Showing posts with label Misi Tadabbur Saya. Show all posts
Showing posts with label Misi Tadabbur Saya. Show all posts

Thursday, September 17, 2026

Apabila Kebenaran Diuji; Tadabbur Surah al-Ma’idah Ayat 41–45



Ada ketika kita membaca Al-Quran lalu kita merasakan seolah-olah Allah sedang bercakap terus kepada keadaan yang sedang kita lalui. Bukan kerana kita memiliki ilmu tafsir yang tinggi. Bukan juga kerana kita mampu memahami seluruh rahsia ayat Allah. Tetapi kerana Al-Quran memang mempunyai kemampuan untuk menjadi cermin, memperlihatkan kepada kita penyakit hati, kelemahan diri dan jalan untuk kembali. Surah al-Ma’idah ayat 41 hingga 45 adalah antara rangkaian ayat yang membuatkan saya banyak berfikir tentang kebenaran, amanah ilmu, kepimpinan, keadilan dan rahmah.

Semakin direnungi, semakin terasa bahawa ayat-ayat ini bukan sekadar menceritakan tentang umat terdahulu. Ia juga bertanya kepada kita, apa yang kita lakukan apabila kebenaran bertembung dengan kepentingan kita? Adakah kebenaran yang hanya diterima apabila ia menguntungkan kita? Ayat 41, Allah menggambarkan sebahagian manusia yang sangat suka mendengar berita yang tidak benar dan mereka yang suka mencari sesuatu yang boleh memenuhi kehendak mereka. Kemudian Allah menyebut tentang mereka yang “mengubah perkataan-perkataan daripada tempat-tempatnya.”

Ayat ini membuatkan saya terfikir tentang satu penyakit yang sangat halus. Kadang-kadang kita bukan tidak tahu kebenaran. Kita cuma mahu kebenaran yang sesuai dengan kita, memilih berita berdasarkan siapa yang menyampaikannya. Kalau datang daripada kelompok kita, kita mudah percaya tapi kalau datang daripada kelompok yang kita tidak suka, kita segera curiga. Kita membaca hujah bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk mencari kelemahan pihak yang berbeza dengan kita. Akhirnya kita tidak lagi bertanya, “Apa yang benar?” Sebaliknya kita bertanya, “Bagaimana aku boleh membuktikan bahawa kelompok aku betul?”

Pada tahap inilah identiti boleh menjadi lebih besar daripada kebenaran. Bangsa boleh menjadi lebih besar daripada keadilan. Jemaah boleh menjadi lebih besar daripada kebenaran. Parti boleh menjadi lebih besar daripada amanah. Bahkan kecenderungan politik boleh menjadi lebih besar daripada prinsip agama. Sedangkan seorang Muslim sepatutnya mempunyai keberanian untuk mengatakan, “Jika orang yang aku sokong benar, aku sokong kerana kebenarannya. Jika dia salah, aku menolak kesalahannya walaupun dia orang yang aku sokong.”. Inilah ukuran yang lebih dekat dengan ruh Al-Quran.

Apabila kebenaran diuji dengan kuasa, ini timbul kemudiannya dalam ayat 42 yang membawa kita kepada persoalan yang lebih berat. Allah memerintahkan;

فَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

“Jika engkau menghukum, maka hukumlah antara mereka dengan adil.”

Saya melihat ayat ini sebagai satu ujian besar kepada kepimpinan. Bercakap tentang keadilan ketika kita tidak mempunyai kuasa adalah mudah. Tetapi apabila kita diberikan kuasa, ketika keputusan kita memberi kesan kepada orang yang kita suka dan orang yang kita tidak suka, ketika keputusan kita boleh mengundang cemuhan daripada pelbagai pihak, ketika itulah keadilan benar-benar diuji. Pemimpin tidak boleh bertanya, “Siapa yang akan mendapat manfaat daripada keputusan ini?” semata-mata.

Dia perlu bertanya, “Apakah keputusan yang paling adil dan paling dekat dengan amanah?” Keadilan tidak boleh berubah mengikut siapa yang berada di hadapan kita. Jika orang kita melakukan kesalahan, tetap salah. Jika orang yang kita tidak suka melakukan kebaikan, tetap baik. Jika seseorang yang pernah kita lawan melakukan perkara yang benar, kita mesti mempunyai jiwa yang cukup besar untuk mengakuinya. Itulah keadilan.

Jangan mencari hukum yang sesuai dengan kehendak kita. Ayat 43 pula membawa satu teguran yang lebih tajam. Allah bertanya bagaimana mereka mahu menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim sedangkan mereka mempunyai Taurat yang di dalamnya terdapat hukum Allah, kemudian selepas itu mereka berpaling. Seolah-olah mereka bukan benar-benar mencari keputusan yang benar. Mereka mencari keputusan yang mereka mahu. Ini membuatkan saya teringat satu perbezaan yang sangat penting dalam kehidupan beragama. Ada orang berkata, “Aku belum tahu. Tunjukkan kepadaku apa yang benar.” Ada pula yang berkata, “Aku sudah tahu apa yang aku mahu. Sekarang tolong carikan hujah untuk menyokongnya.”

Kedua-duanya mungkin sama-sama membaca kitab dan mempunyai dalil. Tetapi yang pertama sedang mencari hidayah dan yang kedua sedang mencari pembenaran. Inilah bahaya ilmu apabila hati tidak tunduk kepada kebenaran. Ilmu yang sepatutnya menjadi cahaya boleh berubah menjadi alat untuk mempertahankan hawa nafsu. Ilmu bukan milik kita, ia adalah amanah. Ayat 44 kemudian membawa kita kepada satu konsep yang sangat besar;

بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ

“Disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab Allah.”

Mereka yang diberikan ilmu tentang Kitab Allah sebenarnya sedang memegang amanah. Ini mengingatkan saya bahawa semakin banyak ilmu yang kita miliki, semakin besar sebenarnya tanggungjawab kita. Ilmu bukan sekadar untuk menjadikan kita nampak bijak, menjadikan kita menang dalam perdebatan, mendapatkan pengikut atau mendapatkan jawatan. Ilmu adalah amanah dan amanah ilmu menuntut keberanian. Sebab itu Allah menyambung;

فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

“Janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada-Ku.”

Betapa relevannya ayat ini kepada para pendakwah. Ada waktunya kebenaran yang kita mahu sampaikan tidak popular. Ada waktunya teguran yang perlu dibuat boleh menyebabkan seseorang tidak suka. Ada waktunya kita perlu mengakui bahawa pendirian kita sendiri perlu diperbetulkan dan ada waktunya kita terpaksa berdiri di tempat yang sunyi kerana tidak semua orang mahu mendengar kebenaran. Tetapi seorang yang membawa amanah ilmu perlu bertanya, “Aku takut siapa sebenarnya?”. Takut kehilangan sokongan manusia? Takut kehilangan populariti? Takut kehilangan jawatan? Atau takut kehilangan keredaan Allah?

Jangan jual ayat Allah dengan harga yang sedikit. Allah memberikan satu lagi peringatan;

وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا

“Janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit.”

Harga itu mungkin wang. Tetapi mungkin juga lebih halus daripada wang. Ia boleh berupa jawatan, pengaruh, populariti, sokongan, pujian, kepentingan kelompok atau penerimaan manusia. Kadang-kadang kita tidak menjual agama kerana wang. Kita menjual prinsip kerana tepukan manusia, kita diam ketika sepatutnya bersuara kerana takut kehilangan sokongan. Kita membesarkan kesalahan lawan tetapi mengecilkan kesalahan orang sendiri. Kita memilih ayat yang menguntungkan naratif kita dan mengabaikan ayat yang menegur kita. Akhirnya agama bukan lagi menjadi cermin untuk membetulkan kita. Agama menjadi cermin yang kita gunakan untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa betul. Ini sangat berbahaya kerana tugas Al-Quran bukan sekadar untuk membenarkan kita. Al-Quran datang untuk membetulkan kita.

Kepimpinan bukan peluang untuk membalas dendam, tetapi menunaikan amanah. Apabila kita membaca ayat-ayat ini dalam konteks kepimpinan semasa, kita boleh melihat satu cabaran yang sangat nyata. Kepimpinan dalam sebuah masyarakat yang berbeza pandangan, kelompok dan kepentingan bukan sesuatu yang mudah. Setiap keputusan boleh mendapat sokongan daripada satu pihak dan cemuhan daripada pihak yang lain. Jika pemimpin tidak bertindak, dia boleh dituduh melindungi kesalahan. Jika dia mengambil tindakan, dia pula boleh dituduh berdendam. Sebab itu ukuran yang paling penting bukanlah, “Siapa yang terkena tindakan?”, tetapi “Adakah tindakan itu dibuat berdasarkan bukti, proses yang adil dan amanah?”.

Kita lihat bersama dalam konteks semasa, perkembangan berkaitan RCI Tabung Haji juga boleh menjadi satu contoh untuk kita memahami cabaran ini. Isu yang melibatkan amanah jutaan pendeposit tidak sepatutnya dilihat hanya melalui kaca mata siapa yang berkuasa atau siapa yang pernah berkuasa. Ia perlu dilihat melalui persoalan yang lebih besar, bagaimana amanah rakyat dipelihara? Jika ada kesalahan, siasat. Jika ada bukti, ambil tindakan melalui proses undang-undang. Jika tiada kesalahan, jangan menghukum dan jika ada kelemahan sistem, perbaiki sistem. Inilah perbezaan antara keadilan dengan dendam politik.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan semua tindakan seseorang pemimpin. Itu hak kita. Tetapi kita juga perlu mempunyai kejujuran moral untuk mengiktiraf sesuatu tindakan yang benar apabila ia memang bertepatan dengan prinsip keadilan. Begitu juga, kita tidak boleh menganggap semua tindakan seseorang pemimpin benar hanya kerana kita menyokongnya. Kebenaran tidak menjadi benar kerana siapa yang melakukannya. Ayat 45 menjelaskan tentang Qisas dan itupun satu contoh bagaimana keadilan yang masih memberi ruang kepada rahmah. Nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka dengan luka. Prinsipnya ialah keadilan yang setimpal. Tetapi yang sangat indah ialah Allah tidak berhenti di situ. Allah berfirman;

فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ

“Sesiapa yang melepaskan hak qisasnya sebagai sedekah, maka itu menjadi penebus dosa baginya.”

Inilah bukti yang dapat kita lihat mengenai keseimbangan Islam. Keadilan tidak dihapuskan demi rahmah. Tetapi rahmah juga tidak dihapuskan demi keadilan. Seseorang yang dizalimi mempunyai hak. Tetapi apabila dia memilih untuk memaafkan kerana Allah, ia menjadi satu bentuk sedekah. Maka memaafkan bukan bermaksud mengatakan bahawa kesalahan itu tidak berlaku. Memaafkan bermaksud, “Aku mempunyai hak untuk menuntut, tetapi aku memilih untuk melepaskannya kerana Allah.”. Itulah kekuatan jiwa.

Apabila kita berada dalam dunia dakwah, kita juga perlu belajar perkara ini. Kadang-kadang kita terlalu mudah menghukum orang yang melakukan kesalahan. Kita lupa bahawa tugas dakwah bukan sekadar menunjukkan siapa yang salah. Dakwah juga adalah usaha membantu manusia kembali kepada Allah. Sebab itu kita perlu belajar membezakan antara menegur kesalahan dengan membenci manusia, menegakkan keadilan dengan memuaskan dendam dan memaafkan seseorang dengan membiarkan kezaliman berulang. Dakwah memerlukan ketegasan. Tetapi dakwah juga memerlukan rahmah. Pemimpin memerlukan keberanian. Tetapi pemimpin juga memerlukan kebijaksanaan. Orang berilmu perlu berkata benar. Tetapi dia juga perlu menjaga adab ketika menyampaikan kebenaran.

Apakah penyakit yang sebenarnya sedang disembuhkan? Jika kita melihat ayat 41 hingga 45 sebagai satu rangkaian, saya merasakan Allah sedang menunjukkan beberapa penyakit hati. Ayat 41, suka mendengar apa yang sesuai dengan kehendak. Ayat 42, tidak berlaku adil apabila mempunyai kuasa. Ayat 43, mencari hukum untuk membenarkan kehendak. Ayat 44, takut kepada manusia dan menjual prinsip demi kepentingan dan ayat 45, membalas kejahatan tanpa batas sehingga keadilan berubah menjadi kezaliman. Al-Quran memberikan penawarnya. Kebenaran, amanah, keberanian, keadilan, rahmah

Muhasabah untuk diri sendiri selepas membaca ayat-ayat ini, saya rasa kita tidak sepatutnya terlalu cepat bertanya, “Siapa yang dimaksudkan oleh ayat ini?”. Sebaliknya tanyalah, adakah aku termasuk dalam penyakit yang sedang ditegur oleh ayat ini? Adakah aku hanya suka mendengar berita yang menyebelahi pandanganku? Adakah aku mencari dalil untuk membenarkan apa yang sudah aku putuskan? Adakah aku berani mengakui kesilapan apabila berhadapan dengan kebenaran? Adakah aku takut kehilangan sokongan manusia sehingga mengorbankan prinsip? Adakah aku berlaku adil kepada orang yang aku tidak suka? Apabila aku mempunyai kuasa untuk membalas kesalahan seseorang, adakah aku masih mampu memberikan ruang kepada rahmah? Soalan-soalan ini lebih berat daripada sekadar mengetahui maksud ayat kerana Al-Quran bukan sekadar mahu kita faham ayat. Al-Quran mahu ayat itu mengubah kita.

Tuesday, August 11, 2026

Apabila Kebenaran Kalah Kepada Kepentingan (Tadabbur Surah al-Ma’idah Ayat 37–41)



Ada kebaikan yang kita tahu perlu dilakukan, tetapi kita tangguhkan. Ada kesalahan yang kita tahu perlu diperbaiki, tetapi kita biarkan. Ada kebenaran yang kita tahu perlu dipertahankan, tetapi kita memilih untuk diam kerana ia mungkin merugikan diri atau kelompok kita dan ada masa kita bukan tidak tahu apa yang benar. Kita cuma tidak cukup berani untuk tunduk kepadanya.

Surah al-Ma’idah ayat 37–41 membawa kita menelusuri persoalan-persoalan ini dengan sangat mendalam. Ia memperlihatkan bagaimana manusia berhadapan dengan dosa, hukuman, taubat, kuasa dan akhirnya kebenaran.

Allah berfirman, “Mereka hendak keluar dari neraka, tetapi mereka tidak akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab yang kekal.” (Al-Ma’idah: 37)

Ayat ini menjelaskan tentang apabila mahu berubah tetapi sudah terlambat. Perhatikan perkataan Allah, “Mereka mahu…” Mereka mahu keluar. Mereka mahu diselamatkan. Tetapi mereka tidak lagi mampu. Ayat ini mengingatkan kita bahawa dunia ialah tempat memilih dan bertindak, manakala akhirat ialah tempat menerima hasil pilihan. Selagi hidup, kita masih mempunyai peluang untuk berubah. Kita boleh bertaubat, meminta maaf, memperbaiki hubungan, menyelesaikan amanah dan memulakan kebaikan.

Namun kita sering bertangguh. “Nanti aku buat”, “Esok aku mula”, “Bila keadaan lebih sesuai”, “Bila aku sudah bersedia”. Sedangkan kita tidak pernah dijanjikan bahawa “nanti” itu akan datang. Kita imbas semula daripada perbincangan kita sebelum ini, saya semakin melihat bahawa ilham untuk melakukan kebaikan juga merupakan satu amanah. Apabila hati tiba-tiba tergerak untuk membantu seseorang, menghubungi seseorang, menyelesaikan satu amanah, menulis sesuatu yang bermanfaat atau kembali mendekat kepada Allah, mungkin itu adalah satu peluang yang Allah sedang bukakan. Bahkan disinilah kita memahami makna Taufiq dalam doa yang selalu kita sebutkan.

Ilham ialah peluang. Taufiq ialah kemampuan untuk menyambut peluang itu dan amal ialah bukti bahawa peluang itu telah disambut. Sebab itu doa meminta taufiq bukan sekadar meminta Allah menunjukkan jalan. Kita meminta agar Allah menggerakkan, memudahkan dan meneguhkan kita untuk berjalan di atas jalan tersebut. Jangan sampai kita hanya mahu berubah apabila pintu perubahan sudah tertutup.

Keadilan bukan sekadar menghukum. Ayat 38 kemudian membawa kita kepada hukum pencurian, “Dan orang lelaki yang mencuri serta orang perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan kedua-duanya sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai suatu hukuman pencegah daripada Allah…” (Al-Ma’idah: 38)

Ayat ini sering dibaca secara terpisah sehingga Islam kelihatan seolah-olah hanya menawarkan hukuman yang keras. Sedangkan apabila ayat ini dibaca dalam keseluruhan kerangka Surah al-Ma’idah, kita melihat sesuatu yang lebih seimbang. Hukuman hudud bukan kuasa individu. Ia merupakan urusan kehakiman yang sah dan mempunyai syarat, pembuktian serta parameter yang sangat ketat. Tidak setiap perbuatan mengambil harta orang lain secara automatik memenuhi kategori sariqah yang membawa kepada hukuman hudud.

Para fuqaha membincangkan syarat-syarat seperti nilai harta yang dicuri, cara pengambilan, tempat simpanan harta, pembuktian dan keadaan yang boleh menimbulkan syubhah. Faktor darurat dan keperluan juga tidak boleh diabaikan dalam menentukan sama ada syarat hudud benar-benar wujud. Allah sendiri menyebut hukuman itu sebagai, “suatu hukuman pencegah”.

Ini menunjukkan bahawa hukuman mempunyai tujuan melindungi masyarakat. Keadilan bukan sekadar membalas kesalahan. Keadilan juga melindungi manusia yang lain daripada menjadi mangsa dan Allah menutup ayat tersebut dengan “Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Kekuatan dan hikmah berjalan bersama. Syariat tidak boleh difahami melalui kekuatan tanpa hikmah, sebagaimana rahmat tidak boleh difahami sebagai membiarkan kezaliman berleluasa.

Kemudian datang ayat 39, “Maka sesiapa yang bertaubat selepas kezalimannya dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Perhatikan dua perkataan, “bertaubat” dan “memperbaiki”. Taubat yang sebenar membawa kepada islah. Taubat bukan sekadar rasa bersalah. Taubat ialah perubahan arah. Islah pula ialah usaha membaiki kerosakan yang telah berlaku. Seseorang yang mengambil hak orang lain tidak cukup hanya berkata, “Saya menyesal”. Jika hak manusia masih ada, ia perlu diusahakan penyelesaiannya.

Jika hubungan rosak, kita berusaha memperbaikinya. Jika kepercayaan dihancurkan, kita berusaha membinanya kembali. Jika masyarakat terkesan dengan perbuatan kita, kita berusaha memulihkan keadaan. Sebab itu saya melihat ayat ini mempunyai mesej yang sangat besar untuk dakwah. Kita tidak sepatutnya hanya bertanya, “Apa salah orang ini?” Kita juga perlu bertanya, “Bagaimana kita membantu dia berubah?” Inilah perbezaan antara sekadar menghukum dengan usaha melakukan islah.

Seorang remaja yang bermasalah mungkin memerlukan disiplin. Tetapi dia juga mungkin memerlukan seseorang yang mendengar, mentor yang membimbing, lingkungan yang baik dan peluang kedua. Sebagai contoh dalam pembangunan belia, tugas kita bukan sekadar menghentikan tingkah laku yang salah. Tugas kita ialah membantu manusia bangun semula.

Kemudian Allah berfirman, “Tidakkah engkau mengetahui bahawa kerajaan langit dan bumi adalah milik Allah? Dia menyeksa sesiapa yang Dia kehendaki dan mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki…” (Al-Ma’idah: 40)

Selepas berbicara tentang hukuman dan taubat, Allah mengingatkan kita tentang satu hakikat yang sangat penting, kuasa mutlak bukan milik manusia. Jawatan bukan milik kita. Organisasi bukan milik kita. Pengaruh bukan milik kita. Dakwah bukan milik kita. Manusia yang berada di bawah kepimpinan kita juga bukan milik kita. Semuanya milik Allah. Kita hanya pemegang amanah.

Kesedaran ini sangat penting bagi seorang pemimpin. Semakin besar kuasa yang diberikan, semakin besar sepatutnya kesedaran bahawa kuasa itu hanyalah amanah. Seorang pemimpin tidak sepatutnya hanya bertanya, “Apa yang aku boleh lakukan?” Tetapi, “Apa yang Allah amanahkan untuk aku lakukan dengan kuasa ini?”

Begitu juga seorang pendakwah. Kita boleh menyampaikan, mendidik dan mengajak, tetapi kita tidak boleh mengambil tempat Allah sebagai hakim mutlak terhadap hati manusia. Kita tidak mengetahui kesudahan seseorang. Orang yang hari ini jauh daripada agama mungkin esok menjadi orang yang paling kuat berkhidmat kepada agama dan orang yang hari ini kelihatan baik juga tetap perlu berdoa agar Allah meneguhkan hatinya.

Kemudian kita sampai kepada ayat 41, Allah berfirman kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasul! Janganlah engkau berdukacita kerana orang-orang yang segera terjerumus ke dalam kekufuran…”

Allah kemudian menggambarkan manusia yang berkata dengan mulut mereka, “Kami telah beriman,”

sedangkan hati mereka tidak beriman. Mereka pula suka mendengar berita bohong, memutarbelitkan perkataan dan mencari keputusan yang sesuai dengan kepentingan mereka. Inilah yang membuat ayat 41 sangat relevan dengan zaman kita. Ujian yang lebih besar apabila identiti mengatasi kebenaran.

Masalah manusia bukan semata-mata tidak mengetahui kebenaran. Kadangkala manusia mengetahui kebenaran tetapi tidak mahu menerimanya apabila kebenaran itu bertentangan dengan kepentingan mereka. Mereka tidak lagi bertanya, “Apakah yang benar?” Sebaliknya mereka bertanya, “Apakah yang menguntungkan aku?” Bahkan penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kita mungkin mempertahankan bangsa kita walaupun bangsa kita melakukan kesalahan. Kita mungkin mempertahankan orang kita walaupun dia melakukan kezaliman. Kita mungkin mempertahankan organisasi kita walaupun organisasi kita tersilap. Kita mungkin mempertahankan tokoh yang kita kagumi sehingga tidak mampu menerima kritikan terhadapnya. Bahkan dalam masyarakat Muslim, kita mungkin sampai kepada keadaan, “Dia orang Islam, maka aku mesti mempertahankannya.” Sedangkan Islam tidak pernah mengajar bahawa seseorang menjadi benar hanya kerana dia Muslim. Kebenaran tetap kebenaran walaupun datang daripada orang yang kita tidak sukai dan kesalahan tetap kesalahan walaupun dilakukan oleh orang yang kita cintai.

Allah menggunakan ungkapan, “Mereka sangat suka mendengar berita bohong.” Menariknya, Allah bukan sekadar mengatakan mereka menyebarkan berita bohong. Mereka suka mendengarnya.  Ini sangat dekat dengan dunia media sosial hari ini. Kita memilih sumber yang mengukuhkan pendapat kita. Kita berkongsi berita yang menyerang pihak yang kita tidak suka tanpa menyemak.

Apabila berita itu menyebelahi kita, “Nampak! Betul dah selama ini.” Apabila berita yang sama merugikan kita, “Ini propaganda.” Akhirnya kita tidak lagi mencari kebenaran. Kita mencari pengesahan terhadap apa yang sudah kita percaya. Lebih berbahaya lagi apabila kita mengambil kata-kata daripada konteks, memotong video, memilih statistik tertentu atau memetik ayat al-Quran secara selektif hanya untuk mengukuhkan hujah sendiri. Apabila kita hanya mahu mendengar apa yang kita suka, kita mungkin menyangka kita sedang mempertahankan kebenaran. Sedangkan sebenarnya kita sedang memanipulasi kebenaran untuk mempertahankan diri.

Kita bukan pemilik kebenaran dan di sinilah saya melihat satu pengajaran besar untuk seorang pendakwah. Kita bukan pemilik kebenaran. Kita adalah hamba kepada kebenaran. Maka mana-mana organisasi atau kumpulan tidak boleh menjadi ukuran kebenaran. Tokoh yang kita kagumi tidak boleh menjadi ukuran kebenaran. Bahkan diri kita sendiri tidak boleh menjadi ukuran kebenaran. Kebenaranlah yang mesti menjadi ukuran terhadap diri, organisasi, jemaah dan identiti kita.

Ini bukan bermaksud kita tidak boleh mencintai bangsa, keluarga, organisasi atau jemaah. Kita boleh mencintai semuanya. Tetapi cinta kepada kelompok tidak boleh sampai menyebabkan kita membenci kebenaran atau dalam bahasa yang lebih sederhana jangan jadikan identiti sebagai ukuran kebenaran. Jadikan kebenaran sebagai ukuran terhadap identiti kita.

Dakwah yang benar memerlukan keberanian untuk menerima teguran. Saya rasa ini antara pengajaran paling penting ayat 41 untuk dunia dakwah. Pendakwah bukan hanya perlu berani menyampaikan kebenaran. Pendakwah perlu lebih dahulu mempunyai keberanian untuk menerima kebenaran apabila ia menegur dirinya sendiri. Mudah untuk berkata, “Mereka perlu berubah.” Lebih sukar berkata, “Mungkin aku juga perlu berubah.” Mudah untuk melihat kesalahan masyarakat. Lebih sukar melihat kesalahan organisasi sendiri. Mudah untuk menegur orang yang berbeza pandangan. Lebih sukar menerima teguran daripada orang yang tidak kita setujui.

Maka mungkin salah satu tanda kematangan dakwah ialah kemampuan untuk berkata, “Aku mungkin salah.” Bukan kerana kita tidak mempunyai prinsip. Tetapi kerana kita sedar bahawa kita manusia yang boleh tersilap. Apabila saya melihat kembali ayat-ayat ini dalam konteks kerja pembangunan belia dan dakwah, saya teringat satu gagasan yang kita sering gunakan, tetapi Surah al-Ma’idah memberi kita satu lapisan yang lebih dalam. Aktiviti bukan matlamat. Impak juga bukan matlamat terakhir. Kesemuanya boleh menjadi wasilah untuk mendekatkan manusia kepada Allah.

Seorang Pekerja Belia yang mendekati seorang remaja bukan sekadar menjalankan program. Dia mungkin sedang menggunakan satu peluang untuk menghidupkan jiwa. Seorang pendakwah yang menyampaikan ilmu bukan sekadar menyelesaikan tugasan. Dia mungkin sedang menggunakan satu amanah sebagai wasilah untuk taqarrub kepada Allah dan seorang pemimpin yang membuat keputusan secara adil bukan sekadar mengurus organisasi. Dia sedang menggunakan kuasa yang Allah pinjamkan kepadanya untuk melakukan islah.

Saturday, August 1, 2026

Apabila Hasad Menguasai Hati: Tadabbur Surah Al-Ma’idah Ayat 27-31



“Setiap dosa besar bermula dengan satu bisikan kecil yang tidak dilawan.”

Kita sedia memahami selepas Allah menceritakan kegagalan Bani Israil memikul amanah kerana dikuasai ketakutan, Surah al-Ma’idah membawa kita kepada satu kisah yang jauh lebih dekat dengan kehidupan setiap manusia. Allah tidak lagi membawa kita kepada kisah sebuah bangsa, tetapi kepada kisah sebuah keluarga. Kisah dua orang anak Nabi Adam AS.

Pada pandangan pertama, kisah ini kelihatan seperti satu catatan sejarah. Namun apabila kita tadabbur, ia sebenarnya adalah pelajaran tentang bagaimana dosa lahir di dalam hati manusia. Ia menjelaskan bagaimana sebelum berlaku pembunuhan pertama di muka bumi, berlaku terlebih dahulu pembunuhan terhadap nilai-nilai taqwa di dalam jiwa.

Menariknya, al-Quran tidak menyebut nama kedua-dua anak Adam tersebut dan jika telusuri tradisi tafsir, mereka dikenali sebagai Habil dan Qabil. Namun al-Quran hanya menyebut, “Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam dengan benar…” (Surah al-Ma’idah: 27)

Mengapa Allah tidak menyebut nama mereka? Barangkali kerana Allah tidak mahu kita sekadar mengenang kisah dua orang manusia yang hidup ribuan tahun dahulu. Allah mahu kita melihat bahawa kisah ini boleh berlaku dalam mana-mana keluarga, dalam mana-mana masyarakat, bahkan dalam hati setiap daripada kita.

Kisah ini bermula dengan ibadah. Kedua-duanya mempersembahkan korban kepada Allah. Namun hanya satu korban diterima. Ketika itulah lahir satu ayat yang menjadi asas kepada seluruh kehidupan seorang mukmin, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertakwa.”

Betapa besar pengajaran ayat ini. Allah tidak menyebut nilai korban. Allah tidak menyebut banyaknya korban. Allah tidak menyebut rupa korban. Allah hanya menyebut taqwa. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, kejayaan sesuatu amalan bukan sekadar kerana ia dilakukan, tetapi kerana ia diterima oleh Allah.

Ramai manusia sibuk menghitung jumlah amal. Tetapi orang yang bertakwa sentiasa bertanya, “Adakah Allah menerima amalanku?” Inilah beza antara orang yang mengejar pujian manusia dengan orang yang mencari keredaan Allah. Malangnya, anak Adam yang korbannya tidak diterima tidak bermuhasabah.

Dia tidak bertanya, “Apakah yang perlu aku perbaiki?” Sebaliknya dia memilih untuk menyalahkan saudaranya, lalu di sinilah lahirnya hasad. Hasad bukan sekadar tidak suka melihat orang lain berjaya. Hasad ialah keadaan apabila seseorang lebih sibuk mempersoalkan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain daripada memperbaiki hubungan dirinya sendiri dengan Allah. Hasad akhirnya melahirkan ancaman.

Namun jawapan saudaranya sangat mengagumkan. “Jika engkau menghulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seluruh alam.” (Surah al-Ma’idah: 28)

Inilah bukti sebenar taqwa. Taqwa bukan hanya ketika seseorang berdiri mendirikan solat. Taqwa terserlah ketika seseorang mempunyai peluang untuk membalas kejahatan, tetapi memilih jalan yang diredai Allah. Perhatikan bahawa beliau tidak berkata, “Aku takut kepada engkau.”

Beliau berkata, “Aku takut kepada Allah.” Inilah asas akhlak Islam. Orang yang paling kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan musuhnya. Orang yang paling kuat ialah orang yang mampu mengalahkan hawa nafsunya sendiri. Namun kisah ini tidak berakhir di situ. Allah menggunakan satu ungkapan yang sangat mengagumkan, “Maka hawa nafsunya menjadikan dia sanggup membunuh saudaranya…” (Surah al-Ma’idah: 30)

Allah tidak berkata bahawa syaitan memaksanya. Allah tidak menyalahkan keadaan. Allah menyatakan bahawa nafsunya sendiri menjadikan perbuatan itu kelihatan mudah. Inilah psikologi dosa menurut al-Quran. Dosa besar hampir tidak pernah bermula dengan tindakan yang besar. Ia bermula dengan satu bisikan kecil.

Pada mulanya hati berkata, “Ini salah.”

Kemudian nafsu menjawab, “Tetapi dia memang layak.”

Hati berkata, “Allah melarang.”

Nafsu menjawab, “Sekali sahaja.”

Sedikit demi sedikit, hati menjadi biasa dengan alasan. Akhirnya dosa yang dahulunya menakutkan menjadi sesuatu yang kelihatan wajar. Inilah sebabnya para ulama sentiasa mengingatkan supaya kita menjaga hati sebelum menjaga anggota badan kerana tangan hanya melakukan apa yang hati telah izinkan. Selepas pembunuhan berlaku, muncul satu lagi peristiwa yang sangat menyentuh hati.

Allah mengutus seekor burung gagak untuk menunjukkan kepada pembunuh itu bagaimana hendak menanam mayat saudaranya. Mengapa seekor burung? Mengapa bukan malaikat? Mengapa bukan Nabi Adam AS? Maka di sinilah kita melihat satu tarbiah yang sangat halus. Manusia yang enggan belajar daripada petunjuk Allah akhirnya terpaksa belajar daripada seekor burung.

Lalu dia berkata, “Aduhai celakanya aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini…” (Surah al-Ma’idah: 31)

Akhirnya dia menyesal. Namun al-Quran tidak menyebut bahawa dia bertaubat. Ini juga satu pengajaran besar. Penyesalan tidak semestinya membawa kepada taubat. Ramai manusia menyesal selepas melakukan dosa. Tetapi tidak semua kembali kepada Allah. Taubat bukan sekadar rasa bersalah. Taubat ialah keberanian untuk mengakui kesalahan, kembali kepada Allah dan meninggalkan dosa itu dan dalam kehidupan hari ini, mungkin kita tidak mengangkat senjata untuk membunuh saudara kita. Namun berapa ramai yang “membunuh” dengan lidah?

Mereka membunuh maruah melalui fitnah, bunuh persahabatan kerana iri hati, bunuh semangat orang lain dengan kata-kata yang tajam. Semuanya bermula daripada akar yang sama iaitu hati yang gagal dipelihara. Oleh sebab itu al-Quran tidak terus berbicara tentang pembunuhan. Al-Quran terlebih dahulu berbicara tentang taqwa kerana apabila taqwa hilang, hasad mengambil tempatnya.

Apabila hasad menguasai hati, nafsu mula mencipta alasan. Apabila alasan diterima, dosa menjadi mudah dan apabila dosa menjadi kebiasaan, manusia akhirnya kehilangan dirinya sendiri. Surah al-Ma’idah ayat 27-31 mengajak kita merenung satu persoalan yang sangat mendalam, adakah kita lebih banyak bermuhasabah apabila melihat kejayaan orang lain atau lebih banyak mencari alasan untuk menyalahkan mereka?

Sesungguhnya peperangan yang paling besar bukanlah peperangan melawan manusia. Peperangan yang paling besar ialah peperangan menundukkan hawa nafsu agar sentiasa tunduk kepada Allah kerana daripada hati yang bertakwa akan lahir keluarga yang damai, masyarakat yang adil dan tamadun yang diberkati. Sebaliknya, daripada hati yang dipenuhi hasad akan lahir perpecahan, kezaliman dan penyesalan yang tidak mampu mengembalikan apa yang telah hilang. Mudah-mudahan Allah memelihara hati kita daripada hasad, mengurniakan keikhlasan dalam setiap amal dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki diri sebelum menyalahkan orang lain.

Thursday, July 30, 2026

Asy-Syifā’: Menghidupkan Jiwa dan Mencari Jalan Menuju Allah



Tadabbur Surah al-Ma’idah Ayat 32-36

“Al-Quran tidak sekadar melarang manusia daripada melakukan kejahatan. Al-Quran membimbing manusia menjadi penyebab kepada kehidupan.”

Selepas menceritakan pembunuhan pertama dalam sejarah manusia melalui kisah dua orang anak Adam, Surah al-Ma’idah tidak berhenti pada kisah tersebut. Allah mengangkat tragedi itu menjadi satu pengajaran yang jauh lebih besar daripada sebuah pembunuhan dalam sebuah keluarga, Allah membina satu falsafah tentang nilai kehidupan manusia. Firman Allah, “Oleh sebab itu, Kami tetapkan ke atas Bani Israil bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia. Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Ayat ini bermula dengan ungkapan “Min ajli dhalik” yang bermaksud “Disebabkan peristiwa itu.” Allah menghubungkan secara langsung kisah pembunuhan pertama dengan lahirnya satu prinsip agung iaitulah nyawa manusia adalah suci dan mesti dipelihara.

Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan sebagai peringatan kepada Bani Israil agar mereka tidak memandang ringan jenayah pembunuhan. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir pula menegaskan bahawa walaupun hukum ini disebut dalam konteks Bani Israil, prinsip memuliakan nyawa merupakan maqasid syariah yang turut ditegaskan dalam syariat Islam. Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran melihat ayat ini sebagai deklarasi bahawa tamadun Islam dibina atas penghormatan terhadap kehidupan, bukan budaya keganasan atau dendam.

Menariknya, Allah tidak menggunakan perkataan “orang mukmin” atau “orang Islam”, tetapi menggunakan perkataan “nafs” (jiwa). Ini menunjukkan bahawa setiap nyawa mempunyai kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah. Kehidupan manusia bukan bernilai kerana bangsa, warna kulit atau kedudukannya, tetapi kerana ia adalah ciptaan Allah.

Namun ayat ini tidak berhenti pada larangan membunuh. Allah menambah satu lagi dimensi yang sering dilupakan, “Dan sesiapa yang menghidupkan satu jiwa, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seluruh manusia.”

Inilah sisi rahmat al-Quran. Islam bukan sekadar agama yang mencegah kematian. Islam ialah agama yang menghidupkan kehidupan. Menghidupkan jiwa bukan hanya tugas doktor yang menyelamatkan pesakit di hospital. Seorang guru yang mengembalikan semangat belajar kepada muridnya, seorang ibu yang menghidupkan iman anak-anaknya, seorang pendakwah yang membimbing manusia kembali kepada Allah, bahkan seorang pekerja belia yang menyelamatkan remaja daripada keruntuhan akhlak juga sedang mengambil bahagian dalam menghidupkan satu jiwa.

Maka, saya melihat di sini, ayat ini sangat dekat dengan falsafah pembangunan belia. Tugas seorang pendidik, murabbi atau pekerja belia bukan sekadar mengurus aktiviti atau memenuhi jadual program. Tugas mereka ialah menghidupkan jiwa manusia. Apabila jiwa hidup dengan iman, ilmu dan harapan, masyarakat juga akan hidup.

Namun kehidupan yang dimuliakan itu perlu dipelihara. Justeru Allah menyambung dengan ayat 33 dan 34 yang menjelaskan hukuman terhadap mereka yang melakukan kerosakan besar di muka bumi. Sekilas pandang, ayat ini kelihatan tegas. Tetapi apabila dibaca bersama ayat sebelumnya, kita memahami bahawa ketegasan tersebut lahir daripada kasih sayang terhadap masyarakat.

Kasih sayang yang membiarkan kezaliman berleluasa bukanlah rahmat yang sebenar. Sebaliknya, keadilan yang melindungi nyawa manusia juga merupakan satu bentuk rahmat Allah. Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa hukuman yang disebut dalam ayat ini berkaitan dengan jenayah hirabah, iaitu tindakan seperti rompakan bersenjata, pembunuhan dan keganasan yang mengancam keselamatan awam. Tujuan hukuman bukan membalas dendam, tetapi memelihara keamanan masyarakat.

Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa Islam memandang keamanan sebagai syarat asas kepada pembinaan tamadun. Apabila masyarakat hidup dalam ketakutan akibat keganasan dan kerosakan, manusia tidak lagi mampu menunaikan amanah sebagai khalifah Allah. Namun di tengah-tengah ketegasan itu, Allah membuka pintu Rahmat, “Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu berjaya menangkap mereka. Maka ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ma’idah: 34)

Inilah keseimbangan syariat. Allah tegas terhadap jenayah, tetapi tidak pernah menutup pintu taubat. Tujuan syariat bukan memperbanyakkan hukuman. Tujuannya ialah mengembalikan manusia kepada jalan Allah dan melindungi masyarakat daripada kerosakan. Kemudian datanglah ayat yang saya rasakan sebagai antara ayat paling indah dalam Surah al-Ma’idah, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah pada jalan-Nya agar kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 35)

Saya melihat ayat ini sebagai jawapan Allah kepada semua penyakit hati yang telah dibincangkan sejak ayat 18. Apakah penawar kepada rasa diri sudah mulia? Taqwa. Apakah penawar kepada ketakutan memikul amanah? Mendekatkan diri kepada Allah. Apakah penawar kepada hasad dan hawa nafsu? Mujahadah dan jihad pada jalan Allah.

Ibn Kathir mentafsirkan wasilah sebagai setiap amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menjelaskan bahawa wasilah merangkumi seluruh bentuk ketaatan dan amal soleh yang dilakukan dengan ikhlas. Namun apabila kita merenung ayat ini bersama perjalanan Surah al-Ma’idah, saya melihat satu keluasan makna yang sangat menyentuh.

Wasilah bukan hanya solat, puasa atau zikir. Memaafkan manusia kerana Allah ialah wasilah. Menjaga ibu bapa ialah wasilah. Mendidik anak-anak ialah wasilah. Menyelamatkan seorang remaja daripada kehancuran akhlak ialah wasilah. Membina masyarakat yang lebih adil juga ialah wasilah. Setiap amal soleh yang mendekatkan manusia kepada rahmat Allah sebenarnya sedang mendekatkan pelakunya kepada Allah.

Dr. Siddiq Fadzil sering mengingatkan bahawa pembangunan insan dalam Islam tidak pernah terpisah daripada pembangunan masyarakat. Manusia yang dekat dengan Allah akan terdorong untuk memuliakan manusia, kerana kedua-duanya lahir daripada kesedaran bahawa setiap insan memiliki karamah insaniah, iaitu kemuliaan yang dikurniakan Allah. Akhirnya Allah mengingatkan bahawa semua kekayaan dunia tidak akan mampu menjadi tebusan pada hari akhirat. “Sekiranya mereka memiliki segala yang ada di bumi dan sebanyak itu lagi bersamanya untuk dijadikan tebusan daripada azab pada hari kiamat, nescaya ia tidak akan diterima daripada mereka.” (Surah al-Ma’idah: 36)

Ayat ini mengingatkan bahawa hubungan dengan Allah tidak pernah boleh dibeli dengan harta bahkan yang menjadi bekal hanyalah iman, taqwa dan amal yang ikhlas. Surah al-Ma’idah ayat 32-36 akhirnya membawa kita kepada satu kesimpulan yang sangat indah. Allah memuliakan kehidupan. Allah melindungi kehidupan melalui keadilan dan Allah menunjukkan jalan untuk menghidupkan kehidupan itu melalui taqwa, wasilah dan jihad di jalan-Nya. Nilai bagi seorang pendidik, murabbi atau pekerja belia, ayat-ayat ini memberikan satu misi yang sangat besar yang bukan sekadar mengurus manusia, bukan sekadar membimbing manusia tetapi menghidupkan jiwa manusia, memelihara kemuliaannya, dan menjadikan setiap usaha sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana akhirnya, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila manusia memuji usaha kita, tetapi apabila Allah menerima amal yang kita persembahkan kepada-Nya dan menjadikan usaha itu sebab lahirnya kehidupan pada hati-hati yang hampir mati.

Saturday, July 25, 2026

Dakwaan Tidak Menjamin Kemuliaan: Pengajaran Surah Al-Ma’idah Ayat 18-26



“Allah lebih mengutamakan pembinaan manusia daripada penaklukan bumi.”

Surah Al-Ma’idah merupakan antara surah yang banyak membicarakan tentang amanah, perjanjian dan tanggungjawab manusia terhadap Allah. Selepas Allah menjelaskan pada ayat 14-17 bagaimana sebahagian Ahli Kitab menyembunyikan kebenaran dan bagaimana al-Quran diturunkan sebagai cahaya yang membimbing manusia, ayat 18-26 membawa kita kepada satu persoalan yang lebih mendasar, “Apakah yang menyebabkan sesuatu umat kehilangan kemuliaan walaupun pernah menjadi umat pilihan?”

Jawapannya bukan kerana mereka kekurangan nikmat, bukan kerana mereka tiada nabi dan bukan juga kerana musuh mereka terlalu kuat. Sebaliknya, mereka kehilangan kemuliaan apabila hati mereka dipenuhi rasa selesa, ketakutan dan keengganan untuk memikul amanah. Allah memulakan perbahasan ini dengan membetulkan satu dakwaan yang sangat besar. Orang Yahudi dan Nasrani berkata bahawa mereka ialah “anak-anak Allah” dan “orang-orang yang dikasihi-Nya”. Dakwaan ini segera dijawab oleh Allah, “Katakanlah (wahai Muhammad): Maka mengapa Dia menyeksa kamu kerana dosa-dosa kamu? Bahkan kamu hanyalah manusia daripada makhluk yang diciptakan-Nya…” (Al-Ma’idah: 18)

Ayat ini meletakkan satu prinsip yang menjadi asas kepada seluruh Islam bahawa kemuliaan tidak diwarisi, tetapi diusahakan. Tiada bangsa, keturunan atau kelompok yang memiliki kedudukan istimewa secara automatik di sisi Allah. Sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, ukuran sebenar kemuliaan ialah takwa.

HAMKA mengingatkan bahawa sesuatu umat sering jatuh apabila mereka mula hidup dengan nostalgia sejarah, seolah-olah kegemilangan nenek moyang sudah cukup untuk menjamin masa depan. Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa Islam menghapuskan semua bentuk “keistimewaan rohani” yang berasaskan keturunan. Perbezaan kita sebagai manusia hanyalah deitentukan berdasarkan iman dan amal.

Prinsip ini bukan sekadar teguran kepada Ahli Kitab. Ia juga menjadi cermin kepada umat Islam hari ini. Kita tidak akan dimuliakan hanya kerana berbangga sebagai umat Nabi Muhammad SAW, jika akhlak, amanah dan ketaatan tidak menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Selepas membetulkan dakwaan tersebut, Allah membawa kita kepada kisah Nabi Musa AS bersama Bani Israil. Menariknya, sebelum Nabi Musa memerintahkan kaumnya memasuki bumi suci, baginda terlebih dahulu mengingatkan mereka tentang nikmat Allah. “Wahai kaumku! Ingatlah nikmat Allah kepada kamu…” (Al-Ma’idah: 20)

Inilah kaedah tarbiah al-Quran. Allah tidak memulakan perubahan dengan arahan semata-mata. Allah memulakannya dengan membina kesedaran. Nabi Musa mengingatkan bahawa Allah telah mengangkat para nabi daripada kalangan mereka, membebaskan mereka daripada kezaliman Firaun, mengurniakan pelbagai mukjizat dan memberikan nikmat yang tidak pernah diberikan kepada umat lain pada zaman itu. Selepas kesedaran itu dibina, barulah datang arahan, “Masuklah ke bumi suci yang telah Allah tetapkan untuk kamu.” (Al-Ma’idah: 21)

Kita bersama dapat memahami di sini bahawa nikmat bukan sekadar anugerah, tetapi amanah. Allah tidak mengurniakan nikmat untuk dibanggakan, sebaliknya untuk melahirkan keberanian memikul tanggungjawab. Namun apabila arahan itu datang, majoriti Bani Israil hanya melihat kekuatan musuh. “Sesungguhnya di dalam negeri itu terdapat kaum yang gagah perkasa…” (Al-Ma’idah: 22)

Mereka melihat benteng. Mereka melihat tentera. Mereka melihat risiko. Mereka tidak lagi melihat janji Allah dan di sinilah al-Quran memperlihatkan perbezaan antara pandangan mata dan pandangan iman. Ibn Kathir menjelaskan bahawa masalah sebenar bukanlah kekuatan musuh, tetapi kelemahan jiwa Bani Israil. HAMKA pula membuat pemerhatian yang sangat mendalam bahawa mereka telah keluar dari Mesir, tetapi “Mesir belum keluar daripada jiwa mereka”. Firaun telah mati, namun mentaliti hamba masih menguasai pemikiran mereka. Bukankah keadaan ini sering berlaku dalam kehidupan kita?

Ramai yang mempunyai ilmu tetapi takut bertindak. Ramai yang mempunyai peluang tetapi takut mencuba. Ramai yang bercita-cita membawa perubahan tetapi menunggu orang lain memulakannya. Ketakutan akhirnya menjadi alasan untuk tidak melaksanakan amanah. Namun dalam lautan manusia yang takut itu, Allah menonjolkan dua orang lelaki yang luar biasa. Al-Quran tidak menyebut nama mereka. Sebaliknya Allah memperkenalkan mereka melalui sifat mereka, “Berkatalah dua orang lelaki yang dikurniakan nikmat oleh Allah…” (Al-Ma’idah: 23)

Mereka berkata, “Masuklah melalui pintu gerbang itu. Apabila kamu memasukinya, pasti kamu akan menang. Dan bertawakallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Majoriti melihat musuh. Dua orang ini melihat Allah. Majoriti bergantung kepada kekuatan manusia. Dua orang ini bergantung kepada janji Tuhan. Nouman Ali Khan menjelaskan bahawa al-Quran sengaja tidak menyebut nama mereka kerana yang ingin dibina ialah sifat, bukan kultus individu. Sejarah Islam memberikan gambaran, Allah tidak pernah memerlukan majoriti untuk memulakan perubahan. Allah hanya memerlukan beberapa hati yang benar-benar yakin kepada-Nya.

Malangnya, majoriti tetap memilih ketakutan. Mereka berkata kepada Nabi Musa, “Pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya kami tetap duduk di sini.” (Al-Ma’idah: 24)

Inilah kemuncak kejatuhan mereka. Mereka bukan lagi sekadar takut, tetapi enggan memikul amanah. Mereka menyerahkan tanggungjawab kepada nabi mereka, seolah-olah perjuangan agama hanyalah tugas para nabi dan orang-orang tertentu. Bukankah ungkapan ini masih kedengaran dalam pelbagai bentuk pada hari ini? “Biarlah ustaz yang buat.” “Biarlah NGO yang urus.” “Biarlah orang lain memimpin.” Sedar atau tidak, Islam sebenarnya mengajar kita bahawa setiap mukmin mempunyai bahagian masing-masing dalam perjuangan menegakkan agama.

Apabila melihat keadaan kaumnya, Nabi Musa tidak berputus asa. Baginda berdoa kepada Allah dengan penuh adab, “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku tidak berkuasa melainkan terhadap diriku sendiri dan saudaraku…” (Al-Ma’idah: 25)

Doa ini mengajar bahawa seorang pendakwah hanya bertanggungjawab menyampaikan, memimpin dan berusaha. Hidayah tetap milik Allah. Akhirnya Allah memutuskan bahawa bumi suci itu diharamkan daripada mereka selama empat puluh tahun. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti hukuman. Namun apabila diteliti, ia sebenarnya adalah tarbiah. Allah sedang membina generasi baharu. Generasi yang lahir tanpa mentaliti hamba. Generasi yang dibesarkan dengan tawakal. Generasi yang akhirnya dipimpin oleh Nabi Yusha’ bin Nun AS untuk memasuki bumi yang dijanjikan. Ayat inilah tercatatnya pengajaran terbesar Surah Al-Ma’idah ayat 18-26.

Allah tidak terburu-buru memberikan kemenangan. Allah lebih mengutamakan pembinaan manusia yang layak menerima kemenangan dan dalam konteks umat Islam hari ini, sama ada di Malaysia, Palestin atau di mana-mana sahaja, pengajaran ini sangat relevan. Kita sering berbicara tentang hak, kuasa dan kemenangan. Namun al-Quran mengingatkan bahawa semua itu tidak akan kekal tanpa iman, syukur, keberanian dan amanah.

Sesebuah masyarakat tidak akan bangkit hanya kerana memiliki sejarah yang hebat. Ia bangkit apabila melahirkan generasi yang berani memikul tanggungjawab. Sesebuah negara tidak menjadi mulia hanya kerana mempertahankan hak. Ia menjadi mulia apabila hak itu diiringi dengan keadilan, integriti dan ketakwaan, begitu juga sesebuah gerakan dakwah tidak akan berjaya hanya kerana mempunyai program yang banyak. Ia berjaya apabila berjaya membentuk manusia yang berkata, sebagaimana dua orang mukmin dalam kisah ini, “Bertawakallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Akhirnya, Surah Al-Ma’idah ayat 18-26 mengajak kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sedang menjadi generasi yang hanya bercakap tentang hak, atau generasi yang bersedia memikul amanah? Apabila kita memahami sunnatullah, ia mengajarkan kita bahawa Allah tidak sekadar mencari manusia yang ingin memiliki bumi. Allah mencari manusia yang layak menjadi khalifah di atasnya.

Tuesday, June 30, 2026

Al-Ma’idah Ayat 14–17: Jangan Sampai Kita Memiliki Al-Quran, Tetapi Kehilangan Cahayanya



Ada satu perkara yang sangat mengusik hati saya ketika mentadabbur Surah Al-Ma’idah ayat 14 hingga 17. Pada awalnya, saya membaca ayat-ayat ini seperti kebanyakan orang. Saya menyangka Allah sedang menceritakan kisah Ahli Kitab, tentang Bani Israil dan orang Nasrani yang melanggar perjanjian, melupakan sebahagian daripada wahyu dan akhirnya berpecah-belah. Namun semakin lama saya membaca dan merenung, saya merasakan seolah-olah Al-Quran sedang bertanya kepada saya satu soalan yang sangat peribadi, “Kamu pula bagaimana dengan kitab yang telah Aku berikan kepadamu?”

Saat itu saya sedar bahawa kisah umat terdahulu bukan sekadar sejarah untuk diketahui. Ia adalah cermin untuk melihat keadaan hati kita sendiri. Allah berfirman bahawa orang-orang Nasrani telah melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka. Perhatikan, Allah tidak mengatakan bahawa mereka meninggalkan seluruh ajaran agama mereka. Mereka hanya melupakan sebahagian daripadanya.

Nampak kecil. Tetapi akibatnya sangat besar. Allah menyebut bahawa daripada kelalaian itu lahirlah permusuhan dan kebencian sesama mereka. Ayat ini mengajar saya bahawa perpecahan tidak semestinya bermula kerana manusia tidak mempunyai kitab suci. Perpecahan juga tidak semestinya berlaku kerana manusia tidak mempunyai ilmu. Kadang-kadang perpecahan bermula apabila manusia perlahan-lahan mengabaikan sebahagian daripada petunjuk Allah.

Saya mula bertanya kepada diri sendiri. Apakah “sebahagian” yang sedang saya abaikan? Mungkin saya masih menjaga solat, tetapi kurang menjaga lidah. Mungkin saya masih membaca Al-Quran setiap hari, tetapi semakin sukar memaafkan orang lain. Mungkin saya masih aktif menyampaikan ilmu, tetapi semakin sukar menerima teguran. Mungkin saya masih bercakap tentang dakwah, tetapi hati mula dipenuhi keinginan untuk mempertahankan ego sendiri.

Semakin saya berfikir, semakin saya sedar bahawa keruntuhan hati tidak semestinya berlaku secara mendadak. Ia berlaku sedikit demi sedikit. Bermula dengan satu peringatan yang tidak diendahkan, satu amanah yang ditangguhkan dan satu nilai yang mula dipandang ringan. Kemudian Allah menyebut sesuatu yang sangat indah. “Sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah satu cahaya dan sebuah Kitab yang jelas.”

Menariknya, Allah mendahulukan perkataan “cahaya” sebelum “Kitab”. Mengapa? Oleh sebab itulah Al-Quran bukan sekadar kitab yang menambahkan maklumat. Al-Quran ialah cahaya yang mengubah cara kita melihat kehidupan. Apabila seseorang berada di dalam sebuah bilik yang gelap, masalahnya bukan kerana pintu itu tiada. Pintu itu memang ada. Masalahnya ialah dia tidak dapat melihatnya.

Begitulah kehidupan kita. Masalah mungkin masih sama. Cabaran mungkin tidak berubah. Ujian mungkin tetap datang. Tetapi apabila cahaya Al-Quran menerangi hati, kita mula melihat jalan yang sebelum ini tidak kita nampak. Mungkin inilah sebabnya Allah tidak berkata bahawa Al-Quran menghapuskan semua masalah. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa Dia mengeluarkan manusia daripada berbagai-bagai kegelapan kepada cahaya.

Perhatikan sekali lagi susunan ayat ini. Allah menggunakan perkataan “kegelapan” dalam bentuk jamak. Tetapi “cahaya” disebut dalam bentuk tunggal. Para ulama menjelaskan bahawa jalan menuju kesesatan sangat banyak. Ada kegelapan ego, kegelapan takbur, kegelapan hasad, kegelapan cinta dunia, kegelapan dendam dan kegelapan hawa nafsu. Namun jalan menuju Allah hanya satu, iaitu petunjuk wahyu-Nya.

Saya juga sangat terkesan dengan satu penjelasan yang sering disentuh oleh Nouman Ali Khan. Beliau mengajak kita merenung mengapa Allah tidak sekadar menyebut “orang Nasrani”, tetapi menggunakan ungkapan, “Orang-orang yang berkata: Kami adalah orang Nasrani.” Ungkapan ini memberi isyarat bahawa pengakuan identiti belum tentu sama dengan realiti kehidupan.

Lalu saya mula bertanya kepada diri sendiri. Saya mengaku seorang Muslim. Tetapi adakah cara saya berfikir dipimpin oleh Al-Quran? Adakah ketika saya marah, saya masih dipimpin oleh Al-Quran? Adakah ketika saya menguruskan pekerja, menyelesaikan konflik atau membuat keputusan, saya benar-benar menjadikan wahyu sebagai rujukan? Atau saya hanya mengaku Muslim, tetapi dalam banyak keadaan masih dipimpin oleh ego dan kepentingan diri?

Ustaz Abdul Muein dalam siri tadabburnya pula mengingatkan bahawa ayat-ayat ini bukan diturunkan untuk kita sibuk menilai kesalahan Ahli Kitab. Sebaliknya ia adalah amaran kepada umat Islam agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Perkataan itu benar-benar menyentuh hati saya kerana saya menyedari bahawa kita juga adalah umat yang telah dikurniakan Al-Quran. Jika umat terdahulu diuji dengan kitab mereka, maka kita juga sedang diuji dengan kitab yang berada di tangan kita hari ini.

Persoalannya bukan sama ada kita memiliki Al-Quran. Persoalannya ialah sama ada Al-Quran benar-benar memiliki hati kita. Sepanjang mentadabbur ayat-ayat ini, saya juga belajar satu perkara yang sangat penting. Setiap kali berlaku perselisihan, saya sering terdorong untuk mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Namun Al-Quran seolah-olah mengajar saya supaya bertanya soalan yang berbeza, “Apakah petunjuk Allah yang sedang aku abaikan dalam perselisihan ini?” Boleh jadi jawapannya ialah sabar. Boleh jadi adab. Boleh jadi berlaku adil. Boleh jadi menjaga lidah. Boleh jadi memaafkan atau mungkin kembali mendahulukan solat sebelum menyelesaikan urusan manusia.

Saya juga mula menyedari bahawa bekerja dalam bidang pendidikan, kepimpinan dan pengurusan manusia menuntut kita bercakap tentang orang lain. Namun Al-Quran mengajar supaya setiap perbincangan sentiasa dipandu oleh niat mencari penyelesaian, bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Mungkin inilah maksud sebenar menjadikan Al-Quran sebagai cahaya. Bukan sekadar membacanya ketika lapang. Tetapi membenarkannya memimpin hati ketika membuat keputusan, ketika berbeza pandangan dan ketika berhadapan dengan manusia.

Tadabbur paling besar yang saya bawa daripada Surah Al-Ma’idah ayat 14 hingga 17 ialah ini, kita mungkin memiliki naskhah Al-Quran di rumah. Kita mungkin membacanya setiap hari. Kita mungkin mampu menghuraikan maksud ayat-ayatnya. Tetapi jangan sampai kita memiliki Al-Quran, sedangkan hati kita semakin kehilangan cahayanya kerana Al-Quran tidak diturunkan sekadar untuk memenuhi rak buku, menjadi bahan kuliah atau memenangi perdebatan. Al-Quran diturunkan untuk menerangi hati manusia. Semoga Allah tidak menjadikan kita sekadar umat yang memiliki Al-Quran. Tetapi menjadikan kita umat yang benar-benar dipimpin oleh cahaya Al-Quran dalam setiap langkah kehidupan.

Saturday, June 20, 2026

Al-Ma’idah Ayat 10–13: Sebelum Menegur Orang Lain, Lihatlah Perjanjian Kita Dengan Allah



Kita boleh melihat hari ini ada satu kecenderungan yang sering berlaku apabila kita membaca Al-Quran. Khususnya bila membaca ayat tentang pengkhianatan, kita mula akan teringat kepada orang yang pernah mengkhianati kita. Bila kita baca ayat tentang amanah, kita teringat kepada pemimpin yang gagal menunaikan Amanah dan bila kita baca ayat tentang hati yang keras, kita teringat kepada orang yang enggan menerima nasihat. Jarang sekali kita berhenti seketika dan bertanya, “Apakah ayat ini sedang bercakap tentang aku?”

Mungkin itulah antara cabaran terbesar dalam bertadabbur. Kita lebih mudah melihat orang lain di dalam ayat Al-Quran daripada melihat diri sendiri. Sedangkan Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk menjadi cermin masyarakat. Ia terlebih dahulu menjadi cermin kepada jiwa kita. Apabila membaca Surah Al-Ma’idah ayat 10 hingga 13, saya merasakan Allah sedang membawa manusia kepada satu tema yang sangat besar tetapi sering dipandang ringan, iaitu tentang perjanjian, amanah dan kesetiaan.

Menariknya, selepas Allah berbicara tentang penyucian diri, ketaatan dan keadilan dalam ayat-ayat sebelumnya, Allah mengingatkan pula tentang satu nikmat yang jarang manusia syukuri. Allah berfirman, “Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangan mereka kepada kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu.”

Apabila melihat perkataan nikmat, kebanyakan kita akan memikirkan tentang perkara yang kita dapat. Kita bersyukur kerana mendapat pekerjaan, rumah, pasangan hidup, anak-anak atau rezeki yang baik. Tetapi ayat ini memperkenalkan satu bentuk nikmat yang sangat berbeza. Nikmat yang Allah suruh kita ingat ialah sesuatu yang tidak berlaku. Allah tidak menyuruh kita mengingati apa yang diberikan. Allah menyuruh kita mengingati apa yang telah dihalang daripada berlaku.

Mungkin ada fitnah yang hampir menghancurkan hidup kita tetapi Allah menahannya. Mungkin ada kemalangan yang hanya terlepas beberapa saat. Mungkin ada keputusan yang kita kecewa dahulu tetapi akhirnya menyelamatkan masa depan kita. Mungkin ada hubungan yang tidak menjadi dan kita menyangka itu satu kehilangan, sedangkan sebenarnya Allah sedang melindungi kita daripada sesuatu yang lebih buruk.

Hakikatnya, boleh jadi kehidupan kita hari ini lebih banyak dibentuk oleh apa yang Allah lindungi daripada kita berbanding apa yang Allah berikan kepada kita. Namun selepas mengingatkan tentang perlindungan-Nya, Allah membawa kita kepada kisah Bani Israil. Allah menyebut bahawa Dia telah mengambil satu perjanjian yang kukuh daripada mereka. Atau dalam bahasa Al-Quran, perjanjian itu disebut sebagai “mithaq”.

Mithaq bukan janji biasa. Ia bukan komitmen yang boleh ditunaikan apabila ada masa dan ditinggalkan apabila tidak selesa. Mithaq ialah ikatan yang mempunyai tanggungjawab. Allah telah memberikan kepada mereka petunjuk, nabi, kitab dan pelbagai nikmat. Sebagai balasan, mereka diminta untuk mendirikan solat, menunaikan zakat, beriman kepada para rasul dan membantu perjuangan yang dibawa oleh para nabi. Tetapi mereka gagal menjaga perjanjian tersebut dan di sinilah datang satu ayat yang sangat menggerunkan. Allah berfirman, “Maka disebabkan mereka melanggar perjanjian mereka, Kami jadikan hati mereka keras.”

Perhatikan susunan ayat ini. Allah tidak berkata bahawa mereka melanggar perjanjian kerana hati mereka keras. Sebaliknya Allah menunjukkan bahawa hati mereka menjadi keras kerana mereka melanggar perjanjian. Ini memberi satu pelajaran yang sangat besar. Keras hati bukan berlaku secara tiba-tiba. Tiada siapa yang bangun pada suatu pagi lalu tiba-tiba menjadi keras hati. Ia berlaku perlahan-lahan. Ia mungkin bermula dengan amanah yang diabaikan. Janji yang dimungkiri. Tanggungjawab yang ditangguhkan. Nasihat yang tidak diendahkan. Peringatan yang didengar tetapi tidak dilaksanakan. Apabila perkara itu berulang kali berlaku, hati mula kehilangan kepekaan.

Pada mulanya manusia masih mendengar kebenaran. Kemudian dia mula menangguhkan perubahan. Kemudian dia mula mencari alasan. Akhirnya dia mula menyesuaikan kebenaran mengikut kehendaknya sendiri dan itulah yang disebut oleh Al-Quran apabila Allah menyatakan bahawa mereka mula mengubah perkataan daripada tempat-tempatnya. Mereka tidak semestinya menolak kebenaran secara terbuka. Mereka hanya menyesuaikan kebenaran supaya sesuai dengan kehendak mereka. Bukankah ini sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan manusia moden?

Hari ini kita mempunyai akses kepada ilmu yang tidak pernah dimiliki oleh generasi sebelum kita. Ceramah berada di hujung jari. Tafsir boleh dibaca pada bila-bila masa. Kuliah boleh ditonton dari mana-mana sahaja. Tetapi persoalannya bukan lagi sama ada kita tahu atau tidak. Persoalannya ialah sama ada ilmu itu masih mengubah diri kita atau tidak kerana salah satu tanda hati mula mengeras ialah apabila ilmu terus bertambah tetapi perubahan semakin berkurang.

Kita mendengar perkara yang sama berulang kali. Kita memahami apa yang perlu dilakukan. Kita tahu apa yang perlu diperbaiki. Tetapi hati tidak lagi bergerak. Nasihat tidak lagi menyentuh. Peringatan tidak lagi menggoncang jiwa dan mungkin itulah antara perkara yang paling perlu kita takuti. Bukan kehilangan harta, jawatan atau pengaruh. Tetapi kehilangan kepekaan hati terhadap Allah. Menariknya, walaupun Allah menyebut tentang pengkhianatan dan hati yang keras, ayat ini tidak berakhir dengan nada dendam. Allah memerintahkan Rasulullah SAW, “Maka maafkanlah mereka dan berlapang dadalah.”

Ini sangat luar biasa kerana Al-Quran bukan sahaja mahu kita memahami kesalahan manusia lain. Al-Quran juga mahu memastikan hati kita sendiri tidak menjadi keras ketika berhadapan dengan kelemahan orang lain. Kadang-kadang dalam usaha menentang kesalahan orang lain, kita sendiri boleh kehilangan rahmat dan belas ihsan. Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah berkali-kali mengembalikan kita kepada tema yang sama sejak ayat pertama. Amanah, akad, perjanjian dan kesetiaan kerana kekuatan seorang manusia tidak bermula dengan kedudukannya. Kekuatan seorang manusia bermula dengan sejauh mana dia menjaga perjanjiannya dengan Allah dan mungkin tadabbur paling besar daripada ayat-ayat ini ialah bahawa sebelum kita sibuk mempersoalkan amanah orang lain, kita perlu terlebih dahulu bertanya kepada diri sendiri, apakah amanah yang Allah telah berikan kepadaku yang mula aku abaikan?

Boleh jadi keruntuhan yang paling berbahaya bukan yang berlaku di luar diri kita. Tetapi yang sedang berlaku secara perlahan-lahan di dalam hati kita sendiri.

Thursday, May 28, 2026

Al-Ma’idah Ayat 6–9: Dunia Hari Ini Bersih Luaran, Tetapi Letih Jiwanya



Lama juga saya berhenti menulis dalam misi tadabbur saya. Bukan lupa, sentiasa teringat, Cuma masa memang amat mencemburui saya. Tapi saya takut tidak teruskan, hati akan makin lalai dan makin jauh. Jom kita sambung lagi. Kali ini ayat 6 hingga 9 surah Al-Mai’idah.

Ada sesuatu yang sangat menarik apabila kita membaca Surah Al-Ma’idah ayat 6 hingga 9 secara perlahan-lahan. Selepas Allah mengisytiharkan bahawa agama Islam telah sempurna, Allah tidak terus membawa manusia berbicara tentang kemenangan besar, kekuatan politik atau pembinaan tamadun. Sebaliknya Allah membawa manusia kepada sesuatu yang kelihatan sangat sederhana iaitu bab wuduk, mandi wajib, tayammum dan penyucian diri.

Pada pandangan biasa, ia mungkin kelihatan seperti perbincangan hukum yang rutin. Namun apabila ditadabbur dengan hati yang tenang, ayat-ayat ini sebenarnya sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar ritual ibadah. Allah sedang membina manusia yang bersih jiwanya. Allah berfirman, “Allah tidak mahu menyusahkan kamu, tetapi Dia mahu menyucikan kamu…”

Perhatikan bagaimana Allah menggunakan perkataan menyucikan, bukan sekadar membersihkan kerana dalam Islam, konsep bersih bukan hanya tentang tubuh dan penampilan. Islam berbicara tentang kebersihan yang lebih dalam iaitu kebersihan hati, jiwa dan hubungan manusia dengan Allah.

Hari ini manusia hidup dalam dunia yang sangat cenderung terhadap kebersihan luaran. Industri kecantikan berkembang dengan begitu besar. Manusia menjaga penjagaan kulit, pemakanan, gaya hidup sihat dan penampilan media sosial. Semua orang mahu kelihatan baik. Semua orang mahu nampak sempurna di hadapan manusia lain.

Namun dalam masa yang sama, semakin ramai manusia sebenarnya sedang penat secara dalaman. Jiwa manusia moden semakin letih. Emosi semakin rapuh. Manusia mudah marah, mudah terasa, mudah hasad dan semakin sukar menemukan ketenangan walaupun hidup dikelilingi kemudahan. Seolah-olah manusia semakin bersih di luar, tetapi semakin kusut di dalam. Mungkin sebab itu Islam tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk mencuci tubuh. Islam juga mengajar manusia bagaimana untuk membersihkan hati.

Wuduk misalnya, bukan sekadar proses membasuh muka, tangan dan kaki. Wuduk sebenarnya ialah latihan jiwa yang Allah ulang berkali-kali setiap hari. Apatah lagi dalam dunia yang terlalu laju hari ini, wuduk seperti ruang kecil yang Allah hadiahkan untuk manusia berhenti seketika daripada kesibukan hidup. Ketika air menyentuh wajah dan anggota badan, seorang Muslim sebenarnya sedang diajar untuk kembali menenangkan dirinya, kembali mengingati Allah dan kembali menjadi manusia.

Menariknya, selepas ayat tentang penyucian ini, Allah membawa pula kepada kita satu ungkapan yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Inilah budaya yang dibina oleh Al-Quran. Bukan sekadar budaya mendengar ilmu atau suka berbincang tentang agama, tetapi budaya tunduk kepada Allah dan di sinilah cabaran terbesar manusia moden.

Kita hidup dalam zaman yang mengajar manusia supaya memilih apa sahaja berdasarkan keselesaan diri. Manusia dibiasakan dengan pendapat bahawa mereka berhak menentukan sendiri apa yang benar dan salah menurut kehendak peribadi. Akhirnya agama mula dilihat seperti menu pilihan. Mana yang sesuai dengan gaya hidup diterima, manakala yang mengganggu hawa nafsu mula dipersoalkan atau ditinggalkan.

Sedangkan para sahabat Rasulullah SAW dididik dengan satu prinsip yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Ini tidak bermaksud Islam membunuh akal atau melarang manusia berfikir. Al-Quran berkali-kali mengajak manusia berfikir, merenung dan memahami. Namun selepas kebenaran itu jelas, Islam mendidik manusia supaya tunduk kepada Allah, bukan kepada ego sendiri kerana masalah terbesar manusia sebenarnya bukan kurang ilmu. Masalah terbesar manusia ialah ego yang tidak mahu tunduk dan mungkin sebab itu ayat tentang ketaatan ini datang selepas ayat penyucian. Ia mungkin kerana hati yang bersih lebih mudah menerima kebenaran. Hati yang terlalu penuh dengan ego, cinta dunia dan hawa nafsu akan sentiasa mencari alasan untuk menolak panduan Allah. Selepas itu, Allah membawa pula manusia kepada satu lagi nilai besar dalam kehidupan, iaitu keadilan. Allah berfirman, “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.”

Ayat ini sangat luar biasa kerana Islam tidak hanya mengajar manusia berlaku baik kepada orang yang disukai. Islam mengajar manusia supaya tetap berlaku adil walaupun terhadap orang yang dibenci. Hari ini dunia semakin kehilangan kemampuan untuk berlaku adil. Media sosial menjadikan manusia terlalu cepat marah, terlalu cepat menghukum dan terlalu mudah membenci. Kadang-kadang hanya dengan satu potongan video atau satu naratif tertentu, manusia terus menjatuhkan hukuman tanpa mendengar keseluruhan cerita.

Budaya memalukan orang, membuka aib dan “cancel culture” menjadi semakin biasa. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana tegang dan penuh kebencian. Manusia semakin sukar mendengar dengan tenang dan semakin mudah dipengaruhi emosi sedangkan Al-Quran mendidik manusia supaya kebencian tidak menghapuskan keadilan.

Ini sangat sukar kerana ketika marah, ego manusia mahu membalas, mahu memenangkan diri dan mahu melihat lawannya jatuh. Namun Islam mahu manusia dipimpin oleh takwa, bukan emosi. Sebab itu Allah menyebutkan, “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”

Ini menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar isu sosial atau politik. Keadilan sebenarnya lahir daripada hati yang bersih dan takut kepada Allah. Hanya hati yang benar-benar sedar bahawa Allah melihat dirinya akan berusaha berlaku adil walaupun dirinya sedang terluka dan mungkin sebab itu susunan ayat-ayat ini sangat indah. Allah bermula dengan penyucian diri, kemudian membawa manusia kepada ketaatan dan akhirnya kepada keadilan. Seolah-olah Allah sedang menunjukkan bahawa masyarakat yang adil tidak akan lahir hanya melalui undang-undang atau sistem semata-mata. Ia lahir daripada manusia yang bersih jiwanya, tunduk kepada Allah dan mampu mengawal emosinya.

Hari ini dunia mempunyai terlalu banyak manusia yang pandai bercakap, hebat berhujah dan kuat membina imej. Tetapi dunia semakin kekurangan manusia yang benar-benar bersih hatinya sedangkan kerosakan masyarakat selalunya tidak bermula kerana kurang ilmu. Ia bermula apabila hati menjadi keras, ego tidak terkawal dan manusia semakin jauh daripada Allah.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah tidak bermula dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina manusia dahulu kerana tamadun yang hebat tidak akan bertahan lama jika dibina oleh jiwa yang rosak dan mungkin tadabbur paling besar daripada ayat ini ialah bahawa dunia hari ini terlalu sibuk mengajar manusia bagaimana untuk kelihatan baik di hadapan manusia lain, tetapi Al-Quran datang mengajar manusia bagaimana untuk benar-benar bersih di sisi Allah.

Saturday, May 23, 2026

Al-Ma’idah Ayat 1–2: Krisis Besar Umat Hari Ini Bukan Kurang Bijak, Tetapi Hilang Amanah



“Penuhilah segala akad…”

Ada sebab mengapa Allah membuka Surah Al-Ma’idah dengan ayat tentang amanah dan janji. Ia bukan tentang solat, bukan tentang puasa, bukan juga tentang peperangan. Tetapi tentang manusia yang mampu memegang tanggungjawab. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat maju. Teknologi berkembang laju. Sistem semakin moden. Organisasi semakin besar. Pendidikan semakin tinggi. Tetapi dalam diam, masyarakat sedang menghadapi satu krisis besar yang perlahan-lahan merosakkan manusia dari dalam iaitu krisis amanah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 1, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad dan janji.”

Ramai menyangka akad hanya berkaitan akad nikah atau kontrak rasmi. Sedangkan dalam tafsir para ulama, maksudnya jauh lebih luas. Ia meliputi semua bentuk komitmen, tanggungjawab, janji dan amanah yang mengikat manusia. Semua itu termasuk amanah pekerjaan, amanah masa, amanah hubungan, amanah kepimpinan, amanah persahabatan bahkan amanah kecil yang manusia sering pandang remeh. Sebab itu ayat ini sangat menusuk realiti kehidupan hari ini.

Kita hidup dalam zaman manusia mudah memberi “commitment”, tetapi sukar menunaikan. Janji boleh ditangguhkan. Masa orang lain dianggap tidak penting. Hubungan dipelihara hanya ketika menguntungkan. Kerja dilakukan sekadar cukup syarat. Lebih membimbangkan apabila budaya sambil lewa mula dianggap normal. Datang lambat dianggap biasa. Tidak menepati masa mesyuarat dianggap perkara kecil. Kerja bertangguh menjadi budaya. Mesej penting dibiarkan tanpa jawapan. Tanggungjawab dilakukan sekadar minimum untuk mendapatkan gaji hujung bulan. Sedangkan semua itu sebenarnya sebahagian daripada akad.

Ramai orang kata, “Aku tak mencuri duit syarikat.” Tetapi dalam masa yang sama bekerja tanpa kesungguhan, melengahkan tugas, membiarkan orang lain menanggung beban dan tidak berlaku jujur terhadap amanah masa dan tenaga. Hakikatnya, pengkhianatan bukan hanya berlaku apabila wang dicuri. Kadang-kadang ia berlaku apabila amanah dipandang ringan. Mungkin sebab itu Allah memulakan Surah Al-Ma’idah dengan ayat ini. Seolah-olah Allah mahu memberitahu bahawa keruntuhan masyarakat bukan bermula kerana kurang pandai, tetapi kerana hilangnya integriti.

Lebih menyedihkan apabila krisis ini berlaku dalam semua lapisan masyarakat. Ini juga berlaku dalam keluarga. Ramai mahu disayangi tetapi kurang mahu memikul tanggungjawab. Ada yang menganggap akad nikah sekadar lafaz, sedangkan ia sebenarnya janji besar di sisi Allah untuk menjaga, memimpin dan membina. Ketika di pejabat atau dalam organisasi pula, ramai mahu dihargai tetapi sedikit yang mahu membantu ketika susah. Ramai mahu jawatan tetapi tidak mahu memikul amanah. Ada yang pandai bercakap tentang perjuangan, tetapi gagal menjaga disiplin kecil yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah gerakan. Sedangkan Islam membina masyarakat melalui manusia yang boleh dipercayai kerana itu Allah menyambung dalam ayat kedua, “Dan hendaklah kamu bertolong-menolong dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.”

Ayat ini sebenarnya sangat besar dalam pembinaan masyarakat. Allah tidak menyuruh manusia menjadi baik seorang diri. Tetapi Allah mengajar supaya manusia membina budaya saling menguatkan menuju kebaikan. Hari ini manusia saling mempengaruhi antara satu sama lain. Persoalannya ialah, adakah kita sedang menarik manusia mendekati Allah atau menjauh daripada-Nya?

Lihat sahaja realiti media sosial hari ini. Budaya mengejek lebih cepat viral daripada budaya membantu. Konten memalukan orang lebih mendapat perhatian daripada konten membina jiwa. Manusia lebih mudah berkongsi kebencian daripada menyebarkan harapan. Akhirnya masyarakat menjadi letih emosi. Hubungan menjadi keras. Kepercayaan semakin hilang. Sedangkan Islam mengajar budaya ta‘awun, saling membantu dalam kebaikan dan takwa.

Bayangkan jika budaya ini benar-benar hidup. Pekerja membantu memudahkan urusan orang lain, pemimpin memikul amanah dengan jujur, keluarga saling menguatkan menuju Allah dan masyarakat berlumba memudahkan, bukan menyusahkan. Mungkin banyak krisis hari ini akan berkurang. Menariknya, ayat ini juga turun dalam suasana umat Islam pernah disakiti dan dihalang memasuki Masjidil Haram. Namun Allah tetap berfirman, “Jangan kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu melampaui batas.”

Ini luar biasa. Islam tidak membenarkan kebencian menghapuskan prinsip. Hari ini kita melihat dunia semakin mudah dipenuhi budaya marah, menyerang dan menghukum. Perbezaan pandangan berubah menjadi permusuhan. Media sosial menjadi gelanggang dendam dan penghinaan. Tetapi Al-Quran mendidik manusia supaya tetap menjaga akhlak walaupun terhadap orang yang dibenci kerana Islam bukan agama dendam. Islam ialah agama yang membina manusia berprinsip.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah dimulakan dengan amanah, disiplin, menjaga janji dan saling membantu dalam takwa kerana Allah tahu, apabila amanah runtuh, seluruh masyarakat akan mula runtuh perlahan-lahan dan mungkin tadabbur paling dalam daripada ayat ini ialah kadang-kadang manusia terlalu sibuk mencari siapa yang boleh dipercayai, tetapi lupa bertanya, “Adakah aku sendiri sudah menjadi manusia yang boleh dipercayai?”

Saturday, May 16, 2026

Harta yang Menyatukan atau Memecahkan Keluarga: Tadabbur Penutup Surah An-Nisa’



Ada sesuatu yang sangat menarik tentang bagaimana Surah An-Nisa’ ditutup. Selepas Allah berbicara tentang iman, keadilan, amanah, hak wanita, anak yatim, peperangan, munafik dan akhlak manusia, surah ini akhirnya ditamatkan dengan satu perbincangan yang sangat duniawi iaitu soal pembahagian harta pusaka. Sesuai pula masanya dalam tempoh 2 bulan kebelakangan ini, saya dikhabarkan dengan berita kematian kenalan, guru, murabbi dan saudar-saudara terdekat menjadikan ayat ini sangat penting untuk dimuhasabahkan.

Pada pandangan biasa, ia mungkin sekadar hukum faraid. Sekadar angka dan bahagian. Tetapi semakin lama direnung, semakin terasa bahawa penutup ini sebenarnya sangat mendalam. Seolah-olah Allah sedang membawa manusia kembali kepada satu hakikat yang sangat dekat dengan kehidupan diman manusia boleh nampak baik dalam banyak perkara, tetapi hati mereka benar-benar diuji apabila melibatkan harta.

Ayat terakhir Surah An-Nisa’ berbicara tentang “kalalah”. Iaitu seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak dan ayah, lalu Allah menjelaskan bagaimana pembahagian harta perlu dilakukan dan yang menariknya, ayat itu diakhiri dengan satu peringatan iaitu, “Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu tidak sesat…” Maka, di sinilah hati saya mula tersentuh kerana rupa-rupanya, manusia bukan hanya boleh sesat dalam akidah atau ibadah. Manusia juga boleh sesat dalam urusan harta bahkan mungkin itulah yang paling dekat dengan realiti kehidupan kita hari ini.

Tafsir Al-Azhar, karangan Hamka menjelaskan, ayat ini bukan sekadar hukum teknikal. Beliau melihatnya sebagai penutup simbolik kepada seluruh Surah An-Nisa’. Surah yang banyak berbicara tentang hak dan keadilan akhirnya ditutup dengan pembahagian pusaka kerana di situlah sering berlaku keruntuhan hubungan manusia. Kadang-kadang semasa ibu bapa masih hidup, adik-beradik boleh ketawa bersama. Boleh duduk semeja. Boleh saling membantu. Tetapi selepas kematian berlaku, sesuatu mula berubah. Harta membuka sisi hati manusia yang selama ini tersembunyi.

Selam aini yang dipendam mula keluar, ketidakpuasan hati mula bersuara, ada yang terasa lebih layak pula mula menuntut dan perlahan-lahan, pusaka bukan lagi tentang harta. Ia menjadi soal ego, rasa dihargai, luka lama bahkan soal siapa lebih disayangi. Lalu keluarga yang pernah rapat mula renggang hanya kerana sesuatu yang akhirnya tidak akan dibawa ke kubur pun.

Mungkin inilah sebab Hamka sangat menekankan bahawa faraid bukan sekadar sistem pembahagian. Ia adalah rahmat Allah untuk menyelamatkan manusia daripada kezaliman diri sendiri kerana apabila manusia dibiarkan menentukan semuanya berdasarkan emosi dan kepentingan, yang kuat akan mengambil lebih, yang lemah akan dipinggirkan dan kasih sayang akan dikorbankan demi angka. Sedangkan Allah mengetahui bahawa harta bukan sekadar nikmat. Harta adalah ujian. Ujian terbesar harta bukan ketika kita mencarinya tetapi ketika kita terpaksa melepaskannya.

Ada sesuatu yang sangat menyentuh apabila kita renungkan hakikat pusaka. Sepanjang hidup, manusia bekerja keras mengumpul sesuatu yang akhirnya akan berpindah kepada orang lain. Rumah yang dibina, tanah yang dijaga, simpanan yang dikumpul bertahun-tahun, semuanya akan tinggal dan ketika itu, yang menentukan nilai sebenar harta itu bukan lagi jumlahnya tetapi adakah ia menjadi sebab pahala atau dosa? Adakah ia menyatukan atau memecahkan keluarga? Adakah ia meninggalkan doa atau permusuhan?

