Showing posts with label Syawal. Show all posts
Showing posts with label Syawal. Show all posts

Saturday, May 23, 2020

SYAWAL 1441H DAN COVID-19 (PUISI: SYAWAL 1441)


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Lailahaillallahuwallahuakbar
Allahu akbar walillahilhamd.

Terdengar sorakan kegembiraan anak-anak dengan sibuk di pagi hari raya membuat persiapan juadah sebelum keluar dari rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan surau. Suasana yang amat mengharukan apabila sanak saudara saling bersalaman dan bermaafan sebagaimana kebiasaannya adat kemelayuan dalam menyambut kemenangan peperangan melawan hawa nafsu di dalam diri setiap insan sepanjang Ramadhan. Takbir pun bergema disetiap corong pembesar suara masjid dan surau meraikan kemenangan yang indah sebagaimana kebahagiaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk umat Islam yang berpuasa. Ada juga dikalangan kita yang akan terkenang kepada sanak saudara yang sudah tidak dapat bersama kerana lebih dahulu dijemput Ilahi atas kasih dan sayang Nya. Berbondong-bondonglah umat pergi ke kuburan menziarahi sanak saudara yang hanya tinggal kenangan dan batu nisan. Al-Fatihah dan tahlil dibacakan dan mendoakan agar mereka sejahtera berada di sana.

Takbir bergema seronok tak terkata
Anak-anak riang gembira
Puasa sudah tiada
Ibu ayah ceria melihat anak-anak bersuka ria
Pakaian baru, rumah aturan baru
Azam baru baiki diri yang selalu keliru
Menandakan perjuangan melawan nafsu
Tidak terhenti hanya 4 minggu

Tapi itu cerita dulu-dulu
Berbeza amat sudahlah tentu
Takbir bergema tapi lebih syahdu
Ada yang menyambut tanpa ayah ibu
Tiada lagi ke masjid berpusu
Kuburan sunyi tiada yang menumpu
Rumah tiada lagi yang datang bertamu
Syawal Covid-19 yang mendapat tumpu

Tapi insan bukan ini yang kita sayu
Kerana Aidilfitri masih bertamu
Walau tersekat tiada tetamu
Doa insan tidak pernah tepu
Mohonlah keampunan atas dosa lalu
Penyebab Covid-19 datang meluru
Memberi ingat jangan tertipu
Ia peringatan buat insan beriman dan berilmu

Iya, kali ini tiada lagi kesesakan di jalan raya kerana insan yang saling kunjung-mengunjung kerana kita diarahkan untuk kekal merayakan aidilfitri hanya di rumah. Mungkin kita tidak dapat bersua muka dengan sanak saudara kita, tetapi bersamalah kita menilai semua ini dari sudut pandangan hikmah dan kebijaksanaan. Masa untuk kita muhasabah, apabila tiba syawal dahulu, mungkin syawal inilah titik noktah dari melakukan perkara yang mungkin penyebab kepada musibah ini. Duduklah di rumah, patuhilah arahan jika kita mahu meraikan Aidiladha seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika tidak, kita akan terus berada di rumah sehingga tiada peluang mungkin untuk kita melakukan kerja-kerja korban apabila tiba waktunya. Janganlah sekali-kali kita mencabar tentera Allah ini kerana DIA sedang memberitahu kita, ikutlah arahan, taatilah perintah.

Hidupkanlah syawal sebagai bulan kemenangan melawan hawa nafsu dan harapnya tahun ini sambutan kita benar-benar berjaya kerana tiada rumah terbuka, tiada kenduri-kendara yang mengundang nafsu semula sehingga terlupa puasa enam di dalamnya. Pupuklah budaya berjimat cermat, tidak membazir, tidak menunjuk-nunjuk, tidak berbangga dengan keluarga sendiri, tidak mengata dan menghina sanak saudara yang kurang bernasib baik dan banyak lagi perkara tidak yang mungkin semua kita boleh fikirkan sendiri. Satu perkara yang paling kita perlu perhati dan awasi, adalah hiburan di kaca TV yang tentunya tidak henti-henti. Awasi anak kita dari gajet mereka dan berlebihan dalam hiburan ini. Lambat laun, kita akan menyesal nanti kerana, hawa nafsu pada makanan mungkin dapat diatasi, tetapi hawa nafsu kepada hiburan tidak dapat diawasi lagi.

Taqabbalallahuminna waminkum.

Thursday, August 22, 2013

KESINAMBUNGAN RAMADAN UNTUK SEBELAS BULAN YANG MENDATANG

Kita telah pun memasuki pertengahan bulan Syawal. Bulan yang dimulai dengan perayaan kemenangan umat Islam. Kemenanngan apa? Sebahagian kita berasa, nikmat yang ditahan telah dikembalikan. Sebahagian berasa kemenangan itu adalah kemenangan menahan lapar dan dahaga. Biar apa pun maksud peribadatan kita berpuasa di bulan Ramadan, yang pastinya ia adalah untuk Allah s.w.t dan kepada DIAlah kita harapkan amal itu diterima sebagai sebahagian amalan orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t di dalam Kitab Allah yang bermaksud;


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (At-Taubah 9: 111)

DIA telah membuat perjanjian jual beli dengan kita hamba-hamba Nya yang serba dhaif serta kekurangan. Jual beli yang langsung tidak membawa keuntungan buat DIA apatah lagi tidak akan mampu merugikan DIA jika kita berpaling atau tidak mahu meneruskan perjanjian atau kita tidak amanah dan pecah amanah kepada DIA dalam soal jual beli ini. Kenapa DIA ingin berjual beli dengan kita? Jawapannya pasti, kerana DIA Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Memiliki segala apa yang ada di dunia dan di akhirat. DIA tidak akan rugi bahkan dengan kasih sayang Nya, DIA terus memberikan keuntungan untuk kita. Tidakkah mahu kita berurusan dengan Nya?

Ramadan merupakan medan kita yang baru berlalu memulakan langkah untuk 11 bulan yang mendatang. Kita menyerahkan jiwa kita kepada Nya lebih pada bulan Ramadan yang lalu, kita serahkan lebih harta kita dan kita berjihad sekuat-kuatnya untuk mempertahankan keimanan, mempertahankan puasa dan berusaha untuk mendapat syurga Allah s.w.t. Allah berkata,

"...Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (At-Taubah 9: 111)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud;
"(Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (At-Taubah 9: 112)

Maka wajarlah untuk kita mengekalkan kesinambungan Ramadan itu dengan sifat-sifat yang telah Allah senaraikan, yang telah kita usaha untuk bangunkan di dalam diri kita sepanjang bulan Ramadan. Sifat 'at-taibun' yakni sifat mereka yang sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas kesalahannya di dunia. Sifat 'al-'abidun' iaitu orang yang menjadikan dirinya hamba kepada Allah dan sentiasa beribadah kerana dan kepada Allah s.w.t dalam setiap inci modal kehidupannya.

Sifat 'al-hamidun'. Sifat yang terciri pada akhlak kita seorang yang sentiasa memuji-muji dan mengagungkan kebesaran Allah s.w.t melalui apa yang diperlihatkan melalui deria mata, yang diperdengarkan melalui deria telinga dan dirasakan melalui deria rasa kita. Sifat 'as-sa ihun' yang bermaksud pengembara. Sifat yang menggalakkan kita memcirikan diri dengan sifat 'al-hamidun'. Mengembara bukan semestinya bermaksud berjalan jauh. Tetapi persiapan harian kita dengan kehidupan harian kita itu juga, sifatnya haruslah seperti pengembara. Membuat persiapan, mengambil pengjaran, iktibar dan hikmah kejadian.

Moga menjadilah kita manusia yang bersifat juga dengan sifat 'as-saajidun war raki'uun'. Sifat yang pada dirinya bukan sahaja patuh sebagai hamba, bahkan mereka amat berhati-hati dan amat teliti dalam melaksanakan tugas sebagai hamb kepada Allah s.w.t. Mereka yang sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. Sifat orang-orang yang sentiasa mengajak kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran serta sifat manusia yang menjaga batas-batas hukum Allah. Inilah sifat jelas para da'i. Menganjurkan perbuatan yang baik, mencegah niat perbuatan yang salah, menegur perbuatan yang salah, berdiri teguh mempertahankan batas-batas hukum Allah jika ia dikhianati atau dilanggari, dan istiqamah menganjur dan melakukan batas-batas hukum Allah itu jika ia ditinggalkan atau tidak diketahui. Marilah teman-teman semua, sebagai usaha mengekalkan kesinambungan Ramadan, kita cirikan diri kita dengan kecirian keimanan ini, semoga Allah tempatkan kita bersama mereka yang beriman di syurga Nya kelak.

Wednesday, August 7, 2013

RAMADAN - SYAWAL 1434H

Sayu hati apabila lidah menyebut;

"Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus." (Al-Fatihah 1: 4-5)

Pada  hari ke 29 Ramadan 1434H. Cepatnya masa berlalu. Saya hanya ada daya memohon, biarlah Ramadan kali ini memberi kesan pada jiwa diri ini. Pejam celik, sudah mengintai 1 Syawal 1434H. Apa yang saya dah lakukan sepanjang Ramadan yang lepas? Mengapa begitu pantas masa ini berlalu Ya Allah?

"Demi masa. Sesungguhnya, manusia berada dalam kerugian. Kecuali, mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Al-Asr).

Adakah saya berada di dalam kalangan mereka yang kerugian. Alhamdulillah, sempat pada tahun ini, saya melihat anak-anak berpuasa. Macam-macam karenah, macam-macam juga idea untuk memastikan mereka berpuasa. Jauh di dalam hati, usahlah aku memberatkan puasanya lebih dari solatnya. Alhamdulillah, mudah-mudahan hari ini, anak lelaki tu tamatkan Ramadan 1434H dengan berpuasa penuh buat kali pertama pada umur 7 tahun. Subhanallah, buat anak yang tidak dikelilingi dosa dan rosaknya hati mereka ini, Allah bukakan lebih luas jiwa mereka untuk menghampiri Allah s.w.t. Memenuhi perintah Allah, bagaimana dengan diri kita yang sidah dipinjamkan masa begitu lama ini?

Harapan saya, jom kita bermuhasabah, adakah amalan kita diterima dan apakah natijah selepas Ramadan ini. Berdebar-debar saya membayangkan kehidupan selepas tamat Ramadan. Rasa seolah-olah tak mahu Ramadan ini pergi. Di dalamnya, sehingga bernafas pun berpahala. Sempat ke saya jumpa Ramadan 1435H? Saya teringat tazkirah Pak Lang pada 27 Ramadan yang lalu, katanya di dalam sebuah hadith, nabi sebutkan yang ringkasnya menjelaskan, apabila masuk hampir Syawal, banyakkanlah sedekah, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, banyakkan bertasbih dan bertahlil.

Maka, teruskanlah adat-adat yang baik dalam masyarakat kita, cuma fahamilah erti perbuatan itu dengan baik. Baraan, di dalamnya terdapat sedekah tuan rumah dengan menyediakan makanan untuk tetamu, tetamu bertasbih dan bertahlil sebagai membesarkan Syawal tanda kemenangan. Jangan lupa juga untuk kita tunaikan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri, jom beramai-ramai bersolat Aidilfitri di masjid atau surau. Cuma pesan saya untuk diri sendiri, jangan pula sehingga Subuh bersendirian di rumah, setidaknya berjemaahlah di rumah. Semoga Syawal 1434H ini menjadi Syawal yang paling dirahmati jika ini yang terakhir buat kita semua insyaAllah.

Kuala Selangor,
9.36 pagi

Monday, September 3, 2012

BELAJAR DARI PETUNJUK


Kehidupan kita semakin hari semakin menegang keadaannya. Semakin sesak dan semakin memerlukan perhatian yang tinggi. Ramai yang berpandangan kehidupan hari ini amat sofistikated. Mungkin juga. Tetapi kehidupan hari ini berada dalam dunia yang serba kepantasan dan segera. Apa sahaja yang dilakukan manusia pasti akan berusaha mencari perkara yang paling ringan, mudah dan segera. Tengok sahaja contoh tol di jalanraya. Dulu saya sendiri tak pernah terfikir untuk memiliki kad 'TouchNGo', hari ini, sampai nak beli 'SMARTTag'. Bila ditanya penting sangat kah? Jawapannya, "cepat sikit", "tak payah bukak tingkap" dan pelbagai lagi.

Sedar atau tidak, inilah dunia yang kita diami hari ini. Perjalanan yang serba tangkas dan cepat ini segera memenatkan kita dalam banyak perkara. Jika dikenang kisah-kisah purba atau cerita-cerita nenek dan moyang kita, bagaimana kehidupan mereka begitu berkisar kepada kehidupan keluarga, masyarakat dan setempat mereka, ya jawapannya, mereka tidak disibukkan dengan kerja yang serba pantas seperti hari ini. Tidak mengejar masa, tiada rasa penat kerana berkejaran yang akhirnya kehidupan mereka sempurna sosial dan rohani. Bagaimana kita pada hari ini? Pulang bekerja, penat dan katillah cita-cita. Tidak ada lagi hasrat untuk berada di surau atau masjid. Kurang masa bersama keluarga dan kadangkala anak-anak rasa terabai oleh ayah dan ibu mereka.

Itulah petunjuk yang Allah s.w.t. berikan kepada kita bahawasanya, masa kita semakin singkat hari demi hari. Ramai yang tidak perasan, bahawa tubuh badan kita hari ini sudah mula menangis kerana sudah hampir masa untuk kembali kepada Allah s.w.t.. Apabila rambut beruban, maka itulah tangisannya untuk kembali, apabila badan sakit, maka itulah tangisannya untuk kembali, apabila mata rabun, telinga sudah semakin tidak dengar, maka itulah tanda mereka menangis untuk kembali.

Namun dalam kesibukan ini, kita semakin lupa dan leka akan kewajiban ini. Kita biarkan masa berlalu pergi tanpa kita hitung dan hisab apakah yang telah kita manfaatkan darinya. Aidilfitri kali ini telah membawa saya untuk bertemu dengan teman-teman serta sanak-saudara yang membuka mata dan minda saya untuk berfikir tentang manfaat diri ke atas modal yang telah Allah berikan kepada kita. Melihat anakkecil yang menangis dan merangkak, ketawa dan bergembira, saya terfikir, adakah diri ini akan mampu berjasa kepada mereka dan adakah mereka akan mendapat manfaat dari hidup saya yang juga sementara ini? Atau adakah mereka akan sengsara kerana kelekaan saya hari ini? Ya Allah, Engkaulah yang Maha Pemberi Petunjuk, jadikanlah kami ini contoh baik yang dilihat anak bangsa kami, perkataan yang baik keluar dari mulut kami untuk mereka serta ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh mereka.


Sunday, September 25, 2011

SYAWAL DAH NAK HABIS


Allahu Akbar! Syawal pun dah hampir nak pegi dah. saya terasa seperti mimpi, masa yang berjalan cepat sangat. Macam-macam yang berlaku dan mudah-mudahan dapatlah saya dan teman pembaca meneruskan dan istiqamah dalam amal semenjak dari Ramadhan lagi. Upaya kita sebagai manusia ialah untuk membuat kebaikan tetapi, janji syaitan tetap akan berusaha untuk menyesatkan kita semua.

