Showing posts with label Neraka. Show all posts
Showing posts with label Neraka. Show all posts

Monday, March 16, 2026

Apabila Yang Pasti Itu Datang


Ada satu hakikat yang sering kita cuba lupakan. Hakikat bahawa kehidupan ini sebenarnya sedang bergerak menuju satu titik yang tidak boleh dielakkan. Al-Qur’an menamakannya sebagai Al-Waqi'ah atau peristiwa yang pasti terjadi. Bukan kemungkinan. Bukan ramalan. Tetapi sesuatu yang pasti berlaku. Surah ini tidak bermula dengan nasihat lembut.

Ia bermula dengan satu pengumuman yang tegas, “Apabila berlaku al-Waqi'ah, tiada siapa yang dapat mendustakannya.”

Seolah-olah Allah ingin menggoncang kesedaran manusia yang terlalu selesa dengan dunia. Dunia kelihatannya kukuh dan terlihat. Bumi kelihatan kukuh di bawah kaki. Gunung berdiri teguh di ufuk langit. Kehidupan berjalan seperti biasa. Tetapi surah ini membuka tirai dengan gambaran yang sangat berbeza. Bumi digoncang. Gunung dihancurkan. Segalanya menjadi debu yang berterbangan.

Al-Qur’an seperti ingin memberitahu sesuatu kepada kita, apa yang kita sangka kukuh, sebenarnya rapuh di sisi Allah. Dunia yang kita bina dengan segala usaha, kerjaya, reputasi dan kedudukan akhirnya hanyalah persinggahan yang sementara. Pada hari itu, apabila tiba masanya, manusia tidak sama. Ketika tirai akhirat dibuka, manusia tidak lagi berada dalam satu barisan yang sama. Surah ini membahagikan manusia kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah as-sabiqun. Mereka yang sentiasa mendahului dalam kebaikan. Mereka bukan sekadar orang baik. Mereka adalah manusia yang tidak menunggu orang lain untuk berbuat baik. Mereka bersegera kepada amal, kepada iman, kepada ketaatan dan kerana itu mereka berada paling dekat dengan Allah.

Kedua, datang ashab al-yamin, golongan kanan. Mereka juga berjaya. Mereka beriman dan beramal. Kehidupan mereka dipenuhi rahmat dan kenikmatan di syurga. Tetapi surah ini juga menyebut satu golongan yang lain iaitu ashab al-shimal. Golongan kiri. Mereka hidup di dunia dengan kesombongan, menolak kebenaran dan menafikan kebangkitan semula. Akhirnya mereka menyedari kesilapan itu apabila semuanya sudah terlambat.

Syurga memberikan gambaran yang menghidupkan harapan melalui surah ini. Ia melukiskan syurga dengan gambaran yang sangat hidup. Singgahsana yang tersusun indah. Buah-buahan yang tidak pernah habis. Minuman yang tidak memabukkan. Suasana damai yang tidak pernah terganggu. Semua ini bukan sekadar janji abstrak. Ia adalah realiti yang sedang menunggu mereka yang beriman. Kadang-kadang manusia merasa berat untuk berbuat kebaikan. Berat untuk bersabar. Berat untuk meninggalkan dosa. Tetapi gambaran syurga dalam surah ini seolah-olah berkata, segala pengorbanan itu tidak sia-sia.

Selepas menggambarkan kenikmatan syurga, surah ini membawa kita melihat sisi yang lain. Gambaran neraka yang menggerunkan. Golongan kiri berada dalam suasana yang sangat menyakitkan. Angin panas yang membakar. Air mendidih yang tidak dapat menghilangkan dahaga. Bayangan asap hitam yang tidak memberi kesejukan. Ia bukan sekadar hukuman fizikal. Ia adalah akibat daripada kehidupan yang penuh kesombongan terhadap Allah. Manusia yang merasa dirinya tidak memerlukan petunjuk akhirnya menghadapi realiti yang sangat pahit.

Menariknya, selepas menggambarkan akhirat, Allah tidak terus menutup perbincangan dengan mengajak kita berfikir. Allah mengajak manusia melihat dunia di sekeliling mereka. Siapa yang mencipta manusia? Siapa yang menumbuhkan tanaman daripada tanah yang mati? Siapa yang menurunkan hujan dari langit? Siapa yang mencipta api yang memberi manfaat kepada manusia? Soalan-soalan ini sebenarnya bukan untuk mencari jawapan. Jawapannya sudah jelas. Ia untuk menyedarkan manusia bahawa Tuhan yang mencipta kehidupan ini pasti mampu menghidupkan manusia semula selepas mati.

Tiba dipenghujung surah, Allah membawa kita kepada satu detik yang sangat dekat dengan kehidupan manusia. Saat yang tidak dapat dielakkan. Detik kematian. Ketika roh sampai ke kerongkong, manusia mula menyedari bahawa perjalanan dunia sudah hampir berakhir. Pada saat itu, keluarga tidak mampu membantu. Kekayaan tidak memberi manfaat. Kuasa tidak lagi bermakna. Segala yang tinggal hanyalah amal. Barulah jelas siapa yang tergolong dalam golongan yang dekat dengan Allah, siapa yang selamat dan siapa yang menyesal.

Surah ini sebenarnya tidak sekadar bercerita tentang akhirat. Ia meninggalkan satu soalan yang sangat peribadi kepada setiap pembacanya. Jika hari itu datang hari ini, aku berada dalam golongan yang mana? Adakah aku termasuk dalam mereka yang mendahului dalam kebaikan? Atau sekadar berharap untuk selamat? Atau sebenarnya masih hidup dalam kelalaian terhadap akhirat?

Kesedaran inilah yang akhirnya membawa kita kepada penutup surah yang sangat indah, “Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Agung.”

Seolah-olah selepas melihat seluruh perjalanan kehidupan dan akhirat, manusia akhirnya memahami satu hakikat yang besar. Bahawa kehidupan ini hanya akan bermakna apabila ia dipenuhi dengan kesedaran terhadap kebesaran Allah.

Tuesday, March 3, 2026

Di Antara Wasiat dan Syurga


Ada sesuatu yang sangat menarik apabila kita membaca Surah An-Nisa’ ayat 12 hingga 14. Ayat-ayat ini kelihatan seperti perincian teknikal tentang pembahagian harta yang mana bahagian suami, isteri, ibu, bapa. Tetapi di hujungnya, Allah berbicara tentang syurga dan neraka. Seolah-olah Allah mahu kita faham bahawa ini bukan sekadar matematik. Ini adalah ujian ketaatan.

Harta itu datang bersama tanggungjawab. Ayat 12 memperincikan bahagian suami dan isteri dalam pusaka. Tetapi sebelum bahagian itu diberikan, Allah menyebut dua perkara penting iaitu “...sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan atau hutang.” Dalam perbahasan para mufassir seperti Ibn Kathir, dijelaskan bahawa hutang sebenarnya perlu diselesaikan terlebih dahulu, kemudian wasiat (tidak melebihi satu pertiga), barulah baki harta diagihkan kepada waris.

Saya berhenti lama pada susunan ini. Rupa-rupanya, sebelum kita berbicara tentang “hak saya”, Islam memaksa kita menyelesaikan “tanggungjawab dia”. Harta si mati bukan semata-mata milik waris. Ia terlebih dahulu berkait dengan amanah yang belum selesai. Betapa halusnya tarbiah ini. Islam mendahulukan tanggungjawab sebelum hak.

Jangan memudaratkan. Di hujung ayat 12, Allah menyebut, “...tanpa memudaratkan (waris).” Imam Al-Qurtubi menegaskan bahawa ini larangan membuat wasiat yang bertujuan menzalimi waris seperti sengaja menghabiskan harta melalui wasiat supaya bahagian waris menjadi kecil. Maknanya, bahkan dalam ruang yang dibenarkan sekalipun, Allah mengawal agar keadilan tidak dicemari oleh niat yang jahat. Saya sedar sesuatu bahawa kezaliman kadang-kadang tidak berlaku secara terang-terangan. Ia berlaku melalui manipulasi yang kelihatan sah. Dan Allah menutup pintu itu.

Inilah hudud. Kemudian datang ayat 13, “Itulah hudud Allah…” Perkataan hudud di sini sangat kuat. Ia bermaksud batas-batas yang ditetapkan oleh Allah. Menurut tafsir Al-Tabari, penggunaan istilah ini menunjukkan bahawa sistem faraid bukan cadangan sosial, bukan adat budaya, bukan hasil rundingan manusia. Ia sempadan Ilahi. Dan ganjarannya disebut dengan jelas, barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga… Saya terpaku. Pembahagian harta pun boleh menjadi sebab masuk syurga.

Garis yang tidak boleh dilampaui. Sebaliknya ayat 14 menyebutkan, “Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas-Nya…” Balasannya bukan ringan. Ia neraka dan azab yang menghinakan. Mengapa begitu keras? Kerana melanggar faraid bukan sekadar salah kira. Ia melanggar tiga lapisan iaitu mengingkari ketetapan Allah, menafikan hak manusia dan merosakkan keseimbangan masyarakat.

Dalam sejarah dan realiti hari ini, berapa banyak keluarga retak kerana pusaka? Berapa banyak adik-beradik tidak lagi bertegur sapa kerana tanah dan rumah? Mungkin sebab itu Allah mengikat hukum ini dengan akhirat supaya kita tidak bermain-main dengannya.

Pusaka ini ujian emosi dan iman? Saya semakin terasa bahawa ayat 12–14 ini bukan sekadar sistem ekonomi. Ia ujian emosi. Ketika harta dibahagi, yang berbicara bukan hanya angka. Yang muncul adalah rasa tidak puas hati, perbandingan, cemburu dan kadang-kadang tamak. Di situlah iman diuji. Adakah kita benar-benar percaya bahawa Allah Maha Adil? Atau kita rasa kita lebih tahu bagaimana mahu membahagi? Allah menutup ayat-ayat ini dengan garis yang jelas iaitu taat dapat  syurga atau langgar batas diazab di neraka. Tiada zon kelabu.

Saya belajar sesuatu yang besar daripada ayat-ayat ini. Taqwa bukan hanya tentang ibadah yang kelihatan. Taqwa juga tentang cara kita mengurus harta yang tidak lagi berada di tangan pemiliknya. Dan mungkin inilah hakikat yang sering kita lupa bahawa harta boleh menjadi sebab perpecahan atau menjadi sebab kita mendekat kepada syurga. Semua bergantung kepada sama ada kita menghormati hudud Allah atau tidak. Akhirnya saya bertanya kepada diri sendiri, jika suatu hari nanti saya berada dalam situasi membahagi pusaka, adakah saya akan berdiri sebagai hamba yang taat atau sebagai manusia yang dikuasai emosi? Kerana di antara wasiat dan warisan itu, sebenarnya terletak satu garis halus. Garis antara dunia dan akhirat.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah An-Nisa' ayat 12 hingga 14.