Showing posts with label Cabaran Akhir Zaman. Show all posts
Showing posts with label Cabaran Akhir Zaman. Show all posts

Saturday, July 4, 2026

Lalai di Sebalik Skrin: Teknologi yang Mendekatkan atau Melalaikan?



“Telah hampir kepada manusia hari perhitungan mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai dan berpaling.” (Surah Al-Anbiya’: 1)

Kita hidup dalam zaman yang sangat berbeza daripada generasi terdahulu. Hari ini, dunia berada di hujung jari. Hanya dengan sebuah telefon pintar, kita mampu membaca berita dari seluruh dunia, mengikuti kuliah agama secara langsung, berhubung dengan keluarga yang jauh, menjalankan urusan perniagaan dan menuntut ilmu tanpa sempadan. Teknologi merupakan satu nikmat yang besar daripada Allah SWT.

Namun, di sebalik segala kemudahan itu, muncul satu persoalan yang perlu direnungkan bersama. Adakah teknologi mendekatkan kita kepada Allah atau sebenarnya sedang melalaikan kita daripada mengingati-Nya?

Persoalan inilah yang diangkat oleh al-Quran melalui firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 1 hingga 3. Menariknya, Allah tidak memulakan ayat tersebut dengan menyebut manusia sebagai kufur atau zalim. Sebaliknya, Allah menyebut satu penyakit hati yang sering dipandang ringan tetapi mampu membuka pintu kepada pelbagai dosa, iaitu kelalaian (ghaflah).

Kelalaian bukan sekadar lupa. Kelalaian ialah keadaan apabila hati terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak lagi peka terhadap akhirat. Mata melihat, tetapi tidak mengambil pengajaran. Telinga mendengar, tetapi tidak meresap ke dalam jiwa. Hati masih hidup, namun seolah-olah tertutup daripada peringatan Allah.

Hari ini, antara bentuk kelalaian yang paling hampir dengan kita ialah kelalaian di sebalik skrin. Bayangkan rutin kita setiap pagi. Sebaik sahaja membuka mata, apakah yang pertama kita capai? Telefon atau al-Quran? Telefon atau doa? Telefon atau wajah pasangan dan anak-anak?

Ramai antara kita memulakan hari dengan membaca puluhan mesej, notifikasi dan status media sosial sebelum sempat mengucapkan syukur kepada Allah atau membaca zikir pagi. Sebelum mata menikmati kalam Allah, mata sudah dipenuhi pelbagai cerita manusia. Sebelum hati mengingati Allah, fikiran sudah disibukkan dengan urusan dunia dan di sinilah bermulanya kelalaian.

Realiti masyarakat Malaysia juga memberikan gambaran yang membimbangkan. Malaysia merupakan antara negara yang mencatat penggunaan internet yang tinggi di dunia. Purata rakyat Malaysia menghabiskan sekitar lapan hingga sembilan jam sehari di internet. Penggunaan media sosial pula mencecah sekitar tiga jam sehari bagi sebahagian besar pengguna. Oleh itu, kita dapat hitungkang dalam tempoh setahun, ribuan jam dihabiskan menatap skrin.

Lebih membimbangkan, beberapa kajian tempatan mendapati sebahagian besar remaja menunjukkan tanda-tanda penggunaan telefon pintar atau media sosial yang bermasalah. Bergantung kepada kumpulan yang dikaji, prevalensnya berada sekitar 30 peratus hingga melebihi 50 peratus. Kajian lain pula melaporkan hampir separuh pelajar sekolah menengah dalam sampel tertentu mengalami ketagihan internet, manakala satu kajian di Selangor mendapati hampir tiga perempat pelajar yang dikaji menunjukkan tanda ketagihan media sosial.

Angka-angka ini bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa. Sebaliknya, ia mengajak kita bermuhasabah. Jika sebegitu banyak masa dihabiskan bersama skrin, berapa banyak pula masa yang kita luangkan bersama al-Quran? Jika kita begitu pantas menyemak notifikasi telefon, adakah kita juga begitu pantas menyahut seruan azan?

Hakikatnya, masalah sebenar bukanlah telefon pintar. Masalah sebenar ialah kelalaian yang menguasai hati. Islam sama sekali tidak memusuhi teknologi. Bahkan sejarah Islam membuktikan bahawa umat Islam sentiasa memanfaatkan segala kemajuan yang ada untuk menyebarkan ilmu, membina tamadun dan memudahkan kehidupan manusia. Teknologi hanyalah alat. Nilainya bergantung kepada siapa yang menggunakannya dan untuk tujuan apa ia digunakan.