Syawal 1432 ini banyak menguji dalam masa yang sama membuka ruang kematangan dalam hidup saya. Menjelang akhir tahun ini, umur Saya akan mencecah 30 tahun! Alhamdulillah lama hidup, tapu terasa sangat yang lebih banyak dosa dari pahala. Macam-macam isu yang berlaku sepanjang syawal ini. Dari isu daerah, negeri bahkan nasional. Namun, yang paling kita perlu perhati dan perhalusikan adalah isu aqidah umat Islam kita hari ini.

Semalam, saya berpeluang bersama ABIM Pusat, antara yang sempat saya rakamkan di dalam ingatan ini ialah tentang kejayaan umat Islam di Malaysia mendapat ranking ke sepuluh diantara negara Islam yang paling banyak berhibur. Hebat kan? Terkejut juga mendengar dengan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh semua NGO Islam dan lainnya, hasilnya semakin mendebarkan dan mencemaskan. Kenapa ye?

Saya termenung, dan banyak berfikir sepanjang Ramadhan apabila berpengalaman melalui Ramadhan antara yang tersibuk yang saya rasa pernah lalui. Apalah nak jadi kepada diri saya secara peribadi, berniat untuk berjuang diagama Allah tetapi pada masa yang sama menjauhkan diri dari Allah. Dikala kita tahu apa yang kita lakukan itu akan menjarakkan kita dengan Allah, tetapi kita buat juga perkara yang kononnya akan mengembalikan iman di dalam jiwa. Nauzubillah.

Itulah hakikatnya dan saya dapat rasakan, keikhlasan perjuangan para pendokong agama ini sudah semakin pudar keikhlasan mereka (termasuk saya sendiri) apabila mengharapkan habuan dunia dan mengharapkan cerita baik dari orang. Allah, al-wahn dah meliputi iman manusia. Dunia telah menyerap ke dalam hati dan iman semakin lari dari jiwa lara manusia. Teringat saya kepada pesanan Sayidina Ali, letakkan dunia ditapak tanganmu, jika kamu memerlukannya kamu akan ambil di jika tidak, maka kamu akan membuangnya.

Bina keikhlasan kerana dari keikhlasan akan lahir kesungguhan akan terbit kesabaran. Tunjangnya iman dan kemahuan untuk berbakti kepada agama dan generasi akan datang. Jom, kita teruskan.

Monday, September 6, 2010

PERSIAPAN AIDILFITRI (PERSIAPAN SEORANG DA’IE)


Semakin hari bertambah, semakin jauh kehidupan meninggalkan manusia dan semakin meningkat usia seorang kanak-kanak menjadi remaja, seorang belia menjadi dewasa. Ada dikalangan kita yang dijemput Allah bertemu-Nya lebih awal dari kebiasaaan mereka yang semakin tua. Allahu Akbar. Inilah sunnatullah yang harus kita redha dan mengambil pengajaran bersama.

Bersyukurlah kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih dipilih untuk menyertai sebuah program mega anjuran-Nya dalam memperbaiki jatidiri serta kehidupan yang lebih bermakna. Sebagaimana kebiasaan program-program yang dijalankan, hasilnya adalah bergantung kepada mereka yang menyertainya. Jika keikhlasan mereka untuk membuat perubahan mengatasi segalanya, nescaya dengan izin Allah, mereka akan berubah sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d ayat 11;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Marilah sama-sama kita fahami dan hayati makna ayat ini. Perubahan bukanlah sesuatu yang tertakluk hanya kepada diri kita sahaja, bahkan sebenarnya Allah punya kuasa untuk mengubah apa sahaja yang diingini-Nya, namun pilihan diberikan kepada manusia dalam menilai erti syurga dan neraka di dalam diri mereka. Penilaian antara 2 nikmat dan balasan yang Allah tentukan untuk manusia inilah yang sepatutnya menjadi kayu ukur dalam melaksanakan tugasan, amanah serta amalan harian kita. Ia juga tidak terkecuali dalam usaha meraikan 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

