Kes kemalangan yang melibatkan Sam Ke Ting dan sekumpulan remaja basikal lajak bukan sekadar sebuah kes jalan raya biasa. Ia telah berkembang menjadi perdebatan nasional yang menyentuh soal keadilan, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan. Lebih-lebih lagi apabila keputusan terkini menyaksikan pembebasan atas dasar kecacatan pendakwaan, perbincangan menjadi semakin kompleks dan ini adalah antara apa yang dirasakan dan apa yang dibuktikan.
Manakala dari sudut undang-undang, pembebasan tersebut membawa satu mesej yang jelas bahawa keadilan tidak boleh berdiri atas emosi semata-mata. Ia mesti berpaksikan proses yang betul, pertuduhan yang jelas dan pembuktian yang kukuh. Jika terdapat kecacatan dalam pendakwaan, maka keseluruhan kes boleh terjejas. Ini mungkin sukar diterima oleh sesetengah pihak, namun itulah prinsip asas dalam sistem keadilan yang mana lebih baik seseorang terlepas daripada dihukum secara tidak adil.
Namun, dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa tragedi tetap berlaku. Nyawa telah terkorban. Keluarga kehilangan anak dan seorang individu pula berhadapan dengan tekanan emosi serta perjalanan mahkamah yang panjang. Kita menilai, di sinilah wujudnya jurang antara keadilan undang-undang dan keadilan yang dirasai oleh masyarakat. Apa yang sah di sisi undang-undang, belum tentu menenangkan hati semua pihak.
Kes ini sebenarnya membuka mata kita kepada satu hakikat yang lebih besar bahawa ini bukan sekadar soal seorang pemandu atau sekumpulan remaja. Ia adalah refleksi kepada kegagalan kolektif. Aktiviti basikal lajak yang berbahaya tidak berlaku dalam ruang kosong. Ia melibatkan peranan ibu bapa, komuniti, pendidikan keselamatan dan penguatkuasaan. Ini bermaksud, tragedi ini adalah hasil daripada banyak lapisan kelalaian yang bertindih.
Pengajaran pertama yang boleh kita ambil ialah soal tanggungjawab individu. Setiap orang yang berada di jalan raya memegang amanah yang besar. Sama ada sebagai pemandu, penunggang atau pejalan kaki. Setiap keputusan boleh memberi kesan kepada nyawa orang lain maka, berhati-hati bukan pilihan, tetapi kewajipan.
Kedua, kita perlu melihat semula budaya dan persekitaran sosial kita. Bagaimana aktiviti berisiko tinggi seperti basikal lajak boleh berleluasa tanpa kawalan? Di mana peranan komuniti dalam mencegah sebelum berlaku tragedi? Kes ini sepatutnya menjadi titik mula untuk memperkukuh pendidikan keselamatan dan memperbaiki pemantauan terhadap anak-anak.
Ketiga, dan mungkin yang paling penting, ialah kefahaman tentang keadilan itu sendiri. Keadilan bukan sekadar menghukum siapa yang salah, tetapi memastikan proses untuk menentukan kesalahan itu dilakukan dengan betul. Tanpa proses yang adil, keputusan yang dibuat juga boleh dipersoalkan dan di sinilah pentingnya integriti dalam sistem, dari siasatan hingga ke pendakwaan.
Akhirnya, kes ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan, tidak semua perkara boleh dilihat secara hitam putih. Ada situasi yang menuntut kita berfikir lebih dalam, lebih luas dan lebih adil. Emosi itu penting, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan rasional dan prinsip. Mungkin pengajaran paling besar untuk kita ialah ini merupakan kelalaian kecil yang dibiarkan akhirnya boleh membawa kepada tragedi besar dan apabila ia berlaku, semua pihak akan menanggung akibatnya.

No comments:
Post a Comment