Thursday, April 30, 2026

Tadabbur Surah An-Nisa’ Ayat 141–147: Bahaya Munafik, Iman Bersyarat dan Kejujuran Hati



Ada satu jenis manusia yang tidak mudah dikenali. Mereka tidak menolak iman secara terang-terangan. Mereka juga tidak sepenuhnya berdiri bersama kebenaran. Mereka berada di tengah tetapi bukan kerana seimbang. Mereka berada di tengah kerana takut untuk memilih. Ayat 141 hingga 147 Surah An-Nisa’ membuka satu lapisan yang sangat halus tentang manusia seperti ini. Mereka bukan sekadar lemah. Mereka adalah manusia yang menjadikan iman sebagai sesuatu yang bersyarat.

Jika orang beriman menang, mereka berkata, “bukankah kami bersama kamu? Jika orang kafir mendapat kelebihan, mereka berkata, bukankah kami juga menyebelahi kamu? Ini bukan sekadar sikap oportunis. Ini adalah krisis identiti. Jiwa yang tidak pernah benar-benar berpihak kepada kebenaran, tetapi sentiasa berpihak kepada apa yang menguntungkan dan mungkin lebih dekat daripada yang kita sangka kerana dalam kehidupan hari ini, bentuknya mungkin berbeza. Bukan lagi di medan perang, tetapi di medan prinsip. Apabila kebenaran itu tidak popular, kita diam. Apabila kebatilan itu menguntungkan, kita longgarkan pendirian. Kita tidak menolak iman tetapi kita juga tidak mempertahankannya sepenuhnya.

Ayat ini seperti cermin yang jujur adakah kita benar-benar berdiri dengan kebenaran atau kita hanya berdiri di tempat yang selamat? Allah kemudian menyebut sesuatu yang sangat menggoncangkan bahawa orang munafik itu berada di tingkatan paling bawah dalam neraka. Bukan kerana mereka paling jahat secara zahir, tetapi kerana mereka paling rosak secara batin. Mereka hidup dengan dua wajah, dua suara, dua arah. Ini bukan sekadar dosa. Ini adalah perpecahan dalam jiwa dan apabila jiwa terbelah, hidup menjadi tidak tenang. Segala keputusan menjadi kompromi. Segala prinsip menjadi fleksibel. Akhirnya, manusia itu sendiri tidak lagi tahu siapa dirinya.

Lebih menyentuh hati, ayat seterusnya menggambarkan ibadah mereka. Mereka bangun solat dengan malas. Mereka melakukannya untuk dilihat. Mereka mengingati Allah hanya sedikit. Ibadah yang sepatutnya menjadi sumber kekuatan, menjadi sekadar gerakan kosong. Ini sangat dekat dengan realiti kita. Berapa banyak amal yang kita lakukan tetapi hati kita tidak hadir? Berapa banyak ibadah yang kita jaga tetapi ia tidak mengubah siapa kita? Apabila iman menjadi bersyarat, ibadah juga menjadi bersyarat kemudian Allah menggambarkan keadaan mereka dengan satu gambaran yang sangat dalam, mereka terumbang-ambing, tidak ke sini dan tidak ke sana. Inilah keadaan jiwa yang tidak pernah membuat keputusan untuk benar-benar tunduk kepada Allah. Ia tidak sepenuhnya sesat, tetapi juga tidak pernah benar-benar selamat dan mungkin, ini adalah keadaan paling berbahaya kerana ia tidak terasa seperti bahaya.

Namun di tengah semua amaran itu, Allah tidak menutup pintu. Ayat 146 membuka satu jalan yang sangat indah. Mereka yang bertaubat, memperbaiki diri, berpegang teguh kepada Allah dan ikhlas dalam agama, mereka akan bersama orang beriman. Ini memberikan satu harapan besar, selagi kita jujur untuk kembali, pintu itu sentiasa terbuka dan ayat 147 menutup dengan satu pertanyaan yang sangat menyentuh, “Apa yang Allah akan lakukan dengan azab kamu jika kamu bersyukur dan beriman?”

Seolah-olah Allah tidak mencari untuk menghukum. Tetapi manusia sendiri yang memilih jalan itu. Kita perlu berhenti sejenak kerana ayat-ayat ini bukan sekadar tentang munafik di zaman dahulu. Ia tentang kemungkinan yang wujud dalam diri setiap kita. Tentang iman yang kita pegang, adakah ia benar-benar tulus atau hanya hadir apabila ia selesa? Tentang ibadah kita, adakah ia hidup atau sekadar rutin? Tentang pendirian kita, adakah kita benar-benar memilih Allah atau kita masih cuba memegang dua arah sekaligus? Mungkin muhasabah paling jujur hari ini ialah, jika tiada siapa melihat kita, adakah kita masih akan memilih Allah? Jika kebenaran itu tidak menguntungkan, adakah kita masih akan mempertahankannya? Akhirnya, iman bukan tentang apa yang kita tunjukkan. Ia tentang siapa kita ketika kita tidak perlu berpura-pura dan Allah tidak memerlukan kita untuk sempurna tetapi Allah menuntut kita untuk jujur.

Wednesday, April 29, 2026

Tadabbur Surah Taha Ayat 77–87: Kisah Nabi Musa, Nikmat dan Ujian Selepas Keselamatan



Ada satu anggapan yang sering kita pegang tanpa sedar apabila Allah sudah menyelamatkan kita daripada satu kesusahan besar, maka hidup selepas itu akan lebih mudah, lebih stabil dan lebih dekat dengan-Nya. Seolah-olah keselamatan itu adalah penamat kepada ujian. Namun Surah TaHa ayat 77 hingga 87 memecahkan anggapan ini dengan sangat jelas.

Kisah ini bermula dengan satu perintah kepada Nabi Musa untuk keluar pada waktu malam bersama kaumnya. Bukan pada waktu siang yang terang, bukan dalam keadaan yang selesa, tetapi dalam suasana gelap dan tidak pasti. Allah memerintahkan Musa untuk melangkah dahulu, sebelum jalan itu benar-benar kelihatan dan di situlah laut terbelah.

Ayat ini memberi satu isyarat yang sangat kuat kepada kita hari ini bahawa dalam kehidupan moden, kita sering menunggu kepastian sebelum bertindak. Kita mahu jaminan dahulu, mahu nampak keseluruhan jalan dahulu, baru berani melangkah. Tetapi iman bekerja dengan cara yang berbeza. Ia menuntut kita untuk bergerak dalam keadaan belum pasti, dengan keyakinan bahawa Allah akan membuka jalan di hadapan.

Namun kisah ini tidak berhenti pada hal penyelamatan. Firaun dan tenteranya mengejar, dan akhirnya ditenggelamkan. Kezaliman yang selama ini kelihatan kuat dan tidak tergugat, lenyap dalam sekelip mata. Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan yang tidak berasaskan kebenaran tidak akan kekal, walau sebesar mana pun ia kelihatan di mata manusia.

Selepas itu, Bani Israil bukan sahaja diselamatkan, tetapi juga dimuliakan. Mereka dijanjikan pertemuan dengan Allah dan diberikan rezeki yang luar biasa iaitu manna dan salwa, makanan dari langit. Ini adalah fasa yang biasanya kita impikan dalam hidup, selamat daripada masalah, hidup lebih terjamin, rezeki mencukupi. Tetapi di sinilah ujian sebenar bermula. Allah mengingatkan mereka agar tidak melampaui batas dalam menikmati nikmat tersebut. Ini satu hakikat yang sering kita abaikan. Kita selalu melihat ujian dalam bentuk kesusahan, kehilangan atau kesempitan. 

Jarang kita sedar bahawa nikmat juga adalah ujian, bahkan kadang-kadang lebih halus dan lebih berbahaya. Keadaan dalam dunia hari ini, apabila hidup mula stabil, kewangan lebih teratur dan hati terasa sedikit tenang, di situlah kita mula longgar. Ibadah yang dahulu dijaga mula ditangguhkan. Kebergantungan kepada Allah mula diganti dengan kebergantungan kepada sistem, rutin dan kemampuan diri. Tanpa sedar, kita mula berasa cukup.

Namun di tengah-tengah peringatan itu, Allah membuka satu pintu harapan yang sangat luas. Dia menegaskan bahawa Dia Maha Pengampun bagi sesiapa yang kembali, beriman, beramal dan yang terus istiqamah. Ini memberi keseimbangan bahawa walaupun manusia mudah tersasar, pintu kembali tidak pernah tertutup.

Kemudian datang satu dialog yang sangat menyentuh. Allah bertanya kepada Musa, mengapa baginda bersegera meninggalkan kaumnya. Jawapan Musa penuh dengan cinta bersegera kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah. Ini menggambarkan satu keadaan hati yang jarang kita capai hari ini, bersegera kepada Allah bukan kerana takut semata-mata, tetapi kerana rindu untuk diredhai.

Namun ketika Musa berada di puncak hubungan itu, satu ujian besar berlaku di belakangnya. Kaumnya disesatkan oleh Samiri. Mereka yang baru sahaja diselamatkan daripada Firaun, yang baru sahaja melihat laut terbelah, yang baru sahaja menerima nikmat dari langit, kini berpaling kepada sesuatu yang dibuat daripada emas. Maka di sinilah kita melihat satu realiti yang sangat pahit. Walaupun mereka melihat mukjizat, itu tidak menjamin istiqamah. Pengalaman iman yang kuat tidak menjamin seseorang akan kekal di jalan yang benar.

Apabila Musa kembali, baginda bukan sahaja marah, tetapi juga sangat sedih. Ini bukan sekadar kemarahan seorang pemimpin, tetapi kesedihan seorang yang melihat orang yang disayangi kembali tersasar selepas diberikan begitu banyak nikmat dan jawapan kaumnya sangat dekat dengan realiti manusia hari ini. Mereka tidak menafikan kesalahan, tetapi mereka memberikan alasan. Mereka menyalahkan keadaan, beban yang dipikul dan menyandarkan tindakan mereka kepada sesuatu di luar diri. Bukankah ini yang sering kita lakukan?

Kita tahu apa yang salah, tetapi kita berkata kita terlalu sibuk. Kita tahu apa yang benar, tetapi kita kata suasana tidak mengizinkan. Kita tahu kita perlu berubah, tetapi kita menunggu masa yang lebih sesuai. Surah TaHa mengajak kita untuk jujur bahawa di sebalik semua alasan itu, tetap ada satu hakikat iaitu kitalah yang memilih. Setiap kita pada hari ini pastinya ayat-ayat ini membawa satu refleksi yang sangat dalam. Kita mungkin sudah melalui fasa-fasa sukar dalam hidup. Kita mungkin sudah diselamatkan daripada situasi tertentu, daripada kesilapan masa lalu, daripada hubungan yang tidak sihat, daripada kekeliruan dalam hidup. Tetapi persoalannya, selepas itu, ke mana kita pergi? Adakah kita semakin dekat dengan Allah atau kita mula berasa cukup dengan apa yang ada?

Apabila kita berada dalam dunia yang penuh dengan gangguan, keselesaan dan pilihan yang tidak pernah habis, cabaran terbesar bukan lagi untuk keluar daripada kegelapan, tetapi untuk tidak kembali kepadanya setelah kita melihat cahaya. Surah TaHa ayat 77 hingga 87 meninggalkan kita dengan satu peringatan yang sangat jujur dan realistik. Bahawa keselamatan bukanlah penamat. Bahawa nikmat bukanlah jaminan dan bahawa hidayah, jika tidak dijaga, boleh tergelincir perlahan-lahan tanpa kita sedari. Akhirnya, persoalannya bukan lagi sama ada kita pernah diselamatkan, tetapi sama ada kita terus memilih untuk kekal bersama Allah selepas diselamatkan kerana dalam perjalanan iman, yang paling mencabar bukan untuk bermula, tetapi untuk terus setia.

Tuesday, April 28, 2026

Tadabbur Surah An-Nisa’ Ayat 135–140: Keadilan Tanpa Kompromi dan Iman yang Diuji



Ada satu hakikat yang kita jarang akui secara jujur iaitu manusia mencintai kebenaran, selagi kebenaran itu tidak menyakitkan dirinya. Kita mahu hidup dalam dunia yang adil. Kita mahu dilayan dengan benar. Kita marah apabila dizalimi. Tetapi apabila kebenaran itu menuntut kita mengaku salah atau menentang orang yang kita sayang atau kehilangan sesuatu yang kita pegang, tiba-tiba kebenaran menjadi sesuatu yang berat. Maka, di sinilah ayat 135 Surah An-Nisa’ datang dengan satu arahan yang tidak memberi ruang untuk kompromi. Allah tidak sekadar menyuruh berlaku adil, tetapi menyuruh kita menjadi penegak keadilan walaupun terhadap diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat. Ayat ini tidak berbicara tentang keadilan dalam keadaan ideal. Ia berbicara tentang keadilan ketika hati kita berperang dengan kepentingan sendiri.

Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini adalah asas kepada keadilan yang sebenar dalam Islam. Keadilan yang tidak tunduk kepada emosi, hubungan atau kepentingan dan di sinilah letaknya ujian sebenar iman kerana berlaku adil terhadap orang lain mungkin sukar, tetapi berlaku adil terhadap diri sendiri itu jauh lebih menyakitkan. Allah kemudian mengingatkan tentang sesuatu yang sangat halus tetapi berbahaya iaitu hawa nafsu. Nafsu tidak pernah datang dengan wajah yang jelas sebagai musuh. Ia datang dengan alasan, dengan justifikasi, dengan bisikan yang kelihatan masuk akal. Ia tidak berkata buatlah salah, tetapi ia berkata, tak apa, kali ini saja dan tanpa sedar, kita mula memutar kebenaran untuk melindungi apa yang kita tidak sanggup lepaskan. Kala semua itu berlaku, Allah menyeru sesuatu yang kelihatan pelik pada zahirnya, “Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah.”

Seolah-olah iman itu boleh habis. Seolah-olah iman itu perlu diperbaharui dan memang itulah hakikatnya. Al-Tabari menjelaskan, seruan ini adalah panggilan untuk memperdalam iman, bukan sekadar memiliki, tetapi menghidupkannya kerana iman yang tidak dijaga akan menjadi rapuh, kemudian ayat seterusnya menggambarkan satu keadaan yang sangat membimbangkan iaitu manusia yang beriman, kemudian kufur, kemudian beriman semula, kemudian kufur lagi. Ini bukan sekadar jatuh dan bangun. Ini adalah gambaran jiwa yang tidak mempunyai pendirian. Jiwa yang tidak tahu di mana ia berdiri dan mungkin ini lebih berbahaya daripada kejatuhan itu sendiri.

Lebih menyedihkan, apabila manusia mula mencari kekuatan pada selain Allah. Ayat 138 dan 139 menggambarkan golongan yang bergantung kepada manusia untuk rasa selamat, untuk rasa kuat, untuk rasa diterima. Sedangkan hakikatnya, segala kekuatan itu milik Allah. Tetapi manusia sering tertipu dengan sesuatu yang boleh dilihat, sehingga melupakan sesuatu yang lebih hakiki tetapi tidak kelihatan maka akhirnya, ayat 140 membawa kita kepada satu realiti yang sangat dekat dengan kehidupan harian. Apabila kita berada dalam satu suasana di mana kebenaran dipermainkan, di mana agama dijadikan bahan senda, di mana keburukan dinormalisasikan, kita diperintahkan untuk tidak duduk bersama mereka. Bukan kerana kita lebih baik, tetapi kerana hati manusia itu mudah terpengaruh kerana apa yang kita biasakan, akhirnya akan kita terima.

Kadang-kadang kita tidak melakukan dosa itu sendiri. Tetapi kita duduk di sekelilingnya. Kita mendengarnya. Kita membiarkannya dan perlahan-lahan, hati kita menjadi kebal. Tidak lagi terasa bersalah. Tidak lagi terasa janggal lalu di situlah bermulanya kejatuhan yang tidak disedari. Ayat-ayat ini sebenarnya sedang membawa kita kepada satu persimpangan yang sangat jelas antara kebenaran dan keselesaan. Kita semua tahu apa yang benar. Tetapi tidak semua sanggup hidup dengannya kerana kebenaran sering datang dengan harga dan persoalannya bukan sama ada kita tahu, tetapi sama ada kita sanggup.

Mungkin muhasabah paling jujur yang kita boleh tanyakan kepada diri sendiri hari ini ialah jika kebenaran itu menyakitkan, adakah kita masih akan memilihnya? Jika keadilan itu merugikan kita, adakah kita masih akan mempertahankannya? Jika iman itu menuntut kita berubah, adakah kita benar-benar bersedia? Akhirnya, iman bukan sekadar apa yang kita percaya. Ia adalah keberanian untuk hidup dengan apa yang kita tahu benar.

Monday, April 27, 2026

Jalan ke Syurga: Apa yang Hadis ke-22 Ajarkan Tentang Amal Asas




 عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ SAW فَقَالَ:

أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟

قَالَ: «نَعَمْ»

رواه مسلم


Terjemahan

Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansari RA, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Bagaimana pandanganmu, jika aku menunaikan solat fardu, berpuasa di bulan Ramadan, menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram dan aku tidak menambah apa-apa selain itu, adakah aku akan masuk syurga?”

Baginda SAW menjawab: “Ya.”

(Hadis riwayat Muslim)


Ketika perjalanan seorang Muslim menuju syurga, seringkali kita membayangkan jalan itu dipenuhi dengan amalan-amalan besar seperti qiyamullail yang panjang, sedekah yang melimpah atau pengorbanan luar biasa. Namun, Hadis ke-22 daripada himpunan Hadis 40 Imam Nawawi membawa kita kembali kepada satu hakikat yang lebih mendasar dan jujur bahawa jalan ke syurga itu sebenarnya bermula dengan perkara asas yang kita sering anggap biasa.

Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW dengan satu soalan yang sangat real jika dia hanya menunaikan solat fardu, berpuasa Ramadan, menjaga halal dan haram, tanpa menambah amalan lain, adakah dia akan masuk syurga? Nabi SAW menjawab dengan satu jawapan yang ringkas tetapi sarat makna, “Ya.”

Jawapan ini bukan sekadar memberi harapan, tetapi membetulkan cara kita melihat agama. Islam tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang di luar kemampuan. Asas yang diwajibkan itu sendiri sudah cukup untuk menyelamatkan seseorang, jika benar-benar dijaga dengan penuh kejujuran dan kesungguhan. Namun, di sinilah letaknya cabaran sebenar. Menjaga yang asas bukan perkara mudah. Solat bukan sekadar cukup lima waktu, tetapi menjaga waktu, khusyuk dan kesannya pada akhlak. Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi menahan diri daripada dosa. Halal dan haram pula bukan sekadar diketahui, tetapi dipatuhi tanpa kompromi, walaupun dalam keadaan sukar.

Hadis ini sebenarnya mengajar kita tentang satu prinsip yang lebih besar bahawa jalan ke syurga bukan tentang minimum effort, tetapi tentang istiqamah yang jujur. Seseorang yang benar-benar menjaga perkara wajib dengan sempurna sedang berjalan di atas jalan yang lurus, walaupun nampak sederhana. Sebaliknya, ramai yang mengejar amalan tambahan, tetapi asas masih longgar. Kita mungkin rajin melakukan perkara sunat, tetapi masih culas dalam perkara wajib. Kita mungkin ghairah dengan program keagamaan, tetapi masih gagal menjaga disiplin solat atau integriti dalam halal dan haram.

Maka di sinilah konsep mizan al-‘amal menjadi sangat penting dalam memahami hadis ini. Amal dalam Islam bukan sekadar dinilai pada zahirnya, tetapi pada neraca yang lebih dalam seperti niat, kesesuaian dengan syariah, kesan kepada akhlak dan manfaat kepada masyarakat. Amal yang sedikit tetapi tepat neracanya boleh menjadi berat di sisi Allah, manakala amal yang banyak tetapi kosong nilai boleh menjadi sia-sia. Inilah yang diingatkan dalam tradisi pemikiran Islam bahawa keseimbangan antara ilmu, amal dan akhlak adalah asas kepada kebangkitan individu dan umat.

Penilaian kita dalam konteks kehidupan hari ini, hadis ini menjadi sangat relevan. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan gangguan, tekanan dan kekeliruan nilai. Ramai yang mencari jalan pintas untuk menjadi baik, tetapi mengabaikan pembinaan asas. Kita mahu hasil yang cepat, perubahan yang drastik, tetapi lupa bahawa agama ini dibina atas disiplin yang konsisten. Jalan ke syurga bukan jalan yang kompleks, tetapi ia menuntut keteguhan yang berpanjangan. Lebih menarik, hadis ini juga memberi panduan dalam dakwah dan tarbiah. Tidak semua orang mampu terus menjadi luar biasa. Tetapi semua orang mampu bermula dengan menjaga yang asas dan di sinilah hikmah pendekatan Islam, ia membuka ruang untuk semua orang berjalan menuju syurga, mengikut kemampuan masing-masing, tetapi tetap dengan syarat kejujuran dan kesungguhan.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak boleh memahami hadis ini sebagai lesen untuk berpuas hati dengan tahap minimum. Realitinya, amalan wajib kita sendiri belum tentu sempurna oleh itu amalan sunat berperanan sebagai pelengkap dan penampung kekurangan. Orang yang hanya bergantung kepada wajib tanpa memperbaiki kualiti amal sebenarnya sedang mengambil risiko. Maka, keseimbangan antara menjaga yang wajib dan memperbanyakkan yang sunat adalah jalan yang lebih selamat dan lebih tinggi darjatnya.

Akhirnya, hadis ini membawa kita kepada satu muhasabah yang jujur, adakah kita benar-benar sudah menjaga perkara asas dalam agama? Atau kita sekadar merasakan diri sudah cukup baik, sedangkan asas pun masih longgar? Jalan ke syurga itu tidak tersembunyi. Ia jelas, mudah difahami dan berada dekat dengan kita. Tetapi ia menuntut satu perkara yang sering kita abaikan adalah istiqamah dalam kebenaran dan mungkin, cabaran terbesar kita hari ini bukan untuk melakukan lebih banyak, tetapi untuk melakukan yang asas dengan lebih baik.

Sunday, April 26, 2026

Saat Kebenaran Menelan Ilusi: Memahami Surah Taha Ayat 65–76



Ada masa dalam hidup di mana kita tahu apa yang benar, tetapi kita tetap rasa takut. Takut pada reaksi manusia, takut pada tekanan sekeliling, takut pada kemungkinan kehilangan sesuatu yang kita sayang. Ketika itu, kita mula bertanya dalam diam kalau ini benar, kenapa hati masih bergetar? Surah Taha ayat 65 hingga 76 membawa kita tepat ke detik itu. Detik di mana Nabi Musa berdiri berhadapan dengan ahli-ahli sihir terbaik Mesir, di hadapan kuasa besar bernama Firaun dan di hadapan manusia yang menyaksikan dengan mata yang mudah terpedaya.

Pertembungan itu bermula dengan satu pilihan yang kelihatan kecil iaitu siapa yang akan memulakan terlebih dahulu. Nabi Musa memberi ruang kepada mereka. Seolah-olah baginda tidak tergesa-gesa untuk membuktikan kebenaran. Seolah-olah baginda tahu, kebenaran tidak perlu berebut untuk tampil.

Lalu ahli-ahli sihir itu memulakan permainan mereka. Tali-tali dan tongkat dilemparkan, tiba-tiba ia kelihatan seperti ular yang bergerak. Ia bukan benar, tetapi cukup untuk membuatkan mata mempercayainya. Cukup untuk mencipta rasa kagum. Cukup untuk menggoyahkan keyakinan sesiapa yang melihat dan di situlah Al-Quran merakam sesuatu yang sangat jujur bahawa Nabi Musa sendiri berasa takut.

Ayat ini sangat penting. Ia memecahkan satu persepsi bahawa orang yang membawa kebenaran sentiasa tenang tanpa rasa gentar. Hakikatnya, rasa takut itu wujud, bahkan pada seorang nabi. Tetapi yang membezakannya bukan ketiadaan takut, melainkan kepada siapa hati itu kembali ketika takut hadir. Allah berfirman, “Jangan takut. Engkaulah yang lebih tinggi.”

Bukan kerana Nabi Musa lebih kuat secara zahir, bukan kerana Nabi Musa mempunyai lebih ramai penyokong tetapi kerana Nabi Musa berada di pihak kebenaran. Ini titik pembelajaran kita bahawa keyakinan bukan lahir daripada situasi tetapi daripada sandaran hati kepada Allah. Apabila Nabi Musa melemparkan tongkatnya, sesuatu yang luar biasa berlaku. Tongkat itu bukan sekadar menandingi ilusi, tetapi menelan semuanya. Semua tali, semua bayangan, semua tipuan hilang begitu sahaja. Seolah-olah Allah ingin menunjukkan bahawa kebenaran tidak perlu bersaing dengan kepalsuan. Ia hanya perlu muncul dan kepalsuan akan runtuh dengan sendirinya.

Dunia kita hari ini, sering terlihat sebaliknya. Ilusi kelihatan lebih dominan. Persepsi lebih kuat daripada reality sehinggakan yang palsu boleh disusun dengan begitu cantik bahkan ia kelihatan lebih meyakinkan daripada yang benar. Namun ayat ini mengingatkan kita bahawa kekuatan itu hanya sementara. Hakikatnya rapuh. Apa yang berlaku selepas itu lebih mengejutkan. Ahli-ahli sihir yang datang untuk menentang Nabi Musa, tiba-tiba sujud. Mereka bukan orang awam yang mudah terpengaruh. Mereka adalah pakar dalam bidang itu. Mereka tahu apa itu sihir dan mereka tahu apa yang Nabi Musa bawa bukan sihir.

Kebenaran itu, apabila benar-benar dilihat, tidak memerlukan masa yang panjang untuk diakui oleh hati yang jujur. Namun hidayah itu datang dengan harga. Firaun segera mengancam dengan hukuman yang kejam, potong anggota, salib di pohon kurma. Tekanan yang sangat nyata. Ancaman yang sangat duniawi. Tetapi jawapan ahli sihir itu mengubah keseluruhan suasana. Mereka berkata bahawa mereka tidak akan mengutamakan Firaun berbanding kebenaran yang telah jelas di hadapan mereka. Mereka memilih Allah, walaupun itu bermakna kehilangan dunia.

Ini adalah mesej utama yang wajib kita renungi. Berapa ramai antara kita yang tahu kebenaran, tetapi masih menangguh untuk memilihnya kerana takut kehilangan sesuatu? Takut pandangan manusia, takut peluang yang hilang, takut perubahan yang perlu dilakukan. Ahli sihir itu tidak menunggu keadaan menjadi selamat untuk beriman. Mereka beriman dalam keadaan paling berisiko.

Surah ini kemudian menutup dengan gambaran yang sangat jelas tentang dua jalan yang tidak akan bertemu. Satu jalan menuju kepada neraka, kehidupan yang tidak hidup dan tidak mati. Satu lagi menuju kepada syurga, tempat tinggal yang kekal bagi mereka yang membersihkan diri. Ia mengingatkan kita bahawa akhirnya, semua pilihan yang kita buat di dunia ini akan menuju ke salah satu daripada dua destinasi itu dan ukuran sebenar bukan apa yang kita nampak sekarang, tetapi ke mana arah akhir perjalanan itu.

Bicara saya bersama para Muslimah yang mendengar pesanan ini, hari ini, ayat-ayat ini berbicara dengan sangat dekat. Ketika kita berada di dalam dunia yang penuh dengan tekanan untuk menjadi seperti orang lain, untuk memenuhi standard yang sentiasa berubah, untuk kelihatan sempurna di mata manusia, memilih kebenaran kadang-kadang terasa seperti kehilangan. Tetapi Surah Taha mengajarkan bahawa kehilangan di jalan kebenaran bukanlah kerugian. Ia adalah pertukaran daripada sesuatu yang sementara kepada sesuatu yang kekal.

Nabi Musa berasa takut, tetapi tetap melangkah. Ahli sihir melihat kebenaran, lalu terus tunduk dan Allah menunjukkan bahawa kebenaran, walaupun kelihatan kecil di awalnya, mempunyai kekuatan untuk menelan segala ilusi. Mungkin dalam hidup kita hari ini, ilusi itu datang dalam bentuk yang lebih halus seperti perbandingan hidup, tekanan sosial, imej yang dipamerkan atau ketakutan untuk menjadi berbeza. Namun prinsipnya tetap sama. Kebenaran tidak perlu kelihatan meyakinkan untuk menjadi benar dan kepalsuan tidak akan menjadi benar walaupun ia kelihatan sangat meyakinkan. Akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang kita pilih dengan hati.

Saturday, April 25, 2026

AYG @ 13: Dari Gerakan Komuniti ke Institusi Pembangunan Belia



Ada satu perasaan yang sukar untuk dijelaskan apabila kita meneliti semula dapatan daripada semua cawangan AYG. Pada permukaannya, yang terlihat adalah himpunan cabaran, fasiliti yang tidak sempurna, beban kerja yang semakin berat, program yang kadang-kadang tidak konsisten dan komunikasi yang tidak selalu jelas. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa banyak yang tidak kena.

Namun apabila direnung lebih dalam, kita akan mula menyedari bahawa gambaran itu tidak lengkap kerana di sebalik semua cabaran itu, masih ada sesuatu yang tidak hilang iaitu semangat yang terus hidup, hubungan yang masih terjalin dan yang paling penting, harapan yang tetap ada dalam diri setiap staf. Kita masih mahu melihat AYG berkembang. Kita masih percaya AYG boleh menjadi sesuatu yang lebih besar daripada apa yang ada hari ini dan dari situ, muncul satu persoalan yang lebih jujur, apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepada kita?

Mungkin selama ini kita melihat semua tekanan dan kekangan ini sebagai tanda bahawa kita sedang bermasalah. Tetapi jika kita berani melihat dengan sudut yang lebih matang, kita akan sedar bahawa ini bukan krisis seperti yang kita sangkakan. Ini adalah proses. AYG tidak sedang runtuh. AYG sedang membesar seperti seorang remaja yang tidak lagi kecil tetapi belum sepenuhnya dewasa, organisasi juga melalui fasa yang sama. Fasa yang penuh dengan tenaga, tetapi belum stabil. Fasa yang kaya dengan potensi, tetapi masih mencari bentuk yang sesuai. Kita sudah melangkaui tahap awal yang sederhana, tetapi belum sepenuhnya membina sistem yang mampu menyokong perkembangan yang semakin besar.

Kita berada di sini sekarang, di tengah-tengah proses menjadi sesuatu yang lebih matang. Sejak awal, AYG dibina atas kekuatan yang sangat manusiawi, dari keikhlasan, hubungan dan kepercayaan. Ramai dalam kalangan kita memilih untuk berada di sini bukan kerana kemudahan, tetapi kerana kita percaya kepada misi membangunkan belia. Kita hadir dengan hati, bukan sekadar peranan dan itulah kekuatan yang membawa AYG sejauh ini.

Namun, pada tahap ini, kita sedang belajar satu hakikat yang tidak mudah tetapi sangat penting, semangat sahaja tidak lagi mencukupi. Apabila cawangan semakin bertambah, apabila aktiviti semakin banyak dan apabila harapan terhadap AYG semakin tinggi, cara kita bekerja juga perlu berubah. Apa yang dahulu boleh diselesaikan dengan usaha individu, kini memerlukan kesepakatan sistem. Apa yang dahulu boleh diurus secara spontan, kini memerlukan perancangan yang lebih tersusun.

Ini bukan kerana kita sudah kehilangan semangat. Tetapi kerana semangat itu kini perlu dipandu, supaya tidak menjadi beban kepada mereka yang memikulnya apatah lagi dalam keadaan seperti ini, mudah untuk kita terjebak dalam menyalahkan individu. Kita mungkin mula berasakan ada staf yang tidak cukup kuat, tidak cukup komited atau tidak cukup cekap. Tetapi apabila kita melihat pola yang berulang di hampir semua cawangan, kita akan menyedari bahawa masalah ini tidak terletak pada orang. Masalahnya adalah pada sistem yang belum siap.

Apabila ramai berasa terbeban pada masa yang sama, apabila kekeliruan berlaku di pelbagai tempat dan apabila isu yang sama berulang walaupun individu berbeza, itu bukan kegagalan peribadi. Itu adalah petunjuk bahawa organisasi sedang berkembang lebih cepat daripada kemampuan sistemnya untuk menyokong dan ini adalah sesuatu yang sangat normal dalam perjalanan sebuah organisasi yang sedang membesar serta yang lebih menguatkan keyakinan kita sebenarnya bukanlah pada apa yang tidak menjadi, tetapi pada apa yang masih kita harapkan.

Walaubagaimanapun cabaran ini, kita masih membayangkan AYG sebagai ruang selamat untuk belia, sebagai tempat mereka belajar dan berkembang, sebagai platform yang mampu membentuk masa depan mereka dengan lebih baik. Kita masih melihat potensi yang besar, bukan sekadar realiti yang terbatas. Ini bermakna satu perkara yang sangat penting, kita masih percaya. Selagi kepercayaan itu ada, organisasi ini belum kehilangan arah. Malah, ia sedang menunggu untuk disusun dengan lebih baik.

Mungkin inilah titik perubahan sebenar untuk AYG. Selama ini kita bergerak sebagai sebuah gerakan yang lincah, fleksibel dan sangat bergantung kepada hubungan. Tetapi hari ini, kita sedang dipanggil untuk menjadi sesuatu yang lebih kukuh, sebuah institusi pembangunan belia yang mampu bertahan dan berkembang dalam jangka panjang. Perubahan ini bukan mudah. Ia menuntut kita untuk beralih daripada cara lama kepada pendekatan yang lebih tersusun. Ia memerlukan kita membina sistem, menetapkan peranan dengan lebih jelas dan memastikan setiap usaha mempunyai kesinambungan. Bukan untuk menggantikan jiwa AYG, tetapi untuk melindungi dan mengembangkan jiwa itu agar tidak hilang apabila organisasi terus berkembang.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita jawab bukan lagi tentang mengapa cabaran ini wujud. Sebaliknya, persoalannya adalah sama ada kita bersedia untuk berubah mengikut keperluan tahap kita hari ini. Sama ada kita sanggup meninggalkan cara lama yang tidak lagi mencukupi dan mula membina sesuatu yang lebih tersusun untuk masa depan. Mungkin ada dalam kalangan kita yang berasa penat. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perjalanan ini terasa semakin berat. Tetapi jika dilihat dengan jujur, ini bukan tanda kita semakin lemah. Ini adalah tanda bahawa kita sedang naik ke tahap seterusnya.

Setiap organisasi yang ingin berkembang pasti akan melalui fasa ini, fasa di mana semangat sahaja tidak lagi mencukupi dan sistem menjadi keperluan. Fasa di mana kita perlu berhenti seketika untuk menyusun, sebelum terus melangkah lebih jauh dan hari ini, AYG berada tepat di titik itu bukan di hujung perjalanan, tetapi di ambang kepada sesuatu yang lebih besar. Maka mungkin apa yang kita perlukan sekarang bukanlah untuk bergerak lebih laju, tetapi untuk bergerak dengan lebih tersusun. Bukan untuk melakukan lebih banyak, tetapi untuk melakukan dengan lebih jelas dan berarah kerana hakikatnya, kita tidak sedang bermasalah bahkan kita sedang membesar.

Keadilan, Adab dan Ta’awun: Kupasan Surah Al-Ma’idah Ayat 2



Sepanjang perjalanan ini, kita telah bercakap tentang masa, tentang bulan-bulan yang Allah muliakan, tentang bagaimana manusia sepatutnya berhenti, bersedia dan berubah, tentang bagaimana Rejab membuka kesedaran, Syaaban membina konsistensi dan Ramadhan menjadi medan transformasi. Namun semua itu membawa kepada satu persoalan yang lebih besar. Jika individu sudah berubah, apakah yang berlaku kepada masyarakat? Adakah perubahan itu berhenti pada diri? Atau ia sepatutnya melahirkan sesuatu yang lebih luas? Maka di sinilah datangnya satu ayat yang sangat mendalam iaitu Surah Al-Ma’idah ayat 2. Ayat ini bukan sekadar menyebut hukum. Ia seolah-olah menyusun semula cara manusia hidup bersama.

Ayat ini bermula dengan satu arahan yang halus tetapi tegas iaitu jangan melanggar syiar-syiar Allah. Ini bukan sekadar larangan. Ini adalah pembinaan rasa. Rasa hormat terhadap apa yang Allah muliakan. Rasa berat apabila berhadapan dengan perkara agama. Rasa sedar bahawa ada perkara dalam hidup yang tidak boleh dipandang ringan. Masalah kita hari ini bukan kerana kita tidak tahu agama tetapi kerana kita tidak lagi merasakan beratnya agama. Solat dilakukan tetapi tanpa rasa. Halal dan haram diketahui tetapi mudah dirunding. Ibadah diamalkan tetapi tidak lagi dihormati. Apabila rasa ini hilang, agama tidak lagi menjadi sesuatu yang hidup dalam masyarakat. Ia hanya tinggal sebagai pengetahuan bukan sebagai panduan.

Ayat ini kemudian menyentuh tentang bulan haram, ibadah haji dan orang-orang yang menuju ke Baitullah. Semua ini mengajar satu perkara yang sangat penting tentang sensitiviti ruhani. Seorang mukmin bukan sekadar tahu apa yang betul dan salah tetapi dia tahu bila perlu lebih berhati-hati. Dia tahu bila perlu lebih beradab. Dia tahu bila perlu menahan diri walaupun dia mampu melakukan sesuatu. Namun dalam realiti hari ini, sensitiviti ini semakin pudar. Kita mudah mengkritik orang yang sedang berubah. Kita sinis terhadap mereka yang baru ingin mendekati agama. Kita melihat ibadah orang lain tanpa rasa hormat. Kita mungkin tidak melakukan dosa yang besar tetapi kita merosakkan perjalanan iman orang lain dan itu adalah sesuatu yang lebih halus, tetapi lebih dalam kesannya.

Amat berbahaya apabila emosi mengalahkan prinsip oleh itu datang satu peringatan yang sangat kuat dalam ayat ini. Jangan biarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Ini adalah realiti yang sangat dekat dengan kehidupan kita. Kita ada konflik, perbezaan, luka dan tanpa sedar, semua itu membentuk cara kita melihat manusia. Kita menjadi adil kepada orang yang kita suka dan keras kepada orang yang kita tidak suka. Kita membenarkan diri kita melampaui batas kerana kita merasakan kita berhak. Namun, ayat ini datang memutuskan semua itu. Ia mengingatkan bahawa dalam Islam, keadilan bukan bergantung kepada emosi, ia berdiri di atas prinsip. Bahkan terhadap orang yang kita benci sekalipun, kita tetap tidak dibenarkan untuk berlaku zalim. Ini adalah standard yang tinggi dan mungkin kerana itulah ia jarang benar-benar dihidupkan.

Siapa pula yang kita pilih untuk bergandingan? Ayat ini diakhiri dengan satu prinsip yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat, tolong-menolonglah dalam kebaikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. Pada zahirnya, ia kelihatan mudah tetapi dalam realiti, inilah antara ujian paling besar kerana hidup ini penuh dengan kerjasama sam ada dalam kerja, dalam organisasi, dalam gerakan, dalam masyarakat tetapi tidak semua kerjasama itu membawa kepada kebaikan. Ada kerjasama yang nampak hebat di luar tetapi menguatkan perkara yang salah di dalam. Ada juga kerjasama kecil tetapi membina sesuatu yang benar dan berkat. Ayat ini mengajar kita satu prinsip yang sangat penting, bukan siapa yang kita bekerjasama, tetapi apa yang kita kuatkan melalui kerjasama itu.

Jika kita melihat keseluruhan ayat ini dengan lebih mendalam, ia sebenarnya membina satu rangka yang sangat lengkap iaitu individu yang menghormati agama adalah individu yang mempunyai sensitiviti ruhani, mampu mengawal emosi dan memilih untuk menyokong kebaikan. Apabila individu seperti ini berkumpul, lahirlah masyarakat yang berprinsip. Masyarakat yang tidak mudah goyah dengan emosi, tidak mengorbankan nilai demi kepentingan. Masyarakat yang tahu apa yang perlu dipertahankan dan inilah sebenarnya tujuan tarbiah sepanjang perjalanan tadi. Bukan sekadar untuk membina individu yang baik tetapi untuk membina umat yang kuat.

Perbincangan kita dalam beberapa siri tulisan ini, maka timbullah persoalan yang paling jujur, adakah perubahan kita hanya berhenti pada diri atau sudah mula memberi kesan kepada orang lain? Adakah kita menjaga syiar Allah atau kita sendiri yang merendahkannya? Adakah kita berlaku adil atau kita masih dikawal oleh emosi? Paling penting, dalam hidup ini, kita sedang membantu kebaikan atau tanpa sedar, kita sedang menguatkan sesuatu yang salah?

Perjalanan ini bermula dengan masa, dengan bulan-bulan yang Allah muliakan, dengan peluang untuk berhenti, bersedia dan berubah lalu akhirnya, ia membawa kita ke satu hakikat, Islam bukan hanya tentang bagaimana kita hidup sebagai individu tetapi bagaimana kita membina dunia di sekeliling kita kerana pada akhirnya, iman yang sebenar bukan hanya dirasai dalam hati tetapi terlihat dalam cara kita memperlakukan manusia.

Friday, April 24, 2026

Road to Ramadan: Kenapa Ramai Gagal Berubah (Dan Bagaimana Memulakannya Dengan Betul)



Ada satu perkara yang jarang kita akui secara jujur. Setiap tahun, kita masuk Ramadan dengan harapan yang sama, nak jadi lebih baik, lebih dekat dengan Allah, lebih kuat iman dan setiap tahun juga ramai yang keluar daripadanya sebagai orang yang sama. Bukan kerana kita tidak mahu berubah. Tetapi kerana kita tidak pernah benar-benar melalui proses untuk berubah. Kita mengharapkan Ramadan melakukan sesuatu kepada kita sedangkan kita sendiri tidak pernah bersedia untuk menerimanya. Hakikatnya, Ramadan bukan titik permulaan. Ia adalah titik kemuncaknya dan setiap kemuncak sentiasa didahului oleh perjalanan.

Perjalanan itu harus bermula lebih awal. Islam tidak membiarkan manusia terjun terus ke dalam Ramadan. Ia menyusun satu perjalanan yang sangat halus bermula Rejab, memasuki Syaaban dan kemudian Ramadan. Tetapi masalahnya bukan pada sistem itu, sebaliknya kita tidak berjalan. Kita melangkau Rejab. Kita abaikan Syaaban dan kita berharap Ramadan akan menyelamatkan kita.

Inilah realiti yang perlu kita terima. Perubahan tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia tidak berlaku hanya kerana suasana berubah. Ia tidak berlaku hanya kerana kalender bertukar bulan. Perubahan berlaku apabila hati mula sedar, dosa mula ditinggalkan, amal mula dibina dan semua itu tidak berlaku dalam sehari.

Fasa 1 dalam bulan rejab adalah bulan yang menuntut keberanian untuk berhenti. Segala perubahan bermula dengan satu perkara yang paling sukar iaitu berhenti. Berhenti daripada apa yang kita tahu salah. Berhenti daripada dosa yang kita ulang setiap hari. Berhenti daripada alasan yang kita simpan untuk tidak berubah. Tanpa langkah ini, tidak ada ruang untuk apa-apa yang baru. Ramai orang mahu tambah ibadah, tetapi tidak mahu buang dosa. Maka hidup mereka menjadi berat, bukan kerana ibadah itu susah, tetapi kerana hati mereka masih penuh. Rejab bukan tentang menjadi baik. Ia tentang berhenti menjadi versi lama diri kita.

Fasa 2 pula adalah bulan syaaban yang mendidik kita untuk istiqamah. Selepas berhenti barulah kita boleh mula membina dan di sinilah peranan Syaaban. Bulan ini bukan bulan yang dramatik. Ia tidak penuh dengan suasana besar. Tetapi ia adalah bulan latihan. Latihan untuk bangun walaupun sedikit, membaca walaupun tidak banyak dan beramal walaupun tidak sempurna kerana dalam Islam, yang mengubah manusia bukanlah amal yang besar tetapi amal yang berterusan. Ramai orang gagal di sini. Mereka mahu rasa luar biasa, tetapi tidak sabar melalui proses biasa. Mereka mahu perubahan besar, tetapi tidak sanggup membina disiplin kecil sedangkan iman tidak dibina dalam lonjakan. Ia dibina dalam ulang-ulang yang konsisten.

Fasa 3 adalah masa untuk menuai dan ianya adalah dalam bulan Ramadan. Apabila hati sudah ringan, dan amal sudah stabil, barulah Ramadan datang sebagai hadiah dan dalam bulan ini, segala yang kita latih sebelum ini akan hidup, Al-Quran tidak lagi terasa jauh, solat malam tidak lagi terasa berat dan doa tidak lagi terasa kosong kerana kita tidak datang sebagai orang yang sama. Kita datang sebagai seseorang yang sudah bersedia dan di sinilah bezanya. Ramadan bukan mengubah semua orang. Ramadan hanya mengubah mereka yang sudah bersedia untuk berubah.

Kegagalan yang berulang setiap tahun adalah kerana kita tidak jujur dan ia bukanlah misteri. Ia bukan kerana kita tidak cukup kuat. Ia bukan kerana kita tidak cukup masa. Ia kerana kita tidak pernah bermula sebelum ia bermula. Kita menunggu suasana untuk berubah sedangkan perubahan sebenar bermula dalam diri.

Soalan yang perlu ditanya hari ini bukan lagi apa target aku dalam Ramadan nanti? Tetapi, apa dosa yang aku boleh tinggalkan hari ini? Apa amalan kecil yang aku boleh mula sekarang? Apa perubahan yang aku sanggup komited walaupun tiada siapa melihat?

Perjalanan ke Ramadan bukan tentang menunggu bulan itu datang. Ia tentang siapa kita ketika ia tiba kerana Ramadan tidak mengubah semua orang tetapi ia pasti mengubah mereka yang memilih untuk bersedia dan mungkin hari ini bukan terlalu awal untuk berubah. Tetapi sudah terlalu lama untuk kita terus menangguh.

Thursday, April 23, 2026

Rejab: Wake-Up Call yang Sering Kita Abaikan Sebelum Ramadan



Ada sesuatu yang aneh dalam cara kita menyambut Ramadan. Kita bercakap tentangnya sebulan lebih awal. Kita rancang menu berbuka. Kita kongsi ucapan dan azam. Kita bersemangat untuk berubah. Tetapi dalam masa yang sama, kita melangkah ke arah Ramadan dengan hati yang masih sama. Dosa yang sama masih ada. Solat yang sama masih berlengah. Hubungan dengan al-Quran masih jauh dan yang lebih jujur lagi, kita tahu semua itu, tetapi kita menangguh. Seolah-olah kita berkata dalam diam, nanti Ramadan lah aku berubah.

Inilah sebenarnya peranan Rejab, bulan yang sering datang tanpa disedari dan pergi tanpa diambil peduli. Rejab bukan bulan yang bising. Ia tidak datang dengan suasana seperti Ramadan. Ia tidak dipenuhi dengan aktiviti besar atau tradisi yang meriah. Ia hadir dalam diam tetapi membawa satu mesej yang sangat jelas, kalau bukan sekarang kamu mula berubah, bila lagi? Ia termasuk sebagai salah satu bulan haram, Rejab membawa satu prinsip yang sangat asas tetapi sangat berat untuk dilaksanakan iaitu jangan menzalimi diri sendiri.

Masalahnya, kita sering tidak melihat dosa sebagai kezaliman terhadap diri. Kita melihatnya sebagai kebiasaan. Sebagai kelemahan kecil. Sebagai sesuatu yang boleh ditangguhkan. Kita tahu apa yang kita buat salah. Kita tahu apa yang perlu kita tinggalkan. Tetapi kita masih memegangnya seolah-olah kita tidak bersedia untuk melepaskan dan inilah realiti yang paling sukar untuk diakui bahawa ramai orang mahu berubah tetapi tidak benar-benar mahu meninggalkan apa yang menghalang perubahan itu.

Maka Rejab datang bukan untuk menjadikan kita hebat, tetapi untuk menjadikan kita jujur. Jujur melihat diri. Jujur mengakui dosa. Jujur menerima bahawa perubahan tidak akan berlaku jika kita terus menangguh. Rejab bukan bulan untuk melakukan lonjakan besar. Ia bukan tentang menjadi luar biasa. Ia tentang satu langkah yang sangat asas iaitu berhenti. Berhenti daripada apa yang kita tahu merosakkan kita. Berhenti daripada dosa yang sudah terlalu lama kita normalisasikan. Berhenti daripada alasan yang kita ulang setiap kali ingin berubah kerana tanpa berhenti, tidak ada ruang untuk bergerak ke hadapan.

Ramai orang masuk Ramadan dengan semangat untuk beribadah, tetapi dalam masa yang sama masih membawa beban dosa yang sama. Mereka ingin membaca al-Quran, tetapi hati mereka masih berat. Mereka ingin bangun malam, tetapi jiwa mereka masih tidak tenang. Bukan kerana mereka tidak mahu berubah tetapi kerana mereka tidak pernah benar-benar berhenti sebelumnya. Jika Ramadan adalah tempat untuk membina, maka Rejab adalah tempat untuk membersihkan. Jika Ramadan adalah puncak, maka Rejab adalah langkah pertama yang menentukan sama ada kita akan sampai ke sana atau tidak dan mungkin inilah yang paling menakutkan. Bahawa kegagalan kita dalam Ramadan bukan bermula di Ramadan tetapi ia bermula di Rejab ketika kita memilih untuk tidak peduli.

Maka soalan yang perlu kita tanya sekarang bukanlah, apa yang aku nak capai dalam Ramadan? Tetapi, apa yang aku sanggup lepaskan hari ini supaya aku layak berubah nanti? Ini adalah kerana perubahan tidak berlaku apabila kita berharap sebaliknya ia berlaku apabila kita berani melepaskan dan mungkin, dalam diam, Rejab sedang berdiri di hadapan kita, bukan sebagai satu perayaan, tetapi sebagai satu peringatan bahawa aku bukan bulan untuk kamu rasa hebat. Aku bulan untuk kamu mula jadi jujur.

Wednesday, April 22, 2026

Kenapa Ramadhan Bukan Bulan Haram? Hikmah yang Jarang Dibincangkan



Ada satu persoalan yang jarang ditanya, tetapi apabila ditanya, ia mengubah cara kita melihat seluruh perjalanan iman. Jika dalam Islam ada bulan-bulan yang dimuliakan, mengapa Ramadhan tidak termasuk dalamnya? Bukankah Ramadhan adalah bulan paling agung? Bukankah di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan?

Secara logiknya, kita mungkin menjangka Ramadhan akan menjadi kemuncak larangan atau bulan yang paling ketat, paling banyak batasannya. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Ramadhan bukan bulan yang hanya dipenuhi dengan larangan. Ia adalah bulan yang dipenuhi dengan peluang dan di sinilah letaknya rahsia yang halus. Bulan-bulan haram mengajar manusia untuk menahan diri daripada kezaliman. Ia membina satu disiplin asas iaitu berhenti daripada merosakkan. Ia seperti seseorang yang sedang belajar mengawal diri, menarik brek daripada perbuatan yang memudaratkan.

Tetapi Ramadhan datang dengan pendekatan yang berbeza. Ia tidak hanya berkata, jangan buat itu, jangan buat ini. Ia datang dengan satu seruan yang lebih tinggi iaitu lihat sejauh mana kamu mampu menjadi lebih baik. Ketika tiba Ramadhan, manusia bukan sekadar diminta meninggalkan dosa. Mereka diminta untuk bangun di malam hari, menahan lapar di siang hari, memperbanyakkan sedekah, mendekati al-Quran dan memperhalusi hubungan dengan Allah. Seolah-olah Allah sedang mengubah fokus manusia daripada sekadar mengelakkan kejahatan, kepada menghidupkan kebaikan secara maksimum dan kerana itu mungkin inilah sebabnya Ramadhan tidak perlu dimasukkan dalam kategori bulan haram kerana Ramadhan bukan sekadar ruang untuk tidak melakukan dosa malah ia adalah ruang untuk menjadi manusia yang berbeza.

Berbeza dalam bulan-bulan haram, manusia diuji dengan satu soalan, bBolehkah kamu berhenti daripada kezaliman? Tetapi dalam Ramadhan, soalan itu berubah menjadi sesuatu yang lebih mendalam, bolehkah kamu berubah sepenuhnya? Perubahan ini bukan berlaku dalam suasana biasa. Ramadhan datang dengan satu ekosistem yang sangat unik. Nafsu dilatih melalui puasa, syaitan dibelenggu, suasana ibadah diperkuatkan dan setiap amal digandakan nilainya. Bahkan ada satu malam yang jika ditemui, lebih bernilai daripada ribuan bulan kehidupan. Semua ini bukan kebetulan. Ia adalah susunan Ilahi yang sangat teliti, seolah-olah Allah menyediakan satu ruang khas untuk manusia keluar daripada versi lama diri mereka. Namun di sinilah juga letaknya satu realiti yang agak menyedihkan.

Ramai manusia memasuki Ramadhan tanpa benar-benar bersedia. Mereka datang dengan harapan untuk berubah, tetapi tanpa proses sebelumnya. Maka Ramadhan yang sepatutnya menjadi medan transformasi, akhirnya hanya menjadi rutin tahunan. Puasa menjadi sekadar menahan lapar. Solat malam menjadi beban. Al-Quran dibaca, tetapi tidak menyentuh jiwa bukan kerana Ramadhan itu tidak cukup kuat tetapi kerana hati tidak sempat bersedia untuk menerimanya.

Jika kita melihat dengan lebih jujur, Ramadhan sebenarnya bukan bermula pada hari pertama ia tiba. Ia bermula jauh lebih awal dalam kesedaran, dalam taubat, dalam usaha kecil yang dilakukan sebelum bulan itu datang. Tanpa persediaan itu, Ramadhan menjadi seperti hujan lebat yang turun ke atas tanah yang keras. Airnya banyak, tetapi tidak meresap. Maka mungkin soalan sebenar yang perlu kita tanyakan bukanlah, kenapa Ramadhan bukan bulan haram? Tetapi, adakah kita melihat Ramadhan sebagai bulan untuk sekadar menahan diri atau sebagai peluang untuk membina diri yang baru?

Pada akhirnya, Ramadhan bukan tentang berapa banyak kita tidak makan, tetapi tentang siapa kita menjadi selepas kita kembali makan dan mungkin, dalam diam, Ramadhan sedang menunggu, bukan untuk kita sekadar menyambutnya, tetapi untuk kita benar-benar bersedia menyambut perubahan yang dibawanya. Tidak semua yang melalui Ramadhan akan berubah tetapi semua yang benar-benar bersedia, pasti akan pulang dengan hati yang tidak lagi sama.

Tuesday, April 21, 2026

Bulan Haram dalam Islam: Maksud, Hikmah dan Rahsia Taqwa



Ada masa dalam hidup yang terasa biasa. Hari berlalu tanpa kesan, minggu bertukar tanpa makna, dan bulan datang serta pergi tanpa meninggalkan apa-apa pada jiwa. Kita hidup, bergerak, bekerja, beribadah tetapi semuanya seolah-olah berada dalam satu garis lurus yang tidak pernah benar-benar menyentuh hati. Namun Islam tidak melihat masa seperti itu dan dalam pandangan wahyu, masa bukan sekadar ruang kosong yang diisi dengan aktiviti manusia. Masa adalah sesuatu yang dinilai, dipilih, bahkan dimuliakan oleh Allah. Ada waktu yang Allah angkat darjatnya, bukan kerana waktu itu memiliki kuasa tersendiri, tetapi kerana manusia perlu belajar untuk melihat hidup dengan lebih halus bahawa tidak semua detik itu sama. Maka di sinilah hadirnya konsep bulan-bulan haram.

Sepanjang satu tahun hijrah, Allah menetapkan empat bulan yang dimuliakan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Tiga daripadanya datang berturut-turut, manakala Rejab berdiri sendirian, seolah-olah menjadi isyarat bahawa dalam perjalanan kehidupan, ada waktu yang datang sebagai rangkaian dan ada waktu yang datang sebagai peringatan yang berdiri sendiri. Perkataan haram yang digunakan untuk menggambarkan bulan-bulan ini sering disalahfahami. Ia bukan sekadar membawa maksud larangan, tetapi lebih dalam daripada itu. Ia merujuk kepada sesuatu yang dilindungi, dimuliakan dan tidak sepatutnya dicemari.

Kita boleh bersama fahami, bulan-bulan ini adalah masa yang Allah angkat supaya manusia belajar untuk menahan diri daripada kezaliman, bukan sahaja terhadap orang lain, tetapi juga terhadap diri sendiri dan di sinilah letaknya satu hakikat yang jarang kita renungi iaitu manusia sering menganggap dosa sebagai sesuatu yang dilakukan terhadap orang lain atau terhadap perintah Tuhan semata-mata, sedangkan dalam banyak keadaan, dosa itu sebenarnya adalah bentuk kezaliman terhadap diri sendiri. Ia merosakkan hati, menggelapkan jiwa dan menjauhkan kita daripada ketenangan yang kita cari.

Apabila Allah berfirman agar kita tidak menzalimi diri dalam bulan-bulan haram, ia sebenarnya adalah satu undangan halus untuk kita melihat semula kehidupan kita dengan lebih jujur, lebih tenang dan lebih dalam. Bulan-bulan ini juga mengajar satu perkara yang sangat penting tetapi sering terlepas pandang bahawa kehidupan tidak sepatutnya berjalan dalam keadaan yang flat. Jika setiap hari sama, jika setiap bulan terasa serupa, maka hati manusia akan mudah menjadi keras. Dosa akan menjadi biasa dan ibadah akan menjadi rutin yang kosong daripada makna. Maka Allah mencipta irama dalam kehidupan seorang mukmin seperti adanya cheat day dalam diari mereka yang sedang diet.

Ada waktu untuk berhenti. Ada waktu untuk berfikir. Ada waktu untuk kembali. Bulan haram adalah sebahagian daripada irama itu yang turut menjadi satu bentuk checkpoint dalam perjalanan hidup, tempat di mana manusia sepatutnya memperlahankan langkah dan melihat semula arah. Jika kita perhatikan dengan lebih teliti, susunan bulan-bulan haram itu sendiri membawa makna yang tersirat. Rejab hadir sebagai seolah-olah panggilan awal atau satu bisikan yang mengajak hati untuk mula sedar. Kemudian datang Zulkaedah dan Zulhijjah, membawa manusia kepada ibadah besar seperti haji dan korban, sebelum akhirnya Muharam membuka ruang untuk refleksi selepas perjalanan spiritual tersebut.

Ia bukan sekadar susunan kalendar. Ia adalah satu sistem pembinaan jiwa. Namun persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada kita tahu tentang bulan-bulan ini, tetapi bagaimana kita hidup di dalamnya. Adakah kita benar-benar merasai perbezaan apabila memasuki bulan haram? Adakah kita menjadi lebih berhati-hati dengan dosa? Atau hidup kita masih berjalan seperti biasa, tanpa sebarang perubahan rasa? Inilah muhasabah yang paling jujur kerana pada akhirnya, bulan haram bukan tentang masa itu sendiri. Ia adalah tentang siapa kita ketika berada dalam masa itu. Sama ada kita hanya melalui waktu atau kita membiarkan waktu itu membentuk kita dan mungkin, dalam diam, bulan-bulan ini sedang bertanya kepada kita jika kamu tidak berubah ketika masa dimuliakan, bilakah lagi kamu akan berubah?

Monday, April 20, 2026

Kenapa Umat Berbeza Pandangan Tentang Sumud Flotilla 2.0?



Situasi kali ini lebih terkait Antara emosi, rasional dan neraca yang hilang. Jika kita kenangkan dalam setiap perjuangan besar, bukan semua manusia melihatnya dengan cara yang sama. Ada yang melihat dengan hati, ada yang menilai dengan akal dan ada juga yang memandang dengan curiga. Sumud Flotilla 2.0 sebagai satu usaha solidariti antarabangsa untuk Palestin, bukan sekadar misi kemanusiaan di laut. Ia telah menjadi satu medan pertembungan persepsi masyarakat, yang memperlihatkan bagaimana umat Islam hari ini berfikir, menilai dan bertindak terhadap isu global. Persoalannya bukan lagi sekadar adakah misi ini betul atau salah? Tetapi lebih mendalam lagi tentang bagaimana kita memahami dan menilai usaha seperti ini?

Kita melihat hari ini, dalam persepsi masyarakat, kita tidak lagi satu suara. Realitinya, persepsi masyarakat terhadap Sumud Flotilla 2.0 adalah bercampur. Ia tidak lagi bersifat satu naratif yang seragam, tetapi terbentuk daripada pelbagai latar belakang pengalaman, tahap kefahaman dan cara berfikir. Maka, dalam perbincangan ini, kita boleh melihat sekurang-kurangnya empat kelompok utama dalam kelompok atau kumpulan persepsi masyarakat.

(1) Solidariti Emosi: Tenaga Moral Umat

Kelompok pertama adalah mereka yang menyokong penuh misi ini dengan semangat dan emosi yang tinggi. Mereka menilai, Sumud Flotilla 2.0 adalah simbol keberanian, kemanusiaan dan kesatuan umat. Penyertaan peserta dilihat sebagai satu pengorbanan yang tinggi, bahkan dianggap sebagai hero kemanusiaan. Persepsi ini sangat penting. Ia adalah tenaga moral yang menggerakkan kesedaran global. Tanpa emosi dan empati, isu Palestin mungkin akan tenggelam dalam hiruk-pikuk dunia. Namun, di sinilah cabarannya iaitu emosi yang kuat tanpa panduan boleh berubah menjadi tindakan yang tidak strategik.

(2) Sokongan Kritis: Tanda Kematangan Umat

Kelompok kedua pula menyokong tujuan misi ini, tetapi pada masa yang sama mempersoalkan kaedahnya. Mereka bertanya, adakah flotilla ini cara paling berkesan? Bolehkah pendekatan ini digabungkan dengan strategi lain? Golongan ini tidak menolak perjuangan. Sebaliknya, mereka ingin memastikan bahawa setiap usaha benar-benar memberi kesan. Ini adalah tanda kematangan. Umat mula bergerak daripada sekadar solidariti emosi kepada pemikiran strategik.

(3) Skeptikal: Keperluan kepada Keberkesanan

Kelompok ketiga melihat isu ini dari sudut praktikal. Mereka menilai risiko, kos dan kemungkinan kejayaan. Mereka rasa, sesuatu usaha perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar, bukan sekadar simbolik. Pandangan ini sering dianggap negatif, tetapi sebenarnya ia membawa satu elemen penting dalam perjuangan iaitu kebertanggungjawaban. Tanpa kelompok ini, gerakan kemanusiaan mungkin terjebak dalam aktivisme tanpa impak yang jelas.

(4) Sinikal: Bayang-bayang Ketidakpercayaan

Kelompok terakhir, walaupun kecil, cukup lantang. Mereka melihat misi ini sebagai gimik, publisiti atau mempunyai agenda tersembunyi. Persepsi ini sering dipengaruhi oleh ketidakpercayaan terhadap institusi, pengalaman manipulasi media atau keletihan terhadap naratif berulang. Walaupun minoriti, suara mereka sering diperbesarkan oleh media sosial.

(5) Golongan Tipikal: Majoriti yang Mengikut Arus

Perbincangan sewaktu usrah mencadangkan agar menilai di samping empat kelompok ini, terdapat satu kelompok yang jarang dibincangkan tetapi sebenarnya paling besar iaitu golongan tipikal. Mereka tidak terlalu emosi, tidak terlalu kritikal, tidak terlalu skeptikal atau tidak terlalu sinical. Sebaliknya, mereka ini mengikut arus persepsi yang sedang dominan. Golongan ini akan menyokong apabila isu sedang hangat dan berkongsi apabila ia menjadi trend tetapi berdiam apabila perhatian mula reda. Mereka bukan tidak peduli, tetapi belum mempunyai kerangka untuk menilai secara mendalam. Oleh itu dapatlah kita fahami hakikat bahawa golongan tipikal tidak mencipta naratif, tetapi merekalah yang menentukan skala pengaruh sesuatu naratif.

Golongan tipikal inilah yang menjadi sasaran kerana golongan sinikal ini walaupun ia kecil, kerana adanya media sosial, ia mampu  menjadi mesin pengganda persepsi. Kita lihat dalam era digital, media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi. Ia menjadi alat memperkuat emosi melalui visual dan naratif, membuka ruang perdebatan dan keraguan dan mencipta kebisingan yang mengelirukan. Akhirnya, masyarakat tidak lagi bergerak dalam satu suara, tetapi dalam pelbagai arah yang kadang-kadang bertembung antara satu sama lain. Oleh itu, di mana kedudukan kita?

Ini adalah persoalan antara emosi dan rasional dan apabila melihat kepada semua ini, jelas bahawa isu sebenar bukan sekadar tentang Sumud Flotilla 2.0, tetapi tentang cara kita berfikir sebagai umat. Secara umum, kita boleh melihat tiga pendekatan utama iaitu pendekatan emosi yang bertindak kerana empati. Pendekatan praktikal yang menilai berdasarkan keberkesanan dan pendekatan berimbang memerlukan gabungan kedua-duanya. Muncullah keperluan kepada satu konsep penting dalam pemikiran Islam yang dikenali sebagai mizan (neraca).

Mizan adalah neraca yang menghilangkan kekeliruan dalam menilai sesuatu tindakan. Islam tidak menuntut kita memilih antara emosi atau rasional. Sebaliknya, Islam mengajar kita untuk menimbang yang memberi perhatian kepada niat, kesan, hikmah dan konteks. Tanpa neraca ini, umat akan mudah terjatuh kepada dua ekstrem iaitu terlalu emosional tanpa strategi dan terlalu rasional tanpa empati. Hakikatnya, masalah utama umat hari ini bukan kekurangan semangat, tetapi kekurangan neraca dalam menilai.

Malaysia mempunyai konteks peralihan generasi yang menarik. Kita dapat melihat satu perkembangan antara generasi lama yang cenderung kepada solidariti emosi dan satu generasi muda yang lebih kritikal dan analitikal. Ini bukan konflik, tetapi peluang. Ia menunjukkan bahawa umat sedang melalui fasa peralihan daripada solidariti semata-mata kepada solidariti yang strategik.

Akhirnya, Sumud Flotilla 2.0 bukan sekadar misi ke Gaza. Ia adalah cermin kepada umat Islam sendiri. Ia menunjukkan bagaimana kita berfikir, bagaimana kita menilai, bagaimana kita bertindak dan dalam dunia yang penuh dengan konflik dan naratif yang bercampur, tugas kita bukan sekadar memilih pihak. Tetapi lebih penting adalah memastikan kita melihat dengan neraca yang betul. Kita tidak perlu memilih antara emosi atau rasional tetapi yang kita perlukan adalah neraca agar solidariti kita bukan sahaja ikhlas, tetapi juga berkesan.

Sunday, April 19, 2026

Bila Keadilan Dipersoal: Pengajaran Dari Kes Sam Ke Ting dan Basikal Lajak


Kes kemalangan yang melibatkan Sam Ke Ting dan sekumpulan remaja basikal lajak bukan sekadar sebuah kes jalan raya biasa. Ia telah berkembang menjadi perdebatan nasional yang menyentuh soal keadilan, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan. Lebih-lebih lagi apabila keputusan terkini menyaksikan pembebasan atas dasar kecacatan pendakwaan, perbincangan menjadi semakin kompleks dan ini adalah antara apa yang dirasakan dan apa yang dibuktikan. 

Manakala dari sudut undang-undang, pembebasan tersebut membawa satu mesej yang jelas bahawa keadilan tidak boleh berdiri atas emosi semata-mata. Ia mesti berpaksikan proses yang betul, pertuduhan yang jelas dan pembuktian yang kukuh. Jika terdapat kecacatan dalam pendakwaan, maka keseluruhan kes boleh terjejas. Ini mungkin sukar diterima oleh sesetengah pihak, namun itulah prinsip asas dalam sistem keadilan yang mana lebih baik seseorang terlepas daripada dihukum secara tidak adil.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa tragedi tetap berlaku. Nyawa telah terkorban. Keluarga kehilangan anak dan seorang individu pula berhadapan dengan tekanan emosi serta perjalanan mahkamah yang panjang. Kita menilai, di sinilah wujudnya jurang antara keadilan undang-undang dan keadilan yang dirasai oleh masyarakat. Apa yang sah di sisi undang-undang, belum tentu menenangkan hati semua pihak.

Kes ini sebenarnya membuka mata kita kepada satu hakikat yang lebih besar bahawa ini bukan sekadar soal seorang pemandu atau sekumpulan remaja. Ia adalah refleksi kepada kegagalan kolektif. Aktiviti basikal lajak yang berbahaya tidak berlaku dalam ruang kosong. Ia melibatkan peranan ibu bapa, komuniti, pendidikan keselamatan dan penguatkuasaan. Ini bermaksud, tragedi ini adalah hasil daripada banyak lapisan kelalaian yang bertindih.

Pengajaran pertama yang boleh kita ambil ialah soal tanggungjawab individu. Setiap orang yang berada di jalan raya memegang amanah yang besar. Sama ada sebagai pemandu, penunggang atau pejalan kaki. Setiap keputusan boleh memberi kesan kepada nyawa orang lain maka, berhati-hati bukan pilihan, tetapi kewajipan.

Kedua, kita perlu melihat semula budaya dan persekitaran sosial kita. Bagaimana aktiviti berisiko tinggi seperti basikal lajak boleh berleluasa tanpa kawalan? Di mana peranan komuniti dalam mencegah sebelum berlaku tragedi? Kes ini sepatutnya menjadi titik mula untuk memperkukuh pendidikan keselamatan dan memperbaiki pemantauan terhadap anak-anak.

