“Penuhilah segala akad…”
Ada sebab mengapa Allah membuka Surah Al-Ma’idah dengan ayat tentang amanah dan janji. Ia bukan tentang solat, bukan tentang puasa, bukan juga tentang peperangan. Tetapi tentang manusia yang mampu memegang tanggungjawab. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sangat maju. Teknologi berkembang laju. Sistem semakin moden. Organisasi semakin besar. Pendidikan semakin tinggi. Tetapi dalam diam, masyarakat sedang menghadapi satu krisis besar yang perlahan-lahan merosakkan manusia dari dalam iaitu krisis amanah.
Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 1, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad dan janji.”
Ramai menyangka akad hanya berkaitan akad nikah atau kontrak rasmi. Sedangkan dalam tafsir para ulama, maksudnya jauh lebih luas. Ia meliputi semua bentuk komitmen, tanggungjawab, janji dan amanah yang mengikat manusia. Semua itu termasuk amanah pekerjaan, amanah masa, amanah hubungan, amanah kepimpinan, amanah persahabatan bahkan amanah kecil yang manusia sering pandang remeh. Sebab itu ayat ini sangat menusuk realiti kehidupan hari ini.
Kita hidup dalam zaman manusia mudah memberi “commitment”, tetapi sukar menunaikan. Janji boleh ditangguhkan. Masa orang lain dianggap tidak penting. Hubungan dipelihara hanya ketika menguntungkan. Kerja dilakukan sekadar cukup syarat. Lebih membimbangkan apabila budaya sambil lewa mula dianggap normal. Datang lambat dianggap biasa. Tidak menepati masa mesyuarat dianggap perkara kecil. Kerja bertangguh menjadi budaya. Mesej penting dibiarkan tanpa jawapan. Tanggungjawab dilakukan sekadar minimum untuk mendapatkan gaji hujung bulan. Sedangkan semua itu sebenarnya sebahagian daripada akad.
Ramai orang kata, “Aku tak mencuri duit syarikat.” Tetapi dalam masa yang sama bekerja tanpa kesungguhan, melengahkan tugas, membiarkan orang lain menanggung beban dan tidak berlaku jujur terhadap amanah masa dan tenaga. Hakikatnya, pengkhianatan bukan hanya berlaku apabila wang dicuri. Kadang-kadang ia berlaku apabila amanah dipandang ringan. Mungkin sebab itu Allah memulakan Surah Al-Ma’idah dengan ayat ini. Seolah-olah Allah mahu memberitahu bahawa keruntuhan masyarakat bukan bermula kerana kurang pandai, tetapi kerana hilangnya integriti.
Lebih menyedihkan apabila krisis ini berlaku dalam semua lapisan masyarakat. Ini juga berlaku dalam keluarga. Ramai mahu disayangi tetapi kurang mahu memikul tanggungjawab. Ada yang menganggap akad nikah sekadar lafaz, sedangkan ia sebenarnya janji besar di sisi Allah untuk menjaga, memimpin dan membina. Ketika di pejabat atau dalam organisasi pula, ramai mahu dihargai tetapi sedikit yang mahu membantu ketika susah. Ramai mahu jawatan tetapi tidak mahu memikul amanah. Ada yang pandai bercakap tentang perjuangan, tetapi gagal menjaga disiplin kecil yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah gerakan. Sedangkan Islam membina masyarakat melalui manusia yang boleh dipercayai kerana itu Allah menyambung dalam ayat kedua, “Dan hendaklah kamu bertolong-menolong dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.”
Ayat ini sebenarnya sangat besar dalam pembinaan masyarakat. Allah tidak menyuruh manusia menjadi baik seorang diri. Tetapi Allah mengajar supaya manusia membina budaya saling menguatkan menuju kebaikan. Hari ini manusia saling mempengaruhi antara satu sama lain. Persoalannya ialah, adakah kita sedang menarik manusia mendekati Allah atau menjauh daripada-Nya?
Lihat sahaja realiti media sosial hari ini. Budaya mengejek lebih cepat viral daripada budaya membantu. Konten memalukan orang lebih mendapat perhatian daripada konten membina jiwa. Manusia lebih mudah berkongsi kebencian daripada menyebarkan harapan. Akhirnya masyarakat menjadi letih emosi. Hubungan menjadi keras. Kepercayaan semakin hilang. Sedangkan Islam mengajar budaya ta‘awun, saling membantu dalam kebaikan dan takwa.
Bayangkan jika budaya ini benar-benar hidup. Pekerja membantu memudahkan urusan orang lain, pemimpin memikul amanah dengan jujur, keluarga saling menguatkan menuju Allah dan masyarakat berlumba memudahkan, bukan menyusahkan. Mungkin banyak krisis hari ini akan berkurang. Menariknya, ayat ini juga turun dalam suasana umat Islam pernah disakiti dan dihalang memasuki Masjidil Haram. Namun Allah tetap berfirman, “Jangan kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu melampaui batas.”
Ini luar biasa. Islam tidak membenarkan kebencian menghapuskan prinsip. Hari ini kita melihat dunia semakin mudah dipenuhi budaya marah, menyerang dan menghukum. Perbezaan pandangan berubah menjadi permusuhan. Media sosial menjadi gelanggang dendam dan penghinaan. Tetapi Al-Quran mendidik manusia supaya tetap menjaga akhlak walaupun terhadap orang yang dibenci kerana Islam bukan agama dendam. Islam ialah agama yang membina manusia berprinsip.
Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah dimulakan dengan amanah, disiplin, menjaga janji dan saling membantu dalam takwa kerana Allah tahu, apabila amanah runtuh, seluruh masyarakat akan mula runtuh perlahan-lahan dan mungkin tadabbur paling dalam daripada ayat ini ialah kadang-kadang manusia terlalu sibuk mencari siapa yang boleh dipercayai, tetapi lupa bertanya, “Adakah aku sendiri sudah menjadi manusia yang boleh dipercayai?”

No comments:
Post a Comment