Showing posts with label Kepimpinan Islam. Show all posts
Showing posts with label Kepimpinan Islam. Show all posts

Tuesday, July 28, 2026

Menjaga Amanah Sebelum Membina Gerakan: Renungan Daripada Surah Al-Ma’idah



Setiap kali menghadiri muktamar atau mesyuarat organisasi Islam, kita sering berbincang tentang pelbagai perkara. Kita membicarakan program, strategi, struktur organisasi, sasaran dakwah, pembangunan belia dan hala tuju gerakan. Semua itu penting. Tanpa perancangan yang baik, sesebuah organisasi sukar bergerak dengan tersusun. Muktamar Belia Islam ABIM Selangor kali ini, saya mewakili pimpinan WADAH diberikan peluang untuk berucap dan saya fikir mungkin ini waktu terbaik untuk meninggalkan pesan-pesan yang mampu membuat mereka berfikir.

Ia amat dekat dengan misi saya dan sekarang saya dalam misi mentadabbur Surah Al-Ma’idah. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menemui satu hakikat yang sangat menyentuh hati. Rupa-rupanya Allah tidak memulakan pembinaan umat dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina hati manusia terlebih dahulu. Mungkin inilah sebabnya Surah Al-Ma’idah dibuka dengan satu arahan yang sangat ringkas tetapi cukup besar maknanya, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad (perjanjian).”

Ayat ini mengajar kita bahawa asas kepada sebuah masyarakat yang kuat ialah amanah. Sebelum kita berbicara tentang kepimpinan, strategi atau pengaruh, kita perlu bertanya satu soalan yang lebih asas, adakah aku masih menjaga perjanjianku dengan Allah? Kita sering menganggap amanah bermula apabila seseorang dilantik menjadi pengerusi, ketua, setiausaha atau ahli jawatankuasa. Hakikatnya, amanah bermula jauh lebih awal daripada itu.

Sebelum kita menjadi pemimpin organisasi, kita terlebih dahulu adalah hamba Allah. Sebelum kita memegang amanah manusia, kita telah memegang amanah sebagai seorang Muslim. Jika hubungan kita dengan Allah mula longgar, lambat laun hubungan kita dengan manusia juga akan longgar. Sebab itu Surah Al-Ma’idah berkali-kali mengingatkan tentang akad, mithaq dan kesetiaan terhadap perjanjian.

Ketika membaca ayat 11 pula, saya berhenti agak lama pada satu peringatan Allah, “Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangan mereka kepada kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu.”

Selama ini apabila menyebut nikmat, saya sering memikirkan perkara yang Allah berikan kepada saya. Rezeki, kesihatan, peluang, keluarga. Tetapi ayat ini memperkenalkan satu bentuk nikmat yang sangat berbeza. Allah meminta kita mengingati perkara yang tidak berlaku. Musibah yang tidak jadi menimpa. Fitnah yang Allah halang. Pengkhianatan yang Allah bongkarkan sebelum sempat berlaku. Kemalangan yang Allah jauhkan.

Mungkin kehidupan kita hari ini sebenarnya lebih banyak dibentuk oleh apa yang Allah lindungi daripada kita berbanding apa yang Allah berikan kepada kita dan sebagai seorang yang terlibat dalam dakwah dan pembangunan masyarakat, saya merasakan ayat ini sangat mendidik jiwa. Kadang-kadang kita terlalu yakin dengan pengalaman, kepakaran dan strategi yang kita miliki. Sedangkan boleh jadi organisasi masih bertahan hingga hari ini bukan semata-mata kerana kebijaksanaan kita, tetapi kerana Allah telah melindungi kita daripada pelbagai perkara yang tidak pernah kita ketahui.

Surah Al-Ma’idah kemudian membawa kita kepada kisah Bani Israil. Allah tidak menyebut bahawa mereka rosak kerana kekurangan ilmu. Mereka mempunyai kitab. Mereka mempunyai nabi. Mereka mempunyai sejarah yang hebat. Tetapi mereka gagal menjaga perjanjian. Lalu Allah berfirman bahawa akibat daripada pelanggaran perjanjian itu, hati mereka menjadi keras. Ayat ini sangat menggerunkan kerana ia menunjukkan bahawa keruntuhan tidak bermula apabila sesebuah organisasi kehilangan ahli atau sumber kewangan.

Keruntuhan sebenar bermula apabila hati orang yang memikul amanah mula kehilangan kepekaan terhadap Allah. Hati yang tidak lagi mudah menerima nasihat. Hati yang lebih suka mempertahankan ego daripada mencari kebenaran. Hati yang melihat jawatan sebagai kemuliaan, bukan tanggungjawab. Selepas itu saya membaca pula ayat yang menyebut bahawa Ahli Kitab telah melupakan sebahagian daripada wahyu yang diberikan kepada mereka.

Perhatikan bahawa Allah tidak mengatakan mereka meninggalkan seluruh kitab. Mereka hanya melupakan sebahagian daripadanya. Namun daripada “sebahagian” yang diabaikan itulah lahir permusuhan dan kebencian sesama mereka. Ayat ini mengubah cara saya melihat setiap perselisihan. Selama ini apabila berlaku perbezaan pandangan dalam organisasi, saya mudah bertanya, “Siapa yang betul?” Tetapi Surah Al-Ma’idah mengajar saya bertanya soalan yang lebih penting, “Apakah petunjuk Allah yang sedang aku abaikan dalam perselisihan ini?” Boleh jadi petunjuk itu ialah adab, sabar. Boleh jadi menjaga lidah. Boleh jadi berlaku adil. Boleh jadi juga mendengar sebelum menghukum.

Saya juga menyedari bahawa tugas menguruskan organisasi dan sumber manusia memang memerlukan kita berbincang tentang orang lain. Namun Al-Quran mendidik kita supaya setiap perbincangan sentiasa dipandu oleh niat mencari penyelesaian, bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Perbezaan itu kelihatan kecil, tetapi kesannya sangat besar. Kita boleh berbincang tentang seseorang untuk membimbingnya. Kita juga boleh berbincang tentang seseorang untuk menjatuhkannya. Lidah mungkin mengucapkan ayat yang sama, tetapi hati membawa niat yang sangat berbeza.

Satu lagi ayat yang sangat menyentuh saya ialah apabila Allah menyebut bahawa telah datang kepada manusia “satu cahaya dan sebuah Kitab yang jelas.” Al-Quran bukan sekadar kitab ilmu. Al-Quran ialah cahaya. Cahaya tidak menghilangkan malam. Tetapi cahaya membolehkan kita berjalan tanpa tersesat. Begitu juga Al-Quran. Ia tidak menjanjikan kehidupan tanpa cabaran. Tetapi ia menjanjikan bahawa hati kita tidak kehilangan arah ketika berhadapan dengan cabaran.

Semakin lama saya mentadabbur Surah Al-Ma’idah, semakin saya memahami bahawa dakwah bukan sekadar mengajak manusia kepada Allah. Dakwah juga ialah usaha memastikan hati pendakwah sendiri sentiasa kembali kepada Allah kerana pendakwah juga boleh diuji dengan ego. Pemimpin juga boleh diuji dengan kuasa. Aktivis juga boleh diuji dengan rasa paling benar. Sebab itu saya merasakan bahawa antara doa yang paling penting untuk seorang pemimpin ialah, “Ya Allah, jangan jadikan aku sibuk membina organisasi sehingga aku lupa membina hati.”

Akhirnya, saya membawa satu kesimpulan daripada perjalanan tadabbur Surah Al-Ma’idah ini. Gerakan Islam tidak akan menjadi kuat hanya kerana banyak program. Gerakan Islam juga tidak akan menjadi besar hanya kerana hebat strateginya. Gerakan Islam akan benar-benar kuat apabila orang yang memikul amanah sentiasa menjaga perjanjiannya dengan Allah, membiarkan Al-Quran menerangi hatinya dan sentiasa mencari kebenaran lebih daripada kemenangan dirinya kerana akhirnya nanti, Allah tidak akan bertanya berapa banyak mesyuarat yang kita hadiri atau berapa lama kita memegang jawatan. Allah akan bertanya bagaimana kita menjaga amanah yang telah Dia letakkan di bahu kita. Semoga Allah menjadikan kita bukan sekadar pewaris organisasi yang baik, tetapi pewaris hati yang ikhlas, amanah yang terpelihara dan dakwah yang sentiasa dipimpin oleh cahaya Al-Quran.

Saturday, April 25, 2026

Keadilan, Adab dan Ta’awun: Kupasan Surah Al-Ma’idah Ayat 2



Sepanjang perjalanan ini, kita telah bercakap tentang masa, tentang bulan-bulan yang Allah muliakan, tentang bagaimana manusia sepatutnya berhenti, bersedia dan berubah, tentang bagaimana Rejab membuka kesedaran, Syaaban membina konsistensi dan Ramadhan menjadi medan transformasi. Namun semua itu membawa kepada satu persoalan yang lebih besar. Jika individu sudah berubah, apakah yang berlaku kepada masyarakat? Adakah perubahan itu berhenti pada diri? Atau ia sepatutnya melahirkan sesuatu yang lebih luas? Maka di sinilah datangnya satu ayat yang sangat mendalam iaitu Surah Al-Ma’idah ayat 2. Ayat ini bukan sekadar menyebut hukum. Ia seolah-olah menyusun semula cara manusia hidup bersama.

Ayat ini bermula dengan satu arahan yang halus tetapi tegas iaitu jangan melanggar syiar-syiar Allah. Ini bukan sekadar larangan. Ini adalah pembinaan rasa. Rasa hormat terhadap apa yang Allah muliakan. Rasa berat apabila berhadapan dengan perkara agama. Rasa sedar bahawa ada perkara dalam hidup yang tidak boleh dipandang ringan. Masalah kita hari ini bukan kerana kita tidak tahu agama tetapi kerana kita tidak lagi merasakan beratnya agama. Solat dilakukan tetapi tanpa rasa. Halal dan haram diketahui tetapi mudah dirunding. Ibadah diamalkan tetapi tidak lagi dihormati. Apabila rasa ini hilang, agama tidak lagi menjadi sesuatu yang hidup dalam masyarakat. Ia hanya tinggal sebagai pengetahuan bukan sebagai panduan.

Ayat ini kemudian menyentuh tentang bulan haram, ibadah haji dan orang-orang yang menuju ke Baitullah. Semua ini mengajar satu perkara yang sangat penting tentang sensitiviti ruhani. Seorang mukmin bukan sekadar tahu apa yang betul dan salah tetapi dia tahu bila perlu lebih berhati-hati. Dia tahu bila perlu lebih beradab. Dia tahu bila perlu menahan diri walaupun dia mampu melakukan sesuatu. Namun dalam realiti hari ini, sensitiviti ini semakin pudar. Kita mudah mengkritik orang yang sedang berubah. Kita sinis terhadap mereka yang baru ingin mendekati agama. Kita melihat ibadah orang lain tanpa rasa hormat. Kita mungkin tidak melakukan dosa yang besar tetapi kita merosakkan perjalanan iman orang lain dan itu adalah sesuatu yang lebih halus, tetapi lebih dalam kesannya.

Amat berbahaya apabila emosi mengalahkan prinsip oleh itu datang satu peringatan yang sangat kuat dalam ayat ini. Jangan biarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Ini adalah realiti yang sangat dekat dengan kehidupan kita. Kita ada konflik, perbezaan, luka dan tanpa sedar, semua itu membentuk cara kita melihat manusia. Kita menjadi adil kepada orang yang kita suka dan keras kepada orang yang kita tidak suka. Kita membenarkan diri kita melampaui batas kerana kita merasakan kita berhak. Namun, ayat ini datang memutuskan semua itu. Ia mengingatkan bahawa dalam Islam, keadilan bukan bergantung kepada emosi, ia berdiri di atas prinsip. Bahkan terhadap orang yang kita benci sekalipun, kita tetap tidak dibenarkan untuk berlaku zalim. Ini adalah standard yang tinggi dan mungkin kerana itulah ia jarang benar-benar dihidupkan.

Siapa pula yang kita pilih untuk bergandingan? Ayat ini diakhiri dengan satu prinsip yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat, tolong-menolonglah dalam kebaikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. Pada zahirnya, ia kelihatan mudah tetapi dalam realiti, inilah antara ujian paling besar kerana hidup ini penuh dengan kerjasama sam ada dalam kerja, dalam organisasi, dalam gerakan, dalam masyarakat tetapi tidak semua kerjasama itu membawa kepada kebaikan. Ada kerjasama yang nampak hebat di luar tetapi menguatkan perkara yang salah di dalam. Ada juga kerjasama kecil tetapi membina sesuatu yang benar dan berkat. Ayat ini mengajar kita satu prinsip yang sangat penting, bukan siapa yang kita bekerjasama, tetapi apa yang kita kuatkan melalui kerjasama itu.

Jika kita melihat keseluruhan ayat ini dengan lebih mendalam, ia sebenarnya membina satu rangka yang sangat lengkap iaitu individu yang menghormati agama adalah individu yang mempunyai sensitiviti ruhani, mampu mengawal emosi dan memilih untuk menyokong kebaikan. Apabila individu seperti ini berkumpul, lahirlah masyarakat yang berprinsip. Masyarakat yang tidak mudah goyah dengan emosi, tidak mengorbankan nilai demi kepentingan. Masyarakat yang tahu apa yang perlu dipertahankan dan inilah sebenarnya tujuan tarbiah sepanjang perjalanan tadi. Bukan sekadar untuk membina individu yang baik tetapi untuk membina umat yang kuat.

Perbincangan kita dalam beberapa siri tulisan ini, maka timbullah persoalan yang paling jujur, adakah perubahan kita hanya berhenti pada diri atau sudah mula memberi kesan kepada orang lain? Adakah kita menjaga syiar Allah atau kita sendiri yang merendahkannya? Adakah kita berlaku adil atau kita masih dikawal oleh emosi? Paling penting, dalam hidup ini, kita sedang membantu kebaikan atau tanpa sedar, kita sedang menguatkan sesuatu yang salah?

Perjalanan ini bermula dengan masa, dengan bulan-bulan yang Allah muliakan, dengan peluang untuk berhenti, bersedia dan berubah lalu akhirnya, ia membawa kita ke satu hakikat, Islam bukan hanya tentang bagaimana kita hidup sebagai individu tetapi bagaimana kita membina dunia di sekeliling kita kerana pada akhirnya, iman yang sebenar bukan hanya dirasai dalam hati tetapi terlihat dalam cara kita memperlakukan manusia.

Wednesday, March 18, 2026

Amanah, Kuasa dan Prinsip Kepimpinan dalam Islam


Kita hayati surah An-Nisa’, kita melihat satu pola yang sangat menarik. Al-Quran tidak hanya mengkritik penyimpangan manusia, tetapi juga membina semula asas sebuah masyarakat yang adil. Ayat 52 hingga 59 berada tepat pada titik perubahan itu. Selepas ayat-ayat sebelumnya menyingkap bagaimana ilmu boleh diputar, bagaimana manusia boleh merasa dirinya suci dan bagaimana kebenaran boleh ditolak walaupun sudah jelas, bahagian ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar iaitu tentang apa yang berlaku apabila manusia kehilangan hidayah dan bagaimana masyarakat beriman sepatutnya dibina.

Ayat 52 adalah berkenaan kesan apabila hati dijauhkan dari rahmat. Ia membawa maksud mereka yang dilaknat oleh Allah dan apabila merujuk bahasa Al-Quran, jelas sekali laknat bukan sekadar kutukan. Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, keadaan ini menggambarkan manusia yang telah menutup dirinya daripada petunjuk sehingga dia tidak lagi mampu melihat kebenaran walaupun ia berada di hadapannya. Ini adalah tragedi rohani yang sebenar. Seseorang boleh memiliki kekayaan, kedudukan atau pengaruh, tetapi apabila rahmat Tuhan menjauh daripadanya, kehidupannya kehilangan arah.

Kita bersama memasuki ayat ke 53 yang menjelaskan dengan sinis tentang kuasa dan hati yang kedekut. Ayat ini bertanya dengan nada sinis, adakah mereka memiliki bahagian kekuasaan? Jika mereka memiliki kuasa sekalipun, mereka tidak akan memberi kepada manusia walaupun sedikit. Ayat ini menggambarkan satu sifat yang sering muncul apabila manusia melihat kuasa sebagai milik peribadi. Kuasa menjadi sesuatu yang perlu dipertahankan, bukan amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Sejarah manusia penuh dengan contoh ini. Apabila kuasa tidak lagi dilihat sebagai amanah, ia berubah menjadi alat untuk mengukuhkan kepentingan diri.

Kemudian ia diikuti dengan perbincangan tentang satu penyakit hati yang sangat tua dalam sejarah manusia iaitu iri hati dan bagaimana iri ini mengalahkan kebenaran. Sebahagian manusia menolak kebenaran bukan kerana ia salah, tetapi kerana mereka tidak suka siapa yang membawanya. Menurut tafsir Al-Tabari, ayat ini merujuk kepada iri hati sebahagian kelompok terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa wahyu. Ini adalah satu pelajaran yang sangat mendalam. Kadang-kadang manusia tidak menolak idea. Mereka menolak orang yang menyampaikan idea itu dan apabila iri hati menguasai hati, kebenaran yang jelas pun boleh kelihatan salah.

Terdapat dua reaksi terhadap wahyu dalam ayat 55 bahawa dalam kalangan manusia ada yang beriman kepada wahyu dan ada yang berpaling daripadanya. Ini menunjukkan bahawa wahyu tidak memaksa manusia untuk percaya. Ia membuka jalan, tetapi manusia tetap bebas memilih arah. Pilihan itu akhirnya menentukan masa depan rohani mereka. Sebahagian manusia melihat wahyu sebagai cahaya yang membimbing kehidupan dan tidak kurang juga sebahagian lagi yang melihatnya sebagai ancaman kepada kepentingan mereka.

Ayat 56 dan 57 memberikan gambaran akhir perjalanan. Ia menggambarkan dua destinasi yang sangat berbeza dimana bagi mereka yang menolak ayat-ayat Allah, Al-Quran menggambarkan azab yang berterusan. Sebaliknya bagi orang yang beriman dan melakukan kebaikan, dijanjikan syurga yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Gambaran ini mengingatkan bahawa kehidupan manusia bukan sekadar perjalanan dunia. Ia adalah perjalanan menuju satu keputusan akhir yang akan menentukan nasib mereka selama-lamanya.

Maka, tibalah kita kepada Prinsip Besar Masyarakat Beriman dalam ayat ke 58. Ia satu prinsip yang sangat penting dalam pembinaan masyarakat. Allah memerintahkan manusia untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan menghukum antara manusia dengan keadilan. Menurut tafsir Al-Qurtubi, ayat ini dianggap sebagai salah satu asas dalam sistem keadilan Islam. Dua konsep besar disebut secara jelas iaitu amanah dan keadilan. Amanah memastikan bahawa kuasa tidak disalahgunakan. Keadilan pula memastikan bahawa keputusan tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri. Tanpa dua prinsip ini, masyarakat akan mudah terjatuh ke dalam kezaliman.

Perbincangan hari ini ditutup dengan struktur ketaatan dalam Islam. Ayat 59 membawa kita kepada satu prinsip yang sering disebut dalam perbincangan tentang kepimpinan iaitu taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Namun ayat ini juga memberi satu garis yang sangat penting. Apabila berlaku perselisihan, perkara itu mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak. Ia berada dalam kerangka ketaatan kepada wahyu. Pemimpin dihormati, tetapi wahyu tetap menjadi rujukan tertinggi.

Struktur besar ayat 52–59 ini adalah apabila kita melihat keseluruhan ayat ini sebagai satu unit. Kita akan melihat satu perjalanan yang sangat jelas. Ia bermula dengan gambaran manusia yang kehilangan hidayah kerana penyakit hati seperti iri dan cinta kuasa diikuti dengan akibat menolak wahyu dan ganjaran kepada mereka yang beriman. Akhirnya, Al-Quran membina asas masyarakat beriman melalui dua prinsip besar iaitu amanah dan keadilan serta satu struktur ketaatan yang berpaksikan wahyu. Seolah-olah Surah An-Nisa’ sedang menunjukkan bahawa pembinaan masyarakat yang adil bermula daripada hati yang bersih dan sistem yang amanah.

Apabila membaca ayat-ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita mungkin melihat bahawa cabaran yang sama masih wujud. Kuasa sering dilihat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan, bukan sebagai amanah untuk melayani masyarakat. Perbezaan pendapat sering dipengaruhi oleh iri hati atau persaingan, bukan pencarian kebenaran. Situasi begini seharusnyanya mengingatkan kita bahawa kekuatan masyarakat tidak hanya bergantung kepada sistem politik atau ekonomi. Ia bergantung kepada dua perkara yang lebih asas iaitu kejujuran hati dan keadilan dalam kuasa.

Tadabbur ayat ini saya ingin mengajak kita melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan. Pertama, melihat setiap tanggungjawab yang kita pegang sebagai amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah. Kedua, berusaha berlaku adil dalam keputusan walaupun ia tidak menguntungkan diri kita. Ketiga, mengawal penyakit hati seperti iri dan keinginan terhadap kuasa yang boleh merosakkan hubungan manusia dan akhirnya, sentiasa kembali kepada wahyu apabila kita berhadapan dengan kekeliruan.

Ayat 52 hingga 59 Surah An-Nisa’ mengingatkan bahawa masyarakat yang adil tidak lahir secara kebetulan. Ia lahir apabila manusia memahami bahawa kuasa adalah amanah, keadilan adalah kewajipan dan wahyu adalah rujukan tertinggi. Apabila tiga perkara ini dijaga, masyarakat boleh bergerak menuju keseimbangan dan mungkin di situlah rahsia sebenar pembinaan tamadun dalam Al-Quran bahawa ia bermula dengan hati manusia yang tunduk kepada Tuhan sebelum ia membentuk sistem di dunia.

Thursday, February 19, 2026

Bangkit Sebelum Sembuh: Pelajaran Hamra’ al-Asad dan Ketenangan Orang Bertawakal


Ada waktu dalam hidup, kita kalah. Bukan kalah kecil, tetapi kalah yang meninggalkan luka pada tubuh, pada emosi, pada keyakinan.

Perang Uhud adalah salah satu detik paling getir dalam sejarah Islam. Ramai sahabat gugur. Ramai yang cedera. Suasana Madinah ketika itu bukan suasana kemenangan, tetapi suasana muhasabah dan kesedihan.

Namun yang luar biasa bukan hanya apa yang berlaku di Uhud tetapi apa yang berlaku sehari selepasnya.

Hamra’ al-Asad: Bangkit Ketika Luka Masih Berdarah

Selepas Quraisy berundur, timbul kemungkinan mereka akan berpatah balik menyerang Madinah sekali lagi. Dalam keadaan para sahabat masih luka, Baginda Rasul ﷺ membuat keputusan mengejutkan. Baginda mengarahkan mereka yang menyertai Uhud untuk keluar semula mengejar musuh ke satu kawasan bernama Hamra’ al-Asad.

Bayangkan keadaan itu. Tubuh belum sembuh. Kehilangan masih terasa.

Namun mereka tetap bangkit. Peristiwa ini dirakam dalam Surah Ali ‘Imran ayat 172–174, dan menurut riwayat yang dihimpunkan oleh Ibn Kathir, kaum Muslimin berkhemah dan menyalakan banyak unggun api bagi menunjukkan kekuatan mereka. Apabila berita itu sampai kepada Abu Sufyan ibn Harb, rasa gentar menyelinap ke dalam hati Quraisy. Mereka tidak jadi berpatah balik.

Tiada peperangan berlaku. Tetapi satu kemenangan telah dicapai. Allah menggambarkan hasilnya dalam ayat 174, “Mereka kembali dengan nikmat dan kurnia daripada Allah dan tidak disentuh sebarang keburukan.”

Kemenangan kali ini bukan pada medan. Ia berlaku dalam jiwa.

Tawakal Melahirkan Ketenangan

Ayat 175 menjelaskan bahawa ancaman yang mereka dengar hanyalah usaha syaitan untuk menakut-nakutkan orang beriman. Tetapi tindak balas mereka bukan panik bahkan berkata “Hasbunallahu wa ni‘mal wakil”. Cukup Allah bagi kami.

Inilah titik perubahan. Takut tidak hilang sepenuhnya, tetapi takut itu tidak lagi mengawal keputusan mereka. Surah Ali ‘Imran ayat 174–180 mengajar bahawa tawakal bukan sikap pasif. Tawakal ialah tindakan yang bersandar kepada Allah. Tawakal melahirkan ketenangan yang tidak bergantung pada situasi luar.

Allah juga mengingatkan dalam ayat 178 bahawa penangguhan terhadap orang zalim bukan tanda keredaan. Kelapangan bukan bukti keselamatan. Kadang-kadang ia hanya penangguhan yang menambah beban di akhirat.

Dan dalam ayat 180, Allah memberi amaran kepada mereka yang bakhil dengan kurniaan-Nya. Kebakhilan yang disangka menguntungkan itu sebenarnya menjadi belenggu pada hari akhirat.

Selepas Uhud dan Hamra’ al-Asad, ayat-ayat ini membentuk satu gambaran lengkap bahawa Allah bukan sekadar memulihkan semangat orang beriman tetapi juga membetulkan cara mereka melihat kemenangan, ketakutan, nikmat dan masa depan.

Bangkit Sebelum Sembuh

Kisah Hamra’ al-Asad mengajar saya satu pelajaran besar bahawa kita tidak perlu menunggu sempurna untuk taat. Kadang-kadang kita menunggu hati stabil dahulu. Menunggu keadaan tenang dahulu. Menunggu luka sembuh dahulu. Tetapi para sahabat bangkit ketika luka masih ada. Dan mungkin di situlah letaknya rahsia pertolongan Allah. Kerana kemenangan sebenar bukan apabila kita tidak pernah jatuh. Kemenangan sebenar ialah apabila selepas jatuh, kita masih memilih untuk bangun dan berkata “Hasbunallahu wa ni‘mal wakil.”

Hamra’ al-Asad bukan kisah peperangan besar. Ia kisah tentang jiwa yang tidak membiarkan kegagalan terakhir menentukan langkah seterusnya. Surah Ali ‘Imran ayat 174–180 mengajar kita bahawa tawakal melahirkan ketenangan, ancaman manusia tidak lebih besar daripada janji Allah, kelapangan bukan ukuran reda dan kebakhilan adalah kerugian yang tertangguh.

Mungkin dalam hidup kita tidak ada medan perang. Tetapi ada medan kecewa, medan kehilangan, medan ketakutan. Dan mungkin Allah sedang menunggu untuk melihat, adakah kita akan duduk dalam luka atau bangkit sebelum sembuh?

Kerana iman yang matang bukan lahir daripada kemenangan, tetapi daripada keberanian untuk bangkit ketika masih terasa sakit.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Ali Imran ayat 172 hingga 180.

Wednesday, June 9, 2021

HARI KESEMBILAN 'LOCKDOWN' 3.0


Tidak tahu apa yang mampu kita fikirkan apatah lagi untuk berbuat apabila berhadapan dengan 'lockdown' sekali lagi. Walaupun kali ini situasi sedikit berbeza dengan sektor ekonomi dibenarkan sedikit-sedikit untuk beroperasi, namun, kita sama-sama tahu keadaan ini sukar untuk ramai orang yang telah terjejas sejak bermulanya PKP awal tahun 2020 yang lalu.

Kuasa pemutus terletak pada tangan orang yang dirasakan mula mahu mengambil kesempatan kepada situasi pandemik ini. Kesempatan untuk berkuasa, membuat keputusan tanpa timbang tara serta mengutamakan apa yang terbaik untuk diri bukan untuk semua. Orang kata, kita tidak boleh memuaskan nafsu semua orang, tetapi kita sangat yakin dan percaya, ramai orang akan utamakan nafsu yang ada pada diri mereka dahulu. Kepimpinan adalah cerminan keamanan sesebuah organisasi dan bagi Malaysia, kepimpinan politik harus dipertanggungjawabkan. Walaupun telah hari yang kesembilan, permainan ini masih diteruskan. Ia seolah-olah sekumpulan orang kaya yang memerhati dari cermin gelas bersama juak-juaknya sedang menonton satu pertandingan perkelahian siapa yang mampu kekal hidup di gelanggang. Perkelahian terdiri daripada masyarakat yang menghadapi tekanan untuk menyara hidup seharian manakala yang menonton sedang enak berada di dalam bilik cermin berhawa dingin. Mereka mempercaturkan perkelahian dengan mempertaruhkan siapa menang dan siapa kalah.

Jika gambaran ini terbaca kasar, kasar lagi kehidupan yang sedang dilalui masyarakat secara keseluruhannya. Ramai yang mula gusar dengan keputusan-keputusan yang dibuat dan ramai juga yang cuba untuk mengendahkannya kerana telah hilang percaya. Usah dipersoal mengapa kerana krisi kepercayaan ini terhakis sebaik sahaja yang diberikan amanah, beralasan, berdolak-dalik bahkan berdusta. Khuatirkan persidangan parlimen akan menyebarkan virus yang hanya melibatkan mungkin kurang dari 250 di dalamnya yang sudah pasti boleh diaturkan dengan pelbagai keselamatan. Jika dibandingkan dengan msyarakat yang kelaparan, hilang punca pendapatan bahkan hilang harapan dan upaya untuk meneruskan kehidupan. Catatan ini bukan untuk mencari salah siapa namun, bertanggungjawablah kepada amanah yang telah Tuhan berikan kepada kalian.

Pada hari kalian menikmati pelbagai kelebihan dengan pendapatan puluhan ribu ringgit, rakyat inginkan sepuluh ringgit sebulan pun mungkin tidak kesampaian. Jika ada pun, ia datang bersekali dengan hutang yang sudah bertimbunan ditanggung menunggu hari untuk dilangsaikan jika ada harapan. Rakyat hanya memohon, biarlah ada dalam hati kecil pemimpin-pemimpin ini untuk membuat tindakan yang tepat. Tidak ambil gaji selama tiga bulan itu kami setuju, tetapi itu hanya menguntungkan kerajaan bukan rakyat. Gaji yang kalian potong bukan pun disalurkan terus kepada rakyat, balik semula masuk kekantung kerajaan dan kemudian digunakan kononnya kepada rakyat. Lebih utama pada kami adalah untuk melihat urus tadbir negara yang lebih bijak dan penuh dengan integriti. Buka parlimen agar setiap pertimbangan kerajaan ada perbincangan sihat. Kurangkan kos perbelanjaan negara dari perkara yang tidak perlu sebagaimana contohnya, gaji-gaji yang dibayar kepada mereka yang tidak mendatangkan manfaat ekonomi kepada negara.

Percepatkan vaksin. Kita perlu HERD imuniti lapan puluh peratus dicapai dengan cepat. Ekonomi akan mula hidup semula jika ini dapat dilakukan. Halang pergerakan tanpa kawalan, bukan halang pergerakan tanpa hala. Tutup industri yang menyumbang kepada gejala dan penyebaran virus, bukan tutup semua. Fokus kepada pengurangan jangan hanya ingin menjaga hati pihak-pihak berkepentingan. Negara ini negara demokrasi bukan negara kapitalis individualis. Bukan orang kaya yang memerintah tetapi rakyat yang memberi perintah. Jika benar mereka menyumbang kepada ekonomi negara, ingat, ekonomi bukan hanya nilai mata wang bahkan nyawa setiap yang hidup di dalamnya juga adalah ekonomi. Buatlah keputusan yang bijak!

Friday, September 11, 2020

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh sebab itu, kita sentiasa dapat menilai orang lain sama ada memiliki integriti atau tidak sejauh mana mereka bertindak sesuai dengan nilai, kepercayaan dan prinsip yang mereka dakwa.

Budaya kepimpinan adalah budaya kepengikutan di dalam sesebuah kelompok atau organisasi. Tidak mungkin sama sekali seorang pemimpin itu wajar diteladani atau diikuti sekiranya mereka tiada ketekalan untuk menegakkan apa yang dikatakan serta khianat kepada apa yang dijanjikan. Kehilangan integriti dalam kepimpinan adalah petanda hilang jati diri keupayaan seseorang pemimpin yang meletakkan kepentingan diri melebihi dari kepentingan orang lain. Natijahnya, kepimpinan itu akan longgar dari pelbagai sudut termasuk nilai kepercayaan antara satu sama lain di dalam organisasi tidak kira antara pemimpin dengan pemimpin, pengikut dengan pengikut bahkan pengikut dengan pemimpin. Integriti diibaratkan umpama cengkerang kerang. Ia hanya bernilai dikala kerang itu memerlukan perlindungan dan dianggap tidak bernilai tanpa isi dalamnya. Namun, bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam penilaian mereka, pasti akan mengetahui betapa penting cengkerang itu dalam mempertahankan kerang itu sendiri. Maka, bagi seseorang yang menggelar diri mereka sebagai pemimpin, daya tahan diri mereka hilang apabila mereka berkompromi dengan nilai integriti dalam diri mereka.

Bayangkan bagaimana jika sesebuah organisasi mampu bergerak apabila setiap individu di dalamnya bermula dari pemimpin sehingga pengikutnya boleh dipersoalkan mengenai integriti mereka? Bahkan, mereka sesama sendiri hilang kepercayaan antara satu dengan lain. Pergaduhan dan perselisihan akan sentiasa berlaku dan perpecahan pasti akan tiba bila-bila masa. Setiap mereka akan sentiasa mempertahankan apa yang terbaik buat diri mereka dan meninggalkan yang kurang buat orang lain. Ini amat berbahaya apatah lagi apabila keadaan ini merebak kepada organisasi yang lebih besar bahkan di dalam pentadbiran sesebuah negara. Jika kita kenang dan renung, dalam perebutan dan ribut itu, pasti yang akan memakan laba terbaik dikalangan mereka adalah yang berada dipuncak kuasa. Para pengikut hanya akan berputih mata tiadalah ke mana-mana. Kita serahkan kepercayaan kita untuk mereka bimbing dan tadbir urus keadaan organisasi kita, tetapi harapkan pegar, pegar makan padi.

Menerusi artikel Bayan Linnas siri ke 193 dilaman sesawang rasmi Mufti Wilayah Persekutuan mencatatkan apabila kita meletakkan pekerjaan itu sebagai satu ibadah akan mampu meningkatkan sikap integriti kita. 2 perkara yang harus menjadi perhatian apabila kita mahu menjadikan pekerjaan itu sebagai ibadah dan ia harus dimulakan dengan bekerja itu sendiri adalah satu perintah dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksudnya, “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman - 9890 dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin - 3465).

Keduanya adalah dengan mengambilkira menjaga integriti itu sebagai satu cabaran dalam pekerjaan. Pastinya banyak yang perlu kita awasi khususnya apabila kita bergelar pemimpin di dalam sesebuah organisasi apatah lagi sebuah kerajaan. 6 perkara utama yang mesti diperangi dan dihadapi dengan penuh keimanan diawali dengan rasuah. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikannya sebagai pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah. Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam menyebut, "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya."

Keduanya pula adalah khianat. Perbuatan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Seterusnya yang ketiga pula adalah sistem pemerintahan dan cara pentadbiran yang melibatkan berbagai-bagai peringkat atau proses pengurusan yang terlalu banyak peraturan atau birokrasi. Sistem pemerintahan atau pentadbiran yang diuruskan oleh pegawai-pegawai kerajaan. Cara pemerintahan atau pentadbiran dengan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa yang besar. Keempat adalah berdusta atau berbohong. Berkata yang tidak benar. Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas`ud r.a., Nabi sallallahu'alaihiwasallam bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Riwayat al-Bukhari - 6094)

Kelima adalah amalan bertangguh. Daripada Ibn Umar r.a. katanya, Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam memegang dua bahuku seraya bersabda, yang bermaksud, “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar r.a. berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu." (Riwayat al-Bukhari - 6053)

Terakhir dan yang keenam, budaya melepak dan membuang masa. Daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a., Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda yang bermaksud, “Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan wahai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.” (Riwayat al-Bukhari - 5875 dan Muslim -114).

Kesimpulannya, slogan yang telah lama didendangkan dinegara kita, "Rasuah Musuh Negara" bukanlah slogan hanya untuk disebutkan. Ini jelas membuktikan permasalahan rasuah sudah bermula lama dan sehingga kini ia bukan terhenti sebaliknya semakin berleluasa. Rasuah akan menatijahkan pengkhianatan yang berlaku secara berleluasa sebagaimana yang dapat kita teliti hari ini. Bekerja dengan birokrasi yang terlalu ketat mengagalkan perkhidmatan disampaikan dengan cara terbaik. Birokrasi bertujuan untuk mengelakkan salahguna kuasa bukan untuk menyusahkan mereka yang sepatutnya mendapatkan perkhidmatan, akhirnya mereka yang dipaksa mengikut birokrasi menjadikannya alat untuk berbohong atas kelewatan perkhidmatan yang diberikan. Lewat bukan kerana birokrasi sebaliknya bertangguh dalam melakukannya akibat dari kebiasaan melepak dan membuang masa semasa waktu bekerja.

Friday, September 4, 2020

KEPIMPINAN BUKAN KEDUDUKAN

Hari ini kepimpinan sering mewujudkan pelbagai spekulasi dan pertanyaan. Apa yang mereka cari? Apa yang mereka mahu? Tidak cukupkah apa yang mereka ada? Persoalan ini menghimpit setiap pemikiran insan yang hidup di tanah ini, Malaysia. Hampir setiap hari kita melihat dan mendengar keluhan para pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kelompok yang bukan bersama mereka seolah-olah kebenaran hanya ada pada mereka dan tidak ada pada orang lain tidak kiralah sama ada mereka sebangsa ataupun seagama. Perjuangan yang mereka bawakan hari ini bukan lagi bersifat perjuangan untuk rakyat, untuk bangsa dan agama tetapi adalah untuk mereka dan parti yang mereka wakili. Apakah sudah tandus benar kepimpinan yang ada bersama kita hari ini?

Kita bersalah apabila kepimpinan hanya kita nilai dari sudut kelompok dalam parti politik sahaja. Memang benar, mereka berada ditampuk itu, mengetuai kerajaan dan mewakili kerajaan dan suara rakyat, namun harus kita ingat bersama. Masih ramai diluar sana yang turut memimpin setidak-tidaknya mereka seharusnya mampu memimpin diri sendiri. Kegagalan pada diri mereka jika ada mungkin dikalangan mereka adalah disebabkan kegagalan mereka untuk memimpin diri mereka sendiri. Gagal mengawal nafsu serakah mereka terhadap pangkat, kuasa dan kedudukan. Bahayanya bukan di sini, tetapi amat di akhirat nanti. Khuatir kita kepada umat kita yang sebenarnya gagal memimpin diri mereka sendiri. Para pemimpin politik ini pada dasarnya datang dari kita, bukan dari angkasa lepas. Buruk mereka sedikit sebanyak menggambarkan apa yang buruk pada diri masyarakat di sekitar mereka. Oleh yang demikian, kita harus sedar dalam memilih untuk menyalahkan kepimpinan, kita juga adalah pemimpin untuk diri kita sendiri, bagaimana kita dan bagaimana pencapaian tugas kita sebagai pemimpin untuk diri sendiri?

Tambahan pula setiap insan ini berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Kegagalan memimpin diri secara peribadi ditambahi dengan bebanan kekeluargaan akibat dari perkahwinan yang semata-mata ingin melepaskan keinginan nafsu kepada teman berlainan jenis. Ini amat berbahaya. Unit kekeluargaan akan terganggu akibat dari ketidakfahaman peranan sebagai suami isteri, sebagai ibu dan bapa. Ini juga merupakan satu kelompok kepimpinan yang seharusnya diberikan perhatian dan diperbaiki hari ini. Kerap kali kita mendengar banyak kes-kes penceraian, pengabaian rumah tangga, penderaan dalam keluarga dan seangkatan dengannya. Siapa pula yang hendak dipersalahkan? Kepimpinan politik negara? Benar, mereka punya peranan menyediakan sarana serta pelbagai keperluan pendidikan, bimbingan serta ruangan untuk rakyatnya mengambil manfaat. Namun, kegagalan kepimpinan asas ini sebenarnya pasti akan menggagalkan sebarang usaha yang dibuat dari pihak kepimpinan politik kerajaan. Usahanya gagal akibat dari tiada nilai kepimpinan yang benar pada diri sendiri. Gagal berkata benar, gagal menilai hak diri dan hak orang lain, mengutamakan kesenangan sendiri, pertimbangan hanya untuk kebaikan sendiri bahkan jika dapat pada orang maka kita merasakan bahawa sepatutnya kita juga dapat, jika tidak maka itu tidak adil.

Sebab itulah, kepimpinan bukan kedudukan. Kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Kepimpinan adalah sesuatu yang diberikan kepercayaan untuk dilaksana baik sebagai kepimpinan politik dalam kerajaan, pembangkang, ahli parlimen termasuklah kepada diri sendiri. Kita sudah diletakkan sebagai pemimpin. Allah. Ingat apa kata Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah ayat 30 hingga 33? “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Apakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu siapa yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku me-ngetahui apa yang tidak Engkau ketahui.”  Dia mengajar kepada Adam nama-nama seluruhnya, kemudian memaparkannya kepada para malaikat, lalu berfirman: “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda itu, jika kamu ‘orang-orang’ yang benar.” Mereka berkata: “Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan kamu sembunyikan?”

Allah telah memilih insan atau manusia itu sebagai khalifah. Dekan Fakulti Adab dan Humaniora dari Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, Profesor Dr. Oman Fathurahman menyatakan, kata khalifah itu memiliki dua keterangan menurut Islam. Pertama, khalifah itu sendiri secara umum, sebagai khalifah di muka bumi sebagaimana yang termaktub pada ayat di atas. Manakala, yang kedua secara khusus dimaksudkan sebagai pengganti Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam, sebagai pemimpin agama dan negara.

“Dalam sejarah kesultanan di Nusantara, para sultan banyak yang menggunakan gelar ‘Khalifatullah fil Ardh’ atau Khalifah di muka bumi, yang bisa dianggap mengandung dua arti sekaligus, baik sebagai manusia sempurna (insan kamil) makhluk Tuhan, maupun sebagai raja, wakil Tuhan untuk mengelola bumi. Apapun makna khalifah yang dirujuk, jelas bahwa misi Tuhan menjadikan manusia atau pemimpin sebagai khalifah adalah untuk mewujudkan kemaslahatan dan keadilan bagi semesta,” terang Profesor Oman, Rabu (15/1/2020).

Walaupun sedemikina, Profesor Oman menjelaskan, mengikuti perkembangan zama yang telah ada pelbagai keragaman manusia ini, termasuklah dalam pemilihan perkataan pemimpin dan sistem pemerintahan, maka makna khalifah ini perlu diberikan makna secara substantif dalam konteks masing-masing. “Makna substantif yang tidak boleh hilang adalah khalifah sebagai pengemban kemaslahatan dan keadilan. Oleh karena itu, semua pemimpin harus bisa mewujudkan kemaslahatan dan keadilan itu sebagaimana menjalankan praktik agama juga harus dipahami sebagai bagian dari komitmen dalam mewujudkan kemaslahatan bernegara,” ujar Profesor Oman.

Jelas, kepimpinan bukan soal di mana kita duduk, tinggi mana pangkat kita. Ia sebenarnya adalah beban yang ditanggungkan atas pundak kita untuk diselesaikan dan diberikan pertimbangan keadilan sewajarnya. Amanah yang akan dipertanggungjawabkan bukan sekadar pada keinginan sesebuah kelompok manusia atau parti, bahkan pada penilaian Allah s.w.t. yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Semoga kita berupaya untuk menjadikan diri kita sebagai khalifah yang bertanggungjawab bermula untuk diri, keluarga, kejiranan, masyarakat dan negara.

Friday, August 28, 2020

MENGATASI DINDING PERHUBUNGAN DENGAN PERKONGSIAN MATLAMAT

Setiap perhubungan manusia pasti perlu dimulai dengan proses komunikasi dan interaksi yang berkesan dan mampu untuk menghilangkan kegugupan mahu pun rasa malu yang amat sangat. Mengatasi dinding iaitu penghalang diantara kita dengan orang kedua yang baru kita kenali adalah penting dalam usaha untuk mengikat perhubungan, membina kepercayaan serta mengenali diantara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Proses ini mestilah dilakukan dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan aktif, terbuka serta kerap. Kadangkala, ada dikalangan kita mampu dan mudah untuk memulakan komunikasi dan interaksi. Dan terdapat juga dikalangan kita yang mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi yang tinggi, jadi adalah mudah untuk mereka ini memulakan perhubungan dan mengatasi dinding yang menghalang mereka.

Perbincangan kita adalah dikhususkan kepada mereka yang biasa, tidak mempunyai kekuatan sebagaimana mereka yang luar biasa. Adalah normal, jika seorang manusia berasa malu dalam memulakan komunikasi. Ini adalah kerana, terdapat pelbagai andaian dalam fikiran kita sebelum memulakan sesuatu perhubungan komunikasi. Antaranya ialah;
  1. Niat untuk memulakan perhubungan atau pergaulan yang salah.
  2. Mengandaikan pemikiran orang lain.
  3. Beranggapan apa yang hendak dilakukan itu adalah salah.
  4. Berasa rendah diri.
  5. Tidak yakin dengan kemampuan dan matlamat berkomunikasi.
  6. Tidak merasakan kepentingan dalam komunikasi.

Semua perkara diatas adalah sesuatu yang perlu diatasi oleh sesiapa sahaja khususnya ahli Pembimbing Rakan Sebaya. Oleh yang demikian, proses perkenalan atau suaikenal pada peringkat awal perhubungan adalah sangat penting dan sebahagiannya mengatakan wajib untuk mereka. Proses ini juga merupakan proses yang dituntut oleh agama Islam bahawasanya Allah menciptakan manusia ini berpuak-puak adalah untuk mereka saling kenal-mengenali. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku li ta‘ârafû (supaya kamu saling kenal). …. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Proses perhubungan atau perkenalan ini terdapat 4 peringkat atau fasa yang berakhir dengan hubungan rapat dan berkesan.

Fasa Satu: Mengenali (Ta'aruf)
Ia proses untuk mengenali orang lain melalui nama, tempat belajar, tempat tinggal atau sebagainya. Ia lebih bermatlamat untuk memulakan komunikasi dan proses ini hanya untuk dijadikan subjek perbincangan pada peringkat awal perkenalan.

Fasa Dua: Memahami (Tafahum)
Ia proses peringkat kedua. Apabila komunikasi pertama berjaya, kebiasaannya ia akan menimbulkan persepsi di dalam pemikiran kita tentang orang yang kita bersama dan akhirnya persepsi ini membawa kepada proses memahami orang lain. Persepsi ini tidak harus diluahkan tetapi haruslah mencari kebenaran disebaliknya. Dalam proses ini, kita akan mula mengetahui tentang sikap dan perangainya, suka dan tidak suka mereka dan sebagainya.

Fasa Tiga: Menolong (Ta'awun)
Ia semakin baik! Perhubungan yang bermula dengan komunikasi, kita memahami, dan hasilnya kita akan terdorong untuk membantu sekiranya proses memahami tadi benar-benar dalam dan berjaya membina kepercayaan dan keterbukaan. Maka, sedialah kita untuk membantu jika ada masalah dan kita mampu untuk membantu.

Fasa Empar: Menjaga Kebajikan (Takaful)
Inilah peringkat terakhir dan tertinggi. Perhubungan yang terjalin atas persahabatan kerana Allah. Meletakkan kesusahan orang lain pada diri dan merasainya. Rakan ketawa dan tangis bersama. Sebagaimana sebuah kisah 3 orang sahabat yang keluar berperang untuk menegakkan kalimah Allah. Disaat peperangan berada dikemuncak, ketiga-tiga sahabat ini telah mengalami kecederaan yang parah dan dihantarkan mereka dikhemah rawatan untuk diberikan perhatian. Ketika di dalam khemah, terkejut ketiga-tiga mereka kerana bertemu di dalam sebuah khemah yang sama. Lalu datang perawat membawa ari untuk sahabat yang pertama. "Kau berikanlah air ini kepada sahabatku disebelah, aku amat yakin, dia lebih memerlukannya lebih dari aku" kata sahabat yang pertama tadi.

Berlalulan perawat tadi kepada orang yang kedua dan sahabat yang kedua pula berkata, "Aku belum amat memerlukan air ini berbanding sahabat ku di sana (sambil menunjukkan kepada orang yang ketiga)" kata sahabat yang kedua. Perawat pun bersegera bergerak kepada sahabat yang ketiga tadi. Setibanya si perawat, alangkah terkejutnya si perawat apabila mendapati sahabat yang ketiga telah pun meninggal dunia. Jadi kembalilah si perawat kepada 2 sahabat yang dipermulaannya tadi dan sungguh terharulah si perawat kerana kedua-duanya juga meninggal dunia kerana mementingkan rakan mereka yang lain. Inilah apa yang dikatakan sebagai takaful dalam perhubungan kita. Moga-moga kita berusaha sehingga sampai ke tahap ini.

Oleh yang demikian, proses ini haruslah berterusan agar ia mencapai pada tahap yang baik. Bahkan, di dalam setiap perhubungan, mestilah kita mempunyai matlamat yang jelas yang dapat kita fahami serta rakan kita juga memahaminya. Matlamat ini juga antara faktor yang menjadikan kita lebih dipercayai, dilihat jujur serta mampu mengawal diri dari apa-apa agenda yang tersembunyi. Antara agenda atau matlamat yang harus dikongsikan dalam perhubungan sesama kita adalah;
  1. Tetapkan dalam diri bahawa, tuntutan untuk mencari ilmu itu adalah keutamaan. Iaitu kemahuan untuk belajar, mengajar dan mencintai ilmu. Ini membantu kita membicarakan perkara yang bermanfaat berbanding perkataan yang sia-sia.
  2. Menimba pengalaman dari orang lain kepada orang yang pandai akan belajar dari pengalaman sendiri, tetapi orang yang bijaksana akan belajar dari pengalaman orang lain. Kerana itulah Allah mensyariatkan kita belajar dari penciptaan makhluk-Nya.
  3. Memenuhi tuntutan tanggungjawab di dalam masyarakat; iaitu saling berkenalan dan berukhuwah. Islam amat melarang kita bermusuhan dan bertelagah khususnya di antara ummat Islam itu sendiri.
  4. Menjadi sebaik-baik manusia seperti mana hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

"Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain." Perbaiki dan TUNE diri kita semua bersama.

Wednesday, August 26, 2020

LEBIH UTAMA DIPERCAYAI BERBANDING DIKASIHI

Kehidupan bersosial dan berorganisasi merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam melalui kehidupan sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah s.w.t. ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 4, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”

Jelas di sini yang dapat kita lihatkan betapa keadaan ummat Islam itu amat perlu bersama sebagai satu binaan yang kukuh. Islam juga memperlihatkan bahawa hidup seorang Muslim itu umpama anggota tubuh, apabila satu merasa sakit, maka yang lainnya juga tidak dapat berehat dan merasakan kesakitannya bersama. Namun di dalam kehidupan sosial, tidak dapat tidak, pastinya kita akan berhadapan dengan dunia politik sosial secara umumnya. Masing-masing berusaha untuk mendahului yang lain dalam usaha untuk mendatangkan perasaan kasih orang lain terhadap diri kita. Bahkan di dalam kelompok sosial yang sifatnya tiada sebarang keuntungan material sekalipun, keadaan ini berlaku. Ini menjadikan pada hari ini amat sukar untuk kita mencari kepimpinan yang boleh dipercayai. Jika kita bersama berusaha menyenaraikan apakah sifat utama diri seorang pemimpin itu, pastinya yang menjadi keutamaan dalam perbincangan tersebut adalah mereka yang boleh dan dapat dipercayai. Amerika Syarikat negara yang dikatakan memiliki kuasa besar dunia, ada dikalangan mereka yang mengungkapkan kata-kata sindiran, “We thought we could trust the military, but then came Vietnam; we thought we could trust the politicians, but then came Watergate; we thought we could trust the engineers, but then came the Challenger disaster...” Kata-kata ini mengungkapkan tentang makna dan keutamaannya kepercayaan. Faktor kepercayaan amat penting dalam memastikan kesinambungan sesuatu hubungan samaada berbentuk peribadi mahupun berorganisasi. Apabila kuasa kepercayaan ini berjaya dibentuk, sebarang anasir sifat mazmumah yang datang mengganggu hubungan dan bisikan-bisikan buruk dan busuk itu akan berjaya diatasi bahkan dijauhkan dari sesuatu perhubungan. Tetapi, apabila sistem kepercayaan ini tercabar, lihat sahaja kesannya, hubungan kepercayaan yang dibina hampir 10 tahun boleh berubah dalam sekelip mata.

Kepercayaan hadir melalui pengikut yang percayakan pemimpinnya dan pemimpin mesti meletakkan kepercayaan kepada orang yang dipimpin. Dari sinilah akan mewujudkan pengaruh dan pengaruh itulah yang menjayakan kepimpinan. Bagaimana kita hendak membina kepercayaan? Mudah tetapi sukar dilaksana. Cakap mesti serupa bikin. Cakap dan perbuatan mesti selari. Kata-kata mesti dikota. Inilah yang sering diungkapkan sebagai integriti. Integriti ini adalah sikap amanah, jujur dan tulus dalam setiap perhubungan dan dipraktikkan dimana sahaja dalam kehidupan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 2 dan 3, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupannya yang mendorong masyarakat untuk mengangkat darjatnya serta memberikan gelaran Al-Amin. Kadangkala, kita lebih suka perasaan dikasihi berbanding dipercayai. Percayalah dan fikirlah, bahawasanya setiap pekara yang dikasihi hadir dari permulaannya dipercayai. Begitu juga dengan kasih sayang dibentuk di rumah, tempat kerja dan di mana sahaja. Apabila kepercayaan ini merosot, maka kasih sayang juga mula hilang dan pudar dari kehidupan kita. Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinganya. ‘Action louder than words'.

Maka ingatlah sahabatku sekalian, apabila kita mengetuai atau berada di dalam organisasi, dan di situ semakin sukar untuk mendapatkan ketaatan, kerjasama dan kesetiaan, itu tandanya pengaruh kepimpinan telah hilang. Apabila hilang pengaruh, itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan dan disitulah tiadanya integriti. Kita tidak akan mampu menjayakan organisasi hanya sekadar dengan cinta tetapi, kepercayaan adalah yang lebih utama. ‘TUNE’lah diri kita.

Friday, August 21, 2020

KEPENTINGAN MESYUARAT

Kita mulakan catatan perbincangan ini dengan firman Allah s.w.t. dari surah Asy-Syura ayat 38 yang bermaksud, “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”

Mesyuarat merupakan salah satu agenda atau elemen penting di dalam sesebuah organisasi mahupun jawatankuasa pelaksana sebarang tugasan, projek atau pengurusan. Ia merupaka tempat dimana berlakunya percambahan idea, penyampaian maklumat, memberikan arahan serta menerima perintah dari mereka yang mengetuai sesuatu pasukan. Kepentingan mesyuarat ini diperjelaskan Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syura sebagaimana yang tercatat dipermulaan artikel ini.

Amalan bermesyuarat ini merupakan sunnah yang juga dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Ia secara jelas tercatat di dalam sirah perjuangan Rasulullah dalam merangka strategi, mengumpulkan pandangan serta mencari kesepakatan di dalam urusan berorganisasi. Mesyuarat memerlukan komitmen semua ahli dan harus mempunyai matlamat serta agenda yang jelas. Mesyuarat melibatkan ahli mesyuarat, perkara yang dibincangkan serta keputusan yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian, perbincangan harus berlaku dalam keadaan yang harmoni serta saling bertolak ansur.

Amalan bermesyuarat merupakan amalan yang diberkati oleh Allah s.w.t. dan ia merupakan suatu usaha untuk mencari penyelesaian yang laing baik dan paling hampir dengan kebenaran. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali-Imran: 159)

Friday, August 14, 2020

PENGURUS VS PEMIMPIN

Penglibatan diri di dalam organisasi merupakan suatu pendedahan kepada beberapa bentuk pembinaan diri khususnya dari sudut komunikasi dan sosial. Keperluan latihan berterusan begini membolehkan seseorang yang terlibat itu meningkatkan kematangan di dalam soal membuat keputusan, menjadi contoh serta membentuk kepercayaan dan keyakinan pasukan.

Terdapat pelbagai pandangan di dalam membina keberkesanan di dalam kerja berpasukan atau organisasi. Antara elemen yang penting di dalam organisasi adalah ketua mereka. Ketua ini boleh dikenali di dalam dua bentuk iaitu ketua sebagai pengurus atau ketua sebagai pemimpin. Semua pemimpin boleh menjadi pengurus tetapi tidak semua pengurus boleh menjadi pemimpin. Mengapa begitu?

Ketua yang terbaik akan mampu memberikan kesan yang terbaik juga kepada orang-orang yang dipimpinnya. Maka kemahiran berorganisasi ini memerlukan keupayaan mengurus, merencana, mempengaruhi dan memberikan bimbingan. Keupayaan pastinya tidak dipunyai oleh seorang pengurus tetapi terdapat kepada seorang pemimpin. Terdapat 5 perbezaan yang dapat kita bincangkan antara siapa itu pengurus dan siapa itu pemimpin.

PERTAMA; KOMUNIKASI
Seorang ketua akan menggunakan bentuk komunikasi sehala dan paling minima. Mereka lebih mudah memberikan arahan berbanding perbincangan yang merupakan pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin. Kurangnya komunikasi juga menjadikan perlaksanaan sesuatu pekerjaan itu tiada kesepakatan serta tidak bersama-sama. Komunikasi yang berkesan oleh seorang pemimpin pula akan mampu menjana rasa bersama mereka yang dipimpin dan memudahkan perhubungan di dalam sesuatu organisasi.

KEDUA; KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN
Seorang pemimpin akan sentiasa mementingkan keikhlasan dan kejujuran di dalam melaksanakan tugas bersama. Pengurus pula lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu atas dasar tugas semata-mata dan tidak mementingkan soal perasaan serta keutamaan kejujuran di dalam tindakan mereka. Kadangkala, seorang pengurus lebih mementingkan kejayaan peribadi berbanding memikirkan kebajikan orang dibawahnya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melebihkan orang yang dipimpinnya berbanding dirinya sendiri.

KETIGA; INISIATIF
Pengurus seringkali mengharapkan orang bawahan mereka untuk melakukan kerja lebih daripada kemampuan mereka tetapi mereka sendiri sering ingin melepaskan diri. Ada juga dikalangan mereka yang hanya menunggu arahan dari orang atasan tanpa bersikap proaktif dalam mendepani permasalahan yang ada. Prinsip bagi seorang pemimpin adalah melakukan apa yang termampu dalam diri mereka. Bukanlah semata-mata melakukan apa yang disuruh atau memenuhi semua permintaan tanpa memikirkan keupayaan pasukannya. Selalu bersikap proaktif menangani sebarang masalah dan halangan dalam tugasan yang diberikan.

KEEMPAT; BERKESAN
Bagi seorang pemimpin, mereka melakukan tugasan mereka dalam keadaan yang sentiasa bersungguh-sungguh. Bukan hanya tatkala ada orang yang memerhatikan mereka. Pemimpin sentiasa menjadikan kerja atau tugasan itu bersama dan amanah yang mesti dilaksanakan dalam cara yang paling baik. Berbeza pula keadaannya dengan seorang pengurus, keutamaannya adalah memastikan orang atasan atau sesiapa sahaja yang melihat mereka bekerja berpuashati dan menerima pujian. Semangat mereka adalah terhadap pujian dan balasan yang diterima bukan pada kesungguhan melaksanakan amanah.

KELIMA; MEMBIMBING
Perbezaan yang paling ketara antara keduanya adalah dari sudut membimbing orang bawahannya. Bagi seorang pengurus, hanya perintah atau suruhan sahaja yang ada di dalam kamus berorganisasinya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melihat orang dibawahnya harus dipimpin dan diberikan peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri. Keutamaan dalam membimbing ini akan menghasilkan pekerja yang sentiasa positif terhadap tugas dan peranan mereka. Jika dibandingkan dengan mereka yang hanya disuruh dan tidak dibimbing bahkan sentiasa dimarahi.

Perbincangan ini bukan bermakna ia adalah semestinya sebagaimana yang telah dicatatkan. Ini adalah suatu pandangan dimana, pemimpin seharusnya mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dibincangkan. Tidak kiralah dimana sekalipun kita diamanahkan sebagai ketua, baik di dalam syarikat, jabatan kerajaan mahupun organisasi bukan kerajaan. Menjadi pemimpin bermakna menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain, maka, setinggi-tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.

Marilah bersama kita menilai diri kita adakah kita ini hanyalah seorang pengurus atau pemimpin atau berada dalam konteks antara keduanya. Jika anda adalah orang yang berada diantara keduanya, bermakna, kita masih berada dalam posisi mementingkan diri sendiri dalam setiap tindak tanduk kita. Berwaspadalah kerana masyarakat kita memerlukan lebih ramai pemimpin berbanding pengurus. Bagaimana anda di rumah pula.

Friday, August 7, 2020

MEMIMPIN MELALUI TELADAN BUKAN PAKSAAN

Sudah menjadi kemestian seseorang pemimpin menggunakan khidmat anak buahnya dalam melaksana atau menyelesaikan satu-satu misi atau tugas mereka. Tenaga ini bagi kebanyakan pemimpin adalah satu kemestian untuk digunakan bahkan adalah satu kerugian jika dibiarkan. Pemikiran ini tidak salah sama sekali bahkan ia amat digalakkan dalam hal dan keperluan pembelajaran dan pengalaman bagi seorang pekerja atau anak buah yang dibimbing. Kesediaan untuk dibimbing juga adalah kunci kepada kejayaan sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka dan kejayaan yang dikecapi tersebut tidak seharusnya diletakkan seluruhnya atas kapasiti seorang pemimpin sebaliknya ia adalah berpandukan kerja berpasukan yang diketuai oleh seseorang yang memiliki keupayaan yang terbaik dalam kepimpinannya. Namun, situasi ini amat jarang dapat kita lihat disebabkan oleh ketamakan seorang ketua untuk mengangkat namanya agar menjadi sebutan dan kenang-kenangan kepada orang lain dan generasi seterusnya. Harus diingat, keutaamaan seorang ketua adalah untuk menyelesaikan visi besar bersama misi-misi yang telah disenaraikan, bukan membina nama peribadi mereka. Pembinaan nama peribadi adalah visi dan misi peribadi yang sememangnya secara tidak langsung akan menjejaskan pembangunan keseluruhan organisasi tersebut.

Tambahan pula, apa yang berlaku kadangkala tidak seperti yang kita bersama bayangkan. Si ketua lebih gemar mengarah dan akhirnya mengambil 'credit'. Apa sahaja yang datang padanya, akan diseru nama pekerja atau orang bawahannya. Sehinggakan tindakannya itu adalah semata-mata untuk melepaskan dirinya sahaja. Apabila kerja itu tidak sempurna, dimakinya orang bawahannya sehingga hilang akhlak dan hormat kepada sesama manusia. Ini secara langsun tidak mencerminkan kepimpinan melalui teladan. Terdapat beberapa kisah yang pernah diceritakan tentang bagaimana Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam membuat keputusan untuk melakukan tugas bersama para sahabat, namun Baginda memilih untuk melakukan tugasan yang lebih berat dan susah untuknya berbanding orang lain. Ia bukan sesuatu yang mudah bagi seorang pemimpin, tetapi nilai hamba dalam diri pemimpin menjadikan diri mereka seperti itu. Mereka cenderung untuk membantu berbanding mencari salah orang bawahan mereka. Sebab itulah, kepimpinan adalah terkait rapat dengan bimbingan dan pembangunan insan lain di dalam sesebuah organisasi. Pastinya semua kita dapat merasai bagaimana jiwa seorang insan yang melakukan sesuatu kerana paksaan berbanding melakukan sesuatu atas dasar suka rela dan kerana mahu yang ada di dalam diri. Hasil kerja yang dilakukan pasti akan menjadi lebih baik dan ini akan menjadikan organisasi itu lebih cemerlang dan terkehadapan.

Sifat mengarah, mara-marah tanpa usul periksa adalah sifat yang keji apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepimpinan. Kehidupan di dalam organisasi tidak kira bentuk apa organisasi itu sekalipun, maka akan berlaku pergerakan politik di dalamnya kerana berpolitik itu adalah untuk membina pengaruh. Bagi seorang pemimpin, baik dalam organisasi kecil sekalipun, mereka perlu berpolitik. Bukan untuk membina pengaruh kuasa atau menanam kebencian serta persaingan kuasa, tetapi untuk mudah melaksana tugas dan mendapat kerjasama dari orang bawahan. Pemimpin yang baik, mempunyai kemahiran memerhati dan membimbing yang baik. Ia kami perkenalkan sebagai 'monitoring skill'. Pemimpin yang baik juga wajar membuka ruang perkembangan serta menerima dinamika kepelbagaian insan yang dipimpin mereka. Tidak ada cara lain untuk melahirkan pemimpin yang baik melainkan memberikan teladan yang baik sebagai pemimpin kepada orang yang sedang dipimpin. Benarlah syair arab yang pernah dinukilkan, 'untuk melahirkan pemimpin seperti mengembala unta' kerana dari puluhan ekor itu, kita tidak akan pernah tahu, yang mana satu akan dapat kita tungganginya.

Pemimpin juga harus mudah membantu agar mudah mendapat bantuan. Bukan hanya kita sebagai pemimpin yang perlukan 'assistant', bahkan kita sendiri harus sedia untuk 'assist' orang bawahan mereka mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk mereka dan untuk organisasi kita. Membiarkan mereka begitu sahaja adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya dipikulkan segala sebab kesalahan itu atas kegagalan kepimpinan itu sendiri, bukan semata-mata mereka yang diamanahkan melakukan kerja-kerja tersebut. Oleh yang demikian, untuk membolehkan diri membantu orang lain, seorang pemimpin perlu pula memiliki maklumat sehingga orang bawahan ini dapat menjadikan pemimpin mereka sebagai sumber rujukan utama. Ini memerlukan kemahiran yang bersesuaian dari aspek penyampaian maklumat dari atas ke bawah dan mengumpulkan maklumat pula dari bawah ke atas. Akhir sekali, seorang pemimpin perlu bersikap neutral, tidak berat sebelah atau memenangkan mana-mana pihak tanpa menilai kebenarannya. Bahkan pemimpin juga perlu merasakan dan meletakkan dirinya sebanding dengan orang bawahan dalam beberapa isu dan keadaan. Ini menjadikan seorang pemimpin itu mudah memulakan, mudah membantu, meringankan beban dan berada dalam kasut mereka yang kesusahan. Inilah dia memimpin melalui teladan dan bukan melalui tekanan. Tolak ansur yang tinggi ini akan menjadikan setiap tugasan yang diterima oleh pekerja kita itu lebih mudah, ringan dan bukan dalam keadaan keterpaksaan. Berikanlah teladan yang terbaik buat mereka contohi dan hindarilah dari melakukan penindasan terhadap orang yang berada di bawah kita. Ingat, kita tidak akan selamanya berada di atas dan mereka tidak akan selamanya berada di bawah.

Friday, July 31, 2020

SUASANA KERJA BERUPAYA MERANGSANG KOMITMEN PEKERJA

Suasana kerja terbentuk berdasarkan peranan yang dimainkan oleh beberapa pihak yang melengkapkan organisasi itu sendiri. Peranan mereka ini membentuk nilai-nilai positif yang memberikan tambahan kepada penyeri suasana di dalam pejabat. Antara pihak yang berperanan adalah ketua di pejabat, kakitangan pejabat serta lingkungan dan persekitaran pejabat itu sendiri. Secara mudah difahami terdapat tiga faktor penting dalam merangsang pekerja kita untuk menjalankan tanggung jawab dengan berkesan serta memenuhi kehendak pekerjaan yang ditetapkan. Tiga faktor ini kadangkala dipandang remeh oleh banyak pihak sehingga menyebabkan gangguan dalam penghasilan kerja terbaik untuk organisasi itu sendiri. Pada dasarnya, semua yang bekerja harus mempunyai tahap kesedaran yang sama mengenai tugasan di pejabat itu adalah amanah. Amanah yang bukan hanya datang dari seorang ketua atau bos, tetapi amanah itu sampai kepada kita melalui ketua dari TUHAN untuk menguji nilai ketakwaan kita di sisi Nya. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.

Keselesaan di dalam pejabat adalah disebabkan oleh, suasana yang harmoni diwujudkan oleh kakitangan dan ketua pejabat itu sendiri. Ia sudah tentulah berteraskan kepada bentuk komunikasi yang baik, berkesan yang mementingkan hubungan insan serta ihsan. Hubungan insan merupakan hubungan yang penuh kemesraan, merendah diri, memberi pujian yang ikhlas, menegur untuk menambahbaik bukan menjatuhkan, sentiasa memuliakan, menutup aib orang lain, tidak berlebih-lebihan dalam perselisihan, memaafkan kesalahan, sentiasa memohon maaf serta tidak lekang menyebut terima kasih atas setiap bantuan yang diberikan. Nilai ini semestinya diwujudkan oleh pembudayaan yang didahului oleh ketua di dalam pejabat kita. Kepimpinan melalui teladan. Sebab itu, faktor utama yang penting di antara tiga faktor yang disenaraikan adalah ketua di pejabat. Amanah ketua mestilah ditekuni bukan untuk menunjukkan kuasa sebaliknya dengan kuasa itu memudahkan segala tugasan yang diberikan untuk diselesaikan. Kuasa ketua itu berperanan untuk menjadi pelincir dalam memastikan apa sahaja yang dirancangkan dapat dilaksana dengan sebaik mungkin. Penyalahgunaan kuasa amat berpotensi berlaku kepada ketua di pejabat yang mempunyai kepentingan peribadi yang lebih berbesar berbanding kepentingan amanah dalam kelompok yang diketuainya. Ketua begini bukan sahaja akan menghilangkan kehormatan dirinya bahkan akan menyebabkan kegagalan kepada organisasinya untuk berfungsi secara maksimum.

Apabila dirujuk kepada hubungan ihsan pula dalam perbincangan di atas adalah apabila wujudnya rasa belas kasihan, perikemanusiaan, kejujuran di kala tidak berada di hadapan mata, tidak mengata atau mengumpat, tidak menjadi pengadu domba, bahkan memelihara amanah dalam setiap perkara. Ringkasnya, hubungan ihsan adalah hubungan kepercayaan, hubungan yang mana Allah menjadi saksi perbuatan kita. Inilah kakitangan pejabat yang diidamkan oleh semua ketua mereka. Kakitangan sebegini akan membantu banyak urusan yang diputuskan oleh organisasi. Walaupun, ada kepentingan tertentu kepada seorang ketua dalam organisasi, bagi ketua, kepentingan pekerja di bawahnya tidak kurang penting seperti dirinya di dalam sesebuah organisasi. Maka, dalam mewujudkan suasana kerja yang boleh merangsang setiap pekerja, ia perlu membentuk komunikasi insan dan ihsan ini. Komunikasi yang kuat antara ketua dan pekerja itu sendiri. Cuba kita bayangkan bersama, bagaimana agaknya jika kita dapat bekerja dengan suasana seperti yang disenaraikan tadi? Pastinya keadaan begitu aman, suasana tenang dan sentiasa mendatangkan semangat untuk bekerja bukan?

Suasana pekerjaan adalah natijah kejayaan dari komunikasi yang sihat antara yang bekerja. Suasana pekerjaan adalah elemen atau faktor ketiga yang akan melengkapkan putaran kerja positif di pejabat. Masa digunakan secara berkesan dan berkualiti, tiada isu pertelingkahan untuk meraih kedudukan serta tidak wujud persaingan saling memburukkan melainkan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dan kebajikan di kalangan kelompok pekerja yang ada. Secara kesimpulannya, komunikasilah yang menjadi asas pertama dan komunikasi itu harus bersifat insan bukan haiwan, dan di dalamnya perlu ada ihsan agar ia penuh kejujuran dan ketelusan hati dan budi bagi menghasilkan keharmonian suasana tempat bekerja.

Friday, July 17, 2020

KEPIMPINAN MERENTAS DENAI

Kepimpinan bukan kesenangan apatah lagi kemewahan. Namun, dalam suasana politik tanah air saat ini, kepimpinan adalah amat sinonim dengan kuasa dan pemilikan. Kuasa itu lambang kehidupan serba ada dalam kemewahan dan kesenangan. Mana tidaknya, apabila kepimpinan itu terkait dengan pendapat yang tinggi serta peluang untuk memiliki pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah terfikir dalam akal kita sebagai manusia yang hidup biasa-biasa. Gambaran ini jelas merosakkan imej kepimpinan. Jika dinukilkan sejarah mereka yang terdahulu walau dimanapun mereka berada, kepimpinan pasti akan terkait dengan kesukaran, kebimbangan, ancaman serta keperitan hidup. Rupa-rupanya hari ini, segala tekanan itu dijadikan alasan untuk mereka berpayung kononnya kehidupan mereka dan perjuangan mereka adalah untuk rakyat dan yang seangkatan dengannya. Usahlah kita terpedaya dengan idea tin kosong ini. Bunyinya nyaring tetapi tiada apa pun yang boleh diharapkan darinya hanya semata-mata angin sahaja. Sebab itu, kepimpinan sebenarnya lebih mudah untuk kita fahami dengan perkataan payah dan penuh dengan onak dan dugaan. Kepimpinan begini hanya punya satu landasan, berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua mereka yang dipimpinnya.

Landasan ini pasti akan menjanjikan kepimpinan itu melalui jalan yang sukar dan tidak pernah mudah. Mereka bukan hanya merasai kepahitan, bahkan, tawar, kelat bahkan masam juga masin adalah rasa yang sentiasa perlu ditelan hanya untuk berpegang kepada prinsip yang asas itu tadi. Mereka akan sentiasa berada di atas persimpangan antara kepentingan diri dan kepentingan orang yang dipimpinnya. Kepentingan kelompok sendiri atau masyarakat yang ramainya. Keutamaan berkata benar walaupun pahit itu pasti akan dilaluinya. Pepatah ditelan mati emak diluah mati bapa itu akan terasa hakikatnya namun, kerana telah memilih untuk memimpin, ketegasan dan keteguhan prinsip yang bakal menjadi taruhan. Sebab itu pemimpin perlu hilangkan ketakutan. Bukan takut kepada seteru jawatan atau bimbang ada orang baru yang lebih berbakat seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura Dilanggar Todak, sebaliknya takutlah kepada sifat yang tidak amanah serta meletakkan kepentingan peribadi lebih dari kepentingan masyarakat. Takutlah kepada hal yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan tuhan.

Oleh sebab itulah, hanya pemimpin yang bersedia jiwa dan raganya yang akan mampu membentuk kepimpinan yang memenuhi tuntutan pengorbanan serta sentiasa berada dihadapan memulakan langkah. Tiada keraguan pada diri mereka kerana yang dicari adalah solusi kepada kepemimpinan yang terbaik bukan soal siapa yang terbaik. Mereka sentiasa mencari jalan yang termudah untuk orang lain bukan jalan yang memudahkan mereka. Keputusan mereka sentiasa untuk kebaikan orang lain dan amat sedikit atau mungkin tidak adapun yang tinggal untuk dirinya. Persoalannya, wujudkan pemimpin seumpama ini pada hari ini? Cabaran kepada siapapun yang mempunyai kuasa kepimpinan adalah untuk mempertahankan maruah diri mereka terhadap amanah yang mereka pegang. Lazimnya, kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa akan berlaku apabila tiada pihak yang boleh menjadi penimbang tara dalam banyak keputusannya. Sama ada mereka tidak wujud kerana telah termakan budi atau wujud tetapi diikat rapat serta disekat ruang kebebasan untuk bersuara.

Kepimpinan yang sebegini mungkin amat disenangi oleh masyarakat awam kerana petah dan baik budi bahasanya serta lambakan pelbagai kebaikan darinya, namun, dari satu sudut jangka masa panjang, kepimpinan sebegini akan melebarkan lagi sayap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk terbang lebih tinggi bebas tanpa sebarang sekatan. Puncanya hanya satu, kepimpinan yang tidak mahu berkorban sebaliknya mendesak orang lain berkorban atas nama apapun kebaikan sama ada kebebasan, hak majoriti, hak minoriti mahupun kepentingan tertentu yang boleh dijadikan propaganda perjuangan hanya untuk mempertahankan dirinya sahaja. Kita seharusnya menjauhkan diri dari membina tabiat kepimpinan yang songsang ini. Malulah kita jika pemimpin itu diberikan dengan gelaran khalifah, apatah lagi apabila disandarkan kepada Allah (Khalifatullah) tetapi melakukan kerosakan demi kerosakan hanya kerana tamak dan takut direndahkan. Inilah yang dilalui Iblis laknatullah apabila hadir pencabarnya Nabi Adam 'alaihissalam. Maka bermulalah siri hasut-menghasut bagi memastikan kegagalan untuk manusia pertama itu. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya.

Sebab itulah dapat kita simpulkan bahawa, kepimpinan ini adalah tugas merentas denai, membuka laluan untuk mereka yang dibelakang. Memenuhkan ketamakan kita hari ini hanya akan menarik seluruh anak bangsa kita berada dalam seksaan yang amat pedih. Tidak perlu kita nantikan siksaan neraka kerana telah dapat kita lihat dan nilai sendiri ketika berada di alam hayat ini lagi. Apatah lagi, sekiranya di bawa menghadap Allah 'Azza waJalla. Tugas merentas ini berhadapan dengan bahaya yang terlihat dan yang tidak terduga. Namun yang wajib ada bagi seorang pemimpin itu adalah sifat sabarnya mendengar teriakan orang di belakang yang menyuruh agar cepat. Pada masa yang sama, harus berhati-hati mendengar teriakan itu kerana adakalanya ia sebenarnya sedang meminta tolong. Ketika kita risau melihat jalan dihadapan, mungkin sahaja ada musuh yang datang menerkam kita atau mereka yang kita pimpin. Sekali lagi ditegaskan. Ia bukan kerja mudah. Kepimpinan yang merentas denai adalah kepimpinan yang sedia menghadapi sebarang risiko bagi memastikan orang yang dibelakangnya sampai ke destinasi yang dituju mereka.

Friday, July 10, 2020

KEPIMPINAN HARUS MENGUTAMAKAN KEBENARAN BUKAN KEMASYHURAN

Manusia, apabila tiada, mereka berjuang untuk diadakan apa yang tiada. Berusaha sekuat mungkin bersama-sama rakan yang tiada. Perjuangan yang pada mereka baik dan manfaatnya pasti akan dikongsikan bersama yang berhak dengannya. Ranjau perjalanan melalui perjuangan itu tidak sedikit sukarnya dan dari situlah lahir nilai kepemimpinan dalam dirinya yang seterusnya menjadikan seseorang itu bukan sekadar memperjuangkan hak peribadinya, bahkan dilihat dan dinilai mampu memperjuangkan hak kepada orang lain juga. Sejarah telah memberikan pelbagai kisah contoh yang dapat kita teladani serta diambil iktibar. Tidak kira perjuangan itu kecil atau besar, pasti proses ini akan ada untuk melahirkan seseorang yang boleh mengetuai perjuangan itu.

Apabila ranjau itu terlalu sukar, maka yang mengetuai itu akan sampai ke satu persimpangan apabila perjuangan itu telah sampai ke kemuncaknya. Tawaran mula menderu kepadanya dan berserulah pula manusia yang ada disekitarnya. Kedua-duanya adalah seruan kepada kebaikan. Amat sukar untuk dibezakan. Pertimbangan kita merasakan, pilihan satu atau dua, keduanya akan memberikan kesan yang amat positif dan waktu inilah penilaian kebaikan itu kembali kepada prinsip asas pegangan kehidupan seorang pemimpin dan kepimpinannya. Sebelah kanan menawarkan segala bentuk kebaikan dan keberuntungan melalui kesenangan dan kemewahan, serta kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara serta bermanfaat menggunakan kedudukan untuk kebaikan orang bawahannya tetapi dihujungnya datang dengan syarat.

Manakala di sebelah kirinya datang dengan tawaran, tinggalkan sahaja perjuangan ini, lupakanlah. Maka disediakanlah habuan untuknya jika bersetuju dengan tawaran itu. Habuan yang orang kata tidak habis dimakan selama tujuh keturunan. Habuan yang dapat menenggelamkan segala keperitan perjuangan yang telahpun dilalui sepanjang kehidupan itu. Habuan yang pada hemat manusia biasa, tidak mungkin dapat dirasai jika dilepaskan pada kali ini. Persimpangan yang amat mencabar untuk dibuat keputusan. Menguji kekuatan mental dan emosi. Apabila ia datang di hadapan kita, apakah pilihan yang kita akan buat? "If anyone seeks for greatness, let him forget greatness and ask for truth, and he or she will find both."

Kanan tawaran jawatan, kiri tawaran hidup senang dengan segala kemewahan yang tidak berpenghujung, lupakanlah kata Horace Mann. 'Greatness' itu bukan sekadar pada nama dan kedudukan, juga pada kehidupan. Lupakanlah, sebaliknya carilah kebenaran. Itupun, belum dijanjikan untuk merasai keduanya itu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3 yang bermaksud; “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’”

DIAlah yang menjadikan manusia maka, DIAlah yang Maha Tahu tentang manusia. Adalah tidak lekang pada bibir-bibir manusia itu pendustaan apabila yang dijaga dan dipeliharanya itu ingin dikekalkan untuknya bahkan lebih malang lagi sekiranya berniat untuk menyelematkan kedudukan atau 'greatness' mereka itu. Oleh sebab itu, tiada tawaran yang lebih bernilai baik dari kanan atau kiri berbanding tawaran dari yang berada di atas. DIAlah pemilik segalanya, maka carilah kebenaranNYA! Sebab itulah, pada diri setiap orang yang dikagumi manusia khususnya selepas kewafatan mereka adalah orang-orang yang mencari kebenaran tentang tuhannya, tentang amanah kehidupannya, tentang keamanan sejagatnya serta tentang hak-hak asasi kemanusiannya. Tidak ada sejarah kehidupan manusia yang dikagumi itu adalah kerana kekayaannya bahkan jika adapun nama mereka disebutkan dengan kekayaan itu, datang bersamanya laknat dan pengajaran yang harus dijadikan sempadan buat kita. Al-Quran ada bersama kita bahkan Al-Quran sendiri datang dari kata dasar baca. Bahkan nama lain bagi Al-Quran itu adalah Al-Haq, kebenaran dan Al-Furqan sebagai pembeza. Muslim telah ada asas yang begitu kukuh untuk dijadikan sandaran, namun mengapa hari ini, dikebanyakan negara Islam kita juga yang berhadapan dengan nilai kepimpinan yang hanya mencari-cari 'greatness'? Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Fajr, ayat 27 hingga 30 yang bermaksud, “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.”

Ketenangan yang sebenar datang dalam usaha mencari kebenaran yang hakiki dalam kehidupan seharian. Akhirnya, pertimbangan kanan dan kiri akan ditolak kerana menilai kepada kebenaran yang sebenar. Kebenaran yang dicari bukanlah 'greatness' tetapi keadilan, amanah dalam tanggungjawab yang diberikan, tidak memutuskan persaudaraan, timbangan yang tepat, tidak memakan atau mengambil yang haram, bersederhana dalam kehidupan yang semuanya telah digariskan di dalam kitab panduan Al-Quran Al-Karim itu. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Yunus ayat 57 pula bermaksud, "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman."

Apabila kita berbincang mengenainya, orang-orang yang memimpin itu kita dapati sihat-sihat belaka secara fizikalnya. Panjang pula umur mereka kerana pandainya mereka menjaga kesihatan tubuh badan mereka. Alhamdulillah, dengan izin dari NYA juga untuk menjadi panduan untuk kita. Perhatian yang Al-Quran berikan bukanlah kepada penyakit fizikal yang sibuk kita jaga, tetapi lebih kepada kesihatan dalaman yakni hati mereka. Sebab itu, dalam sedar kita tahu, fizikal yang sakit akan berhenti sakitnya apabila ditanam di kuburan, namun hati yang sakit akan dibawa menghadap DIA yang Maha Menciptakan. Sakit fizikal hanya sementara tetapi sakit 'hati' akan kekalkan kita di dalam seksaan Nya. Berterusanlah kita menjadi pemimpin yang sentiasa mencari dan mengutamakan kebenaran berbanding 'greatness'.