Thursday, July 30, 2026

Asy-Syifā’: Menghidupkan Jiwa dan Mencari Jalan Menuju Allah



Tadabbur Surah al-Ma’idah Ayat 32-36

“Al-Quran tidak sekadar melarang manusia daripada melakukan kejahatan. Al-Quran membimbing manusia menjadi penyebab kepada kehidupan.”

Selepas menceritakan pembunuhan pertama dalam sejarah manusia melalui kisah dua orang anak Adam, Surah al-Ma’idah tidak berhenti pada kisah tersebut. Allah mengangkat tragedi itu menjadi satu pengajaran yang jauh lebih besar daripada sebuah pembunuhan dalam sebuah keluarga, Allah membina satu falsafah tentang nilai kehidupan manusia. Firman Allah, “Oleh sebab itu, Kami tetapkan ke atas Bani Israil bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia. Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Ayat ini bermula dengan ungkapan “Min ajli dhalik” yang bermaksud “Disebabkan peristiwa itu.” Allah menghubungkan secara langsung kisah pembunuhan pertama dengan lahirnya satu prinsip agung iaitulah nyawa manusia adalah suci dan mesti dipelihara.

Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan sebagai peringatan kepada Bani Israil agar mereka tidak memandang ringan jenayah pembunuhan. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir pula menegaskan bahawa walaupun hukum ini disebut dalam konteks Bani Israil, prinsip memuliakan nyawa merupakan maqasid syariah yang turut ditegaskan dalam syariat Islam. Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran melihat ayat ini sebagai deklarasi bahawa tamadun Islam dibina atas penghormatan terhadap kehidupan, bukan budaya keganasan atau dendam.

Menariknya, Allah tidak menggunakan perkataan “orang mukmin” atau “orang Islam”, tetapi menggunakan perkataan “nafs” (jiwa). Ini menunjukkan bahawa setiap nyawa mempunyai kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah. Kehidupan manusia bukan bernilai kerana bangsa, warna kulit atau kedudukannya, tetapi kerana ia adalah ciptaan Allah.

Namun ayat ini tidak berhenti pada larangan membunuh. Allah menambah satu lagi dimensi yang sering dilupakan, “Dan sesiapa yang menghidupkan satu jiwa, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seluruh manusia.”

Inilah sisi rahmat al-Quran. Islam bukan sekadar agama yang mencegah kematian. Islam ialah agama yang menghidupkan kehidupan. Menghidupkan jiwa bukan hanya tugas doktor yang menyelamatkan pesakit di hospital. Seorang guru yang mengembalikan semangat belajar kepada muridnya, seorang ibu yang menghidupkan iman anak-anaknya, seorang pendakwah yang membimbing manusia kembali kepada Allah, bahkan seorang pekerja belia yang menyelamatkan remaja daripada keruntuhan akhlak juga sedang mengambil bahagian dalam menghidupkan satu jiwa.

Maka, saya melihat di sini, ayat ini sangat dekat dengan falsafah pembangunan belia. Tugas seorang pendidik, murabbi atau pekerja belia bukan sekadar mengurus aktiviti atau memenuhi jadual program. Tugas mereka ialah menghidupkan jiwa manusia. Apabila jiwa hidup dengan iman, ilmu dan harapan, masyarakat juga akan hidup.

Namun kehidupan yang dimuliakan itu perlu dipelihara. Justeru Allah menyambung dengan ayat 33 dan 34 yang menjelaskan hukuman terhadap mereka yang melakukan kerosakan besar di muka bumi. Sekilas pandang, ayat ini kelihatan tegas. Tetapi apabila dibaca bersama ayat sebelumnya, kita memahami bahawa ketegasan tersebut lahir daripada kasih sayang terhadap masyarakat.

Kasih sayang yang membiarkan kezaliman berleluasa bukanlah rahmat yang sebenar. Sebaliknya, keadilan yang melindungi nyawa manusia juga merupakan satu bentuk rahmat Allah. Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa hukuman yang disebut dalam ayat ini berkaitan dengan jenayah hirabah, iaitu tindakan seperti rompakan bersenjata, pembunuhan dan keganasan yang mengancam keselamatan awam. Tujuan hukuman bukan membalas dendam, tetapi memelihara keamanan masyarakat.

Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa Islam memandang keamanan sebagai syarat asas kepada pembinaan tamadun. Apabila masyarakat hidup dalam ketakutan akibat keganasan dan kerosakan, manusia tidak lagi mampu menunaikan amanah sebagai khalifah Allah. Namun di tengah-tengah ketegasan itu, Allah membuka pintu Rahmat, “Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu berjaya menangkap mereka. Maka ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ma’idah: 34)

Inilah keseimbangan syariat. Allah tegas terhadap jenayah, tetapi tidak pernah menutup pintu taubat. Tujuan syariat bukan memperbanyakkan hukuman. Tujuannya ialah mengembalikan manusia kepada jalan Allah dan melindungi masyarakat daripada kerosakan. Kemudian datanglah ayat yang saya rasakan sebagai antara ayat paling indah dalam Surah al-Ma’idah, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah pada jalan-Nya agar kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 35)

Saya melihat ayat ini sebagai jawapan Allah kepada semua penyakit hati yang telah dibincangkan sejak ayat 18. Apakah penawar kepada rasa diri sudah mulia? Taqwa. Apakah penawar kepada ketakutan memikul amanah? Mendekatkan diri kepada Allah. Apakah penawar kepada hasad dan hawa nafsu? Mujahadah dan jihad pada jalan Allah.

Ibn Kathir mentafsirkan wasilah sebagai setiap amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menjelaskan bahawa wasilah merangkumi seluruh bentuk ketaatan dan amal soleh yang dilakukan dengan ikhlas. Namun apabila kita merenung ayat ini bersama perjalanan Surah al-Ma’idah, saya melihat satu keluasan makna yang sangat menyentuh.

Wasilah bukan hanya solat, puasa atau zikir. Memaafkan manusia kerana Allah ialah wasilah. Menjaga ibu bapa ialah wasilah. Mendidik anak-anak ialah wasilah. Menyelamatkan seorang remaja daripada kehancuran akhlak ialah wasilah. Membina masyarakat yang lebih adil juga ialah wasilah. Setiap amal soleh yang mendekatkan manusia kepada rahmat Allah sebenarnya sedang mendekatkan pelakunya kepada Allah.

Dr. Siddiq Fadzil sering mengingatkan bahawa pembangunan insan dalam Islam tidak pernah terpisah daripada pembangunan masyarakat. Manusia yang dekat dengan Allah akan terdorong untuk memuliakan manusia, kerana kedua-duanya lahir daripada kesedaran bahawa setiap insan memiliki karamah insaniah, iaitu kemuliaan yang dikurniakan Allah. Akhirnya Allah mengingatkan bahawa semua kekayaan dunia tidak akan mampu menjadi tebusan pada hari akhirat. “Sekiranya mereka memiliki segala yang ada di bumi dan sebanyak itu lagi bersamanya untuk dijadikan tebusan daripada azab pada hari kiamat, nescaya ia tidak akan diterima daripada mereka.” (Surah al-Ma’idah: 36)

Ayat ini mengingatkan bahawa hubungan dengan Allah tidak pernah boleh dibeli dengan harta bahkan yang menjadi bekal hanyalah iman, taqwa dan amal yang ikhlas. Surah al-Ma’idah ayat 32-36 akhirnya membawa kita kepada satu kesimpulan yang sangat indah. Allah memuliakan kehidupan. Allah melindungi kehidupan melalui keadilan dan Allah menunjukkan jalan untuk menghidupkan kehidupan itu melalui taqwa, wasilah dan jihad di jalan-Nya. Nilai bagi seorang pendidik, murabbi atau pekerja belia, ayat-ayat ini memberikan satu misi yang sangat besar yang bukan sekadar mengurus manusia, bukan sekadar membimbing manusia tetapi menghidupkan jiwa manusia, memelihara kemuliaannya, dan menjadikan setiap usaha sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana akhirnya, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila manusia memuji usaha kita, tetapi apabila Allah menerima amal yang kita persembahkan kepada-Nya dan menjadikan usaha itu sebab lahirnya kehidupan pada hati-hati yang hampir mati.

No comments: