Showing posts with label Usrah. Show all posts
Showing posts with label Usrah. Show all posts

Thursday, June 4, 2026

Larilah Kepada Allah: Tadabbur Surah Az-Zariyat Ayat 47-50



"Maka larilah kamu menuju kepada Allah." (Az-Zariyat: 50)

Kita berada dalam kehidupan moden yang serba pantas yang menjadikan manusia sering berlari. Ada yang berlari mengejar kekayaan, jawatan, pengaruh dan pengiktirafan. Ada yang berlari daripada masalah, tekanan hidup, kegagalan dan kekecewaan. Namun Surah Az-Zariyat ayat 47 hingga 50 mengemukakan satu persoalan yang lebih mendasar, ke manakah sebenarnya arah larian kita?

Melalui empat ayat yang ringkas tetapi sarat dengan makna dalam perbincangan usrah WADAH Selangor semalam, kami difahamkan bahawa Allah SWT membawa manusia menelusuri alam semesta, merenungi fitrah penciptaan dan akhirnya mengajak mereka kembali kepada destinasi yang sebenar iaitu Allah SWT.

Allah SWT berfirman, "Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami), dan sesungguhnya Kamilah yang meluaskannya." (Az-Zariyat: 47)

Menurut Imam al-Tabari, perkataan “bi aidin” bermaksud kekuatan dan kekuasaan Allah. Langit yang terbentang luas bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi dibina oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa. Manakala perkataan “lamuusi’uun” menunjukkan keluasan dan pengembangan ciptaan Allah. Sebahagian mufassir moden melihat ayat ini selari dengan penemuan saintifik mengenai pengembangan alam semesta, namun tujuan utama ayat ini bukanlah untuk membicarakan sains semata-mata. Ia adalah seruan agar manusia melihat kebesaran Allah melalui penciptaan-Nya.

Ketika kita berada di tengah kemajuan teknologi dan pencapaian manusia hari ini, ayat ini mengingatkan bahawa sehebat mana pun kemampuan manusia, mereka tetap hidup di dalam alam yang dicipta dan ditadbir oleh Allah SWT dengan dihamparkan bumi untuk kehidupan mereka. Allah SWT meneruskan firman-Nya, "Dan bumi itu Kami hamparkan; maka sebaik-baik Yang menghamparkan ialah Kami." (Az-Zariyat: 48)

Imam al-Razi menjelaskan bahawa Allah menjadikan bumi sesuai untuk kehidupan manusia. Segala keperluan asas kehidupan disediakan seperti tanah yang subur, air yang mencukupi, udara yang sesuai dan pelbagai sumber yang membolehkan manusia hidup dan berkembang. Namun sering kali manusia terlalu sibuk mengejar apa yang belum dimiliki sehingga lupa mensyukuri apa yang telah dianugerahkan.

Ayat ini mengajarkan bahawa setiap kemudahan yang kita nikmati bukanlah hasil usaha manusia semata-mata, tetapi sebahagian daripada rahmat dan pengurusan Allah terhadap alam ini yang juga Allah ciptakan berpasangan dan itulah hakikat ketuhanan. Firman Allah seterusnya, "Dan daripada tiap-tiap sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengambil pelajaran." (Az-Zariyat: 49)

Menurut Ibn Kathir, pasangan yang dimaksudkan merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti yang semua kita maklum seperti lelaki dan perempuan, siang dan malam, matahari dan bulan, kebaikan dan keburukan atau kekuatan dan kelemahan. Segala makhluk mempunyai pasangan, pelengkap atau kebergantungan kepada sesuatu yang lain. Tetapi terdapat satu hakikat besar yang ingin ditunjukkan oleh ayat ini bahawa hanya Allah yang tidak mempunyai pasangan dan tidak memerlukan sesiapa.

Semua makhluk bersifat berhajat. Hanya Allah yang Maha Sempurna dan Maha Berdiri Sendiri, maka di sinilah letaknya asas tauhid. Semakin manusia memahami hakikat dirinya sebagai makhluk yang serba memerlukan, semakin dia menyedari bahawa tempat pergantungan yang sebenar hanyalah Allah SWT, maka datanglah seruan yang akan mengubah kehidupan.

Setelah membawa manusia melihat langit, bumi dan keajaiban ciptaan berpasangan, Allah menutup perbahasan ini dengan satu arahan yang sangat ringkas tetapi amat mendalam, "Maka larilah kamu menuju kepada Allah." (Az-Zariyat: 50)

Menurut Imam al-Tabari, maksudnya ialah, "Larilah daripada kemurkaan Allah kepada keredaan-Nya."

Ibn Kathir pula mentafsirkan, "Larilah daripada syirik kepada tauhid, daripada maksiat kepada ketaatan dan daripada azab kepada rahmat Allah."

Manakala Ibn al-Qayyim memberikan satu ungkapan yang sangat indah, "Tidak ada tempat lari daripada Allah melainkan kepada Allah."

Biasanya manusia lari daripada sesuatu yang menakutkan. Tetapi dalam hubungan dengan Allah, manusia diperintahkan untuk lari kepada Tuhan yang sama yang dia takut akan kemurkaan-Nya. Inilah hakikat taubat, pengabdian dan pergantungan kepada Allah. Inilah mungkin jawapan kepada krisis manusia moden dan keperluan kembali kepada Allah.

Hari ini manusia berhadapan dengan pelbagai krisis. Krisis keluarga, krisis identiti, krisis akhlak, krisis makna hidup dan krisis ketenangan jiwa. Walaupun kemajuan material semakin meningkat, kadar kemurungan, tekanan hidup dan keruntuhan institusi sosial juga semakin membimbangkan. Kita hidup dalam dunia yang semakin canggih tetapi semakin gelisah. Mungkin kerana ramai yang berlari ke pelbagai arah, tetapi terlupa ke mana sepatutnya mereka menuju.

Surah Az-Zariyat mengingatkan bahawa penyelesaian kepada krisis manusia bukan sekadar melalui teknologi, ekonomi atau kuasa politik. Semua itu penting, tetapi ia tidak akan menyelesaikan kekosongan jiwa. Penyelesaian asas tetap bermula dengan hubungan manusia dengan Penciptanya. Apabila hubungan dengan Allah diperbaiki, manusia akan lebih tenang menghadapi ujian, lebih adil dalam membuat keputusan dan lebih seimbang dalam menjalani kehidupan.

Susunan ayat-ayat ini sangat menarik. Allah menunjukkan kepada manusia langit yang luas, bumi yang terhampar dan sistem ciptaan yang sempurna. Kemudian Allah membuat kesimpulan yang sangat jelas, "Maka larilah kepada Allah."

Inilah mesej yang relevan sepanjang zaman. Ketika dunia semakin kompleks, larilah kepada Allah. Ketika hati semakin gelisah, larilah kepada Allah. Ketika umat berdepan pelbagai cabaran dan kekeliruan, larilah kepada Allah kerana hanya Dia tempat bergantung, tempat berharap dan tempat kembali dan sesungguhnya, larian yang paling penting dalam hidup bukanlah larian menuju dunia, tetapi larian menuju Allah SWT.

Friday, April 3, 2026

Sabar, Ribat dan Taqwa: Formula Senyap Kebangkitan Umat

 


Ini sebuah pandangan saya tentang mengapa kita kuat bertahan, tetapi lemah membina khususnya dalam dunia yang semakin bising dengan krisis ini? Tidak kiralah krisis itu melibatkan ekonomi, keluarga, identiti ataupun moral, kita akan sering bertanya mengapa umat ini masih belum bangkit sepenuhnya, walaupun ramai yang baik dan beramal?

Jawapannya mungkin tersembunyi dalam satu ayat yang sering kita dengar, tetapi jarang kita fahami secara mendalam iaitu, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaranmu (musabarah) dan tetaplah bersiap siaga (ribat) serta bertaqwalah kepada Allah agar kamu berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 200)

Ayat ini bukan sekadar seruan moral. Ia adalah formula strategik kebangkitan umat. Ia dimulakan dengan sabar yang menjadi teras ketahanan diri. Sabar sering difahami sebagai menahan diri daripada marah atau putus asa. Namun dalam kerangka Al-Quran, sabar adalah kekuatan dalaman untuk kekal di jalan yang benar walaupun berat. Sabar itu adalah lambing istiqamah dalam ibadah walaupun letih, menahan diri daripada maksiat walaupun mudah dan berterusan berbuat baik walaupun tidak dihargai.

Tetapi di sinilah hakikat yang perlu kita akui bersama bahawa sabar sahaja tidak cukup untuk membina umat. Sabar menjadikan kita kuat tetapi belum tentu menjadikan kita berkesan. Oleh itu, sabar perlu dituruti dengan musabarah atau bersabar yang berdaya saing. Apa maksudnya? Al-Quran tidak berhenti pada sabar. Ia naik satu Tingkat lagi dalam ayat “wa sabiru” (musabarah).

Ini bukan lagi sabar individu, tetapi sabar secara kolektif, strategik dan berdaya tahan lebih lama daripada cabaran yang menjadi tuntutan dalam dunia hari ini yang ideologinya bergerak pantas, budaya rosak menyerap perlahan serta pada waktu tekanan hidup makin kompleks. Maka umat tidak cukup sekadar sabar. Kita perlu lebih sabar daripada kerosakan itu sendiri. Musabarah ini menjadi kekuatan kita untuk menjaga “pos kehidupan” kita atau yang diistilahkan sebagai ribat di dalam ayat. Inilah bahagian paling kritikal dan paling kurang difahami. Ribat pada asalnya bermaksud berjaga di sempadan namun dalam konteks hari ini, ribat adalah menjaga keluarga daripada keruntuhan nilai, menjaga diri daripada hanyut dalam dunia digital, menjaga masyarakat daripada kehilangan arah bahkan menjaga dakwah daripada menjadi sekadar program.

Ribat bermaksud kita tahu di mana posisi kita dan kita tidak meninggalkannya. Maka dalam realiti semasa, krisis umat bukan kerana kurang orang baik, tetapi kerana kurang orang yang “stay in position”. Maka taqwalah yang akhir sekali menjadi neraca yang menentukan nilai amal kita. Maka diakhirnya, Allah menutup ayat ini dengan satu kunci utama iaitu taqwa. Taqwa bukan sekadar takut kepada allah tetapi kesedaran berterusan bahawa setiap amal sedang ditimbang. Apabila kita melihat dari dalam kerangka yang lebih luas, ini berkait rapat dengan konsep mizan al-‘amal (neraca amal) seperti yang ditekankan dalam wacana pemikiran Islam bahawa amal bukan dinilai pada rupa luar sahaja tetapi pada niat, kesan dan keseimbangannya Ramai yang beramal, tetapi tidak semua amal itu bernilai.

Kerisauan kita adalah krisis yang timbul dalam umat ini iaitu banyak amal tetapi amat kurang neracanya. Kita hidup dalam zaman yang unik kerana program semakin banyak, ceramah semakin meluas, kesedaran semakin tinggi namun dalam masa yang sama keluarga semakin rapuh, belia semakin hilang arah dan masyarakat semakin tertekan. Ini menimbulkan satu persoalan besar, adakah kita beramal tanpa neraca?

Apabila sabar tidak disambung dengan ribat dan ribat tidak dipandu dengan taqwa, maka amal menjadi reaktif, bukan strategik. Banyak, tetapi tidak membina. Maka, menjadi inspirasi diri agar melakukan perubahan yang kita harap perubahan itu dari individu ke tamadun dan inilah jalan yang kita gelarkan sebagai jalan kebangkitan. Ayat ini sebenarnya menyusun satu perjalanan itu. Individu harus belajar bersabar kemudian bergabung dengan jemaah dan membinalah musabarah. Kemudian diwujudkan sistem bagi menghidupkan ribat dengan jiwa yang dipandu oleh taqwa. Inilah perjalanan daripada individu baik kepada masyarakat kuat seterusnya membentuk tamadun berimbang.

Muhasabah kita adalah, kita di tahap mana hari ini? Soalan ini perlu kita tanyakan dengan jujur adakah kita sekadar sabar atau sudah sampai tahap musabarah? Adakah kita ada posisi ribat atau sekadar hadir bila lapang? Adakah amal kita ditimbang dengan taqwa atau sekadar ikut rasa? Kebangkitan umat tidak bermula dengan slogan tetapi dengan kejelasan posisi dan ketepatan neraca.

Ini adalah satu formula senyap yang menghidupkan umat dan saya titipkan sebagai penutup untuk kita bersama fikirkan. Ayat ini tidak menyuruh kita menjadi hebat secara tiba-tiba. Ia mengajar kita membina kekuatan secara bertahap bermula dari sabar yang membina jiwa, kemudian musabarah yang membina ketahanan, disusuli ribat yang membina sistem serta akhir sekali taqwa yang membina arah dan dari gabungan inilah lahir satu umat yang bukan sahaja bertahan tetapi mampu memimpin.

Friday, July 31, 2020

CATATAN PENGORBANAN DALAM DAKWAH SEMPENA AIDIL ADHA 1441H

Saya berkesempatan bersama adik-adik PEPIAS Kuala Selangor bermusafir sebuah kereta ke Usrah WAP Selangor semalam (29 Julai 2020) di Sekretariat ABIM Selangor, Petaling Jaya. Setelah lebih 3 bulan kami tidak berhimpun untuk mendengar mutiara kata indah dari sahabat-sahabat kami, semalam pertemuan pertama yang dijalankan dengan langkah amat berhati-hati telah bersama mengupas tajuk PENGORBANAN DALAM DAKWAH dengan dibarisi para panelis dari PEPIAS, saudara Anas Mohd Yusop, dari ABIM Selangor saudara Mohamed Azlan Dhajul Amin serta mewakili WADAH Selangor Ustaz Dr. Haji Ahmad Zaki Haji Abd. Latiff. Moderator perbincangan oleh saudara Firdaus Dato' Hadzir. Segala ungkapan itu saya kongsikan di sini agar menjadi panduan dan peringatan kita menyambut kehadiran hari raya Aidil Adha pada 31 Julai 2020 insyaAllah. Penghargaan saya berikan kepada Haji Shirajuddin Sirat yang berkongsi catatan ini kepada kami. Semoga kebaikan ini akan berpanjangan dan akan ada pewarisnya dalam disiplin mencatat yang amat baik ini.

Perbincangan dimulakan dengan aluan oleh moderator dan menjemput saudara Anas memulakan bicara beliau. Saudara Anas mengambil peluang mengingatkan tentang keutamaan 10 hari di awal Zulhijjah merupakan antara 10 hari terbaik dalam setahun. Ia disebabkan telah dihimpunkan padanya 3 amalan utama yang dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia iaitulah puasa, haji dan ibadah korban. Kami juga diperingatkan tentang Hari Arafah yang mana ia adalah hari berlakunya pernyataan penyempurnaan Islam itu sendiri. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah Al-Maidah ayat tiga yang diantaranya bermaksud, "... Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Peringatan ringkas dan padat kemudiannya dikongsikan oleh saudara Azlan. Pada saya, ia amat mengesankan apabila beliau mengingatkan semua kami, sesungguhnya apabila kita ditimpa masalah, sebagai manusia, perkara pertama yang dibuat mestilah mengadu kepada Allah s.w.t.. Maka, beliau berpesan, ambillah peluang iaitu manfaat berpuasa sunat pada Hari Arafah. Beliau mengungkap kisah Nabi Ibrahim a.s. yang juga merupakan anak muda yang mempunyai keberanian membinasakan segala bentuk berhala di sekeliling Kaabah dengan kapak secara taktikal dan berstrategi, itu yang menyebabkan baginda meninggalkan satu berhala yang tidak dimusnahkan dan menggantungkan kapaknya pada berhala tersebut. Lalu, apabila semakin meningkat usia Nabi Ibrahim a.s., makin tinggi hikmahnya. Beliau sentiasa berdakwah untuk mengajak manusia menyembah Allah. Beliau melakukan pengorbanan dengan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail yang masih kecil di Mekah, bumi yang tandus, atas perintah Allah s.w.t.. Kisah penyembelihan Nabi Ismail dalam sejarah kehidupan anak beranak pilihan Allah s.w.t. itu memberikan gambaran jelas mengenai kepentingan kita memanfaatkan hikmah golongan tua dan semangat orang muda dan mestilah terus digembleng secara bersama.

Ramai yang mungkin berasa terkilan tentang larangan menunaikan haji bagi mereka yang bukan bermastautin di Mekah. Sebagai makluman, menurut saudara Azlan, sejak diwajibkan ibadah haji, tahun ini merupakan kali ke-41 ibadah haji ditangguhkan atas beberapa perkara yang sememangnya pelbagai dan tidak dapat dielakkan. Saudara Azlan berpesan lagi, letakkan Allah di dalam hati kita terhadap segala tindak tanduk yang dilakukan dan sentiasalah bermuhasabah. Berterusanlah melabur untuk manfaat di Hari Kemudian kelak dengan terus menuntut ilmu dan komitmen yang tinggi dalam kerja-kerja dakwah.

Giliran Ustaz Zaki dimulakan dengan ungkapan "Allah suka orang yang berjuang di jalanNya dalam keadaan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang kukuh, saling bantu membantu." Beliau tidak menyangkal bahawa dakwah memerlukan pengorbanan yang pelbagai. Terlibat dengan dakwah kerana ianya merupakan satu sunnah yang besar yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Tidak ada seorang Nabi dan Rasul pun yang tidak berdakwah. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud, "Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung."

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?”

Pengorbanan dalam Islam itu amat luas. Hidup mati kita kerana Allah. Keseluruhan hidup kita ini perlu berkorban atas niat yang suci murni. Maka, lakukanlah pengorbanan kita ini kerana Allah, bukan kerana mahu tunjuk hebat atau menjadi hero. Ustaz Zaki berkongsi catatan beliau mengenai 'Tabaruk' iaitu satu perbuatan menyumbangkan sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Beliau menyenaraikan terdapat 10 jenis 'tabaruk' itu.
  1. Berjuang atau beri sumbagan dengan jiwa (diri).
  2. Kepimpinan yang baik.
  3. Mengorbankan waktu kerehatan tidur dan kelazatan dunia untuk melaksanakan kebaikan.
  4. Pengorbanan dengan ilmu dan menyampaikan dengan ilmu: zakat ilmu.
  5. Berjuang dengan kedudukan atau darjat/pangkat. Anugerah pangkat bolehlah diterima sekiranya dengan status tersebut, boleh dimanfaatkan agar dapat buat lebih banyak kerja kebajikan.
  6. Berjuang dengan manfaat atau khidmat badan.
  7. Menjaga kehormatan seperti bercakap benar.
  8. Berkorban dengan sifat sabar dan menanggung derita atau kesusahan.
  9. Berkorban dengan akhlak yang baik.
  10. Berkorban meninggalkan sifat terlalu bergantung kepada manusia, berdikarilah.
Namun, yang sedihnya pada hari ini, ramai yang terkorban apabila mendapat jawatan dan kuasa khususnya yang berkaitan dengan politik di dalam negara kita ini. Akhirnya, masyarakat melihat politik menjadi kotor. Hakikatnya, bukan politik itu kotor tetapi politik itu dijadikan sebagai alat atas kepentingan diri dan kelompok tertentu. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang memahami dakwah, pasti mereka memahami bahawa ia memerlukan pengorbanan. Ia adalah jihad untuk meninggalkan kelazatan yang bersifat sementara. Ada yang berkorban seperti memperuntukkan masa yang panjang dan kewangan yang tinggi demi untuk mendapat ilmu. Pesanan ustaz, sebagai ahli yang terlibat di dalam gerakan ini, jadikanlah 'tarbiyyah ruhiyyah' kita mantap bagi mencapai sesuatu itu secara berkualiti. Orang yang berjaya menahan marah dan bersabar dengan ujian yang melandanya merupakan satu pengorbanan yang besar juga. Refleksilah diri sama ada kita memang sudah benar-benar berkorban dalam hidup ini. Bermuhasabahlah. Maksud dari surah At-Taubah ayat 16 yang bermaksud, "Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahui Nya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan."

Pengakhiran usrah, saudara moderator berkongsi kisah hidupnya yang memberikan beliau satu pengajaran yang besar iaitu pengorbanan ini biasanya dapat dilaksanakan secara istiqamah apabila kita dapat merasa kemanisannya. Juga, objektif kita dalam melaksanakan sesuatu perkara itu mestilah jelas bahawa pengorbanan yang dilakukan adalah bagi mendapat redha Allah demi kebaikan kita di akhirat kelak. Di sini suka untuk saya kongsikan juga hasil catatan tambahan oleh Haji Shiraj, perbincangan beliau dengan ustaz Zaki yang tidak sempat untuk dibentangkan beliau kepada semua. Semoga ia dapat menjadi manfaat dan iktibar bersama. Ustaz Zaki menjelaskan tentang perkara-perkara yang menghalang diri kita dari melakukan pengorbanan.
  1. Lemah iman.
  2. Kecuaian dalam aspek pendidikan.
  3. Terlalu panjang cita-cita atau angan-angannya (ubati dengan banyak mengingati mati).
  4. Hati kita beralih kepada anak yang dilahirkan hingga berkurangnya pengorbanan kasih sayang kita kepada Allah. (Ubati dengan yakin kepada jaminan Allah)
  5. Fitnah perkahwinan. Sewajarnya, jadikan perkahwinan itu sebagai satu ikatan yang saling memberi semangat bagi melaksanakan amal kebajikan.
  6. Terlalu cenderung kepada dunia.
  7. Cinta kepada pelbagai keinginan yang melampau.
  8. Cinta pada harta.
  9. Hilangnya sifat qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah) dan sikah (kepercayaan).
  10. Lunturnya sifat kesungguhan dalam melakukan kebaikan dan menghindarkan kemungkaran.
  11. Pentingkan diri sendiri dengan hal-hal peribadi.
  12. Berusaha untuk mencapai tujuan keduniaan.
  13. Kelemahan mengenali realiti semasa. Ambil pengajaran dari peristiwa atau sejarah yang lepas juga.
  14. Cinta kepada nafsu. Ubati dengan qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah) dan banyakkan bersabar.
Ustaz Zaki menambah, sebagai bukti (testimoni) berlakunya pengorbanan adalah adanya kesempurnaan iman, jaminan daripada Allah akan penggantian terhadap apa yang kita infaqkan, mendapat baraqah kerana malaikat berdoa pada waktu pagi, "Ya Allah, berilah ganti apa yang diinfaqkan oleh penyumbang ini dan binasalah bagi orang yang kedekut." Suka juga untuk saya catatkan mengenai perbincangan yang berlaku, apabila ditimbulkan tentang ada dikalangan ahli keluarga kita yang tidak mahu terlibat sama di dalam gerakan ini. Sambil, berseloroh, kebanyakan senior akan merujuk kepada kisah Nabi Nuh alaihissalam. Namun maklum balas Ustaz Zaki amat mengesankan apabila beliau menjelaskan, ada benarnya kisah tentang Nabi Nuh itu, tetapi sebenarnya itulah kemanisan dakwahnya. Kita sebenarnya diperintahkan Allah untuk tidak berputus asa dalam berdakwah yang sebenarnya bukan kepada orang yang jauh dari kita pun, bahkan ahli keluarga kita yang berada di dalam rumah kita sendiri.


Rujukan catatan dari Haji Shirajuddin Sirat.

Friday, June 26, 2020

AKHLAK PERJUANGAN

Semalam (17 Jun 2020), saya berkesempatan berusrah dengan teman-teman dalam WADAH Selangor secara maya dan tema perbincangan usrah adalah Akhlak Perjuangan yang dibentangkan oleh Pengerusi, Haji Nik Mohd Yusoff atau lebih mesra kami kenali dia dengan panggilan Pak Nik. Maklum balas pertama saya adalah seronok. Seronok disebabkan banyak perkongsian pengalaman khususnya berkenaan dengan sejarah gerakan khususnya ABIM dan bagaimana pemikiran-pemikiran itu terbentuk sehingga menampakkan masyarakat Islam di Malaysia hari ini. Macam-macam kisah yang mustahil untuk saya catatkan di sini. Semuanya berasal dari perkongsian pembentang yang merujuk tajuk ini kepada tiga orang tokoh dakwah yang masih hidup. Masih bernafas dan masih melakukan usaha dakwah serta perjuangan mengikut sisi pandangan kami. Jika ada yang menilai nama-nama yang dibincangkan ini tidak wajar, saya pohon supaya kita membuat pertimbangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang dicatatkan oleh orang lain yang pernah bersama mereka tetapi bukan dari tiupan angin yang datang entah dari mana.