Sahabat-sahabat serta adik-adik yang dikasihi,

1 Syawal bakal menjelang maka tinggallah Ramadhan dengan seribu kenangan di dalamnya. Bersama Lailatul Qadr yang tidak dapat kita rasai, bersama kenikmatan berpuasa yang hanya tinggal lapar dan dahaga. Sepanjang Ramadhan, Allah telah ruangkan untuk kita peluang untuk mempertingkatkan usaha memperbaiki dan membina diri sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang sejati. Selama sebulan kita bersama telah bermujahadah, dan inilah hadiah yang Allah berikan kepada semua ummat Islam iaitu ‘AidilFitri. Maka, janganlah kita rosakkan anugerah Allah ini dengan perkara yang menjerumuskan kita ke dalam kelompok manusia yang tidak bersyukur dan lupa akan segala nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada manusia.

Apabila Syawal menjelang, usahlah pula kita lupa kepada zakat fitrah yang menjadi kewajipan bagi setiap ummat yang bergelar Muslim. Laksanakanlah ia sebelum tiba solat ‘AidilFitri supaya dapat kita bersama memperlengkapkan usaha Ramadhan kita. Pun begitu, sebagai seorang Muslim, Syawal yang menjelang ini bukanlah tempat untuk kita menjadi saudara kepada syaitan dengan menjadikan pembaziran sebagai cara kita meraikan Syawal yang penuh kegembiraan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Isra’ ayat 26 hingga 27;

(26) “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (27) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Maka, hidupkanlah hari kejayaan dan kecemerlangan bagi orang-orang yang bertaqwa ini dengan amalan yang dapat merapatkan dan memberikan makna mendalam kepada diri kita. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan adha dengan ikhlas kerana Allah s.w.t tidak akan mati hatinya sebagaimana hari dimatikan hati-hati.” (Riwayat Ibnu Majah)

Maka, marilah kita bersama pada malam 1 Syawal itu dibangunkan dengan zikir, takbir, tasbih dan tahmid membesarkan Allah s.w.t. Elakkanlah dari berhibur berlebihan serta melakukan amalan-amalan yang dapat mendatangkan mudharat dan maslahah sama ada kepada fizikal diri atau rohani kita sendiri. Sehinggalah pada pagi 1 Syawal, sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud;

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah s.a.w tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil.”

Bahkan Rasulullah juga menggalakkan dan memberikan kita contoh pada awal Syawal ini dengan memulakan solat sunat yang dikenali sebagai solat sunat ‘AidilFitri. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Dari Al-Barra' ia berkata: Aku mendengar Nabi s.a.w berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Maka, marilah kita bersama menjadikan 1 Syawal ini sebagai peluang untuk kita akhiri Ramadhan dengan cara yang paling disukai Allah s.w.t. Teruskanlah mencari keredhaan-Nya serta menjadikan sunnah Rasulullah sebagai pilihan cara hidup yang terbaik. Hidup suburkanlah tali persaudaraan serta eratkanlah hubungan yang jauh atau telah terpisah. Isilah masa dengan saling berziarah dan hadirlah ke dalam masyarakat dengan cara yang baik, dengan pakaian yang baik, berwangi-wangian serta berhiaslah diri selagi ia tidak melanggar syarak yang ditentukan Allah s.w.t dan tidak membazir.

Teruskanlah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan agar mereka dapat sama-sama merasai kegembiraan berhari raya pada 1 Syawal yang akan menjelang tiba. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 133 hingga 134;

(133) “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (134) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”




Kuala Selangor
7 September 2010 bersamaan
28 Ramadhan 1431
11.40 pagi