Apakah tujuan seorang anak pergi ke sekolah setiap hari? Adakah hanya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang? Adakah hanya untuk mengumpul sijil dan memperoleh pekerjaan yang baik pada masa hadapan? Semua itu penting, tetapi pendidikan mempunyai tujuan yang jauh lebih besar. Pendidikan sepatutnya membentuk manusia yang berilmu, berakhlak dan mampu memberikan manfaat kepada orang lain.
Sebab itu, dalam perjalanan menuntut ilmu, adab tidak boleh dipisahkan daripada ilmu. Seorang pelajar mungkin mampu menghafal banyak fakta dan memperoleh keputusan yang tinggi, tetapi jika ilmu itu tidak menjadikannya lebih menghormati guru, lebih menghargai ibu bapa, lebih bertanggungjawab dan lebih baik akhlaknya, masih ada sesuatu yang belum lengkap dalam proses pendidikannya.
Ilmu mengangkat darjat, adab menentukan arah hidup. Ilmu memberikan kita pengetahuan, tetapi adab menentukan bagaimana pengetahuan itu digunakan. Maka, dengan ilmu, seseorang boleh menjadi pintar manakala dengan adab, seseorang belajar menjadi manusia yang baik.
Bayangkan seseorang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi menggunakan ilmunya untuk menipu, merendahkan orang lain atau mencari keuntungan dengan cara yang salah. Ilmunya mungkin menjadikannya hebat pada pandangan manusia, tetapi tidak semestinya menjadikannya insan yang bermanfaat.
Sebaliknya, seseorang yang memiliki ilmu dan adab akan menggunakan pengetahuannya untuk membantu, menyelesaikan masalah, membimbing orang lain dan melakukan kebaikan. Inilah sebabnya pendidikan tidak seharusnya hanya bertanya, “Berapa A yang kamu dapat?”, tetapi juga perlu bertanya, “Apakah yang ilmu itu telah lakukan kepada diri kamu?”
Saya senaraikan 7 prinsip belajar dengan adab. Pertama, betulkan niat. Belajar bukan semata-mata untuk mendapatkan pujian, mengalahkan rakan atau membanggakan diri. Belajarlah kerana ilmu itu diperlukan untuk membina diri, membantu keluarga, memberi manfaat kepada masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia.
Kedua, hormati guru. Guru bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi insan yang membantu membuka jalan kepada ilmu. Memberi perhatian ketika guru mengajar, mendengar nasihat, menjaga tutur kata dan menghargai usaha guru merupakan sebahagian daripada adab menuntut ilmu.
Ketiga, sayangi ilmu. Hargai buku, pelajaran dan peluang untuk belajar. Jangan menganggap belajar sebagai beban semata-mata. Setiap ilmu yang diperoleh hari ini mungkin menjadi sesuatu yang sangat bernilai apabila kita berhadapan dengan cabaran kehidupan pada masa akan datang.
Keempat, berdisiplin dan istiqamah. Ilmu tidak diperoleh dalam satu hari. Ia memerlukan usaha yang berterusan. Belajar sedikit tetapi konsisten lebih baik daripada belajar banyak hanya ketika peperiksaan semakin hampir.
Kelima, fokus dan serius ketika belajar. Dunia hari ini menawarkan terlalu banyak gangguan, khususnya melalui telefon pintar dan media sosial. Pelajar perlu belajar mengawal teknologi, bukan membiarkan teknologi mengawal kehidupan mereka.
Keenam, berdoa dan bertawakal. Usaha perlu disertai dengan doa. Sebagai seorang Muslim, kita sedar bahawa ilmu dan kefahaman merupakan kurniaan Allah SWT. Allah mengajar kita untuk berdua, “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” (Surah Taha: 114)
Doa ini ringkas, tetapi sangat besar maknanya. Kita bukan sekadar meminta supaya mengetahui lebih banyak perkara, tetapi memohon agar Allah menambahkan ilmu yang bermanfaat kepada kita.
Ketujuh, berkongsi ilmu dan memberi manfaat. Ilmu menjadi lebih bermakna apabila ia digunakan untuk membantu orang lain. Apa yang kita tahu boleh dikongsi dengan rakan yang belum faham. Apa yang kita pelajari boleh digunakan untuk membantu keluarga dan masyarakat.
Adab tidak mungkin menghalang kejayaan. Ada yang menganggap adab sebagai sesuatu yang hanya berkaitan dengan sopan santun. Hakikatnya, adab mempunyai kaitan yang sangat besar dengan kejayaan. Pelajar yang beradab biasanya lebih mudah menerima teguran. Mereka tidak malu untuk bertanya apabila tidak faham. Mereka mampu menghargai pandangan orang lain dan bersedia memperbaiki kesilapan. Semua sifat ini sebenarnya membantu seseorang berkembang.
Sebaliknya, apabila seseorang merasakan dirinya sudah cukup pandai dan tidak perlu lagi belajar daripada orang lain, perkembangan dirinya boleh terhenti. Sebab itu, rendah hati ialah sebahagian daripada budaya ilmu. Orang yang benar-benar mencintai ilmu akan sentiasa merasakan masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
Ilmulah yang membentuk kehidupan. Pendidikan yang sebenar bukan hanya mengubah apa yang ada dalam kepala, tetapi juga mengubah apa yang ada dalam hati dan diterjemahkan melalui tindakan. Ilmu sepatutnya menjadikan kita lebih bijak membuat keputusan. Adab menjadikan kita tahu bagaimana menggunakan kebijaksanaan itu. Akhlak pula memastikan apa yang kita lakukan memberi manfaat kepada orang lain.
Inilah keseimbangan yang kita mahukan dalam pendidikan anak-anak. Mereka perlu ada ilmu, adab serta akhlak untuk menjadi insan yang berkualiti. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya bijak menjawab soalan peperiksaan tetapi tidak tahu menghormati manusia. Kita mahu melahirkan generasi yang cerdas fikirannya, baik akhlaknya, kuat jiwanya dan besar manfaatnya kepada masyarakat.
Menuntut ilmu adalah perjalanan seumur hidup. Akhirnya, belajar bukanlah sesuatu yang berakhir apabila tamat sekolah. Sekolah hanyalah salah satu tempat untuk kita belajar. Kehidupan sendiri adalah sebuah sekolah yang tidak pernah berhenti memberikan pelajaran. Belajarlah daripada guru. Belajarlah daripada buku. Belajarlah daripada pengalaman. Belajarlah daripada kesilapan dan yang paling penting, belajarlah untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada diri kita semalam.
Ilmu yang tinggi tanpa adab boleh menjadikan manusia angkuh, tetapi ilmu yang dipandu oleh adab akan melahirkan manusia yang memberi manfaat. Belajarlah dengan adab, jagalah akhlak dan amalkan ilmu kerana akhirnya, kejayaan bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita tahu, tetapi sejauh mana ilmu itu menjadikan kita manusia yang lebih baik dan bermanfaat. Adab menjadi asas, ilmu menjadi kuasa dan akhlak menjadi warisan.

No comments:
Post a Comment