini, ramai orang mahu hasil tanpa proses. Mahukan berjaya tanpa disiplin, mahukan syurga tanpa pengorbanan bahkan mahukan perubahan tanpa kesungguhan. Ayat-ayat ini memecahkan ilusi itu. Iman bukan perasaan. Iman adalah pilihan yang datang berulang kali, setiap hari.
Oleh yang demikian, mari kita bersama berusahai untuk kekalkan satu amalan ramadan walaupun kecil, tetapi konsisten. Kedua, latih diri untuk tidak bertangguh dalam kebaikan. Jangan tunggu “masa sesuai”. Ketiga, nilai semula keutamaan hidup. Adakah kita benar-benar memilih akhirat? Terakhir, cari lingkungan yang baik kerana kita akan bersama siapa yang kita dekati.
Saya tutup dengan satu hakikat yang sangat jujur dari ayat 66 hingga 74 surah an-nisa’ ini iaitu iman itu mahal. Ia menuntut, kesabaran, pengorbanan dan kejujuran dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan. Adakah kita hanya kuat dalam suasana ramadan? Atau kita benar-benar sedang membina iman yang berterusan? Kerana akhirnya, iman bukan diukur pada satu bulan. Ia diukur pada kesetiaan sepanjang kehidupan.

No comments:
Post a Comment