Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

ANAK-ANAK BERJAYA PUNYA DETERMINASI

 "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Inilah peribahasa melayu yang sering kita dengari dan menjadi sebutan ramai orang bagi menggambarkan usaha serta kesungguhan tanpa hati akan membuahkan hasil yang memuaskan. Begitulah yang ingin diertikan pada perkataan determinasi yang ingin kita bangunkan dalam diri anak-anak kita untuk sepanjang kehidupan mereka. Impian yang ingin dicapai tidak akan datang dengan mudah. "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang". Begitulah peringatan orang-orang tua kepada generasi muda mereka tentang pentingnya bersabar dalam usaha untuk mengecap apa yang diimpikan. Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan.

Determinasi adalah suatu sikap yang dipupuk hasil dari latihan berterusan yang dikhususkan untuk membina daya tahan diri terhadap cabaran kehidupan yang pelbagai. Usaha membesarkan anak dalam segala bentuk kemewahan dan kesenangan tanpa menjelaskan hakikat kehidupan yang penuh cabaran akan mengorbankan masa hadapan mereka setelah ibu bapa mereka tiada lagi di dunia. Jika kita mengharapkan orang lain untuk memberikan maklumat itu kepada mereka, dikhuatiri tiada yang mahu merapati mereka kerana kesombongan dan keangkuhan dek kerana pendidikan kemewahan dan kesenangan yang telah kita tanamkan kepada mereka. Kemewahan dan kesenangan yang dikecapi ibu ayah bukanlah tiket buat mereka pada masa hadapan. Anak yang disediakan untuk kehidupan dengan determinasi menjadi sebahagian dari nilai hidupnya, satu ringgit boleh menjadi sejuta ringgit di tangannya. Tetapi jika sebaliknya, tidak disediakan mereka dengan keperluan itu, sejuta ringgit boleh dihabiskan dalam masa satu hari sahaja.

Kesinambungan sifat determinasi mereka pula amat bergantung kepada fokus mana yang cuba kita tanamkan. Lagi besar peranan dan tanggungjawab yang kita berikan, semakin panjang dan kukuh kesabarannya untuk melalui liku-liku perjalanan kehidupan. Mereka akan lebih sabar, lebih bersungguh-sungguh dan lebih fokus kepada kejayaan. Kejayaan buat mereka adalah anugerah dari keizinan pemilik Nya bukan hanya semata-mata bergantung pada usaha dan kesabarannya. Jika diizikan Nya akan disyukuri jika tidak akan diteruskan usaha sehingga bertemu dia dengan apa yang dihajatinya. Demikianlah bagaimana determinasi ini akan menghasilkan anak-anak yang berjaya. Namun, hari ini, ramai ibu bapa yang meletakkan nilai pada kejayaan seorang anak. Tidak melanjutkan pelajaran ke universiti, maka kurang berjaya, contohnya. Kembali kepada matlamat asal kita membina fokus anak, apakah yang kita definisikan berjaya kepada mereka?

Usah letakkan tafsiran kejayaan itu hanya kepada beberapa penilaian dangkal dan cetek. Anak-anak kita bangun awal pagi juga adalah kejayaan. Hargailah. Apatah lagi jika mereka memenangi apa sahaja pertandingan itu juga kejayaan, bahkan jika tidak menang sekalipun, ia masih lagi kejayaan. Kejayaan melawan perasaan takut dan kejayaan mengawal perasaannya berhadapan dengan kekalahan. Teruslah memberikan mereka penghargaan. Penghargaan sebegini secara tidak langsung menggalakkan anak-anak kita untuk terus berusaha kerana mereka tahu, apa sahaja yang mereka lakukan yang terbaik itu sudah pun mendapat ganjaran kejayaan dan kemenangan dan atau pencapaian terbaik itu adalah kecemerlangan. Oleh yang demikian, tiada sebarang ukuran yang dapat kita gunakan untuk menafsir kejayaan anak-anak kita. Anak-anak dilahirkan dengan pelbagai perbezaan antara satu sama lain walaupun mereka kembar seiras. Terimalah mereka adanya dan raikan setiap usaha mereka itu sebagai satu kejayaan

Cuba kita berdiri di sebuah bilik yang kosong dan pejamkan mata. Mulakanlah melangkah. Pasti soalan pertama kita, adalah hendak melangkah ke mana. Itulah matlamat. Begitulah anak-anak kita, mereka perlukan matlamat dan mereka ibarat diri kita yang pejam itu. Tidak tahu ke mana dan apa yang menunggu, maka kitalah yang berikan mereka ingatan dan amaran untuk mereka bersiap sedia dan cuba untuk mengelak. Kadang-kadang dapat dielak, kadang-kadang kita pun terlepas pandang dan mereka terpaksa merasai kesusahannya maka itulah yuran pembelajaran yang harus kita terima dan jadikan ia sebagai sempadan dalam kehidupan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang