Showing posts with label Teori Keremajaan O.S.E.M.. Show all posts
Showing posts with label Teori Keremajaan O.S.E.M.. Show all posts

Wednesday, September 16, 2020

REMAJA DAN KEMATANGAN

Dambaan kita hari ini adalah untuk melihat generasi muda khususnya yang dinamakan remaja ini untuk lebih bersikap seperti orang dewasa. Pada dasarnya, mereka akan punya kelemahan dan kesilapan, namun sikap ini akan mampu menyerlahkan nilai-nilai positif khususnya tatkala mereka berada di dalam masyarakat. Benar, perlu kita terima kenyataan bahawa tidak semua orang dewasa memiliki kematangan ini adalah kerana kematangan bukan disebabkan oleh faktor umur seseorang. Kematangan adalah diakibatkan dari perkembangan emosi yang didorong oleh corak pendidikan persekitaran yang luas dan amat terbuka. Hari ini, amat jarang kita dapat melihat remaja meluaskan perhubungan mereka dengan orang yang lebih dewasa disebabkan oleh keseronokan mereka kepada dunia mereka hari ini khususnya gajet.

Pelbagai perkara yang merujuk kepada generasi Z dan milenial ini menampakkan beberapa kelemahan yang ketara dari sudut perkembangan sikap kedewasaan mereka. Bukan tugas kita untuk melemparkan kesalahan sebaliknya bukakan mata untuk membuat persiapan yang sebaik mungkin. Kematangan amat terkait dengan kestabilan emosi maka ia secara langsung akan terkesan dari aktiviti berlebihan menggunakan gajet sehingga menjadikan mereka insan-insan yang anti sosial atau ektremis berpuak. Jika dua perkara ini berlaku, jelas sekali mereka akan gagal kerana meletakkan ego mereka sebagai tindak balas kepada apa sahaja bentuk teguran yang diberikan oleh orang lain. Perasaan sentiasa betul dan tidak boleh dibetulkan ini adalah penyakit yang amat berbahaya. Pemikiran yang membelenggu diri sehingga merasakan orang lain tidak memahaminya merupakan corak fikir yang akan memandunya ke arah merosakkan diri sendiri.

Kematangan juga merujuk kepada diri yang memahami soal peribadi serta dapat membezakannya. Mereka mengetahui batasan dalam mengetengahkan diri mereka kepada khalayak khususnya dalam era digital yang sememangnya menagih keadaan sebegitu. Istilah 'privacy' adalah tidak asing bagi mereka dan ianya bukan hanya merujuk kepada hal-hal keburukan diri, bahkan sebahagian kebaikan ataupun kegemaran yang dirasakan tidak perlu untuk diketahui umum. Kesan dari tindakan keanak-anakan dapat kita lihat remaja dan dewasa tidak terkecuali dalam merakamkan adegan-adegan yang tidak perlu untuk dipertontonkan. Pada mereka itu sebagai hiburan dan pertimbangan hiburan mereka itu adalah apabila mendapat 'like' atau 'share' yang banyak. Islam tidak pernah melarang hiburan, tetapi ada beberapa perkara asas yang perlu dimuhasabah bersama.

  • Tidak meninggalkan ibadah asas seperti solat, puasa dan sebagainya.
  • Tidak meninggalkan pekerjaan utama seperti mencari rezeki, belajar dan seumpamanya.
  • Tidak melibatkan perkara-perkara haram seperti perjudian dan pertaruhan.
  • Tidak wujud penipuan.
  • Menutup aurat.
  • Tidak membahayakan tubuh badan, nyawa dan minda.
  • Tidak membuang masa disebabkan sukan yang terlalu lama.
  • Tidak membazirkan wang untuk sukan dan peralatan yang terlalu mahal.

Antara ciri utama sikap kedewaasaan ini adalah apabila mereka berhenti dan cuba keluar dari alam impian dan bekerja untuk mencapai impian tersebut. Maka, mereka bukan lagi menunggu dan mengharap tetapi mereka sudah mula bekerja dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diharapkan. Mereka melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sikap ini wujud juga hasil dari perubahan sikap keanak-anakan kepada kematangan yang berusaha mengotakan apa yang dikatakan. Mereka mula bertanggungjawab kepada apa sahaja yang terkait rapat dengan diri mereka termasuk berani mengambil tanggungjawab atas kesalahan. Kematangan akan menjadikan seorang remaja itu bersedia untuk mendengar dan mereka tahu bagaimana untuk memberikan reaksi terhadap pujian dan kritikan terhadap diri mereka.

Wednesday, September 9, 2020

BERTANGGUH MENJEJASKAN NILAI DIRI REMAJA

Kerunsingan yang dihadapi oleh banyak majikan hari ini dalam menghadapi karenah kakitangan baru adalah kegagalan mereka untuk menjadi individu yang berkesan sebagai insan yang diberikan amanah kerja. Mereka ini kerap kali dirujuk sebagai pendatang baru dalam dunia pekerjaan, 'freshie', budak baru 'grad' dan yang seangkatan dengannya. Menurut pemerhatian para majikan adalah disebabkan sikap sambil lewa, pemikiran makan gaji serta rendah kemahuan diri untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baru. Tidak kurang juga yang mengkelaskan mereka sebagai paku, sekali ketuk sekali masuk, tidak pandai merancang kerja, belajar hanya untuk sijil serta kurang kemahiran yang pelbagai yang boleh ditunjukkan kepada majikan mereka.

Faktor-faktor di atas bukanlah semata-mata kerja mencari salah generasi muda  ini, tetapi adalah sebagai satu kajian kepada sikap mereka dalam mendepani cabaran masa yang semakin memerlukan kerja keras seperti yang pernah diungkapkan oleh Denzel Washington, "Hard work, works!" Punca dasar yang membina pelbagai sikap di atas adalah disebabkan kegagalan generasi sebelum mereka untuk membimbing dan mendidik mereka untuk menjadi insan yang berkesan. Kehidupan mereka tiada nilai kesegeraan, tiada nilai keutamaan, tiada nilai penghargaan serta tiada nilai kebertanggungjawaban. Natijahnya, mereka menjadi insan yang tidak berkesan dan paling ketara adalah mewujudkan nilai bertangguh dalam apa jua perbuatan mereka.

Berkesan bermaksud menghasilkan apa yang diputuskan, ditentukan dan diharapkan. Apabila berlaku sesuatu penangguhan sekaligus akan menjejaskan keputusan, ketentuan serta merosakkan harapan sesiapa sahaja. Keupayaan bertindak dengan berkesan harus dibina sejak anak-anak kita berada pada usia remaja mereka. Bimbingan yang berterusan, teguran dan penambahbaikan ibu bapa akan menjadi faktor utama mereka memahami situasi serta kepentingan tindakan itu. Oleh sebab yang demikian, remaja perlu sentiasa dipupuk dengan nilai-nilai kesegeraan umpamanya disiplin datang tepat masa ke sekolah, bangun pada waktu yang ditetapkan, menyiapkan kerja sekolah pada waktu yang diminta dan apa sahaja tugasan yang seangkatan dengannya. Bahkan, bukan sekadar tugasan sekolah, termasuk juga tugasan dan perintah yang diberikan oleh ibu bapa.

Remaja juga harus tahu memberikan penilaian keutamaan dalam tindakan mereka. Mana dahulu dan mana yang kemudian. Mana yang segera dan mana yang penting. Sebab itu kita pasti pernah diingatkan tentang selesaikan soalan yang mudah dulu tinggalkan yang susah. Ia adalah sebahagian dari bagaimana kita dilatih untuk menilai keutamaan-keutamaan di dalam dewan peperiksaan. Sama juga keadaannya dengan antara menonton televisyen dengan menyiapkan kerja sekolah, dengan solat lima waktu dan yang seangkatan dengannya. Melalui nilai-nilai ini dapat kita terapkan kepada remaja mengenai nilai menghargai masa, peluang dan kemudahan seterusnya nilai rasa tanggungjawab pada setiap yang dilakukan. Pendidikan yang sentiasa terbaik dalam kehidupan adalah 'reward and punishment'. Apabila mereka berjaya menyelesaikan tanggungjawab mereka, maka mereka diberikan 'reward' dan andai gagal maka 'punishment' untuk mendidik perlu ada.

