Showing posts with label Budaya Fasilitator. Show all posts
Showing posts with label Budaya Fasilitator. Show all posts

Sunday, September 20, 2020

FASILITATOR DAN BUDAYA MUHASABAH

Kita menghadapi cabaran zaman yang begitu mencabar. Tahun 2020 yang dahulunya dinantikan untuk melihat kegemilangan Malaysia kebenarannya menghadapi cabaran getir yang berada luar dari keupayaan manusia untuk fikirkan. Kita semua sedar akan firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran ayat 54 yang bermaksud, "Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya)." Ayat ini diturunkan kerkenaan peristiwa Nabi Isa a.s. tatkala Baginda  mengajak ummatnya kepada menyembah Allah s.w.t sekaligus menjadi ancaman kepada penentangnya yang tidak mahu mengikuti dakwah Nabi Isa a.s. kepada mereka. Justeru, mereka mengatur tindakan untuk menyalib serta membunuh Nabi Isa a.s. Namun apa yang dirancangkan telah digagalkan oleh Allah dan dijelaskan dalam ayat yang berikutnya tentang Nabi Isa a.s. dimatikan oleh Allah s.w.t. dan mengangkat Baginda ke langit sehinggalah Hari Kiamat.

Muhasabah penting buat diri kita bagi menentukan sikap kita terhadap pandemik ini adalah muhasabah mengenai aqidah atau pegangan jiwa kita terhadap yang Maha Berkuasa dan Maha Menciotakan. Sambutan diri kita terhadap pandemik ini sewajarnya lebih mendekatkan diri kita bukanlah menjauhkan apatah lagi apabila kita kerap mengeluh dengan ketetapan-ketetapan yang disarankan oleh pihak berkuasa. Perkataan yang mempersoal ketentuan bukan dalam kuasa upaya manusia adalah mempersoalkan kewajaran tindakan Allah Yang Maha Memiliki segala yang ada. Keluhan yang sebaik-baiknya adalah keluhan kepda Dia Yang Maha Menentukan segalanya dan sebagai seorang pembimbing atau fasilitator, muhasabah aqidah ini penting dalam menentukan sebab tindakan serta penglibatan kita dalam sesuatu aktiviti yang dianjurkan. Perbaharukan niat dalam setiap perbuatan dan permulaan hari.

Pembaharuan niat pada perbuatan itu umpama kita berniat pada setiap permulaan ibadah kita. Muhasabah kedua yang harus dilakukan oleh para fasilitator. Muhasabah pengibadatan mereka sebagai hamba kepada Allah s.w.t. Ibadah terbahagi kepada dua iaitu umum dan khusus. Khusus sememangnya mesti diawali dengan niat maka sempurnalah rukun sesuatu ibadah itu, maka begitu jugalah dengan apa jua perbuatan kita yang lain selagi mana perbuatan itu bukan berupa maksiat dan dosa. Kebiasaan bagi seorang fasilitator, sesi 'post-mortem' kerap diperkenalkan. Inilah ruang muhasabah yang sangat baik untuk dimanfaatkan. Kita akan ditegur dan diperbaiki kelemahan atau mungkin diperbetulkan kesilapan. Bukakan diri kita untuk diperbaiki dan lakukannya dengan hati yang terbuka. Apabila kita menutup ruang ini samalah seperti kita tidak mahu melakukan muhasabah kepada ibadah kita sendiri. Secara khususnya, kita semua sedar, tidak sepatutnya, ibadah yang kita hari ini masih pada tahap amalan ketika kita berumur lima tahun. Perubahan dan penambahbaikan sewajibnya telah berlaku.

Terakhir, penting sekali untuk para fasilitator sering bermuhasabah tentang perhubungan serta tingkahlaku mereka yang memberikan akibat bersama dengan persekitaran mereka. Sudah tentu ia berkenaan dengan akhlak diri mereka. Sesungguhnya, memperbaiki diri itu jalan untuk memperbaiki bagaimana persekitaran akan memberi maklum balas kepada diri kita. Budaya muhasabah sebegini seharusnya sentiasa segar dalam jiwa dan pemikiran para fasilitator kerana mereka adalah contoh terhampir yang akan diikuti dan dicontohi oleh mereka yang dibimbingnya selain dari ibu ayah atau keluarga mereka yang terdekat. Budayakan muhasabah dalam kehidupan.

Sunday, September 13, 2020

FASILITATOR PERLU SENTIASA MENEROKA

Perkembangan diri adalah perkara utama dalam pembangunan diri apatah lagi apabila ia terkait dengan seseorang yang sering bertemu dengan masyarakat menyampaikan pesanan dan peringatan mengenai kehidupan. Konteks perbincangan kita tidak akan lari dari perspektif yang sentiasa merujuk kepada fasilitator. Pemudah cara atau fasilitator adalah mereka yang seharusnya terlebih dahulu memiliki keupayaan untuk secara berterusan melakukan penerokaan terhadap boleh dan tidak pada diri mereka. Usaha ini pasti akan membantu mereka untuk sentiasa berada pada tempat yang sesuai apabila khidmat mereka diperlukan dan sentiasa dapat menyampaikan yang terbaik kepada kelompok yang berada di hadapan mereka. Ibarat meneroka lautan biru atau langit cerah, akhirnya manusia itu akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman kerana di sebalik laut biru itu adanya lautan dalam yang gelap dan menyeramkan serta disebalik langit yang cerah itu adanya ruang yang tiada hidupan dunia yang mampu bertahan lama. Maka, pada setiap penerokaan itu pasti akan berdepan dengan rintangan yang memerlukan kekuatan dalaman diri untuk menerima hakikat akan datang.

Pada awalnya, perasaan tidak mungkin itu memang wujud dan ia digambarkan oleh pemikiran kita yang amat terbatas. Orang selalu kata macam-macam, sedangkan mereka sendiri mungkin tidak pernah melaluinya atau mereka sendiri berhenti sebelum habis melaluinya. Penerokaan harus disusuli dengan percubaan dan penilaian selepas percubaan. Pasti semua kita sedar, mencuba tidak pernah salah bahkan tidak mencubalah yang salah. Cuma, apa yang dicuba itu yang akan menjadikan kita salah jalan, maka berhati-hati juga dengan apa yang ingin dicuba. Aura positif ingin mencuba dan berani mencuba adalah pokok utama dalam penerokaan. Teroka bukan hanya untuk mengetahui apa yang tidak diketahui tetapi agenda utama selepasnya adalah untuk membuat perubahan yang lebih baik pada diri kita sendiri. Aura positif ini tidak mungkin datang hanya semata-mata dari dalam diri sendiri. Sebab itu para ulamak Islam meminta kita membuat perbandingan dunia kita dengan mereka yang jauh lebih rendah dari kita.

Tujuan utama adalah untuk mendatangkan rasa syukur kita terhadap apa yang kita miliki dan sentiasa memanfaatkan apa yang ada itu sebaiknya. Selain itu, ia juga mampu menjadi pendorong untuk kita menjadi lebih baik atas dasar keinginan kita melihat mereka yang lebih rendah itu mendapat bantuan atau sokongan dari diri kita sendiri. Aura positif ini perlu juga dihidupkan dengan sentiasa dikelilingi oleh mereka yang memilikinya dan sanggup berkongsi rasa dengan diri kita. Lingkungan kenalan ini amat berkesan dan seharusnya ini menjadi agenda penting seorang fasilitator untuk berada di dalam lingkungan insan yang sentiasa positif dalam kehidupan mereka. Mereka akan menjadi sumber inspirasi dan semangat untuk berusaha dan berbuat. Ungkapan 'jangan lihat siapa yang berkata tetapi dengarlah apa yang dikata' harus dipakai. Kita pasti tidak akan dapat mengelak dari lingkungan mereka yang sentiasa mematikan motivasi kita, kerana amat mustahil kehidupan manis semuanya. Apatah lagi, apabila kita ini berniat untuk menjadi lebih baik, ada kemungkinan besar, niat itu disebabkan oleh keadaan sekarang diri kita yang dipandu oleh persekitaran kita sekarang.

Mereka yang sentiasa melakukan penerokaan akan memiliki ciri-ciri berikut yang mungkin boleh kita jadikannya iktibar;

  1. Keinginan dan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya;
  2. Niat yang betul dalam menjalankan sesuatu;
  3. Mempunyai ilmu dan kemahiran  yang mencukupi dalam apa jua bidang;
  4. Bertanggungjawab kepada semua yang ada dipersekitarannya;
  5. Mempunyai kemahiran membuat keputusan yang tepat;
  6. Berfikir kehadapan;
  7. Bijak berhubung dengan manusia;
  8. Sentiasa menjaga kualiti kehidupan khususnya kualiti hubungan dengan yang Maha Pencipta;
  9. Sentiasa menilai tindakan dan amalan waspada yang tinggi serta;
  10. Bersyukur dengan segala nikmat yang ada.

Individu yang sentiasa ada cita-cita atau keinginan itu mempunyai dorongan yang kuat untuk sentiasa membuat penerokaan untuk kejayaan diri yang lebih besar. Namun, niat kita bukanlah mengejar kemasyhuran, sebaliknya menambah ilmu dan kemahiran agar kejayaan itu mampu untuk kita laksanakan tanggungjawab kita terhadap kelompok di sekitar kita. Malahan, rasa tanggungjawab ini kebiasaannya timbul akibat dari pemikiran yang terkehadapan yang sentiasa memikirkan baik buruknya tindakan hari ini sekaligus memaksa kita untuk sentiasa berusaha mencari keputusan yang tepat demi masa hadapan. Istikharah kita untuk sentiasa membuat pilihan yang baik sesama manusia serta tidak menjejaskan kualiti hubungan dengan yang Maha Esa.


Sunday, September 6, 2020

KOMITMEN DAN KERJA PERUBAHAN

Fasilitator berkait rapat dengan kerja perubahan. Sama ada perubahan itu diminta atau dihajatkan atau kita sendiri yang ingin mewujudkan perubahan itu kepada sesuatu kelompok atau kumpulan manusia. Sebagai contoh seorang fasilitator yang hadir ke sekolah untuk membantu melakukan perubahan murid seperti yang diminta oleh pihak sekolah dan ada kemungkinan juga permintaan perubahan itu datang dari individu tertentu itu sendiri kepada fasilitator. Kerja perubahan ini perlukan kemahiran dan memahami beberapa bentuk usaha yang boleh dilakukan untuk kita mampu meletakkan komitmen terhadapnya. Melakukan sesuatu dalam keadaan kita tidak tahu sebenarnya akan cepat memenatkan dan mudah berputus asa. Akhirnya kita memilih untuk tidak melakukannya atau tidak memikirkannya. Sudah pasti kesannya bukan untuk kita dalam jangka masa pendek hari ini. Tetapi itu bukan jaminan mengatakan ia tidak meninggalkan kesan kepada saya esok, lusa, seminggu, dua minggu atau bertahun-tahun akan datang.

Beberapa teori umum yang mungkin kita dapat senaraikan di sini. Fokus utama kita adalah kerja perubahan pada diri sendiri. Komitmen paling tinggi pada manusia akahir zaman adalah untuk berperang dengan nafsu yang ada di dalam diri. Oleh sebab yang demikian, memahami pelbagai teori bukan satu jaminan kejayaan perubahan tetapi adalah langkah awal sebelum kita berjaya dan harus kita fahami bersama, perubahan adalah proses ia tidak boleh dimuktamadkan. Pertama yang wajib kita fahami  adalah berkenaan  dengan keberkesanan diri atau self-efficacy. Apa sahaja yang menjadi kesan kepada seseorang berdasarkan kemampuan dirinya menghadapi atau melakukan sesuatu tugas yang mencabar. Ia didasari oleh pengalaman kejayaan diri pada perkara yang sama sebelumnya, situasi fisiolaginya juga faktor pujukan dari persekitarannya. Keberkesanan diri merupakan ramalan berapa banyak usaha yang diambil individu tersebut untuk istiqamah kepada perubahannya. Harus diketahui, keberkesanan diri merupakan elemen penting dalam banyak teori-teori yang dibincangkan.

Pada tahun 1985, beliau meneruskan kajian terhadap teori tindakan beralasan, sehingga merumuskan teori tingkah laku terancang (theory of planned behaviour). Teori ini memperkukuhkan fungsi niat dalam memberikan kesan kepada perbuatan seseorang dengan tujuan untuk memadamkan situasi apabila individu itu gagal mengendalikan semua faktor yang mempengaruhi kesan sesuatu perbuatan. Kesannya, teori ini menjelaskan kesan perbuatan itu adalah sama dengan keupayaan individu itu mengawal perbuatan dan kekuatan niat perbuatan tersebut. Beliau menulis, "Hipotesis lebih lanjut bahawa keberkesanan diri adalah penting dalam menentukan kekuatan niat individu untuk melakukan tingkah laku."

Teori tindakan beralasan (theory of reason action) diperkenalkan pada tahun 2010 oleh Fishbein dan Ajzen beranggapan, manusia itu akan berfikir tentang kesan perbuatan sebelum melakukannya. Ini menyebabkan, apa sahaja yang menjadi niat perbuatannya itu menjadi penentu kepada perbuatan dan perubahanan perbuatannya. Menurut Icek Ajzen, seorang psikologis kelahiran Poland, "Niat berkembang dari persepsi seseorang individu terhadap tingkah laku sebagai positif atau negatif bersama dengan tanggapan individu mengenai cara masyarakat mereka melihat tingkah laku yang sama." Oleh yang demikian, sikap diri dan tekanan persekitaran membentuk niat yang menjadi keutamaan memberikan prestasi tingkah laku dan akibatnya perubahan tingkah laku.

Perbincangan terakhir kita menjurus kepada model transtheoretical atau perubahan tingkah laku, juga dikenali sebagai tahap perubahan model. Model ini menjelaskan terdapat lima peringkat menuju perubahan tingkah laku. Lima peringkat yang diperlukan untuk seseorang itu berubah sepenuhnya. Ia melibatkan peringkat pra-kontemplasi, peringkat perenungan atau mhasabah, peringkat persiapan, peringkat tindakan, dan peringkat pemeliharaan. Sebelum lima peringkat ini ia diawali dengan peringkat pra-pertimbangan. Pada peringkat ini seseorang secara sedar atau tidak gejala masalah tetapi tidak pernah terfikir untuk mengubahnya. Kemudian dari peringkat pra-kontemplasi hingga perenungan, mereka akan mula berfikir melakukan perubahan tertentu. Semasa peringkat persiapan, mereka akan mula merancang untuk perubahan yang ingin dibuat, dan semasa diperingkat tindakan, mereka mula menampakkan perubahan secara perlahan dan konsisten. Akhirnya mereka akan melangkah ke peringkat pemeliharaan setelah mereka menunjukkan tingkah laku baru secara konsisten selama lebih dari enam bulan. Perkara yang menjadi kerisauan dalam teori ini adalah mudahnya mereka masuk ke peringkat pemeliharaan dan kemudian kembali ke tahap yang lebih awal. Antara sebabnya adalah kerana faktor luaran seperti cuaca atau perubahan musim, juga permasalahan peribadi yang timbul dalam kehidupan mereka.

Thursday, June 11, 2020

RABBI ZIDNI 'ILMA

Doa adalah senjata mukmin. Janganlah kita tinggalkan berdoa kepada Allah s.w.t.. Doa adalah sebahagian dari pencirian kehambaan kepada yang memiliki hamba itu. Doa tidak pernah sukar melainkan mereka yang mempunyai kesombongan di dalam hati walaupun sedikit. Doa bukan semestinya selepas solat, bahkan berdoalah pada setiap masa khususnya apabila kita diberi ingat oleh Allah s.w.t.. Doa adalah satu permintaan yang ditunggu-tunggu Allah s.w.t.. daripada hamba-hambanya. Hanya sahaja, sifat kita yang terlalu bersahaja dalam berdoa menyebabkan doa kita dilambatkan bukan tidak diizinkan. Ia belum diizinkan. Sebab itu kita seharusnya berdoa setiap masa tidak kira dalam situasi yang bagaimanapun. Saya ingin kongsikan antara doa yang sangat cantik untuk kita amalkan bersama, doa yang berkaitan dengan pertambahan ilmu kita. Ilmu adalah milik Allah dan Dialah yang sebenarnya yang memberikan faham itu bukan kita. Lidah kita hanyalah alat penyampai sahaja kepada mereka ang mendengar. Doanya dari surah Taha ayat 114 yang bermaksud;

"Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"."

Dari Sahih Bukhari jilid 1 nombor 71 juga dicatatkan oleh At-Tirmizi dan di dalam musnad Ahmad, dijelaskan bahawa "Jika Allah inginkan sesuatu kepada seseorang, Dia akan berikannya kefahaman mengenai agama ini." Kefahaman itu adalah milik Allah s.w.t.. DIA yang berkuasa memberikan kefahaman-kefahaman itu kepada manusia, kerana itu, satu perkara yang dipandang oleh sepuluh orang boleh memberikan makna yang berbeza-beza untuk mereka. Firman Allah di dalam surah Al-Faatir ayat 28 yang bermaksud;

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."

Ibnu Taimiyah pernah berpesan agar kita manusia ini sentiasalah mencari ilmu kerana ia adalah suatu ibadah kepada Allah. Memiliki ilmu akan mejadikan kita semakin takut kepada Nya dan mencarinya adalah jihad. Manakala mengajarkannya kepada yang tidak tahu adalah sedekah, mengulangkaji dan terus mempelajari sesuatu adalah tasbih. Melalui ilmu Allah s.w.t. akan berupaya kita kenali dan ketahui dan berterusan memperhambakan diri kepada Nya dan kerana ilmu Allah s.w.t. akan mengangkat darjat manusia dan menjadikan mereka pemimpin serta imam yang akan memberikan panduan kepada orang lain. Ini secara tidak langsung menjelaskan akan kepentingan ilmu serta bagaimana kelebihan bagi mereka yang sentiasa mengutamakan ilmu dalam kehidupan mereka.

Sabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ati-Tirmizi bermaksud, "Barangsiapa yang menelusuri jalan pencarian ilmu Islam, Allah akan mudahkan jalannya untuk ke syurga. Para malaikan akan merendahkan sayap-sayap mereka, mengalu-alukan mereka yang mencari ilmu dan semua yang berada di dalam syurga dan muka bumi akan memohon ampun bagi manusia yang berpengetahuan, termasuk ikan yang berada di lautan yang paling dalam, akan memohon ampun untuk mereka."

"Barangsiapa kematian menjemputnya sedangkan dia sedang dalam usaha mendapatkan ilmu dengan pandangan untuk menyebarkan Islam dengannya, akan diangkat satu darjat antara dirinya dengan baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam di syurga kelak." (Hadis riwayat At-Tirmizi yang disampaikan oleh Al-Hasan Al-Basri). Keutamaan mereka yang sentiasa menambahkan dirinya dengan ilmu merupakan satu kemuliaan disisi Allah s.w.t. dengan niat untuk memperbaiki diri serta amalannya terhadap Tuhan yang menciptakannya. Maka tidak hairanlah, apabila kita dapat melihat ada dikalangan manusia yang diberikan pengetahuan agama yang baik, namun akhlaknya tidak seperti yang digambarkan oleh Islam itu sendiri. Perbetulkan niat kita dalam menuntut ilmu khususnya para pelajar. Kefahaman sesuatu ilmu tidak datang dari guru yang mengajar sebaliknya datang dari Allah s.w.t.. Menyalahkan guru apabila tidak faham bukanlah sesuatu yang benar sebaliknya bermuhasabahlah, sebenarnya apakah niat kita dalam nenuntut ilmu dan bagaimana akhlak kita terhadap ilmu itu sendiri.

Friday, November 14, 2008

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik.

Apa itu fasilitator?
Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai peranan lagi. Ini menjadikan seorang fasilitator itu, perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas dalam pelbagai bidang khususnya kemahiran hidup. Fasilitator akan dipertanggungjawabkan kepada 3 perkara iaitu LDK, objektif dan simulasi.