Telefon pintar boleh menjadi jambatan menuju syurga apabila digunakan untuk membaca al-Quran, mendengar kuliah, menyebarkan dakwah, membantu orang lain dan mengeratkan silaturahim. Namun telefon yang sama juga boleh menjadi pintu kepada kelalaian, fitnah, pembaziran masa, penyebaran maksiat dan kerosakan akhlak apabila digunakan tanpa kawalan. Sebab itu, skrin tidak pernah berdosa tetapi yang perlu dijaga ialah hati yang melihatnya.

Kesan kelalaian ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan. Ada yang lebih mengenali kehidupan pempengaruh media sosial daripada jiran tetangga sendiri. Ada yang begitu tekun membalas mesej orang jauh tetapi tidak lagi berbual dengan pasangan dan anak-anak di rumah. Ada ibu bapa yang memberikan telefon kepada anak-anak bagi menggantikan perhatian dan kasih sayang. Ada pula yang menangguhkan solat kerana ingin menghabiskan satu video atau permainan.

Semua ini bukan sekadar isu teknologi. Ia ialah isu adab, amanah dan keutamaan dalam kehidupan. Lebih membimbangkan, alam digital turut membuka ruang kepada budaya mengumpat, memfitnah, menyebarkan aib, menonton kandungan tidak bermoral dan menghabiskan masa tanpa manfaat. Apa yang ditaip dengan jari mungkin hanya mengambil beberapa saat, tetapi kesannya boleh berpanjangan di dunia dan dipersoalkan di akhirat.

Allah SWT mengingatkan dalam Surah Qaf ayat 18, “Tidak ada suatu perkataan pun yang diucapkannya melainkan di sisinya ada malaikat pengawas yang sentiasa siap mencatat.”

Hari ini, bukan sahaja perkataan yang diucapkan. Setiap komen yang ditulis, gambar yang dimuat naik, video yang dikongsi dan kandungan yang dicari juga berada dalam pengetahuan Allah SWT. Tiada satu pun yang tersembunyi daripada-Nya. Akhirnya, marilah kita kembali kepada peringatan Allah dalam Surah Al-’Asr, “Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”

Surah yang pendek ini mengingatkan bahawa ukuran sebenar kehidupan bukanlah berapa pantas capaian internet kita atau berapa lama masa kita berada di hadapan skrin, tetapi bagaimana kita memanfaatkan masa yang Allah amanahkan. Telefon yang kehabisan bateri masih boleh dicas semula. Namun umur yang telah berlalu tidak akan kembali. Jangan sampai kita bertemu Allah dengan bateri telefon sentiasa penuh, tetapi bateri iman semakin kosong. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita hati yang sentiasa hidup dengan zikrullah, mata yang melihat dengan penuh hikmah, serta kebijaksanaan menggunakan teknologi sebagai wasilah mendekatkan diri kepada-Nya, bukan sebagai sebab yang melalaikan kita daripada tujuan sebenar kehidupan. Masalah kita bukanlah skrin di tangan, tetapi kelalaian di hati.

Wednesday, June 3, 2026

Menjaga Pandangan di Zaman Digital: Benteng Hati yang Semakin Diuji



Hari ini kita dalam kehidupan moden, manusia dibanjiri dengan pelbagai bentuk visual yang datang tanpa henti. Jika dahulu seseorang perlu keluar rumah untuk melihat perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, hari ini segala-galanya hadir terus ke dalam genggaman melalui telefon pintar. Gambar, video, iklan, hiburan dan media sosial memenuhi ruang kehidupan sehingga mata menjadi antara anggota yang paling sibuk bekerja setiap hari.

Oleh kerana itulah Islam memberikan perhatian yang sangat besar terhadap penjagaan pandangan. Menundukkan pandangan bukan sekadar adab atau akhlak yang dianjurkan, bahkan ia merupakan satu perintah Allah SWT yang mempunyai hikmah yang amat besar terhadap kesucian hati, kestabilan emosi dan keselamatan iman seseorang. Firman Allah SWT, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.” (Surah an-Nur: 30)

Ayat ini menunjukkan bahawa penjagaan mata adalah langkah pertama dalam menjaga maruah, kehormatan dan kesucian diri manusia kerana mata adalah pintu masuk ke dalam hati. Ulama sering mengingatkan bahawa hati tidak rosak secara tiba-tiba. Kebanyakan kerosakan hati bermula daripada perkara kecil yang berulang-ulang sehingga akhirnya menjadi kebiasaan. Sebab itu terdapat ungkapan yang sangat menarik, “Pandangan mata adalah mula setiap kejadian. Api yang marak bermula daripada sedikit percikan.”

Satu pandangan mungkin kelihatan kecil. Namun pandangan yang tidak dikawal boleh melahirkan khayalan. Khayalan pula menimbulkan keinginan. Keinginan yang tidak dibendung akhirnya menjadi tindakan. Maka benarlah kata para ulama bahawa banyak dosa besar bermula daripada dosa kecil yang dianggap remeh.

Pandangan yang haram bukan sekadar melihat sesuatu yang dilarang, bahkan ia membuka ruang kepada syaitan untuk memasuki hati manusia. Syaitan menghiasi apa yang dilihat sehingga perkara yang salah kelihatan indah dan perkara yang berbahaya kelihatan menyeronokkan. maka disinilah datangnya hikmah menundukkan pandangan. Islam tidak pernah memerintahkan sesuatu tanpa hikmah. Perintah menundukkan pandangan mengandungi pelbagai manfaat yang besar kepada manusia.

Menundukkan pandangan adalah tanda seseorang mendahulukan perintah Allah daripada kehendak nafsunya. Ketika seseorang mampu mengalihkan pandangannya daripada perkara yang dilarang walaupun tiada siapa yang melihat, saat itu dia sedang membuktikan ketakwaannya kepada Allah SWT.

Ia juga merupakan cara untuk kita menutup pintu fitnah dan maksiat. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa pandangan yang tidak dijaga merupakan salah satu panahan beracun syaitan. Maksiat jarang bermula dengan perbuatan besar. Sebaliknya ia sering bermula dengan pandangan yang berulang-ulang sehingga melahirkan ketagihan dan keinginan yang sukar dikawal.

Orang yang menjaga pandangannya akan merasakan hubungan yang lebih dekat dengan Allah SWT. Hatinya menjadi lebih lembut, lebih tenang dan lebih mudah menikmati kemanisan ibadah. Sebaliknya, pandangan yang tidak terkawal sering menyebabkan seseorang merasa jauh daripada Allah walaupun ibadahnya masih dilakukan.

Apabila hati bebas daripada gangguan syahwat dan dosa, jiwa menjadi lebih kuat. Seseorang akan memiliki ketenangan dalaman yang sukar dibeli dengan wang ringgit. Ramai manusia mencari kebahagiaan melalui hiburan dan keseronokan mata, sedangkan kebahagiaan sebenar datang daripada hati yang bersih dan dekat dengan Allah.

Allah SWT turut berfirman dalam Surah an-Nur ayat 35 tentang cahaya hidayah yang menerangi kehidupan manusia. Para ulama menjelaskan bahawa hati yang taat akan dipenuhi cahaya petunjuk, manakala hati yang sentiasa terdedah kepada maksiat akan menjadi gelap dan sukar menerima kebenaran. Sebab itu orang yang menjaga pandangan sering diberikan kepekaan terhadap kebenaran dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Antara hikmah yang disebut oleh para ulama juga ialah Allah akan mengurniakan firasat yang baik kepada orang yang menjaga pandangannya. Hatinya lebih mudah membezakan antara kebenaran dan kebatilan, antara keikhlasan dan kepura-puraan. Menundukkan pandangan sebenarnya melatih disiplin diri. Orang yang mampu mengawal matanya biasanya lebih mampu mengawal lidahnya, emosinya dan tindakannya. Kekuatan sebenar bukanlah kemampuan menundukkan orang lain, tetapi kemampuan menundukkan hawa nafsu sendiri.

Cabaran hari ini adalah dalam hal menjaga pandangan dalam dunia digital. Jika dahulu ujian pandangan berlaku di pasar, di jalan raya atau di tempat perhimpunan, hari ini ujian itu berada dalam poket kita sendiri. Media sosial, aplikasi video pendek dan pelbagai platform hiburan menjadikan manusia terdedah kepada ribuan imej setiap hari. Algoritma pula akan terus memaparkan kandungan yang sama berdasarkan apa yang pernah dilihat oleh pengguna. Inilah cabaran besar generasi hari ini.

Seseorang mungkin tidak berniat mencari maksiat, tetapi jika dia tidak berhati-hati, kandungan yang merosakkan akan terus muncul di hadapan matanya. Oleh itu, menundukkan pandangan pada zaman digital bukan sekadar mengalihkan mata. Ia juga bermaksud memilih kandungan yang ditonton, menapis akaun yang diikuti, mengawal penggunaan media sosial, mengelakkan laman dan aplikasi yang merosakkan hati, menggunakan teknologi dengan disiplin dan tujuan yang jelas.

As-sunnah turut mengajar kita memelihara pandangan. Rasulullah SAW bukan sahaja mengajar umatnya supaya menjaga pandangan, bahkan Baginda sendiri menunjukkan contoh yang terbaik seperti dalam satu peristiwa ketika Haji Wada', Al-Fadhl bin Abbas memandang seorang wanita yang datang bertanya kepada Rasulullah SAW. Baginda melihat keadaan tersebut lalu mengalihkan wajah Al-Fadhl ke arah lain. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam tidak menunggu sehingga seseorang terjerumus ke dalam dosa yang besar. Sebaliknya Islam menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada dosa. Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk anak Adam. Zina kedua mata ialah pandangan.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa dosa besar tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia mempunyai jalan-jalan kecil yang perlu dijauhi sejak awal. Oleh sebab itu hari kita ingat, menjaga pandangan adalah menjaga masa depan. Hakikatnya, mata bukan sekadar alat melihat. Mata adalah penjaga hati. Apa yang masuk melalui mata akan membentuk pemikiran. Pemikiran membentuk perasaan. Perasaan membentuk tindakan. Tindakan pula membentuk kehidupan seseorang.

Sebab itu para ulama sering menyebut dari mata pergi ke hati kemudian hasilkan tindakan yang menjadi budaya dalam kehidupan. Jika mata dijaga, hati akan terpelihara. Jika hati terpelihara, kehidupan akan dipenuhi keberkatan. Perintah menundukkan pandangan bukanlah sekatan yang menyusahkan manusia, tetapi benteng yang melindungi manusia daripada kerosakan yang lebih besar. Allah SWT tidak melarang sesuatu melainkan kerana kasih sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya.

Maka, dalam dunia yang semakin sarat dengan godaan visual, menjaga pandangan menjadi satu bentuk jihad yang perlu dilakukan setiap hari. Ia mungkin tidak dilihat oleh manusia, tetapi ia sangat bernilai di sisi Allah SWT. Semoga Allah mengurniakan kepada kita mata yang melihat kebenaran, hati yang bersih daripada syahwat dan jiwa yang sentiasa terpaut kepada-Nya. Cabaran umat dahulu ialah menjaga mata ketika berada di luar rumah. Cabaran umat hari ini ialah menjaga mata ketika memegang telefon di dalam rumah. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah yang berjaya memelihara pandangan, menjaga kehormatan dan memperoleh cahaya hidayah-Nya di dunia serta di akhirat. Aamiin.

Monday, May 25, 2026

Bila Dunia yang Kita Kejar Rupanya Sangat Singkat


Tadabbur Surah TaHa Ayat 99–113

Ada masa dalam hidup kita, dunia terasa terlalu besar. Masalah terasa panjang. Tekanan terasa menyesakkan. Kita sibuk mengejar banyak perkara seperti pekerjaan, pengiktirafan, kestabilan hidup, penerimaan manusia sampai kadang-kadang kita lupa bahawa semua ini sebenarnya sangat sementara. Surah TaHa ayat 99 hingga 113 membawa kita keluar seketika daripada kisah Nabi Musa dan membawa kita terus melihat satu hakikat besar bahawa dunia yang manusia rasa begitu penting hari ini, suatu hari nanti akan terasa seperti hanya satu hari yang singkat.

Allah memulakan ayat ini dengan menjelaskan bahawa kisah-kisah yang diceritakan dalam al-Quran bukan sekadar sejarah. Ia adalah peringatan. Bukan untuk memenuhi rasa ingin tahu, tetapi untuk menyedarkan hati manusia. Namun Allah juga memberi amaran bahawa sesiapa yang berpaling daripada peringatan ini akan memikul satu beban yang sangat berat pada hari kiamat. Menariknya, Allah menggunakan perkataan beban yang mana dalam kehidupan hari ini, manusia sering bercakap tentang beban hidup sama ada beban kerja, tekanan emosi, komitmen keluarga, kewangan dan harapan masyarakat. Tetapi Surah TaHa mengingatkan bahawa beban paling berat bukanlah keletihan dunia. Beban paling berat adalah dosa yang dibawa hingga ke akhirat.

Dunia moden sangat pandai mengajar manusia untuk memandang ringan dosa. Banyak perkara yang dahulu membuat manusia berasa bersalah, kini dianggap normal. Maksiat dibungkus sebagai hiburan. Kelalaian dianggap gaya hidup. Bahkan ada manusia yang berasa lebih takut kehilangan pengaruh media sosial daripada kehilangan hubungan dengan Allah. Namun ayat ini membawa kita kepada satu suasana yang sangat berbeza iaitu diwaktu hari sangkakala ditiup. Hari manusia dikumpulkan dalam keadaan takut dan lemah. Hari semua yang selama ini dibanggakan tidak lagi memberi makna.

Apa yang lebih menyentuh hati, manusia pada hari itu akan berasakan hidup di dunia sebenarnya sangat singkat. Ada yang berkata mereka tinggal hanya sepuluh hari dan ada pula yang mengatakan bahkan hanya sehari. Semua penat lelah dunia yang pernah memenuhi fikiran manusia tiba-tiba terasa terlalu kecil dibandingkan dengan akhirat yang terbentang tanpa penghujung. Ini satu tamparan lembut kepada jiwa kita hari ini. Betapa banyak perkara yang kita terlalu risaukan sekarang sebenarnya tidak akan membawa makna besar di akhirat nanti. Perselisihan kecil, perlumbaan dunia, keinginan untuk sentiasa dilihat berjaya, semua itu akan mengecil pada hari manusia berdiri di hadapan Allah.

Kemudian Allah menggambarkan gunung-gunung dihancurkan sehingga bumi menjadi rata dan kosong. Gunung yang selama ini manusia lihat sebagai simbol kekuatan dan kestabilan juga akan hilang. Seolah-olah Allah sedang memberitahu bahawa tiada apa yang benar-benar kekal di dunia ini. Pada hari ini dalam kehidupan moden, manusia sangat bergantung pada sesuatu yang dianggap stabil contohnya simpanan, kerjaya, status sosial, hubungan dan mungkin teknologi. Tetapi ayat ini mengajar bahawa segala kestabilan dunia boleh runtuh pada bila-bila masa manakala yang kekal hanyalah Allah.

Ingatlah apabila manusia dikumpulkan nanti, semua suara menjadi perlahan. Tidak ada lagi kebisingan dunia. Tidak ada lagi manusia meninggikan diri. Tidak ada lagi perdebatan untuk menunjukkan siapa paling benar. Semua tunduk di hadapan Tuhan Yang Maha Pemurah. Ayat ini sangat dalam untuk direnung dalam dunia hari ini yang terlalu bising. Manusia bercakap tanpa henti. Semua orang mahu didengar. Semua orang mahu memberi pendapat. Semua orang mahu menang dalam perdebatan. Tetapi di akhirat nanti, manusia hanya mampu berbisik dalam ketakutan.

Allah kemudian menjelaskan bahawa pada hari itu, syafaat tidak akan berguna kecuali bagi mereka yang diizinkan-Nya. Ini memecahkan pergantungan palsu manusia kepada nama, kedudukan, atau hubungan tertentu. Tidak ada siapa yang boleh menyelamatkan manusia tanpa izin Allah. Pada saat itu, di tengah-tengah suasana yang menggetarkan itu, datang satu ayat yang sangat menenangkan, “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh sedang dia beriman, maka dia tidak takut akan dizalimi dan tidak pula dikurangkan haknya.”

Dunia hari ini memperlihatkan alangkah ramainya manusia hidup dalam ketakutan. Takut tidak dihargai, takut usaha tidak dipandang, takut diperlakukan tidak adil. Bahkan ramai wanita memendam rasa penat kerana berasa terlalu banyak memberi tetapi sedikit dihargai. Ayat ini datang sebagai pelukan buat hati orang beriman. Allah tidak pernah zalim. Tidak ada satu kebaikan pun yang hilang. Tidak ada satu pengorbanan pun yang tidak diketahui-Nya. Walaupun manusia tidak nampak, Allah tetap mencatat.

