“Allah lebih mengutamakan pembinaan manusia daripada penaklukan bumi.”
Surah Al-Ma’idah merupakan antara surah yang banyak membicarakan tentang amanah, perjanjian dan tanggungjawab manusia terhadap Allah. Selepas Allah menjelaskan pada ayat 14-17 bagaimana sebahagian Ahli Kitab menyembunyikan kebenaran dan bagaimana al-Quran diturunkan sebagai cahaya yang membimbing manusia, ayat 18-26 membawa kita kepada satu persoalan yang lebih mendasar, “Apakah yang menyebabkan sesuatu umat kehilangan kemuliaan walaupun pernah menjadi umat pilihan?”
Jawapannya bukan kerana mereka kekurangan nikmat, bukan kerana mereka tiada nabi dan bukan juga kerana musuh mereka terlalu kuat. Sebaliknya, mereka kehilangan kemuliaan apabila hati mereka dipenuhi rasa selesa, ketakutan dan keengganan untuk memikul amanah. Allah memulakan perbahasan ini dengan membetulkan satu dakwaan yang sangat besar. Orang Yahudi dan Nasrani berkata bahawa mereka ialah “anak-anak Allah” dan “orang-orang yang dikasihi-Nya”. Dakwaan ini segera dijawab oleh Allah, “Katakanlah (wahai Muhammad): Maka mengapa Dia menyeksa kamu kerana dosa-dosa kamu? Bahkan kamu hanyalah manusia daripada makhluk yang diciptakan-Nya…” (Al-Ma’idah: 18)
Ayat ini meletakkan satu prinsip yang menjadi asas kepada seluruh Islam bahawa kemuliaan tidak diwarisi, tetapi diusahakan. Tiada bangsa, keturunan atau kelompok yang memiliki kedudukan istimewa secara automatik di sisi Allah. Sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, ukuran sebenar kemuliaan ialah takwa.
HAMKA mengingatkan bahawa sesuatu umat sering jatuh apabila mereka mula hidup dengan nostalgia sejarah, seolah-olah kegemilangan nenek moyang sudah cukup untuk menjamin masa depan. Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa Islam menghapuskan semua bentuk “keistimewaan rohani” yang berasaskan keturunan. Perbezaan kita sebagai manusia hanyalah deitentukan berdasarkan iman dan amal.
Prinsip ini bukan sekadar teguran kepada Ahli Kitab. Ia juga menjadi cermin kepada umat Islam hari ini. Kita tidak akan dimuliakan hanya kerana berbangga sebagai umat Nabi Muhammad SAW, jika akhlak, amanah dan ketaatan tidak menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Selepas membetulkan dakwaan tersebut, Allah membawa kita kepada kisah Nabi Musa AS bersama Bani Israil. Menariknya, sebelum Nabi Musa memerintahkan kaumnya memasuki bumi suci, baginda terlebih dahulu mengingatkan mereka tentang nikmat Allah. “Wahai kaumku! Ingatlah nikmat Allah kepada kamu…” (Al-Ma’idah: 20)
Inilah kaedah tarbiah al-Quran. Allah tidak memulakan perubahan dengan arahan semata-mata. Allah memulakannya dengan membina kesedaran. Nabi Musa mengingatkan bahawa Allah telah mengangkat para nabi daripada kalangan mereka, membebaskan mereka daripada kezaliman Firaun, mengurniakan pelbagai mukjizat dan memberikan nikmat yang tidak pernah diberikan kepada umat lain pada zaman itu. Selepas kesedaran itu dibina, barulah datang arahan, “Masuklah ke bumi suci yang telah Allah tetapkan untuk kamu.” (Al-Ma’idah: 21)
Kita bersama dapat memahami di sini bahawa nikmat bukan sekadar anugerah, tetapi amanah. Allah tidak mengurniakan nikmat untuk dibanggakan, sebaliknya untuk melahirkan keberanian memikul tanggungjawab. Namun apabila arahan itu datang, majoriti Bani Israil hanya melihat kekuatan musuh. “Sesungguhnya di dalam negeri itu terdapat kaum yang gagah perkasa…” (Al-Ma’idah: 22)
Mereka melihat benteng. Mereka melihat tentera. Mereka melihat risiko. Mereka tidak lagi melihat janji Allah dan di sinilah al-Quran memperlihatkan perbezaan antara pandangan mata dan pandangan iman. Ibn Kathir menjelaskan bahawa masalah sebenar bukanlah kekuatan musuh, tetapi kelemahan jiwa Bani Israil. HAMKA pula membuat pemerhatian yang sangat mendalam bahawa mereka telah keluar dari Mesir, tetapi “Mesir belum keluar daripada jiwa mereka”. Firaun telah mati, namun mentaliti hamba masih menguasai pemikiran mereka. Bukankah keadaan ini sering berlaku dalam kehidupan kita?
Ramai yang mempunyai ilmu tetapi takut bertindak. Ramai yang mempunyai peluang tetapi takut mencuba. Ramai yang bercita-cita membawa perubahan tetapi menunggu orang lain memulakannya. Ketakutan akhirnya menjadi alasan untuk tidak melaksanakan amanah. Namun dalam lautan manusia yang takut itu, Allah menonjolkan dua orang lelaki yang luar biasa. Al-Quran tidak menyebut nama mereka. Sebaliknya Allah memperkenalkan mereka melalui sifat mereka, “Berkatalah dua orang lelaki yang dikurniakan nikmat oleh Allah…” (Al-Ma’idah: 23)
Mereka berkata, “Masuklah melalui pintu gerbang itu. Apabila kamu memasukinya, pasti kamu akan menang. Dan bertawakallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
Majoriti melihat musuh. Dua orang ini melihat Allah. Majoriti bergantung kepada kekuatan manusia. Dua orang ini bergantung kepada janji Tuhan. Nouman Ali Khan menjelaskan bahawa al-Quran sengaja tidak menyebut nama mereka kerana yang ingin dibina ialah sifat, bukan kultus individu. Sejarah Islam memberikan gambaran, Allah tidak pernah memerlukan majoriti untuk memulakan perubahan. Allah hanya memerlukan beberapa hati yang benar-benar yakin kepada-Nya.
Malangnya, majoriti tetap memilih ketakutan. Mereka berkata kepada Nabi Musa, “Pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya kami tetap duduk di sini.” (Al-Ma’idah: 24)
Inilah kemuncak kejatuhan mereka. Mereka bukan lagi sekadar takut, tetapi enggan memikul amanah. Mereka menyerahkan tanggungjawab kepada nabi mereka, seolah-olah perjuangan agama hanyalah tugas para nabi dan orang-orang tertentu. Bukankah ungkapan ini masih kedengaran dalam pelbagai bentuk pada hari ini? “Biarlah ustaz yang buat.” “Biarlah NGO yang urus.” “Biarlah orang lain memimpin.” Sedar atau tidak, Islam sebenarnya mengajar kita bahawa setiap mukmin mempunyai bahagian masing-masing dalam perjuangan menegakkan agama.
Apabila melihat keadaan kaumnya, Nabi Musa tidak berputus asa. Baginda berdoa kepada Allah dengan penuh adab, “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku tidak berkuasa melainkan terhadap diriku sendiri dan saudaraku…” (Al-Ma’idah: 25)
Doa ini mengajar bahawa seorang pendakwah hanya bertanggungjawab menyampaikan, memimpin dan berusaha. Hidayah tetap milik Allah. Akhirnya Allah memutuskan bahawa bumi suci itu diharamkan daripada mereka selama empat puluh tahun. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti hukuman. Namun apabila diteliti, ia sebenarnya adalah tarbiah. Allah sedang membina generasi baharu. Generasi yang lahir tanpa mentaliti hamba. Generasi yang dibesarkan dengan tawakal. Generasi yang akhirnya dipimpin oleh Nabi Yusha’ bin Nun AS untuk memasuki bumi yang dijanjikan. Ayat inilah tercatatnya pengajaran terbesar Surah Al-Ma’idah ayat 18-26.
Allah tidak terburu-buru memberikan kemenangan. Allah lebih mengutamakan pembinaan manusia yang layak menerima kemenangan dan dalam konteks umat Islam hari ini, sama ada di Malaysia, Palestin atau di mana-mana sahaja, pengajaran ini sangat relevan. Kita sering berbicara tentang hak, kuasa dan kemenangan. Namun al-Quran mengingatkan bahawa semua itu tidak akan kekal tanpa iman, syukur, keberanian dan amanah.
Sesebuah masyarakat tidak akan bangkit hanya kerana memiliki sejarah yang hebat. Ia bangkit apabila melahirkan generasi yang berani memikul tanggungjawab. Sesebuah negara tidak menjadi mulia hanya kerana mempertahankan hak. Ia menjadi mulia apabila hak itu diiringi dengan keadilan, integriti dan ketakwaan, begitu juga sesebuah gerakan dakwah tidak akan berjaya hanya kerana mempunyai program yang banyak. Ia berjaya apabila berjaya membentuk manusia yang berkata, sebagaimana dua orang mukmin dalam kisah ini, “Bertawakallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
Akhirnya, Surah Al-Ma’idah ayat 18-26 mengajak kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sedang menjadi generasi yang hanya bercakap tentang hak, atau generasi yang bersedia memikul amanah? Apabila kita memahami sunnatullah, ia mengajarkan kita bahawa Allah tidak sekadar mencari manusia yang ingin memiliki bumi. Allah mencari manusia yang layak menjadi khalifah di atasnya.

No comments:
Post a Comment