Persoalannya, siapa dan mengapa perlu menjadi fasilitator? Tentunya fasilitator mempunyai peranan besar dalam menjalankan tanggungjawab ini.

Siapa yang perlu menjadi fasilitator?
Firman Allah dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang lahir dari kalangan insan. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah". Tidak disebutkan disini sebarang bangsa atau masyarakat yang akan memikul amanah ini. Mereka yang menjalankan 3 tanggungjawab tersebut adalah yang terbaik di sisi Allah. Adakah kita tidak mahu jadi sebahagian darinya?

Mengapa saya perlu menjadi fasilitator?
Ada beberapa sebab utama mengapa kita perlu menjadi fasilitator yang benar-benar menjadi kesan baik kepada orang lain iaitu;

Tanggungjawab dan amanah Khalifah
Tanggungjawab khalifah ini ialah memastikan keamanan dan ketenteraman wujud di atas muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita wajib memberikan terbaik agar kehidupan di dunia ini adalah bekalan untuk ke akhirat. Tanggungjawab khalifah ada 2 yang utama iaitu Hablum MinAllah (hubungan dengan Allah) dan Hablum Minannaas (hubungan dengan manusia). Berhubung dengan Allah merupakan sifat kehambaan yang tertanam di dalam sanubari kita sebagaimana firman Allah, "Tidak Aku ciptakan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Aku".

Berhubung dengan manusia pula, inilah amanah khalifah yang diberikan. Pertama ialah kerana kita telah diwajibkan menjadi Da'ie. Da'ie berasal dari perkataan arab yang membawa maksud menyeru. Firman Allah dalam Al-Quran dalam surah Al-Nahl yang bermaksud; "Serulah semua manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Kedua ialah kerana kita perlu menjadi mahasiswa yang punya idealisme. Mempunyai idealisme bermaksud memahami keperluan setempat, berusaha memenuhi disamping mempunyai visi dan misi yang jelas terhadap hidup diri serta masyarakat kita. Kita perlu tahu kenapa kita menjadi mahasiswa dan kita perlu tahu mengapa kita terlalu penting untuk masyarakat. Mahasiswa yang tidak punya idealisme merupaka mahasiswa yang mati rasa kepeduliannya terhadap masyarakat mereka.

Ketiga ialah kerana kita pelu mengukuhkan keseimbangan daya intelektual dan emosi berdasarkan kepada keadaan semasa. Hari ini lahir terlalu ramai cerdik pandai tetapi mereka tidak berupaya untuk melatih serta menyeimbangkan emosi mereka dengan keadaan semasa. Kesannya, kerajaan telah berjaya melahirkan ramai teknokrat dari bidang yang pelbagai. Mereka adalah individu mahir dengan pekerjaan masing-masing, sejak diperingkat IPT telah disogokkan dalam pemikiran, belajar untuk mencari pekerjaan. Dek kerana sibuk dengan tugasan sehinggakan mereka hidup secara bersendirian atau individualistik.

Keempat ialah kerana kita memerlukan kekuatan rohani bagi mendepani isu-isu pelbagai yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan. Kita harus ingat bahawa kehidupan kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Kita memerlukan agama dan agama tidak memerlukan kita. Kekuatan rohani inilah keupayaan yang mampu menghalang kita dari melakukan perkara-perkara terlarang dan berdosa.

Kelima pula ialah kerana kita memerlukan daya kerja aktivis yang benar-benar ikhlas untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara. Aktivis sebegini tidak ramai kerana ia kerja yang memenatkan dan tidak mendapat upah yang lumayan. Ingatlah kita kepada hadis Nabi yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam, akan terputuslah dunia daripadanya kecuali 3 iaitu doa anak yang soleh, sedekah amal jariah dan ilmu yang bermanfaat".

Ingatkanlah, kita akan meninggalkan zuriat dan generasi baru akan datang. Jika mereka tidak disediakan maka, siapa pula akan menyediakan mereka? Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi. Jadilah generasi yang terbaik, sentiasa mengajak kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Moga-moga, keimanan kita bertambah dan percayalah bahawa Allah pasti bersama orang-orang yang benar.