Sunday, July 19, 2026

Sesungguhnya Allah Melihat: Mizan al-'Amal dan Rasa Malu yang Menghidupkan Jiwa



Kita sedang berada dalam dunia yang dipenuhi kamera, media sosial dan budaya mencari perhatian, manusia semakin berhati-hati terhadap pandangan manusia, tetapi semakin lupa kepada pandangan Allah. Ramai yang sanggup menjaga imej di hadapan khalayak, namun tidak lagi menjaga hati apabila bersendirian. Ukurannya bukan lagi benar atau salah, tetapi berapa banyak "likes", tontonan dan pujian yang diterima.

Hakikatnya, seorang Mukmin tidak hidup semata-mata kerana manusia melihatnya. Dia hidup dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa melihat setiap gerak-geri, kata-kata, bahkan lintasan hati yang paling tersembunyi. Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya, "Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat?" (Surah al-'Alaq: 14)

Walaupun ayat ini pendek, ia merupakan satu persoalan yang sangat besar. Allah tidak terus menghukum, sebaliknya bertanya, "Tidakkah dia mengetahui?" Seolah-olah Allah mengajak manusia bermuhasabah, bagaimana mungkin seseorang berani melakukan maksiat, menzalimi orang lain atau berbangga dengan dosa sedangkan dia mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat? Apa bila ada rasa diawasi Allah, maka akan melahirkan rasa malu dalam diri.

Islam membina akhlak bukan hanya melalui undang-undang, tetapi melalui kesedaran hati. Apabila seseorang benar-benar menyedari bahawa Allah melihatnya, dia akan memiliki sifat al-haya' atau rasa malu yang lahir daripada iman. Rasa malu inilah yang menghalang seseorang daripada melakukan perkara yang dilarang walaupun tiada seorang pun manusia menyaksikannya.

Dia tidak akan menipu walaupun tiada kamera. Dia tidak akan mengambil hak orang lain walaupun tiada saksi. Dia akan menjaga lisannya walaupun boleh sahaja membalas dengan kata-kata yang menyakitkan. Dia akan menjaga pandangannya walaupun bersendirian kerana dia sedar, ada satu pandangan yang tidak pernah terlepas daripada segala sesuatu iaitu pandangan Allah SWT. Ini adalah merupakan keupayaan diri kita dalam timbangan kawalan diri, Mizan al-'Amal.

Imam al-Ghazali melalui catatannya Mizan al-'Amal, menjelaskan bahawa nilai sesuatu amal bukan hanya diukur pada perbuatan yang zahir, tetapi juga pada keadaan hati yang melahirkannya. Amal yang ikhlas lahir daripada hati yang sentiasa sedar akan kehadiran Allah, bukan kerana takut kepada penilaian manusia. Seseorang mungkin kelihatan baik ketika berada di hadapan orang ramai. Namun, siapakah dirinya ketika tiada siapa melihat? Maka, di sinilah letaknya timbangan sebenar.

Mizan al-'Amal mendidik manusia membina kawalan diri (self-regulation), bukan semata-mata kawalan luaran. Akhlak yang sejati bukan bergantung kepada pengawasan manusia, tetapi kepada kesedaran bahawa Allah sentiasa mengetahui dan melihat. Inilah asas kepada integriti. Orang yang memiliki integriti tidak memerlukan pengawasan yang ketat kerana pengawas paling besar sentiasa hidup dalam jiwanya. Namun kini kita dapat menilai bahawa manusia hilang rasa malunya dan berkemungkinan ia disebabkan oleh faktor penyakit zaman digital.

Hari ini kita hidup dalam zaman yang menyaksikan perubahan besar terhadap makna malu. Dahulu, manusia malu melakukan dosa di hadapan orang ramai. Kini, ada yang sanggup merakam sendiri dosa mereka dan menyiarkannya untuk mendapatkan perhatian. Budaya populariti menyebabkan sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi tular. Maruah diri dijual untuk tontonan. Sensasi mengatasi kesopanan. Pujian manusia lebih dicari daripada reda Allah.

Fenomena ini sebenarnya menunjukkan bahawa rasa malu semakin terhakis daripada jiwa. Rasulullah SAW bersabda, "Malu itu sebahagian daripada iman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa malu bukan kelemahan, tetapi tanda hidupnya iman. Apabila rasa malu semakin hilang, iman juga semakin lemah. Al-Haya' adalah ibu kepada akhlak. Turut diperjelaskan dalam ucapan dasar "Mizan al-'Amal: Jalan Kebangkitan Umat & Peranan WADAH Selangor", salah satu daripada Ummahat al-Fadhail yang dihuraikan ialah al-'Iffah, iaitu kesantunan, kawalan diri dan maruah. Ucapan tersebut menegaskan bahawa masyarakat moden perlu mengembalikan pendidikan 'iffah, termasuk menanam rasa malu yang mulia, mengawal emosi dan mengembalikan adab dalam tutur kata serta media digital.

Ini sangat bertepatan dengan roh Surah al-'Alaq ayat 14. Apabila manusia sedar bahawa Allah melihat, dia akan menjaga maruah dirinya. Apabila maruah dipelihara, lahirlah masyarakat yang beradab. Apabila masyarakat beradab, lahirlah tamadun yang sejahtera. 

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah pernah mengungkapkan, "Apabila rasa malu mati, hati juga akan mati." Ungkapan ini menggambarkan hubungan yang sangat rapat antara hati dan sifat malu. Hati yang hidup akan mudah tersentuh apabila melakukan dosa. Hati yang hidup akan segera memohon ampun apabila tersilap. Hati yang hidup akan merasa tidak tenang apabila melanggar batas Allah. Tetapi apabila rasa malu sudah hilang, dosa tidak lagi dirasakan sebagai dosa. Maksiat menjadi kebiasaan. Kezaliman dianggap perkara biasa. Bahkan manusia mula berbangga dengan perkara yang sepatutnya disembunyikan. Inilah kematian hati yang paling membimbangkan.

Sebagai sebuah gerakan dakwah dan masyarakat madani, WADAH Selangor menyeru agar budaya al-haya' dihidupkan semula dalam setiap lapisan masyarakat. Rasa malu perlu dipupuk sejak dalam keluarga. Rasa malu perlu dibina di sekolah dan institusi pendidikan. Rasa malu perlu menjadi etika dalam organisasi. Rasa malu juga mesti menjadi panduan ketika menggunakan media sosial.

Kita tidak boleh membiarkan ruang digital menjadi tempat hilangnya adab. Setiap tulisan, gambar, video dan komen yang dikongsi akan tetap berada dalam Mizan al-'Amal. Mungkin manusia terlupa, tetapi Allah tidak pernah terlupa. Surah al-'Alaq ayat 14 mengingatkan kita bahawa kehidupan ini bukan sekadar berada di bawah pemerhatian manusia, tetapi sentiasa berada dalam pengetahuan Allah SWT. Kesedaran ini melahirkan rasa malu yang membina integriti. Integriti melahirkan akhlak. Akhlak melahirkan masyarakat yang beradab dan masyarakat yang beradab akan menjadi asas kepada kebangkitan umat.

Marilah kita menghidupkan kembali budaya al-haya' dalam kehidupan seharian. Jagalah maruah ketika bersendirian sebagaimana kita menjaganya di hadapan manusia. Gunakan media sosial dengan adab, kerana setiap perkongsian adalah sebahagian daripada amal yang akan ditimbang. Neraca Mizan al-'Amal menjelaskan, bukan banyaknya mata manusia yang melihat kita menjadi ukuran, tetapi sejauh mana hati kita sentiasa hidup dengan kesedaran bahawa Allah sentiasa melihat.

No comments: