Showing posts with label Teori Keibubapaan I.D.E.A.L.. Show all posts
Showing posts with label Teori Keibubapaan I.D.E.A.L.. Show all posts

Thursday, September 10, 2020

SEDARKAH, KITA YANG MENJADI PUNCA ANAK KURANG KEYAKINAN DIRI? (1)

Tekanan kehidupan amat memberikan kesan kepada corak kehidupan kita hari ini. Kehidupan yang semakin pantas, sibuk dan diperbanyakkan dengan tanggungjawab dan bebanan menjadikan sebahagian besar kita dalam keadaan serba serbi tergesa-gesa dan selalu berada dibawah kawalan masa, hilang kawalan diri kita kepada masa kita sendiri. Kerap kali berasa masa itu tidak mencukupi untuk kita. Dua puluh empat jam yang dianugerahkan kalau boleh sepertinya mahu ditambah atau diminta lebih masa. Namun apakan daya diri manusia yang kerdil ini, sesungguhnya masa bukan dalam kawalan kita sebagai manusia. Kehidupan begini mampu menjadikan seorang individu itu hilang kawalan diri dan lebih khuatir buat kita semua apabila ia terkait rapat dengan keadaan anak-anak kita yang sedang membesar di dalam rumah kita sendiri.

Penat akan menjadikan kita insan yang lebih mudah marah dan hilang kawalan diri. Secara langsung sikap kita ini akan memberikan kesan kepada perkembangan anak-anak yang menyambut kepulangan diri kita ke rumah. Penat bertukar kepada marah dan akan menghasilkan beberapa tindakan yang perlu dielakkan ibu bapa dalam proses perkembangan diri anak-anak yang dinilai akan mampu menjejaskan keyakinan diri mereka. Kemarahan kita kadangkala akan ditempiaskan dengan beberapa tindakan luar kawal dan berlebihan yang masa kita boleh bersama mengelakkannya.

Pertama, mula membandingkan anak-anak kita dengan anak-anak jiran atau teman-teman kita. Secara dasarnya kita tahu, mustahil anak-anak kita akan dapat menyamai keadaan anak-anak orang lain kerana mereka berada dalam persekitaran yang seratus peratus berbeza antara keduanya. Sebab itu, wasapadalah dan elakkan dari kita menyalahkan anak-anak. Sebab itu, pada setiap kesalahan dan kelemahan yang ada pada anak-anak kita, dahuluilah dengan istighfar kerana pada mereka ada diri kita. Mereka itu datang dari kita sendiri. Perangai dan sikap mereka adalah cerminan diri kita sendiri. Sentiasa ingat yang itu. Kedua, tidak mahu memuji dan menghargai mereka. Mulalah belajar memuji dan menghargai setiap kebaikan yang ditonjolkan oleh mereka. Pada setiap perbuatan itu, berilah fokus kepada kebaikan-kebaikannya bukan hanya keburukan semata-mata. Keburukan itu bukan alasan untuk kita membenci mereka, tetapi keburukan itu untuk kita memperhalusi apakah pelajaran baik disebaliknya. Tariklah nafas panjang apabila anak-anak melakukan kesalahan dan ringankanlah mulut kita untuk mengucapkan terima kasih, sayang dan tahniah apabila mereka berjaya.

Ketiga, elakkan dari mengkritik sifat, keupayaan atau ciri-ciri pada diri mereka. Lembab, gemuk, kurus keding, pendek dan seumpamanya. Kadangkala dapat kita dengari ada ibu bapa yang sengaja memanggil anak-anaknya dengan gelaran tertentu dengan  niat mengejek dan mengecilkan mereka bahkan ia dilakukan di tempat terbuka dan dihadapan orang ramai. Ini amat menyedihkan. Kitalah ibu yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan kitalah bapa yang menyambut kelahiranya tetapi kita juga orang yang gagal menilai mereka seadanya, seolah-olah lupa bahawa anak-anak itu amanah yang perlu kita jaga kerana itu adalah bekalan yang akan ditanya dihadapan tuhan kelak. Sekaligus, sifat ibu bapa ini akan membawa kepada sikap yang keempat iaitu tidak dapat menerima kekurangan pada diri anak-anak. Pengakhiran sikap ini akan berlaku pengabaian dan tidak mahu mengambil peranan dalam kehidupan mereka. Ini samalah seperti mempersoalkan apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. kepada diri kita. Gagal kita menerima mereka petanda gagal kita mengambil ia sebagai sebahagian dari ujian tuhan kepada manusia. Terimalah anak-anak kita seadanya. Selagi ada upaya sediakan yang terbaik untuk mereka. Itulah amanah kita.

Tidak dinafikan, apabila anak-anak sukar dikawal atau tidak seperti yang diharapkan, maka ibu bapa akan mula bersikap mengawal setiap keputusan yang dibuat oleh mereka. Segalanya ditentukan dan ditetapkan kerana takut untuk mereka memalukan diri kita sebagai ibu bapa. Sekolahnya dipaksakan dan apa sahaja yang mereka ingin lakukan tidak diberikan perhatian melainkan yang sesuai dengan yang kita mahukan walaupun tidak diminati oleh anak-anak. Inilah adalah kesan sikap pertama hingga keempat. Ini amat bahaya kerana kita cuba mencantas keupayaan sebenar anak-anak kita. Kita boleh membenam diri mereka yang sebenar hanya kerana kita mahu mereka menjadi seperti yang kita mahukan sedangkan masa hadapan mereka akan dipandu oleh diri mereka sendiri dan kita pasti akan meninggalkan mereka dan dunia ini. Maka, kita harus berhati-hati. Isu ini kerap kita perhatikan sehingga ada ibu bapa yang memilih  untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama hanya kerana anak-anak mereka bermasalah pada pandangan mereka. Percayalah tindakan ini tidak menyelesaikan masalah atau setidak-tidaknya sebilangan besar dari tindakan ini hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar dan hanya sebilangan kecil yang berjaya.

Bersambung.

Thursday, July 30, 2020

NILAI KECENDERUNGAN ANAK-ANAK MELALUI AKTIVITI HARIAN


Sebahagian dari kalangan ahli masyarakat khususnya ibu bapa dan penjaga semakin keliru mengenai bagaimana pendekatan yang harus mereka pilih untuk membina kecemerlangan kepada anak-anak mereka. Ada pendapat menjelaskan mengenai kecemerlangan dinilai dan bergantung kepada kecemerlangan akademik. Kecemerlangan akademik membolehkan anak-anak membuka peluang untuk dirinya berada di tempat yang lebih baik berbanding orang lain dan dapat menyediakan peluang pengakhiran yang menggembirakan untuk mereka jika dibandingkan dengan mereka yang tidak memiliki kecemerlangan akademik. Pendapat lain pula menjelaskan tentang peluang itu sama rata sama ada cemerlang akademik atau tidak kerana ia bergantung kepada sikap diri mereka dalam meneruskan cara hidup mereka. Penilaian akademik yang cemerlang tanpa sikap yang betul juga boleh mengakibatkan kegagalan dalam usaha seterusnya apatah lagi jika tidak punya sikap yang betul bersama dengan pencapaian akademik yang lemah. Ada juga yang berpendapat, penilaian akademik cuma rutinan untuk menentukan penguasaan seseorang terhadap apa yang mereka pelajari, bagaimana mereka memahami serta kesungguhan mereka untuk menguasainya. Tidak lebih dari itu. Apabila kembali kepada soal menjalani kehidupan, pencapaian akademik tidak banyak memberikan kesan kepada cara hidup kehidupan seseorang itu kerana kecemerlangan akademik tidak boleh mengelakkan dirinya dari menjadi seorang penjenayah bahkan kegagalan akademik juga bukan bukti yang menghalang mereka dari menjadi seorang dermawan dan berjaya dalam kehidupan.

Setiap anak kita adalah unik dan mereka mempunyai potensi dan kecenderungan yang amat berbeza antara satu sama lain. Ada di kalangan mereka yang sangat petah berkata-kata tetapi amat lemah dalam ilmu kira-kira. Ada pula yang bijak dengan bunyi-bunyian tetapi tidak berminat dengan aktiviti yang menggerakkan fizikalnya secara optimum. Tidak kurang pula anak-anak yang mempunyai kemahiran lukisan yang mengagumkan tetapi rendah dari sudut keupayaan menguruskan diri, berdisiplin dan mengikut peraturan. Begitu juga ada di kalangan mereka yang amat tinggi nilai kesedaran persekitarannya, prihatin dengan haiwan dan tumbuhan namun, susah untuk memahami hati nurani dan perasaan sesama manusia. Segalanya ini menjelaskan kepada kita betapa perlu ada penerimaan terbuka oleh ibu bapa mengenai keadaan yang pelbagai pada anak-anak kita dan sudah tentunya tidak ada yang sempurna. Bermula dari premis ini, barulah kita mampu untuk membimbing diri kita untuk mula menilai kecenderungan anak-anak kita. Penilaian kecenderungan ini pula tidak boleh kita lakukan melalui paksaan selain dari membenarkan mereka atau menggalakkan mereka untuk melakukan perkara yang mereka sukai dalam kehidupan yang dilalui. Penilaian itu pada peringkat awal boleh dibahagikan kepada lima fokus utama iaitu kecenderungan jasmani, kecenderungan emosi, kecenderungan rohani, kecenderungan intelektual dan kecenderungan sosial. Maka bidang pengetahuan ibu bapa juga perlu ditambahi bagi memastikan kita benar-benar dapat memahami setiap ruang kecenderungan ini.

Jasmani amat terkait dengan kegiatan fizikal anak-anak. Mereka gemar melakukan aktiviti yang fizikal dan fokus apabila melakukannya. Cepat faham dan mudah melakukan aktiviti yang menggunakan tulang empat keratnya. Kecenderungan begini kita akan dapat lihat pada anak-anak yang berminat dengan sukan, aktiviti lasak, pertukangan, perkebunan dan yang seangkatan dengannya. Kecenderungan emosi menjadikan anak kita begitu terkesan dengan drama dan lakonan, muzik dan pada lukisan dan pemandangan. Perwatakan mereka akan menjadi lembut hati serta mudah terkesan pada kata-kata yang dilontarkan kepada mereka. Sedikit berbeza dengan mereka yang mempunyai kecenderungan rohani, mereka mudah untuk menilai sesuatu kesan baik dan buruk apabila kita melakukannya. Jiwanya mudah rasa bersalah dan cepat cenderung kepada hal-hal yang terkait dengan nilai-nilai kemanusiaan yang universal. Kasihkan haiwan, suka pada tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kecenderungan intelektual menjadikan anak-anak itu menyukai bahan-bahan bacaan serta perkara yang menguji keupayaan minda mereka. Suka bertanyakan soalan serta senang kepada aktiviti membaca dan menulis. Ada juga anak-anak kita yang sangat gemar bersosial. Peramah, mudah bergaul, kurang rasa malunya serta petah bercakap dengan orang yang mereka baru kenali. Mereka juga tampak punya daya kepimpinan kerana mereka biasanya menguasai ruangan permainan bersama rakan-rakan sepermainannya. Tetapi, harus diingat, anak kita tidak semestinya hanya mempunyai satu kecenderungan sahaja. Maka jangan sesekali kita kesampingkan mana-mana kecenderungan hanya kerana kita telah menilai minatnya terhadap sesuatu perkara. Anak-anak kita perlu dibangunkan keupayaannya secara seimbang bukan hanya berat kepada apa yang mereka minati sahaja. Jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial adalah lima elemen pada seseorang manusia. Mana mungkin, manusia itu dibangunkan hanya dengan keupayaan jasmani sahaja dan begitu juga yang lainnya. Maka ibu bapa harus tahu,  pa sahaja yang ingin kita anjurkan kepada mereka mestilah dengan cara memberikan mereka kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perkara tersebut dalam kehidupan mereka. Di sinilah yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi dari ibu bapa untuk mengaitkan antara minat kecenderungan dan keperluan untuk sesuatu perkara itu dipelajari.

Pangkal utamanya adalah belajar. Anak yang mempunyai kecenderungan jasmani, perlu belajar juga mengenai kecenderungan yang lain, sebagai contohnya mereka menjadi pemain bole sepak yang terkenal, maka kecenderungan mereka itu turut diimbangi dengan emosi yang baik, rohani yang mantap, cerdas intelektualnya dan tinggi daya sosialnya dalam pasukan. Ini akan meninggikan lagi keupayaannya di sisi rakan sepasukannya. Itulah yang dapat kita lihat contoh pada para pemain bola sepak profesional dunia yang terkenal. Ibu bapa seharusnya melakukan pemerhatian yang berterusan terhadap kecenderungan anak-anak ini dan mengenal pasti setiap perubahan mereka agar tidak berlaku ketidakseimbangan perkembangan mereka. Kita perlu ada kebimbangan kepada anak-anak yang kita paksakan apa yang kita mahu berbanding apa yang mereka minat. Paksaan itu akan memberikan impak negatif yang dapat kita sendiri bayangkan seperti perubahan sikap yang dingin, hilang keyakinan diri serta rosak jati diri mereka hanya kerana mahu memenuhi apa yang ibu bapa mereka mahukan. Pada masa yang sama, pangkal minat mereka kepada belajar juga jangan dipandang remeh. Ibu bapa seharusnya memikirkan bagaimana untuk mendatangkan keseronokan belajar kepada anak-anak melalui perkongsian teknik belajar yang menarik, penyediaan ruang belajar yang menggalakkan, belajar bersama mereka, kerap menimbulkan pelbagai persoalan yang membantu kecerdasan minda mereka, menghasilkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, fahamkan perkaitan belajar dengan minat kecenderungan mereka serta disusuli dengan galakan yang tidak putus-putus kepada apa yang mereka minati.

Thursday, July 9, 2020

ANAK-ANAK BERJAYA PUNYA DETERMINASI

 "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Inilah peribahasa melayu yang sering kita dengari dan menjadi sebutan ramai orang bagi menggambarkan usaha serta kesungguhan tanpa hati akan membuahkan hasil yang memuaskan. Begitulah yang ingin diertikan pada perkataan determinasi yang ingin kita bangunkan dalam diri anak-anak kita untuk sepanjang kehidupan mereka. Impian yang ingin dicapai tidak akan datang dengan mudah. "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang". Begitulah peringatan orang-orang tua kepada generasi muda mereka tentang pentingnya bersabar dalam usaha untuk mengecap apa yang diimpikan. Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan.

Determinasi adalah suatu sikap yang dipupuk hasil dari latihan berterusan yang dikhususkan untuk membina daya tahan diri terhadap cabaran kehidupan yang pelbagai. Usaha membesarkan anak dalam segala bentuk kemewahan dan kesenangan tanpa menjelaskan hakikat kehidupan yang penuh cabaran akan mengorbankan masa hadapan mereka setelah ibu bapa mereka tiada lagi di dunia. Jika kita mengharapkan orang lain untuk memberikan maklumat itu kepada mereka, dikhuatiri tiada yang mahu merapati mereka kerana kesombongan dan keangkuhan dek kerana pendidikan kemewahan dan kesenangan yang telah kita tanamkan kepada mereka. Kemewahan dan kesenangan yang dikecapi ibu ayah bukanlah tiket buat mereka pada masa hadapan. Anak yang disediakan untuk kehidupan dengan determinasi menjadi sebahagian dari nilai hidupnya, satu ringgit boleh menjadi sejuta ringgit di tangannya. Tetapi jika sebaliknya, tidak disediakan mereka dengan keperluan itu, sejuta ringgit boleh dihabiskan dalam masa satu hari sahaja.

Kesinambungan sifat determinasi mereka pula amat bergantung kepada fokus mana yang cuba kita tanamkan. Lagi besar peranan dan tanggungjawab yang kita berikan, semakin panjang dan kukuh kesabarannya untuk melalui liku-liku perjalanan kehidupan. Mereka akan lebih sabar, lebih bersungguh-sungguh dan lebih fokus kepada kejayaan. Kejayaan buat mereka adalah anugerah dari keizinan pemilik Nya bukan hanya semata-mata bergantung pada usaha dan kesabarannya. Jika diizikan Nya akan disyukuri jika tidak akan diteruskan usaha sehingga bertemu dia dengan apa yang dihajatinya. Demikianlah bagaimana determinasi ini akan menghasilkan anak-anak yang berjaya. Namun, hari ini, ramai ibu bapa yang meletakkan nilai pada kejayaan seorang anak. Tidak melanjutkan pelajaran ke universiti, maka kurang berjaya, contohnya. Kembali kepada matlamat asal kita membina fokus anak, apakah yang kita definisikan berjaya kepada mereka?

Usah letakkan tafsiran kejayaan itu hanya kepada beberapa penilaian dangkal dan cetek. Anak-anak kita bangun awal pagi juga adalah kejayaan. Hargailah. Apatah lagi jika mereka memenangi apa sahaja pertandingan itu juga kejayaan, bahkan jika tidak menang sekalipun, ia masih lagi kejayaan. Kejayaan melawan perasaan takut dan kejayaan mengawal perasaannya berhadapan dengan kekalahan. Teruslah memberikan mereka penghargaan. Penghargaan sebegini secara tidak langsung menggalakkan anak-anak kita untuk terus berusaha kerana mereka tahu, apa sahaja yang mereka lakukan yang terbaik itu sudah pun mendapat ganjaran kejayaan dan kemenangan dan atau pencapaian terbaik itu adalah kecemerlangan. Oleh yang demikian, tiada sebarang ukuran yang dapat kita gunakan untuk menafsir kejayaan anak-anak kita. Anak-anak dilahirkan dengan pelbagai perbezaan antara satu sama lain walaupun mereka kembar seiras. Terimalah mereka adanya dan raikan setiap usaha mereka itu sebagai satu kejayaan

Cuba kita berdiri di sebuah bilik yang kosong dan pejamkan mata. Mulakanlah melangkah. Pasti soalan pertama kita, adalah hendak melangkah ke mana. Itulah matlamat. Begitulah anak-anak kita, mereka perlukan matlamat dan mereka ibarat diri kita yang pejam itu. Tidak tahu ke mana dan apa yang menunggu, maka kitalah yang berikan mereka ingatan dan amaran untuk mereka bersiap sedia dan cuba untuk mengelak. Kadang-kadang dapat dielak, kadang-kadang kita pun terlepas pandang dan mereka terpaksa merasai kesusahannya maka itulah yuran pembelajaran yang harus kita terima dan jadikan ia sebagai sempadan dalam kehidupan.

Thursday, July 2, 2020

MEMBANGUN SIFAT DEDIKASI DALAM DIRI ANAK-ANAK

Dedikasi menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga adalah pengabdian diri, masa dan lain-lain sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu. Secara istilahnya, dedikasi di sini memberikan gambaran kepada kita tentang kesungguhan hingga tahap yang terakhir keupayaan diri kita dalam melakukan sesuatu yang dihajati atau diarahkan untuk kita melakukannya atau pada apa-apa sebab yang menjadi pendorong kepada sesuatu itu dilakukan seperti ingin mengeluarkan keluarga dari keadaan kemiskinan dan kelaparan sebagai contohnya.

Proses pembangunan sifat ini sudah tentu amat mencabar ibu bapa khususnya apabila berhadapan dengan anak-anak yang sudah pasti mempunyai pelbagai karenah dan perbezaan antara satu sama lain. Pembangunan dedikasi harus kita mulakan dengan melihat minat anak-anak kita pada apa yang mereka lakukan. Ini cabarannya kerana anak-anak akan mempunyai minat yang berbeza dan sebagai ibu bapa, kita harus melayani segala minat dan kecenderungan mereka itu agar sifat dedikasi ini dapat dibentuk dengan berkesan. Melalui minat, maka anak-anak akan ada keseronokan dan kecenderungan untuk melakukannya sehingga ianya selesai. Merujuk kepada situasi ini, anak-anak tidak memerlukan sebarang tekanan untuk melakukannya dan pasti akan berterusan melakukannya selagi mereka mampu untuk menyelesaikannya. Dedikasi juga boleh terhasil dengan sebab yang diharapkan sebagai contoh balasan dari melakukan sesuatu jika dalam konteks anak-anak, mereka melakukannya disebabkan upah yang menunggu selepas pekerjaan atau tugasan itu selesai. Maka, itu juga boleh kita namakan dedikasi walaupun kerana upah.

