عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:
أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ SAW فَقَالَ:
أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟
قَالَ: «نَعَمْ»
رواه مسلم
Terjemahan
Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansari RA, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Bagaimana pandanganmu, jika aku menunaikan solat fardu, berpuasa di bulan Ramadan, menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram dan aku tidak menambah apa-apa selain itu, adakah aku akan masuk syurga?”
Baginda SAW menjawab: “Ya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Ketika perjalanan seorang Muslim menuju syurga, seringkali kita membayangkan jalan itu dipenuhi dengan amalan-amalan besar seperti qiyamullail yang panjang, sedekah yang melimpah atau pengorbanan luar biasa. Namun, Hadis ke-22 daripada himpunan Hadis 40 Imam Nawawi membawa kita kembali kepada satu hakikat yang lebih mendasar dan jujur bahawa jalan ke syurga itu sebenarnya bermula dengan perkara asas yang kita sering anggap biasa.
Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW dengan satu soalan yang sangat real jika dia hanya menunaikan solat fardu, berpuasa Ramadan, menjaga halal dan haram, tanpa menambah amalan lain, adakah dia akan masuk syurga? Nabi SAW menjawab dengan satu jawapan yang ringkas tetapi sarat makna, “Ya.”
Jawapan ini bukan sekadar memberi harapan, tetapi membetulkan cara kita melihat agama. Islam tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang di luar kemampuan. Asas yang diwajibkan itu sendiri sudah cukup untuk menyelamatkan seseorang, jika benar-benar dijaga dengan penuh kejujuran dan kesungguhan. Namun, di sinilah letaknya cabaran sebenar. Menjaga yang asas bukan perkara mudah. Solat bukan sekadar cukup lima waktu, tetapi menjaga waktu, khusyuk dan kesannya pada akhlak. Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi menahan diri daripada dosa. Halal dan haram pula bukan sekadar diketahui, tetapi dipatuhi tanpa kompromi, walaupun dalam keadaan sukar.
Hadis ini sebenarnya mengajar kita tentang satu prinsip yang lebih besar bahawa jalan ke syurga bukan tentang minimum effort, tetapi tentang istiqamah yang jujur. Seseorang yang benar-benar menjaga perkara wajib dengan sempurna sedang berjalan di atas jalan yang lurus, walaupun nampak sederhana. Sebaliknya, ramai yang mengejar amalan tambahan, tetapi asas masih longgar. Kita mungkin rajin melakukan perkara sunat, tetapi masih culas dalam perkara wajib. Kita mungkin ghairah dengan program keagamaan, tetapi masih gagal menjaga disiplin solat atau integriti dalam halal dan haram.
Maka di sinilah konsep mizan al-‘amal menjadi sangat penting dalam memahami hadis ini. Amal dalam Islam bukan sekadar dinilai pada zahirnya, tetapi pada neraca yang lebih dalam seperti niat, kesesuaian dengan syariah, kesan kepada akhlak dan manfaat kepada masyarakat. Amal yang sedikit tetapi tepat neracanya boleh menjadi berat di sisi Allah, manakala amal yang banyak tetapi kosong nilai boleh menjadi sia-sia. Inilah yang diingatkan dalam tradisi pemikiran Islam bahawa keseimbangan antara ilmu, amal dan akhlak adalah asas kepada kebangkitan individu dan umat.
Penilaian kita dalam konteks kehidupan hari ini, hadis ini menjadi sangat relevan. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan gangguan, tekanan dan kekeliruan nilai. Ramai yang mencari jalan pintas untuk menjadi baik, tetapi mengabaikan pembinaan asas. Kita mahu hasil yang cepat, perubahan yang drastik, tetapi lupa bahawa agama ini dibina atas disiplin yang konsisten. Jalan ke syurga bukan jalan yang kompleks, tetapi ia menuntut keteguhan yang berpanjangan. Lebih menarik, hadis ini juga memberi panduan dalam dakwah dan tarbiah. Tidak semua orang mampu terus menjadi luar biasa. Tetapi semua orang mampu bermula dengan menjaga yang asas dan di sinilah hikmah pendekatan Islam, ia membuka ruang untuk semua orang berjalan menuju syurga, mengikut kemampuan masing-masing, tetapi tetap dengan syarat kejujuran dan kesungguhan.
Namun, dalam masa yang sama, kita tidak boleh memahami hadis ini sebagai lesen untuk berpuas hati dengan tahap minimum. Realitinya, amalan wajib kita sendiri belum tentu sempurna oleh itu amalan sunat berperanan sebagai pelengkap dan penampung kekurangan. Orang yang hanya bergantung kepada wajib tanpa memperbaiki kualiti amal sebenarnya sedang mengambil risiko. Maka, keseimbangan antara menjaga yang wajib dan memperbanyakkan yang sunat adalah jalan yang lebih selamat dan lebih tinggi darjatnya.
Akhirnya, hadis ini membawa kita kepada satu muhasabah yang jujur, adakah kita benar-benar sudah menjaga perkara asas dalam agama? Atau kita sekadar merasakan diri sudah cukup baik, sedangkan asas pun masih longgar? Jalan ke syurga itu tidak tersembunyi. Ia jelas, mudah difahami dan berada dekat dengan kita. Tetapi ia menuntut satu perkara yang sering kita abaikan adalah istiqamah dalam kebenaran dan mungkin, cabaran terbesar kita hari ini bukan untuk melakukan lebih banyak, tetapi untuk melakukan yang asas dengan lebih baik.

No comments:
Post a Comment