Friday, May 29, 2026

Mizan al-‘Amal: Apabila Allah Menimbang Nilai, Bukan Sekadar Bilangan



Hidup yang kita diami hari ini, kita dapat melihat ramai manusia sering menilai kejayaan melalui angka. Berapa banyak program yang dianjurkan, berapa ramai yang hadir, berapa besar sumbangan yang diberikan atau berapa banyak amal yang berjaya dilakukan. Namun, apabila kita meneliti petunjuk al-Quran, kita akan mendapati bahawa penilaian Allah tidak semestinya sama dengan penilaian manusia.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A‘raf ayat 8 hingga 9, "Dan timbangan pada hari itu adalah benar. Maka sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami."

Ayat ini membawa kita kepada satu hakikat yang sangat penting. Pada Hari Akhirat nanti, bukan semua amal akan dinilai berdasarkan jumlahnya semata-mata. Sebaliknya, setiap amalan akan melalui proses penimbangan yang adil dan tepat oleh Allah SWT. Timbangan tersebut dikenali sebagai Mizan al-‘Amal atau neraca yang menimbang nilai sebenar amalan manusia.

Ramai yang mungkin menyangka bahawa kejayaan di sisi Allah hanya bergantung kepada banyaknya amal yang dilakukan. Namun, al-Quran mengajar bahawa yang menentukan berat atau ringannya timbangan bukan sekadar kuantiti amal, tetapi juga kualiti yang terkandung di dalamnya. Amal yang sedikit tetapi dilakukan dengan hati yang ikhlas boleh menjadi sangat berat di sisi Allah. Sebaliknya, amal yang besar, hebat dan dipuji manusia boleh menjadi ringan jika dicemari riya’, ujub atau keinginan untuk mendapatkan sanjungan.

Sebab itulah Rasulullah SAW mengingatkan umatnya melalui hadis yang sangat masyhur, "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi asas kepada kefahaman bahawa nilai sesuatu amal tidak boleh dipisahkan daripada niat yang menggerakkannya. Niat adalah roh kepada setiap amalan. Tanpa niat yang benar, amal yang kelihatan besar mungkin kehilangan nilainya bahkan dengan niat yang ikhlas, amal yang kecil pula boleh menjadi sangat bernilai.

Kita telusuri sejarah pemikiran Islam, ramai ulama dan tokoh tasawuf menekankan perkara ini antaranya ialah Ibnu Ataillah al-Sakandari yang pernah mengungkapkan satu nasihat yang mendalam, "Mungkin amal yang kecil dibesarkan oleh niat dan mungkin amal yang besar dikecilkan oleh riya’."

Ungkapan ini mengajak kita melihat semula cara kita menilai diri sendiri. Kadangkala kita terlalu sibuk mengira jumlah amal sehingga terlupa untuk memeriksa keadaan hati. Kita berusaha memastikan amal kelihatan sempurna di mata manusia, tetapi kurang memberi perhatian kepada keikhlasan yang menjadi ukuran utama di sisi Allah.

Apatah lagi dalam dunia media sosial hari ini, cabaran menjaga keikhlasan menjadi semakin besar. Tidak salah berkongsi aktiviti kebajikan atau program yang dijalankan, namun setiap Muslim perlu sentiasa bermuhasabah. Adakah perkongsian itu bertujuan mengajak orang lain kepada kebaikan, atau secara tidak sedar kita sedang mencari penghargaan dan pujian? Adakah kita kecewa apabila usaha kita tidak dihargai manusia, sedangkan Allah mengetahui segala yang tersembunyi dalam hati?

Mizan al-‘Amal mengajar kita bahawa kejayaan sebenar bukanlah apabila nama kita disebut-sebut, tetapi apabila amalan kita diterima oleh Allah SWT. Kejayaan bukanlah apabila manusia memuji, tetapi apabila Allah meredai. Kejayaan bukanlah apabila kita kelihatan hebat di dunia, tetapi apabila timbangan kebaikan menjadi berat di akhirat.

Justeru, marilah kita sentiasa memperbaharui niat dalam setiap urusan. Sama ada dalam beribadah, bekerja, mendidik keluarga, berkhidmat kepada masyarakat atau memperjuangkan kebaikan, semuanya perlu dilakukan kerana Allah. Jangan biarkan pujian manusia menjadi matlamat, kerana pujian itu sementara. Sebaliknya, carilah keredaan Allah yang kekal selama-lamanya.

WADAH Selangor dengan penuh rendah diri ingin berpesan kepada diri sendiri dan seluruh masyarakat agar sentiasa menjaga keikhlasan lebih daripada menjaga pujian manusia kerana pada akhirnya, yang akan menentukan nasib kita bukanlah apa yang diperkatakan oleh manusia tentang kita, tetapi apa yang ditimbang oleh Allah SWT terhadap amalan dan hati kita. Semoga Allah mengurniakan kepada kita hati yang ikhlas, amalan yang diterima, dan timbangan kebaikan yang berat pada hari perhitungan kelak.

Thursday, May 28, 2026

Al-Ma’idah Ayat 6–9: Dunia Hari Ini Bersih Luaran, Tetapi Letih Jiwanya



Lama juga saya berhenti menulis dalam misi tadabbur saya. Bukan lupa, sentiasa teringat, Cuma masa memang amat mencemburui saya. Tapi saya takut tidak teruskan, hati akan makin lalai dan makin jauh. Jom kita sambung lagi. Kali ini ayat 6 hingga 9 surah Al-Mai’idah.

Ada sesuatu yang sangat menarik apabila kita membaca Surah Al-Ma’idah ayat 6 hingga 9 secara perlahan-lahan. Selepas Allah mengisytiharkan bahawa agama Islam telah sempurna, Allah tidak terus membawa manusia berbicara tentang kemenangan besar, kekuatan politik atau pembinaan tamadun. Sebaliknya Allah membawa manusia kepada sesuatu yang kelihatan sangat sederhana iaitu bab wuduk, mandi wajib, tayammum dan penyucian diri.

Pada pandangan biasa, ia mungkin kelihatan seperti perbincangan hukum yang rutin. Namun apabila ditadabbur dengan hati yang tenang, ayat-ayat ini sebenarnya sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar ritual ibadah. Allah sedang membina manusia yang bersih jiwanya. Allah berfirman, “Allah tidak mahu menyusahkan kamu, tetapi Dia mahu menyucikan kamu…”

Perhatikan bagaimana Allah menggunakan perkataan menyucikan, bukan sekadar membersihkan kerana dalam Islam, konsep bersih bukan hanya tentang tubuh dan penampilan. Islam berbicara tentang kebersihan yang lebih dalam iaitu kebersihan hati, jiwa dan hubungan manusia dengan Allah.

Hari ini manusia hidup dalam dunia yang sangat cenderung terhadap kebersihan luaran. Industri kecantikan berkembang dengan begitu besar. Manusia menjaga penjagaan kulit, pemakanan, gaya hidup sihat dan penampilan media sosial. Semua orang mahu kelihatan baik. Semua orang mahu nampak sempurna di hadapan manusia lain.

Namun dalam masa yang sama, semakin ramai manusia sebenarnya sedang penat secara dalaman. Jiwa manusia moden semakin letih. Emosi semakin rapuh. Manusia mudah marah, mudah terasa, mudah hasad dan semakin sukar menemukan ketenangan walaupun hidup dikelilingi kemudahan. Seolah-olah manusia semakin bersih di luar, tetapi semakin kusut di dalam. Mungkin sebab itu Islam tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk mencuci tubuh. Islam juga mengajar manusia bagaimana untuk membersihkan hati.

Wuduk misalnya, bukan sekadar proses membasuh muka, tangan dan kaki. Wuduk sebenarnya ialah latihan jiwa yang Allah ulang berkali-kali setiap hari. Apatah lagi dalam dunia yang terlalu laju hari ini, wuduk seperti ruang kecil yang Allah hadiahkan untuk manusia berhenti seketika daripada kesibukan hidup. Ketika air menyentuh wajah dan anggota badan, seorang Muslim sebenarnya sedang diajar untuk kembali menenangkan dirinya, kembali mengingati Allah dan kembali menjadi manusia.

Menariknya, selepas ayat tentang penyucian ini, Allah membawa pula kepada kita satu ungkapan yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Inilah budaya yang dibina oleh Al-Quran. Bukan sekadar budaya mendengar ilmu atau suka berbincang tentang agama, tetapi budaya tunduk kepada Allah dan di sinilah cabaran terbesar manusia moden.

Kita hidup dalam zaman yang mengajar manusia supaya memilih apa sahaja berdasarkan keselesaan diri. Manusia dibiasakan dengan pendapat bahawa mereka berhak menentukan sendiri apa yang benar dan salah menurut kehendak peribadi. Akhirnya agama mula dilihat seperti menu pilihan. Mana yang sesuai dengan gaya hidup diterima, manakala yang mengganggu hawa nafsu mula dipersoalkan atau ditinggalkan.

Sedangkan para sahabat Rasulullah SAW dididik dengan satu prinsip yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Ini tidak bermaksud Islam membunuh akal atau melarang manusia berfikir. Al-Quran berkali-kali mengajak manusia berfikir, merenung dan memahami. Namun selepas kebenaran itu jelas, Islam mendidik manusia supaya tunduk kepada Allah, bukan kepada ego sendiri kerana masalah terbesar manusia sebenarnya bukan kurang ilmu. Masalah terbesar manusia ialah ego yang tidak mahu tunduk dan mungkin sebab itu ayat tentang ketaatan ini datang selepas ayat penyucian. Ia mungkin kerana hati yang bersih lebih mudah menerima kebenaran. Hati yang terlalu penuh dengan ego, cinta dunia dan hawa nafsu akan sentiasa mencari alasan untuk menolak panduan Allah. Selepas itu, Allah membawa pula manusia kepada satu lagi nilai besar dalam kehidupan, iaitu keadilan. Allah berfirman, “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.”

Ayat ini sangat luar biasa kerana Islam tidak hanya mengajar manusia berlaku baik kepada orang yang disukai. Islam mengajar manusia supaya tetap berlaku adil walaupun terhadap orang yang dibenci. Hari ini dunia semakin kehilangan kemampuan untuk berlaku adil. Media sosial menjadikan manusia terlalu cepat marah, terlalu cepat menghukum dan terlalu mudah membenci. Kadang-kadang hanya dengan satu potongan video atau satu naratif tertentu, manusia terus menjatuhkan hukuman tanpa mendengar keseluruhan cerita.

Budaya memalukan orang, membuka aib dan “cancel culture” menjadi semakin biasa. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana tegang dan penuh kebencian. Manusia semakin sukar mendengar dengan tenang dan semakin mudah dipengaruhi emosi sedangkan Al-Quran mendidik manusia supaya kebencian tidak menghapuskan keadilan.

Ini sangat sukar kerana ketika marah, ego manusia mahu membalas, mahu memenangkan diri dan mahu melihat lawannya jatuh. Namun Islam mahu manusia dipimpin oleh takwa, bukan emosi. Sebab itu Allah menyebutkan, “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”

Ini menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar isu sosial atau politik. Keadilan sebenarnya lahir daripada hati yang bersih dan takut kepada Allah. Hanya hati yang benar-benar sedar bahawa Allah melihat dirinya akan berusaha berlaku adil walaupun dirinya sedang terluka dan mungkin sebab itu susunan ayat-ayat ini sangat indah. Allah bermula dengan penyucian diri, kemudian membawa manusia kepada ketaatan dan akhirnya kepada keadilan. Seolah-olah Allah sedang menunjukkan bahawa masyarakat yang adil tidak akan lahir hanya melalui undang-undang atau sistem semata-mata. Ia lahir daripada manusia yang bersih jiwanya, tunduk kepada Allah dan mampu mengawal emosinya.

Hari ini dunia mempunyai terlalu banyak manusia yang pandai bercakap, hebat berhujah dan kuat membina imej. Tetapi dunia semakin kekurangan manusia yang benar-benar bersih hatinya sedangkan kerosakan masyarakat selalunya tidak bermula kerana kurang ilmu. Ia bermula apabila hati menjadi keras, ego tidak terkawal dan manusia semakin jauh daripada Allah.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah tidak bermula dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina manusia dahulu kerana tamadun yang hebat tidak akan bertahan lama jika dibina oleh jiwa yang rosak dan mungkin tadabbur paling besar daripada ayat ini ialah bahawa dunia hari ini terlalu sibuk mengajar manusia bagaimana untuk kelihatan baik di hadapan manusia lain, tetapi Al-Quran datang mengajar manusia bagaimana untuk benar-benar bersih di sisi Allah.

Tuesday, May 26, 2026

Refleksi Jiwa Tentang Kehidupan Yang Sempit Dan Petunjuk Allah Dalam Surah Taha Ayat 114-125



Ada orang hidupnya serba ada, tetapi jiwanya sentiasa letih. Rumah besar. Kerja stabil. Orang sekeliling nampak dia berjaya. Tetapi bila malam tiba, hati terasa sempit. Sukar tenang. Sukar bahagia. Sukar berasa cukup dan mungkin, masalah terbesar bukan kerana hidupnya kurang dunia tetapi kerana jiwanya semakin jauh daripada petunjuk Allah.

Surah TaHa ayat 114 hingga 125, Allah membawa kita menyelami satu perjalanan yang sangat dekat dengan realiti manusia. Ayat-ayat ini tidak hanya bercerita tentang Nabi Adam dan syaitan, tetapi tentang bagaimana manusia boleh kehilangan arah, bagaimana dosa bermula dan bagaimana jiwa akhirnya menjadi sempit apabila menjauh daripada Allah. Allah memulakan bahagian ini dengan satu arahan yang sangat luar biasa, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah aku ilmu.”

Inilah satu-satunya doa dalam Al-Quran yang secara jelas memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk meminta tambahan ilmu. Bukan tambahan harta. Bukan tambahan kekuasaan. Tetapi ilmu. Ini memberi isyarat besar bahawa keselamatan manusia bukan bergantung kepada berapa banyak yang dia miliki, tetapi sejauh mana dia benar-benar memahami petunjuk Allah.

Ironinya, manusia hari ini hidup dalam zaman yang penuh dengan maklumat. Semua benda boleh dicari dengan cepat. Semua orang boleh bercakap tentang apa sahaja. Tetapi semakin banyak maklumat, semakin ramai manusia kehilangan ketenangan kerana ilmu tanpa petunjuk tidak semestinya mendekatkan manusia kepada Allah. Kadang-kadang ia hanya menjadikan manusia lebih yakin dengan dirinya sendiri.

Orang yang benar-benar berilmu sebenarnya semakin takut untuk sesat. Semakin dia belajar, semakin dia sedar betapa sedikit yang dia tahu. Sebab itu orang soleh sentiasa meminta ilmu dengan rasa rendah diri. Bahaya bukan pada orang yang tidak tahu, tetapi pada orang yang berasa dirinya sentiasa betul. Kemudian Allah membawa kita kepada kisah Nabi Adam. Allah menyebut bahawa Adam telah lupa. Menariknya, Allah tidak mengatakan Adam sengaja melawan. Allah menggunakan perkataan lupa dan di situlah letaknya sifat manusia.

Kita selalu menyangka masalah hidup berpunca daripada kurang motivasi atau kurang disiplin. Tetapi kadang-kadang masalah terbesar ialah kita lupa. Kita lupa tujuan hidup. Kita lupa akhirat. Kita lupa nikmat Allah yang terlalu banyak. Kita lupa dosa yang pernah kita tangisi dahulu dan apabila hati mula lupa, syaitan masuk perlahan-lahan.

Syaitan tidak datang kepada Adam dengan kata-kata yang menakutkan. Dia tidak berkata, “Mari buat dosa.” Sebaliknya dia datang dengan tawaran yang nampak indah, “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon kekekalan dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Maka, di sinilah kita belajar cara syaitan bekerja. Syaitan jarang menyesatkan manusia dengan kebencian terhadap dosa. Dia menyesatkan manusia dengan membuat dosa kelihatan menarik, logik dan meyakinkan.

Hari ini pun sama. Syaitan tidak semestinya membisikkan perkara yang jelas-jelas jahat. Kadang-kadang bisikannya datang dalam bentuk yang sangat lembut, “Tak salah pun…”, “Semua orang buat…”, “Awak layak bahagia…”, “Follow je hati awak…” dan perlahan-lahan manusia menjauh daripada Allah tanpa sedar.

Apabila Adam dan Hawa akhirnya memakan buah tersebut, Al-Quran menyebut bahawa aurat mereka tersingkap dan mereka mula menutup diri dengan daun-daun syurga. Dosa pertama itu menyebabkan rasa malu, kehilangan ketenangan dan kesedaran terhadap kelemahan diri.

Begitulah dosa itu bekerja dalam hidup manusia. Kadang-kadang kita fikir dosa itu kecil, tetapi kesannya perlahan-lahan menggelapkan hati. Ia mencuri ketenangan sedikit demi sedikit dan yang paling menakutkan ialah apabila dosa dilakukan terlalu lama, hati mula berasa biasa. Manusia tidak lagi berasa bersalah.

Namun di tengah-tengah kisah kejatuhan itu, Allah menghadirkan satu ayat yang sangat menenangkan, “Kemudian Tuhannya memilihnya, menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.”

SubhanAllah. Selepas Adam tergelincir, Allah masih memilihnya. Allah masih membuka pintu taubat. Allah masih memberi petunjuk. Ini adalah rahmat yang sangat besar untuk manusia yang sering berasa dirinya terlalu jauh daripada Allah. Kadang-kadang kita berasa dosa kita terlalu banyak, masa lalu kita terlalu gelap dan hidup kita terlalu rosak untuk berubah. Tetapi kisah Adam mengajar bahawa jatuh bukan pengakhiran. Bahayanya ialah apabila manusia berhenti kembali kepada Allah.

Allah kemudian memberikan satu formula kehidupan yang sangat jelas, “Sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.”

Dunia hari ini penuh dengan suara yang mendakwa mereka membawa jalan kebahagiaan. Semua orang mempunyai definisi hidup yang betul. Tetapi Allah mengingatkan bahawa petunjuk sebenar bukan datang daripada trend manusia, tetapi daripada wahyu dan akhirnya Allah menyebut satu perkara yang sangat menusuk jiwa, “Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit…”

Allah tidak mengatakan hidupnya miskin. Allah tidak mengatakan hidupnya tiada kejayaan. Tetapi Allah mengatakan hidupnya sempit. Inilah penyakit manusia moden. Ada orang mempunyai segala-galanya tetapi masih berasa kosong. Ada yang ketawa di luar tetapi menangis sendirian pada waktu malam. Ada yang hidupnya dipenuhi manusia tetapi hatinya sangat sunyi kerana jiwa manusia sebenarnya tidak dicipta untuk dipenuhi dengan dunia semata-mata. Jiwa manusia dicipta untuk mengenal Allah dan apabila hubungan itu longgar, hidup akan terasa sempit walaupun dunia terasa luas.

Mungkin itulah sebabnya ramai manusia hari ini penat secara emosi. Mereka mengejar terlalu banyak perkara, tetapi tidak benar-benar kembali kepada Tuhan yang menciptakan hati mereka. Surah TaHa ayat 114 hingga 125 akhirnya mengajar kita satu hakikat yang sangat penting bahawa ketenangan bukan datang daripada dunia yang sempurna, tetapi daripada hati yang terpimpin oleh petunjuk Allah.

Moga Allah tidak membiarkan hati kita hanyut dalam bisikan yang menyesatkan. Moga Allah sentiasa menghidupkan rasa ingin belajar dalam diri kita dan moga Allah menyelamatkan kita daripada kehidupan yang kelihatan indah di luar, tetapi sempit dan gelap di dalam jiwa.

Monday, May 25, 2026

Bila Dunia yang Kita Kejar Rupanya Sangat Singkat


Tadabbur Surah TaHa Ayat 99–113

Ada masa dalam hidup kita, dunia terasa terlalu besar. Masalah terasa panjang. Tekanan terasa menyesakkan. Kita sibuk mengejar banyak perkara seperti pekerjaan, pengiktirafan, kestabilan hidup, penerimaan manusia sampai kadang-kadang kita lupa bahawa semua ini sebenarnya sangat sementara. Surah TaHa ayat 99 hingga 113 membawa kita keluar seketika daripada kisah Nabi Musa dan membawa kita terus melihat satu hakikat besar bahawa dunia yang manusia rasa begitu penting hari ini, suatu hari nanti akan terasa seperti hanya satu hari yang singkat.

Allah memulakan ayat ini dengan menjelaskan bahawa kisah-kisah yang diceritakan dalam al-Quran bukan sekadar sejarah. Ia adalah peringatan. Bukan untuk memenuhi rasa ingin tahu, tetapi untuk menyedarkan hati manusia. Namun Allah juga memberi amaran bahawa sesiapa yang berpaling daripada peringatan ini akan memikul satu beban yang sangat berat pada hari kiamat. Menariknya, Allah menggunakan perkataan beban yang mana dalam kehidupan hari ini, manusia sering bercakap tentang beban hidup sama ada beban kerja, tekanan emosi, komitmen keluarga, kewangan dan harapan masyarakat. Tetapi Surah TaHa mengingatkan bahawa beban paling berat bukanlah keletihan dunia. Beban paling berat adalah dosa yang dibawa hingga ke akhirat.

Dunia moden sangat pandai mengajar manusia untuk memandang ringan dosa. Banyak perkara yang dahulu membuat manusia berasa bersalah, kini dianggap normal. Maksiat dibungkus sebagai hiburan. Kelalaian dianggap gaya hidup. Bahkan ada manusia yang berasa lebih takut kehilangan pengaruh media sosial daripada kehilangan hubungan dengan Allah. Namun ayat ini membawa kita kepada satu suasana yang sangat berbeza iaitu diwaktu hari sangkakala ditiup. Hari manusia dikumpulkan dalam keadaan takut dan lemah. Hari semua yang selama ini dibanggakan tidak lagi memberi makna.

Apa yang lebih menyentuh hati, manusia pada hari itu akan berasakan hidup di dunia sebenarnya sangat singkat. Ada yang berkata mereka tinggal hanya sepuluh hari dan ada pula yang mengatakan bahkan hanya sehari. Semua penat lelah dunia yang pernah memenuhi fikiran manusia tiba-tiba terasa terlalu kecil dibandingkan dengan akhirat yang terbentang tanpa penghujung. Ini satu tamparan lembut kepada jiwa kita hari ini. Betapa banyak perkara yang kita terlalu risaukan sekarang sebenarnya tidak akan membawa makna besar di akhirat nanti. Perselisihan kecil, perlumbaan dunia, keinginan untuk sentiasa dilihat berjaya, semua itu akan mengecil pada hari manusia berdiri di hadapan Allah.

Kemudian Allah menggambarkan gunung-gunung dihancurkan sehingga bumi menjadi rata dan kosong. Gunung yang selama ini manusia lihat sebagai simbol kekuatan dan kestabilan juga akan hilang. Seolah-olah Allah sedang memberitahu bahawa tiada apa yang benar-benar kekal di dunia ini. Pada hari ini dalam kehidupan moden, manusia sangat bergantung pada sesuatu yang dianggap stabil contohnya simpanan, kerjaya, status sosial, hubungan dan mungkin teknologi. Tetapi ayat ini mengajar bahawa segala kestabilan dunia boleh runtuh pada bila-bila masa manakala yang kekal hanyalah Allah.

Ingatlah apabila manusia dikumpulkan nanti, semua suara menjadi perlahan. Tidak ada lagi kebisingan dunia. Tidak ada lagi manusia meninggikan diri. Tidak ada lagi perdebatan untuk menunjukkan siapa paling benar. Semua tunduk di hadapan Tuhan Yang Maha Pemurah. Ayat ini sangat dalam untuk direnung dalam dunia hari ini yang terlalu bising. Manusia bercakap tanpa henti. Semua orang mahu didengar. Semua orang mahu memberi pendapat. Semua orang mahu menang dalam perdebatan. Tetapi di akhirat nanti, manusia hanya mampu berbisik dalam ketakutan.

Allah kemudian menjelaskan bahawa pada hari itu, syafaat tidak akan berguna kecuali bagi mereka yang diizinkan-Nya. Ini memecahkan pergantungan palsu manusia kepada nama, kedudukan, atau hubungan tertentu. Tidak ada siapa yang boleh menyelamatkan manusia tanpa izin Allah. Pada saat itu, di tengah-tengah suasana yang menggetarkan itu, datang satu ayat yang sangat menenangkan, “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh sedang dia beriman, maka dia tidak takut akan dizalimi dan tidak pula dikurangkan haknya.”

Dunia hari ini memperlihatkan alangkah ramainya manusia hidup dalam ketakutan. Takut tidak dihargai, takut usaha tidak dipandang, takut diperlakukan tidak adil. Bahkan ramai wanita memendam rasa penat kerana berasa terlalu banyak memberi tetapi sedikit dihargai. Ayat ini datang sebagai pelukan buat hati orang beriman. Allah tidak pernah zalim. Tidak ada satu kebaikan pun yang hilang. Tidak ada satu pengorbanan pun yang tidak diketahui-Nya. Walaupun manusia tidak nampak, Allah tetap mencatat.

Kemudian Allah menutup bahagian ini dengan menjelaskan tujuan al-Quran diturunkan. Al-Quran bukan sekadar bacaan untuk dihabiskan. Ia diturunkan supaya manusia bertakwa, sedar dan kembali mengingati Allah. Inilah cabaran besar umat hari ini. Ramai yang membaca al-Quran, tetapi sedikit yang benar-benar membiarkan al-Quran mengubah hidup mereka. Ada yang membaca dengan suara merdu, tetapi hati masih jauh daripada takut kepada Allah. Ada yang menghafal ayat, tetapi tidak sempat merenung maknanya.

Surah TaHa ayat 99 hingga 113 mengajak kita berhenti seketika daripada kesibukan dunia dan bertanya satu soalan yang sangat penting, jika dunia ini sebenarnya sangat singkat, apa yang sedang kita habiskan hidup kita untuk? Bagi seorang muslimah hari ini, ayat-ayat ini sangat dekat dengan kehidupan harian. Kita hidup dalam tekanan untuk sentiasa mengejar sesuatu untuk menjadi lebih berjaya, lebih cantik, lebih sempurna, lebih diterima. Tetapi akhirnya, semua itu akan berlalu dan yang tinggal hanyalah apa yang dibawa kepada Allah.

Mungkin sebab itu Allah sering mengingatkan tentang akhirat. Bukan untuk menakutkan semata-mata, tetapi untuk membetulkan fokus hati manusia. Supaya kita tidak terlalu tenggelam dalam dunia yang sementara sehingga lupa kepada kehidupan yang kekal. Akhirnya, Surah TaHa mengajar kita bahawa hidup ini bukan tentang siapa paling hebat di dunia, tetapi siapa yang paling bersedia ketika dunia sudah tidak lagi bermakna.

Sunday, May 24, 2026

Hikmah Tersirat Di Sebalik Suruhan Menundukkan Pandangan Mata



Ramai manusia melihat suruhan menundukkan pandangan sebagai satu bentuk larangan semata-mata. Seolah-olah Islam hanya mahu menyekat kebebasan manusia daripada melihat dan menikmati kehidupan. Sedangkan hakikatnya, setiap perintah Allah sentiasa datang bersama rahmat yang sangat besar untuk menjaga manusia. Allah tidak menyuruh manusia menundukkan pandangan kerana Allah mahu menyusahkan hidup manusia. Allah memerintahkan hal itu kerana Allah mahu menjaga hati manusia daripada rosak secara perlahan-lahan.

Hakikatnya, mata bukan sekadar alat melihat. Mata adalah pintu yang sangat besar menuju hati. Apa yang sering dilihat akan mula hidup dalam fikiran. Apa yang memenuhi fikiran akan menetap di dalam hati dan apa yang menetap di hati akhirnya akan membentuk cara hidup seseorang. Sebab itu para ulama sejak dahulu sangat menekankan penjagaan pandangan. Mereka memahami bahawa kebanyakan kerosakan besar tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula dengan perkara kecil yang dibiasakan.

Buku Al-Buysra: Berita Gembira Buat Umat karangan Habib Ali Zainal Abidin menyebutkan satu ungkapan yang sangat mendalam, “Pandangan mata adalah mula setiap kejadian.” Memang benar. Banyak perkara besar dalam hidup manusia bermula daripada mata. Cinta bermula dengan pandangan. Ketagihan bermula dengan pandangan. Obsesi bermula dengan pandangan. Bahkan banyak dosa besar juga bermula dengan pandangan yang dibiarkan terlalu lama. Api yang besar tidak bermula dengan marak yang terus membakar seluruh hutan. Ia bermula dengan satu percikan kecil dan percikan kecil dalam banyak kerosakan jiwa manusia selalunya bermula daripada mata.

Kita berada dalam dunia hari ini, perkara ini menjadi jauh lebih mencabar. Jika dahulu manusia perlu keluar mencari fitnah mata, hari ini fitnah itu datang sendiri ke dalam telefon yang berada di tangan hampir sepanjang masa. Media sosial dibina untuk menarik perhatian mata manusia selama mungkin. Algoritma belajar apa yang kita suka lihat, lalu terus menyuapkannya tanpa henti. Tanpa sedar, manusia bukan sahaja menjadi ketagih kepada hiburan, tetapi juga ketagih kepada pandangan.

Mata manusia hari ini terlalu penat melihat terlalu banyak perkara. Terlalu banyak wajah, terlalu banyak tubuh badan, terlalu banyak kehidupan orang lain, terlalu banyak kemewahan, terlalu banyak hiburan, terlalu banyak perkara yang membangkitkan emosi dan syahwat. Akhirnya hati menjadi letih. Ramai manusia hari ini sukar khusyuk dalam solat, cepat bosan dalam ibadah dan mudah gelisah bukan kerana mereka tidak memiliki apa-apa, tetapi kerana hati mereka terlalu dipenuhi dunia yang masuk melalui mata.

Sebab itu Allah menyebut selepas perintah menundukkan pandangan, “Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”

Menariknya, Allah menggunakan perkataan lebih suci. Ini menunjukkan bahawa menjaga pandangan bukan sekadar untuk mengelakkan dosa, tetapi untuk membersihkan hati manusia. Hari ini ramai orang menjaga penampilan luar dengan sangat baik. Mereka menjaga pakaian, wajah, imej media sosial dan penampilan diri. Tetapi dalam masa yang sama, mereka membiarkan hati dipenuhi perkara yang menggelapkan jiwa. Sedangkan hati yang kotor akan menjadi sukar menikmati ketenangan. Hati yang terlalu dipenuhi dunia akan semakin sukar merasai kemanisan ibadah. Sebaliknya, hati yang dijaga melalui penjagaan pandangan akan menjadi lebih hidup.

Orang yang menjaga pandangan biasanya lebih tenang. Mereka lebih mudah khusyuk. Mereka lebih sensitif terhadap dosa. Mereka lebih mampu mengawal nafsu dan emosi. Ini kerana hati mereka tidak terlalu dipenuhi dengan sampah visual yang melemahkan jiwa. Buku ini juga menyebut bahawa orang yang menjaga pandangan akan diberikan cahaya pada hati dan ketajaman firasat. Maksudnya, hati mereka menjadi lebih peka membezakan antara benar dan salah, antara yang membawa kepada Allah dan yang menjauhkan daripada-Nya kerana hati yang bersih lebih mudah menerima cahaya hidayah.

Kita berada dalam kehidupan moden. Oleh itu, menjaga pandangan bukan hanya bermaksud menundukkan mata di jalanan. Menjaga pandangan hari ini juga bermaksud menjaga apa yang kita scroll setiap malam, menjaga siapa yang kita stalk, menjaga video yang kita ulang tonton dan menjaga apa yang memenuhi algoritma hidup kita.

Khususnya wanita, cabaran menjaga pandangan hari ini sangat besar. Media sosial sentiasa memaparkan standard kecantikan yang tidak realistik, kehidupan yang kelihatan sempurna dan hubungan yang nampak sentiasa bahagia. Tanpa sedar, ramai wanita hidup dalam tekanan emosi kerana terlalu banyak melihat kehidupan orang lain. Akhirnya lahir rasa tidak cukup. Tidak cukup cantik. Tidak cukup berjaya. Tidak cukup dicintai. Tidak cukup bahagia. Semua itu bermula daripada apa yang masuk melalui mata.

Sebab itu menjaga pandangan bukan sekadar soal syahwat. Ia juga soal menjaga ketenangan jiwa dan kebersihan hati. Syaitan memahami bahawa mata adalah jalan paling cepat menuju hati manusia. Apa yang dilihat akan dihias dalam fikiran. Apa yang dihias akan dibesarkan dalam hati. Akhirnya manusia mula terikat dengan perkara yang pada awalnya hanya sekadar melihat. Mungkin sebab itu menundukkan pandangan sebenarnya bukan satu bentuk kehilangan kebebasan. Sebaliknya, ia adalah usaha menyelamatkan jiwa daripada menjadi terlalu penat dengan dunia.

Dunia hari ini yang sentiasa berebut perhatian mata manusia, menjaga pandangan adalah satu bentuk jihad hati yang sangat besar kerana akhirnya, apa yang memenuhi mata setiap hari akan perlahan-lahan membentuk isi hati manusia dan hati yang terlalu dipenuhi dunia akhirnya akan kehilangan cahaya untuk melihat jalan menuju Allah.

Saturday, May 23, 2026

Al-Ma’idah Ayat 1–2: Krisis Besar Umat Hari Ini Bukan Kurang Bijak, Tetapi Hilang Amanah



“Penuhilah segala akad…”

Ada sebab mengapa Allah membuka Surah Al-Ma’idah dengan ayat tentang amanah dan janji. Ia bukan tentang solat, bukan tentang puasa, bukan juga tentang peperangan. Tetapi tentang manusia yang mampu memegang tanggungjawab. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat maju. Teknologi berkembang laju. Sistem semakin moden. Organisasi semakin besar. Pendidikan semakin tinggi. Tetapi dalam diam, masyarakat sedang menghadapi satu krisis besar yang perlahan-lahan merosakkan manusia dari dalam iaitu krisis amanah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 1, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad dan janji.”

Ramai menyangka akad hanya berkaitan akad nikah atau kontrak rasmi. Sedangkan dalam tafsir para ulama, maksudnya jauh lebih luas. Ia meliputi semua bentuk komitmen, tanggungjawab, janji dan amanah yang mengikat manusia. Semua itu termasuk amanah pekerjaan, amanah masa, amanah hubungan, amanah kepimpinan, amanah persahabatan bahkan amanah kecil yang manusia sering pandang remeh. Sebab itu ayat ini sangat menusuk realiti kehidupan hari ini.

Kita hidup dalam zaman manusia mudah memberi “commitment”, tetapi sukar menunaikan. Janji boleh ditangguhkan. Masa orang lain dianggap tidak penting. Hubungan dipelihara hanya ketika menguntungkan. Kerja dilakukan sekadar cukup syarat. Lebih membimbangkan apabila budaya sambil lewa mula dianggap normal. Datang lambat dianggap biasa. Tidak menepati masa mesyuarat dianggap perkara kecil. Kerja bertangguh menjadi budaya. Mesej penting dibiarkan tanpa jawapan. Tanggungjawab dilakukan sekadar minimum untuk mendapatkan gaji hujung bulan. Sedangkan semua itu sebenarnya sebahagian daripada akad.

Ramai orang kata, “Aku tak mencuri duit syarikat.” Tetapi dalam masa yang sama bekerja tanpa kesungguhan, melengahkan tugas, membiarkan orang lain menanggung beban dan tidak berlaku jujur terhadap amanah masa dan tenaga. Hakikatnya, pengkhianatan bukan hanya berlaku apabila wang dicuri. Kadang-kadang ia berlaku apabila amanah dipandang ringan. Mungkin sebab itu Allah memulakan Surah Al-Ma’idah dengan ayat ini. Seolah-olah Allah mahu memberitahu bahawa keruntuhan masyarakat bukan bermula kerana kurang pandai, tetapi kerana hilangnya integriti.

Lebih menyedihkan apabila krisis ini berlaku dalam semua lapisan masyarakat. Ini juga berlaku dalam keluarga. Ramai mahu disayangi tetapi kurang mahu memikul tanggungjawab. Ada yang menganggap akad nikah sekadar lafaz, sedangkan ia sebenarnya janji besar di sisi Allah untuk menjaga, memimpin dan membina. Ketika di pejabat atau dalam organisasi pula, ramai mahu dihargai tetapi sedikit yang mahu membantu ketika susah. Ramai mahu jawatan tetapi tidak mahu memikul amanah. Ada yang pandai bercakap tentang perjuangan, tetapi gagal menjaga disiplin kecil yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah gerakan. Sedangkan Islam membina masyarakat melalui manusia yang boleh dipercayai kerana itu Allah menyambung dalam ayat kedua, “Dan hendaklah kamu bertolong-menolong dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.”

Ayat ini sebenarnya sangat besar dalam pembinaan masyarakat. Allah tidak menyuruh manusia menjadi baik seorang diri. Tetapi Allah mengajar supaya manusia membina budaya saling menguatkan menuju kebaikan. Hari ini manusia saling mempengaruhi antara satu sama lain. Persoalannya ialah, adakah kita sedang menarik manusia mendekati Allah atau menjauh daripada-Nya?

Lihat sahaja realiti media sosial hari ini. Budaya mengejek lebih cepat viral daripada budaya membantu. Konten memalukan orang lebih mendapat perhatian daripada konten membina jiwa. Manusia lebih mudah berkongsi kebencian daripada menyebarkan harapan. Akhirnya masyarakat menjadi letih emosi. Hubungan menjadi keras. Kepercayaan semakin hilang. Sedangkan Islam mengajar budaya ta‘awun, saling membantu dalam kebaikan dan takwa.

Bayangkan jika budaya ini benar-benar hidup. Pekerja membantu memudahkan urusan orang lain, pemimpin memikul amanah dengan jujur, keluarga saling menguatkan menuju Allah dan masyarakat berlumba memudahkan, bukan menyusahkan. Mungkin banyak krisis hari ini akan berkurang. Menariknya, ayat ini juga turun dalam suasana umat Islam pernah disakiti dan dihalang memasuki Masjidil Haram. Namun Allah tetap berfirman, “Jangan kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu melampaui batas.”

Ini luar biasa. Islam tidak membenarkan kebencian menghapuskan prinsip. Hari ini kita melihat dunia semakin mudah dipenuhi budaya marah, menyerang dan menghukum. Perbezaan pandangan berubah menjadi permusuhan. Media sosial menjadi gelanggang dendam dan penghinaan. Tetapi Al-Quran mendidik manusia supaya tetap menjaga akhlak walaupun terhadap orang yang dibenci kerana Islam bukan agama dendam. Islam ialah agama yang membina manusia berprinsip.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah dimulakan dengan amanah, disiplin, menjaga janji dan saling membantu dalam takwa kerana Allah tahu, apabila amanah runtuh, seluruh masyarakat akan mula runtuh perlahan-lahan dan mungkin tadabbur paling dalam daripada ayat ini ialah kadang-kadang manusia terlalu sibuk mencari siapa yang boleh dipercayai, tetapi lupa bertanya, “Adakah aku sendiri sudah menjadi manusia yang boleh dipercayai?”

Friday, May 22, 2026

Mengapa Allah Dahulukan Menjaga Pandangan Sebelum Menjaga Kemaluan?



Mari kita bersama merujuk dan membaca Surah An-Nur. Allah telah memberikan satu susunan yang sangat menarik ketika memerintahkan orang beriman menjaga kehormatan diri. Allah tidak terus menyebut tentang menjaga kemaluan, tetapi terlebih dahulu memerintahkan lelaki dan wanita beriman supaya menundukkan pandangan. Susunan ini bukan kebetulan. Ia adalah satu bentuk tarbiah yang sangat halus tentang bagaimana dosa sebenarnya bermula.

Manusia sering melihat dosa hanya pada penghujungnya iaitu zina, kecurangan, ketagihan maksiat, keruntuhan rumah tangga atau hati yang semakin jauh daripada Allah. Tetapi Islam melihat lebih dalam daripada itu. Islam tidak hanya menjaga manusia daripada terjatuh, tetapi menjaga manusia daripada mendekati jurang yang boleh menjatuhkannya. Sebab itu Allah mendahulukan pandangan kerana hampir semua dosa besar bermula dengan sesuatu yang kelihatan kecil. Ia bermula dengan mata yang dibiarkan bebas melihat apa sahaja tanpa kawalan.

Mata bukan sekadar alat melihat. Apa yang dilihat akan masuk ke fikiran, turun ke hati, membangkitkan keinginan, lalu menggerakkan tindakan. Sebab itu para ulama sering menyebut bahawa pandangan ialah anak panah pertama syaitan. Ia mungkin nampak ringan, tetapi kesannya boleh sangat dalam. Hari ini, dalam kehidupan kita, hakikat ini menjadi semakin jelas. Jika dahulu manusia perlu keluar mencari fitnah mata, hari ini fitnah itu datang sendiri melalui skrin yang berada di tangan kita hampir sepanjang masa. Media sosial dibina untuk menarik perhatian mata. Semakin lama seseorang melihat, semakin banyak emosi dan keinginan yang dibangkitkan.

Kita hidup dalam budaya yang menormalisasikan segala-galanya. Melihat aurat dianggap biasa. Video yang membangkitkan syahwat dianggap hiburan. Hubungan yang melampaui batas dipersembahkan sebagai romantik. Bahkan ramai yang berkata, “Tengok sahaja, bukan buat apa-apa.”

Namun Islam memahami hati manusia lebih daripada manusia memahami dirinya sendiri. Apa yang dilihat berulang kali akan menjadi biasa. Apa yang biasa akan mula diterima dan apa yang diterima akan semakin sukar dirasakan sebagai dosa. Sebab itu Rasulullah SAW memberi peringatan yang sangat mendalam kepada Saidina Ali, “Pandangan pertama untukmu dan pandangan kedua bukan untukmu.”

Pandangan pertama mungkin berlaku tanpa sengaja. Tetapi pandangan kedua adalah pilihan. Maka, di situlah bermulanya ruang yang dibuka kepada syaitan. Syaitan jarang menjerumuskan manusia ke dalam dosa besar secara tiba-tiba. Ia berlaku sedikit demi sedikit. Ia bermula dengan melihat, kemudian menikmati, kemudian memikirkan, kemudian mencari lagi. Akhirnya hati menjadi letih dan semakin lemah untuk menolak. Apa yang lebih membimbangkan, kesan pandangan bukan hanya kepada syahwat. Mata juga boleh merosakkan hati melalui perbandingan hidup, iri hati dan rasa tidak cukup. Ramai manusia hari ini hidup dalam keresahan bukan kerana mereka kekurangan, tetapi kerana terlalu banyak melihat kehidupan orang lain.

Seseorang wanita khususnya, mata bukan sekadar membawa rasa tertarik, tetapi juga membawa tekanan emosi. Melihat wajah-wajah yang sempurna, kehidupan yang nampak bahagia, tubuh badan yang memenuhi standard media sosial, semuanya perlahan-lahan boleh merosakkan rasa syukur terhadap diri sendiri. Tanpa sedar, hati menjadi penat. Sebab itu menjaga pandangan dalam dunia hari ini bukan sekadar menundukkan mata ketika berjalan di luar rumah. Menjaga pandangan juga bermaksud menjaga apa yang kita tonton, apa yang kita ulang lihat, siapa yang kita stalk, dan apa yang kita biarkan memenuhi ruang fikiran kita setiap hari. Ada pandangan yang tidak meninggalkan kesan pada mata, tetapi meninggalkan luka panjang pada hati.

Islam memahami bahawa hati manusia sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihat secara berterusan. Sebab itu Allah tidak terus bercakap tentang menjaga kemaluan. Allah bermula dengan menjaga pintu masuknya terlebih dahulu. Jika mata dijaga, hati lebih mudah dijaga. Jika hati dijaga, maruah lebih mudah dipelihara. Hakikatnya, banyak kerosakan jiwa hari ini bukan bermula daripada perbuatan besar, tetapi daripada perkara kecil yang dibiarkan terlalu lama. Pandangan yang tidak dikawal akhirnya membentuk fikiran. Fikiran membentuk keinginan dan keinginan akhirnya membentuk tindakan.

Ketika berada dalam dunia yang terlalu bebas melihat segala-galanya, menjaga pandangan menjadi satu bentuk jihad yang sangat besar. Ia bukan mudah, tetapi ia adalah usaha untuk menyelamatkan hati daripada menjadi terlalu kotor untuk menikmati kemanisan iman. Mungkin sebab itu orang-orang soleh sangat menjaga apa yang mereka lihat. Mereka faham bahawa mata bukan sekadar jendela dunia, tetapi juga pintu kepada hati dan hati yang dipenuhi terlalu banyak perkara selain Allah, perlahan-lahan akan kehilangan ketenangannya. Akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang sedang kita benarkan masuk ke dalam hati setiap hari.

Thursday, May 21, 2026

Ayah, Jangan Mengalah: Allah Sedang Membuka Jalan



“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” — Al-Quran

Ada hari-hari tertentu dalam hidup seorang bapa yang terasa sangat berat. Bangun pagi dengan fikiran yang belum selesai. Memandu ke tempat kerja dengan dada yang penuh tekanan. Memikirkan bil yang perlu dibayar, anak yang perlu disekolahkan, ibu bapa yang perlu dijaga dan masa depan keluarga yang masih belum pasti. Kadang-kadang seorang bapa tersenyum di hadapan keluarga, tetapi dalam diam dia sedang berjuang dengan seribu keresahan.

Tidak semua orang memahami beban seorang lelaki yang memikul amanah keluarga kerana ramai hanya melihat hasil, tetapi tidak melihat luka dan lelah di sebaliknya. Namun, wahai para bapa… jangan putus asa. Allah tidak pernah mensia-siakan air mata seorang ayah yang berjuang mencari rezeki halal. Allah tidak pernah menutup mata terhadap peluh yang jatuh demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Setiap kesusahan yang sedang kau hadapi hari ini bukan tanda Allah meninggalkanmu. Sebaliknya, itu mungkin tanda Allah sedang membentuk dirimu menjadi lebih kuat, lebih matang dan lebih dekat kepada-Nya. Kadang-kadang kita meminta jalan yang mudah, tetapi Allah terlebih dahulu membina bahu yang kuat untuk memikul amanah besar.

Ingatlah, para nabi juga melalui kesulitan. Nabi Nuh berdakwah ratusan tahun dalam penolakan. Nabi Ibrahim diuji dengan pengorbanan yang berat. Nabi Muhammad sendiri memikul beban umat dengan penuh sabar dan kasih sayang. Maka jangan hairan jika perjalanan seorang ayah juga penuh ujian kerana lelaki yang membawa amanah besar akan melalui proses tarbiah yang besar. Mungkin hari ini gaji masih belum cukup. Mungkin bisnes masih perlahan. Mungkin kerja terasa terlalu menyesakkan. Mungkin kau sedang kehilangan semangat setelah terlalu lama memendam penat.

Tetapi percayalah. Allah sedang membuka jalan yang kau belum nampak. Ada rezeki yang sedang disusun. Ada doa anak yang sedang diangkat ke langit. Ada keberkatan yang sedang tumbuh daripada kesabaranmu hari ini. Jangan berhenti hanya kerana perjalanan terasa lambat. Pokok yang kuat tidak tumbuh dalam sehari. Begitu juga seorang ayah yang hebat, dia dibentuk melalui ujian, pengorbanan dan kesetiaan kepada tanggungjawabnya. Teruskan melangkah. Walaupun perlahan. Walaupun penat. Walaupun tiada siapa memuji perjuanganmu kerana suatu hari nanti, anak-anakmu akan melihat kembali segala pengorbanan itu dan berkata, “Ayah tidak pernah mengalah untuk kami.” Mungkin itulah hadiah paling indah buat seorang lelaki yang bernama ayah.

Wednesday, May 20, 2026

10 Hari Yang Allah Cintai



Hari ini hari ketiga dari 10 hari yang Allah cintai. Kita semua sedar, ada masa tertentu dalam hidup yang terasa biasa pada mata manusia, tetapi sebenarnya luar biasa di sisi Allah. Sebahagian manusia menyedari kedatangan Ramadan dengan penuh keterujaan. Masjid mula dipenuhi. Al-Quran mula dibaca. Media sosial mula dipenuhi peringatan dan motivasi ibadah. Ramadan mempunyai suasana yang kuat dalam jiwa umat Islam.

Tetapi Zulhijjah sering datang dalam keadaan yang jauh lebih sunyi. Padahal Nabi SAW menyebut bahawa tiada hari yang amal soleh padanya lebih dicintai Allah melainkan 10 hari pertama Zulhijjah. Bukan sekadar lebih baik tetapi lebih dicintai Allah. Betapa dalam bahasa itu. Kadang-kadang kita merasakan amal kita terlalu kecil. Solat kita masih penuh kekurangan. Zikir kita masih sedikit. Taubat kita masih turun naik. Tetapi Allah membuka musim tertentu yang menjadikan amal kecil manusia bertukar menjadi sangat besar kerana kemuliaan waktunya.

Seolah-olah Allah sedang membuka pintu yang luas, “Datanglah dekat kepada-Ku.” Menariknya, Al-Quran tidak menyebut Zulhijjah secara terang seperti Ramadan. Tetapi Allah memberi isyarat yang sangat besar. Allah berfirman, “Demi waktu fajar dan demi malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr: 1–2)

Majoriti ulama tafsir menjelaskan bahawa malam yang sepuluh itu ialah 10 awal Zulhijjah. Mengapa Allah bersumpah dengan masa? Ini kerana manusia sering lalai terhadap sesuatu yang sangat bernilai. Kita sibuk mengejar dunia, sedangkan Allah sedang menawarkan musim yang dipenuhi cinta-Nya. Zulhijjah sebenarnya bukan sekadar musim korban. Ia adalah musim penghambaan. Musim untuk manusia kembali membesarkan Allah.

Sebab itu dalam ayat-ayat berkaitan Zulhijjah, Allah banyak mengulang tentang zikir dan takbir. “Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan.” (Surah al-Hajj: 28)

Ramadan mendidik manusia menahan diri tetapi Zulhijjah mendidik manusia menyerahkan diri. Apabila tibanya Ramadan, kita belajar lapar kerana Allah. Manakala dalam Zulhijjah, kita belajar melepaskan apa yang kita cinta kerana Allah kerana ruh sebenar Zulhijjah ialah Nabi Ibrahim AS. Seluruh musim ini sebenarnya dibina di atas kisah pengorbanan seorang hamba yang terlalu mencintai Allah.

Baginda meninggalkan kampung halaman. Baginda meninggalkan keluarganya di lembah tandus. Baginda membina Kaabah dan akhirnya baginda diuji dengan sesuatu yang paling dicintainya iaitu anaknya sendiri. Maka di situlah letaknya hakikat pengorbanan. Allah tidak menguji Ibrahim dengan sesuatu yang baginda tidak cinta. Allah menguji baginda dengan sesuatu yang sangat baginda sayang.

Bukankah itu juga kehidupan kita? Kadang-kadang Allah tidak meminta sesuatu yang besar daripada kita. Tetapi Allah meminta sesuatu yang terlalu melekat dalam hati kita seperti ego, kemalasan, cinta dunia, dosa yang dipertahankan atau sesuatu yang lebih kita cintai daripada Allah. Sebab itu soalan paling penting dalam Zulhijjah mungkin bukan “Apa haiwan yang ingin dikorbankan?” Tetapi “Apa Ismail dalam hidup aku?” Oleh kerana hakikat korban bukan pada darah yang mengalir. Allah sendiri menegaskan, “Daging dan darah itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah taqwa daripada kamu.” (Surah al-Hajj: 37)

Betapa ramai manusia melakukan ibadah, tetapi hati mereka tidak berubah dan betapa ramai pula yang amalnya kecil, tetapi hatinya benar-benar tunduk kepada Allah. Zulhijjah datang mengajar satu kalimah besar, “Allahu Akbar.” Bukan sekadar lafaz pada lidah. Tetapi satu pengisytiharan bahawa Allah lebih besar daripada hawa nafsu, ketakutan, cinta dunia dan segala sesuatu yang menguasai hati manusia.

Hari ini dunia terlalu sibuk membesarkan manusia. Kita membesarkan nama, kuasa, wang dan pengaruh. Tetapi Zulhijjah datang untuk mengembalikan manusia kepada pusat sebenar kehidupan iaitu Allah. Mungkin sebab itu musim ini dipenuhi takbir. Takbir di masjid. Takbir di rumah. Takbir di jalan. Takbir selepas solat. Seolah-olah langit sedang mengajar bumi, “Besarkan Allah semula.” Mungkin juga itulah tadabbur terbesar Zulhijjah. Bahawa kehidupan yang tenang bukanlah kehidupan yang memiliki semuanya. Tetapi kehidupan yang menjadikan Allah lebih besar daripada segala-galanya.

Tuesday, May 19, 2026

Kita Diperintahkan Menjaga Pandangan Daripada Apa Sebenarnya?



Apabila bercakap tentang menjaga pandangan, ramai manusia terus membayangkan satu perkara sahaja iaitu lelaki melihat wanita atau wanita melihat lelaki. Seolah-olah menjaga pandangan hanya berkaitan dengan syahwat dan aurat semata-mata. Sedangkan apabila al-Quran memerintahkan orang beriman supaya menundukkan pandangan, maknanya jauh lebih luas dan lebih dalam daripada itu. Allah tidak menyuruh manusia menutup mata daripada dunia. Allah mengajar manusia supaya mengawal apa yang dibenarkan masuk ke dalam hati melalui mata.

Ini kerana mata bukan sekadar alat melihat. Mata adalah pintu yang sangat besar kepada jiwa manusia. Apa yang sering dilihat akan mula memenuhi fikiran. Apa yang memenuhi fikiran akan turun ke hati dan apa yang menetap di hati akhirnya akan membentuk tindakan, emosi dan cara hidup seseorang. Sebab itu para ulama sejak dahulu sangat menekankan penjagaan pandangan. Mereka memahami bahawa banyak kerosakan besar tidak bermula dengan tindakan, tetapi bermula dengan pandangan yang dibiarkan terlalu lama.

Menariknya, al-Quran menggunakan ungkapan menundukkan sebahagian pandangan. Ulama menjelaskan bahawa ini menunjukkan tidak semua pandangan perlu ditutup. Islam bukan agama yang memusuhi kehidupan atau keindahan dunia. Mata diciptakan untuk melihat, belajar, bekerja, menikmati keindahan ciptaan Allah dan menjalani kehidupan. Tetapi ada pandangan yang merosakkan hati. Itulah yang diperintahkan untuk dijaga dan yang paling jelas ialah melihat perkara yang diharamkan seperti aurat, perkara lucah atau sesuatu yang membangkitkan syahwat. 

Islam memahami bahawa hati manusia sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihat secara berulang. Sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan bahawa pandangan pertama mungkin tidak disengajakan, tetapi pandangan kedua adalah pilihan. Hari ini, peringatan ini menjadi jauh lebih relevan berbanding zaman dahulu. Jika dahulu manusia perlu keluar mencari fitnah mata, hari ini fitnah itu datang sendiri ke dalam telefon yang berada di tangan kita hampir sepanjang masa. Media sosial dibina untuk mengekalkan perhatian mata manusia selama mungkin. Algoritma mempelajari apa yang kita suka lihat, lalu menyuapkannya tanpa henti. Tanpa sedar, manusia bukan sahaja menjadi ketagih kepada hiburan, tetapi juga ketagih kepada pandangan dan kerosakan mata hari ini bukan hanya tentang syahwat. Ada pandangan yang tidak membangkitkan nafsu, tetapi tetap merosakkan hati dengan perlahan. Melihat kehidupan orang lain tanpa kawalan, terlalu banyak membandingkan rupa, tubuh badan, gaya hidup, hubungan dan kejayaan manusia lain. Semuanya ini boleh mencipta luka yang sangat dalam dalam jiwa.

Ramai manusia hari ini hidup dalam keletihan emosi bukan kerana mereka tidak memiliki apa-apa, tetapi kerana mereka terlalu banyak melihat apa yang dimiliki orang lain. Bagi wanita khususnya, tekanan visual dalam dunia moden sangat berat. Media sosial sentiasa mempamerkan standard kecantikan yang hampir mustahil dicapai. Kehidupan orang lain kelihatan sentiasa bahagia. Rumah tangga orang lain nampak sempurna. Tubuh badan orang lain nampak ideal. Akhirnya ramai wanita hidup dalam rasa tidak cukup, tidak cukup cantik, tidak cukup berjaya, tidak cukup dicintai. Semua itu bermula daripada apa yang masuk melalui mata.

Sebab itu menjaga pandangan hari ini bukan sekadar menundukkan mata ketika berjalan di tempat awam. Menjaga pandangan juga bermaksud menjaga apa yang kita scroll setiap hari. Menjaga siapa yang kita stalk. Menjaga video apa yang kita ulang tonton sebelum tidur. Menjaga apa yang memenuhi algoritma hidup kita kerana apa yang sering memenuhi mata akan perlahan-lahan memenuhi hati. Ada manusia yang sangat menjaga pakaian dan imej luarannya, tetapi membiarkan matanya bebas menikmati apa sahaja. Sedangkan hati jarang rosak secara tiba-tiba. Ia rosak sedikit demi sedikit melalui perkara yang dianggap kecil dan biasa. Mungkin sebab itu Islam mendahulukan perintah menjaga pandangan sebelum menjaga kemaluan kerana Allah tahu, jika mata dijaga, hati lebih mudah dijaga dan apabila hati dijaga, maruah dan kehidupan manusia juga lebih mudah dipelihara. Hakikatnya, mata tidak hanya melihat dunia. Mata sedang membentuk jiwa manusia setiap hari.

Ketika kita berada dalam dunia yang terlalu bebas dan terlalu bising ini, menjaga pandangan menjadi satu bentuk jihad yang sangat besar. Ia memerlukan kesedaran, kawalan dan keberanian untuk berkata cukup kepada perkara yang mungkin kelihatan kecil tetapi perlahan-lahan merosakkan hati. Ini kerana akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang kita sedang benarkan hidup di dalam hati kita setiap hari.

Monday, May 18, 2026

Lidah Yang Tidak Ditimbang Akan Melukakan



Kita harus menjaga kata-kata dalam dunia yang terlalu cepat bersuara tambahan dalam dunia hari ini, manusia semakin mudah bercakap tetapi semakin sukar menimbang kata-kata. Satu komen mampu memalukan seseorang. Satu hantaran mampu menghancurkan hubungan. Satu ayat mampu meninggalkan luka yang bertahun-tahun tidak sembuh.

Kita sering menyangka dosa besar hanya berlaku melalui tindakan yang jelas kelihatan. Sedangkan ramai manusia sebenarnya runtuh kerana lidah dan tulisan yang tidak dijaga. Allah SWT telah mengingatkan, “Tidak ada suatu perkataan yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa siap (mencatat).” (Surah Al-Qur'an, Qaf: 18)

Ayat ini sangat mendalam. Ia mengajar kita bahawa dalam Islam, perkataan bukan perkara kecil. Setiap ucapan mempunyai nilai di sisi Allah. Setiap tulisan, sindiran, cacian dan gurauan semuanya dicatat. Manusia mungkin lupa apa yang pernah diucapkan. Tetapi langit tidak pernah lupa.

Lidah yang kecil tetapi paling banyak melukakan. Ramai orang mampu menjaga penampilan, tetapi gagal menjaga percakapan. Ramai mampu kelihatan baik di hadapan manusia, tetapi lidahnya merosakkan maruah orang lain di belakang mereka. Sebab itu Imam Abu Hamid al-Ghazali pernah mengingatkan, “Lidah adalah kecil bentuknya, tetapi besar kerosakannya.” Betapa banyak persaudaraan putus kerana mulut. Betapa banyak keluarga berpecah kerana kata-kata. Betapa banyak hati manusia rosak kerana sindiran yang dianggap biasa.

Kadang-kadang kita terlalu cepat mahu memberi pendapat sehingga lupa bertanya, adakah kata-kata ini benar? Adakah ia perlu disebut? Adakah ia membawa manfaat? Adakah ia menyembuhkan atau melukakan? Inilah yang hilang dalam budaya komunikasi moden dan ditambah lagi dengan media sosial yang menjadikan manusia terlalu cepat bereaksi.

Hari ini manusia tidak lagi bercakap hanya dengan lidah. Jari juga sudah menjadi lidah kedua. Satu komen ditulis dalam beberapa saat, tetapi kesannya mungkin bertahun-tahun. Ramai orang menulis ketika marah, berkongsi ketika emosi dan menghukum tanpa memahami keseluruhan keadaan. Budaya ini sangat berbahaya kerana ia melahirkan masyarakat yang bising tetapi kehilangan hikmah. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslim ialah orang yang Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya.” (HR Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Hadis ini memberikan ukuran sebenar seorang Muslim. Bukan hanya rajin beribadah, tetapi sejauh mana orang lain merasa aman daripada percakapan dan tindakan kita. Jika kehadiran kita di media sosial hanya menambah kebencian, menghina manusia dan menyebarkan permusuhan, maka kita perlu bertanya semula, adakah lidah dan jari kita benar-benar membawa rahmat?

Mizan al-‘Amal membantu kita menimbang sebelum berkata-kata. Konsep Mizan al-‘Amal yang dibawa dalam gagasan WADAH Selangor mengajar bahawa setiap amal perlu ditimbang dengan neraca iman, akhlak dan hikmah. Perkataan juga adalah amal kerana itu, sebelum bercakap, seseorang perlu menimbang adakah ucapan ini mendekatkan manusia kepada kebaikan? Adakah ia menjaga maruah? Adakah ia lahir daripada hikmah atau emosi? Adakah ia membawa rahmat atau mudarat?

Islam tidak melarang kita bersuara. Tetapi Islam mendidik kita supaya bercakap dengan adab. Kadang-kadang diam lebih mulia daripada membalas. Kadang-kadang menangguhkan komen lebih bijaksana daripada segera bereaksi. Kadang-kadang memadam tulisan lebih baik daripada mempertahankan ego. Orang yang matang bukanlah yang paling banyak bercakap, tetapi yang paling tahu menjaga perkataan.

Oleh yang demikian, marilah kita membina budaya berfikir sebelum berkongsi. Masyarakat hari ini tidak kekurangan maklumat tetapi yang kurang ialah kebijaksanaan. Kita perlu membina semula budaya berfikir sebelum bercakap, menulis dan berkongsi. Anak-anak perlu dididik bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk melukai manusia. Belia perlu diajar bahawa keberanian sebenar bukan pada lantang menghina, tetapi pada kemampuan mengawal diri.

Dunia terlalu penuh dengan manusia yang mahu didengar. Tetapi dunia semakin kekurangan manusia yang bercakap dengan hikmah kerana itu, WADAH Selangor menyeru masyarakat agar membiasakan budaya menimbang sebelum menulis, bercakap dan berkongsi. Kita berada dalam dunia yang dipenuhi reaksi pantas dan emosi tidak terkawal, maka umat memerlukan lebih ramai manusia yang bercakap dengan rahmah, menulis dengan tanggungjawab dan berbeza pandangan dengan adab kerana satu perkataan mampu menjadi pahala yang berpanjangan dan satu perkataan juga mampu menjadi penyesalan yang tidak berkesudahan.

Sunday, May 17, 2026

Politik Sebagai Alat Khidmat



Ya, pada pandangan saya politik memang sepatutnya menjadi alat khidmat, bukan alat ketaksuban, permusuhan atau kepentingan diri semata-mata. Boleh semak tulisan saya dalam tajuk Kita Satu Umat dan Taksub Politik Sebagai Identiti Mutlak. Saya sambung di sini sebab fikir perlu diperdalam kedahaman dan keperluan untuk menilai dengan timbangan yang sepatutnya. Asal politik itu sendiri ialah mengurus kehidupan masyarakat bermula dari menjaga kebajikan rakyat, menyusun keadilan, membina keamanan, mengurus ekonomi, memastikan pendidikan, kesihatan dan keselamatan berjalan baik.

Maksudnya, politik pada asasnya ialah amanah mengurus manusia dan negara. Sebab itu dalam tradisi Islam pun, kepimpinan sering dikaitkan dengan tanggungjawab dan hisab, bukan kemuliaan yang kosong. Masalah berlaku apabila politik ini berubah daripada persoalan bagaimana saya boleh berkhidmat kepada rakyat? Lalu menjadi bagaimana saya boleh kekal berkuasa?

Apabila manusia menjadikan kuasa sebagai matlamat utama maka rakyat jadi alat, sentimen dimainkan, lawan dibenci dan prinsip boleh berubah demi kemenangan. Sedangkan jika politik dilihat sebagai alat khidmat, pemimpin akan lebih terbuka menerima teguran, parti akan bersaing menawarkan solusi, rakyat pula menilai berdasarkan manfaat, integriti dan akhlak. Sebab itu saya rasa penting untuk bezakan berpolitik dengan mempertuhankan politik.

Berpolitik itu normal dalam masyarakat demokratik. Kita perlu pandangan berbeza, semak imbang dan persaingan idea. Tetapi bila politik menjadi identiti mutlak, manusia mula hilang keupayaan untuk berlaku adil kepada orang yang berbeza. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mempertahankan team kita, sampai lupa bertanya adakah rakyat makin baik? Adakah anak muda makin terbela? Adakah masyarakat makin berakhlak? Adakah negara makin aman dan matang?

Kalau politik gagal membawa khidmat kepada manusia, maka politik itu kehilangan rohnya. Mungkin sebab itu ada ungkapan yang sangat kuat menyatakan kuasa bukan tempat mencari kemuliaan, tetapi tempat memikul tanggungjawab dan dalam konteks Malaysia hari ini, saya rasa masyarakat makin dahagakan politik yang kurang drama, kurang kebencian, lebih solusi, lebih tenang dan benar-benar terasa manfaatnya kepada rakyat biasa. Luahan rasa yang saya fikir perlu diambil perhatian oleh para politikus dan masyarakat yang terbuai dengan mainan mereka.

Saturday, May 16, 2026

Harta yang Menyatukan atau Memecahkan Keluarga: Tadabbur Penutup Surah An-Nisa’



Ada sesuatu yang sangat menarik tentang bagaimana Surah An-Nisa’ ditutup. Selepas Allah berbicara tentang iman, keadilan, amanah, hak wanita, anak yatim, peperangan, munafik dan akhlak manusia, surah ini akhirnya ditamatkan dengan satu perbincangan yang sangat duniawi iaitu soal pembahagian harta pusaka. Sesuai pula masanya dalam tempoh 2 bulan kebelakangan ini, saya dikhabarkan dengan berita kematian kenalan, guru, murabbi dan saudar-saudara terdekat menjadikan ayat ini sangat penting untuk dimuhasabahkan.

Pada pandangan biasa, ia mungkin sekadar hukum faraid. Sekadar angka dan bahagian. Tetapi semakin lama direnung, semakin terasa bahawa penutup ini sebenarnya sangat mendalam. Seolah-olah Allah sedang membawa manusia kembali kepada satu hakikat yang sangat dekat dengan kehidupan diman manusia boleh nampak baik dalam banyak perkara, tetapi hati mereka benar-benar diuji apabila melibatkan harta.

Ayat terakhir Surah An-Nisa’ berbicara tentang “kalalah”. Iaitu seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak dan ayah, lalu Allah menjelaskan bagaimana pembahagian harta perlu dilakukan dan yang menariknya, ayat itu diakhiri dengan satu peringatan iaitu, “Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu tidak sesat…” Maka, di sinilah hati saya mula tersentuh kerana rupa-rupanya, manusia bukan hanya boleh sesat dalam akidah atau ibadah. Manusia juga boleh sesat dalam urusan harta bahkan mungkin itulah yang paling dekat dengan realiti kehidupan kita hari ini.

Tafsir Al-Azhar, karangan Hamka menjelaskan, ayat ini bukan sekadar hukum teknikal. Beliau melihatnya sebagai penutup simbolik kepada seluruh Surah An-Nisa’. Surah yang banyak berbicara tentang hak dan keadilan akhirnya ditutup dengan pembahagian pusaka kerana di situlah sering berlaku keruntuhan hubungan manusia. Kadang-kadang semasa ibu bapa masih hidup, adik-beradik boleh ketawa bersama. Boleh duduk semeja. Boleh saling membantu. Tetapi selepas kematian berlaku, sesuatu mula berubah. Harta membuka sisi hati manusia yang selama ini tersembunyi.

Selam aini yang dipendam mula keluar, ketidakpuasan hati mula bersuara, ada yang terasa lebih layak pula mula menuntut dan perlahan-lahan, pusaka bukan lagi tentang harta. Ia menjadi soal ego, rasa dihargai, luka lama bahkan soal siapa lebih disayangi. Lalu keluarga yang pernah rapat mula renggang hanya kerana sesuatu yang akhirnya tidak akan dibawa ke kubur pun.

Mungkin inilah sebab Hamka sangat menekankan bahawa faraid bukan sekadar sistem pembahagian. Ia adalah rahmat Allah untuk menyelamatkan manusia daripada kezaliman diri sendiri kerana apabila manusia dibiarkan menentukan semuanya berdasarkan emosi dan kepentingan, yang kuat akan mengambil lebih, yang lemah akan dipinggirkan dan kasih sayang akan dikorbankan demi angka. Sedangkan Allah mengetahui bahawa harta bukan sekadar nikmat. Harta adalah ujian. Ujian terbesar harta bukan ketika kita mencarinya tetapi ketika kita terpaksa melepaskannya.

Ada sesuatu yang sangat menyentuh apabila kita renungkan hakikat pusaka. Sepanjang hidup, manusia bekerja keras mengumpul sesuatu yang akhirnya akan berpindah kepada orang lain. Rumah yang dibina, tanah yang dijaga, simpanan yang dikumpul bertahun-tahun, semuanya akan tinggal dan ketika itu, yang menentukan nilai sebenar harta itu bukan lagi jumlahnya tetapi adakah ia menjadi sebab pahala atau dosa? Adakah ia menyatukan atau memecahkan keluarga? Adakah ia meninggalkan doa atau permusuhan?

Semu aitu kerana ada harta yang sedikit tetapi penuh keberkatan, lalu keluarga tetap Bersatu dan ada juga harta yang banyak, tetapi menjadi api yang membakar hubungan sesama darah daging. Mungkin sebab itu Al-Quran tidak menamatkan Surah An-Nisa’ dengan kisah kemenangan besar atau ibadah yang luar biasa. Allah menutupnya dengan isu yang sangat manusiawi iaitu pembahagian hak selepas kematian.