Kegagalan kita membina sikap ini akan melebarkan budaya kehidupan bertangguh anak-anak remaja kita. Maka ini akan menjejaskan nilai diri mereka khususnya apabila umur mereka meningkat dan akan masuk ke alam pekerjaan. Tidaklah kita meletakkan segala kesalahan itu kepada ibu bapa tetapi, ibu bapalah pasangan insan yang punya keupayaan untuk memperbaiki keadaan dan sikap mereka dengan penilaian yang betul dan adil.

Wednesday, September 2, 2020

BINALAH NILAI TANGGUNGJAWAB PADA DIRI REMAJA

Pembinaan nilai tanggungjawab di dalam diri anak remaja bukan satu tugas mudah. Mudah untuk berkata tetapi belum tentu mudah untuk diterjemah dalam kerja buatnya. Remaja termasuk dalam kelompok belia yang secara kasarnya seramai lebih dari 7 juta penduduk di Malaysia tergolong dikalangan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sebahagian mereka masih dibawah tanggungan ibu bapa mereka dan sebahagian lagi sudah mula hidup berdikari, sebahagian mereka sudah bekerja dan tidak kurang juga masih belajar dan menuntut di IPT sama ada swasta atau kerajaan. Menurut mata pandang kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, mereka adalah generasi yang akan mewarisi kekayaan dan keamanan negara ini dan merekalah harapan kita untuk terus membawa Malaysia ke persada dunia, dikenali dan dihormati. Kerja ini amat berat dan perlu dimulakan oleh sesiapa sahaja yang bergelar golongan dewasa. Pembinaan nilai tanggungjawab dalam diri remaja harus dipupuk bukan hanya oleh ibu bapa mereka bahkan para pekerja dari pengutip sampan sehinggalah pensyarah dan profesional. Mereka pasti akan memerhati dan mengambil contoh dari kita.

Oleh sebab yang demikian, tidak kira kita berada dimana sekalipun, sedarlah ada mata anak remaja yang sedang memerhatikan kita. Tingkah laku kita akan menjadi ingatan buat mereka. Jangan sangka makian dan cacian ketika kita memandu tidak memberikan kesan kepada anak remaja sedangkan mereka mendengar dan melihatnya. Perbuatan orang yang berada di dalam kaca televisyen sudah tentu lebih menjadi perhatian mereka. Bermula dari seorang pengacara, ahli panel, penceramah sehinggalah kepada pelakon walaupun hanya pelakon 'extra', anda ada peranan membentuk jati diri anak remaja negara kita ini. Nilai tanggungjawab ini tidak akan berjaya kita terjemahkan sekiranya, kita sebagai orang dewasa sendiri gagal untuk membuktikan keupayaan kita untuk menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab. Janganlah kita mengharapkan apabila mereka dewasa kelak mereka akan faham, bahkan sepatutnya kita tidak boleh membenarkan walaupun satu kesilapan sebagai tontonan untuk mereka. Oleh itum untuk membina remaja yang bertanggungjawab perlu menjadi kerja kita bersama bukan hanya mereka yang hampir dengan mereka.

Membangunkan negara ini adalah tanggungjawab mereka akan datang. Generasi muda dahulu telah memulakan usaha pembangunan ini dan kini mereka sudah menjadi generasi yang akan meninggalkan legasi kepimpinan itu. Seharusnya, generasi muda membuat persiapan untuk terus membangunkan negara ini dan kemudian nanti akan tiba giliran mereka untuk memikirkan generasi pengganti buat diri mereka semula. Namun, kerja pembangunan dan penyediaan pelapis masa hadapan ini bukan kerja berasingan malah seharusnya berjalan seiringan. Remaja merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan yang seharusnya punyai idea kreatif dan inovatif. Mereka mesti memiliki idealisme tersendiri. Perlu punyai keberanian menghadapi zaman dengan segala macam cabaran dan mehnah diluar jangkaan. Keberanian zaman adalah keupayaan untuk meninggalkan kebiasaan-kebiasaan lama yang tidak berkait dengan kepercayaan. Memiliki kebijaksanaan dalam menangani pembaharuan tersebut bukan hanya dengan semborono sehingga mencederakan hati dan perasaan generasi terdahulu. Keberanian zaman juga bermaksud bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang dengan besar jiwa dan dengan persiapan. Kita tidak boleh membina generasi muda yang hanya menunggu dan mengharap bahkan mereka seharusnya dipersiapkan. Remaja sebagai pelapis kepimpinan perlu disiapkan dari sudut keupayaan untuk belajar dan diajar. Mereka seharusnya menjadikan ilmu sebagai satu budaya baru kehidupan. Kaya itu tahu bukan kerana mahu.

Kekayaan ilmu pengetahuan dan kemahiran juga penting disebabkan remaja juga akan menjadi tenaga kerja terpenting negara. Aset utama yang perlu dikembangkan adalah ilmu, kemahiran dan kemahuan untuk terus belajar. Pemilikan khazanah terbesar ini akan menjadikan golongan remaja ini dapat berada di dalam masyarakat bersama agenda pemulihan yang mampan dan berterusan akibat dari pembentukan pemikiran yang lebih luas dan terbuka. Bahkan mereka juga akan berupaya untuk bersaing dengan pelbagai kemajuan di luar dan menjadikan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Oleh sebab yang demikian, para pelapis negara kita ini akan memiliki pengalaman yang lebih luas dan praktikal kepada pembangunan negara. Perkembangan maklumat akan semakin tinggi dan akan mampu diadaptasi ke dalam negara kerana dengan keluasan ilmu tadi juga kita mampu melahirkan remaja yang menjadi warganegara yang bijak untuk kelangsungan kehidupan. Selaku rakyat Malaysia, harus mereka dakapi keadaan kemajmukan Malaysia ini sebagai salah satu ciri penting negara ini yang tidak dapat dipisahkan. Sewajarnya, remaja tidak tersekat pada pemikiran sempit kebangsaan serta keagamaan yang boleh menatijahkan pergaduhan dan pertelingkahan berpanjangan. Kebijakan ini juga seharusnya diterjemahkan melalui penglibatan generasi muda dalam aktiviti yang menyumbang bakti kepada masyarakat. Penglibatan secara aktif mereka bersama masyarakat akan membuka pelbagai pintu lapang dada serta tolak ansur. Mereka akan berupaya untuk berfikir dengan pemikiran yang jelas terlihat ke dalam.

Secara kesimpulannya, dua keutamaan dalam pembinaan nilai tanggungjawab dalam diri remaja bermula dari pembudayaan ilmu yang tiada had perkembangannya. Menghadkannya samalah ibarat kita mencantas mereka sebelum sempat berkembang dan membesar. Sejarah Hang Nadim akan berulang, sejarah Tun Perak akan berulang dan akhirnya para pemimpin akan dikelilingi oleh watak-watak seperti Si Kitol dan Raja Mendeliar. Pembodohan generasi muda dengan sogokan hidup penuh dengan hiburan yang melalaikan akan menghilangkan jati diri agama dan bangsa mereka sendiri. Oleh sebab itulah, penuhkan pemikiran mereka dengan ilmu dan hidupkan jiwa mereka dengan kebijaksanaan emosi yang tinggi. Hidup adalah untuk memberi hidup. Terbina di dalam diri mereka nilai keinsanan yang tinggi dan wajar dipuji demi kelangsungan kehidupan masa hadapan yang bersinar.

Wednesday, August 26, 2020

LEBIH UTAMA DIPERCAYAI BERBANDING DIKASIHI

Kehidupan bersosial dan berorganisasi merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam melalui kehidupan sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah s.w.t. ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 4, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”

Jelas di sini yang dapat kita lihatkan betapa keadaan ummat Islam itu amat perlu bersama sebagai satu binaan yang kukuh. Islam juga memperlihatkan bahawa hidup seorang Muslim itu umpama anggota tubuh, apabila satu merasa sakit, maka yang lainnya juga tidak dapat berehat dan merasakan kesakitannya bersama. Namun di dalam kehidupan sosial, tidak dapat tidak, pastinya kita akan berhadapan dengan dunia politik sosial secara umumnya. Masing-masing berusaha untuk mendahului yang lain dalam usaha untuk mendatangkan perasaan kasih orang lain terhadap diri kita. Bahkan di dalam kelompok sosial yang sifatnya tiada sebarang keuntungan material sekalipun, keadaan ini berlaku. Ini menjadikan pada hari ini amat sukar untuk kita mencari kepimpinan yang boleh dipercayai. Jika kita bersama berusaha menyenaraikan apakah sifat utama diri seorang pemimpin itu, pastinya yang menjadi keutamaan dalam perbincangan tersebut adalah mereka yang boleh dan dapat dipercayai. Amerika Syarikat negara yang dikatakan memiliki kuasa besar dunia, ada dikalangan mereka yang mengungkapkan kata-kata sindiran, “We thought we could trust the military, but then came Vietnam; we thought we could trust the politicians, but then came Watergate; we thought we could trust the engineers, but then came the Challenger disaster...” Kata-kata ini mengungkapkan tentang makna dan keutamaannya kepercayaan. Faktor kepercayaan amat penting dalam memastikan kesinambungan sesuatu hubungan samaada berbentuk peribadi mahupun berorganisasi. Apabila kuasa kepercayaan ini berjaya dibentuk, sebarang anasir sifat mazmumah yang datang mengganggu hubungan dan bisikan-bisikan buruk dan busuk itu akan berjaya diatasi bahkan dijauhkan dari sesuatu perhubungan. Tetapi, apabila sistem kepercayaan ini tercabar, lihat sahaja kesannya, hubungan kepercayaan yang dibina hampir 10 tahun boleh berubah dalam sekelip mata.

Kepercayaan hadir melalui pengikut yang percayakan pemimpinnya dan pemimpin mesti meletakkan kepercayaan kepada orang yang dipimpin. Dari sinilah akan mewujudkan pengaruh dan pengaruh itulah yang menjayakan kepimpinan. Bagaimana kita hendak membina kepercayaan? Mudah tetapi sukar dilaksana. Cakap mesti serupa bikin. Cakap dan perbuatan mesti selari. Kata-kata mesti dikota. Inilah yang sering diungkapkan sebagai integriti. Integriti ini adalah sikap amanah, jujur dan tulus dalam setiap perhubungan dan dipraktikkan dimana sahaja dalam kehidupan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 2 dan 3, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupannya yang mendorong masyarakat untuk mengangkat darjatnya serta memberikan gelaran Al-Amin. Kadangkala, kita lebih suka perasaan dikasihi berbanding dipercayai. Percayalah dan fikirlah, bahawasanya setiap pekara yang dikasihi hadir dari permulaannya dipercayai. Begitu juga dengan kasih sayang dibentuk di rumah, tempat kerja dan di mana sahaja. Apabila kepercayaan ini merosot, maka kasih sayang juga mula hilang dan pudar dari kehidupan kita. Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinganya. ‘Action louder than words'.

Maka ingatlah sahabatku sekalian, apabila kita mengetuai atau berada di dalam organisasi, dan di situ semakin sukar untuk mendapatkan ketaatan, kerjasama dan kesetiaan, itu tandanya pengaruh kepimpinan telah hilang. Apabila hilang pengaruh, itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan dan disitulah tiadanya integriti. Kita tidak akan mampu menjayakan organisasi hanya sekadar dengan cinta tetapi, kepercayaan adalah yang lebih utama. ‘TUNE’lah diri kita.

Wednesday, August 5, 2020

MENJADI REMAJA YANG BERKESAN

Remaja berkesan adalah sebahagian dari ciri-ciri remaja yang memiliki kestabilan emosi. Ini menjadikan mereka sentiasa menjadi manusia yang prihatin serta mempunyai pelbagai idea kreatif dan inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik dalam mendepani pelbagai isu kehidupan mereka dan sekitar mereka. Namun itu tidak bermakna mereka mampu berdikari sebaliknya amat memerlukan bimbingan dan tidak boleh sesekali dibiarkan bersendirian dalam melakukan sebarang idea mereka itu. Usia muda remaja adalah usia yang masih belum benar-benar tahu membezakan antara intan dan kaca, antara batu dan permata. Maka, adalah penting bagi mereka yang punya kesempatan untuk bersama anak-anak remaja khususnya ibu bapa untuk memberikan tauladan yang terbai buat mereka. Remaja perlu memberikan perhatian kepada perkara baik dan buruk serta pelbagai risiko yang datang kepada mereka khususnya dalam hal yang tidak mereka ketahui. Kekurangan pengalaman dalam kehidupan menjadikan insan seperti ibu dan ayah amat penting untuk dirujuk sebelum membuat apa-apa keputusan.

Remaja yang berkesan akan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi lebih-lebih lagi dikalangan rakan-rakan sebaya mereka. Sudah tentulah mereka akan lebih selesa dengan mereka berbanding orang lain. Rasa tanggungjawab ini menyebabkan mereka bersedia untuk menjadikan diri mereka lebih baik dari sebelumnya. Oleh sebab itulah, mendidik anak-anak remaja dengan tanggungjawab amat penting. Kita sebagai ibu bapa begitu juga diri remaja itu sendiri harus selalu bersama dalam banyak perkara. Ia bagi memastikan wujud komunikasi yang sangat berkesan yang mana akhirnya memudahkan kita sebagai ibu bapa untuk memberikan teguran yang membina dan pada masa yang sama kita juga berpeluang untuk mendapat teguran dari mereka. Komunikasi yang baik ini akan menggalakkan diri kita lebih terbuka dengan anak-anak remaja begitu juga dengan mereka. Banyak berahsia, memendam perasaan, menyimpan hasrat dan tidak diluahkan pada tempat yang betul hanya akan mengundang lebih banyak masalah berbanding menyelesaikan atau mengatasinya. Sifat keterbukaan ini akan membentuk kepercayaan yang kuat dalam diri kita dan mereka antara satu sama lain ibarat rakan-rakan mereka sendiri.

Rasa percaya mereka kepada kita sebagai penjaga mereka mungkin baik tetapi adakalanya, ia lebih baik apabila bersama rakan-rakan mereka sendiri. Kepercayaan kepada kelompok mereka itu baik tetapi yang perlu diberikan perhatian adalah siapa pula kelompok yang bersama mereka itu? Rakan mereka juga adalah antara faktor pendorong untuk mereka menjadi lebih berkesan, namun harus ada kewaspadaan. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, untuk buat kejahatan tidak mungkin tanpa dorongan sama juga untuk membuat kebaikan. Apabila hubungan antara ibu bapa dan anak remaja ini berkesan, sentiasalah berikan kepercayaan dan perbaiki kesalahan mereka dalam perhubungan itu dengan cara yang tidak memalukan mereka. Jaga amanah diri mereka khususnya aib-aib mereka. Sebab itu, untuk memberikan teguran sekalipun perlulah disesuaikan masa, cara dan tempat bahkan perlu diberikan ruang untuk mereka memikirkan teguran yang telah diberikan. Adab dan cara kita menegur kita akan menjadi suri dan tauladan mereka untuk diperlakukan pula kepada rakan-rakannya yang lain. Nilai rasa tanggungjawab yang tinggi tadi akan menggalakkan bahkan akan menjadikan diri mereka sering dirujuk oleh rakan-rakan mereka untuk berkongsi masalah. Maka, pada setiap masalah mereka, dengarkan dahulu sebelum memberikan sebarang kesimpulan kerana itu juga yang kita mahu mereka lakukan kepada rakan-rakan mereka. Cerita yang didengari itu pun telah melepaskan sebahagian dari bebanan mereka yang sedang ditimpa masalah. Selepas dengar, datangkanlah nasihat, itupun merujuk kepada dan dan cara yang bersesuaian.

