Bagaimana pengurusan diri ya? Mengapa remaja perlu memberi perhatian terhadap pengurusan diri mereka? Kehidupan adalah perkara yang perlu diuruskan kerana kehidupan berkait dengan masa dan dengan tidak menguruskannya akan berlakulah pembaziran. Apa yang lebih malang lagi, pembaziran kehidupan atau lebih tepatnya pembaziran masa itu adalah sesuatu yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar tetapi akan pasti dapat dirasai apabila sampai masa mendapat natijah kerugiannya sepertimana gagalnya dalam peperiksaan, maka akan datanglah sesal kenapa kita tidak belajar dahulu. Sesalan adalah natijah biasa bagi mereka yang tidak menguruskan kehidupan dengan berkesan. Semua remaja diberikan kemahiran yang cukup dalam proses perkembangan diri mereka sejak kecil lagi dalam hal pengurusan diri. Namun, harus kita fahami, soal pengurusan diri ini dapat kita kelas ke dalam dua kelompok iaitu pengurusan diri secara luaran dan dalaman.
Sejak di tadika, secara umumnya kanak-kanak diajar sekurang-kurangnya enam asas dalam pengurusan diri secara fizikal iaitu kemahiran memakai baju, pengurusan tandas, mandi, makan, penjagaan dan dandanan diri serta fungsi pergerakan fizikal. Kemahiran mereka ini secara langsungnya meningkat dari masa ke masa sebagaimana yang dilalui oleh remaja sendiri dari pelbagai sudut disebabkan proses pembelajaran dan perkembangan melalui pengalaman serta kecenderungan mereka. Pengurusan fizikal adalah asas utama kehidupan remaja. Kegagalan mereka untuk meletakkan keutamaan kepada asas-asas yang dibincangkan sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada usaha untuk menguruskan diri mereka secara dalaman. Pengurusan fizikal juga jelas dalam kitab-kitab Feqah agama Islam yang kebanyakkannya meletakkan keutamaan kepada tajuk Toharah atau kebersihan dan yang dimaksudkan adalah kebersihan secara fizikal.
Apabila seorang remaja gagal untuk menguruskan fizikal diri mereka dengan berkesan, itu juga memberikan satu gambaran bahawa mereka juga berada dalam keadaan di mana gagal menguruskan diri mereka secara dalaman. Pengurusan dalaman diri merangkumi tiga aspek iaitu mental, emosi dan rohani. Pengurusan mental dapat kita lihat dari sudut kesediaan remaja untuk mempelajari sesuatu yang baru tanpa meletakkan timbangan minat semata-mata. Mereka seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta ilmu pengetahuan yang akan membantu diri mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan cemerlang. Kesihatan mental akan menjadikan seorang remaja itu sentiasa mampu berfikir secara rasional, waras serta mengambil pertimbangan yang wajar pada waktu-waktu yang diperlukan. Ini menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif dalam mendepani pelbagai situasi khususnya apabila keadaan mendesak. Ilmu adalah makanan mental dan mereka seharusnya mengasihi ilmu seluasnya.
Pengurusan emosi pula adalah berkenaan dengan pengurusan perasaan mereka. Disinilah letaknya semangat berterusan, motivasi, cekal serta sabar dalam mendepani pelbagai keadaan disekitar mereka. Keupayaan pengurusan mental belum tentu dapat dimanfaatkan sekiranya mereka tidak mampu menguruskan emosi dengan berkesan. Walau kreatif sekalipun, kreativiti itu tidak bermakna jika ia perlu diterjemahkan oleh orang yang cepat berputus asa atau mereka yang kurang sabar dalam tindak tanduknya. Emosi yang stabil atau mereka yang dapat menguruskan emosi mereka dapat juga dilihat melalui keberkesanan dirinya, kematangan, sentiasa memudahkan serta bentuk perhubungan yang dijalinkan antara keluarga dan rakan-rakan serta masyarakat sekitarnya termasuk keupayaan mengurus diri sepertimana yang sedang kita bicarakan ini. Kegagalan menguruskan emosi adalah punca kepada kegagalan dalam banyak perkara berkait dengan kehidupan. Emosi yang dibincangkan adalah merujuk kepada emosi perasaan seperti marah, rajuk, sedih, kecewa dan banyak lagi bentuk perasaan yang wujud pada manusia itu sendiri. Menurut pandangan Islam, pengurusan emosi ini amat bergantung juga kepada bagaimana kita menguruskan kerohanian kita.
Pengurusan kerohanian adalah soal pengurusan hubungan kita sebagai insan dengan tuhan yang disembah dan tuhan Yang Menciptakan. Penilaian kerohanian yang diuruskan ini berdasarkan sifat redha, sabar serta tawakal kepada tuhan itu sendiri. Melakukan setiap perkara secara sedar bahawa tuhan sedang memerhatikan setiap tindak tanduk kita sama ada dalam keadaan terang atau gelap. Setiap tindakannya adalah ditunjangkan kepada penilaian tuhan bukan lagi hanya penilaian manusia. Semakin hampir kita dengan tuhan maka semakin selalulah kita diperingatkan serta diberikan teguran dan ujian hanya kerana Dia mahu kita menjadi sentiasa yang terbaik.
Secara kesimpulannya, dalam membina keupayaan mengurus diri remaja, adalah menjadi keutamaan untuk memastikan setiap remaja sudah tidak berhadapan dengan masalah dengan pengurusan fizikal mereka sendiri. Ia amat berkaitan dengan tahap kebersihan diri kerana gagal menguruskannya, maka akan dituruti dengan kegagalan pada hal-hal lainnya. Fizikal harus disusuli dengan pengurusan mental mereka. Harus ada usaha menanam kemahuan untuk belajar dan mengembangkan diri dan bukan hanya pasrah untuk berada pada satu tahap sahaja. Kekayaan sebenar manusia adalah pada simpanan dan timbunan ilmu mereka bukan harta kerana bersumberkan ilmu ini, akan mudahlah mereka mengawal emosi mereka serta sekaligus akan menambah keyakinan kerana kenalnya mereka akan Yang Menciptakan mereka.
Comments