Seolah-olah Allah sedang mengingatkan bahawa ukuran iman bukan hanya ketika kita hidup, tetapi juga pada apa yang kita tinggalkan selepas kita mati. Adakah kita meninggalkan keadilan? Atau meninggalkan pergaduhan? Adakah kita meninggalkan keberkatan? Atau meninggalkan luka dalam keluarga? Pada saya, muhasabah paling jujur daripada penutup Surah An-Nisa’ ini ialah jika suatu hari nanti kita pergi meninggalkan dunia, apakah harta yang kita tinggalkan akan menjadi jalan mudah untuk kita di akhirat atau menjadi sebab manusia saling bermusuhan selepas pemergian kita? Pada akhirnya, harta itu tidak pernah benar-benar milik kita. Ia hanyalah amanah sementara yang akan menjadi saksi tentang siapa kita sebenarnya.

Friday, May 15, 2026

Taksub Politik Sebagai Identiti Mutlak



Sambungan cari catatan saya dalam artikel Kita Satu Umat. Realitinya di Malaysia, taksub politik memang pernah dan dalam beberapa keadaan masih menjadi identiti sosial yang sangat kuat. Bagi sebahagian masyarakat, parti politik bukan sekadar pilihan pentadbiran, tetapi menjadi identiti keluarga, identiti kampung, identiti agama, identiti institusi juga malah kadang-kadang identiti moral. Sebab itu kita pernah melihat situasi di mana hubungan keluarga renggang kerana parti, masjid atau surau terpecah secara tidak rasmi, program masyarakat dipulau kerana orang parti lawan yang anjurkan dan seseorang dianggap baik atau buruk berdasarkan kecenderungan politiknya.

Ini sebenarnya menunjukkan politik di Malaysia bukan sekadar soal dasar, tetapi soal emosi, sejarah dan rasa kepunyaan kelompok. Ada beberapa faktor kenapa keadaan ini berlaku. Pertama adalah kerana sejarah politik yang panjang dan berakar. Politik Malaysia dibina lama atas naratif kaum, agama dan perjuangan identiti. Jadi sokongan kepada parti sering diwarisi secara turun-temurun. Ada orang membesar dalam suasana kita orang parti sekian-sekian. Bila identiti diwariskan, kritik terhadap parti terasa seperti serangan terhadap maruah diri atau keluarga.

Kedua budaya patronage dan jaringan sosial yang mana di sesetengah tempat, akses kepada bantuan, peluang atau pengaruh dikaitkan dengan kedudukan politik. Maka politik menjadi sangat peribadi. Ketiga sudah tentulah media sosial yang menguatkan lagi polarisasi. Hari ini orang tidak lagi hanya berbeza pandangan, tetapi hidup dalam “echo chamber”. Kita hanya dengar orang yang setuju dengan kita. Lama-kelamaan lawan dianggap bodoh, penyokong sendiri dianggap sentiasa betul dan akhirnya fakta kalah kepada emosi.

Keempat kurangnya budaya politik matang. Politik matang sepatutnya membenarkan kritik tanpa kebencian, perbezaan tanpa permusuhan, dan kerjasama demi rakyat walaupun berlainan parti. Tetapi dalam realiti, ramai masih melihat politik seperti perang menang-kalah mutlak. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila agama juga dipolitikkan secara melampau. Bila itu berlaku, orang mula melihat sokong parti tertentu maka itu lebih Islam, lawan parti tertentu maka jadilah kita musuh agama. Sedangkan hakikatnya, tiada parti yang maksum. Semua manusia dan organisasi ada kelemahan.

Namun saya rasa ada juga perubahan positif perlahan-lahan dalam generasi muda. Ramai anak muda hari ini kurang setia membuta tuli, lebih fokus kepada isu kos hidup, pekerjaan, pendidikan dan integriti serta lebih berani mengkritik semua pihak. Cuma cabarannya ialah jangan sampai generasi baru pula jatuh ke bentuk taksub yang baru iaitu taksub kepada individu, media atau ideologi tertentu.

Malaysia perlukan budaya politik yang lebih beradab. Tegas pada prinsip, tetapi lembut pada manusia, berbeza pandangan tanpa memutuskan hubungan dan meletakkan maslahat rakyat lebih tinggi daripada kemenangan kelompok. Ini kerana akhirnya, negara tidak rosak hanya kerana perbezaan politik. Negara rosak bila rakyat sudah tidak mampu melihat sesama sendiri sebagai manusia yang sama-sama mahu hidup dengan bermaruah.

Thursday, May 14, 2026

Manhaj Kehidupan Mukmin


Usrah umum WADAH Selangor hari ini (13 Mei 2026) membincangkan satu hadis yang membina jiwa beriman melalui hadis 23 Imam al-Nawawi. Penilaian dalam kehidupan hari ini, ramai manusia mencari ketenangan tetapi tidak menemukan arah. Ada yang berjaya dalam kerjaya tetapi kosong jiwanya. Ada yang aktif berbicara tentang agama tetapi lemah akhlaknya. Ada juga yang mengejar dunia sehingga lupa bahawa hidup ini sebenarnya adalah perjalanan menuju Allah SWT.

Sebab itu hadis ke-23 dalam Hadis 40 Imam al-Nawawi merupakan antara hadis yang sangat besar maknanya dalam membina kerangka kehidupan seorang mukmin. Hadis ini bukan sekadar berbicara tentang satu ibadah tertentu, tetapi menghimpunkan asas-asas penting yang membentuk identiti seorang Muslim.

Rasulullah SAW bersabda, “Kesucian itu sebahagian daripada iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan (mizan). Ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya. Sedekah adalah bukti (keimanan). Sabar adalah sinaran. Al-Quran adalah hujah yang membela atau mendakwa kamu. Setiap manusia keluar pada waktu pagi menjual dirinya; sama ada membebaskannya atau membinasakannya.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini sebenarnya menggambarkan manhaj kehidupan mukmin, bagaimana seorang mukmin membina dirinya dari dalam sehingga memberi kesan kepada kehidupan sekelilingnya. Ia juga menjelaskan kesucian adalah permulaan iman. Rasulullah SAW memulakan hadis ini dengan menyebut bahawa kesucian itu sebahagian daripada iman. Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi agama yang mendidik manusia menjadi bersih dalam seluruh kehidupannya. Bersih tubuhnya, bersih pakaiannya, bersih percakapannya dan paling penting, bersih hatinya.

Hari ini manusia sangat menjaga penampilan luar tetapi sering lupa membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan jiwa seperti hasad dengki, ego, riya’, dendam dan kebencian. Padahal hati yang kotor akan melahirkan masyarakat yang keras, penuh prasangka dan hilang kasih sayang. Mukmin yang sebenar sentiasa berusaha menyucikan dirinya kerana dia sedar bahawa kebersihan jiwa adalah asas kepada kekuatan iman. Kesucian bukan hanya soal wuduk dan pakaian, tetapi tentang bagaimana seseorang menjaga dirinya daripada perkara yang menggelapkan hati dan menjauhkan dirinya daripada Allah SWT.

Zikir adalah sesuatu yang menghidupkan jiwa. Nabi SAW kemudian menyebut tentang tasbih dan tahmid yang memenuhi timbangan pahala serta ruang antara langit dan bumi. Ini menunjukkan bahawa hubungan manusia dengan Allah bukan hanya ketika solat, tetapi melalui zikrullah yang menghidupkan hati sepanjang kehidupan. Hakikatnya ramai manusia hari ini penat secara emosi kerana jiwa mereka terlalu dipenuhi tekanan dunia, kebisingan media sosial, kemarahan dan kegelisahan yang tidak berpenghujung. Hati manusia menjadi letih kerana terlalu banyak memikirkan dunia tetapi terlalu sedikit mengingati Allah.

Sebab itu zikir menjadi sumber ketenangan yang sangat besar. Hati yang sentiasa mengingati Allah akan memiliki kekuatan yang tidak mampu dibeli dengan harta atau kedudukan. Zikir bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi satu proses menyedarkan manusia bahawa dirinya sentiasa berada di bawah rahmat dan pengawasan Allah SWT. Solat pula adalah cahaya kehidupan. Rasulullah SAW menyebut bahawa solat adalah cahaya. Cahaya memberi petunjuk arah dan mengelakkan manusia daripada tersesat dalam kegelapan. Begitulah peranan solat dalam kehidupan seorang mukmin.

Solat bukan sekadar rutin harian atau gerakan fizikal yang diulang lima kali sehari. Ia adalah sumber kekuatan jiwa, disiplin hidup dan hubungan paling penting antara seorang hamba dengan Tuhannya. Apabila manusia menjaga solat, hatinya menjadi lebih tenang, hidupnya lebih tersusun dan fikirannya lebih terkawal. Namun apabila solat mula diabaikan, manusia mudah hilang arah walaupun memiliki pelbagai kejayaan dunia. Sebab itu para ulama sering menyebut bahawa solat bukan hanya tiang agama, tetapi juga tiang kestabilan jiwa seorang mukmin bahkan dalam dunia yang penuh kekeliruan hari ini, manusia sebenarnya sangat memerlukan cahaya daripada solat untuk memandu kehidupan mereka.

Sedekah adalah bukti keimanan. Antara frasa paling menarik dalam hadis ini ialah apabila Rasulullah SAW menyebut bahawa sedekah adalah bukti. Nabi SAW tidak mengatakan sedekah itu sekadar pahala, tetapi burhan, iaitu bukti yang jelas terhadap keimanan seseorang. Manusia secara fitrah sangat mencintai harta dan kepentingan dirinya sendiri. Apabila seseorang sanggup memberi kepada orang lain, maka itu menunjukkan bahawa dirinya benar-benar percaya kepada ganjaran Allah dan kehidupan akhirat.

Sedekah juga tidak terbatas kepada wang semata-mata. Ada manusia yang bersedekah dengan tenaga, masa, ilmu, perhatian dan kasih sayang. Bahkan menahan diri daripada menyakiti orang lain juga merupakan satu bentuk sedekah yang besar nilainya di sisi Allah. Masyarakat hari ini sangat memerlukan budaya memberi dan memudahkan urusan orang lain. Dunia menjadi semakin keras apabila manusia hanya memikirkan diri sendiri. Sebaliknya masyarakat akan menjadi lebih tenang apabila manusia hidup dengan semangat rahmah dan saling membantu.

Sabar adalah sinaran. Rasulullah SAW menyebut bahawa sabar adalah sinaran. Sabar bukan bermaksud kelemahan atau menyerah kepada keadaan, tetapi kekuatan dalaman yang membolehkan manusia terus istiqamah walaupun diuji. Jalan menuju syurga bukan jalan yang mudah. Manusia akan diuji dengan kesusahan, kehilangan, tekanan dan pelbagai bentuk cabaran kehidupan. Ada masanya manusia diuji dengan kesenangan sehingga lupa diri dan ada masanya diuji dengan kesempitan sehingga hampir berputus asa.

Sebab itu sabar menjadi kekuatan yang sangat penting dalam kehidupan seorang mukmin. Orang yang sabar bukan bermaksud dia tidak menangis atau tidak terluka, tetapi dia tetap memilih untuk taat kepada Allah walaupun dirinya sedang diuji. Ketika berada dalam dunia yang mahukan segala-galanya secara segera, sifat sabar menjadi semakin mahal nilainya. Sedangkan kemenangan yang sebenar sering lahir daripada kesabaran yang panjang.

Nilaikanlah al-Quran kita sama ada akan membela atau mendakwa kita nanti. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa Al-Quran akan menjadi hujah yang membela atau mendakwa manusia. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca ketika majlis tertentu atau disimpan sebagai hiasan di rumah. Ia diturunkan sebagai panduan hidup yang membentuk cara manusia berfikir, bercakap dan membuat keputusan. Apabila seseorang membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran, maka kitab itu akan menjadi pembela baginya di akhirat. Namun apabila manusia menjauhi ajaran Al-Quran, maka ia akan menjadi saksi terhadap kelalaian dan keingkarannya.