Ketiga, dan mungkin yang paling penting, ialah kefahaman tentang keadilan itu sendiri. Keadilan bukan sekadar menghukum siapa yang salah, tetapi memastikan proses untuk menentukan kesalahan itu dilakukan dengan betul. Tanpa proses yang adil, keputusan yang dibuat juga boleh dipersoalkan dan di sinilah pentingnya integriti dalam sistem, dari siasatan hingga ke pendakwaan. 

Akhirnya, kes ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan, tidak semua perkara boleh dilihat secara hitam putih. Ada situasi yang menuntut kita berfikir lebih dalam, lebih luas dan lebih adil. Emosi itu penting, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan rasional dan prinsip. Mungkin pengajaran paling besar untuk kita ialah ini merupakan kelalaian kecil yang dibiarkan akhirnya boleh membawa kepada tragedi besar dan apabila ia berlaku, semua pihak akan menanggung akibatnya.

Saturday, April 18, 2026

Bekerja Dalam Satu Hati: Refleksi Tentang Kebersamaan Guru & Staf Dalam Mendidik


Ada satu perkara yang sering kita terlupa dalam dunia pendidikan hari ini bahawa kita sebenarnya tidak bekerja sendirian. Ketika di dalam bilik darjah, mungkin seorang guru berdiri di hadapan pelajar. Namun di belakangnya, ada sistem yang hidup termasuk guru lain, staf sokongan, pentadbir, bahkan suasana yang dibina bersama. Pendidikan, hakikatnya, adalah kerja berjemaah dan di sinilah letaknya cabaran yang paling halus, bukan pada silibus, bukan pada jadual tetapi pada bagaimana manusia bekerjasama dengan manusia.

Kita semua sedang berjuang. Inilah realitinya. Bahkan menjadi pendidik hari ini bukan mudah. Ada tekanan akademik, ada tuntutan ibu bapa, ada keletihan emosi yang tidak selalu terlihat. Maka dalam keadaan itu, kita semua sedang berusaha menjadi guru yang baik, menjadi rakan sekerja yang baik dan dalam masa yang sama, menjadi manusia yang tetap kuat. Jika sesekali terasa berat, jika ada ketika komunikasi menjadi kurang sempurna, itu bukan tanda kegagalan. Itu tanda kita sedang menjadi manusia.

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 2 merupakan sebuah seruan yang halus, tetapi dalam. Allah SWT mengingatkan, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan ketakwaan…” (Surah al-Ma’idah: 2)

Menariknya, ayat ini tidak mensyaratkan kesempurnaan. Allah tidak menunggu kita menjadi sempurna dahulu baru kita boleh saling membantu. Sebaliknya, dalam keadaan kita masih belajar, masih ada kekurangan, kita tetap diseru untuk saling menguatkan. Mungkin di sinilah rahsia sebenar kekuatan sebuah organisasi, bukan pada kesempurnaan individu tetapi pada kesediaan untuk saling melengkapi. Oleh yang demikian kita bersama dapat fahami, dalam banyak perkara urusan organisasi jangan utamakan tentang siapa betul, tetapi utamakanlah siapa yang sentiasa sedia membantu.

Pengalaman saya sendiri, saya belajar satu perkara yang sangat penting, team yang kuat bukanlah team yang tiada masalah. Tetapi team yang tidak membiarkan masalah memisahkan mereka. Kadang-kadang, yang diperlukan bukan solusi besar tetapi tindakan kecil seperti membantu tanpa diminta, memahami tanpa perlu dijelaskan panjang, memaafkan tanpa menunggu diminta. Perkara-perkara ini nampak kecil tetapi ia membina sesuatu yang besar iaitu kepercayaan dan bila ada kepercayaan, kerja menjadi ringan dan hubungan menjadi kuat. Kepercayaan ini adalah sebahagian dari urusan menjaga hati kita dalam bekerja.

Ada satu dimensi yang jarang dibincangkan dalam teamwork iaitu hati. Kita boleh ada sistem yang baik, prosedur yang tersusun tetapi jika hati tidak dijaga, semuanya boleh runtuh secara perlahan. Jaga hati bukan bermaksud kita sentiasa bersetuju tetapi kita memilih untuk tidak memperbesarkan perkara kecil, tidak menyimpan sangka buruk dan tidak menyakiti dengan kata-kata kerana dalam kerja mendidik ini, apa yang kita bina bukan sekadar pelajar tetapi juga suasana. Jadi kalau kita refleksi diri kita, persoalannya, siapa saya dalam team ini?

Akhirnya, persoalan yang paling penting bukan tentang orang lain. Tetapi tentang diri kita sendiri. Adakah kehadiran saya memudahkan atau menambah beban? Adakah saya membawa ketenangan atau tekanan? Jika semua orang bekerja seperti saya, bagaimana keadaan team ini? Soalan ini bukan untuk menyalahkan tetapi untuk menyedarkan kerana perubahan dalam organisasi, selalunya bermula dari perubahan yang sangat kecil iaitu dalam diri seseorang. Oleh itu kita mesti akui kita mungkin belum sempurna, tetapi kita sedang menuju keadaan yang lebih baik.

Hakikatnya, tiada team yang sempurna. Tetapi ada team yang memilih untuk terus memperbaiki diri. Ada team yang memilih untuk saling memahami. Ada team yang tidak putus asa antara satu sama lain dan mungkin, itu sudah cukup untuk menjadi luar biasa. Akhirnya, kita kembali kepada satu niat yang sama bahawa kerja kita ini bukan sekadar tugas tetapi ibadah dan dalam ibadah itu, kita tidak berjalan sendirian. Mungkin kita tidak mampu mengubah seluruh sistem sekaligus tetapi kita mampu menjadi satu titik kebaikan dalam team kita kerana kadang-kadang, satu sikap yang Ikhlas boleh mengubah seluruh suasana dan mungkin, dari situlah lahirnya sebuah kebersamaan yang sebenar.

Friday, April 17, 2026

Ketika Kebenaran Terasa Kecil dalam Dunia yang Penuh Ilusi


Ada saat dalam hidup kita di mana kebenaran terasa sunyi. Kita tahu apa yang betul, kita cuba berpegang dengannya, tetapi dunia di sekeliling seolah-olah bergerak ke arah yang berbeza. Hari ini, yang salah nampak meyakinkan, yang batil disusun rapi dan yang benar pula kelihatan kecil, bahkan kadang-kadang dipersoalkan.

Surah Taha ayat 52 hingga 64 membawa kita ke satu babak yang sangat hidup dalam kisah Nabi Musa iaitu satu pertembungan terbuka antara kebenaran dan kepalsuan, antara wahyu dan sihir, antara seorang nabi dan sebuah sistem kuasa yang besar bernama Firaun. Namun jika diteliti dengan hati, kisah ini bukan sekadar sejarah. Ia adalah cermin kepada dunia hari ini.

Firaun memulakan dialog dengan satu soalan yang kelihatan intelektual, tetapi sebenarnya bertujuan mengelirukan. Dia tidak menjawab mesej yang dibawa Musa, sebaliknya mengalih perbualan kepada isu lain, mengenai generasi terdahulu. Ini adalah teknik lama yang masih hidup hingga hari ini. Bila kebenaran tidak mampu disangkal, perbincangan dialihkan. Fokus dikaburkan. Soalan ditukar.

Tetapi jawapan Musa tidak terperangkap dalam permainan itu. Baginda menjawab dengan tenang bahawa semua itu berada dalam pengetahuan Allah, Tuhan yang tidak pernah lupa dan tidak pernah tersilap. Jawapan ini seolah-olah mengajar kita satu prinsip besar, tidak semua provokasi perlu dilayan, dan tidak semua perdebatan perlu dimenangi. Ada waktunya, ketenangan adalah bentuk kekuatan yang paling tinggi.

Hari ini, kita melihat perkara yang sama berulang. Kebenaran sering tidak ditolak secara langsung, tetapi dipusingkan, dilemahkan atau dilabel sebagai sesuatu yang mengancam. Firaun menuduh Musa datang untuk merampas kuasa dan mengganggu kestabilan negeri. Ini bukan kerana Musa salah, tetapi kerana kebenaran yang dibawa Musa mengancam kedudukan Firaun.

Sejarah ini berulang dalam bentuk yang lebih halus. Apabila seseorang memilih untuk hidup dengan prinsip, menjaga maruah diri atau kembali kepada agama dengan lebih serius, tidak jarang dia akan dilihat sebagai melampau, berubah, atau tidak sesuai dengan zaman. Kebenaran tidak lagi dinilai pada isinya, tetapi pada sejauh mana ia mengganggu keselesaan orang lain.

Kemuncak kisah ini adalah apabila Firaun mengumpulkan ahli-ahli sihir terbaik untuk mencabar Musa. Ia bukan sekadar pertembungan individu, tetapi pertembungan antara dua cara melihat realiti yang mana satunya berasaskan wahyu dan satu lagi berasaskan ilusi.

Ahli sihir itu melemparkan tali dan tongkat mereka, tiba-tiba ia kelihatan seperti ular yang bergerak. Ia menakjubkan, meyakinkan dan cukup untuk membuat sesiapa yang melihatnya merasa ragu. Inilah sifat ilusi, ia tidak perlu benar untuk kelihatan benar.

Sukar untuk tidak melihat persamaan dengan dunia kita hari ini. Kita hidup dalam zaman di mana persepsi sering mengatasi realiti. Media sosial membentuk gambaran hidup yang sempurna, walaupun hakikatnya tidak begitu. Naratif boleh dibina dan diulang sehingga ia terasa benar maka yang penting bukan lagi apa yang hakiki, tetapi apa yang kelihatan. Oleh itu, dalam keadaan ini, kebenaran boleh terasa lemah. Ia tidak seindah ilusi, tidak sepopular kepalsuan dan tidak semudah untuk diterima. Namun Surah Taha mengajar kita sesuatu yang sangat mendalam iaitu kekuatan ilusi hanya terletak pada pandangan mata, bukan pada hakikatnya.

Apa yang menarik, sebelum pertembungan itu berlaku, ahli-ahli sihir itu berkumpul dan menyusun strategi mereka. Mereka datang dengan kesatuan, keyakinan dan perancangan yang rapi. Ini memberi satu gambaran realistik bahawa kepalsuan sering nampak kuat bukan kerana ia benar, tetapi kerana ia teratur dan bersatu dan di sinilah ujian sebenar bagi orang yang memilih kebenaran. Bukan sekadar mengetahui apa yang benar, tetapi mampu bertahan ketika kebenaran itu tidak disokong ramai, tidak dipuji dan tidak diberikan tempat.

Bagi seorang muslimah hari ini, ayat-ayat ini membawa satu refleksi yang sangat dekat dengan realiti kerana dalam dunia yang menilai wanita berdasarkan rupa, pencapaian luaran dan penerimaan sosial, memilih untuk hidup dengan nilai iman kadang-kadang terasa seperti berenang melawan arus. Menjaga batas, menjaga maruah, menjaga hubungan dengan Allah, semua ini tidak selalu dipandang sebagai kekuatan oleh dunia.

Namun Surah Taha mengingatkan bahawa ukuran sebenar bukan terletak pada pandangan manusia, tetapi pada penilaian Allah yang tidak pernah lupa. Apa yang dilakukan dengan ikhlas, walaupun tidak dilihat, tetap tercatat. Apa yang benar, walaupun tidak popular, tetap benar.

