Monday, May 11, 2026

Bapa: Tiang Sebuah Bangsa



Ramai orang melihat seorang bapa hanya sebagai pencari nafkah. Bangun pagi, keluar bekerja, pulang lewat petang atau malam, kemudian ulang semula rutin yang sama keesokan harinya. Terlihat dari luar, hidup seorang bapa kelihatan seperti perjuangan mencari rezeki semata-mata. Tetapi hakikatnya, seorang bapa sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar pendapatan bulanan.

Seorang bapa sedang membina manusia. Tangan seorang bapalah lahirnya keberanian seorang anak lelaki dan di bawah kasih dan ketegasan seorang bapalah terbentuknya maruah seorang anak perempuan. Cara seorang bapa bercakap, marah, sabar, bekerja, melayan ibu, menghadapi masalah dan mengurus kehidupan, semuanya sedang diperhatikan, diserap dan diwarisi secara diam-diam oleh anak-anak.

Anak-anak mungkin tidak mengingati semua nasihat yang kita berikan. Tetapi mereka akan mengingati siapa kita ketika memberi nasihat itu kerana itu, tugas seorang bapa bukan sekadar menyediakan makan dan pakaian. Tugas seorang bapa adalah menjadi contoh hidup tentang apa itu tanggungjawab, amanah, pengorbanan dan kasih sayang.

Kadang-kadang seorang bapa penat. Kadang-kadang dia terasa tidak dihargai. Kadang-kadang dia memendam seribu beban tanpa mampu diceritakan kepada sesiapa. Namun dalam diam itu, ada anak yang sedang belajar tentang ketabahan, dalam kesibukan itu, ada anak yang sedang memahami erti pengorbanan dan dalam setiap langkah seorang bapa mencari rezeki halal, ada masa depan keluarga yang sedang dibina sedikit demi sedikit. Sebab itu, jangan pernah memandang kecil usaha seorang ayah.

Mungkin hari ini dia hanya memandu ke tempat kerja seperti biasa. Mungkin hari ini dia hanya berniaga kecil-kecilan. Mungkin hari ini dia hanya melakukan pekerjaan yang orang lain tidak pandang tinggi. Tetapi jika dilakukan dengan niat yang benar, setiap peluh itu sedang menulis masa depan anak-anaknya. Seorang bapa yang baik bukanlah bapa yang sempurna. Tetapi bapa yang terus berusaha menjadi lebih baik setiap hari. Bangunlah pagi ini dengan satu niat yang besar, “Aku bekerja bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk masa depan mereka.” Bangsa yang kuat lahir daripada keluarga yang kuat dan keluarga yang kuat bermula dengan seorang ayah yang tidak pernah berhenti berjuang.

No comments: