Ada satu perkara yang sering kita fikir kita ada tetapi sebenarnya kita sudah kehilangannya iaitu alasan. Kita rasa kita masih boleh berkata, “aku belum tahu,” atau “aku belum bersedia,” atau “aku belum sampai tahap itu.”
Tetapi ayat 163 hingga 170 Surah An-Nisa’ datang dengan satu penegasan yang sangat jelas bahawa kebenaran ini bukan sesuatu yang baru dan manusia sebenarnya tidak lagi mempunyai alasan untuk berpaling daripadanya. Apabila Allah menyebut bahawa wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana diturunkan kepada para nabi sebelum ini, daripada Nuh, Ibrahim, sehingga kepada Musa dan Isa, ia bukan sekadar senarai nama. Ia adalah satu penegasan yang sangat dalam bahawa risalah ini adalah satu kesinambungan.
Agama ini bukan sesuatu yang asing. Ia bukan sesuatu yang baru dicipta. Ia adalah jalan yang sama yang telah dibawa sejak awal manusia dan mungkin di sinilah jawapan kepada persoalan kita, mengapa perlu penegasan ini?
Ia adalah kerana ada manusia yang menolak bukan kerana tidak kenal konsep wahyu, tetapi kerana tidak mahu menerima kebenaran yang datang melalui Rasul terakhir. Maka Allah mengingatkan, ini bukan mesej baru, ini adalah sambungan kepada kebenaran yang kamu sudah kenal. Kemudian ayat 165 membawa kita kepada satu titik yang sangat penting dalam memahami peranan para rasul. Mereka bukan sekadar pembawa berita. Mereka adalah penutup hujah manusia terhadap Allah.
Tanpa mereka, manusia boleh berkata, “Aku tidak tahu.”, “Aku tidak pernah diberitahu.” Tetapi selepas wahyu sampai, selepas kebenaran dijelaskan, selepas jalan ditunjukkan, semua alasan itu gugur, maka di sinilah kitab oleh fahami bahawa para rasul adalah penyelamat menjadi sangat bermakna. Mereka menyelamatkan manusia bukan sekadar dari kesesatan, tetapi dari hidup dalam kegelapan tanpa arah. Mereka membuka jalan keluar daripada zon lupa Tuhan yang begitu mudah menelan manusia. Namun pada masa yang sama, mereka juga menjadikan manusia bertanggungjawab kerana setelah kebenaran sampai, yang tinggal bukan lagi persoalan tahu atau tidak tahu tetapi yang tinggal hanyalah mahu tunduk atau tidak.
Apabila ayat-ayat ini menyebut tentang golongan yang kufur dan mereka yang menghalang manusia dari jalan Allah, kita mula melihat satu gambaran yang lebih jelas. Kufur dalam Al-Qur’an bukan sekadar tidak percaya. Ia adalah tindakan menutup kebenaran walaupun kebenaran itu sudah jelas di hadapan dan lebih berat lagi ialah golongan yang bukan sahaja menolak, tetapi menjadi penghalang kepada orang lain. Mereka bukan sekadar tersesat, tetapi membawa orang lain ke arah yang sama.
Kita berada dalam dunia hari ini, bentuknya mungkin tidak kelihatan sama. Ia mungkin hadir dalam bentuk kata-kata yang meremehkan agama, dalam budaya yang menormalisasikan dosa atau dalam sikap yang menjadikan kebenaran kelihatan janggal. Tanpa sedar, manusia bukan sahaja menjauh dari Allah, tetapi menarik orang lain bersama dan mungkin di sinilah kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sekadar menjaga diri atau kita juga mempengaruhi orang lain tanpa sedar?
Namun yang paling menyentuh ialah cara Allah menutup bahagian ini. Selepas semua penjelasan, selepas semua hujah, Allah tidak memaksa. Allah hanya berfirman, “Berimanlah, itu lebih baik bagi kamu.” Seolah-olah Allah mengingatkan bahawa iman itu bukan untuk-Nya. Allah tidak memerlukan keimanan manusia. Dia memiliki langit dan bumi, dengan atau tanpa kita. Sebaliknya, iman itu adalah untuk kita, untuk menyelamatkan kita. Untuk membimbing kita dan untuk memberi makna kepada hidup kita.
Ayat-ayat ini akhirnya membawa kita kepada satu muhasabah yang sangat jujur. Kita mungkin tidak lagi boleh berkata kita tidak tahu. Kita telah membaca. Kita telah mendengar. Kita telah memahami walau sekurang-kurangnya sebahagian. Tetapi persoalannya bukan lagi tentang pengetahuan. Persoalannya ialah, adakah kita benar-benar bersedia untuk tunduk? Ada beza antara mengetahui kebenaran dan hidup dengan kebenaran. Ada beza antara mengakui dan menyerahkan diri dan mungkin di sinilah bahaya yang paling halus. Bukan menolak sepenuhnya, tetapi menerima tanpa berubah. Mendengar tanpa bertindak. Percaya tanpa menyerahkan diri.
Maka mungkin soalan paling jujur yang ayat ini tinggalkan untuk kita ialah, jika kebenaran ini sudah sampai kepada kita hari ini, jika hujah ini sudah jelas di hadapan kita, apakah lagi yang kita tunggu?

No comments:
Post a Comment