Semu aitu kerana ada harta yang sedikit tetapi penuh keberkatan, lalu keluarga tetap Bersatu dan ada juga harta yang banyak, tetapi menjadi api yang membakar hubungan sesama darah daging. Mungkin sebab itu Al-Quran tidak menamatkan Surah An-Nisa’ dengan kisah kemenangan besar atau ibadah yang luar biasa. Allah menutupnya dengan isu yang sangat manusiawi iaitu pembahagian hak selepas kematian.

Seolah-olah Allah sedang mengingatkan bahawa ukuran iman bukan hanya ketika kita hidup, tetapi juga pada apa yang kita tinggalkan selepas kita mati. Adakah kita meninggalkan keadilan? Atau meninggalkan pergaduhan? Adakah kita meninggalkan keberkatan? Atau meninggalkan luka dalam keluarga? Pada saya, muhasabah paling jujur daripada penutup Surah An-Nisa’ ini ialah jika suatu hari nanti kita pergi meninggalkan dunia, apakah harta yang kita tinggalkan akan menjadi jalan mudah untuk kita di akhirat atau menjadi sebab manusia saling bermusuhan selepas pemergian kita? Pada akhirnya, harta itu tidak pernah benar-benar milik kita. Ia hanyalah amanah sementara yang akan menjadi saksi tentang siapa kita sebenarnya.

Tuesday, May 12, 2026

Tadabbur Surah An-Nisa’ 171–175: Apabila Iman Menjadi Cahaya, Bukan Sekadar Kepercayaan



Ada satu kesilapan yang manusia sering lakukan dalam beragama. Bukan kerana tidak beriman. Tetapi kerana terlalu jauh melampaui batas atau terlalu longgar hingga hilang arah. Ayat 171 hingga 175 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu titik yang sangat penting dalam perjalanan iman. Titik di mana Allah bukan sekadar membetulkan kepercayaan, tetapi membetulkan cara manusia memahami agama itu sendiri.

Apabila Allah menyeru Ahli Kitab supaya tidak melampaui batas dalam agama, ia memang jelas merujuk kepada kepercayaan trinity dalam Kristian. Seperti yang dapat kita fahami, ayat ini adalah penegasan bahawa Nabi Isa hanyalah seorang rasul, bukan Tuhan, bukan sebahagian daripada Tuhan. Tauhid itu bersih dan tidak bercampur. Tetapi jika kita berhenti di situ, kita mungkin terlepas sesuatu yang lebih halus.

Masalah sebenar yang Allah sebut bukan sekadar kesalahan akidah. Masalahnya ialah ghuluw atau melampaui batas dalam agama. Ia bermula bukan dengan penolakan, tetapi dengan keterlaluan dalam cinta dan penghormatan. Nabi Isa diangkat terlalu tinggi sehingga keluar dari batas kemanusiaan dan di sinilah ayat ini menjadi sangat dekat dengan kita kerana ghuluw bukan hanya milik agama lain. Ia boleh hadir dalam bentuk yang lebih lembut dalam kehidupan kita. Apabila kita terlalu mengagungkan manusia, terlalu bergantung kepada makhluk atau meletakkan sesuatu dalam hati kita sehingga ia mengatasi Allah, pada saat itu, kita sedang melangkah ke arah yang sama, walaupun bentuknya berbeza. Tauhid bukan sekadar menyebut Allah itu satu. Tauhid adalah memastikan tiada apa pun dalam hati kita yang mengambil tempat-Nya.

Kemudian ayat ini membawa kita kepada satu realiti yang sangat menusuk ego manusia. Allah menyebutkan bahawa Nabi Isa sendiri tidak pernah berasa hina untuk menjadi hamba Allah. Bahkan para malaikat yang dekat dengan-Nya juga tidak berasa rendah. Ini sangat bertentangan dengan jiwa manusia hari ini. Kita tidak mahu menjadi hamba. Kita mahu bebas. Kita mahu menentukan sendiri jalan hidup. Tetapi ayat ini seolah-olah membisik satu kebenaran yang sering kita lupakan iaitu kehinaan bukan pada tunduk kepada Allah sebaliknya kehinaan sebenar adalah apabila kita terlalu sombong untuk sujud. Apa yang kita anggap kebebasan, kadang-kadang sebenarnya hanyalah bentuk lain dari perhambaan. Perhambaan kepada nafsu, kepada dunia, kepada manusia.

Apabila ayat seterusnya membezakan antara orang yang beriman dan orang yang sombong, kita mula melihat bahawa isu sebenar bukan pada amal semata-mata. Ia pada sikap hati. Seorang yang beriman itu tunduk. Dia menerima. Dia tidak berasa dirinya lebih besar daripada kebenaran dan kerana itu, Allah bukan sahaja memberi pahala, tetapi menambah kurnia. Sebaliknya, orang yang sombong bukan sekadar tidak beriman. Dia menolak kerana berasa dirinya tidak perlu tunduk dan di situlah bermulanya kejatuhan.

Kemudian datang satu ayat yang sangat indah dan sangat mendalam. Allah menyebutkan bahawa telah datang kepada manusia bukti yang nyata dan cahaya yang terang. Seperti yang telah kita fahami, bukti itu sudah ada. Tidak lagi tersembunyi. Tidak lagi samar. Tetapi ayat ini tidak berhenti pada bukti sahaja bahkan ia menyebut cahaya. Ini bermakna Islam bukan sekadar benar dari sudut hujah bahkan ia juga menerangi dari sudut jiwa. Al-Qur’an bukan hanya untuk difahami. Ia untuk menghidupkan hati. Namun di sinilah satu persoalan besar muncul, adakah kita benar-benar melihat Al-Qur’an sebagai cahaya atau sekadar bacaan yang kita ulang tanpa rasa?

Akhirnya, ayat ini membawa kita kepada satu gambaran yang sangat kuat tentang manusia yang berpegang teguh kepada Allah. Bukan sekadar percaya. Bukan sekadar tahu. Tetapi berpegang seperti seseorang yang berada di tengah lautan, yang hanya mampu selamat jika dia berpaut kuat kepada sesuatu yang kukuh. Hidup ini penuh tarikan. Dunia menarik. Nafsu menarik. Tekanan menarik dan tanpa pegangan yang kuat, manusia akan hanyut walaupun dia tahu arah yang benar.

Ayat-ayat ini sebenarnya membawa kita kepada satu muhasabah yang sangat jujur. Adakah kita benar-benar menjaga tauhid dalam hati kita atau kita masih meletakkan sesuatu yang lain sebagai sandaran utama? Adakah kita bangga menjadi hamba Allah atau kita masih melihatnya sebagai satu beban? Adakah kita melihat Al-Qur’an sebagai cahaya yang membimbing hidup kita atau sekadar kewajipan yang kita selesaikan?

Paling penting adakah kita benar-benar berpegang kepada Allah atau kita hanya tahu tentang-Nya tetapi tidak berpaut kepada-Nya? Ini adalah kerana akhirnya, iman bukan sekadar apa yang kita percaya. Iman adalah apa yang kita pegang ketika hidup mula menarik kita ke arah yang lain.

Saturday, May 9, 2026

Tadabbur Surah An-Nisa’ 163–170: Tiada Lagi Alasan Apabila Kebenaran Sudah Sampai



Ada satu perkara yang sering kita fikir kita ada tetapi sebenarnya kita sudah kehilangannya iaitu alasan. Kita rasa kita masih boleh berkata, “aku belum tahu,” atau “aku belum bersedia,” atau “aku belum sampai tahap itu.”

Tetapi ayat 163 hingga 170 Surah An-Nisa’ datang dengan satu penegasan yang sangat jelas bahawa kebenaran ini bukan sesuatu yang baru dan manusia sebenarnya tidak lagi mempunyai alasan untuk berpaling daripadanya. Apabila Allah menyebut bahawa wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana diturunkan kepada para nabi sebelum ini, daripada Nuh, Ibrahim, sehingga kepada Musa dan Isa, ia bukan sekadar senarai nama. Ia adalah satu penegasan yang sangat dalam bahawa risalah ini adalah satu kesinambungan.

Agama ini bukan sesuatu yang asing. Ia bukan sesuatu yang baru dicipta. Ia adalah jalan yang sama yang telah dibawa sejak awal manusia dan mungkin di sinilah jawapan kepada persoalan kita, mengapa perlu penegasan ini?

Ia adalah kerana ada manusia yang menolak bukan kerana tidak kenal konsep wahyu, tetapi kerana tidak mahu menerima kebenaran yang datang melalui Rasul terakhir. Maka Allah mengingatkan, ini bukan mesej baru, ini adalah sambungan kepada kebenaran yang kamu sudah kenal. Kemudian ayat 165 membawa kita kepada satu titik yang sangat penting dalam memahami peranan para rasul. Mereka bukan sekadar pembawa berita. Mereka adalah penutup hujah manusia terhadap Allah.

Tanpa mereka, manusia boleh berkata, “Aku tidak tahu.”, “Aku tidak pernah diberitahu.” Tetapi selepas wahyu sampai, selepas kebenaran dijelaskan, selepas jalan ditunjukkan, semua alasan itu gugur, maka di sinilah kitab oleh fahami bahawa para rasul adalah penyelamat menjadi sangat bermakna. Mereka menyelamatkan manusia bukan sekadar dari kesesatan, tetapi dari hidup dalam kegelapan tanpa arah. Mereka membuka jalan keluar daripada zon lupa Tuhan yang begitu mudah menelan manusia. Namun pada masa yang sama, mereka juga menjadikan manusia bertanggungjawab kerana setelah kebenaran sampai, yang tinggal bukan lagi persoalan tahu atau tidak tahu tetapi yang tinggal hanyalah mahu tunduk atau tidak.

Apabila ayat-ayat ini menyebut tentang golongan yang kufur dan mereka yang menghalang manusia dari jalan Allah, kita mula melihat satu gambaran yang lebih jelas. Kufur dalam Al-Qur’an bukan sekadar tidak percaya. Ia adalah tindakan menutup kebenaran walaupun kebenaran itu sudah jelas di hadapan dan lebih berat lagi ialah golongan yang bukan sahaja menolak, tetapi menjadi penghalang kepada orang lain. Mereka bukan sekadar tersesat, tetapi membawa orang lain ke arah yang sama.

Kita berada dalam dunia hari ini, bentuknya mungkin tidak kelihatan sama. Ia mungkin hadir dalam bentuk kata-kata yang meremehkan agama, dalam budaya yang menormalisasikan dosa atau dalam sikap yang menjadikan kebenaran kelihatan janggal. Tanpa sedar, manusia bukan sahaja menjauh dari Allah, tetapi menarik orang lain bersama dan mungkin di sinilah kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sekadar menjaga diri atau kita juga mempengaruhi orang lain tanpa sedar?

Namun yang paling menyentuh ialah cara Allah menutup bahagian ini. Selepas semua penjelasan, selepas semua hujah, Allah tidak memaksa. Allah hanya berfirman, “Berimanlah, itu lebih baik bagi kamu.” Seolah-olah Allah mengingatkan bahawa iman itu bukan untuk-Nya. Allah tidak memerlukan keimanan manusia. Dia memiliki langit dan bumi, dengan atau tanpa kita. Sebaliknya, iman itu adalah untuk kita, untuk menyelamatkan kita. Untuk membimbing kita dan untuk memberi makna kepada hidup kita.

Ayat-ayat ini akhirnya membawa kita kepada satu muhasabah yang sangat jujur. Kita mungkin tidak lagi boleh berkata kita tidak tahu. Kita telah membaca. Kita telah mendengar. Kita telah memahami walau sekurang-kurangnya sebahagian. Tetapi persoalannya bukan lagi tentang pengetahuan. Persoalannya ialah, adakah kita benar-benar bersedia untuk tunduk? Ada beza antara mengetahui kebenaran dan hidup dengan kebenaran. Ada beza antara mengakui dan menyerahkan diri dan mungkin di sinilah bahaya yang paling halus. Bukan menolak sepenuhnya, tetapi menerima tanpa berubah. Mendengar tanpa bertindak. Percaya tanpa menyerahkan diri.

Maka mungkin soalan paling jujur yang ayat ini tinggalkan untuk kita ialah, jika kebenaran ini sudah sampai kepada kita hari ini, jika hujah ini sudah jelas di hadapan kita, apakah lagi yang kita tunggu?