Namun, ada sebahagian dari kita yang sifatnya harus diteladani sebagaimana sifat Khalid Al-Walid, seorang panglima perang Islam, pada tika beliau sedang mengetuai peperangan, lalu datang perintah dari Khalifah Umar Al-Khattab minta digantikannya dengan Sa'ad bin Abi Waqas. Tanpa sebarang keluhan, beliau meninggalkan tempatnya dan menyerahkannya kepada sahabatnya bahkan beliau terus turut berperang tanpa menghiraukan kedudukannya. Dedikasi begini hanya timbul pada anak-anak yang pada diri mereka telah tertanam azam serta keinginan yang kuat terhadap sesuatu yang besar yang menjadikan jiwa dan pemikirannya besar. Khalid tidak melihat jawatan itu yang utama, tetami kemenangan Islam pada waktu itu yang lebih utama. Ternyata, dedikasinya beliau terhadap kepimpinan Khalifah Umar menatijahkan seorang lagi panglima perang yang berjaya diketengahkan iaitu Sa'ad bin Abi Waqas. Bagaimana dedikasi seperti ini ingin kita bina dalam diri anak-anak? Pernah kita dengar kalimat cinta, 'kerana cinta, lautan api sanggup aku renangi'. Ini adalah sebahagian daripada makna yang dapat kita gambarkan dari dedikasi ini.

Membangun dedikasi dalam diri anak-anak akhirnya akan berbalik kepada usaha menanam sebab kehidupan anak-anak di dunia. Tanam sebab mestilah disiram dan dibaja bukan hanya dibiar mengharap tumbuh dengan segar dan hidup berjaya. Itu adalah mustahil. Setiap yang ditanam pasti akan ada musuhnya, jika tanaman, maka musuhnya adalah parasit, serangga perosak dan semudah lalang yang tumbuh bersamanya. Bak kata pepatah, menanam padi rumput pun tumbuh. Usaha menanam sebab dalam diri anak-anak, ketika proses pembesaran mereka, mereka akan bersama pelbagai sumber pendidikan yang lain tambahan pula pada zaman milenial ini. Maka, ibu ayah harus meletakkan keutamaan pembinaan itu langkah demi langkah dan ia harus bermula dengan usaha menanam sebab yang sangat besar dalam kehidupan mereka. Jauh dari sebab kesenangan dunia, jauh dari sebab keseronokan hidup dan jauh dari sebab kekayaan dan kemewahan kerana semua itu sifatnya hanya sementara sahaja bahkan, jika itulah yang kita janjikan kepada mereka, kita sendiri pasti tidak mampu mempertahankan apa yang kita kecapi juga sekarang.

Apabila sebab kehidupan anak-anak telah dimulakan dengan yang besar, yang 'ultimate', maka penyesuaian kepada minat, kecenderungan serta balasan yang setimpal akan jadi lebih mudah. Jika kita ingat pepatah 'diam-diam ubi berisi' dan ikutlah resam padi, makin berisi, makin tunduk'. Dua pepatah ini menunjukkan ketinggian akal budi melayu yang harus menjadi pedoman pada kita. Dedikasinya ubi, mendiam diri dalam tanah yang terkenal dengan segala kekotoran dan kesusahan. Kehidupan yang gelap bersama hidupan yang amat menyakitkan. Hidup bersama akar yang menjadi sebab utama kehidupan pokok ubi itu sendiri. Ia dapat dimaknakan, dalam membangun sifat dedikasi anak-anak, harus ada pengetahuan dalam diri mereka bahawa kehidupan ini, akan ada fasa kesusahan, tekanan bahkan perasaan bosan. Jika ubi, ingin keluar dari dalam tanah, maka ia tidak akan memberikan hasil yang baik. Dedikasi adalah pengorbanan untuk melakukan sesuatu sehinggalah mencapai apa yang diharapkan walaupun dalam satu tempoh yang sangat panjang.

Pada masa yang sama, ibu bapa seharusnya tidak melupakan padi yang sentiasa menunduk. Dedikasi harus datang dengan perasaan rendah diri, kembali kepada fitrah manusia ada yang menjadikan dan bukan semua milik kita. Jika padi tumbuh, rumput pun tumbuh, maka itulah petanda bahawa dalam usaha ibu bapa membangunkan dedikasi anak-anak, pesaingan perkara tidak sihat juga ada bersama dengan mereka. Ada sebahagiannya yang akan menggugat daya dedikasi mereka kerana dengannya menghilangkan fokus anak-anak kita kepada sebab yang telah kita tanamkan. Jadi sebab itu harus dibuat kunjung semula, perlu dibugarkan serta diberikan suntikan semangat sedaya upaya kita sehinggalah kita mampu meyakini bahawa mereka mampu untuk menjaga diri mereka sendiri serta mengekalkan sebab itu pada mereka.

Secara kesimpulannya, dedikasi yang hendak kita bangunkan itu ada tiga bentuknya iaitu dedikasi atas minat mereka, dedikasi atas balasan yang diterima dan dedikasi atas sebab atau keutamaan yang ditanamkan dalam diri mereka. Ketiga-tiganya menjurus ke arah membangun dedikasi diri anak-anak namun, yang kita harapkan adalah dedikasi yang datang secara beterusan maka sudah tentulah ia merujuk kepada dedikasi atas sebab atau keutamaan yang perlu ditanamkan dalam diri mereka. Sebagai masyarakat yang kaya dengan bahasa, maka pepatah 'diam-diam ubi berisi' dan 'ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk' menjadi latar pembinaan sifat dedikasi itu sendiri. Kita mahu lahirkan anak-anak yang berjaya bukan setakat dunia bahkan akhirat dan kita mahukan kehidupan mereka juga memiliki jiwa yang merendah tidak meninggi.

Sunday, June 28, 2020

TERAPLAH DISIPLIN ANAK-ANAK DENGAN KEBERSAMAAN

Kegagalan ibu bapa dalam membentuk disiplin anak-anak apabila kurangya kebersamaan dalam pembentukan itu sendiri. Ada peraturan tetapi tiada bimbingan untuk bagaimana ia dipenuhi maka, dikhuatiri peraturan itu hanya dilaksana akibat dari perasaan takut anak-anak kepada pendiri peraturan itu iaitu ibu bapa atau penjaga mereka sendiri. Oleh sebab yang demikian, bagi memastikan disiplin itu dihormati bukan ditakuti, maka amalan melakukannya bersama-sama termasuk yang mendirikan peraturan itu adalah suatu yang penting dan sekaligus dapat memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak untuk meneruskan kelangsungan disiplin itu walaupun ibu bapa mereka sudah tidak ada lagi. Fokus ibu bapa dalam menetapkan disiplin adalah tergantung juga kepada keupayaan ibu bapa untuk melakukannya bersama atau dalam erti kata lain, ibu bapa juga harus bersedia untuk mendisiplinkan diri sendiri dengan peraturan yang ditetapkan untuk anak-anak.

Pendidikan melalui contoh dan teladan merupakan teknik utama didikan ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak khususnya di rumah. Penilaian anak-anak juga insan biasa termasuk diri ibu bapa adalah pada apa yang dilihat oleh mata kepala kita. Akal kita akan menafsirkan apa yang dilihat, cuma bagi mereka yang dewasa, pada mereka telah ada keupayaan untuk menentukan mana baik dan mana buruk, mana patut dan mana tidak patut. Pertimbangan itu berkembang bergantung kepada faktor usia dan pengalaman kehidupan. Tetapi di mata anak-anak khususnya anak kecil, pertimbangan baik buruk tidak wujud melainkan dengan bimbingan ibu ayah dan guru mereka. Mereka hanya akan meniru sesuatu perbuatan akibat dari pada yang mereka lihat itu akibat dari usia yang terlalu muda dan di dalam keadaan yang asyik ingin mencuba sesuatu yang baharu bagi mereka.

Namun pada penilaian keibubapaan pada hari ini, penerapan disiplin ini hanyalah dinilai dari sudut pandangan kepentingannya kepada anak-anak. Tidak dapat bersama kita nafikan itu benar, ia penting untuk anak-anak. Tetapi, untuk menanam rasa penting itu, ia harus ada pemahaman yang kuat terhadap kepentingan tersebut. Pemahaman itu tidak akan mampu kita tanamkan jika, ibu bapa sendiri tidak benar-benar memahaminya. Kebersamaan dalam menerapkan disiplin anak-anak membawa ibu bapa bukan sekadar percaya bahawa sesuatu peraturan itu dibuat disebabkan kepentingannya, bahkan memahami bagaimana disiplin itu akan mampu mengubah keadaan diri terutama perubahan diri pada ibu bapa. Maka, ibu bapa juga harus memperakui secara umumnya, perubahan akan terus berlaku pada diri dan begitulah juga yang akan dipegang oleh anak-anak kesan dari yang dicontohkan oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang menekankan disiplin tetapi tidak bersama dengan anak-anak akan menimbulkan persepsi bahawa yang didisiplinkan itu tidaklah penting sangat. Itulah yang digambarkan. Maka, perilaku yang didisplinkan itu dilakukan hanyalah untuk memuaskan hati ibu bapa mereka dan tidak akan lebih dari itu. Kenyataan ini, bukanlah bermakna sebaliknya, tetapi bersama kita bayangkan, lihat dan dengarkan maklum balas anak-anak walaupun dalam keadaan kita lakukannya bersama-sama, masih juga mengambil masa yang panjang untuk mereka fahami apakah kebaikan sebenar disebalik disiplin tersebu, inikan pula juga penerapan itu hanya dengan jeritan, tengkingan dan bebelan. Sudah pasti ia akan mewujudkan satu perasaan menyampah, membosankan dan lebih parah jika timbul perasaan menyampah.

Wahai ibu bapa. Setiap disiplin yang hendak diterapkan kepada anak-anak, hendaklah diketahui sebab dan alasan yang kukuh pada pandangan diri kita untuk kebaikan semua. Disiplinkan sesuatu yang akan menjadi manfaat untuk anak-anak. Bimbing mereka untuk memahami kepentingannya dan pada masa yang sama, sebagai ibu bapa juga hendaklah sentiasa berusaha untuk menambah keyakinan terhadap apa yang didisiplinkan itu. Langkah itu akan disusuli dengan melakukannya bersama-sama dan sekaligus memberikan disiplin kepada diri kita sendiri untuk melakukannya. Anak kita adalah mesin fotostat yang akan menghasilkan apa yang dilihat oleh mereka dari diri kita.

Friday, June 12, 2020

DISIPLIN DALAM MEMENUHI IMPIAN TERHADAP ANAK-ANAK

Bercerita tentang disiplin memang mudah seperti mana mudahnya kita memikirkan kepentingannya. Tetapi pernahkah kita menilai bagaimana sebenarnya disiplin itu diterapkan dan adakah kita benar-benar berdisiplin dalam kehidupan kita? Untuk kita memastikan impian yang kita idamkan pada anak-anak itu, perlulah ada disiplin yang kita sendiri terapkan. Apabila kita cuba untuk menerapkan sesuatu disiplin di dalam diri kita secara sedar atau tidak, sebenarnya kita sedang melepaskan sesuatu untuk melakukan sesuatu. Selalunya, yang perlu dilepaskan lebih banyak berbanding satu perkara yang hendak didisiplinkan. Kita perlu berhenti dari melakukan sesuatu yang biasa kita lakukan hanya untuk mendapatkan disiplin kepada sesuatu yang baru. Maka begitulah keadaannya yang akan berlaku kepada anak-anak kita apabila kita ingin menerapkan disiplin yang baik untuk mereka. Pada peringkat awal, proses itu perlu berlaku dengan tawar-menawar yang menarik sebelum mengubahnya secara total. Sebagaimana kita sendiri menghadapi kesukaran untuk mendisiplinkan diri, apatah lagi anak-anak kita yang mungkin tidak mempunyai keazaman yang kuat disebabkan ia datang bukan dari kemahuan diri mereka sendiri.
Maka ibu bapa harus menyedari bahawa, adalah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan secara tidak langsung ia merupakan suatu kembangan kemahiran menahan diri dari perasaan penat, bosan, mengalah, lelah, leka, lalai dan banyak lagi hanya dengan berpaksikan kepada dua pasak minda iaitu pengharapan kepada ganjaran yang akan datang serta pengukuhan azam dalam diri. Kedua-dua ini merupakan tanda aras kesihatan mental anak-anak yang dibentuk sejak mereka dilahirkan. Latihan kekuatan mental ini seharusnya dimulakan sejak kecil dan dibiasakan dengan perkara yang sesuai dengan peringkat umur awal mereka. Apabila menginjak kanak-kanak ke remaja, ia akan lebih mudah berbanding untuk kita baru mahu memulakannya kepada anak remaja kita. Namun, tidak pernah ada istilah terlewat dalam mendidik anak-anak. Apa yang penting adalah, keupayaan untuk kita sendiri menahan diri dari sebarang kesukaran yang bakal dihadapi dengan mereka.

Kajian yang pernah dilakukan oleh seorang ahli psikologi yang terkenal dengan 'The Marshmallow Test' melakukan kajian terhadap kanak-kanak pada tahun 1960-an. Mereka ditempatkan di dalam sebuah bilik bersama satu gula-gula marshmallow dan sekiranya mereka mampu menahan diri mereka sehingga 15 minit dari memakannya, mereka akan diberikan ganjaran dua kali marshmallow itu.Kajian mendapati, ramai dikalangan kanak-kanak yang berumur 4 tahun itu tewas dalam ujian itu, namun ada diantara mereka berjaya, dan mereka yang berjaya itu menyibukkan diri mereka dengan perkara lain untuk menghilangkan perhatian mereka terhadap marshmallow tersebut. Apa yang lebih menakjubkan, beberapa puluh tahun selepas itu, mereka yang berjaya mendapat dua kali lebih marshmallow lebih berjaya kehidupan mereka berbanding yang lainnya. Kajian ini menjelaskan mengenai keupayaan menahan diri yang sebenarnya mampu melahirkan individu yang lebih cemerlang pada masa akan datang apabila ia dilatih dan dibimbing lebih awal.

Keazaman menurut ahli psikologi, Roy Baumeister adalah sumber yang terhad. Ia tidak boleh didapatkan dari mana-mana sumber yang lain melainkan ia perlu dijana dan dibangunkan sendiri oleh pemiliknya. Keazaman diibaratkan seperti otot pada tubuh manusia yang sekiranya tidak digunakan, maka ia akan melemah dan akhirnya gagal berfungsi dan dimanfaatkan. Pada tahun 1992, seorang ahli psikolgi British melakukan kajian terhadap beberapa pesakit yang telah berjaya melalui pembedahan pinggul dan lutut mereka. Kajian tersebut mendapati, ada sekelompok pesakit yang berjaya pulih dari pembedahan mereka dua kali lebih cepat berbanding yang lainnya. Menurut mereka, perbezaannya hanya terletak pada sehelai kertas. Pesakit yang sembuh lebih cepat, mengikuti cadangan para ahli psikologi dengan menuliskan perancangan pemulihan mereka setiap hari dan berusaha untuk mencapainya sekuat mungkin. Catatan tersebut secara tidak langsung menjadi alat pemangkin kepada keazaman yang mereka bina untuk mencapai tahap kesihatan yang mereka harapkan.

Maka, para ibu bapa seharusnya memahami aspek latihan menahan diri pada diri anak-anak serta bagaimana untuk membina otot-otot keazaman dalam diri anak-anak kita. Jadual dan penetapan masa adalah antara cara yang terbaik untuk anak-anak kita menahan diri mereka peringkat demi peringkat. Kawalan masa penggunaan gajet mesti digantikan dengan perkara yang menggalakkan mereka dan jangan lupa, kaedah 'reward' yang juga perlu menjadi metodologi penggalak untuk anak-anak. Mulakanlah bersama anak-anak untuk merencana apa yang ingin mereka lakukan dan capai dalam kehidupan mereka dengan meminta mereka menulis apa yang mereka hajatkan dan bagaimana untuk kita bantu mereka merealisasikan apa yang mereka impikan. Kita berimpian, mereka juga pasti ada impian. Sebaiknya, selarikan impian kita dengan mereka, kerana apa yang kita mahu belum tentu boleh menjanjikan kejayaan untuk mereka sekiranya mereka tiada keazaman untuknya.

Friday, May 29, 2020

KENALI DAN BIMBING MINAT ANAK-ANAK

Kitalah pencorak anak-anak kita. Setia[ kali kita memarahi mereka atas apa kesalahan sekalipun, sedarlah bahawa kesalahan mereka itu mungkin atas kelalaian dan kelemahan diri kita. Mustahil anak-anak kecil kita mampu berfikir sebaik orang yang telah dewasa. Mereka hanya melakukan perkara yang pada hemat mereka tiada apa-apa. Pemikiran anak-anak kita penuh dengan angan-angan. Apa yang mereka lihat, mereka dengar dan mereka rasa akan menghasilkan bayangan dan impian mereka. Kita tidak langsung terkejut apabila kita melihat anak kecil kita sibuk ingin menjadi Ultraman, Spiderman dan pelbagai lagi watak adiwira animasi yang dipaparkan di televisyen. Bayangan mereka dari apa yang dipaparkan kepada mereka. Oleh sebab itulah, menjadi keutamaan untuk ayah ibu menjadi tauladan atau hero kepada anak-anak kecil kita sendiri.

Perhatian mesti diberikan kepada mereka, bukan hanya sekadar mahu membesarkannya sahaja. Nafkah bukan hanya makan, pakai bahkan yang memenuhi keperluan 5 yang asas iaitu pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, harta benda dan agama. Mohon untuk dijadikan perhatian kita bersama, salah satunya adalah akal mereka. Pemeliharaan akal anak-anak juga sebahagian dari tugas penting ayah ibu. Mereka harus menjadi contoh terbaik buat anak-anak yang sentiasa menagih didikan yang holistik dalam kehidupan. Kehidupan ayah ibu yang disibukkan dengan pencarian harta benda sehingga mengabaikan mereka adalah satu kesalahan yang tidak dapat kita bertolak ansur. Anak-anak bukan bukti kejayaan kita, tetapi saham akhirat kita. Pendidikan mereka harus sesuai dan memenuhi keperluan buat diri mereka yang mampu membantu mereka membina rangkaian asas keperluan lain iaitu pemeliharaan nyawa, keturunan, harta benda dan agama. Gagal kita memberikan tumpuan kepada pembinaan akal mereka akan memungkinkan mereka akan gagal memelihara keperluan yang lain.

Ayah ibu harus memberikan perhatian untuk mula mengenali anak dengan pelbagai keunikan mereka. Anak, walaupun lahir dari rahim yang sama, tetap akan memiliki perbezaan antara satu dengan yang lain. Pada peringkat awal anak-anak, kecenderungan perlu dilihat dari sudut keupayaan mereka terhadap penggunaan deria dan kawalan tubuh mereka. Keupayaan mereka untuk memahami sesuatu, memberikan tumpuan serta bagaimana mereka memproses maklumat yang diberikan kepada mereka. Antara kegagalan utama ayah ibu dalam mendidik anak pada awal usia mereka hari ini adalah dengan memberikan pendedahan gajet pada usia yang terlalu awal. Secara tidak langsung anak-anak akan kurang peka terhadap penggunaan deria mereka, kawalan tubuh yang lemah serta malas berfikir apabila diberikan sesuatu tugasan atau masalah.

Aspek lain adalah dari sudut minat dan kecenderungan anak-anak. Sudah tentu mereka amat suka bermain dengan pelbagai bentuk permainan, tetapi akan tiba pada satu tahap di mana mereka akan mula menunjukkan minat kepada sesuatu dan bersungguh-sungguh dengannya. Perhatikan dan berilah dorongan untuk mereka mencipta hasil dari minat mereka tersebut. Ini sekaligus akan menambah motivasi dalam diri mereka untuk terus melakukan yang terbaik dengan apa yang mereka minati. Namun, harus kita bersama ingati, ke mana sekalipun hala tuju anak-anak kita, ilmu perlu menjadi dasar kepada perkembangan mereka. Apabila mereka sudah mula boleh membaca, pupuklah minat mereka untuk mula membaca dan menambah pengetahuan mereka. Persekolahan tetap penting untuk mereka menguasai asas utama pembelajaran sebelum mereka boleh melakukan apa yang mereka minati.

Dorongan mesti berterusan. Mereka menjadikan  ayah ibu mereka sebagai alasan dalam melakukan sesuatu perkara. Usahlah hampakan harapan mereka hanya kerana kita tidak sependapat denan mereka. Zaman ayah ibu dengan anak-anak amat berbeza. Benarlah pesanan didiklah anak mengikut zamannya. Sebab itulah, ibu bapa juga tidak boleh menafikan betapa pentingnya ilmu untuk mereka. Zaman ini telah berubah dan kita perlu miliki ilmu zaman ini jika kita ingin benar-benar berkesan kepada anak-anak kita. Bimbinglah anak-anak pada setiap peluang yang tersedia. Sekatan, akan merencatkan pertumbuhannya, kawalan berlebihan akan menjadikan mereka takut untuk menghadapi realiti yang ada. Kebebasan yang melampau akan menjadikan mereka liar, kelonggaran yang tiada undang-undang akan menjadikan mereka insan yang tidak tahu menilai perkara-perkara terkait kehidupan. Kenalilah anak-anak kita dan bimbinglah mereka ke arah apa yang mereka impikan dan apa yang kita harapkan akan tercapai.