Kemudian Allah menutup bahagian ini dengan menjelaskan tujuan al-Quran diturunkan. Al-Quran bukan sekadar bacaan untuk dihabiskan. Ia diturunkan supaya manusia bertakwa, sedar dan kembali mengingati Allah. Inilah cabaran besar umat hari ini. Ramai yang membaca al-Quran, tetapi sedikit yang benar-benar membiarkan al-Quran mengubah hidup mereka. Ada yang membaca dengan suara merdu, tetapi hati masih jauh daripada takut kepada Allah. Ada yang menghafal ayat, tetapi tidak sempat merenung maknanya.

Surah TaHa ayat 99 hingga 113 mengajak kita berhenti seketika daripada kesibukan dunia dan bertanya satu soalan yang sangat penting, jika dunia ini sebenarnya sangat singkat, apa yang sedang kita habiskan hidup kita untuk? Bagi seorang muslimah hari ini, ayat-ayat ini sangat dekat dengan kehidupan harian. Kita hidup dalam tekanan untuk sentiasa mengejar sesuatu untuk menjadi lebih berjaya, lebih cantik, lebih sempurna, lebih diterima. Tetapi akhirnya, semua itu akan berlalu dan yang tinggal hanyalah apa yang dibawa kepada Allah.

Mungkin sebab itu Allah sering mengingatkan tentang akhirat. Bukan untuk menakutkan semata-mata, tetapi untuk membetulkan fokus hati manusia. Supaya kita tidak terlalu tenggelam dalam dunia yang sementara sehingga lupa kepada kehidupan yang kekal. Akhirnya, Surah TaHa mengajar kita bahawa hidup ini bukan tentang siapa paling hebat di dunia, tetapi siapa yang paling bersedia ketika dunia sudah tidak lagi bermakna.

Friday, April 17, 2026

Ketika Kebenaran Terasa Kecil dalam Dunia yang Penuh Ilusi


Ada saat dalam hidup kita di mana kebenaran terasa sunyi. Kita tahu apa yang betul, kita cuba berpegang dengannya, tetapi dunia di sekeliling seolah-olah bergerak ke arah yang berbeza. Hari ini, yang salah nampak meyakinkan, yang batil disusun rapi dan yang benar pula kelihatan kecil, bahkan kadang-kadang dipersoalkan.

Surah Taha ayat 52 hingga 64 membawa kita ke satu babak yang sangat hidup dalam kisah Nabi Musa iaitu satu pertembungan terbuka antara kebenaran dan kepalsuan, antara wahyu dan sihir, antara seorang nabi dan sebuah sistem kuasa yang besar bernama Firaun. Namun jika diteliti dengan hati, kisah ini bukan sekadar sejarah. Ia adalah cermin kepada dunia hari ini.

Firaun memulakan dialog dengan satu soalan yang kelihatan intelektual, tetapi sebenarnya bertujuan mengelirukan. Dia tidak menjawab mesej yang dibawa Musa, sebaliknya mengalih perbualan kepada isu lain, mengenai generasi terdahulu. Ini adalah teknik lama yang masih hidup hingga hari ini. Bila kebenaran tidak mampu disangkal, perbincangan dialihkan. Fokus dikaburkan. Soalan ditukar.

Tetapi jawapan Musa tidak terperangkap dalam permainan itu. Baginda menjawab dengan tenang bahawa semua itu berada dalam pengetahuan Allah, Tuhan yang tidak pernah lupa dan tidak pernah tersilap. Jawapan ini seolah-olah mengajar kita satu prinsip besar, tidak semua provokasi perlu dilayan, dan tidak semua perdebatan perlu dimenangi. Ada waktunya, ketenangan adalah bentuk kekuatan yang paling tinggi.

Hari ini, kita melihat perkara yang sama berulang. Kebenaran sering tidak ditolak secara langsung, tetapi dipusingkan, dilemahkan atau dilabel sebagai sesuatu yang mengancam. Firaun menuduh Musa datang untuk merampas kuasa dan mengganggu kestabilan negeri. Ini bukan kerana Musa salah, tetapi kerana kebenaran yang dibawa Musa mengancam kedudukan Firaun.

Sejarah ini berulang dalam bentuk yang lebih halus. Apabila seseorang memilih untuk hidup dengan prinsip, menjaga maruah diri atau kembali kepada agama dengan lebih serius, tidak jarang dia akan dilihat sebagai melampau, berubah, atau tidak sesuai dengan zaman. Kebenaran tidak lagi dinilai pada isinya, tetapi pada sejauh mana ia mengganggu keselesaan orang lain.

Kemuncak kisah ini adalah apabila Firaun mengumpulkan ahli-ahli sihir terbaik untuk mencabar Musa. Ia bukan sekadar pertembungan individu, tetapi pertembungan antara dua cara melihat realiti yang mana satunya berasaskan wahyu dan satu lagi berasaskan ilusi.

Ahli sihir itu melemparkan tali dan tongkat mereka, tiba-tiba ia kelihatan seperti ular yang bergerak. Ia menakjubkan, meyakinkan dan cukup untuk membuat sesiapa yang melihatnya merasa ragu. Inilah sifat ilusi, ia tidak perlu benar untuk kelihatan benar.

Sukar untuk tidak melihat persamaan dengan dunia kita hari ini. Kita hidup dalam zaman di mana persepsi sering mengatasi realiti. Media sosial membentuk gambaran hidup yang sempurna, walaupun hakikatnya tidak begitu. Naratif boleh dibina dan diulang sehingga ia terasa benar maka yang penting bukan lagi apa yang hakiki, tetapi apa yang kelihatan. Oleh itu, dalam keadaan ini, kebenaran boleh terasa lemah. Ia tidak seindah ilusi, tidak sepopular kepalsuan dan tidak semudah untuk diterima. Namun Surah Taha mengajar kita sesuatu yang sangat mendalam iaitu kekuatan ilusi hanya terletak pada pandangan mata, bukan pada hakikatnya.

Apa yang menarik, sebelum pertembungan itu berlaku, ahli-ahli sihir itu berkumpul dan menyusun strategi mereka. Mereka datang dengan kesatuan, keyakinan dan perancangan yang rapi. Ini memberi satu gambaran realistik bahawa kepalsuan sering nampak kuat bukan kerana ia benar, tetapi kerana ia teratur dan bersatu dan di sinilah ujian sebenar bagi orang yang memilih kebenaran. Bukan sekadar mengetahui apa yang benar, tetapi mampu bertahan ketika kebenaran itu tidak disokong ramai, tidak dipuji dan tidak diberikan tempat.

Bagi seorang muslimah hari ini, ayat-ayat ini membawa satu refleksi yang sangat dekat dengan realiti kerana dalam dunia yang menilai wanita berdasarkan rupa, pencapaian luaran dan penerimaan sosial, memilih untuk hidup dengan nilai iman kadang-kadang terasa seperti berenang melawan arus. Menjaga batas, menjaga maruah, menjaga hubungan dengan Allah, semua ini tidak selalu dipandang sebagai kekuatan oleh dunia.

Namun Surah Taha mengingatkan bahawa ukuran sebenar bukan terletak pada pandangan manusia, tetapi pada penilaian Allah yang tidak pernah lupa. Apa yang dilakukan dengan ikhlas, walaupun tidak dilihat, tetap tercatat. Apa yang benar, walaupun tidak popular, tetap benar.

Kisah Musa di hadapan Firaun mengajar kita bahawa kebenaran tidak perlu kelihatan kuat untuk menjadi kuat. Ia hanya perlu kekal sebagai kebenaran dan dalam setiap zaman, walau sekuat mana pun ilusi yang dibina, ia tetap tidak mampu mengatasi hakikat yang datang daripada Allah. Mungkin dalam hidup kita hari ini, kita tidak berhadapan dengan ahli sihir atau pemerintah zalim seperti Firaun. Tetapi kita berhadapan dengan ilusi dalam bentuk yang lebih halus seperti tekanan sosial, perbandingan hidup, naratif yang memesongkan dan ketakutan untuk menjadi berbeza maka, dalam semua itu, Surah Taha seakan berbisik, tidak mengapa jika kita tidak nampak menang di mata manusia. Tidak mengapa jika jalan yang kita pilih terasa sunyi kerana dalam dunia yang penuh ilusi, yang paling penting bukanlah siapa yang kelihatan benar, tetapi siapa yang benar di sisi Tuhan.