Showing posts with label Amanah Dalam Islam. Show all posts
Showing posts with label Amanah Dalam Islam. Show all posts

Tuesday, July 28, 2026

Menjaga Amanah Sebelum Membina Gerakan: Renungan Daripada Surah Al-Ma’idah



Setiap kali menghadiri muktamar atau mesyuarat organisasi Islam, kita sering berbincang tentang pelbagai perkara. Kita membicarakan program, strategi, struktur organisasi, sasaran dakwah, pembangunan belia dan hala tuju gerakan. Semua itu penting. Tanpa perancangan yang baik, sesebuah organisasi sukar bergerak dengan tersusun. Muktamar Belia Islam ABIM Selangor kali ini, saya mewakili pimpinan WADAH diberikan peluang untuk berucap dan saya fikir mungkin ini waktu terbaik untuk meninggalkan pesan-pesan yang mampu membuat mereka berfikir.

Ia amat dekat dengan misi saya dan sekarang saya dalam misi mentadabbur Surah Al-Ma’idah. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menemui satu hakikat yang sangat menyentuh hati. Rupa-rupanya Allah tidak memulakan pembinaan umat dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina hati manusia terlebih dahulu. Mungkin inilah sebabnya Surah Al-Ma’idah dibuka dengan satu arahan yang sangat ringkas tetapi cukup besar maknanya, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad (perjanjian).”

Ayat ini mengajar kita bahawa asas kepada sebuah masyarakat yang kuat ialah amanah. Sebelum kita berbicara tentang kepimpinan, strategi atau pengaruh, kita perlu bertanya satu soalan yang lebih asas, adakah aku masih menjaga perjanjianku dengan Allah? Kita sering menganggap amanah bermula apabila seseorang dilantik menjadi pengerusi, ketua, setiausaha atau ahli jawatankuasa. Hakikatnya, amanah bermula jauh lebih awal daripada itu.

Sebelum kita menjadi pemimpin organisasi, kita terlebih dahulu adalah hamba Allah. Sebelum kita memegang amanah manusia, kita telah memegang amanah sebagai seorang Muslim. Jika hubungan kita dengan Allah mula longgar, lambat laun hubungan kita dengan manusia juga akan longgar. Sebab itu Surah Al-Ma’idah berkali-kali mengingatkan tentang akad, mithaq dan kesetiaan terhadap perjanjian.

Ketika membaca ayat 11 pula, saya berhenti agak lama pada satu peringatan Allah, “Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangan mereka kepada kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu.”

Selama ini apabila menyebut nikmat, saya sering memikirkan perkara yang Allah berikan kepada saya. Rezeki, kesihatan, peluang, keluarga. Tetapi ayat ini memperkenalkan satu bentuk nikmat yang sangat berbeza. Allah meminta kita mengingati perkara yang tidak berlaku. Musibah yang tidak jadi menimpa. Fitnah yang Allah halang. Pengkhianatan yang Allah bongkarkan sebelum sempat berlaku. Kemalangan yang Allah jauhkan.

Mungkin kehidupan kita hari ini sebenarnya lebih banyak dibentuk oleh apa yang Allah lindungi daripada kita berbanding apa yang Allah berikan kepada kita dan sebagai seorang yang terlibat dalam dakwah dan pembangunan masyarakat, saya merasakan ayat ini sangat mendidik jiwa. Kadang-kadang kita terlalu yakin dengan pengalaman, kepakaran dan strategi yang kita miliki. Sedangkan boleh jadi organisasi masih bertahan hingga hari ini bukan semata-mata kerana kebijaksanaan kita, tetapi kerana Allah telah melindungi kita daripada pelbagai perkara yang tidak pernah kita ketahui.

Surah Al-Ma’idah kemudian membawa kita kepada kisah Bani Israil. Allah tidak menyebut bahawa mereka rosak kerana kekurangan ilmu. Mereka mempunyai kitab. Mereka mempunyai nabi. Mereka mempunyai sejarah yang hebat. Tetapi mereka gagal menjaga perjanjian. Lalu Allah berfirman bahawa akibat daripada pelanggaran perjanjian itu, hati mereka menjadi keras. Ayat ini sangat menggerunkan kerana ia menunjukkan bahawa keruntuhan tidak bermula apabila sesebuah organisasi kehilangan ahli atau sumber kewangan.

Keruntuhan sebenar bermula apabila hati orang yang memikul amanah mula kehilangan kepekaan terhadap Allah. Hati yang tidak lagi mudah menerima nasihat. Hati yang lebih suka mempertahankan ego daripada mencari kebenaran. Hati yang melihat jawatan sebagai kemuliaan, bukan tanggungjawab. Selepas itu saya membaca pula ayat yang menyebut bahawa Ahli Kitab telah melupakan sebahagian daripada wahyu yang diberikan kepada mereka.

Perhatikan bahawa Allah tidak mengatakan mereka meninggalkan seluruh kitab. Mereka hanya melupakan sebahagian daripadanya. Namun daripada “sebahagian” yang diabaikan itulah lahir permusuhan dan kebencian sesama mereka. Ayat ini mengubah cara saya melihat setiap perselisihan. Selama ini apabila berlaku perbezaan pandangan dalam organisasi, saya mudah bertanya, “Siapa yang betul?” Tetapi Surah Al-Ma’idah mengajar saya bertanya soalan yang lebih penting, “Apakah petunjuk Allah yang sedang aku abaikan dalam perselisihan ini?” Boleh jadi petunjuk itu ialah adab, sabar. Boleh jadi menjaga lidah. Boleh jadi berlaku adil. Boleh jadi juga mendengar sebelum menghukum.

Saya juga menyedari bahawa tugas menguruskan organisasi dan sumber manusia memang memerlukan kita berbincang tentang orang lain. Namun Al-Quran mendidik kita supaya setiap perbincangan sentiasa dipandu oleh niat mencari penyelesaian, bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Perbezaan itu kelihatan kecil, tetapi kesannya sangat besar. Kita boleh berbincang tentang seseorang untuk membimbingnya. Kita juga boleh berbincang tentang seseorang untuk menjatuhkannya. Lidah mungkin mengucapkan ayat yang sama, tetapi hati membawa niat yang sangat berbeza.

Satu lagi ayat yang sangat menyentuh saya ialah apabila Allah menyebut bahawa telah datang kepada manusia “satu cahaya dan sebuah Kitab yang jelas.” Al-Quran bukan sekadar kitab ilmu. Al-Quran ialah cahaya. Cahaya tidak menghilangkan malam. Tetapi cahaya membolehkan kita berjalan tanpa tersesat. Begitu juga Al-Quran. Ia tidak menjanjikan kehidupan tanpa cabaran. Tetapi ia menjanjikan bahawa hati kita tidak kehilangan arah ketika berhadapan dengan cabaran.

Semakin lama saya mentadabbur Surah Al-Ma’idah, semakin saya memahami bahawa dakwah bukan sekadar mengajak manusia kepada Allah. Dakwah juga ialah usaha memastikan hati pendakwah sendiri sentiasa kembali kepada Allah kerana pendakwah juga boleh diuji dengan ego. Pemimpin juga boleh diuji dengan kuasa. Aktivis juga boleh diuji dengan rasa paling benar. Sebab itu saya merasakan bahawa antara doa yang paling penting untuk seorang pemimpin ialah, “Ya Allah, jangan jadikan aku sibuk membina organisasi sehingga aku lupa membina hati.”

Akhirnya, saya membawa satu kesimpulan daripada perjalanan tadabbur Surah Al-Ma’idah ini. Gerakan Islam tidak akan menjadi kuat hanya kerana banyak program. Gerakan Islam juga tidak akan menjadi besar hanya kerana hebat strateginya. Gerakan Islam akan benar-benar kuat apabila orang yang memikul amanah sentiasa menjaga perjanjiannya dengan Allah, membiarkan Al-Quran menerangi hatinya dan sentiasa mencari kebenaran lebih daripada kemenangan dirinya kerana akhirnya nanti, Allah tidak akan bertanya berapa banyak mesyuarat yang kita hadiri atau berapa lama kita memegang jawatan. Allah akan bertanya bagaimana kita menjaga amanah yang telah Dia letakkan di bahu kita. Semoga Allah menjadikan kita bukan sekadar pewaris organisasi yang baik, tetapi pewaris hati yang ikhlas, amanah yang terpelihara dan dakwah yang sentiasa dipimpin oleh cahaya Al-Quran.

Friday, July 10, 2026

Ukhuwah Lebih Mahal Daripada Ego: Menimbang Persaudaraan dengan Mizan al-'Amal



Dunia kini semakin bising. Bising dengan perdebatan, manusia semakin mudah mencari sebab untuk berpecah daripada mencari jalan untuk bersatu. Perbezaan pandangan yang dahulunya menjadi ruang untuk saling melengkapi kini sering bertukar menjadi permusuhan. Media sosial pula menjadikan setiap orang merasa dirinya paling benar, sehingga kemenangan dalam berhujah lebih diutamakan daripada kemenangan menjaga hati seorang saudara.

Hakikatnya, Islam tidak dibina di atas kemenangan ego, tetapi di atas kekuatan ukhuwah. Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat: 10)

Ayat ini begitu ringkas tetapi sarat dengan makna. Allah tidak mengatakan orang-orang beriman sepatutnya bersaudara, tetapi "orang-orang yang beriman itu bersaudara." Ertinya, persaudaraan bukan pilihan, tetapi sebahagian daripada identiti seorang Mukmin. Ukhuwah bukan sekadar perasaan.

Ramai menyangka ukhuwah hanya bermaksud saling bertegur sapa, menghadiri majlis bersama atau berkongsi minat yang sama. Sedangkan ukhuwah menurut Islam jauh lebih besar daripada itu. Ukhuwah ialah kesediaan untuk memaafkan, keberanian untuk merendahkan ego, kesanggupan mendengar sebelum menghukum atau keikhlasan untuk melihat saudara kita berjaya tanpa rasa iri hati.

Persaudaraan tidak diuji ketika semuanya berjalan baik. Ia diuji apabila berlaku salah faham, perbezaan pandangan dan konflik kepentingan maka di sinilah nilai sebenar ukhuwah terserlah apabila dengan bimbingan Mizan al-'Amal, kita mampu menimbang persaudaraan mengatasi ego.

Imam al-Ghazali dalam Mizan al-'Amal mengingatkan bahawa setiap amal perlu ditimbang dengan neraca wahyu, akhlak dan maslahat, bukan sekadar dengan emosi atau kepentingan diri. Amal yang baik bukan sahaja dinilai pada zahirnya, tetapi juga pada kesannya terhadap hubungan manusia dan pembinaan masyarakat.

Kadangkala kita terlalu ingin membuktikan bahawa kita betul sehingga sanggup merosakkan sebuah persaudaraan. Kita menang hujah. Tetapi kita kehilangan hati seorang sahabat. Kita mempertahankan pendapat. Tetapi kita meruntuhkan jambatan kepercayaan tetapi dalam neraca Mizan al-'Amal, kemenangan seperti ini sebenarnya adalah satu kerugian. Persaudaraan yang rosak kerana ego menjadikan amal kehilangan keberkatannya. Mungkin kita patut mencari kemenangan yang tidak kelihatan.

Rasulullah SAW bersabda, "Tidak halal bagi seorang Muslim memulau saudaranya lebih daripada tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam sangat mengambil berat hubungan sesama Muslim. Bahkan memanjangkan permusuhan tanpa alasan syarie dianggap sebagai satu kesalahan. Kadangkala kemenangan terbesar bukanlah apabila orang lain mengakui kita benar. Sebaliknya, kemenangan sebenar ialah apabila kita mampu berkata, "Tidak mengapa, demi ukhuwah, aku memilih untuk mengalah." Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah kerana Allah ialah kemenangan akhlak sebagaimana yang dicontohkan oleh Umar al-Khattab dan muhasabah dirinya.

Sayidina Umar al-Khattab RA pernah berpesan, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab." Pesanan ini mengingatkan bahawa sebelum kita sibuk mencari kesalahan orang lain, kita perlu terlebih dahulu menilai diri sendiri. Adakah selama ini kita lebih banyak mendengar atau lebih banyak menghukum? Adakah kita benar-benar mencari kebenaran, atau sekadar mahu mempertahankan ego? Muhasabah inilah yang menjadi asas kepada persaudaraan yang matang. Orang yang sentiasa menilai dirinya sendiri akan lebih mudah memaafkan kelemahan orang lain. Tambahan lagi apabila kita perlu menghadapi cabaran ukhuwah pada zaman digital.

Ucapan dasar "Mizan al-'Amal: Jalan Kebangkitan Umat & Peranan WADAH Selangor" mengingatkan bahawa antara cabaran besar masyarakat hari ini ialah hilangnya keseimbangan antara ilmu, akhlak dan tindakan. Dunia digital mempercepat penyebaran maklumat, tetapi tidak semestinya mempercepat penyebaran hikmah.

Hari ini, satu kenyataan yang dipotong konteksnya boleh memutuskan persahabatan. Satu hantaran di media sosial boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan. Satu komen yang ditulis tanpa berfikir boleh melukakan hati ramai orang. Oleh itu, ukhuwah memerlukan lebih banyak hikmah daripada reaksi. Kita perlu belajar untuk menyemak sebelum berkongsi, mendengar sebelum menjawab dan berdialog sebelum menghukum.

Sebagai gerakan dakwah dan masyarakat madani, WADAH Selangor tidak boleh sekadar menyeru kepada ukhuwah melalui slogan. Persaudaraan mesti diterjemahkan dalam budaya organisasi dan kehidupan bermasyarakat. Ini bermakna, mengutamakan musyawarah daripada pertelingkahan, membina budaya saling menasihati dengan kasih sayang, menerima perbezaan pandangan dalam perkara ijtihad, menghindari budaya mengaibkan sesama sendiri dan sentiasa meletakkan maslahat umat mengatasi kepentingan individu. Apabila ukhuwah dipelihara, masyarakat menjadi lebih kukuh. Apabila ego menguasai, masyarakat menjadi rapuh walaupun kelihatan kuat pada zahirnya.

Dunia hari ini tidak kekurangan orang yang pandai berhujah. Dunia juga tidak kekurangan mereka yang mahu menjadi juara dalam setiap perdebatan. Namun, dunia amat memerlukan lebih ramai manusia yang sanggup menjadi pendamai seperti dalam Mizan al-'Amal, persaudaraan bukan sekadar hubungan sesama manusia, tetapi satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Setiap kata-kata, tindakan dan keputusan akan ditimbang, bukan hanya berdasarkan siapa yang menang, tetapi sejauh mana ia membawa rahmat kepada manusia.

Marilah kita memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih mulia iaitu menjaga ukhuwah mengatasi ego, mendahulukan perdamaian daripada pertelingkahan dan membina masyarakat yang berasaskan kasih sayang, hikmah serta keadilan kerana akhirnya, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya mengalahkan saudara kita, tetapi apabila kita berjaya mengalahkan ego dalam diri sendiri.

Tuesday, June 9, 2026

Fikrah Sebagai Mahasiswa: Dari Pencari Ilmu Menjadi Pembina Ummah



Setiap tahun, ribuan anak muda melangkah ke universiti dengan pelbagai impian dan harapan. Ada yang ingin menjadi doktor, jurutera, guru, peguam atau usahawan berjaya. Namun, dalam keterujaan mengejar masa depan, satu persoalan besar sering terlepas daripada perhatian mereka bahkan ibu bapa mereka iaitu apakah tujuan sebenar seorang mahasiswa Muslim menuntut ilmu?

Jika kita telusuri dari sudut pandangan Islam, universiti bukan sekadar tempat mendapatkan sijil atau membina kerjaya. Universiti adalah medan pembentukan fikrah, tempat seorang pemuda atau pemudi membina pandangan hidup yang akan menentukan arah perjalanan mereka sepanjang hayat. Jika ilmu menjadi bekalan, maka fikrah adalah kompas yang menentukan ke mana ilmu itu akan dibawa maka mahasiswa perlu dan mesti ada tujuan hidup.

Allah SWT mengingatkan manusia tentang tujuan utama penciptaan mereka, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Az-Zariyat: 56)

Ayat ini memberikan asas paling penting kepada seorang mahasiswa Muslim. Belajar bukan sekadar untuk mendapatkan pekerjaan. Menuntut ilmu bukan sekadar untuk memperoleh pendapatan yang tinggi. Semua usaha tersebut hanyalah sebahagian daripada perjalanan menuju tujuan yang lebih besar, iaitu beribadah kepada Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Apabila tujuan hidup jelas, maka ilmu yang dipelajari tidak akan menjadi alat untuk memenuhi kepentingan diri semata-mata. Sebaliknya, ilmu akan menjadi jalan untuk memberi manfaat kepada manusia dan membina masyarakat yang lebih baik kerana meraka perlu sedar bahawa mahasiswa juga adalah khalifah. Selain menjadi hamba Allah, manusia juga diberikan amanah sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Surah Al-Baqarah: 30)

Konsep khalifah membawa makna yang sangat besar. Seorang mahasiswa tidak boleh melihat dirinya sekadar sebagai individu yang sedang belajar untuk masa depan peribadi. Dia adalah bakal pemimpin, pembina masyarakat dan penyumbang kepada pembangunan tamadun. Doktor Muslim bukan sekadar merawat penyakit, tetapi membawa rahmat kepada manusia. Jurutera Muslim bukan sekadar membina bangunan, tetapi membangunkan kehidupan yang lebih sejahtera. Guru Muslim bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk generasi yang berakhlak dan berintegriti. Inilah fikrah yang perlu dimiliki oleh setiap mahasiswa muslim kerana ilmu itu adalah cahaya.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW bermula dengan perintah membaca, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah Al-'Alaq: 1)

Islam meletakkan ilmu sebagai asas kebangkitan. Tidak ada tamadun yang bangkit tanpa ilmu. Tidak ada masyarakat yang maju tanpa budaya membaca dan berfikir. Namun, Islam tidak melihat ilmu sebagai sekadar pengumpulan maklumat. Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang membawa manusia mengenal Allah, memahami tanggungjawab hidup dan memperbaiki masyarakat.

Hari ini, dunia dibanjiri dengan maklumat. Segala-galanya berada di hujung jari. Tetapi kebanjiran maklumat tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan. Ramai yang tahu banyak perkara, tetapi tidak tahu membezakan antara yang benar dan yang salah. Ramai yang pandai berhujah, tetapi gagal membina hikmah. Krisis terbesar zaman ini bukan kekurangan maklumat, tetapi kekurangan panduan dan kebijaksanaan dalam menggunakan ilmu. Oleh itu, amat penting adanya hubungan iman, ilmu dan amal.

Seorang mahasiswa Muslim perlu memahami bahawa kejayaan tidak dibina oleh ilmu semata-mata. Islam menghubungkan tiga unsur utama dalam kehidupan manusia iaitu iman, ilmu dan amal. Allah SWT berfirman, “Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadilah: 11)

Perhatikan bahawa Allah mendahulukan iman sebelum ilmu. Ini kerana ilmu tanpa iman boleh melahirkan kesombongan dan kerosakan. Sebaliknya, iman tanpa ilmu boleh membawa kepada kejahilan dan kesesatan. Lebih penting daripada itu, ilmu mesti diterjemahkan kepada amal. Allah SWT menegur mereka yang hanya bercakap tanpa melaksanakan apa yang diperkatakan, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan?” (Surah As-Saff: 2)

Ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mengubah masyarakat. Oleh sebab itu, seorang mahasiswa bukan sekadar pengumpul nota atau pencapai CGPA yang tinggi. Dia perlu menjadi agen perubahan yang memanfaatkan ilmunya untuk kebaikan manusia.

Generasi mahasiswa hari ini berdepan cabaran yang berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka hidup dalam era media sosial, kecerdasan buatan, globalisasi dan ledakan maklumat. Di sebalik segala kemudahan tersebut, muncul beberapa krisis yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, krisis tujuan hidup. Ramai yang belajar tanpa mengetahui mengapa mereka belajar. Mereka mengejar kejayaan tetapi tidak memahami makna kejayaan. Kedua, krisis identiti. Pelbagai ideologi dan pemikiran memasuki kampus dan media sosial. Tanpa asas fikrah yang kukuh, seseorang mudah hanyut dalam arus pemikiran yang bercanggah dengan nilai Islam.

Ketiga, krisis makna. Walaupun teknologi semakin maju, ramai anak muda berasa kosong, tertekan dan kehilangan arah. Ini berlaku apabila kehidupan dibina atas pencapaian material semata-mata tanpa hubungan yang kukuh dengan allah. Maka, jadilah mahasiswa pembina ummah.

Universiti bukan sekadar tempat untuk lulus peperiksaan. Universiti ialah tempat membina diri menjadi insan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Seorang mahasiswa Muslim perlu sentiasa bertanya, “Bagaimana ilmu yang aku pelajari hari ini dapat membantu umat?”

Pertanyaan ini akan mengubah cara seseorang melihat pengajiannya. Setiap kursus yang dipelajari akan dilihat sebagai amanah. Setiap kemahiran yang diperoleh akan dilihat sebagai peluang untuk berkhidmat kepada manusia. Mereka yang mempunyai fikrah seperti ini tidak akan belajar hanya untuk dirinya sendiri. Mereka belajar untuk keluarga, masyarakat, negara dan umat.

Allah SWT berfirman, “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia.” (Surah Ali 'Imran: 110)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa umat Islam dilahirkan bukan untuk hidup bersendirian atau hanya mengejar kepentingan diri. Kita dilahirkan untuk memberi manfaat kepada manusia. Maka, apabila melangkah ke universiti, janganlah sekadar membawa cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya. Bawalah juga cita-cita yang lebih besar untuk menjadi insan yang berilmu, beriman, beramal dan mampu menyumbang kepada kebangkitan umat kerana seorang mahasiswa Muslim bukan sekadar pencari ilmu. Dia adalah pewaris risalah, dia adalah pembina tamadun dan dia adalah khalifah Allah di muka bumi.

Saturday, May 23, 2026

Al-Ma’idah Ayat 1–2: Krisis Besar Umat Hari Ini Bukan Kurang Bijak, Tetapi Hilang Amanah



“Penuhilah segala akad…”

Ada sebab mengapa Allah membuka Surah Al-Ma’idah dengan ayat tentang amanah dan janji. Ia bukan tentang solat, bukan tentang puasa, bukan juga tentang peperangan. Tetapi tentang manusia yang mampu memegang tanggungjawab. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat maju. Teknologi berkembang laju. Sistem semakin moden. Organisasi semakin besar. Pendidikan semakin tinggi. Tetapi dalam diam, masyarakat sedang menghadapi satu krisis besar yang perlahan-lahan merosakkan manusia dari dalam iaitu krisis amanah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 1, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad dan janji.”

Ramai menyangka akad hanya berkaitan akad nikah atau kontrak rasmi. Sedangkan dalam tafsir para ulama, maksudnya jauh lebih luas. Ia meliputi semua bentuk komitmen, tanggungjawab, janji dan amanah yang mengikat manusia. Semua itu termasuk amanah pekerjaan, amanah masa, amanah hubungan, amanah kepimpinan, amanah persahabatan bahkan amanah kecil yang manusia sering pandang remeh. Sebab itu ayat ini sangat menusuk realiti kehidupan hari ini.

Kita hidup dalam zaman manusia mudah memberi “commitment”, tetapi sukar menunaikan. Janji boleh ditangguhkan. Masa orang lain dianggap tidak penting. Hubungan dipelihara hanya ketika menguntungkan. Kerja dilakukan sekadar cukup syarat. Lebih membimbangkan apabila budaya sambil lewa mula dianggap normal. Datang lambat dianggap biasa. Tidak menepati masa mesyuarat dianggap perkara kecil. Kerja bertangguh menjadi budaya. Mesej penting dibiarkan tanpa jawapan. Tanggungjawab dilakukan sekadar minimum untuk mendapatkan gaji hujung bulan. Sedangkan semua itu sebenarnya sebahagian daripada akad.

Ramai orang kata, “Aku tak mencuri duit syarikat.” Tetapi dalam masa yang sama bekerja tanpa kesungguhan, melengahkan tugas, membiarkan orang lain menanggung beban dan tidak berlaku jujur terhadap amanah masa dan tenaga. Hakikatnya, pengkhianatan bukan hanya berlaku apabila wang dicuri. Kadang-kadang ia berlaku apabila amanah dipandang ringan. Mungkin sebab itu Allah memulakan Surah Al-Ma’idah dengan ayat ini. Seolah-olah Allah mahu memberitahu bahawa keruntuhan masyarakat bukan bermula kerana kurang pandai, tetapi kerana hilangnya integriti.

Lebih menyedihkan apabila krisis ini berlaku dalam semua lapisan masyarakat. Ini juga berlaku dalam keluarga. Ramai mahu disayangi tetapi kurang mahu memikul tanggungjawab. Ada yang menganggap akad nikah sekadar lafaz, sedangkan ia sebenarnya janji besar di sisi Allah untuk menjaga, memimpin dan membina. Ketika di pejabat atau dalam organisasi pula, ramai mahu dihargai tetapi sedikit yang mahu membantu ketika susah. Ramai mahu jawatan tetapi tidak mahu memikul amanah. Ada yang pandai bercakap tentang perjuangan, tetapi gagal menjaga disiplin kecil yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah gerakan. Sedangkan Islam membina masyarakat melalui manusia yang boleh dipercayai kerana itu Allah menyambung dalam ayat kedua, “Dan hendaklah kamu bertolong-menolong dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.”

Ayat ini sebenarnya sangat besar dalam pembinaan masyarakat. Allah tidak menyuruh manusia menjadi baik seorang diri. Tetapi Allah mengajar supaya manusia membina budaya saling menguatkan menuju kebaikan. Hari ini manusia saling mempengaruhi antara satu sama lain. Persoalannya ialah, adakah kita sedang menarik manusia mendekati Allah atau menjauh daripada-Nya?

Lihat sahaja realiti media sosial hari ini. Budaya mengejek lebih cepat viral daripada budaya membantu. Konten memalukan orang lebih mendapat perhatian daripada konten membina jiwa. Manusia lebih mudah berkongsi kebencian daripada menyebarkan harapan. Akhirnya masyarakat menjadi letih emosi. Hubungan menjadi keras. Kepercayaan semakin hilang. Sedangkan Islam mengajar budaya ta‘awun, saling membantu dalam kebaikan dan takwa.

Bayangkan jika budaya ini benar-benar hidup. Pekerja membantu memudahkan urusan orang lain, pemimpin memikul amanah dengan jujur, keluarga saling menguatkan menuju Allah dan masyarakat berlumba memudahkan, bukan menyusahkan. Mungkin banyak krisis hari ini akan berkurang. Menariknya, ayat ini juga turun dalam suasana umat Islam pernah disakiti dan dihalang memasuki Masjidil Haram. Namun Allah tetap berfirman, “Jangan kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu melampaui batas.”

Ini luar biasa. Islam tidak membenarkan kebencian menghapuskan prinsip. Hari ini kita melihat dunia semakin mudah dipenuhi budaya marah, menyerang dan menghukum. Perbezaan pandangan berubah menjadi permusuhan. Media sosial menjadi gelanggang dendam dan penghinaan. Tetapi Al-Quran mendidik manusia supaya tetap menjaga akhlak walaupun terhadap orang yang dibenci kerana Islam bukan agama dendam. Islam ialah agama yang membina manusia berprinsip.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah dimulakan dengan amanah, disiplin, menjaga janji dan saling membantu dalam takwa kerana Allah tahu, apabila amanah runtuh, seluruh masyarakat akan mula runtuh perlahan-lahan dan mungkin tadabbur paling dalam daripada ayat ini ialah kadang-kadang manusia terlalu sibuk mencari siapa yang boleh dipercayai, tetapi lupa bertanya, “Adakah aku sendiri sudah menjadi manusia yang boleh dipercayai?”

Wednesday, March 18, 2026

Amanah, Kuasa dan Prinsip Kepimpinan dalam Islam


Kita hayati surah An-Nisa’, kita melihat satu pola yang sangat menarik. Al-Quran tidak hanya mengkritik penyimpangan manusia, tetapi juga membina semula asas sebuah masyarakat yang adil. Ayat 52 hingga 59 berada tepat pada titik perubahan itu. Selepas ayat-ayat sebelumnya menyingkap bagaimana ilmu boleh diputar, bagaimana manusia boleh merasa dirinya suci dan bagaimana kebenaran boleh ditolak walaupun sudah jelas, bahagian ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar iaitu tentang apa yang berlaku apabila manusia kehilangan hidayah dan bagaimana masyarakat beriman sepatutnya dibina.

Ayat 52 adalah berkenaan kesan apabila hati dijauhkan dari rahmat. Ia membawa maksud mereka yang dilaknat oleh Allah dan apabila merujuk bahasa Al-Quran, jelas sekali laknat bukan sekadar kutukan. Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, keadaan ini menggambarkan manusia yang telah menutup dirinya daripada petunjuk sehingga dia tidak lagi mampu melihat kebenaran walaupun ia berada di hadapannya. Ini adalah tragedi rohani yang sebenar. Seseorang boleh memiliki kekayaan, kedudukan atau pengaruh, tetapi apabila rahmat Tuhan menjauh daripadanya, kehidupannya kehilangan arah.

Kita bersama memasuki ayat ke 53 yang menjelaskan dengan sinis tentang kuasa dan hati yang kedekut. Ayat ini bertanya dengan nada sinis, adakah mereka memiliki bahagian kekuasaan? Jika mereka memiliki kuasa sekalipun, mereka tidak akan memberi kepada manusia walaupun sedikit. Ayat ini menggambarkan satu sifat yang sering muncul apabila manusia melihat kuasa sebagai milik peribadi. Kuasa menjadi sesuatu yang perlu dipertahankan, bukan amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Sejarah manusia penuh dengan contoh ini. Apabila kuasa tidak lagi dilihat sebagai amanah, ia berubah menjadi alat untuk mengukuhkan kepentingan diri.

Kemudian ia diikuti dengan perbincangan tentang satu penyakit hati yang sangat tua dalam sejarah manusia iaitu iri hati dan bagaimana iri ini mengalahkan kebenaran. Sebahagian manusia menolak kebenaran bukan kerana ia salah, tetapi kerana mereka tidak suka siapa yang membawanya. Menurut tafsir Al-Tabari, ayat ini merujuk kepada iri hati sebahagian kelompok terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa wahyu. Ini adalah satu pelajaran yang sangat mendalam. Kadang-kadang manusia tidak menolak idea. Mereka menolak orang yang menyampaikan idea itu dan apabila iri hati menguasai hati, kebenaran yang jelas pun boleh kelihatan salah.

Terdapat dua reaksi terhadap wahyu dalam ayat 55 bahawa dalam kalangan manusia ada yang beriman kepada wahyu dan ada yang berpaling daripadanya. Ini menunjukkan bahawa wahyu tidak memaksa manusia untuk percaya. Ia membuka jalan, tetapi manusia tetap bebas memilih arah. Pilihan itu akhirnya menentukan masa depan rohani mereka. Sebahagian manusia melihat wahyu sebagai cahaya yang membimbing kehidupan dan tidak kurang juga sebahagian lagi yang melihatnya sebagai ancaman kepada kepentingan mereka.

Ayat 56 dan 57 memberikan gambaran akhir perjalanan. Ia menggambarkan dua destinasi yang sangat berbeza dimana bagi mereka yang menolak ayat-ayat Allah, Al-Quran menggambarkan azab yang berterusan. Sebaliknya bagi orang yang beriman dan melakukan kebaikan, dijanjikan syurga yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Gambaran ini mengingatkan bahawa kehidupan manusia bukan sekadar perjalanan dunia. Ia adalah perjalanan menuju satu keputusan akhir yang akan menentukan nasib mereka selama-lamanya.

Maka, tibalah kita kepada Prinsip Besar Masyarakat Beriman dalam ayat ke 58. Ia satu prinsip yang sangat penting dalam pembinaan masyarakat. Allah memerintahkan manusia untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan menghukum antara manusia dengan keadilan. Menurut tafsir Al-Qurtubi, ayat ini dianggap sebagai salah satu asas dalam sistem keadilan Islam. Dua konsep besar disebut secara jelas iaitu amanah dan keadilan. Amanah memastikan bahawa kuasa tidak disalahgunakan. Keadilan pula memastikan bahawa keputusan tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri. Tanpa dua prinsip ini, masyarakat akan mudah terjatuh ke dalam kezaliman.

Perbincangan hari ini ditutup dengan struktur ketaatan dalam Islam. Ayat 59 membawa kita kepada satu prinsip yang sering disebut dalam perbincangan tentang kepimpinan iaitu taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Namun ayat ini juga memberi satu garis yang sangat penting. Apabila berlaku perselisihan, perkara itu mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak. Ia berada dalam kerangka ketaatan kepada wahyu. Pemimpin dihormati, tetapi wahyu tetap menjadi rujukan tertinggi.

Struktur besar ayat 52–59 ini adalah apabila kita melihat keseluruhan ayat ini sebagai satu unit. Kita akan melihat satu perjalanan yang sangat jelas. Ia bermula dengan gambaran manusia yang kehilangan hidayah kerana penyakit hati seperti iri dan cinta kuasa diikuti dengan akibat menolak wahyu dan ganjaran kepada mereka yang beriman. Akhirnya, Al-Quran membina asas masyarakat beriman melalui dua prinsip besar iaitu amanah dan keadilan serta satu struktur ketaatan yang berpaksikan wahyu. Seolah-olah Surah An-Nisa’ sedang menunjukkan bahawa pembinaan masyarakat yang adil bermula daripada hati yang bersih dan sistem yang amanah.

Apabila membaca ayat-ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita mungkin melihat bahawa cabaran yang sama masih wujud. Kuasa sering dilihat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan, bukan sebagai amanah untuk melayani masyarakat. Perbezaan pendapat sering dipengaruhi oleh iri hati atau persaingan, bukan pencarian kebenaran. Situasi begini seharusnyanya mengingatkan kita bahawa kekuatan masyarakat tidak hanya bergantung kepada sistem politik atau ekonomi. Ia bergantung kepada dua perkara yang lebih asas iaitu kejujuran hati dan keadilan dalam kuasa.

Tadabbur ayat ini saya ingin mengajak kita melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan. Pertama, melihat setiap tanggungjawab yang kita pegang sebagai amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah. Kedua, berusaha berlaku adil dalam keputusan walaupun ia tidak menguntungkan diri kita. Ketiga, mengawal penyakit hati seperti iri dan keinginan terhadap kuasa yang boleh merosakkan hubungan manusia dan akhirnya, sentiasa kembali kepada wahyu apabila kita berhadapan dengan kekeliruan.

Ayat 52 hingga 59 Surah An-Nisa’ mengingatkan bahawa masyarakat yang adil tidak lahir secara kebetulan. Ia lahir apabila manusia memahami bahawa kuasa adalah amanah, keadilan adalah kewajipan dan wahyu adalah rujukan tertinggi. Apabila tiga perkara ini dijaga, masyarakat boleh bergerak menuju keseimbangan dan mungkin di situlah rahsia sebenar pembinaan tamadun dalam Al-Quran bahawa ia bermula dengan hati manusia yang tunduk kepada Tuhan sebelum ia membentuk sistem di dunia.

Wednesday, March 11, 2026

Kuasa, Amanah dan Penyakit Hati


Hari ini kita bincangan bahagian surah An-Nisa’ yang sering menjadi perbincangan hangat dalam dunia moden. Ayat 34 mungkin antara yang paling banyak dipetik tak kira dari sudut untuk mempertahankan sesuatu, tidak kurang juga untuk menyerang Islam. Tetapi seperti banyak ayat dalam Al-Qur'an, masalahnya bukan pada ayat itu sendiri. Masalahnya sering datang apabila ayat itu dibaca tanpa memahami struktur besar surah dan roh yang dibina oleh wahyu.

Surah An-Nisa’ sejak awal sebenarnya sedang membina satu masyarakat yang adil bermula daripada perlindungan anak yatim, keadilan pusaka, maruah wanita, disiplin hubungan lelaki dan wanita, sehinggalah kepada struktur keluarga dan masyarakat. Ayat 34 hingga 37 berada dalam rangka besar itu. Ia bukan ayat tentang dominasi. Ia ayat tentang amanah dan tanggungjawab.

Ayat 34 merujuk kepada perbincangan mengenai kepimpinan sebagai amanah. Ia menyebutkan bahawa lelaki adalah qawwam terhadap wanita. Istilah qawwam sering diterjemahkan secara simplistik sebagai “pemimpin”. Tetapi para mufassir klasik seperti Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa maknanya lebih luas. Ia merujuk kepada seseorang yang memelihara, menjaga, bertanggungjawab dan menanggung beban. Maknanya, kepimpinan dalam ayat ini bukan sekadar hak. Ia adalah beban tanggungjawab.

Ayat ini sendiri memberikan dua sebab mengapa tanggungjawab itu diletakkan pada lelaki. Pertama kerana tanggungjawab nafkah dan kedua, struktur sosial pada waktu itu yang memerlukan lelaki memikul beban ekonomi keluarga atau dalam bahasa lain, kepimpinan ini datang bersama pengorbanan, bukan keistimewaan semata-mata.

Kemahiran mengurus konflik rumah tangga turut menjadi perhatian dalam ayat ini. Ia membicarakan tentang konflik dalam rumah tangga melalui konsep nusyuz yakni keadaan apabila hubungan suami isteri menjadi tegang atau rosak. Al-Qur’an tidak menafikan bahawa konflik adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Tetapi ia memberi pendekatan bertahap. Awalnya nasihat, kemudian penjarakan emosi sementara dan disusuli tindakan disiplin yang sangat terhad.

Para ulama seperti Al-Qurtubi menjelaskan bahawa langkah terakhir ini bukanlah ruang untuk keganasan rumah tangga bahkan dalam banyak tafsiran, ia dianggap sebagai tindakan simbolik yang tidak boleh mencederakan. Namun, ramai yang sering terlepas pandang tentang bagaimana ayat ini ditutup. 

“Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Seolah-olah Allah mengingatkan bahawa walaupun manusia mempunyai peranan dalam keluarga, kuasa sebenar tetap milik-Nya. Tiada manusia yang boleh menggunakan ayat ini untuk menjadi zalim.

Kebijaksanaan sosial islam memperkenalkan peranan mediator atau orang tengah. Ayat 35 membawa satu penyelesaian yang sangat matang apabila konflik menjadi serius iaitu dengan melantik seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak melihat rumah tangga sebagai ruang yang terasing daripada masyarakat. Sebaliknya, keluarga adalah institusi sosial yang boleh dibantu oleh komuniti.

Menurut tafsir Al-Tabari, sistem ini bertujuan memberi peluang kepada pasangan untuk memperbaiki keadaan sebelum sampai kepada perceraian. Menariknya ayat ini menyebut bahawa jika kedua-dua pihak benar-benar ingin memperbaiki hubungan, Allah akan memberi jalan perdamaian. Ini menunjukkan bahawa penyelesaian konflik bukan sekadar soal teknik. Ia soal niat hati.

Selepas berbicara tentang keluarga, ayat 36 tiba-tiba meluaskan skop kepada masyarakat. Ayat ini bermula dengan asas paling penting, “sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya.”

Kemudian Allah menyebut satu demi satu kumpulan manusia yang perlu dilayan dengan ihsan bermula dari ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran dekat, jiran jauh, sahabat, musafir dan mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita. Imam Al-Qurtubi melihat ayat ini sebagai salah satu peta akhlak sosial paling lengkap dalam Al-Qur’an. Tauhid bukan hanya pengakuan teologi. Tauhid mesti diterjemahkan dalam cara kita melayan manusia.

Penyakit hati yang merosakkan masyarakat diperjelaskan pula dalam ayat seterusnya. Ayat 37 menutup bahagian ini dengan menyebut satu penyakit jiwa yang sangat halus tetapi merosakkan iaitu bakhil. Al-Qur’an tidak hanya menyebut orang yang bakhil, tetapi juga mereka yang, mengajak orang lain menjadi bakhil dan menyembunyikan nikmat yang Allah berikan. Menurut tafsir Ibn Kathir, ini merujuk kepada budaya kedekutan yang merosakkan masyarakat. Apabila manusia tidak lagi suka memberi, masyarakat akan kehilangan empati. Hubungan sosial menjadi dingin dan kekayaan menjadi alat pemisah, bukan alat kebajikan.

Jika kita melihat ayat 34 hingga 37 sebagai satu unit, kita akan melihat satu pola yang sangat menarik. Ia bermula dengan kepimpinan dalam keluarga, kemudian bergerak kepada penyelesaian konflik, kemudian meluaskan kepada akhlak sosial, dan akhirnya menutup dengan penyakit hati yang merosakkan masyarakat. Seolah-olah Al-Qur’an sedang menunjukkan bahawa kerosakan masyarakat sering bermula dari dua tempat, pertama rumah yang tidak stabil dan kedua hati yang tidak bersih.

Apabila membaca ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita melihat dua kecenderungan yang ekstrem. Satu, ada yang menggunakan ayat ini untuk membenarkan dominasi lelaki tanpa tanggungjawab. Dua, ada pula yang menolak keseluruhan ayat ini kerana melihatnya sebagai tidak sesuai dengan nilai moden. Kedua-duanya sebenarnya gagal melihat roh ayat ini. Ayat ini bukan tentang dominasi. Ia tentang tanggungjawab kepimpinan yang berat dan jika kepimpinan itu disalahgunakan, ia sebenarnya bertentangan dengan keseluruhan nilai keadilan yang dibina oleh Surah An-Nisa’.

Tadabbur ayat ini mengajak kita khususnya saya melakukan beberapa perubahan penting dalam hidup. Pertama, fahamilah bahawa kepimpinan dalam keluarga atau masyarakat adalah amanah, bukan keistimewaan. Kedua, belajar mengurus konflik dengan hikmah, bukan dengan ego. Ketiga, membina hubungan sosial yang penuh empati terhadap orang di sekeliling kita dan keempat, melawan penyakit hati seperti bakhil dan kesombongan yang boleh merosakkan masyarakat secara perlahan.

Oleh yang demikian dapat saya simpulkan dalam ayat 34 hingga 37 Surah An-Nisa’ sebenarnya sedang mengajar satu pelajaran yang sangat mendalam. Kekuatan masyarakat tidak bermula di institusi besar. Ia bermula di rumah. Ia bermula di hati manusia. Apabila kepimpinan dalam keluarga dipenuhi amanah, apabila konflik diselesaikan dengan hikmah dan apabila hati manusia bebas daripada kedekutan dan kesombongan, masyarakat akan menjadi lebih adil dan lebih berperikemanusiaan dan mungkin di situlah rahsia Surah An-Nisa’. Ia tidak cuba membina tamadun dari atas. Ia membinanya dari dalam diri manusia.

 

Catatan: Tulisan ini adalah menurut kefahaman penulis merujuk kepada Al-Quran Surah An-Nisa’ Ayat 34–37.

Sunday, March 8, 2026

Perjanjian yang Berat dan Batas yang Menjaga


Ada ketika dalam Surah An-Nisa’ kita terasa Allah sedang membina sistem. Tetapi pada ayat 20 hingga 23, terasa seperti Allah sedang menjaga hati. Ia bukan lagi sekadar hukum pusaka atau struktur masyarakat. Ia tentang hubungan paling intim dalam hidup manusia iaitu perkahwinan dan bagaimana ia mesti dijaga dengan maruah dan batas.

Mahar bukan alat tekanan. Allah berfirman bahawa jika seorang lelaki ingin menggantikan isterinya dengan isteri yang lain, walaupun dia telah memberikan harta yang banyak (qintar), jangan diambil kembali sedikit pun daripadanya. Saya terdiam pada ayat ini kerana dalam konflik rumah tangga, berapa ramai yang menggunakan harta sebagai alat tekanan? Berapa ramai yang menceraikan dengan cara menyakitkan supaya mahar dipulangkan?

Para mufassir seperti Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini melarang mengambil kembali mahar melalui tuduhan palsu atau tekanan emosi. Mahar bukan bayaran yang boleh ditarik balik apabila cinta pudar. Ia hak yang telah sempurna diberikan. Allah bertanya dengan nada yang menggoncang jiwa, “Bagaimana kamu tergamak mengambilnya kembali, sedangkan kamu telah bergaul sebagai suami isteri dan mereka telah mengambil daripada kamu perjanjian yang kuat?”

Perkataan mithaqan ghaliza atau perjanjian yang berat itu membuat saya berfikir panjang. Istilah yang sama digunakan dalam Al-Qur'an ketika menggambarkan perjanjian dengan para nabi. Jika perkahwinan disebut dengan istilah yang sama, maka ia bukan hubungan ringan. Ia amanah yang besar di sisi Allah.

Budaya yang rosak mesti diputuskan. Ayat 22 melarang seorang lelaki mengahwini bekas isteri bapanya. Ini kerana dalam masyarakat Arab Jahiliah, wanita yang kematian suami boleh dianggap sebagai sebahagian daripada warisan keluarga. Tradisi ini dipotong secara tegas oleh wahyu. Menurut tafsir seperti yang dihuraikan oleh Al-Tabari, ayat ini bukan sekadar larangan individu. Ia pembetulan budaya. Islam tidak sekadar memperbaiki individu. Ia membersihkan sistem sosial yang menzalimi.

Batas itu pelindung, bukan penghalang. Ayat 23 memperincikan senarai wanita yang haram dinikahi bermula dari ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara, anak saudara, ibu susuan, saudara susuan, ibu mertua, menantu dan larangan menghimpunkan dua saudara perempuan sekali gus. Pada pandangan zahir, ia mungkin kelihatan sebagai sekatan. Tetapi apabila direnung, ia sebenarnya pelindung.

Menurut Al-Qurtubi, penetapan mahram ini bertujuan menjaga nasab, kestabilan keluarga dan kehormatan masyarakat. Tanpa batas ini, hubungan kekeluargaan akan menjadi kabur dan merosakkan struktur sosial. Batas bukan untuk menyempitkan kehidupan. Batas untuk melindungi maruah.

Jika saya melihat keseluruhan ayat 20 hingga 23, saya melihat satu benang merah yang jelas iaitu maruah. Mahar dijaga supaya wanita tidak dipermainkan. Perkahwinan disebut sebagai perjanjian berat supaya ia tidak dipandang remeh. Tradisi jahiliah dihapuskan supaya wanita tidak diwarisi seperti barang. Senarai mahram ditetapkan supaya hubungan kekeluargaan kekal suci. Surah An-Nisa’ benar-benar membina masyarakat yang beradab. Ia tidak membiarkan cinta bergerak tanpa sempadan. Ia tidak membiarkan perceraian menjadi ruang membalas dendam. Ia tidak membiarkan budaya lama menindas atas nama adat.

Saya belajar bahawa dalam Islam, cinta bukan sekadar perasaan. Ia tanggungjawab dan perceraian bukan kegagalan semata-mata. Ia ujian akhlak. Bagaimana kita berpisah menunjukkan siapa kita sebenarnya. Adakah kita berpisah dengan ihsan atau dengan dendam? Batas yang Allah tetapkan bukan untuk menghalang kebahagiaan. Ia untuk memastikan kebahagiaan tidak dibina di atas kerosakan. Akhirnya saya bertanya kepada diri sendiri, adakah saya melihat hukum-hakam ini sebagai beban atau sebagai perlindungan? Kerana di antara perjanjian yang berat dan batas yang jelas itu, Allah sebenarnya sedang menjaga sesuatu yang sangat halus iaitu maruah manusia.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah An-Nisa' ayat 20 hingga 23.

Wednesday, February 25, 2026

Hidup Ini Milik Siapa?


Hari ini saya mendengar kupasan dengan mata yang sangat berat dari teman di pejabat. Melalui perbincangan dan bacaan kami bersama hari ini, membawa kepada usaha untuk kami memahami bacaan surah Al-Mulk ayat 1 hingga 10 dari Al-Quran.

Adakalanya malam-malam tertentu, kita terasa kecil. Langit luas terbentang, bintang bertaburan tanpa suara dan kita sedar, hidup ini bukan tentang kita. Surah Al-Mulk dibuka dengan satu deklarasi yang meruntuhkan ego manusia, “Maha Suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan.” Segala kerajaan. Segala kuasa. Segala kendalian.

Kita mungkin memegang jawatan, mengurus organisasi, memimpin keluarga, mengatur program dan membina sistem. Namun ayat pertama ini mengingatkan, kita bukan pemilik. Kita hanya pemegang amanah sementara. Kuasa itu milik-Nya. Kita hanya diuji dengannya.

Ayat kedua lebih menggetarkan. Mati didahulukan, hidup kemudian. Allah menyebut mati dahulu, kemudian hidup, “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu…” Seolah-olah Allah mahu kita melihat hidup dari hujungnya. Kita akan kembali. Maka hidup ini bukan pentas untuk menunjuk, tetapi medan untuk diuji. Dan ukuran ujian itu bukan siapa paling berjaya. Bukan siapa paling dikenali. Bukan siapa paling banyak amalnya. Tetapi, “Siapa yang paling baik amalnya.”

Bukan akthar (paling banyak), tetapi ahsanu (paling baik). Kualiti hati. Keikhlasan niat.

Ketepatan adab. Kadang kita sibuk mengejar kuantiti dengan kerja banyak, program banyak, pencapaian banyak. Tetapi Surah Al-Mulk mengajar kita untuk bertanya, adakah amal itu benar-benar terbaik di sisi Allah?

Kemudian Allah mengajak kita memandang ke langit tanpa retak. “Tidak akan engkau lihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah itu sebarang ketidakseimbangan.” Allah cabar kita, pandang sekali lagi. Ulang pandang. Cari cacat. Tak akan jumpa. Langit itu tersusun. Bintang itu teratur. Orbit itu tepat. Tiada yang sia-sia. Jika langit yang luas itu Allah cipta tanpa cacat, mustahil hidup kita yang penuh ujian ini berlaku tanpa hikmah. Mungkin yang kita sangka kekacauan, sebenarnya sebahagian daripada susunan yang lebih besar.

Mungkin yang kita sangka kegagalan, sebenarnya latihan untuk mematangkan jiwa. Kita tidak nampak keseluruhan gambar. Tetapi Allah melihat dari awal hingga akhir.

Bintang pula bukan sekadar hiasan. Allah menyebut bahawa bintang bukan hanya hiasan langit, tetapi ada fungsi. Ada peranan. Begitu juga manusia. Kita bukan sekadar hadir untuk memenuhi ruang dunia. Kita bukan sekadar angka dalam statistik kehidupan. Setiap kita ada fungsi, sebagai hamba dan sebagai khalifah. Persoalannya, adakah kita sedang menjalankan fungsi itu, atau sekadar menjadi “hiasan” yang lalai?

Ayat 6 hingga 10 membawa kita kepada suasana yang jauh berbeza. Ia bukan lagi tentang langit yang indah, tetapi tentang manusia yang menyesal. Penghuni neraka mengaku, “Kalaulah dahulu kami mendengar dan berfikir…” Mereka bukan tidak diberi peringatan. Mereka bukan tidak pernah tahu. Mereka tidak mahu mendengar. Mereka tidak mahu berfikir.

Dua kegagalan besar manusia iaitu menutup telinga daripada kebenaran dan menutup akal daripada refleksi. Betapa ramai yang mendengar, tetapi tidak menyerap. Betapa ramai yang tahu, tetapi tidak berubah.

Surah Al-Mulk ayat 1–10 ini seperti satu perjalanan yang tersusun. Allah berkuasa. Hidup adalah ujian. Alam adalah bukti. Penolakan membawa penyesalan. Maka persoalannya bukan sekadar, “Adakah kita hidup?” Tetapi, “Adakah kita sedang lulus ujian hidup ini?”

Ketika kita membaca Surah Al-Mulk pada waktu malam, ia bukan sekadar rutin. Ia adalah peringatan bahawa kita ini kecil dan hidup ini sedang dinilai. Segala yang kita pegang hari ini boleh hilang. Segala yang kita banggakan boleh runtuh. Tetapi amal yang terbaik, yang ikhlas dan beradab, itulah yang akan kekal. Malam ini, ketika langit kembali sunyi, mungkin kita boleh bertanya perlahan dalam hati, di tangan siapa sebenarnya hidup ini?


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Al-Mulk ayat 1 hingga 10.

Monday, February 23, 2026

Menjadi Ulul Albab: Antara Amanah Ilmu dan Doa yang Sedar


Ramadan selalu dikaitkan dengan bacaan. Kita berlumba menghabiskan juzuk, menghadiri tadarus dan memperbanyakkan tilawah. Tetapi di tengah kesibukan membaca, Surah Ali ‘Imran ayat 187 hingga 194 mengajukan satu persoalan yang lebih dalam, apakah hubungan kita dengan wahyu sekadar bacaan atau benar-benar kesedaran?

Ayat 187 bermula dengan satu amanah yang berat. Allah menyebut tentang perjanjian yang diambil daripada Ahli Kitab supaya mereka menerangkan isi kitab dan tidak menyembunyikannya. Namun sebahagian mereka mencampakkan amanah itu ke belakang dan menukarnya dengan harga yang sedikit. Ini bukan sekadar kisah sejarah. Ia adalah peringatan kepada sesiapa yang diberi ilmu.

Ilmu bukan untuk disimpan demi kepentingan diri. Ilmu bukan untuk diputar agar selari dengan selera manusia. Ilmu adalah amanah yang perlu disampaikan dengan jujur. Dalam tafsir Ibn Kathir, ayat ini dikaitkan dengan sikap menyembunyikan kebenaran tentang kenabian Muhammad ï·º. Namun pengajarannya melangkaui konteks itu. Menyembunyikan kebenaran atau memanipulasinya demi keuntungan dunia adalah pengkhianatan terhadap wahyu.

Ayat 188 menambah satu lagi lapisan peringatan iaitu jangan suka dipuji atas perkara yang tidak kita lakukan. Jangan merasa aman hanya kerana imej kelihatan baik di mata manusia. Dalam zaman yang meraikan pencitraan dan persepsi, ayat ini terasa sangat dekat. Mudah untuk membina reputasi. Lebih sukar untuk menjaga integriti. Selepas teguran itu, nada ayat berubah dengan sangat indah.

Allah menyatakan bahawa milik-Nya kerajaan langit dan bumi, lalu mengajak manusia berfikir tentang penciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang. Di situ terdapat tanda-tanda bagi ulul albab yakni orang-orang yang berakal.

Siapakah mereka?

Mereka yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring. Mereka yang berfikir tentang penciptaan, lalu berkata, “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini sia-sia.”

Di sinilah Al-Quran menggabungkan dua kekuatan besar iaitu zikir dan fikir. Zikir tanpa fikir boleh menjadi rutin kosong. Fikir tanpa zikir boleh menjadi kesombongan akal. Ulul albab ialah mereka yang hatinya hidup dengan ingatan kepada Allah dan akalnya aktif merenung tanda-tanda kebesaran-Nya. Mereka melihat langit bukan sekadar pemandangan, tetapi sebagai dalil. Mereka melihat malam dan siang bukan sekadar perubahan waktu, tetapi sebagai ayat-ayat Tuhan yang berjalan. Dan daripada kesedaran itu lahir doa yang sangat matang.

Dalam ayat 192 hingga 194, doa mereka tidak berkisar tentang kemewahan dunia. Mereka memohon agar dijauhkan daripada azab neraka. Mereka memohon agar tidak dihina pada hari kiamat. Mereka memohon keampunan, penghapusan dosa dan dikumpulkan bersama orang-orang yang baik. Mereka memohon agar janji Allah ditunaikan.

Doa ini lahir daripada hati yang telah melihat kebesaran Allah dan menyedari kecilnya diri. Apabila seseorang benar-benar berfikir tentang ciptaan Allah, dia tidak menjadi angkuh. Dia menjadi tunduk. Apabila seseorang benar-benar memahami akhirat, dia tidak lagi terlalu sibuk dengan pujian manusia. Dia sibuk memastikan keselamatan dirinya di hadapan Tuhan. Surah Ali ‘Imran 187–194 mengajar kita bahawa perjalanan iman bukan hanya tentang mempertahankan prinsip, tetapi juga tentang membentuk jiwa yang sedar. Ilmu mesti disertai integriti. Tafakkur mesti melahirkan kerendahan hati. Dan kesedaran mesti diterjemahkan dalam doa yang jujur.

Mungkin inilah yang paling diperlukan dalam Ramadan ini. Bukan sekadar menjadi pembaca Al-Quran, tetapi menjadi ulul albab. Bukan sekadar menghafal ayat, tetapi membiarkan ayat membentuk cara kita melihat dunia. Kerana pada akhirnya, langit dan bumi bukan sekadar ciptaan. Ia adalah panggilan untuk kita berfikir. Dan setiap tafakkur yang jujur sepatutnya berakhir dengan doa.

Ilmu yang tidak jujur akan menjadi beban. Akal yang tidak tunduk akan menjadi sombong.

Tetapi hati yang berzikir dan berfikir akan melahirkan doa yang menyelamatkan. Dan mungkin itulah erti sebenar menjadi ulul albab. Keupayaan diri untuk melihat tanda-tanda Tuhan di sekeliling, lalu kembali kepada-Nya dengan hati yang lebih rendah dan lebih sedar.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Ali Imran ayat 187 hingga 194.

Sunday, February 22, 2026

Jangan Berpaling Setelah Mengenal Kebenaran


Ada satu nikmat yang sering kita anggap biasa iaitu nikmat mengenal kebenaran. Kita lahir dalam Islam, mendengar azan sejak kecil, membaca Al-Quran tanpa perlu mencarinya. Namun hakikatnya, mengenal kebenaran bukan perkara kecil. Ia adalah amanah besar.

Surah Ali ‘Imran ayat 84 hingga 91 membawa kita kepada satu peringatan penting yakni jangan berpaling setelah kebenaran itu jelas. Ayat 84 mengisytiharkan kesatuan risalah. Kita diperintahkan untuk beriman bukan sahaja kepada Nabi Muhammad ï·º, tetapi juga kepada Nabi Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan seluruh para nabi. Islam bukan agama baru yang memutuskan sejarah. Islam adalah kesinambungan tauhid sejak awal penciptaan manusia.

Ini memberi kita satu kefahaman yang mendalam bahawa kebenaran itu satu. Risalah itu satu. Tuhan itu satu.

Kemudian ayat 85 menegaskan bahawa sesiapa yang mencari agama selain Islam, ia tidak akan diterima daripadanya. Islam di sini bukan sekadar identiti atau nama. Islam bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Menurut tafsir Al-Tabari, ayat ini menjelaskan bahawa selepas diutusnya Nabi Muhammad ï·º, jalan keselamatan hanya melalui penerimaan terhadap risalah baginda. Ia bukan soal eksklusif atau kebanggaan, tetapi soal amanah terhadap kebenaran yang telah sampai. Namun ayat-ayat seterusnya menjadi lebih berat.

Allah menyebut tentang golongan yang kufur setelah beriman dan setelah datang kepada mereka bukti-bukti yang jelas. Ini bukan sekadar isu keluar agama secara zahir. Ia juga boleh berlaku secara perlahan dalam hati apabila seseorang telah memahami kebenaran, tetapi mula berkompromi sedikit demi sedikit.

Berpaling tidak selalu berlaku secara dramatik. Kadang-kadang ia bermula dengan kelonggaran kecil yang dibiarkan. Sedikit demi sedikit, prinsip yang dahulu dipertahankan menjadi longgar. Kebenaran yang dahulu diyakini menjadi pilihan. Agama yang dahulu diperjuangkan menjadi aksesori.

Ayat 86–87 menunjukkan betapa seriusnya pengkhianatan terhadap kebenaran setelah ia jelas. Mengetahui adalah amanah. Mengkhianati amanah itu membawa akibat besar. Namun di tengah ketegasan itu, Allah membuka ruang harapan.

Ayat 89 pula menyebutkan tentang pengecualian kepada mereka yang bertaubat dan memperbaiki diri. Inilah keseimbangan wahyu, tegas dalam prinsip, luas dalam rahmat. Selagi nyawa belum sampai ke halkum, pintu taubat belum tertutup.

Tetapi ayat 90–91 memberi amaran yang sangat keras kepada mereka yang terus-menerus menolak dan menangguhkan. Sekalipun mereka menebus diri dengan emas sepenuh bumi, ia tidak akan diterima. Di sinilah ilusi dunia runtuh.

Harta boleh membeli pengaruh. Harta boleh membeli penghormatan.

Harta boleh membeli reputasi. Tetapi harta tidak boleh membeli keselamatan akhirat. Ayat-ayat ini mengajar kita bahawa mengenal kebenaran adalah nikmat, tetapi memeliharanya adalah perjuangan. Iman bukan sekadar saat kita menemui cahaya. Iman adalah keputusan harian untuk terus berada dalam cahaya itu.

Mungkin persoalan paling penting untuk kita renungkan hari ini ialah adakah saya masih berdiri di atas kebenaran yang saya yakini dahulu? Atau saya mula menyesuaikan agama mengikut keselesaan hidup saya? Kerana berpaling tidak selalu bermula dengan penolakan besar. Ia sering bermula dengan kompromi kecil yang diulang.

Dan mungkin doa yang paling penting selepas mengenal kebenaran bukanlah doa untuk kejayaan, tetapi doa yang pernah diajarkan dalam surah yang sama yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, jangan Engkau palingkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami.”

Kebenaran bukan sekadar untuk diketahui. Kebenaran adalah untuk dipertahankan. Dan dunia, dengan segala kilauannya, tidak pernah mampu menggantikan satu perkara iaitu iman yang tetap teguh walaupun diuji.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Ali Imran ayat 84 hingga 91.

Wednesday, February 18, 2026

Ramadan dan Integriti Terhadap Wahyu


Ramadan sering kita sebut sebagai bulan Al-Quran. Kita memperbanyakkan bacaan, menghadiri tadarus, mendengar tazkirah dan berusaha mengkhatamkan mushaf sebelum Syawal menjelang. Namun di sebalik semua itu, ada satu persoalan yang jarang kita tanyakan kepada diri sendiri, “Adakah kita benar-benar jujur terhadap wahyu yang kita baca?”

Surah Ali ‘Imran ayat 78 hingga 83 memberi peringatan yang sangat halus tetapi tegas tentang integriti terhadap kitab Allah. Allah menyebut tentang golongan yang memutarbelitkan bacaan, mengubah makna atau menyandarkan sesuatu kepada Allah sedangkan ia bukan daripada-Nya. Teguran ini bukan sekadar kisah sejarah terhadap Ahli Kitab. Ia adalah cermin yang diletakkan di hadapan setiap generasi Muslim.

Ramadan bukan sekadar bulan memperbanyakkan bacaan, tetapi bulan membersihkan cara kita berinteraksi dengan wahyu. Kita mungkin tidak mengubah lafaz Al-Quran, tetapi adakah kita pernah memilih tafsiran yang menguntungkan diri? Adakah kita membaca ayat tentang sabar tetapi enggan sabar dalam konflik sendiri? Adakah kita membaca ayat tentang amanah tetapi masih mencari ruang untuk berkompromi dengan prinsip?

Integriti terhadap wahyu bermaksud kita tunduk kepada makna, bukan memaksa makna tunduk kepada kita.

Dalam tafsir Ibn Kathir, ayat 78 dijelaskan sebagai peringatan terhadap mereka yang sengaja mengubah makna kitab demi kepentingan dunia. Tafsir Al-Tabari pula menghuraikan bahawa para nabi tidak pernah mengajak manusia menyembah diri mereka, tetapi mengajak manusia menjadi rabbaniyyin yakni insan yang hidup berteraskan kitab dan mendidik diri dengannya.

Di sinilah Ramadan menjadi sangat penting. Ramadan bukan sekadar menguji fizikal dengan lapar dan dahaga. Ramadan menguji kejujuran hati. Ketika kita menahan diri daripada makan dan minum kerana Allah, sebenarnya kita sedang dilatih untuk tunduk. Namun tunduk yang sebenar bukan hanya pada jadual makan, tetapi pada kehendak Allah dalam setiap ayat-Nya.

Kita mungkin boleh menipu manusia. Kita boleh berlagak khusyuk. Kita boleh membaca dengan suara merdu. Tetapi wahyu tidak tunduk kepada lakonan. Wahyu menuntut penyerahan.

Ayat 83 dalam Surah Ali ‘Imran mengingatkan bahawa seluruh alam tunduk kepada Allah sama ada secara rela atau terpaksa. Matahari tidak pernah ingkar. Bulan tidak pernah melawan orbitnya. Hanya manusia yang sering memilih untuk berunding dengan perintah Tuhan.

Ramadan sepatutnya mengajar kita erti Islam yang sebenar iaitu penyerahan diri.

Penyerahan itu bermula dengan satu keberanian. Berani mengakui bahawa kadang-kadang kita membaca Al-Quran untuk menguatkan hujah sendiri, bukan untuk mengubah diri. Berani mengakui bahawa ada ayat yang kita suka dan ada ayat yang kita cuba elakkan. Berani mengakui bahawa ego sering lebih kuat daripada kefahaman.

Integriti terhadap wahyu bermaksud kita membiarkan ayat itu membentuk kita, walaupun ia mematahkan keselesaan kita. Kita menerima teguran sebelum ia menjadi hujah terhadap kita di akhirat.

Ramadan datang setiap tahun, tetapi tidak semua Ramadan melahirkan perubahan. Ada Ramadan yang hanya mengubah waktu makan. Ada Ramadan yang hanya menambah jadual ibadah. Dan ada Ramadan yang benar-benar mengubah cara kita melihat Al-Quran daripada sekadar bacaan kepada panduan hidup.

Mungkin inilah soalan paling penting untuk saya dan kita semua pada Ramadan ini, “Adakah saya membaca Al-Quran untuk menamatkan satu juzuk atau untuk memulakan satu perubahan?”

Kerana pada akhirnya, Ramadan bukan tentang berapa kali kita khatam. Tetapi tentang sejauh mana kita jujur terhadap wahyu yang kita pegang.

Jika Ramadan ini benar-benar bulan Al-Quran, maka biarlah ia juga menjadi bulan integrity terhadap ayat yang kita baca, terhadap amanah ilmu yang kita sampaikan dan terhadap Tuhan yang menurunkan wahyu itu.

Wahyu tidak pernah perlu disesuaikan dengan kita. Kitalah yang perlu diselaraskan dengan wahyu.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Ali Imran ayat 78 hingga 83.

Wednesday, June 9, 2021

HARI KESEMBILAN 'LOCKDOWN' 3.0


Tidak tahu apa yang mampu kita fikirkan apatah lagi untuk berbuat apabila berhadapan dengan 'lockdown' sekali lagi. Walaupun kali ini situasi sedikit berbeza dengan sektor ekonomi dibenarkan sedikit-sedikit untuk beroperasi, namun, kita sama-sama tahu keadaan ini sukar untuk ramai orang yang telah terjejas sejak bermulanya PKP awal tahun 2020 yang lalu.

Kuasa pemutus terletak pada tangan orang yang dirasakan mula mahu mengambil kesempatan kepada situasi pandemik ini. Kesempatan untuk berkuasa, membuat keputusan tanpa timbang tara serta mengutamakan apa yang terbaik untuk diri bukan untuk semua. Orang kata, kita tidak boleh memuaskan nafsu semua orang, tetapi kita sangat yakin dan percaya, ramai orang akan utamakan nafsu yang ada pada diri mereka dahulu. Kepimpinan adalah cerminan keamanan sesebuah organisasi dan bagi Malaysia, kepimpinan politik harus dipertanggungjawabkan. Walaupun telah hari yang kesembilan, permainan ini masih diteruskan. Ia seolah-olah sekumpulan orang kaya yang memerhati dari cermin gelas bersama juak-juaknya sedang menonton satu pertandingan perkelahian siapa yang mampu kekal hidup di gelanggang. Perkelahian terdiri daripada masyarakat yang menghadapi tekanan untuk menyara hidup seharian manakala yang menonton sedang enak berada di dalam bilik cermin berhawa dingin. Mereka mempercaturkan perkelahian dengan mempertaruhkan siapa menang dan siapa kalah.

Jika gambaran ini terbaca kasar, kasar lagi kehidupan yang sedang dilalui masyarakat secara keseluruhannya. Ramai yang mula gusar dengan keputusan-keputusan yang dibuat dan ramai juga yang cuba untuk mengendahkannya kerana telah hilang percaya. Usah dipersoal mengapa kerana krisi kepercayaan ini terhakis sebaik sahaja yang diberikan amanah, beralasan, berdolak-dalik bahkan berdusta. Khuatirkan persidangan parlimen akan menyebarkan virus yang hanya melibatkan mungkin kurang dari 250 di dalamnya yang sudah pasti boleh diaturkan dengan pelbagai keselamatan. Jika dibandingkan dengan msyarakat yang kelaparan, hilang punca pendapatan bahkan hilang harapan dan upaya untuk meneruskan kehidupan. Catatan ini bukan untuk mencari salah siapa namun, bertanggungjawablah kepada amanah yang telah Tuhan berikan kepada kalian.

Pada hari kalian menikmati pelbagai kelebihan dengan pendapatan puluhan ribu ringgit, rakyat inginkan sepuluh ringgit sebulan pun mungkin tidak kesampaian. Jika ada pun, ia datang bersekali dengan hutang yang sudah bertimbunan ditanggung menunggu hari untuk dilangsaikan jika ada harapan. Rakyat hanya memohon, biarlah ada dalam hati kecil pemimpin-pemimpin ini untuk membuat tindakan yang tepat. Tidak ambil gaji selama tiga bulan itu kami setuju, tetapi itu hanya menguntungkan kerajaan bukan rakyat. Gaji yang kalian potong bukan pun disalurkan terus kepada rakyat, balik semula masuk kekantung kerajaan dan kemudian digunakan kononnya kepada rakyat. Lebih utama pada kami adalah untuk melihat urus tadbir negara yang lebih bijak dan penuh dengan integriti. Buka parlimen agar setiap pertimbangan kerajaan ada perbincangan sihat. Kurangkan kos perbelanjaan negara dari perkara yang tidak perlu sebagaimana contohnya, gaji-gaji yang dibayar kepada mereka yang tidak mendatangkan manfaat ekonomi kepada negara.

Percepatkan vaksin. Kita perlu HERD imuniti lapan puluh peratus dicapai dengan cepat. Ekonomi akan mula hidup semula jika ini dapat dilakukan. Halang pergerakan tanpa kawalan, bukan halang pergerakan tanpa hala. Tutup industri yang menyumbang kepada gejala dan penyebaran virus, bukan tutup semua. Fokus kepada pengurangan jangan hanya ingin menjaga hati pihak-pihak berkepentingan. Negara ini negara demokrasi bukan negara kapitalis individualis. Bukan orang kaya yang memerintah tetapi rakyat yang memberi perintah. Jika benar mereka menyumbang kepada ekonomi negara, ingat, ekonomi bukan hanya nilai mata wang bahkan nyawa setiap yang hidup di dalamnya juga adalah ekonomi. Buatlah keputusan yang bijak!