Friday, July 10, 2026

Ukhuwah Lebih Mahal Daripada Ego: Menimbang Persaudaraan dengan Mizan al-'Amal



Dunia kini semakin bising. Bising dengan perdebatan, manusia semakin mudah mencari sebab untuk berpecah daripada mencari jalan untuk bersatu. Perbezaan pandangan yang dahulunya menjadi ruang untuk saling melengkapi kini sering bertukar menjadi permusuhan. Media sosial pula menjadikan setiap orang merasa dirinya paling benar, sehingga kemenangan dalam berhujah lebih diutamakan daripada kemenangan menjaga hati seorang saudara.

Hakikatnya, Islam tidak dibina di atas kemenangan ego, tetapi di atas kekuatan ukhuwah. Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat: 10)

Ayat ini begitu ringkas tetapi sarat dengan makna. Allah tidak mengatakan orang-orang beriman sepatutnya bersaudara, tetapi "orang-orang yang beriman itu bersaudara." Ertinya, persaudaraan bukan pilihan, tetapi sebahagian daripada identiti seorang Mukmin. Ukhuwah bukan sekadar perasaan.

Ramai menyangka ukhuwah hanya bermaksud saling bertegur sapa, menghadiri majlis bersama atau berkongsi minat yang sama. Sedangkan ukhuwah menurut Islam jauh lebih besar daripada itu. Ukhuwah ialah kesediaan untuk memaafkan, keberanian untuk merendahkan ego, kesanggupan mendengar sebelum menghukum atau keikhlasan untuk melihat saudara kita berjaya tanpa rasa iri hati.

Persaudaraan tidak diuji ketika semuanya berjalan baik. Ia diuji apabila berlaku salah faham, perbezaan pandangan dan konflik kepentingan maka di sinilah nilai sebenar ukhuwah terserlah apabila dengan bimbingan Mizan al-'Amal, kita mampu menimbang persaudaraan mengatasi ego.

Imam al-Ghazali dalam Mizan al-'Amal mengingatkan bahawa setiap amal perlu ditimbang dengan neraca wahyu, akhlak dan maslahat, bukan sekadar dengan emosi atau kepentingan diri. Amal yang baik bukan sahaja dinilai pada zahirnya, tetapi juga pada kesannya terhadap hubungan manusia dan pembinaan masyarakat.

Kadangkala kita terlalu ingin membuktikan bahawa kita betul sehingga sanggup merosakkan sebuah persaudaraan. Kita menang hujah. Tetapi kita kehilangan hati seorang sahabat. Kita mempertahankan pendapat. Tetapi kita meruntuhkan jambatan kepercayaan tetapi dalam neraca Mizan al-'Amal, kemenangan seperti ini sebenarnya adalah satu kerugian. Persaudaraan yang rosak kerana ego menjadikan amal kehilangan keberkatannya. Mungkin kita patut mencari kemenangan yang tidak kelihatan.

Rasulullah SAW bersabda, "Tidak halal bagi seorang Muslim memulau saudaranya lebih daripada tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam sangat mengambil berat hubungan sesama Muslim. Bahkan memanjangkan permusuhan tanpa alasan syarie dianggap sebagai satu kesalahan. Kadangkala kemenangan terbesar bukanlah apabila orang lain mengakui kita benar. Sebaliknya, kemenangan sebenar ialah apabila kita mampu berkata, "Tidak mengapa, demi ukhuwah, aku memilih untuk mengalah." Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah kerana Allah ialah kemenangan akhlak sebagaimana yang dicontohkan oleh Umar al-Khattab dan muhasabah dirinya.

Sayidina Umar al-Khattab RA pernah berpesan, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab." Pesanan ini mengingatkan bahawa sebelum kita sibuk mencari kesalahan orang lain, kita perlu terlebih dahulu menilai diri sendiri. Adakah selama ini kita lebih banyak mendengar atau lebih banyak menghukum? Adakah kita benar-benar mencari kebenaran, atau sekadar mahu mempertahankan ego? Muhasabah inilah yang menjadi asas kepada persaudaraan yang matang. Orang yang sentiasa menilai dirinya sendiri akan lebih mudah memaafkan kelemahan orang lain. Tambahan lagi apabila kita perlu menghadapi cabaran ukhuwah pada zaman digital.

Ucapan dasar "Mizan al-'Amal: Jalan Kebangkitan Umat & Peranan WADAH Selangor" mengingatkan bahawa antara cabaran besar masyarakat hari ini ialah hilangnya keseimbangan antara ilmu, akhlak dan tindakan. Dunia digital mempercepat penyebaran maklumat, tetapi tidak semestinya mempercepat penyebaran hikmah.

Hari ini, satu kenyataan yang dipotong konteksnya boleh memutuskan persahabatan. Satu hantaran di media sosial boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan. Satu komen yang ditulis tanpa berfikir boleh melukakan hati ramai orang. Oleh itu, ukhuwah memerlukan lebih banyak hikmah daripada reaksi. Kita perlu belajar untuk menyemak sebelum berkongsi, mendengar sebelum menjawab dan berdialog sebelum menghukum.

Sebagai gerakan dakwah dan masyarakat madani, WADAH Selangor tidak boleh sekadar menyeru kepada ukhuwah melalui slogan. Persaudaraan mesti diterjemahkan dalam budaya organisasi dan kehidupan bermasyarakat. Ini bermakna, mengutamakan musyawarah daripada pertelingkahan, membina budaya saling menasihati dengan kasih sayang, menerima perbezaan pandangan dalam perkara ijtihad, menghindari budaya mengaibkan sesama sendiri dan sentiasa meletakkan maslahat umat mengatasi kepentingan individu. Apabila ukhuwah dipelihara, masyarakat menjadi lebih kukuh. Apabila ego menguasai, masyarakat menjadi rapuh walaupun kelihatan kuat pada zahirnya.

Dunia hari ini tidak kekurangan orang yang pandai berhujah. Dunia juga tidak kekurangan mereka yang mahu menjadi juara dalam setiap perdebatan. Namun, dunia amat memerlukan lebih ramai manusia yang sanggup menjadi pendamai seperti dalam Mizan al-'Amal, persaudaraan bukan sekadar hubungan sesama manusia, tetapi satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Setiap kata-kata, tindakan dan keputusan akan ditimbang, bukan hanya berdasarkan siapa yang menang, tetapi sejauh mana ia membawa rahmat kepada manusia.

Marilah kita memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih mulia iaitu menjaga ukhuwah mengatasi ego, mendahulukan perdamaian daripada pertelingkahan dan membina masyarakat yang berasaskan kasih sayang, hikmah serta keadilan kerana akhirnya, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya mengalahkan saudara kita, tetapi apabila kita berjaya mengalahkan ego dalam diri sendiri.

No comments: