Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PENGURUS VS PEMIMPIN

Penglibatan diri di dalam organisasi merupakan suatu pendedahan kepada beberapa bentuk pembinaan diri khususnya dari sudut komunikasi dan sosial. Keperluan latihan berterusan begini membolehkan seseorang yang terlibat itu meningkatkan kematangan di dalam soal membuat keputusan, menjadi contoh serta membentuk kepercayaan dan keyakinan pasukan.

Terdapat pelbagai pandangan di dalam membina keberkesanan di dalam kerja berpasukan atau organisasi. Antara elemen yang penting di dalam organisasi adalah ketua mereka. Ketua ini boleh dikenali di dalam dua bentuk iaitu ketua sebagai pengurus atau ketua sebagai pemimpin. Semua pemimpin boleh menjadi pengurus tetapi tidak semua pengurus boleh menjadi pemimpin. Mengapa begitu?

Ketua yang terbaik akan mampu memberikan kesan yang terbaik juga kepada orang-orang yang dipimpinnya. Maka kemahiran berorganisasi ini memerlukan keupayaan mengurus, merencana, mempengaruhi dan memberikan bimbingan. Keupayaan pastinya tidak dipunyai oleh seorang pengurus tetapi terdapat kepada seorang pemimpin. Terdapat 5 perbezaan yang dapat kita bincangkan antara siapa itu pengurus dan siapa itu pemimpin.

PERTAMA; KOMUNIKASI
Seorang ketua akan menggunakan bentuk komunikasi sehala dan paling minima. Mereka lebih mudah memberikan arahan berbanding perbincangan yang merupakan pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin. Kurangnya komunikasi juga menjadikan perlaksanaan sesuatu pekerjaan itu tiada kesepakatan serta tidak bersama-sama. Komunikasi yang berkesan oleh seorang pemimpin pula akan mampu menjana rasa bersama mereka yang dipimpin dan memudahkan perhubungan di dalam sesuatu organisasi.

KEDUA; KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN
Seorang pemimpin akan sentiasa mementingkan keikhlasan dan kejujuran di dalam melaksanakan tugas bersama. Pengurus pula lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu atas dasar tugas semata-mata dan tidak mementingkan soal perasaan serta keutamaan kejujuran di dalam tindakan mereka. Kadangkala, seorang pengurus lebih mementingkan kejayaan peribadi berbanding memikirkan kebajikan orang dibawahnya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melebihkan orang yang dipimpinnya berbanding dirinya sendiri.

KETIGA; INISIATIF
Pengurus seringkali mengharapkan orang bawahan mereka untuk melakukan kerja lebih daripada kemampuan mereka tetapi mereka sendiri sering ingin melepaskan diri. Ada juga dikalangan mereka yang hanya menunggu arahan dari orang atasan tanpa bersikap proaktif dalam mendepani permasalahan yang ada. Prinsip bagi seorang pemimpin adalah melakukan apa yang termampu dalam diri mereka. Bukanlah semata-mata melakukan apa yang disuruh atau memenuhi semua permintaan tanpa memikirkan keupayaan pasukannya. Selalu bersikap proaktif menangani sebarang masalah dan halangan dalam tugasan yang diberikan.

KEEMPAT; BERKESAN
Bagi seorang pemimpin, mereka melakukan tugasan mereka dalam keadaan yang sentiasa bersungguh-sungguh. Bukan hanya tatkala ada orang yang memerhatikan mereka. Pemimpin sentiasa menjadikan kerja atau tugasan itu bersama dan amanah yang mesti dilaksanakan dalam cara yang paling baik. Berbeza pula keadaannya dengan seorang pengurus, keutamaannya adalah memastikan orang atasan atau sesiapa sahaja yang melihat mereka bekerja berpuashati dan menerima pujian. Semangat mereka adalah terhadap pujian dan balasan yang diterima bukan pada kesungguhan melaksanakan amanah.

KELIMA; MEMBIMBING
Perbezaan yang paling ketara antara keduanya adalah dari sudut membimbing orang bawahannya. Bagi seorang pengurus, hanya perintah atau suruhan sahaja yang ada di dalam kamus berorganisasinya berbanding seorang pemimpin yang sentiasa melihat orang dibawahnya harus dipimpin dan diberikan peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri. Keutamaan dalam membimbing ini akan menghasilkan pekerja yang sentiasa positif terhadap tugas dan peranan mereka. Jika dibandingkan dengan mereka yang hanya disuruh dan tidak dibimbing bahkan sentiasa dimarahi.

Perbincangan ini bukan bermakna ia adalah semestinya sebagaimana yang telah dicatatkan. Ini adalah suatu pandangan dimana, pemimpin seharusnya mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dibincangkan. Tidak kiralah dimana sekalipun kita diamanahkan sebagai ketua, baik di dalam syarikat, jabatan kerajaan mahupun organisasi bukan kerajaan. Menjadi pemimpin bermakna menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain, maka, setinggi-tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.

Marilah bersama kita menilai diri kita adakah kita ini hanyalah seorang pengurus atau pemimpin atau berada dalam konteks antara keduanya. Jika anda adalah orang yang berada diantara keduanya, bermakna, kita masih berada dalam posisi mementingkan diri sendiri dalam setiap tindak tanduk kita. Berwaspadalah kerana masyarakat kita memerlukan lebih ramai pemimpin berbanding pengurus. Bagaimana anda di rumah pula.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...