Persoalan besar yang perlu ditanya kepada diri sendiri ialah sama ada Al-Quran benar-benar memimpin kehidupan kita atau sekadar menjadi bacaan yang tidak meninggalkan kesan pada akhlak dan tindakan kita. Sedar atau tidak, setiap hari manusia sedang menjual dirinya. Penutup hadis ini sangat mendalam dan menyentuh hakikat sebenar kehidupan manusia. Rasulullah SAW menyebut bahawa setiap manusia keluar pada waktu pagi menjual dirinya, sama ada membebaskan dirinya atau membinasakannya.

Hakikatnya setiap hari manusia sedang membuat pilihan yang menentukan kedudukan dirinya di sisi Allah. Ada manusia yang menjual dirinya demi dunia, pengaruh, kemewahan dan nafsu sehingga akhirnya kehilangan ketenangan dan keberkatan hidup. Ada pula yang menjual dirinya kepada Allah melalui amal soleh, pengorbanan dan ketaatan. Tidak ada kehidupan yang benar-benar neutral. Setiap tindakan, pilihan dan keputusan manusia sedang membawa dirinya sama ada menuju keselamatan atau kebinasaan. Inilah hakikat perjuangan hidup seorang mukmin. Hidup bukan sekadar perjalanan mencari keselesaan dunia, tetapi perjalanan menyelamatkan diri untuk bertemu Allah SWT dalam keadaan yang diredai-Nya.

Hadis ini mengajar bahawa kehidupan seorang mukmin tidak dibina hanya dengan slogan atau identiti luaran semata-mata. Ia dibina melalui kesucian jiwa, hubungan yang dekat dengan Allah, kekuatan ibadah, akhlak terhadap manusia, kesabaran dalam perjuangan dan panduan Al-Quran. Mukmin yang sebenar bukan hanya baik pada ibadahnya, tetapi juga membawa cahaya dan rahmat kepada manusia di sekelilingnya. Kehadirannya menenangkan, percakapannya membina dan kehidupannya memberi manfaat kerana akhirnya, setiap manusia sedang berjalan menuju Allah SWT dan setiap hari, kita sedang menentukan sama ada kehidupan ini membebaskan diri kita atau membinasakannya.

Wednesday, May 13, 2026

Kita Satu Umat



Kenyataan atas ni ada asas yang kuat dari sudut sosial dan kemanusiaan. Saya ambil dari FB YB Senator Dr. Jufitri Joha dan menarik untuk dibincangkan. Bila politik kepartian menjadi terlalu dominan dalam identiti seseorang, kadang-kadang manusia mula melihat orang lain bukan lagi sebagai saudara masyarakat atau sesama umat, tetapi sebagai kem lawan. Akhirnya, perbezaan pandangan politik dianggap lebih besar daripada nilai kasih sayang, adab dan tanggungjawab bersama.

Ketika berhadapan dalam macam ragam keadaan, kita boleh nampak bagaimana isu kemanusiaan, pendidikan, kebajikan atau bahkan musibah pun ditapis melalui pandangan parti. Orang dinilai berdasarkan warna politik sebelum dinilai sebagai manusia. Itu yang berbahaya. Sedangkan konsep “Biz bir ümmetiz” atau kita satu umat ini membawa makna bahawa persaudaraan, ihsan dan keadilan perlu mengatasi kepentingan kelompok.

Namun begitu, saya rasa penting juga untuk bezakan antara politik sebagai alat khidmat dan taksub politik sebagai identiti mutlak. Politik itu sendiri tidak salah. Tidak kiralah dalam masyarakat dan negara, politik diperlukan untuk urus tadbir, semak imbang dan perubahan dasar. Masalah akan muncul bila kesetiaan kepada parti mengatasi kebenaran, lawan politik dianggap musuh agama atau musuh bangsa, perbincangan hilang adab dan kemenangan lebih penting daripada maslahat rakyat. Kadang-kadang orang terlalu ghairah menang hujah, sampai lupa menjaga hati, ukhuwah dan akhlak. Sedangkan dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan wujud sejak dahulu, tetapi adab dan kasih sayang tetap dipelihara.

Saya fikir cabaran besar hari ini ialah media sosial mempercepatkan budaya “tribal”. Algoritma suka konflik. Semakin marah, semakin tular. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana cepat menghukum, sukar mendengar dan mudah membenci. Sebab itu masyarakat perlukan lebih ramai tokoh, pendidik, agamawan dan pemimpin yang mampu mengingatkan bahawa kita boleh berbeza parti, tetapi tidak boleh hilang kemanusiaan atau mungkin lebih tepat jangan sampai parti menjadi lebih besar daripada prinsip dan jangan sampai perbezaan memadamkan persaudaraan.

Tuesday, May 12, 2026

Cahaya Yang Dipegang (berdasarkan Tadabbur Surah An-Nisa’ 171–175)



Jangan melampaui cinta

Hingga hilang arah jiwa

Kerana yang dicinta manusia

Tetap hamba di sisi-Nya

Isa datang membawa cahaya

Bukan untuk disembah dunia

Tetapi mengajak manusia

Kembali tunduk kepada-Nya


Kadang hati terlalu kagum

Hingga lupa siapa Tuhan

Kadang cinta jadi racun

Bila tak dipimpin iman


Dan cahaya itu datang

Menyinari hati yang hilang

Bukan sekadar untuk dipercaya

Tetapi untuk dipegang

Berpeganglah kepada Tuhan

Saat dunia mula menyesakkan

Kerana tanpa pegangan

Kita hanyut perlahan-lahan


Tiada hina jadi hamba

Yang hina itu jiwa sombong

Enggan sujud kepada-Nya

Lalu hidup makin kosong

Ramai mencari kebebasan

Namun jadi hamba dunia

Sedangkan tenang yang sebenar

Ada pada tunduk kepada-Nya


Bukankah sudah datang bukti

Bukankah sudah turun nur

Mengapa masih mencari jalan lain

Sedang Tuhan masih menyeru?


Dan cahaya itu datang

Untuk hati yang mahu pulang

Bukan sekadar dibaca

Tetapi untuk diperjuangkan

Berpeganglah kepada Tuhan

Walau dunia cuba lepaskan

Kerana yang selamat bukan yang tahu

Tetapi yang tetap berpaut


Saat semua mulai rapuh

Dan dunia makin menjauh

Masih ada satu cahaya…

Bagi hati yang mahu tunduk…

Tadabbur Surah An-Nisa’ 171–175: Apabila Iman Menjadi Cahaya, Bukan Sekadar Kepercayaan



Ada satu kesilapan yang manusia sering lakukan dalam beragama. Bukan kerana tidak beriman. Tetapi kerana terlalu jauh melampaui batas atau terlalu longgar hingga hilang arah. Ayat 171 hingga 175 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu titik yang sangat penting dalam perjalanan iman. Titik di mana Allah bukan sekadar membetulkan kepercayaan, tetapi membetulkan cara manusia memahami agama itu sendiri.

Apabila Allah menyeru Ahli Kitab supaya tidak melampaui batas dalam agama, ia memang jelas merujuk kepada kepercayaan trinity dalam Kristian. Seperti yang dapat kita fahami, ayat ini adalah penegasan bahawa Nabi Isa hanyalah seorang rasul, bukan Tuhan, bukan sebahagian daripada Tuhan. Tauhid itu bersih dan tidak bercampur. Tetapi jika kita berhenti di situ, kita mungkin terlepas sesuatu yang lebih halus.

Masalah sebenar yang Allah sebut bukan sekadar kesalahan akidah. Masalahnya ialah ghuluw atau melampaui batas dalam agama. Ia bermula bukan dengan penolakan, tetapi dengan keterlaluan dalam cinta dan penghormatan. Nabi Isa diangkat terlalu tinggi sehingga keluar dari batas kemanusiaan dan di sinilah ayat ini menjadi sangat dekat dengan kita kerana ghuluw bukan hanya milik agama lain. Ia boleh hadir dalam bentuk yang lebih lembut dalam kehidupan kita. Apabila kita terlalu mengagungkan manusia, terlalu bergantung kepada makhluk atau meletakkan sesuatu dalam hati kita sehingga ia mengatasi Allah, pada saat itu, kita sedang melangkah ke arah yang sama, walaupun bentuknya berbeza. Tauhid bukan sekadar menyebut Allah itu satu. Tauhid adalah memastikan tiada apa pun dalam hati kita yang mengambil tempat-Nya.

Kemudian ayat ini membawa kita kepada satu realiti yang sangat menusuk ego manusia. Allah menyebutkan bahawa Nabi Isa sendiri tidak pernah berasa hina untuk menjadi hamba Allah. Bahkan para malaikat yang dekat dengan-Nya juga tidak berasa rendah. Ini sangat bertentangan dengan jiwa manusia hari ini. Kita tidak mahu menjadi hamba. Kita mahu bebas. Kita mahu menentukan sendiri jalan hidup. Tetapi ayat ini seolah-olah membisik satu kebenaran yang sering kita lupakan iaitu kehinaan bukan pada tunduk kepada Allah sebaliknya kehinaan sebenar adalah apabila kita terlalu sombong untuk sujud. Apa yang kita anggap kebebasan, kadang-kadang sebenarnya hanyalah bentuk lain dari perhambaan. Perhambaan kepada nafsu, kepada dunia, kepada manusia.

Apabila ayat seterusnya membezakan antara orang yang beriman dan orang yang sombong, kita mula melihat bahawa isu sebenar bukan pada amal semata-mata. Ia pada sikap hati. Seorang yang beriman itu tunduk. Dia menerima. Dia tidak berasa dirinya lebih besar daripada kebenaran dan kerana itu, Allah bukan sahaja memberi pahala, tetapi menambah kurnia. Sebaliknya, orang yang sombong bukan sekadar tidak beriman. Dia menolak kerana berasa dirinya tidak perlu tunduk dan di situlah bermulanya kejatuhan.

Kemudian datang satu ayat yang sangat indah dan sangat mendalam. Allah menyebutkan bahawa telah datang kepada manusia bukti yang nyata dan cahaya yang terang. Seperti yang telah kita fahami, bukti itu sudah ada. Tidak lagi tersembunyi. Tidak lagi samar. Tetapi ayat ini tidak berhenti pada bukti sahaja bahkan ia menyebut cahaya. Ini bermakna Islam bukan sekadar benar dari sudut hujah bahkan ia juga menerangi dari sudut jiwa. Al-Qur’an bukan hanya untuk difahami. Ia untuk menghidupkan hati. Namun di sinilah satu persoalan besar muncul, adakah kita benar-benar melihat Al-Qur’an sebagai cahaya atau sekadar bacaan yang kita ulang tanpa rasa?

Akhirnya, ayat ini membawa kita kepada satu gambaran yang sangat kuat tentang manusia yang berpegang teguh kepada Allah. Bukan sekadar percaya. Bukan sekadar tahu. Tetapi berpegang seperti seseorang yang berada di tengah lautan, yang hanya mampu selamat jika dia berpaut kuat kepada sesuatu yang kukuh. Hidup ini penuh tarikan. Dunia menarik. Nafsu menarik. Tekanan menarik dan tanpa pegangan yang kuat, manusia akan hanyut walaupun dia tahu arah yang benar.

Ayat-ayat ini sebenarnya membawa kita kepada satu muhasabah yang sangat jujur. Adakah kita benar-benar menjaga tauhid dalam hati kita atau kita masih meletakkan sesuatu yang lain sebagai sandaran utama? Adakah kita bangga menjadi hamba Allah atau kita masih melihatnya sebagai satu beban? Adakah kita melihat Al-Qur’an sebagai cahaya yang membimbing hidup kita atau sekadar kewajipan yang kita selesaikan?

Paling penting adakah kita benar-benar berpegang kepada Allah atau kita hanya tahu tentang-Nya tetapi tidak berpaut kepada-Nya? Ini adalah kerana akhirnya, iman bukan sekadar apa yang kita percaya. Iman adalah apa yang kita pegang ketika hidup mula menarik kita ke arah yang lain.