Showing posts with label Ramadan 2020. Show all posts
Showing posts with label Ramadan 2020. Show all posts

Thursday, May 14, 2020

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR

Setiap tahun di Malaysia, umum mengetahui pada 17 Ramadhan merupakan sambutan hari nuzul Al-Quran. Sebahagiannya menyambut dengan bertadarus, sebahagiannya tilawah berkumpulan dan terkini, sempena PKP ini, ramai juga yang ber'group' whatsapp untuk tilawah, saling bertukar-tukar juzuk. Tidak juga dilupakan mereka yang mengambil peluang bercuti bahkan ada juga dikalangan kita yang tidak menyedarinya walaupun telah melaluinya saban tahun. Cabaran buat ummat Melayu untuk mengiktiraf Al-Quran sebagai sumber rujukan mereka apabila bahasa yang terpakai dalam Al-Quran bukan Bahasa Melayu. Maka, sebahagian besar ummat Melayu Islam di Malaysia menjadikan tilawah Al-Quran sebagai satu-satunya cara memuliakan Al-Quran. Ini merupakan satu fenomena yang cukup baik buat masa dahulu tetapi semakin tidak relevan pada hari ini. Bukanlah dimaksudkan tilawah itu tidak relevan, tetapi dengan hanya bertilawah itu sahaja yang menyebabkan ia menjadi tidak relevan. Keperluan untuk kita bersama menginsafi penurunan Al-Quran ini sendiri membawa kita bersama untuk menyelami atau mentadabbur makna-makna ayat Allah s.w.t.. Adalah menjadi kewajiban bagi Muslim untuk mengenali sumber rujukan utama ini untuk kita mempercayainya. Ramai para orientalis dan pemusuh Islam cuba mempertikaikan kitab yang kita rujuki ini atas dasar kesahihan serta keasliannya memandangkan umurnya sudah mencecah 1440 tahun. Pada mereka, mana mungkin, ia tidak terjejas dengan sebarang kerosakan pada tangan-tangan manusia. Cabaran dan persaingan mereka ini bukan baru bahkan telah berlaku sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Hud ayat 13 yang bermaksud;

“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: ‘Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

Kitab ini bukan milik Muhammad bahkan bukan milik mana-mana manusia di bumi ini. Kitab ini ada pemiliknya dan pemilik itulah yang memiliki seluruh alam raya ini. Maka, pemiliknya Yang Maha Besarlah pemelihara mutlak ke atas kitab ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Isra' ayat 88 yang bermaksud; 

“Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” 

Oleh sebab itulah segala cubaan untuk meruntuhkan kredibiliti Al-Quran sebagai sumber Islam yang mutawatir serta sebagai mukjizat Baginda Rasulullah s.a.w.. selalunya berakhir dengan kebuntuan. Tambahan pula, para pengkaji Al-Quran dari kalangan musuh-musuh Islam yang pada mulanya membenci Islam itu sendiri, setelah mentadabbur isi kandungan Al-Quran, pandangan mereka semakin lunak dan berhati-hati terhadap Islam. Boleh ditonton beberapa pandangan mereka yang bukan Islam di YouTube seperti Lesley Hazleton dan Gary Wills. DIA punya cara tersendiri untuk memeliharanya. Semua kita maklum terdapat pengukuhan dan penegasan mengenai penurunan Al-Quran di dalam Al-Quran itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud; 

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” 


Al-Quran Diturunkan Pada Malam Yang Dimuliakan 

Al-Quran diturunkan di dalam bulan Ramadhan tanpa diisyaratkan bila sebenarnya ia diturunkan. Para ulama' berbeza pendapat dalam hal penurunannya namun, pada dasar yang jelas, di dalam bulan Ramadhan. Maka kemuliaan bulan Ramadhan itu ditambah lagi selain dari kewajiban berpuasa. Allah juga berfirman di dalam surah Ad-Dukhaan ayat 3 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” 

Keberkatan malam itu yang dijanjikan kebaikannya menyamai 1000 bulan. Malam yang menjadi rahsia kewujudan bagi memberi peluang kepada semua insan untuk berterusan berusaha mencarinya sehingga ditemukan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qadr ayat 1 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” 


Al-Quran Adalah Al-Haq 

Ia merupakan kitab sebagai petunjuk kepada seluruh ummat yang beriman dengan keseluruhan isi kandungannya. Sebab itulah membaca serta memahaminya adalah perkara sama penting dan perlu dijadikan keutamaan buat ummat hari ini. Belajar membaca Al-Quran itu baik bahkan lebih baik sekiranya turut memahami isi kandungannya. Pandangan Lesley Hazleton dan Gary Wills berubah apabila mereka mula mentadabbur Al-Quran. Bagaimana insan yang bukan berbahasa Arab, bukan berbangsa Arab bahkan bukan Islam boleh menyelami sebaik itu makna di dalam Al-Quran. Hidayah itu milik Allah s.w.t. dan yang penting hidayah Allah s.w.t. itu kepada sesiapa sahaja selagi mana mereka mahu menjadi ummat yang berfikir. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Haj ayat 50 hingga ayat 54 yang bermaksud;

"Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia. Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan (kemauan untuk beriman); mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasulpun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitanpun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat, dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." 

Maka, dalam kita mencari-cari malam Lailatul Qadar, malam yang menentukan untung rugi kita, yang mana sebahagian ulama' menjelaskan ia sebagai malam ketetapan atau hukum. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Ia turut dikhabarkan turunnya para malaikat dan Jibril pada malam ini membawa rahmat serta disediakan keselamatan dan kebaikan sehingga terbit fajar. Adapun secara tepatnya bila akan berlaku telah punya perbincangan yang panjang oleh para ulama', namun adalah lebih molek sekiranya kita mengandaikan malam itu berlaku pada mana-mana malam sepanjang bulan Ramadhan agar dapat kita menghiaskan malam-malam Ramadhan kita dengan amalan-amalan kerohanian. Hikmahnya bukan pada mendapat malam tersebut, tetapi kepada pengamalan yang istiqamah untuk mencari redha Allah s.w.t.. Marilah bersama kita memperbanyakkan usaha untuk melakukan perkara-perkara berikut dan moga ia dapat diistiqamahkan. 
  1. Melakukan solat malam (Qiyamullail) 
  2. Berdoa memohon keampunan dan dihapuskan dosa yang lalu 
  3. Beriktikaf (mustahil dalam tempoh PKP) 
  4. Melakukan solat fardhu secara berjemaah 
  5. Perbanykkan membaca Al-Quran 
  6. Perbanyakkan doa, selawat dan zikir (khususnya wanita dalam keuzuran) 
  7. Memberi makan kepada orang yang berbuka (khususnya wanita dalam keuzuran) 
  8. Perbanyakkan sedekah (khususnya wanita dalam keuzuran)

Tiadalah kenikmatan yang lebih besar selain dari dianugerahkan malam Lailatul Qadar kepada ummat ini. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita diberikan rahmat, pengampunan serta di selamatkan dari azab api neraka. Ambillah ibrah penurunan Al-Quran serta sejarah disebalik kitab ini sebagai satu hikmah besar mengenai kepentingan berpegang dengannya. Al-Quran adalah cahaya buat hati yang malap. Al-Quran adalah penawar buat hati yang sakit. Al-Quran adalah penentu hak dan batil. Al-Quran adalah manual kehidupan yang wajib kita lazimi bacaannya dan hadami makna kandungannya. 

Wednesday, May 6, 2020

JANJI ALLAH DIBULAN RAMADHAN

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Pabila menjelang sahaja Ramadhan, maka ayat ini akan seperti diulang-ulang menjelaskan bahawa berpuasa dibulan Ramadhan ini adalah suatu kewajipan bagi muslim. Ia adalah kerukunan, Salah satu dari 5 pasak kemusliman kita. Maka kewajiban ini di Malaysia seolahnya menjadi keraian sehinggakan ramai yang menunggu dengan penuh debar dan tidak kurang yang mengadakan kenduri-kendara untuk menyambut Ramadhan. Inilah semangat yang dipertontonkan rakyat kita yang mana ia wajar berdasarkan kemuliaan yang Allah berikan kepada Ramadhan, bulan rahmat dan keberkatan. Namun, disebalik itu, tidak kurang juga yang menjadikan Ramadhan sebagai bulan kerehatan, bersenang-senang dan memperbanyakkan masa diperbaringan. Fenomena berbondong-bondong ke bazar Ramadhan juga sebahagian dari kebiasaan dahulu, namun, tahun ini, dengan PKP yang sedang berjalan, telah wujud norma baru dalam masyarakat. Kita tidak lagi berbondong-bondong ke bazar Ramadhan bahkan yang lebih menyedihkan, kita juga tidak diberikan kesempatan untuk berbondong-bondong berjemaah di masjid.

Penghujung ayat di atas, Allah meletakkan pengharapan kepada manusia untuk mendapatkan ganjaran ketakwaan, "supaya kamu bertakwa" melalui puasa di bulan Ramadhan. Pengharapan itu secara langsung menjelaskan bahawa, ia adalah sesuatu yang perlu diikhtiarkan, bukanlah hanya semata-mata tunggu, lalui dan dapat. Maka, kehadiran Ramadhan bersama PKP kali ini, haruslah kita bersama mengambil kesempatan yang sebaik mungkin untuk mencari ketakwaan itu. Bukanlah alasan Ramadhan ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, maka, kita tidak ada upaya, namun, norma baru ini jelas memberikan kita lebih banyak masa untuk memperbaiki pelbagai kekurangan diri sesama makhluk bahkan dengan Allah s.w.t. yang Maha Mengatur segalanya.

Pada bulan ini, bahkan kali ini, Allah telah memudahkan segala peluang untuk kita membuat amal kebajikan dalam kehidupan. DIA tempatkan kita di rumah bersama ahli keluarga untuk kita manfaatkan masa ini bersama sambil melakukan kebajikan buat mereka. Bukanlah namanya kebajikan hanya dengan solat, puasa, zakat, haji, tetapi, amal kebaikan seperti memberi makan, mendidik, membimbing, memberi nasihat, mengajak anak-anak dan isteri bertadarus, tadabbur Al-Quran, saling ingat-mengingatkan, saling bermesraan dan berkasih sayang juga sebahagian dari kebajikan. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu."

Maknanya, melalui Ramadhan, membuat atau melakukan kebaikan dimudahkan, dan secara automatik manusia akan mengurangkan perbuatan maksiat mereka dan Allah melindungi kita dari bisik was-was syaitan. Sebab itulah, mengisi kesempatan masa bersama keluarga dengan segala amal kebaikan juga sebahagian dari pintu-pintu syurga yang terbuka. Jika kita ingatkan kembali, mungkin, kita tidak pernah melalui pengalaman Ramadhan sebaik hari ini pada masa sebelum ini. Ramadhan juga adalah ibadah yang khusus untuk Allah. Sebagaimana dalam potongan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya"

Ibaratnya seperti, ibadah puasa ini, pahalanya kita akan terima terus dari Allah s.w.t. Ia menunjukkan betapa dimuliakan sungguh amal berpuasa ini sehinggakan Baginda Rasul s.a.w. sendiri pernah berkata bahawa Baginda amat suka amalnya diangkat pada tika Baginda berpuasa. Kemuliaan Ramadhan itu sendiri ada pada amal berpuasa itu. Puasa terlalu istimewa kerana ianya adalah perisai diri dari sikap dan sifat buruk manusia. Sebab itulah Baginda s.a.w. berpesan; "Apabila salah seorang kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata-kata dengan perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya ada orang yang mencaci atau memeranginya, dia hendaklah berkata, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa.'"

Ada dua kegembiraan yang dijanjikan untuk mereka ini iaitu, kegembiraan ketika berhari raya kerana kemenangannya melawan hawa nafsu dirinya dan ketika bertemu Tuhannya atas amalan puasanya itu. Namun, amat kita kesali hari ini, ramai diantara kita yang tidak mampu atau tidak mahu melakukan sepertimana yang disarankan oleh Baginda  Rasulullah s.a.w.. Benar, mereka tidak menyebutkan perkataan yang kotor, tetapi, ramai yang menulis sehingga menyakitkan hati orang lain. Mudah-mudahan, kita berjaya menjadi sebahagian dari orang yang menahan diri kita dari perbuatan buruk itu. Sabda Baginda Rasul s.a.w. lagi yang bermaksud; "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut sebagai Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa diseru menerusi pintu ini. Barangsiapa yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang berpuasa, dia akan masuk. Sesiapa yang memasukinya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya."

Kegembiraan itu disajikan melalui pintu khusus buat mereka yang berpuasa. Namun, mari kita muhasabahkan diri kita bersama, adakah puasa kita selayaknya memasuki pintu ini? Oleh sebab itulah, nilaian puasa itu pada tiga tahap iaitu puasa 'awwam', puasa 'khusus' dan puasa 'khususul khusus'. Sama ada puasa kita hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, atau dengan memahami serta menghayati erti sebenar ibadah puasa itu? Puasa adalah latihan buat nafsu dan diri kita. Sekiranya dalam bulan Ramadhan, dengan tidak makan dan minum pun kita masih gagal mengawalnya, bagaimana harus kita letakkan keadaan kita dalam tempoh sebelas bulan lagi yang tidak diperintahkan berpuasa?

Sabda Rasul s.a.w. yang bermaksud; "Sesungguhnya orang yang berpuasa itu akan didoakan keampunan oleh malaikat, jika ada yang makan disisinya sehinggalah mereka selesai."

Orang yang berpuasa akan mendapat perhatian dari malaikat dalam apa jua situasinya. Bayangkan bagaimana harus seseorang yang berpuasa itu melawan hawa nafsunya pada tika ada disisinya orang yang sedang menjamu selera. Sukar bagi hawa nafsu untuk ditahan melainkan dengan niat yang tulus dari orang yang mengamalkannya. Walaupun pada hakikatnya, berpuasa itu sendiri telah menjadi sebab kita diberikan pengampunan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "... dari satu bulan Ramadhan ke satu bulan Ramadhan akan datang ialah penghapus dosa, selama mana dia menjauhi perbuatan dosa besar."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang lainnya bermaksud; "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjarannya, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu."

Maka seharusnya kita terus membina cita-cita kecemerlangan dalam bulan Ramadhan untuk mengharap ganjarannya dan yang lebih utama adalah untuk mendapatkan ketakwaan. Seharusnya kita perlulah memastikan;

  1. kita terus menahan dari makan dan minum serta perbuatan yang membatalkan puasa itu sebagai latihan menahan nafsu syahwat yang mana jika tidak dididik akan merosakkan nilai ketinggian insan kerana hanya tunduk kepada kemahuan yang banyaknya didorong oleh syaitan. Terdapat dalam sepotong hadis yang bermaksud; "Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui peredaran darah, (sempitkanlah jalan-jalan syaitan dengan berlapar)."
  2. segala cabaran kesusahan di bulan Ramadhan adalah suatu pembelajaran mengenai kesukaran yang dilalui oleh insan lain yang serba kekurangan. Maka, perbanyakkanlah sedekah tanda kita benar-benar merasai dan menginsafi kesusahan mereka.
  3. agar diperbanyakkan amalan-amalan ketaatan kepada Allah s.w.t. kerana terkesannya pada perasaan lapar dan dahaganya ahli neraka. Maka hidupkanlah segala amal ketaatan secara istiqamah agar ia menjadi disiplin dalam kehidupan selepas Ramadhan.
  4. kita sentiasa menjadi insan yang bersyukur atas segala nikmat yang nampak dan tidak nampak (tersembunyi). Apa sahaja yang berlaku pada diri kita adalah dengan izin-Nya.
  5. diri kita terhalang dari sebarang bentuk pemikiran maksiat dan lintasan tindakan yang bertentangan dengan perintah Allah s.w.t. serta Baginda Rasulullah s.a.w.
Pada sebahagian ulama salaf apabila ditanyakan mengenai keutamaan berpuasa, mereka menjawab, "Sekiranya Allah s.w.t. melihat nafsuku dan mendapatinya sedang menggalakkan aku kepada makanan dan minuman lebih aku suka berbanding Dia melihat nafsuku ketika ia sedang menyeru untuk melakukan maksiat kepadanya jika aku kenyang."

Kesimpulannya, Allah janjikan kepada manusia dengan adanya Ramadhan, manusia diberikan peluang untuk membina ketaqwaan yang akan menempatkan mereka mulia di sisi Allah s.w.t. melalui kemudahan untuk melakukan kebaikan, pahala ganjaran secara terus dari Tuhan bersama dua kegembiraan. Satunya yang bertahun-tahun telah kita lalui dengan gembira iaitu hari raya dan keduanya pada ketika bertemu dengan Allah s.w.t.. Bahkan Allah menyediakan pintu khusus untuk mereka yang berpuasa iaitu pintu Ar-Rayyan. Allah juga menjanjikan keampunan untuk orang berpuasa. Janji Allah ini pasti ditepati. Sebagai persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan adalah, adakah kita telah menepati janji kita pula kepada Allah s.w.t.?

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 172 yang bermaksud;

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, 'Bukankah Aku Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab, 'Benar, kami menjadi saksi!' Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak; "Sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini."

Itu janji kita dan adakah kita sudah tunaikannya?

Saturday, May 2, 2020

BERBUAT BAIKLAH, JANGAN MARAH-MARAH

Mari sama-sama kita istighfar, mohonkanlah keampunan dari Allah s.w.t. tambahan kita sama-sama diberikan-Nya untuk merasai Ramadhan dan sekali lagi kita dicalonkan sebagai pemenang malam lailatul qadar. Telah kita berusaha membuat persiapan?

Alhamdulillah, saya dapat rasakan Ramadhan yang amat berbeza ini. Cara melaluinya, memenuhinya serta menginsafinya. Maka, DIA berikan saya peluang masa yang banyak untuk BACA, tadabbur, fahamkan hidup yang telah lama kita lalui dan mungkin saya dah mula cintakannya sehingga datang pula rasa takut kepada kematian. Saya berharap semua teman-teman juga dapat bermuhasabah dan memperbaiki akhlak. Saya fikir, hari ini, manusia lebih mudah bermuka-muka. Sebab memang mereka ada banyak muka (media sosial). Akhir zaman ini, zaman fitnah, saya yakin inilah salah satu dari ciri-cirinya.

Hari Rabu yang lepas saya berusrah online dengan teman-teman ABIM Kuala Selangor, berbincang tentang hikmah Ramadhan dan sekaligus saya lanjutkan kepada hikmah PKP dalam bulan Ramadhan (boleh baca posting sebelum ini). Banyak juga dibualkan termasuk mengenai isu Rohingya dan kemarahan netizen mengenainya. Allah takdirkan, beberapa minit sebelum usrah berlangsung, saya dihubungi seorang inspirator, Abang Naim Jaafar bercakap melalui perbualan telefon. Perbincangan itu tertumpu kepada persoalan pengurusan emosi secara khususnya adalah pengurusan marah. Marah boleh diurus, atau perlu ke urus marah?

Semua kita ada marah, dan sebenarnya kita yang memilih bagaimana untuk kita memberikan reaksi apabila kita marah. Ya, reaksi kita. Sebab itu, marah tidak salah, cuma selalunya kita salah dalam memberikan reaksinya. Bila isu netizen marah-marah etnik Rohingya ini, bagi mereka yang tahu sejarah, yang dalam diri mereka bukan marah tetapi reaksi kasihan. Orang kata, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Sepanjang PKP saya di rumah dengan anak-anak buah yang umurnya 4, 6, 8 dan 9, saya juga sedar kadangkala, marah kita langsung tidak masuk akal. Mengharapkan anak umur 4 tahun buat atau fikir macam saya yang umur dah nak masuk 40 tahun. Ini memang gilalah. Kalau kat rumah, emak ayah mengamuk pada anak-anak yang buat salah, fikirlah dulu, takut-takut, kita emak ayah ni yang ada tantrum. Anak kecil, kalau tak berlari, tak menangis tu bukan budak namanya, tu Baby Boss.

Sebab itu, bila kita baca komen-komen netizen dengan caci maki, kutuk hina dan pelbagai lagi carutan, jauh dalam hati saya dapat rasa, inilah agaknya rupa paras bangsa kita ini. Berasa diri mulia sehingga lupa mulia itu hanya dipinjamkan dan kemuliaan sebenar hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu. Semua orang berhak untuk beri pandangan tetapi bukan dengan hinaan dan cacian. Memang rakyat Malaysia ini perlu belajar bagaimana mengawal kemarahan, berfikiran rasional, walaupun saya sedar, untuk menerima pandangan yang kita sendiri tidak bersetuju memang susah. Saya ada pengalaman melaluinya, tetapi belajar juga untuk menerimanya, tetapi, memanglah mengambil masa untuk boleh let go. Diam, sambil berfikir, sebelum memberikan reaksi kepada pandangan dan itu rupanya jauh lebih susah! Kita dengar  dan tidak setuju, tetapi kita tidak terus respon, bahkan diam, berfikir kemudian timbang. Jika perlu respon, jika tidak diam. Pergh! Perasaannya, memang tidak terungkap nak menahan, tetapi hikmah disebalik setiap tindakan sebegitu, amat besar. Ya, itulah sebenarnya pengurusan marah.

Michaeleen Doucleff dan Jane Greenhalgh menulis dalam sebuah artikel bertajuk "How Inuit Parents Teach Kids To Control Their Anger", menceritakan bagaimana pengalaman Jean Briggs yang berkesempatan tinggal di sana, amat kagum apabila orang dewasa mereka mampu mengawal kemarahan mereka sehinggakan, tidak terlihat langsung pada wajah mereka walaupun si anak itu melakukan kesalahan yang amat menyakitkan hati. Bagi mereka, menunjukkan ciri-ciri kemarahan itu sahaja sudah dianggap lemah dan kebudak-budakan.

Apabila anak-anak buah saya tertumpah airnya ke lantai, saya cepat memberi reaksi dengan suara yang tinggi hendak menunjukkan mereka salah dan kalau geng emak-emak akan mulalah membebel. Emak saya dulu, datanglah cubit dan jegil biji mata. Soalan saya, salah ke perasaan kita untuk marah apabila air itu tumpah? Pada hemat saya, perasaan itu betul, tindakan itu juga tidak bersalahan, namun, jika dilihat dari sudut pembinaan manusia khususnya anak-anak, maka, reaksi kita itu menjadi contoh dan pelajaran sehinggakan, apabila mereka melakukan apa-apa perkara yang dirasakan salah, mereka akan sembunyikan bahkan berbohong, betul tak secara logiknya? Saya pasti itu natijahnya. Tugas kita ajarkan apa yang betul dan apa yang salah, orang kata belajar ada punihsment and reward. Jadi saya terfikir juga, jika anak kita buat baik kita cakap "bagus", jika tidak baik, kenapa kita tidak boleh cakap juga "ini tak bagus", kan? Pelik, tapi benar. Kenapa masyarakat kita cenderung untuk marah atau menjerit apabila melihat kesalahan? Mungkin ini, kita kena sama-sama fikirkan.

Ya, dari sudut pembangunan insan, atau pendidikan yang kita bincang kat sini. Kat sinilah keperluan untuk menguruskan marah yang mana sebahagiannya dijelaskan dalam ciri-ciri kesabaran, dan Allah bersama orang yang sabar. Sebab itu, bila banyak masa netizen depan skrin, mereka menyerlahkan bentuk pendidikan yang mereka terima. Contoh yang mereka dapat yang akhirnya membentuk sikap mereka. Netizen sebenarnya menunjukkan sikap kebencian, dan kebencian ini mungkin timbul dari banyaknya rasa takut kehilangan hak dan kelebihan. Pada saya, sebagaimana yang disuarakan pandangan ini oleh Sir Azhaari ketika usrah, ia disebabkan banyaknya usaha untuk menimbulkan kebencian berpuak-puakan dan berbangsa-bangsaan dalam negara kita hari ini. Amat tidak sihat dan amat menakutkan. Memandang manusia pada pandangan kehinaan bukan lagi pandangan kemuliaan. Padanlah, kebaikan yang ditunjukkan orang pun diremeh dan dipersoalkan.

Akhirnya, netizen sendiri tidak mampu mengawal diri untuk mengekalkan kebaikan, bukan kita minta untuk bantu Rohingya pun, cukuplah dengan sekadar tidak menghamburkan kata-kata buruk kepada manusia lain. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa' ayat 36 yang bermaksud;

"Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga diri."

Jika kita renungkan, saya ambil contoh orang Rohingyalah, saya terkesan betul dengan sikap orang kita ni, kalau kita nak cari taqwa bulan Ramadhan, dalam ayat tu, mereka termasuk dalam orang miskin, tetangga yang dekat sebab, sebahagian ulama tafsir dekat itu saudara SeMuslim, dan jauh itu bukan Muslim. Mereka juga tetangga yang jauh secara bahasanya, bahkan ibnu sabil, golongan yang kekurangan atau terluput makanan ketika dalam musafir. Perbuatan menghina mereka adalah perbuatan orang yang sombong dan bangga diri. Allahu.

Ya, salah satu faktor penarik kepada kemarahan adalah kesombongan itu sendiri sehingga memungkinkan kita menyakiti orang lain atau sedia melihat kesusahan orang lain. Come on lah, ini bukan yang Baginda Rasulullah s.a.w. ajarkan begitu juga para rasul dan anbiya' sebelumnya. Al-Quran dah tunjukkan, siapa yang ada sifat sombong macam ni, takkanlah dah lupa. Dalam Sahih Bukhari, Rasulullah bersabda;

Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia mengganggu tetangganya, barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaknya dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaknya dia berkata baik atau diam."

Diam tidak semestinya kalah, diam juga bukan jawapan kepada setuju. Bagi orang beriman, diam ini cerminan akhlak. Dalam diam, ada senyuman, kadangkala angguk kepala adakala geleng dan macam-macam. Yang penting hormat dan berikan masa jika kita menunggu jawapan. Saya nak sarankan kepada pembaca, pada aplikasi medsos kita ada butang like, share dan report. Like yang kita nilai itu baik, share yang kita setuju, dan report yang menunjukkan sifat buruk, memalukan dan yang menghina. Jika kita tidak bersetuju, responlah dengan bahasa yang baik atau diam sahaja sudah. Kita adalah sebagaimana ayat-ayat kita di media sosial. Bukan takut kena hina netizen sangat, sebenarnya takut kalau kena hina depan Allah esok.

Wednesday, April 29, 2020

HIKMAH PKP DALAM BULAN RAMADHAN

Sudah lebih sebulan rakyat Malaysia menjarakkan diri dari bersosial dan mendiam diri di rumah setelah didatangkan ujian dari Allah dengan makhluk halus yang sukar difahami kewujudannya namun nampak jelas keberadaannya sehingga menyebabkan kematian di seluruh dunia. Covid-19 dianggap sebagai ujian namun mungkin juga sebagai balasan kepada keengkaran dan kerakusan manusia ke atas amanah yang telah DIA berikan. Ujian atau bala, keduanya datang dari Allah s.w.t. yang pastinya menyuruh manusia untuk terus berfikir. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud;

"Mengapa kamu menyuruh orang lain dengan (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu lupa akan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Tidakkah kamu berfikir?"

Suruhan berfikir ini bukan satu malah banyak terungkap di dalam Al-Quran kerana inilah peranan kitab ini untuk menjadi penyuluh kepada orang-orang yang beriman. Kadangkala, apabila mendepani Covid-19 ini dengan mudah kita menuding jari gara-gara dosa orang lain tanpa kita sendiri menilai bagaimana peranan kita dan adakah terdapat faktor kita dalam situasi ini yang mengundang ujian sebesar ini. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 118 yang bermaksud;

"Dan (orang muysrikin) yang tidak berilmu pengetahuan berkata, "Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (tentang kebenaran Muhammad) atau datangkan kepada kami satu bukti yang jelas?" Demikian juga orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka, hati mereka semuanya serupa (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin."

Covid-19 adalah bentuk interaksi Allah s.w.t. dengan kita jika sekiranya kita menjadi orang yang berfikir. Dorongan berfikir adalah diasaskan oleh ilmu pengetahuan dan kembali semula kepada ayat pertama yang diwahyukan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dalam surah Al'Alaq ayat 1. "Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan". Allah s.w.t. hantarkan tentera halus ini sebagai peringatan buat mereka yang beriman untuk bermuhasabah diri tentang betapa banyaknya kelalaian yang kita telah penuhkan di dalam jiwa-jiwa kita.

Insan sebagai individu, kerap kita habiskan masa untuk kepuasan peribadi kita sehingga tergungkap pada lidah kita, "yang penting aku selamat" atau "yang penting bukan aku". Sebagai muhasabah, pernahkah ayat sebegini terpacul dari lidah kita dan atas apa sebabnya? Covid-19 menegur kita, disaat Allah berikan peluang untuk kita rebut kebaikan itu, kita mementingkan diri kita hanya kerana tidak mahu penat atau susah. Beristighfarlah. Jika kita berjawatan, bagaimana dilaksana amanah kita itu? Sesempurnanya atau seadanya? Jika kita ketua keluarga adakah mereka aman bersama kita atau sebaliknya. Semua itu, Covid-19 memainkan peranannya dengan sempurna atas perintah dari Nya. Peringatan yang telah Allah s.w.t. ajarkan kepada kita di dalam Al-Quran juga dari surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa, serta hasil tanaman. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar".

Allah berfirman dalam surah yang sama pada awalnya ayat 45 yang bermaksud;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya solat itu amat berat kecuali kepada orang yang khusyuk."

Sebelum kehadiran Covid-19, solat kita bagaimana? Berjemaah atau bersendirian? Awal atau akhir waktu?  Sempurna atau asalkan solat? Sekiranya Covid-19 ini ujian untuk orang beriman, maka ketika ini, kitalah insan yang makin khusyuk solatnya, makin bersegera apabila masuk waktunya dan tidak akan lepaskan peluang berjemaah walaupun hanya berdua. Orang beriman akan bercita-cita untuk menjadi lebih baik selepas didatangkan ujian besar ini. Bagi anak-anak mungkin tidak terlalu merasainya, tetapi untuk yang mukallaf, bebannya tentu berat untuk dipikul.

Maka, ambillah saranan ini, bahkan Maha Kaya Allah memberikan kita melaluinya di dalam bulan Ramadhan, syaitan terbelenggu dan yang ada cuma nafsu yang perlu diperbetulkan. Perbanyakkan masa membaca Al-Quran dan mentadabburnya. Sempurnakanlah solat serta bermuhasabahlah akan peranan kehambaan serta kemanusiaan kita di dunia. Tampak mudah hari ini, tetapi yakinlah, ia pasti tidak mudah selepas tamat PKP ini. Berubah itu hidayah, namun bahagian yang paling sukar adalah isriqamah.