Kisah Musa di hadapan Firaun mengajar kita bahawa kebenaran tidak perlu kelihatan kuat untuk menjadi kuat. Ia hanya perlu kekal sebagai kebenaran dan dalam setiap zaman, walau sekuat mana pun ilusi yang dibina, ia tetap tidak mampu mengatasi hakikat yang datang daripada Allah. Mungkin dalam hidup kita hari ini, kita tidak berhadapan dengan ahli sihir atau pemerintah zalim seperti Firaun. Tetapi kita berhadapan dengan ilusi dalam bentuk yang lebih halus seperti tekanan sosial, perbandingan hidup, naratif yang memesongkan dan ketakutan untuk menjadi berbeza maka, dalam semua itu, Surah Taha seakan berbisik, tidak mengapa jika kita tidak nampak menang di mata manusia. Tidak mengapa jika jalan yang kita pilih terasa sunyi kerana dalam dunia yang penuh ilusi, yang paling penting bukanlah siapa yang kelihatan benar, tetapi siapa yang benar di sisi Tuhan.

Thursday, April 16, 2026

Konflik Rumah Tangga, Keadilan dan Muhasabah Hati


Ada satu realiti yang jarang kita akui bahawa tidak semua hubungan itu mudah dan tidak semua cinta itu kekal tanpa luka. Ayat 128 hingga 134 Surah An-Nisa’ tidak menggambarkan kehidupan yang ideal. Ia menggambarkan kehidupan yang sebenar penuh emosi, konflik dan pilihan yang sukar. Tetapi di tengah semua itu, Al-Quran tidak membiarkan kita tanpa arah. Bahkan Allah tahu ada ketikanya akan datang waktu apabila cinta tidak lagi seimbang.

Ayat 128 dibuka dengan satu situasi yang sangat realistik mengenai seorang wanita yang bimbang akan sikap suaminya sama ada menjauh atau tidak lagi peduli tentang dirinya. Ini bukan teori tetapi inilah kehidupan bahkan ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini mengiktiraf bahawa hubungan manusia boleh berubah dan Allah memberi satu solusi melalui perdamaian lebih baik (sulh). Perkara ini menjelaskan bahawa tidak semua masalah perlu diselesaikan dengan menang. Kadang-kadang, yang lebih penting ialah memelihara apa yang masih ada dan kena beringat, ego kita selalunya yang jadi musuh yang tidak kelihatan.

Ayat ini menyebutkan satu hakikat yang sangat dalam, “manusia itu cenderung kepada sifat kedekut”. Ini bukan hanya tentang harta ini juga tentang ego yang tidak mahu mengalah, tentang hati yang mahu menang dan perasaan yang mahu dihargai. Banyak hubungan rosak bukan kerana kurang cinta, tetapi kerana terlalu banyak ego. Ego akan membunuh keadilan dan menjadilah keadilan itu tidak sempurna.

Ayat 129 mengakui sesuatu yang sangat jujur iaitu kamu tidak akan mampu berlaku adil sepenuhnya. Al-Qurtubi memberikan tafsiran ini, merujuk kepada keadilan dalam hati sesuatu yang manusia sukar kawal. Tetapi Allah tetap memberi tanda aras, jangan condong hingga menzalimi. Allah tidak menuntut kita sempurna tetapi menuntut kita tidak berlaku zalim. Maka, boleh bersama kita fahami, perpisahan bukan bererti gagal, tetapi ia lebih kepada usaha untuk tidak menzalimi.

Ayat 130 membawa satu perspektif yang sangat menenangkan. Jika mereka berpisah, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing. Ini mengubah cara kita melihat perpisahan. Tidak semua perpisahan adalah kegagalan. Kadang-kadang ia adalah rahmat yang tersembunyi. Sebab itulah, banyaklah bergantung dengan Allah dan janganlah terlalu bergantung pada manusia. Ayat 131–132 mengingatkan kita tentang segala yang di langit dan di bumi milik Allah dan Allah tidak memerlukan manusia. Ini satu peringatan besar mengenai hubungan manusia itu penting tetapi ia tidak boleh menggantikan hubungan dengan Allah. Apabila kita terlalu bergantung kepada manusia, kita akan mudah kecewa.

Ego yang perlu dirobohkan dan inilah pesanan penting dalam ayat 133 yang menyebutkan. Allah boleh menggantikan kamu dengan yang lain. Ini ayat yang sangat menusuk. Ia meruntuhkan ilusi bahawa kita terlalu penting. Kita bukan pusat dunia tetapi kita hanya hamba yang diberi peluang. Kemudian, Ayat 134 menutup dengan satu pilihan. Sesiapa yang menginginkan ganjaran dunia, Allah menyebutkan bahawa kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat berada di sisi-Nya. Tetapi manusia perlu memilih fokus. Masalahnya bukan kita tidak tahu akhirat itu penting. Masalahnya kita terlalu sibuk dengan dunia.

Ayat-ayat ini membawa kita kepada satu soalan yang sangat halus, adakah kita mencintai manusia kerana Allah atau kita menggantikan Allah dengan manusia? Apabila manusia menjadi sumber utama kebahagiaan, kita akan mudah kecewa, mudah terluka dan mudah hilang arah tetapi apabila Allah menjadi pusat kita, kita akan lebih stabil, lebih tenang dan lebih kuat. Jadi, cuba tanyakan kepada diri kita, adakah aku sanggup mengalah untuk menjaga hubungan atau aku lebih pentingkan ego? Adakah aku berlaku adil kepada orang yang aku sayang? Adakah aku terlalu bergantung kepada manusia sehingga lupa kepada Allah? Satu soalan yang paling dalam, jika semua manusia pergi dari hidup aku adakah aku masih kuat bersama Allah?

Hari ini, kita hidup dalam budaya cinta yang cepat, putus yang cepat, ego yang tinggi tetapi kesabaran rendah. Sebenarnya kita diajar untuk jangan mengalah dan utamakan diri tetapi Al-Quran mengajar kita kadang-kadang mengalah itu kekuatan dan kadang-kadang melepaskan itu rahmat. Langkah perubahan yang jujur, perlu kita lakukan adalah bermula dengan melatih diri mengalah kerana Allah bukan kerana lemah, tetapi kerana hikmah. Jaga keadilan dalam hubungan walaupun dalam perkara kecil. Kurangkan kebergantungan kepada manusia dan tambahkan pergantungan kepada Allah. Nilai semula fokus hidup kita dan sentiasa ingat dunia sebagai alat, bukan matlamat.

Ayat 128 hingga 134 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat jujur iaitu hubungan manusia tidak sempurna, hubungan dengan Allah yang sentiasa sempurna dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, kita mungkin kehilangan manusia, tetapi jangan sampai kita kehilangan Allah.

Wednesday, April 15, 2026

Bila Harapan Tidak Diurus, Kekecewaan Akan Mengurus Kita


Ada hari dalam kepimpinan, kita tidak diuji dengan krisis besar tetapi diuji dengan sesuatu yang lebih halus iaitu salah faham yang lahir daripada harapan. Beberapa hari yang lalu, saya melaluinya. Sebuah perbualan biasa dalam kumpulan kerja, bertukar menjadi ruang emosi tentang “fake hope”, tentang jangkaan, tentang rasa kecewa yang tidak dirancang dan saya sedar, kadang-kadang masalah bukan pada apa yang kita putuskan tetapi pada apa yang orang sangkakan kita sudah putuskan. Ini adalah bahaya yang kita perlu hadapi apabila apa-apa komunikasi kita wujud antara “Mungkin” dan “Pasti”.

Pengalaman kita dalam mana-mana organisasi, kita sering berbincang. Kita lontarkan idea, “Mungkin kita boleh buat ini…”, “Ada cadangan untuk bawa semua…” tetapi dalam dunia emosi manusia, perkataan mungkin itu jarang kekal sebagai kemungkinan. Ia perlahan-lahan bertukar menjadi, “Ini akan jadi” dan bila ia tidak jadi, yang jatuh bukan sekadar pelan tetapi harapan yang sudah sempat tumbuh. Maka, Di sinilah saya belajar, harapan yang tidak diurus, akan bertukar menjadi kekecewaan yang tidak dijangka.

Pelajaran kedua saya adalah tentangn tabayyun yang terlepas. Satu perbualan saya, ada yang terus bertanya dengan nada yang sedikit keras. Bukan kerana niatnya buruk, tetapi kerana maklumatnya belum lengkap. Bahkan nada itu juga disalahfahami kerana penggunaan perkataan yang nak menunjukkan mereka marah mungkin. Maka, di situ saya teringat satu perkara yang sangat asas, tetapi sering terlepas dalam organisasi termasuk pada tindakan saya iaitu tabayyun bukan sekadar konsep agama, ia adalah disiplin komunikasi.

Bila kita tidak bertanya dengan jelas, kita akan mengisi ruang kosong dengan andaian, membina emosi atas maklumat separuh dan akhirnya, memberi reaksi pada sesuatu yang tidak sepenuhnya benar, kemudian yang lebih bahaya, ia boleh melukakan hubungan yang sebenarnya baik. Saya mula sedar bahawa emosi mereka itu tidak salah, tetapi perlu difahami. Apa yang paling menyentuh saya bukanlah kata-kata seperti “fake hope” atau sebagainya tetapi pada ayat seperti ayat “Kami faham… cuma mungkin ada yang dah letak harapan…”. Saya berhenti dan termenung sekejap.

Saya mula terfikir dan cuba memahami sebagai pemimpin, mudah untuk kita fokus kepada fakta belum confirm, ada kekangan atau ada limitasi tetapi manusia tidak hidup atas fakta semata-mata. Mereka hidup atas rasa dihargai, rasa dilibatkan, rasa diambil kira dan kadang-kadang, yang mereka perlukan bukan penjelasan tetapi pengakuan bahawa perasaan mereka itu wujud. Maka perlu ke saya menjadi pemimpin yang tidak defensif?

Penilaian saya dalam situasi seperti ini, sangat mudah untuk mempertahankan diri. Untuk berkata, “Kami dah cakap belum confirm”, “Ini bukan salah kami” tetapi saya memilih untuk berhenti dan bertanya kepada diri sendiri, “Apa yang mereka rasa dan kenapa mereka rasa begitu?” Lalu jawapannya bukan untuk menang hujah. Tetapi untuk meredakan keadaan. Saya jelaskan. Saya minta maaf. Saya akui kekangan dan yang lebih penting saya cuba untuk tidak menafikan emosi mereka.

Ketiganya adalah tentang gurauan dan batasannya. Saya kena akui dalam organisasi kami, memang mempunyai hubungan yang rapat, gurauan menjadi bahasa kebiasaan tetapi hari itu saya berasa, tidak semua gurauan selamat dalam semua keadaan. Apatah lagi bila melibatkan hierarki, keputusan dan emosi yang sedang sensitive. Gurauan yang biasa, boleh menjadi sesuatu yang disalah tafsir dan di situ, kita perlu belajar satu seni yang halus iaitu menjadi mesra tanpa hilang batas.

Peribadi saya berasakan ini bukanlah krisis tetapi bukti bahawa kami sedang membesar. Saya tidak melihat hari ini sebagai kegagalan. Saya melihatnya sebagai tanda bahawa staf berani bersuara, tanda bahawa mereka ada rasa memiliki, tanda bahawa hubungan masih cukup selamat untuk jujur dan dalam banyak organisasi, ini bukan kelemahan. Ini sebenarnya aset yang sangat mahal. Hari itu saya belajar semula bahawa jangan biarkan “mungkin” terapung tanpa konteks. Ia akan mendarat sebagai harapan. Urus expectation lebih awal daripada mengurus konflik kemudian. Tabayyun perlu dibudayakan, bukan sekadar disebut. Emosi staf bukan gangguan ia adalah data kepimpinan dan menangani manusia lebih penting daripada memenangkan penjelasan.

Kepimpinan itu mengurus rasa, bukan sekadar urusan. Akhirnya, saya sedar satu perkara yang semakin jelas, kepimpinan bukan tentang membuat keputusan yang betul semata-mata tetapi tentang mengurus kesan keputusan itu pada hati manusia kerana organisasi tidak digerakkan oleh sistem sebaliknya digerakkan oleh manusia yang berharap, yang terasa dan yang ingin difahami bahkan mungkin, di situlah sebenar-benarnya kerja seorang pemimpin bermula.