Ketika kita dalam usaha menjaga diri daripada dosa, ramai menyangka bahawa yang perlu dikawal hanyalah perbuatan. Namun Islam mendidik manusia dengan pendekatan yang jauh lebih halus. Ia bermula dari sesuatu yang sering dipandang remeh iaitu pandangan mata.
Al-Quran tidak hanya melarang zina, bahkan menutup jalan yang membawa kepadanya. Antara jalan paling awal ialah apa yang dilihat oleh mata. Sebab itu Allah memerintahkan kepada orang beriman supaya menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri. Susunan ini bukan kebetulan. Ia menunjukkan bahawa menjaga pandangan adalah benteng pertama sebelum seseorang terjatuh kepada dosa yang lebih besar.
Hakikatnya, dosa besar tidak bermula dengan tindakan besar. Ia bermula dengan sesuatu yang kecil, sekilas pandangan. Sabda Nabi SAW ada menjelaskan bahawa setiap manusia mempunyai bahagian zina masing-masing dan zina mata adalah melalui pandangan. Ini memberikan satu gambaran yang sangat jelas bahawa apa yang dilihat bukan perkara biasa. Ia meninggalkan kesan, membentuk keinginan dan menggerakkan hati ke arah sesuatu.
Apabila mata tidak dijaga, hati akan mula terikat. Apa yang pada awalnya hanya sekadar melihat, bertukar menjadi memikirkan kemudia ia berkembang menjadi keinginan dan daripada keinginan, lahirlah tindakan. Lebih halus lagi, ia juga memberi kesan kepada lisan. Seseorang yang terbiasa melihat perkara yang tidak sepatutnya akan lebih mudah berburuk sangka. Dia melihat sesuatu situasi, lalu mentafsir mengikut apa yang telah memenuhi hatinya. Maka dari situ, lahir cerita, tuduhan dan akhirnya fitnah. Inilah kaitan yang sangat dekat antara pandangan yang tidak dijaga dengan dosa seperti qazaf.
Menariknya, para ulama menjelaskan bahawa menundukkan pandangan bukan sekadar menutup mata. Ia membawa maksud mengawal, mengurangkan dan menghalang pandangan daripada terus tertumpu kepada sesuatu yang tidak halal. Bahkan, ia termasuk memalingkan pandangan dan tidak membiarkan mata menikmati sesuatu yang boleh merosakkan hati. Hari ini, dalam realiti kita, cabaran ini menjadi lebih besar. Media sosial, hiburan dan paparan visual yang tidak terbatas menjadikan mata sentiasa terdedah kepada rangsangan. Apa yang dahulu dianggap luar biasa, kini menjadi kebiasaan. Inilah yang paling berbahaya apabila hati tidak lagi merasa bersalah terhadap apa yang dilihat.
Sedangkan, pandangan yang dibiarkan berulang kali akan menjejaskan kesucian hati. Ia membuka ruang kepada bisikan syaitan, melalaikan fikiran dan akhirnya mendorong seseorang untuk melangkah lebih jauh ke arah dosa. Nabi SAW juga mengingatkan bahawa pandangan pertama yang tidak disengajakan tidak dikira dosa, tetapi pandangan kedua adalah pilihan. Inilah dia letaknya ujian sebenar sama ada seseorang memilih untuk berhenti atau terus menikmati apa yang dilihat.
Lebih mendalam daripada itu, Islam juga mengajar bahawa tidak semua pandangan adalah dilarang. Ada pandangan yang menjadi ibadah, seperti melihat sesuatu dengan penuh keinsafan atau memandang dengan tujuan yang diharuskan. Namun, pandangan yang membawa kepada syahwat, membuka aib atau merosakkan kehormatan manusia adalah sesuatu yang wajib dijauhi. Akhirnya, kita memahami satu hakikat penting iaitu menjaga pandangan dan menjaga kehormatan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Pandangan adalah pintu dan kehormatan adalah apa yang berada di dalamnya. Jika pintu tidak dijaga, apa yang di dalam pasti akan terdedah.
Maka, dalam dunia yang penuh dengan gangguan visual hari ini, menundukkan pandangan bukan lagi satu pilihan tambahan, tetapi satu keperluan. Ia adalah tanda kesedaran, kekuatan dan ketakwaan kerana setiap pandangan yang kita lepaskan tanpa kawalan, sebenarnya sedang membentuk arah hati kita sama ada menuju kepada kebaikan atau perlahan-lahan menghampiri jurang dosa.

No comments:
Post a Comment