Biarlah semua yang dibincangkan ini menjadi pedoman dalam diri kita sebagai pembimbing remaja sama ada ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja bahkan juga amat penting bagi remaja sendiri untuk mengenalpasti siapa orang dewasa mereka yang wajar dijadikan tempat rujukan dan tempat untuk diambil segala pesanan dan nasihat. Alangkah baiknya jika mereka itu adalah ibu bapa, atau mungkin ahli keluarga mahupun guru. Tetapi tidak boleh juga dikecualikan, individu yang dikenali yang dipercayai boleh memberikan nasihat dan bimbingan yang baik. Ingatlah mengapa kita perlukan remaja berkesan dan mengapa kalian para remaja perlu menjadi berkesan? Kalian adalah harapan masa hadapan kami. Kalian perlu sedar bahawa peranan kalian adalah untuk menggantikan kami. Mustahil kalian akan dapat melakukannya jika pada usia muda kalian, tidak pernah dibimbing dengan segala bentuk tanggungjawab dan peranan yang berkesan kepada orang lain. Sekiranya pada usia remaja kalian masih dipenuhi dengan keseronokan, maka itu yang akan merosakkan cara hidup kalian akan datang. Hidup amat memerlukan pengorbanan.

Kami juga ingin memastikan, selepas dunia ini kami tinggalkan, tidaklah yang kami wariskan kepada generasi cucu cicit kami akan datang satu generasi anak-anak yang lemah. Ia memang tidak menjejaskan kehidupan kami, kerana telah tiada di bumi ini, tetapi pasti kami akan ditanyakan mengenai kamu, anak-anak kami. Mengapa kalian meninggalkan amanah dan tanggungjawan kamu sebagai insan di muka bumi ini? Kami tidak akan berupaya menyanggah kemurkaan yang Maha Esa nanti melainkan kami perlu lakukan sesuatu hari ini. Kami mahu tinggalkan dan wariskan yang terbaik untuk umat selepas kami nanti. Kalian anak-anak adalah amanah yang bukan untuk kami bangga-banggakan, tetapi akan dipersoal tentang kemenjadian kalian dan begitu juga kalian akan datang bersama generasi anak-anak kalian. TUgas ini akan berterusan dan berpanjangan sehinggalah sampai ke hari penamat itu nanti, semuanya akan berkesudahan. Selagi belum sampai masa itu, kita mesti usahakan kalian menjadi remaja yang berkesan.

Wednesday, July 29, 2020

KEGAGALAN MENGURUSKAN DALAMAN DIRI REMAJA


Saat ini negara berhadapan dengan ujian getir berkenaan isu pandemik Covid-19. Keadaan yang permulaannya dilihat sedikit tenang kembali merisaukan dengan bacaan peningkatan kepada masyarakat mungkin akibat dari rasa selesa masyarakat kepada keadaan semakin baik negara. Bacaan peningkatan itu amat menggusarkan. Namun keadaan kita tidak sedar, pandemik ini juga secara langsung telah meninggalkan kesan besar kepada corak perkembangan generasi khususnya remaja di negara kita. Peningkatan masa mendadak kepada gejala di hadapan skrin gajet, laman sesawang lucah dan hobi-hobi rendah nilai moral menggunakan aplikasi tik tok, YouTube dan yang seangkatannya turut sama meningkat selari dengan pandemik yang kita depani kini. Segalanya ini adalah aktiviti yang melibatkan golongan remaja yang secara umumnya gagal memanfaatkan ruang masa lapang mereka untuk perkara yang lebih banyak mendatangkan faedah selain dari semata-mata keseronokan yang amat sementara. Permasalahan pengurusan dalaman diri remaja ini adalah bertolak dari faktor-faktor yang diundang oleh perubahan yang sedang dilalui mereka dalam usia ini. Pada ketika ini, remaja amat mahukan kebebasan tanpa kongkongan dari ibu bapa mereka walaupun pada hakikatnya itu boleh membahayakan mereka. Pada mereka kongkongan itu akan menghadkan daya ingin tahu mereka walaupun secara sedar tindakan mereka itu mengundang bahaya buat diri dan keluarga. Remaja beranggapan mereka sudah boleh berdikari dan perlu diberikan hak untuk membuat keputusan dan pilihan sendiri. Ini ditambah dengan kerungsingan apabila segelintir masyarakat kita mengambil ringan perkara-perkara kerohanian yang dapat membantu remaja untuk lebih bersedia menguruskan dalaman diri mereka.

Masyarakat terhampir dengan diri remaja adalah ibu bapa mereka sendiri. Situasi diri pada remaja yang tidak dapat difahami oleh ibu bapa menjadikan ibu bapa itu penyebab tekanan yang berlebihan untuk remaja. Situasi remaja yang kurang diberikan kepercayaan serta tindakan mudah menghukum akan mengheret rasa tidak suka kepada benci anak remaja terhadap ibu bapa mereka. Keupayaan ibu bapa untuk menyelami perasaan dan keadaan diri remaja amat ditagih. Bukan hanya untuk menyelesaikan permasalahan dirinya dan keluarga, bahkan berkait dengan kejiranan dan akhirnya negara kita. Konflik yang wujud di dalam perhubungan kekeluargaan perlu dileraikan dengan kebijksanaan, bagai menarik rambut di dalam tepung, tepungnya tidak berserak, rambut pula tidak putus. Kita khuatir, konflik kekeluargaan ini akan menyebabkan mereka berasa terpinggir dan mula mencari tempat kehidupan mereka dari kalangan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya sudah tentu akan membina pengaruh besar untuk mereka. Apabila mereka sebaya, apa yang difikirkan dan yang dibincangkan lebih mudah difahami dan mereka mula beranggapan bahawa mereka ada hubungan kimia yang baik dalam persahabatan. Hakikatnya, ia hanyalah kerana situasi mereka yang serupa dan mempunyai frekuensi pemikiran yang seragam, namun mereka beranggapan rakan mereka itu sangat memahami. Situasi ini akan menambahkan kerumitan. Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggung jawab dalam kekeluargaan untuk memastikan hubungan baik keluarga dan sentiasa berdamping dengan anak remaja ini untuk menilai prestasi dan perkembangan kehidupan mereka termasuk ruang lingkup persekitaran rakan-rakan mereka.

Rakan-rakan mereka itu merupakan sebahagian dari masyarakat disekitar mereka juga dan memberikan pengaruh yang besar juga disebabkan lebih dari masa keremajaan mereka juga akan dihabiskan dibangku-bangku sekolah. Sebab itu, institusi persekolahan juga tidak boleh terlepas dari sudut penyertaan dalam menguruskan dalaman diri remaja ini. Maka, tidak hairanlah apabila pembukaan semula persekolahan mengundang keluhan di kalangan remaja kerana sebahagian mereka merasakan persekolahan ini adalah sesuatu yang membebankan malah mereka tidak malu menyatakan kebosanan mereka. Keluhan terbuka sebegini mengundang kejutan oleh masyarakat yang menilai kepentingan persekolahan buat mereka. Namun keluhan itu pasti ada punca yang datangnya dari institusi itu sendiri. Penilaian ini harus adil, bukan hanya mempersalahkan, tetapi kita perlu akui juga terdapat usaha-usaha yang sangat murni diusahakan oleh sekolah-sekolah di seluruh negara. Namun, disebalik perakuan itu, masih terdapat situasi di mana kaedah-kaedah pengajaran yang digunakan para pendidik di sekolah sudah tidak relevan atau mungkin kurang relevan.Bahkan mudah untuk kita dapati ada segelintir pendidik yang lebih cenderung melakukan kerja mengajar mereka yang bergantung kepada kebiasaan yang mereka lakukan untuk lebih dari 20 tahun diri mereka telah berkhidmat tanpa memberikan ruang perubahan pada dirinya demi kelangsungan pendidikan anak-anak remaja di sekolah. Kawalan disiplin sekolah yang bertukar corak dari mengutamakan pendidik kepada mengutamakan pelanggan sedikit sebanyak memberikan kesan langsung kepada tahap kemenjadian pelajar di pelbagai peringkat pendidikan. Pendidik lebih cenderung untuk tidak mengambil tindakan atau mendiamkan diri terhadap salah laku disiplin akibat dari tekanan masyarakat yang kononnya anak-anak mereka mempunyai hak jagaan tertentu yang tidak boleh dilanggar oleh sesiapapun. Akhirnya wujud golongan terpinggir di sekolah kerana para pendidik tidak mahu terlibat dengan permasalahan yang timbul atas sebab terlebih prihatin kepada anak murid remaja mereka kononnya. Bahkan menjadi lebih mendukacitakan apabila golongan terpinggir di sekolah ini di buat pula pembahagian khusus memisahkan mereka dari rakan-rakan mereka yang lain seolah-olah memberikan satu pandangan bahawa mereka perlukan rawatan khusus berbanding kelompok yang lain seperti yang semua kita maklum wujudnya kelas depan dan kelas belakang di sekolah.

Semua keadaan di atas sudah nampak kegagalannya, apatah lagi apabila ditambah pula dengan penglibatan media sosial sebagaimana yang telah dicatatkan pada awal tulisan ini tadi. Apabila media sosial menawarkan sesuatu yang terlalu luas dari segi kepuasan, maklumat, penglibatan, perhubungan dan pelbagai lagi maka ia hanya akan merumitkan proses pengukuhan sistem pengurusan dalaman diri seseorang remaja itu. Keluasan yang dimaksudkan sehinggakan, apa sahaja yang dihidangkan untuk mereka tiada sebarang penapisan dari sudut betul salah, benar bohong, baik buruk dan sebagainya. Bahkan media sosial juga seolahnya menawarkan keseronokan yang tidak ada tolok bandingnya dengan perkara-perkara lain yang pada hakikatnya itu adalah sesuatu tawaran yang merosakkan bukannya menguntungkan. Kerosakan akan datang itu bukan di bawah perhatian mereka kerana perhatian itu hanya akan wujud apabila ada kelompok yang memberikan peringatan dan amaran kepada mereka. Keutamaan mereka cuma kepuasan dan keseronokan sahaja. Semua kita maklum, segala yang seronok itu tidak menjanjikan kebahagiaan dipenghujungnya. Jika kegagalan menguruskan dalaman diri remaja ini dibiarkan berlarutan, kita tidak sepatutnya terkejut sekiranya kita mewariskan kepada cucu cicit kita sebuah bangsa yang amat memalukan, lemah dan tidak bertanggung jawab.

Akhir sekali, sebagai langkah untuk membina remaja yang lebih baik, maka, setiap dari kita seharusnya berdampingan dalam mengembeling usaha untuk mengelakkan kegagalan ini berlaku kepada remaja kita. Para ibu bapa termasuk pendidik harus berusaha untuk mewujudkan perhubungan yang sangat positif bersama mereka. Ibu bapa harus merencana masa berkualiti bersama remaja dalam pelbagai pendekatan kerana mereka perlu didengari bukan hanya disantuni keperluan harian semata-mata. Para pendidik disarankan untuk menutup jurang perbezaan kelompok diri remaja antara mereka yang lemah dan cemerlang. Menilai mereka dari sudut keupayaan umum bukan lagi berlandaskan kepada akademik serta pencapaian markah di dalam peperiksaan semata-mata. Perkembangan mereka amat luas dan pelbagai, maka ia tidak perlu disempitkan hanya untuk memenuhkan keperluan agenda khusus tertentu beberapa pihak yang dinilai mempunyai kepentingan. Masyarakat, khususnya ibu bapa dan pendidik harus memberikan bimbingan khusus dari sudut bagaimana pemilihan rakan-rakan untuk diri mereka. Usaha mengurangkan jurang perbezaan kelompok itu akan memudahkan urusan mereka untuk membuat pilihan serta memberikan ruang lebih luas untuk mereka berinteraksi dengan berkesan kepada kelompok rakan yang mempunyai kepelbagaian dan keunikan. Jadualkan kehidupan mereka secara wajib dengan jadual yang banyak memberikan manfaat kepada mereka. Ini termasuklah penjadualan penggunaan media sosial mereka. Pendidikan penggunaan media sosial harus diperkenalkan bagi membolehkan penularan maklumat yang tepat mengenai media sosial mereka membina keprihatinan diri mereka terhadap isu dan bahaya mengenainya.

Wednesday, July 15, 2020

JADILAH REMAJA YANG SIMPLE

Hari ini kita dapat melihat bagaimana keadaan diri masyarakat yang semakin menurun dari sudut keupayaan mengurus emosi mereka. Jika kita perhatikan, semakin banyak kes-kes pembunuhan sama ada membunuh anak, ahli keluarga atau jiran juga tidak kurang kes membunuh diri. Semua ini secara tidak langsung memberikan kita satu gambaran tahap pengurusan emosi masyarakat yang amat membimbangkan.

Apatah lagi apabila ia berkaitan dengan keremajaan dan tahap penguasaan emosi seorang remaja. Dalam usia muda yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran umur, mereka juga antara yang dinilai sebagai antara golongan yang menghadapi tekanan emosi yang amat teruk. Kita pasti boleh fikirkan secara logiknya mengapa. Kemiskinan, kurang perhatian, persaingan dan kurang keyakinan diri akan menjadi faktor asas utama yang ditambah dengan persediaan minda terhadap zaman mereka. Apabila kami memulakan Kem Remaja O.S.E.M pada tahun 2015, fokus utama kami adalah untuk menjadikan para peserta sebagai remaja yang mampu menguruskan emosi mereka dengan menjadi remaja yang 'SIMPLE'. Kami tidak maksudkan ia dengan mudah tetapi ia lebih dari sekadar mudah. Mudah itu hanya ungkapan adjektif yang memberikan kelengkapan kepada situasi emosi yang lain yang akhirnya ia menjelaskan betapa stabilnya emosi mereka.

Semua kita mengidamkan remaja yang mudah memaafkan, mudah menolong, mudah simpati, mudah berinteraksi, mudah berbincang, mudah berkawan dan segala macam mudah yang disusuli dengan tingkah laku positif yang lain. Mudah ini atau 'SIMPLE' dalam bahasa pasar kita memberikan gambaran betapa seseorang itu amat disenangi, mudah didekati dan orang yang merendah diri dan itu adalah sifat peribadi yang tidak mungkin dibuat-buat. Sifat sebegini hanya lahir dengan persekitaran yang jelas membentuk diri mereka itu. Pada masa yang sama, untuk berada pada keupayaan 'SIMPLE' ini juga, mereka seharusnya ada bersama mereka yang sebegitu dan mereka sendiri mampu mengawal emosi mereka apabila berhadapan dengan sesuatu khususnya apabila ia adalah diluar jangkaan. Apabila kami mengetengahkan pencirian ini, dapatlah kami kenalpasti terdapat perubahan ketara pada individu remaja itu apabila mereka tidak menjadikan sesuatu itu rumit. Sebagai contoh, dalam persahabatan, satu kesilapan kecil yang dilakukan oleh teman kita, sebagai remaja yang 'SIMPLE', maafkan sahaja dan minta mereka perbaiki selepas itu. Namun, ia akan merumitkan apabila tiada nilai memaafkan itu. Mungkin ukuran besar kecil itu berbeza pada setiap kita, tetapi yang kita bersama boleh persetujui, memaafkan itu adalah tanda jiwa kita mempunyai ketenangan dan kestabilan yang amat bernilai.

Kenapa remaja hari ini dilihat seperti tidak 'SIMPLE'? Jawapannya ada di hadapan mata kita semua. Remaja hari ini bebas untuk mencuba sehinggakan mereka terkeliru pada apa yang mereka cuba itu kerana kurangnya bimbingan dan janganlah kita harapkan sangat mereka tahu kerana pembacaan. Mereka lebih cenderung untuk mendengar pandangan viral berbanding pandangan dari sumber yang disahkan. Bahkan apabila mereka berinteraksi dengan rakan mereka di media sosial, mereka amat cepat tersinggung kepada perkataan yang diluahkan di dinding-dinding media sosial sedangkan ia belum tentu ditujukan untuknya. Mengapa jiwa mereka sangat sensitif sebegitu? Kehidupan normal manusia amat memerlukan kepada komunikasi dan interaksi tidak kira bersama keluarga mahupun bersama rakan-rakan baik di sekolah atau tempat-tempat lain. Bagi mereka yang tidak menjalankan aktiviti-aktiviti sebegini dianggap anti sosial. Duduk terperap dalam bilik, berkurung, tidak bercakap dengan orang walaupun bersebelahan dan berasa pelik apabila ditegur oleh orang yang tidak dikenali, ini semua adalah gejala-gejala anti sosial yang amat bahaya tetapi sudah menjadi barah dalam masyarakat.

Sebab itu kita dapat lihat bagaimana sekumpulan remaja, duduk di kedai mamak, tetapi tidak bercakap antara satu dengan yang lain hanya kerana sibuk dengan gajet mereka masing-masing. Siapa yang bersalah dalam hal ini, remaja atau gajet? Pada kami, ia berbalik kepada bagaimana persekitaran mereka yang dibentukkan kepada mereka dipelbagai peringkat, bukan hanya keluarga. Manusia yang tidak berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain akan hilang keyakinan diri mereka. Timbul rasa curiga dan sentiasa berasa dalam ancaman oleh orang yang ada disekitar mereka. Kemudian, sedikit demi sedikit hilang rasa percaya, kasih sayang dan akhirnya membarah sehingga wujud pula rasa benci, dendam dan sentiasa bersyak wasangka dalam segala hal. Mampukah remaja kita menjadi orang yang 'SIMPLE'? Jawapannya, memang tidaklah.

Buat anak remaja diluar sana. Lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sosial. Bergaullah dengan ibu dan ayah pada waktu-waktu utama seperti waktu makan, waktu berjalan atau bersia-siar. Letakkan gajet anda, tinggalkan keseronokan maya sebentar dan hargai keseronokan sebenar bersosial yang juga sebenarnya amat sebentar. Berkomunikasi secara fizikal dengan rakan-rakan, bersentuhan, ukirkan senyuman, ketawa dan lakukannya setiap hari. Semua ini adalah ubat yang mujarab untuk penyakit yang membekam di dalam hati sanubari kita. Sebagai ibu bapa juga perlu wujudkan suasana, ubah kebiasaan yang salah. Meja makan tempat berbicara dan makan serta membina kemesraan dan dan kasih sayang, bukan pemisah dan mewujudkan dinding atau longkang pemisah dalam kekeluargaan. Kesibukan tidak akan lari dari kita, kerana itu uruskanlah kehidupan termasuk waktu emas bersama mereka yang tersayang. Ingatlah, ubat mujarab dalam perhubungan adalah komunikasi yang berkesan serta interaksi yang menggembirakan.

Monday, June 29, 2020

REMAJA DAN KEMAHIRAN MENGURUS DIRI

Bagaimana pengurusan diri ya? Mengapa remaja perlu memberi perhatian terhadap pengurusan diri mereka? Kehidupan adalah perkara yang perlu diuruskan kerana kehidupan berkait dengan masa dan dengan tidak menguruskannya akan berlakulah pembaziran. Apa yang lebih malang lagi, pembaziran kehidupan atau lebih tepatnya pembaziran masa itu adalah sesuatu yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar tetapi akan pasti dapat dirasai apabila sampai masa mendapat natijah kerugiannya sepertimana gagalnya dalam peperiksaan, maka akan datanglah sesal kenapa kita tidak belajar dahulu. Sesalan adalah natijah biasa bagi mereka yang tidak menguruskan kehidupan dengan berkesan. Semua remaja diberikan kemahiran yang cukup dalam proses perkembangan diri mereka sejak kecil lagi dalam hal pengurusan diri. Namun, harus kita fahami, soal pengurusan diri ini dapat kita kelas ke dalam dua kelompok iaitu pengurusan diri secara luaran dan dalaman.

Sejak di tadika, secara umumnya kanak-kanak diajar sekurang-kurangnya enam asas dalam pengurusan diri secara fizikal iaitu kemahiran memakai baju, pengurusan tandas, mandi, makan, penjagaan dan dandanan diri serta fungsi pergerakan fizikal. Kemahiran mereka ini secara langsungnya meningkat dari masa ke masa sebagaimana yang dilalui oleh remaja sendiri dari pelbagai sudut disebabkan proses pembelajaran dan perkembangan melalui pengalaman serta kecenderungan mereka. Pengurusan fizikal adalah asas utama kehidupan remaja. Kegagalan mereka untuk meletakkan keutamaan kepada asas-asas yang dibincangkan sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada usaha untuk menguruskan diri mereka secara dalaman. Pengurusan fizikal juga jelas dalam kitab-kitab Feqah agama Islam yang kebanyakkannya meletakkan keutamaan kepada tajuk Toharah atau kebersihan dan yang dimaksudkan adalah kebersihan secara fizikal.

Apabila seorang remaja gagal untuk menguruskan fizikal diri mereka dengan berkesan, itu juga memberikan satu gambaran bahawa mereka juga berada dalam keadaan di mana gagal menguruskan diri mereka secara dalaman. Pengurusan dalaman diri merangkumi tiga aspek iaitu mental, emosi dan rohani. Pengurusan mental dapat kita lihat dari sudut kesediaan remaja untuk mempelajari sesuatu yang baru tanpa meletakkan timbangan minat semata-mata. Mereka seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta ilmu pengetahuan yang akan membantu diri mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan cemerlang. Kesihatan mental akan menjadikan seorang remaja itu sentiasa mampu berfikir secara rasional, waras serta mengambil pertimbangan yang wajar pada waktu-waktu yang diperlukan. Ini menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif dalam mendepani pelbagai situasi khususnya apabila keadaan mendesak. Ilmu adalah makanan mental dan mereka seharusnya mengasihi ilmu seluasnya.

Pengurusan emosi pula adalah berkenaan dengan pengurusan perasaan mereka. Disinilah letaknya semangat berterusan, motivasi, cekal serta sabar dalam mendepani pelbagai keadaan disekitar mereka. Keupayaan pengurusan mental belum tentu dapat dimanfaatkan sekiranya mereka tidak mampu menguruskan emosi dengan berkesan. Walau kreatif sekalipun, kreativiti itu tidak bermakna jika ia perlu diterjemahkan oleh orang yang cepat berputus asa atau mereka yang kurang sabar dalam tindak tanduknya. Emosi yang stabil atau mereka yang dapat menguruskan emosi mereka dapat juga dilihat melalui keberkesanan dirinya, kematangan, sentiasa memudahkan serta bentuk perhubungan yang dijalinkan antara keluarga dan rakan-rakan serta masyarakat sekitarnya termasuk keupayaan mengurus diri sepertimana yang sedang kita bicarakan ini. Kegagalan menguruskan emosi adalah punca kepada kegagalan dalam banyak perkara berkait dengan kehidupan. Emosi yang dibincangkan adalah merujuk kepada emosi perasaan seperti marah, rajuk, sedih, kecewa dan banyak lagi bentuk perasaan yang wujud pada manusia itu sendiri. Menurut pandangan Islam, pengurusan emosi ini amat bergantung juga kepada bagaimana kita menguruskan kerohanian kita.

Pengurusan kerohanian adalah soal pengurusan hubungan kita sebagai insan dengan tuhan yang disembah dan tuhan Yang Menciptakan. Penilaian kerohanian yang diuruskan ini berdasarkan sifat redha, sabar serta tawakal kepada tuhan itu sendiri. Melakukan setiap perkara secara sedar bahawa tuhan sedang memerhatikan setiap tindak tanduk kita sama ada dalam keadaan terang atau gelap. Setiap tindakannya adalah ditunjangkan kepada penilaian tuhan bukan lagi hanya penilaian manusia. Semakin hampir kita dengan tuhan maka semakin selalulah kita diperingatkan serta diberikan teguran dan ujian hanya kerana Dia mahu kita menjadi sentiasa yang terbaik.

Secara kesimpulannya, dalam membina keupayaan mengurus diri remaja, adalah menjadi keutamaan untuk memastikan setiap remaja sudah tidak berhadapan dengan masalah dengan pengurusan fizikal mereka sendiri. Ia amat berkaitan dengan tahap kebersihan diri kerana gagal menguruskannya, maka akan dituruti dengan kegagalan pada hal-hal lainnya. Fizikal harus disusuli dengan pengurusan mental mereka. Harus ada usaha menanam kemahuan untuk belajar dan mengembangkan diri dan bukan hanya pasrah untuk berada pada satu tahap sahaja. Kekayaan sebenar manusia adalah pada simpanan dan timbunan ilmu mereka bukan harta kerana bersumberkan ilmu ini, akan mudahlah mereka mengawal emosi mereka serta sekaligus akan menambah keyakinan kerana kenalnya mereka akan Yang Menciptakan mereka.

Monday, June 15, 2020

HALA TUJU KEHIDUPAN REMAJA (BAHAGIAN 2)

Perjalanan hidup tidak mudah. Namun, remaja gemar menilai ia sebaliknya. Sekiranya mereka jelas akan hala tuju kehidupan itu adalah untuk memberi hidup, maka mereka akan dapat memahami bahawa hidup ini penuh dengan kesukaran tetapi dengan adanya kehidupanlah memudahkan kita untuk berbakti dan memberi manfaat kepada yang lain. Inilah yang diistilahkan sebagai sifat Ihsan. Kehidupan kita tidak hanya berpaksi kepada diri sendiri, sebaliknya ia mempunyai hubungan menegak dan melintang. Hubungan dengan yang Maha Pencipta dan hubungan sesama makluk yang diciptakan Nya. Pujangga pernah menyebutkan, "Jika mahu melihat negara pada masa hadapan, lihatlah pemudanya pada hari ini." Persoalan yang selalu saya timbulkan, "Bagaimana mereka hari ini?" Ramai msyarakat di luar sana mengambil tugas untuk menyalahkan sama ada mereka memiliki atau tidak memiliki hali keluarga yang remaja. Bagi yang tidak memiliki, kita dapat fahami mungkin mereka tidak tahu dan perlu diberi tahu, tetapi mengapa yang memiliki ahli keluarga yang remaja juga membuat kerja menyalahkan ini?

Sebab itu, peranan dan perhatian orang dewasa dan masyarakat juga perlu ada penilaian. Jika kita mahu remaja ini hidup untuk memberi hidup, maka yang dewasanya harus merentas jalan itu. Bukan hanya memekik mengatakan mereka salah itu dan mereka salah ini, dan apabila orang dewasa melakukan kesalahan, pelbagai alasan diberikan dan dikatakan kepada mereka, "apa kau tahu." Kegagalan menanam hala tuju ini sebenarnya akan memandu mereka untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan. Berasa bahawa hidup itu amat mudah dan murah, maka lahirlah sifat bermewah-mewah dengan waktu muda mereka. Kegagalan ini bukan hanya terbeban atas bahu ibu bapa yang sudah pastinya menjadi contoh pertama buat mereka, bahkan juga kepada masyarakat yang berada di sekitar mereka. Jika kita ingin soroti isu kerapuhan sistem kekeluargaan, pasti akan dapat kita kenalpasti pelbagai faktor yang menggagalkan institusi kekeluargaan disebabkan kelemahan keibubapaan.

Kita tidak boleh nafikan kesan dan pengaruh rakan sebaya mereka juga. Ia akan berbalik kepada setebal mana daya tahan serta jati diri remaja yang ditanamkan oleh ibu bapa mereka apabila merujuk kepada rakan-rakan mereka. Sama ada mereka terpengaruh atau mereka yang memberikan pengaruh. Itulah idea asal gerakan Remaja O.S.E.M itu sendiri, yang mana para penggeraknya mengharapkan, para remaja yang kami bimbing itu akan mampu untuk memberikan pengaruh yang positif dan sangat signifikan dengan keadaan rakan sebaya mereka. Sikap dan pemikiran masyarakat harus diperbaiki. Bukan menyalak menyalahkan tetapi fahami dan kenali mereka untuk bantu mengenali kehidupan yang bakal mereka lalui. Jika kita mengharap kehidupan mereka baik seperti generasi dewasa hari ini, maka itu adalah amat mustahil kerana dunia mereka adalah dunia tanpa sempadan. Dunia yang amat berbeza dari apa yang pernah kita semua saksikan.

Maka, mari kita bersama berusaha membantu mereka. Bina pemikiran hidup untuk memberi hidup. Buat ibu bapa dengan anak-anak remaja di rumah, kenal pasti minat mereka, dengarkan harapan dan cita-cita mereka dan sentiasa berikan nasihat, bimbingan, sokongan dan dokongan atas apa sahaja usaha murni mereka untuk kehidupan mereka. Untuk masyarakat awam yang bersama, remaja kita adalah masa depan kita juga, berhenti menyalahkan, mulalah menjadi insan yang menggalakkan. Bantu mereka dengan menyediakan peluang serta maklumat buat rujukan mereka, jadilah pendorong kepada kejayaan mereka serta gunakanlah keupayaan kita untuk membantu mereka dari apa segi sekalipun sama ada wang, masa, idea serta keringat, kerana sesungguhnya, harta yang paling berharga buat kita adalah generasi muda kita.

Sunday, June 14, 2020

HALA TUJU KEHIDUPAN REMAJA (BAHAGIAN 1)

Sehingga ke saat ini, masih tidak berhenti kita mendengar pelbagai keluhan masyarakat mengenai remaja atau anak muda mereka. Ada yang mencemuh, ada yang berasa kasihan tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli mengenai apa yang berlaku kepada mereka melainkan sekiranya mereka itu adalah darah daging mereka sendiri. Adakah tiada yang baik pada mereka? Adakah kerana ini memang kebiasaan remaja yang rus kita depani bersama atau bagaimana?

Apabila saya memulakan gerakan Remaja O.S.E.M di Kuala Selangor tempat tinggal saya, yang saya impikan bermula dengan untuk memberikan sesuatu yang saya ada kepada masyarakat setempat khususnya generasi muda di sini. Saya hanya memulakan satu bengkel sehari memperkenalkan para remaja ini tentang peranan mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat terdekat sekitar mereka. Memang tidak dinafikan, sambutannya tidaklah memberangsangkan walaupun bengkel ini yurannya hanya yuran komitmen sahaja. Tetapi pada saya bukan isu yuran yang menarik minat remaja, tetapi isu apa isi kandungannya. Bengkel sehari yang tiada waktu bersuka ria, berbincang mengenai permasalahan masyarakat, bercerita tentang peranan sebagai remaja yang positif, secara umumnya bukan bahan perbincangan yang diminati remaja. Adakah itu memang sikap mereka atau bagaimana?

