Ada masa dalam hidup yang terasa biasa. Hari berlalu tanpa kesan, minggu bertukar tanpa makna, dan bulan datang serta pergi tanpa meninggalkan apa-apa pada jiwa. Kita hidup, bergerak, bekerja, beribadah tetapi semuanya seolah-olah berada dalam satu garis lurus yang tidak pernah benar-benar menyentuh hati. Namun Islam tidak melihat masa seperti itu dan dalam pandangan wahyu, masa bukan sekadar ruang kosong yang diisi dengan aktiviti manusia. Masa adalah sesuatu yang dinilai, dipilih, bahkan dimuliakan oleh Allah. Ada waktu yang Allah angkat darjatnya, bukan kerana waktu itu memiliki kuasa tersendiri, tetapi kerana manusia perlu belajar untuk melihat hidup dengan lebih halus bahawa tidak semua detik itu sama. Maka di sinilah hadirnya konsep bulan-bulan haram.
Sepanjang satu tahun hijrah, Allah menetapkan empat bulan yang dimuliakan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Tiga daripadanya datang berturut-turut, manakala Rejab berdiri sendirian, seolah-olah menjadi isyarat bahawa dalam perjalanan kehidupan, ada waktu yang datang sebagai rangkaian dan ada waktu yang datang sebagai peringatan yang berdiri sendiri. Perkataan haram yang digunakan untuk menggambarkan bulan-bulan ini sering disalahfahami. Ia bukan sekadar membawa maksud larangan, tetapi lebih dalam daripada itu. Ia merujuk kepada sesuatu yang dilindungi, dimuliakan dan tidak sepatutnya dicemari.
Kita boleh bersama fahami, bulan-bulan ini adalah masa yang Allah angkat supaya manusia belajar untuk menahan diri daripada kezaliman, bukan sahaja terhadap orang lain, tetapi juga terhadap diri sendiri dan di sinilah letaknya satu hakikat yang jarang kita renungi iaitu manusia sering menganggap dosa sebagai sesuatu yang dilakukan terhadap orang lain atau terhadap perintah Tuhan semata-mata, sedangkan dalam banyak keadaan, dosa itu sebenarnya adalah bentuk kezaliman terhadap diri sendiri. Ia merosakkan hati, menggelapkan jiwa dan menjauhkan kita daripada ketenangan yang kita cari.
Apabila Allah berfirman agar kita tidak menzalimi diri dalam bulan-bulan haram, ia sebenarnya adalah satu undangan halus untuk kita melihat semula kehidupan kita dengan lebih jujur, lebih tenang dan lebih dalam. Bulan-bulan ini juga mengajar satu perkara yang sangat penting tetapi sering terlepas pandang bahawa kehidupan tidak sepatutnya berjalan dalam keadaan yang flat. Jika setiap hari sama, jika setiap bulan terasa serupa, maka hati manusia akan mudah menjadi keras. Dosa akan menjadi biasa dan ibadah akan menjadi rutin yang kosong daripada makna. Maka Allah mencipta irama dalam kehidupan seorang mukmin seperti adanya cheat day dalam diari mereka yang sedang diet.
Ada waktu untuk berhenti. Ada waktu untuk berfikir. Ada waktu untuk kembali. Bulan haram adalah sebahagian daripada irama itu yang turut menjadi satu bentuk checkpoint dalam perjalanan hidup, tempat di mana manusia sepatutnya memperlahankan langkah dan melihat semula arah. Jika kita perhatikan dengan lebih teliti, susunan bulan-bulan haram itu sendiri membawa makna yang tersirat. Rejab hadir sebagai seolah-olah panggilan awal atau satu bisikan yang mengajak hati untuk mula sedar. Kemudian datang Zulkaedah dan Zulhijjah, membawa manusia kepada ibadah besar seperti haji dan korban, sebelum akhirnya Muharam membuka ruang untuk refleksi selepas perjalanan spiritual tersebut.
Ia bukan sekadar susunan kalendar. Ia adalah satu sistem pembinaan jiwa. Namun persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada kita tahu tentang bulan-bulan ini, tetapi bagaimana kita hidup di dalamnya. Adakah kita benar-benar merasai perbezaan apabila memasuki bulan haram? Adakah kita menjadi lebih berhati-hati dengan dosa? Atau hidup kita masih berjalan seperti biasa, tanpa sebarang perubahan rasa? Inilah muhasabah yang paling jujur kerana pada akhirnya, bulan haram bukan tentang masa itu sendiri. Ia adalah tentang siapa kita ketika berada dalam masa itu. Sama ada kita hanya melalui waktu atau kita membiarkan waktu itu membentuk kita dan mungkin, dalam diam, bulan-bulan ini sedang bertanya kepada kita jika kamu tidak berubah ketika masa dimuliakan, bilakah lagi kamu akan berubah?

No comments:
Post a Comment