Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Sunday, May 17, 2026

Politik Sebagai Alat Khidmat



Ya, pada pandangan saya politik memang sepatutnya menjadi alat khidmat, bukan alat ketaksuban, permusuhan atau kepentingan diri semata-mata. Boleh semak tulisan saya dalam tajuk Kita Satu Umat dan Taksub Politik Sebagai Identiti Mutlak. Saya sambung di sini sebab fikir perlu diperdalam kedahaman dan keperluan untuk menilai dengan timbangan yang sepatutnya. Asal politik itu sendiri ialah mengurus kehidupan masyarakat bermula dari menjaga kebajikan rakyat, menyusun keadilan, membina keamanan, mengurus ekonomi, memastikan pendidikan, kesihatan dan keselamatan berjalan baik.

Maksudnya, politik pada asasnya ialah amanah mengurus manusia dan negara. Sebab itu dalam tradisi Islam pun, kepimpinan sering dikaitkan dengan tanggungjawab dan hisab, bukan kemuliaan yang kosong. Masalah berlaku apabila politik ini berubah daripada persoalan bagaimana saya boleh berkhidmat kepada rakyat? Lalu menjadi bagaimana saya boleh kekal berkuasa?

Apabila manusia menjadikan kuasa sebagai matlamat utama maka rakyat jadi alat, sentimen dimainkan, lawan dibenci dan prinsip boleh berubah demi kemenangan. Sedangkan jika politik dilihat sebagai alat khidmat, pemimpin akan lebih terbuka menerima teguran, parti akan bersaing menawarkan solusi, rakyat pula menilai berdasarkan manfaat, integriti dan akhlak. Sebab itu saya rasa penting untuk bezakan berpolitik dengan mempertuhankan politik.

Berpolitik itu normal dalam masyarakat demokratik. Kita perlu pandangan berbeza, semak imbang dan persaingan idea. Tetapi bila politik menjadi identiti mutlak, manusia mula hilang keupayaan untuk berlaku adil kepada orang yang berbeza. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mempertahankan team kita, sampai lupa bertanya adakah rakyat makin baik? Adakah anak muda makin terbela? Adakah masyarakat makin berakhlak? Adakah negara makin aman dan matang?

Kalau politik gagal membawa khidmat kepada manusia, maka politik itu kehilangan rohnya. Mungkin sebab itu ada ungkapan yang sangat kuat menyatakan kuasa bukan tempat mencari kemuliaan, tetapi tempat memikul tanggungjawab dan dalam konteks Malaysia hari ini, saya rasa masyarakat makin dahagakan politik yang kurang drama, kurang kebencian, lebih solusi, lebih tenang dan benar-benar terasa manfaatnya kepada rakyat biasa. Luahan rasa yang saya fikir perlu diambil perhatian oleh para politikus dan masyarakat yang terbuai dengan mainan mereka.

Friday, May 15, 2026

Taksub Politik Sebagai Identiti Mutlak



Sambungan cari catatan saya dalam artikel Kita Satu Umat. Realitinya di Malaysia, taksub politik memang pernah dan dalam beberapa keadaan masih menjadi identiti sosial yang sangat kuat. Bagi sebahagian masyarakat, parti politik bukan sekadar pilihan pentadbiran, tetapi menjadi identiti keluarga, identiti kampung, identiti agama, identiti institusi juga malah kadang-kadang identiti moral. Sebab itu kita pernah melihat situasi di mana hubungan keluarga renggang kerana parti, masjid atau surau terpecah secara tidak rasmi, program masyarakat dipulau kerana orang parti lawan yang anjurkan dan seseorang dianggap baik atau buruk berdasarkan kecenderungan politiknya.

Ini sebenarnya menunjukkan politik di Malaysia bukan sekadar soal dasar, tetapi soal emosi, sejarah dan rasa kepunyaan kelompok. Ada beberapa faktor kenapa keadaan ini berlaku. Pertama adalah kerana sejarah politik yang panjang dan berakar. Politik Malaysia dibina lama atas naratif kaum, agama dan perjuangan identiti. Jadi sokongan kepada parti sering diwarisi secara turun-temurun. Ada orang membesar dalam suasana kita orang parti sekian-sekian. Bila identiti diwariskan, kritik terhadap parti terasa seperti serangan terhadap maruah diri atau keluarga.

Kedua budaya patronage dan jaringan sosial yang mana di sesetengah tempat, akses kepada bantuan, peluang atau pengaruh dikaitkan dengan kedudukan politik. Maka politik menjadi sangat peribadi. Ketiga sudah tentulah media sosial yang menguatkan lagi polarisasi. Hari ini orang tidak lagi hanya berbeza pandangan, tetapi hidup dalam “echo chamber”. Kita hanya dengar orang yang setuju dengan kita. Lama-kelamaan lawan dianggap bodoh, penyokong sendiri dianggap sentiasa betul dan akhirnya fakta kalah kepada emosi.

Keempat kurangnya budaya politik matang. Politik matang sepatutnya membenarkan kritik tanpa kebencian, perbezaan tanpa permusuhan, dan kerjasama demi rakyat walaupun berlainan parti. Tetapi dalam realiti, ramai masih melihat politik seperti perang menang-kalah mutlak. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila agama juga dipolitikkan secara melampau. Bila itu berlaku, orang mula melihat sokong parti tertentu maka itu lebih Islam, lawan parti tertentu maka jadilah kita musuh agama. Sedangkan hakikatnya, tiada parti yang maksum. Semua manusia dan organisasi ada kelemahan.

Namun saya rasa ada juga perubahan positif perlahan-lahan dalam generasi muda. Ramai anak muda hari ini kurang setia membuta tuli, lebih fokus kepada isu kos hidup, pekerjaan, pendidikan dan integriti serta lebih berani mengkritik semua pihak. Cuma cabarannya ialah jangan sampai generasi baru pula jatuh ke bentuk taksub yang baru iaitu taksub kepada individu, media atau ideologi tertentu.

Malaysia perlukan budaya politik yang lebih beradab. Tegas pada prinsip, tetapi lembut pada manusia, berbeza pandangan tanpa memutuskan hubungan dan meletakkan maslahat rakyat lebih tinggi daripada kemenangan kelompok. Ini kerana akhirnya, negara tidak rosak hanya kerana perbezaan politik. Negara rosak bila rakyat sudah tidak mampu melihat sesama sendiri sebagai manusia yang sama-sama mahu hidup dengan bermaruah.

Wednesday, May 13, 2026

Kita Satu Umat



Kenyataan atas ni ada asas yang kuat dari sudut sosial dan kemanusiaan. Saya ambil dari FB YB Senator Dr. Jufitri Joha dan menarik untuk dibincangkan. Bila politik kepartian menjadi terlalu dominan dalam identiti seseorang, kadang-kadang manusia mula melihat orang lain bukan lagi sebagai saudara masyarakat atau sesama umat, tetapi sebagai kem lawan. Akhirnya, perbezaan pandangan politik dianggap lebih besar daripada nilai kasih sayang, adab dan tanggungjawab bersama.

Ketika berhadapan dalam macam ragam keadaan, kita boleh nampak bagaimana isu kemanusiaan, pendidikan, kebajikan atau bahkan musibah pun ditapis melalui pandangan parti. Orang dinilai berdasarkan warna politik sebelum dinilai sebagai manusia. Itu yang berbahaya. Sedangkan konsep “Biz bir ümmetiz” atau kita satu umat ini membawa makna bahawa persaudaraan, ihsan dan keadilan perlu mengatasi kepentingan kelompok.

Namun begitu, saya rasa penting juga untuk bezakan antara politik sebagai alat khidmat dan taksub politik sebagai identiti mutlak. Politik itu sendiri tidak salah. Tidak kiralah dalam masyarakat dan negara, politik diperlukan untuk urus tadbir, semak imbang dan perubahan dasar. Masalah akan muncul bila kesetiaan kepada parti mengatasi kebenaran, lawan politik dianggap musuh agama atau musuh bangsa, perbincangan hilang adab dan kemenangan lebih penting daripada maslahat rakyat. Kadang-kadang orang terlalu ghairah menang hujah, sampai lupa menjaga hati, ukhuwah dan akhlak. Sedangkan dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan wujud sejak dahulu, tetapi adab dan kasih sayang tetap dipelihara.

Saya fikir cabaran besar hari ini ialah media sosial mempercepatkan budaya “tribal”. Algoritma suka konflik. Semakin marah, semakin tular. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana cepat menghukum, sukar mendengar dan mudah membenci. Sebab itu masyarakat perlukan lebih ramai tokoh, pendidik, agamawan dan pemimpin yang mampu mengingatkan bahawa kita boleh berbeza parti, tetapi tidak boleh hilang kemanusiaan atau mungkin lebih tepat jangan sampai parti menjadi lebih besar daripada prinsip dan jangan sampai perbezaan memadamkan persaudaraan.

Friday, July 17, 2020

KEPIMPINAN MERENTAS DENAI

Kepimpinan bukan kesenangan apatah lagi kemewahan. Namun, dalam suasana politik tanah air saat ini, kepimpinan adalah amat sinonim dengan kuasa dan pemilikan. Kuasa itu lambang kehidupan serba ada dalam kemewahan dan kesenangan. Mana tidaknya, apabila kepimpinan itu terkait dengan pendapat yang tinggi serta peluang untuk memiliki pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah terfikir dalam akal kita sebagai manusia yang hidup biasa-biasa. Gambaran ini jelas merosakkan imej kepimpinan. Jika dinukilkan sejarah mereka yang terdahulu walau dimanapun mereka berada, kepimpinan pasti akan terkait dengan kesukaran, kebimbangan, ancaman serta keperitan hidup. Rupa-rupanya hari ini, segala tekanan itu dijadikan alasan untuk mereka berpayung kononnya kehidupan mereka dan perjuangan mereka adalah untuk rakyat dan yang seangkatan dengannya. Usahlah kita terpedaya dengan idea tin kosong ini. Bunyinya nyaring tetapi tiada apa pun yang boleh diharapkan darinya hanya semata-mata angin sahaja. Sebab itu, kepimpinan sebenarnya lebih mudah untuk kita fahami dengan perkataan payah dan penuh dengan onak dan dugaan. Kepimpinan begini hanya punya satu landasan, berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua mereka yang dipimpinnya.

Landasan ini pasti akan menjanjikan kepimpinan itu melalui jalan yang sukar dan tidak pernah mudah. Mereka bukan hanya merasai kepahitan, bahkan, tawar, kelat bahkan masam juga masin adalah rasa yang sentiasa perlu ditelan hanya untuk berpegang kepada prinsip yang asas itu tadi. Mereka akan sentiasa berada di atas persimpangan antara kepentingan diri dan kepentingan orang yang dipimpinnya. Kepentingan kelompok sendiri atau masyarakat yang ramainya. Keutamaan berkata benar walaupun pahit itu pasti akan dilaluinya. Pepatah ditelan mati emak diluah mati bapa itu akan terasa hakikatnya namun, kerana telah memilih untuk memimpin, ketegasan dan keteguhan prinsip yang bakal menjadi taruhan. Sebab itu pemimpin perlu hilangkan ketakutan. Bukan takut kepada seteru jawatan atau bimbang ada orang baru yang lebih berbakat seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura Dilanggar Todak, sebaliknya takutlah kepada sifat yang tidak amanah serta meletakkan kepentingan peribadi lebih dari kepentingan masyarakat. Takutlah kepada hal yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan tuhan.

Oleh sebab itulah, hanya pemimpin yang bersedia jiwa dan raganya yang akan mampu membentuk kepimpinan yang memenuhi tuntutan pengorbanan serta sentiasa berada dihadapan memulakan langkah. Tiada keraguan pada diri mereka kerana yang dicari adalah solusi kepada kepemimpinan yang terbaik bukan soal siapa yang terbaik. Mereka sentiasa mencari jalan yang termudah untuk orang lain bukan jalan yang memudahkan mereka. Keputusan mereka sentiasa untuk kebaikan orang lain dan amat sedikit atau mungkin tidak adapun yang tinggal untuk dirinya. Persoalannya, wujudkan pemimpin seumpama ini pada hari ini? Cabaran kepada siapapun yang mempunyai kuasa kepimpinan adalah untuk mempertahankan maruah diri mereka terhadap amanah yang mereka pegang. Lazimnya, kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa akan berlaku apabila tiada pihak yang boleh menjadi penimbang tara dalam banyak keputusannya. Sama ada mereka tidak wujud kerana telah termakan budi atau wujud tetapi diikat rapat serta disekat ruang kebebasan untuk bersuara.

Kepimpinan yang sebegini mungkin amat disenangi oleh masyarakat awam kerana petah dan baik budi bahasanya serta lambakan pelbagai kebaikan darinya, namun, dari satu sudut jangka masa panjang, kepimpinan sebegini akan melebarkan lagi sayap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk terbang lebih tinggi bebas tanpa sebarang sekatan. Puncanya hanya satu, kepimpinan yang tidak mahu berkorban sebaliknya mendesak orang lain berkorban atas nama apapun kebaikan sama ada kebebasan, hak majoriti, hak minoriti mahupun kepentingan tertentu yang boleh dijadikan propaganda perjuangan hanya untuk mempertahankan dirinya sahaja. Kita seharusnya menjauhkan diri dari membina tabiat kepimpinan yang songsang ini. Malulah kita jika pemimpin itu diberikan dengan gelaran khalifah, apatah lagi apabila disandarkan kepada Allah (Khalifatullah) tetapi melakukan kerosakan demi kerosakan hanya kerana tamak dan takut direndahkan. Inilah yang dilalui Iblis laknatullah apabila hadir pencabarnya Nabi Adam 'alaihissalam. Maka bermulalah siri hasut-menghasut bagi memastikan kegagalan untuk manusia pertama itu. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya.

Sebab itulah dapat kita simpulkan bahawa, kepimpinan ini adalah tugas merentas denai, membuka laluan untuk mereka yang dibelakang. Memenuhkan ketamakan kita hari ini hanya akan menarik seluruh anak bangsa kita berada dalam seksaan yang amat pedih. Tidak perlu kita nantikan siksaan neraka kerana telah dapat kita lihat dan nilai sendiri ketika berada di alam hayat ini lagi. Apatah lagi, sekiranya di bawa menghadap Allah 'Azza waJalla. Tugas merentas ini berhadapan dengan bahaya yang terlihat dan yang tidak terduga. Namun yang wajib ada bagi seorang pemimpin itu adalah sifat sabarnya mendengar teriakan orang di belakang yang menyuruh agar cepat. Pada masa yang sama, harus berhati-hati mendengar teriakan itu kerana adakalanya ia sebenarnya sedang meminta tolong. Ketika kita risau melihat jalan dihadapan, mungkin sahaja ada musuh yang datang menerkam kita atau mereka yang kita pimpin. Sekali lagi ditegaskan. Ia bukan kerja mudah. Kepimpinan yang merentas denai adalah kepimpinan yang sedia menghadapi sebarang risiko bagi memastikan orang yang dibelakangnya sampai ke destinasi yang dituju mereka.

Wednesday, April 15, 2020

PUISI: PENING KEPALA



Pening kepala, bukan kerna banyak kerja
Tapi banyaknya peel manusia
Dari mata makhluk merayap melata
Kita nampak banyaknya perkara perlu ditangani segera
Tapi dari mata mereka yang terbang tinggi diawan sana

Entah apa fikir mereka

Kita bukan minta dengar semua
Tapi kita tahu mereka dengar sebenarnya
Adakah mereka terasa? Atau sengaja membuta?
Siapa pun pilihannya, mestilah buat ummat manusia
Mestilah yang lurus hatinya untuk tegakkan yang benar belaka
Mestilah utuh hati yang lemah diperkasa
Mestilah bulat jiwa bukan diri diperkaya
Mestilah yang takut akan DIA
Mestilah dia ikut kata kitabNYA

Ummat makin tenat
Makin banyak persimpangan
Jika kalian helang makan sampai kenyang
Ummat akan terus menyalak dan meradang
Jika kamu hujan ada yang bersorak ada juga resah dalam aman
Kita merancang Allah juga merancang



~~~~~
1 Mac 2020
Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor

Wednesday, July 24, 2019

POLITIK MUAL MALAYSIA

Kesianlah anak bangsa kita. Cucu cicit kita. Apalah yang pemimpin negara ni sibukkan. Pasal videolah, bakal PMlah, macam-macam. Tengok berita, anak pun tengok berita. Dia pun tanya, semburit tu apa? Panas hati saya ni jadinya. Apa ke jadahnya yang mereka ni nak? Sudah ditampuk kuasa, nak yang super power pulak. Menurut mata kasar saya ni, semua peel dinasour politik ni, penamatnya adalah keruntuhan daya fikir, daya pimpin, daya yakin diri generasi baru kita. Sekarang sudah ada pemimpin yang malas nak fikir, jangan kata memimpin orang, pimpin diri pun terkial-kial ditambah pulak keyakinan diri yang datang disebabkan sokongan, memang habislah semuanya.

Bukan nak katalah, tapi saya tuliskan, dari yang berserban sampai yang dah beruban, semua sibuk mencari laba untuk sendiri lagi. Apa saja yang keluar dari mulut, susah betul nak dipercayai. Nak kata saya kenal hati budi, memang tak lah, tapi kamu pemimpin kepada yang rakyat marhaen ni, kamu cerita soal kemiskinan dalam parlimen ber'air-cond', yang marhaen ni, terus berpanas lagi!

Sebab tu lah politik Malaysia ni memualkan, sampai dah tak mahu fikir. Apa jadi pada negara kita jika cerdik pandai berhati mulia dah tak nak berpolitik? Tinggallah yang memang tak pernah fikir ni berpolitik. Untuk mereka yang tidak pernah berfikir nak fikirkan pasal masa depan umat? Sorrylah, takde dalam agenda hidup beb! Keyakinan dia hanya bergantung pada sokongan, bukan ilmu pengetahuan. Bila bercakap, babi pun boleh terbang.

Apa sebenarnya yang berlaku? Semua yang saya tulis kat atas tu, perasaan saya, bila dengar berita pasal semburit, pasal pendakwah dikecam bila dinyatakan pandangan dengan hujah mengenai politik tidak termasuk dalam akidah, pasal mengamuk kat masjid dan banyak pasal lagi.

Saya fasilitator, saya banyak tinggalkan pesan, pada orang yang saya jumpa. Saya nak pesanlah juga kali ni, hai pemimpin, yang berhak atas kepimpinan kamu itu Allah, jangan sombong dengan Allah. Kamu dan kita semua takkan mampu membalas kesombongan-Nya nanti. Letaklah dalam hati kamu bahawa, jawatan, kedudukan, pengikut dan semua sokongan itu adalah pakaian yang akan ditanggalkan. Pakaian yang tidak akan dipakai selama-lamanya.

Buat netizen yang sayang, kasih, pada umat, pada generasi akan datang. Kitalah sebenarnya penentu pemimpin bagaimana yang akan dilahirkan. Tambahlah ilmu pengetahuan,  jangan biarkan amarah kita terbakar hanya kerana cerita dan pergaduhan pemimpin politik kita. Mereka yang bergaduh, kenapa kita diajak join sekali? Berhentilah melayan media yang sentiasa jadi batu api. Sudahlah. if you are true Muslim, than you are meant to be better. Ada claim mengatakan, agama punca kepada pecah belah, tetapi agama sebenarnya ada undang-undang dan peraturan kehidupan. Politik sebenarnya punca pecah belah di Malaysia, kerana bagi orang politik tiada mana-mana agama pun yang boleh mengatasi peraturan agama politik mereka. Bahkan kerap kita lihat, tiada peraturan dalam politik.

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya rasa besar
Memakainya seolah-olah kita telah diangkat darjat
Dari pejuang rakyat kepada pemikul amanah rakyat

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya tiba-tiba rasa mulia
Tiba-tiba rasa diri itu penting dan berjasa
Dari asalnya hanya insan biasa, kini menjadi penguasa

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya dirasakan tahu segala perkara
Rasa tahu untuk selesaikan semua masalah rakyat
Jadi tak perlu tanyalah rakyat, kerana pakaian itulah punca penyelesaiannya

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya itu merasakan kita betul dan boleh semua
Bercakap tentangnya apa yang kita tahu
Sebab kita tidak duduk ditempatnya

Kuasa itu pakaian kebesaran
Pakaian yang dipakaikan oleh rakyat kepada pemakainya
Pakaian yang dipakai dengan izin dari Tuhan
Dia boleh pakaikan dan tanggalkan bila-bila masa

Berjasalah sepanjang hidup bukan kerana pakaian ini, tetapi kerana peluang kita diberi hidup. Peluang hidup itu sahaja akan ditanya, ditambah lagi dengan amanah yang seperti ini. Sanggup kita pakaian ini dan lakukan perkara yang pemakai dan pemiliknya amanahkan?

Wednesday, June 3, 2009

ISLAMKAN POLITIK ATAU POLITIKKAN ISLAM?

http://drmaza. com/home/ ?p=619

Disiarkan pada May 31, 2009 dalam kategori Politik |

Saya sering bercakap tentang “Islamkan politik, jangan politikkan Islam”. Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerakerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikanny a. Dalam ertikata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan.

Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau ‘cop halal’ yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan.

Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerakerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam ertikata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah.

Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh.

Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya:

“Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah.

Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira’un, Fir’aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)

“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?” Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).

Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah.

Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bahkan paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka.

Kata Abu Hurairah r.a:

“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!


p/s

Saya bersetuju benar dengan artikel ini. Ini membuktikan kita sudah pun berada di zaman akhir kehidupan sebelum datangnya hari kiamat. Mereka sudah mula menjual agama mereka sendiri demi kepentingan diri sendiri. Sedarlah para da'i dan pejuang-pejuang Allah, hindarilah diri kita daripada perkara-perkara yang menjual agama demi kepentingan diri kita sendiri. Biarlah Islam yang bercakap untuk kehidupan kita kerana Islam adalah cara hidup yang amat sempurna. Tibalah masanya untuk kita menyatakan kebenaran dan mengelakkan dari menjadi orang-orang yang rugi sebagaimana maksud firman Allah di dalam Surah Al-Asr yang menyatakan, bahawa golongan orang yang tidak merugi adalah mereka yang;

1. beriman kepada Allah (ramai yang mengaku) dan
2. beramal soleh (ramai yang menunjuk-nunjuk) dan
3. nasihat-menasihati kepada kebenaran (ramai tidak berani) dan
4. nasihat-menasihati kepada kesabaran (ramai yang tidak sabar)


TUNE-lah diri kita.