Kesedaran apabila memulakan gerakan ini memberikan saya pelbagai input untuk diperbesar dan dibawa kepada perbincangan lebih serius sehinggalah wujudnya hari ini Kelab OSEM Selangor. Melalui pengalaman beberapa tahun, menganjurkan bengkel kemudian beranikan diri untuk anjurkan bermalam, penyertaan hanya sekadar belasan orang sahaja bukan ratusan. Tetapi itu menyedarkan saya. Apabila dijalankan perbincangan dengan modul khusus yang dibangunkan, sebenarnya, remaja diluar sana secara umumnya telah dipesongkan dari hala tuju sebenar kehidupan mereka sebagai manusia. Kegagalan mengenalpasti hala tuju ini membawa kepada berlaku keruntuhan daya tahan diri, jati diri serta kemampuan mengurus diri dengan berkesan. Tambahan pula, bersama mereka adanya pengaruh budaya luar yang mengajak kepada gaya hidup bebas dan tiada kawalan, gaya hidup mewah, alam maya yang tanpa sempadan semuanya mengajak mereka untuk mengambil pengaruh dari budaya luar yang kononnya remaja harus ada kehendak atau kemahuan untuk mencuba apa sahaja yang baru kerana remaja adalah umur yang sangat sukakan penerokaan.

Andaian ini telah memusnahkan hala tuju besar kehidupan sebagai remaja yang seharusnya ditanam lebih awal. Hala tuju hidup untuk memberi hidup. Remaja disesatkan dari nilai kehidupan yang sewajarnya mereka syukuri dan laluinya dengan membina ruang manfaat sebanyak mungkin. Apabila gerakan Remaja O.S.E.M berlangsung, saya melihat bagaimana sekumpulan remaja kecil ini mula merasakan bahawa diri mereka boleh memberikan manfaat kepada masyarakat walaupun pada nilaian orang lain hanya sedikit. Hala tuju kehidupan adalah untuk memberikan kehidupan itu kepada diri sendiri. Nilai manusia yang hidup terletak pada akal dan hatinya. Akal isinya pengetahuan manakala hati isinya adalah hidup bertuhan. Apabila diri telah mendapat kehidupan yang sebenar, penilaian mereka akan bertambah baik terhadap ahli keluarga mereka yang sentiasa berada bersama mereka sehingga ke saat ini. Tidak sukar untuk remaja itu mengungkapkan ucapan sayang dan kasih kepada ahli keluarga mereka apabila sudah timbul perasaan mahabbah kekeluargaan akibat dari tuntunan ilmu pengetahuan dan petunjuk dari pemilik kebenaran. Kesan ini akan terus merebak kepada masyarakat yang secara langsung saya dapat melihat bagaimana adik-adik yang kami bimbing dalam gerakan Remaja O.S.E.M ini begitu teruja untuk melakukan sesuatu kepada masyarakat setempat mereka. Bukan sahaja diri mereka bahkan mereka berjaya memberikan pengaruh secara tidak langsung kepada rakan-rakan mereka dan termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Monday, May 18, 2020

DISIPLIN, DEDIKASI DAN DETERMINASI

Manusia yang berjaya adalah mereka yang mempunyai nilai 3D. Disiplin, dedikasi dan determinasi. Tidak mudah untuk kita melakukannya melainkan dengan bimbingan dan latihan yang berterusan dari guru atau pembimbing yang memahami kepentingan ketiga-tiga nilai ini. Usaha untuk melahirkan generasi yang terbaik haruslah meletakkan paksi dan keutamaan yang jelas dalam kehidupan mereka. Setiap kejayaan dan kecemerlangan bukan hanya datang bergolek, bahkan amat mustahil datang melayang. Ia harus bermula dari usaha yang tidak pernah kenal putus asa. Oleh kerana itulah, untuk mecapai kejayaan itu sendiri harus bermula dari kehidupan yang benar-benar terisi dan terlatih dengan budaya yang boleh membantu diri sendiri.

Disiplin kerap kali dikaitkan dengan aturan. Kita punya disiplin khusus dalam pendidikan sains, matematik, bahasa bahkan dalam matapelajaran agama sekalipun. Aturan itu perlu diikuti untuk mendapat hasil bersesuaian dengan apa yang diharapkan. Terdapat juga disiplin di dalam sosial manusia dan disiplin dalam kerohanian. Apabila kita berusaha untuk mencipta kejayaan, Jim Rohn berkata, kejayaan itu adalah hasil dari beberapa disiplin mudah yang dilakukan setiap hari. Disiplin adalah satu latihan untuk kita belajar untuk mengikut peraturan atau mengamalkan beberapa sikap menggunakan hukuman dan sebahagiannya tidak melupakan juga menggunakan dorongan dan hadiah. Manusia yang berdisiplin akan mampu mengawal dirinya yang sedar dari tergelincir atau larut ke dalam situasi yang tidak sepatutnya.

Disiplin menjadikan seseorang itu mudah untuk mengikuti aturan demi mencapai tujuan yang diinginkan. Tanpa disiplin, kita tidak akan mampu menguasai pemikiran kita sendiri. Kerap kali tewas dalam pertarungan dengan diri sendiri. Displinlah yang akan menjambatani kita ke arah kejayaan yang diimpikan kerana dengan disiplin kita akan melakukan sesuatu kerana ia perlu dilakukan walaupun kita tidak mahu melakukannya. Apabila kita tidak berdisiplin, ia ibarat menjai hamba kepada perasaan, hawa nafsu serta keseronokan dan harus kita ketahui, biarlah kita menderita kerana berdisiplin daripada menderita kerana penyesalan.

Berbeza dengan dedikasi. Jika disiplin adalah suatu aturan, dedikasi merupakan kualiti individu yang komited untuk melakukan sesuatu tugasan. Dedikasi adalah gambaran komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan apa yang dinilai berkepentingan untuk diri atau apa sahaja di persekitaran kita. Sebab itu ada yang mengatakan bahawa, kurangnya dedikasi pada diri kita itu adalah perkara yang akan memalukan diri kita sendiri. Dedikasi sudah tentu sekali tidak bermusim kerana ia adalah kualiti dalam diri yang dikembangkan tidak kira dalam apa situasi sekalipun. Dedikasilah yang akan menjadikan sesuatu impian itu realiti kerana dedikasi itu adalah masa berjam-jam yang kita berikan untuk sesuatu perkara dalam keadaan tiada sesiapa yang melihatnya. Dedikasi boleh dikaitkan juga dengan istiqamah yang membawa maksud secara literalnya melakukan sesuatu secara berterusan walaupun hanya sedikit. Bak kata pepatah melayu, simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Jelas sekali pepatah ini menggalakkan kita untuk  melakukan sesuatu itu secara berterusan, jangan berhenti di tengah jalan.

Determinasi juga suatu kualiti diri yang memungkin seseorang itu tidak berganjak dari sebab yang dipercayai atau matlamat akhir yang ingin dicapai. Keberjayaan seseorang itu amat bergantung kepada berapa besar determinasinya terhadap perkara tersebut. Kualiti determinasi menjadikan seseorang itu tidak akan berhenti berjuang kepada apa yang mereka percaya kerana setiap kegagalan itu tidak sekali-kali dapat mengubah pendirian serta kepercayaannya. Ada pepatah mengatakan, motivasi menyebabkan anda bergerak, determinasi menyebabkan anda tidak akan berhenti bergerak. Maka dengan determinasi dalam diri akan memungkin seseorang itu berhadapan dengan apa sahaja rintangan yang mendatang. 

Cuba kita bayangkan, kita berada di sebuah tanah lapang yang tandus. Kita kehausan dan terlihat jauh di hadapan mata kita terdapat sebuah telaga yang dalam fikiran kita tentu ada air di dalamnya. Apabila kita membuat keputusan untuk pergi ke telaga itu, air menjadi motivasi kerana kita sedang kehausan. Langkah penuh hati-hati kerana itulah aturannya, kerana kita sedang terdedah kepada bahaya binatang buas yang kelaparan. Maka, langkah diambil penuh kepekaan untuk mengelakkan dari gangguan. Sepanjang usaha untuk sampai ke telaga, walaupun apapun dugaan yang mendatang, hujan lebat, ribut taufan mahupun kegelapan malam, kita tempuh dengan penuh kesungguhan kerana kita telah tetapkan apa yang kita mahu dan percaya kerana kita sedar, hanya dengan kekal pada disiplin, berterusan dedikasi serta tetap determinasi, kita akan sampai kepada apa yang kita tujui.