Showing posts with label Ramadan 2010. Show all posts
Showing posts with label Ramadan 2010. Show all posts

Friday, August 27, 2010

KEMERDEKAAN DALAM RAMADHAN


Panjatkanlah kesyukuran kita dengan menyebut kalimah ‘alhamdulillah’. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t yang telah memilih kita selaku manusia yang diberikan amanah dan tanggung jawab sebagai khalifah dalam meneruskan perjuangan di muka bumi ini. Perjuangan ini amat sukar, jauh dan pelbagai rintangan. Ubatnya sabar, redha dan sentiasa mengharapkan rahmat dan nikmat dari Allah s.w.t.

31 Ogos bakal menjelma lagi. Hari yang bersejarah untuk seluruh umat manusia di Malaysia. Setiap tahun, kita bersama-sama melaungkan kalimah kemerdekaan ini. Apakah erti merdeka untuk kita semua? Adakah sambutan merdeka ini benar-benar memerdekakan kita semua atau hanya laungan yang berakhir dengan tragedi dan kerosakan akhlak remaja dan belia? Apabila tiba Ramadhan, kemerdekaan ini seharusnya dirasai dan lebih mendalam penghayatannya. Pada bulan ini, manusia dimerdekakan sementara dari gangguan syaitan, namun bagaimana dengan nafsu kita semua?

Kehidupan kita hari ini semakin hari semakin mencabar dengan pelbagai kemudahan dan kemodenan yang berlaku disekeliling kita. Kemerdekaan dalam erti kata yang kita fahami adalah bebas atau lepas diri dari cengkaman atau dibelenggu. Kemerdekaan ini juga telah membawa erti besar bagi setiap hidup masyarakat di Malaysia. Merdeka dalam menjalani hidup dan lebih sedih lagi apabila merdeka dari hidup beragama. Pegangan anak-anak pasca merdeka hari ini bukan lagi pada tunjang agama dan budaya adab hidup ketimuran, tetapi tertakluk kepada kebebasan fikir serta keterbukaan dalam budaya, cara hidup, perhubungan dan nilai kehidupan. Inilah erti kemerdekaan buat mereka yang pada hari ini menampakkan kejanggalan dalam budaya hidup di Malaysia.

Kemerdekaan buat kita semua, umat Islam di Malaysia khususnya remaja dan belia haruslah dijana dan diisi dengan suasana kemerdekaan sebenar. Jauh dari penjajahan yang bukan sahaja datang dari sudut pentadbiran negara, bahkan sosiobudaya, pemikiran serta adab dan nilai kehidupan. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki kepada mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”.

Kelebihan ini Allah berikan kepada umat manusia ini yang mana, perlu dibalasi dengan rasa syukur berterima kasih kepada Allah yang Maha Penyayang. Kemerdekaan ini harus dihayati dan dijadikan kayu ukur hidup dimana letaknya nilai keimanan kita semua kepada Allah s.w.t. Mutiara kata yang keluar dari lidah amirul mukminin Saiyidina Ali k.w. beliau menyatakan; “janganlah kamu menjadi hamba seseorang, kerana Allah telah menciptakan kamu dalam keadaan merdeka”.

Erti kemerdekaan inilah yang harus menjadi pegangan kita semua. Nilaian ini harus menjadi isi kandungan utama dalam setiap sambutan dan kejayaan yang dikecapi. Sebagaimana kemerdekaan kita semua yang harus kita kecapi dari hasil tarbiyah bulan yang penuh kemuliaan ini. Kemerdekaan harus diisi dengan baik dan berkesan. Ia seharusnya kembali kepada fitrah dan pegangan agama yang terbaik untuk melahirkan generasi yang terbaik.

Allah Maha Besar

Kemerdekaan utama buat remaja belia dan generasi baru hari ini adalah dengan menyatakan secara jelas bahawa tidak ada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah s.w.t. Kemerdekaan ini harus berasaskan kepada kebebasan dari sifat yang bertuhankan sesama hamba dan kepada apa sahaja yang bersifat kebendaan serta keseronokan. Untuk membesarkan Allah s.w.t ini harus ditekuni dan diperkukuh dengan rukun Islam.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud;

“Mereka yang sekiranya kami berikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi, mereka menunaikan solat, menunaikan zakat dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan hanya milik Allah kesudahan segala urusan”.

Pertama, menunai dan memperbaiki solat lima waktu sehari dan semalam. Ia merupakan tiang agama dan harus diberikan perhatian sewajarnya tambahan pula dalam usaha untuk memerdekakan diri dari cengkaman nafsu dan gangguan syaitan. Kedua, membayar zakat. Buat kita yang telah bekerja dan mendapat pendapatan yang baik serta selesa dalam kehidupan, jangan pula kita lupa amanah dan tanggungjawab yang Allah amanahkan untuk membantu umat Islam yang memerlukan melalui zakat yang dikeluarkan. Ketiga, ajaklah manusia meninggalkan kemungkaran dan membuat kebaikan kerana di dalamnya itu adalah usaha dakwah menyampaikan berita gembira kepada manusia lain tentang adanya syurga dan penciptaan neraka. Kembalilah kepada ajaran agama yang sebenar. Islam hadir untuk memerdekakan kita dari belenggu kehidupan yang sementara ini.

Thursday, August 12, 2010

MARHABAN YA RAMADHAN


Ketibaan Ramadhan adalah suatu yang dinantikan oleh setiap Muslim dan Mukmin. Ia merupakan bulan yang paling istimewa di dalam kalendar Hijrah. Petikan kata-kata Badiuzzaman Syed Nursi, beliau menggambarkan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ia juga diperkaitkan seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. Keistimewaan Ramadhan ini lebih jelas dengan turun bersamanya perintah Allah s.w.t untuk berpuasa sebagaimana firmannya di dalam Al-Quran;

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam ketiga. Perlaksanaannya adalah wajib bagi mereka yang berupaya dan cukup umurnya. Berpuasa bermaksud menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Berpuasa akan menjadi lebih bermakna apabila mata, hati, fikiran dan semua organ lain juga turut berpuasa.

BERMULANYA RAMADHAN

Kedatangan Ramadhan sudah mula kita rasai apabila melalui 2 bulan sebelumnya iaitu Rejab dan Syaaban. Ia sebagai peringatan dan pesanan agar membuat persiapan menyambut bulan yang mulia ini. Kita juga sering berdoa “Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan” . Ini menunjukkan, Ramadhan yang sampai kepada kita hari ini telah disepadukan dengan niat yang lebih awal seawal 2 bulan yang lalu. Antara kelebihan Ramadhan ada disebutkan Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-Nisai)

Apa yang menjadi keutamaan Ramadhan adalah mendidik nafsu untuk menjadi lebih baik, sabar dan sentiasa menyerah diri kepada Allah s.w.t. Bagaimana dengan persiapan kita dengan Ramadhan? Lebih banyak berbelanja atau bersederhana? Inilah yang menjadi usaha besar dalam bulan Ramadhan. Kita di Malaysia, Ramadhan ini dibanjiri dengan bazar dan pasar Ramadhan yang menyajikan pelbagai makanan dan pilihan. Ia amat mencabar nafsu kita. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." (HR Tujuh Ahli Hadith)

Tetapi hadith ini tidak menghalang bagi mereka yang kerapkali melakukan puasa sunat. Ada sebahagian mereka berpendapat, puasa sunat sebelum tibanya Ramadhan adalah sebagai satu penghormatan tetapi ia tidak diterima oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan amat ditegah sekali.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya."
(HR Ahmad & Ashabus Sunan)

Sebagai permulaan Ramadhan, ia haruslah datang dengan niat untuk berpuasa. Ada segelintir umat hari ini, apabila tiba berpuasa, mereka terus berfikir bagaimana boleh mengelakkan diri dari berpuasa. Terdapat 2 cara untuk berniat puasa iaitu;

pertama, berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh (seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya) dan;

kedua berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh (seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan).

EMPAT TUNTUTAN RAMADHAN

Terdapat 4 perkara yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi tuntutan memenuhi kehadiran Ramadhan yang dimuliakan.

Melazimkan bacaan kalimah taiyibah.

Kalimah Taiyibah yang dimaksudkan adalah sebutan tahlil atau Lailahaillallah. Sebagaimana yang disebutkan kepada Nabi Musa oleh Allah s.w.t tentang permintaannya untuk mengangati Allah, berkata Allah kepada Nabi Musa, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Beristighfar.

Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda; “Sesiapa yang konsisten beristighfar, Allah akan memberikan jalan penyelesaian kepada setiap masalahnya, dan ketenangan daripada kesusahan, dan Allah memberikannya rezeki yang tidak terkira banyaknya.” (HR Abu Daud)

Memohon memasuki jannah dan berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Inilah kejayaan terbesar bagi seorang Muslim apabila dijanjikan kebebasan dari seksaan neraka dan sudah tentulah tempatnya di syurga. Kejayaan yang memerlukan pengorbanan, kesabaran dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

SAHUR, IFTAR DAN KURMA

Perbezaan ketara puasa yang dilakukan oleh Muslim dan mereka yang lain adalah pada sahurnya.

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Sahur ialah makan sebelum waktu imsak sebagai keperluan mendapatkan sedikit tenaga dari makanan yang diambil. Namun kita tidak digalakkan mengambil makanan terlalu sedikit atau terlalu berlebihan.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.”
(HR Ibnu Hibban & Baihaqi)

Keperluan dan kepentingan bersahur sama juga dengan iftarnya.

"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka."
(HR Bukhari Muslim)

"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu."
(HR Bukhari Muslim)

Peringatan Baginda Rasulullah s.a.w ini jelas menunjukkan keutamaan dalam berbuka. Namun, usahlah kita berbuat demikian sehinggakan melewati waktu solat Maghrib. Ia perlu dikawal dan diperingatkan dengan cara yang terbaik dan berkesan. Ada sebahagian kita lebih mudah untuk berbuka sedikit pada kadar keperluan, solat Maghrib dan sambung menjamu makanan selepasnya. Ia adalah bergantung kepada kebiasaan dan kesesuaian. Iringilah makanan itu dengan doa. Menurut Imam An-Nawawi, tiada doa yang sahih yang dicatatkan bahkan apasa sahaja doa boleh dibacakan apabila berhadapan dengan rezeki Allah s.w.t.

Semoga awal Ramadhan ini memberikan kita peluang dan kelapangan dalam melakukan dan mendapatkan sebanyak pahala yang mungkin. Berniatlah dan berazamlah kita untuk mencari malam yang terbaik (Lailatul Qadr) dengan melakukan amalah dan ibadah dengan ikhlas dan istiqamah. Semoga Ramadhan ini yang terbaik untuk kita semua.

12 Ogos 2010
Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan

Wednesday, August 11, 2010

KEMBALI KE MADRASAH RAMADHAN


Bersyukur kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia dan seluruh alam ini. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w yang telah berjuang di jalan Allah bagi menyampaikan risalah tarbiyah dan peringatan buat ummat yang dikasihinya. Perjuangan Baginda seharusnya dijadikan iktibar dan peringatan kerana ia telah sampai kepada kita sebagai satu usaha dakwah yang seharusnya diteruskan oleh generasi moden hari ini.

Madrasah Ramadhan, mematangkan iman.

Ramadhan merupakan bulan yang di dalamnya terdapat pelbagai kemuliaan. Abu Hurairah menyatakan: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi). Sebagaimana yang pernah kita fikirkan atau ketahui tentangnya, madrasah merupakan sebuah tempat di mana hadirnya ramai-ramai pelajar-pelajar yang inginkan ilmu dan proses pembelajaran dalam menjadikan mereka lebih baik pengetahuannya, amalannya serta dimatangkan corak fikiran mereka.

Telah bertahun lamanya, kita bersama-sama melalui proses Madrasah Ramadhan ini, dan ia seharusnya menjadikan kita seorang Muslim yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ia sesuailah dengan sabda Rasulullah s.a.w yang disampaikan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”. (Diriwayatkan oleh Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi). Ini bermakna, semakin upaya diberi Allah bertemu dengan Ramadhan, sepatutnya, ia menjadikan kita lebih baik kerana banyak dosa-dosa yang Allah telah ampuni berdasarkan kesalahan dan kesilapan kita yang lalu.

Tidak hairanlah mengapa para sahabat Baginda s.a.w dahulu, apabila tibanya Ramadhan, mereka bergembira dan memanfaatkan sebaiknya kerana ia amat memberikan kesan dalam kehidupan mereka. Tamat sahaja Ramadhan, iman meraka dimatangkan dan berharap agar masih ada ruang untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Inilah rahsia semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam menyebarkan syiar Islam. Semakin panjang umur mereka, semakin keraplah mereka berada di Madrasah Ramadhan dan semakin matanglah Iman mereka terhadap Allah s.w.t.

Ramadhan, peluang ke arah yang lebih baik.

Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan: [1]Syirik kepada Allah, [2]meninggalkan sunnah dan [3]perjanjian (dilanggar)”.

Telah berkata Abu Hurairah: “Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah?”

Baginda S.A.W bersabda: “Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam)” . (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi).

Rasulullah s.a.w memperjelaskan bahawa, apabila tiba Ramadhan sebenarnya adalah peluang yang diberikan Allah untuk menebus segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan sepanjang perjalanan hidup kita ini. Berapa ramai dikalangan kita ini yang tidak sempat bertemu Ramadhan pada tahun ini dan berapa ramai pula yang mensia-siakannya? Adakah kita ingin mensia-siakannya? Tanyalah iman kita sendiri.

Marilah kita bersama-sama mendapatkan kelebihan ini. Ia mungkin yang terakhir buat kita di dunia ini. Rebutlah pahala dibulan yang Allah sertakan bersamanya Lailatul-Qadr. Pelbagai natijah kebaikan yang Allah janji dan persaksikan kepada manusia dengan sifat kasih sayang Allah kepada hamba-NYA yang berusaha untuk rapat kepada-NYA.

10 Ogos 2010
Shah Alam, Selangor