Menurut Pak Nik, konsistensi ketiga-tiga tokoh ini amat jelas. Mereka ialah Dr. Ahmad Totonji, Hisham Al Thalib serta Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Semua yang terlibat di dalam gerakan atau berada dalam dunia dakwah tidak akan pernah asing dengan nama-nama ini khususnya ABIM. Sepanjang tempoh sebelum pembentangan ini juga, selain DSAI, kedua-dua tokoh itu kerap menjadi jemputan untuk membuat pelbagai pembentangan di Malaysia melalui IIIT. Pak Nik memulakan dengan memilih, apakah kata kunci yang sering dipegang, disebut atau dilaungkan oleh mereka ini? Kata kunci yang konsisten sehingga orang akan mengingatinya. Tidak banyak yang diperkatakan mengenai DSAI kerana secara umumnya semua kami maklum keberadaan beliau dengan istiqamahnya kepada perjuangan kebenaran dan keadilan sejak dahulu, bukan dikira dari bermulanya penglibatan beliau di dalam politik, tetapi jauh lebih awal dari itu lagi sejak beliau dibangku persekolahan.

Dr. Ahmad Totonji, dinyatakan amat sinonim dengan keupayaannya dan fokus beliau kepada semangat kebersamaan, nilai 'inclusiveness' beliau yang sering dilihat memberikan nilaian potensi manusia sebagai sangat positif untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semuanya yang berlaku akan diletakkan dari sudut positifnya dahulu dan sukar untuk mendatangkan pandangan yang negatif, hampir ke tahap mustahil. Hisham Al Thalib pula sangat istiqamah berpegang kepada ayat 33 surah Al-Fussilat yang bermaksud;

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?”

Beliau juga menjelaskan bahawa, Hisham Al Thalib berpendapat bahawa kerja dakwah ini merupakan satu perjanjian kita dengan Allah s.w.t. yang dilandaskan kepada ayat pertama surah Al-Maidah yang bermaksud;

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu. Dihalalkan bagimu binatang ternak, kecuali yang akan dibacakan kepadamu. (yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya."

Hisham Al Thalib juga pada pandangan beliau begitu mengutamakan soal niat yang mana ia adalah punca kuasa kepada keupayaan mengawal tindakan kita selepas itu. Pada saya, segala perincian peribadi ini memberikan kita tanda aras, pendakwah seharusnya 'consistent'. Ini bahkah telah ditegaskan juga di dalam Al-Quran surah Al-Fussilat ayat 30 hingga 32 yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Rabb kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang”.

Pak Nik juga menimbulkan beberapa nilai yang secara umumnya, memiliki persamaan pada ketiga-tiga tokoh ini. Pada saya, bukan hanya kepada tiga tokoh ini, bahkan kepada banyak para pendakwah besar di luar sana yang kita akui ketokohan mereka serta kita hormati usaha-usaha mereka juga khususnya tokoh-tokoh yang berada di Nusantara ini. Pertama, Pak Nik menjelaskan bahawa pada mereka ini memiliki persamaan dari segi budaya hijrah. Keutamaan mereka banyaknya kepada berusaha untuk melakukan perubahan-perubahan yang sesuai dengan keperluan dan memenuhi tekad agenda dalam Islam. Dr. Ahmad Zaki juga sempat berkongsi bagaimana pengalaman beliau berhadapan dengan persoalan adakah Islam itu Ad-Din? Satu ungkapan yang sangat baru dalam dunia zaman 70 dan 80-an dahulu yang mana sebelumnya, pemahaman dan penilaiannya berbeza. Slogan ini diperkenalkan pada waktu penerimaan Islam belum diiktiraf sebagai cara hidup. Slogan ini diperkenalkan oleh DSAI.

Nilai persamaan yang kedua adalah, kehidupan mereka yang bermisi untuk mencari redha Ilahi. Bagi saya, seharusnya kita sentiasa menilai pandangan Allah s.w.t. kepada kita itu lebih utama berbanding nilai pandangan manusia. Nilai pandangan ini tidak terhad dalam dunia dakwah bahkan terpakai dalam dunia apa pun termasuk dunia politik yang DSAI dan rakan-rakan lain dari ABIM dan WADAH turut tidak terkecuali. Selalu orang kata, dunia politik ini lain pencaknya, bunganya bukan biasa-biasa, tetapi bagi saya orang yang 'bese-bese' ini, sebagai seorang pendakwah, ia tidak patut berubah kerana ini adalah asas agama bukan sekadar pendirian peribadi. Saya tidak mahir dalam hal politik, tapi suka bercerita pasal politik (rasa berdosa, sebab banyak juga mengutuk orang, astaghfirullahalazhim). Ahli politik Islam seharusnya tidak soal sokongan dan dokongan pengikut khususnya apabila telah memikul amanah untuk dilaksana. Maka, saya mendoakan misi ini terus kekal dalam jiwa DSAI bahkan dalam jiwa kita semua.

Mereka juga dinilai dengan kerap memulakan dari yang kecil dalam kerangka fikiran yang besar dan berjangka masa panjang. Penilaian yang penting ini menatijahkan tindakan yang mungkin hari ini kita tidak dapat fahami kerana keterbatasan ilmu pengetahuan dan kesediaan masyarakat sebagaimana dalam catatan sejarah, gagalnya Dato' Onn untuk menyatukan orang Melayu, Cina dan India dalam satu organisasi politik dahulu sehingga beliau ditolak. Hari ini suasana parti politik sudah ada perubahan sedikit dan masyarakat sudah mula memahaminya walaupun ada sentimen perkauman yang masih dimainkan. Ini adalah fitrah dakwah, bermula dari kecil tetapi berfikir besar, sebagaimana fitrah bayi di dalam rahim ibu.

Pak Nik juga turut menjelaskan 3 elemen utama kehidupan mereka yang bermula dengan huruf S iaitu sabar, syukur dan solat yang juga harus menjadi pegangan kita sebagai seorang Muslim. Kehidupan yang mementingkan kesederhanaan serta adab yang tinggi juga sering mencari penyelesaian masalah dan kelemahan dengan mengambil pandangan kedua daripada rakan karib. Paduan utama adalah beramal dengan Islam melalui perlaksanaan di dunia nyata atau lapangan. Perbincangan malam itu diakhiri juga dengan perkongsian mengenai bagaimana ahli ABIM dahulu serta masyarakat diberikan perhatian dari sudut pendidikan ummat yang pada awalnya tidak mahu menerima syiah walaupun memperakui ada pengajaran yang boleh diambil dari Revolusi Iran, tidak mahu terlibat dengan gerakan takfiri serta usaha membangunkan pemikiran terjajah melalui pelbagai pemikiran yang kehadapan serta buku-buku sehinggakan buku tersebut dianggap sebagai buku radikal. Saya amat gemar bersama dalam perbincangan yang bercerita tentang pengalaman serta bagaimana untuk menilai apa yang ada hari ini melalui penghujahan yang benar serta dari sumber yang kita boleh akui pada kadar pengetahuan kita sendiri. Saya akui pada setiap diri mereka itu juga adalah kelemahan juga pada diri kita. Tetapi apa yang sudah berlaku bukan sesuatu yang kita boleh tinggalkan dan abaikan. Ia perlu diperakui dan diambil pelajaran untuk tindakan kehadapan. Usaha mereka dalam meletakkan perjuangan Islam sebagai yang perjuangan yang utama adalah sesuatu yang wajar untuk kita sanjungi dan teladani. Semoga Malaysia akan akan sejahtera dengan dakwah.

Thursday, May 14, 2020

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR

Setiap tahun di Malaysia, umum mengetahui pada 17 Ramadhan merupakan sambutan hari nuzul Al-Quran. Sebahagiannya menyambut dengan bertadarus, sebahagiannya tilawah berkumpulan dan terkini, sempena PKP ini, ramai juga yang ber'group' whatsapp untuk tilawah, saling bertukar-tukar juzuk. Tidak juga dilupakan mereka yang mengambil peluang bercuti bahkan ada juga dikalangan kita yang tidak menyedarinya walaupun telah melaluinya saban tahun. Cabaran buat ummat Melayu untuk mengiktiraf Al-Quran sebagai sumber rujukan mereka apabila bahasa yang terpakai dalam Al-Quran bukan Bahasa Melayu. Maka, sebahagian besar ummat Melayu Islam di Malaysia menjadikan tilawah Al-Quran sebagai satu-satunya cara memuliakan Al-Quran. Ini merupakan satu fenomena yang cukup baik buat masa dahulu tetapi semakin tidak relevan pada hari ini. Bukanlah dimaksudkan tilawah itu tidak relevan, tetapi dengan hanya bertilawah itu sahaja yang menyebabkan ia menjadi tidak relevan. Keperluan untuk kita bersama menginsafi penurunan Al-Quran ini sendiri membawa kita bersama untuk menyelami atau mentadabbur makna-makna ayat Allah s.w.t.. Adalah menjadi kewajiban bagi Muslim untuk mengenali sumber rujukan utama ini untuk kita mempercayainya. Ramai para orientalis dan pemusuh Islam cuba mempertikaikan kitab yang kita rujuki ini atas dasar kesahihan serta keasliannya memandangkan umurnya sudah mencecah 1440 tahun. Pada mereka, mana mungkin, ia tidak terjejas dengan sebarang kerosakan pada tangan-tangan manusia. Cabaran dan persaingan mereka ini bukan baru bahkan telah berlaku sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Hud ayat 13 yang bermaksud;

“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: ‘Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

Kitab ini bukan milik Muhammad bahkan bukan milik mana-mana manusia di bumi ini. Kitab ini ada pemiliknya dan pemilik itulah yang memiliki seluruh alam raya ini. Maka, pemiliknya Yang Maha Besarlah pemelihara mutlak ke atas kitab ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Isra' ayat 88 yang bermaksud; 

“Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” 

Oleh sebab itulah segala cubaan untuk meruntuhkan kredibiliti Al-Quran sebagai sumber Islam yang mutawatir serta sebagai mukjizat Baginda Rasulullah s.a.w.. selalunya berakhir dengan kebuntuan. Tambahan pula, para pengkaji Al-Quran dari kalangan musuh-musuh Islam yang pada mulanya membenci Islam itu sendiri, setelah mentadabbur isi kandungan Al-Quran, pandangan mereka semakin lunak dan berhati-hati terhadap Islam. Boleh ditonton beberapa pandangan mereka yang bukan Islam di YouTube seperti Lesley Hazleton dan Gary Wills. DIA punya cara tersendiri untuk memeliharanya. Semua kita maklum terdapat pengukuhan dan penegasan mengenai penurunan Al-Quran di dalam Al-Quran itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud; 

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” 


Al-Quran Diturunkan Pada Malam Yang Dimuliakan 

Al-Quran diturunkan di dalam bulan Ramadhan tanpa diisyaratkan bila sebenarnya ia diturunkan. Para ulama' berbeza pendapat dalam hal penurunannya namun, pada dasar yang jelas, di dalam bulan Ramadhan. Maka kemuliaan bulan Ramadhan itu ditambah lagi selain dari kewajiban berpuasa. Allah juga berfirman di dalam surah Ad-Dukhaan ayat 3 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” 

Keberkatan malam itu yang dijanjikan kebaikannya menyamai 1000 bulan. Malam yang menjadi rahsia kewujudan bagi memberi peluang kepada semua insan untuk berterusan berusaha mencarinya sehingga ditemukan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qadr ayat 1 yang bermaksud; 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” 


Al-Quran Adalah Al-Haq 

Ia merupakan kitab sebagai petunjuk kepada seluruh ummat yang beriman dengan keseluruhan isi kandungannya. Sebab itulah membaca serta memahaminya adalah perkara sama penting dan perlu dijadikan keutamaan buat ummat hari ini. Belajar membaca Al-Quran itu baik bahkan lebih baik sekiranya turut memahami isi kandungannya. Pandangan Lesley Hazleton dan Gary Wills berubah apabila mereka mula mentadabbur Al-Quran. Bagaimana insan yang bukan berbahasa Arab, bukan berbangsa Arab bahkan bukan Islam boleh menyelami sebaik itu makna di dalam Al-Quran. Hidayah itu milik Allah s.w.t. dan yang penting hidayah Allah s.w.t. itu kepada sesiapa sahaja selagi mana mereka mahu menjadi ummat yang berfikir. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Haj ayat 50 hingga ayat 54 yang bermaksud;

"Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia. Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan (kemauan untuk beriman); mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasulpun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitanpun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat, dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." 

Maka, dalam kita mencari-cari malam Lailatul Qadar, malam yang menentukan untung rugi kita, yang mana sebahagian ulama' menjelaskan ia sebagai malam ketetapan atau hukum. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Ia turut dikhabarkan turunnya para malaikat dan Jibril pada malam ini membawa rahmat serta disediakan keselamatan dan kebaikan sehingga terbit fajar. Adapun secara tepatnya bila akan berlaku telah punya perbincangan yang panjang oleh para ulama', namun adalah lebih molek sekiranya kita mengandaikan malam itu berlaku pada mana-mana malam sepanjang bulan Ramadhan agar dapat kita menghiaskan malam-malam Ramadhan kita dengan amalan-amalan kerohanian. Hikmahnya bukan pada mendapat malam tersebut, tetapi kepada pengamalan yang istiqamah untuk mencari redha Allah s.w.t.. Marilah bersama kita memperbanyakkan usaha untuk melakukan perkara-perkara berikut dan moga ia dapat diistiqamahkan. 
  1. Melakukan solat malam (Qiyamullail) 
  2. Berdoa memohon keampunan dan dihapuskan dosa yang lalu 
  3. Beriktikaf (mustahil dalam tempoh PKP) 
  4. Melakukan solat fardhu secara berjemaah 
  5. Perbanykkan membaca Al-Quran 
  6. Perbanyakkan doa, selawat dan zikir (khususnya wanita dalam keuzuran) 
  7. Memberi makan kepada orang yang berbuka (khususnya wanita dalam keuzuran) 
  8. Perbanyakkan sedekah (khususnya wanita dalam keuzuran)

Tiadalah kenikmatan yang lebih besar selain dari dianugerahkan malam Lailatul Qadar kepada ummat ini. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita diberikan rahmat, pengampunan serta di selamatkan dari azab api neraka. Ambillah ibrah penurunan Al-Quran serta sejarah disebalik kitab ini sebagai satu hikmah besar mengenai kepentingan berpegang dengannya. Al-Quran adalah cahaya buat hati yang malap. Al-Quran adalah penawar buat hati yang sakit. Al-Quran adalah penentu hak dan batil. Al-Quran adalah manual kehidupan yang wajib kita lazimi bacaannya dan hadami makna kandungannya. 

Wednesday, May 13, 2020

BAGAIMANA SEPATUTNYA KITA MENERIMA NASIHAT

Nasihat itu sangat mudah untuk diberikan oleh sesiapa sahaja dan kepada sesiapa sahaja apatah lagi apabila mereka itu bergelar teman rapat, keluarga atau jiran. Namun, yang menjadi cabaran untuk si pemberi nasihat adalah apabila menerima reaksi mereka yang menerima nasihat. Benar, memberi nasihat itu terlalu mudah tetapi untuk menerima nasihat selalunya dirasakan ianya terlalu pahit untuk ditelan khususnya bagi sesiapa yang terlalu mengikut hawa nafsunya. Nafsu amat menggalakkan perkara-perkara yang sia-sia dan terlarang tambahan pula bagi mereka yang mencari ilmu bukan kerana Allah tetapi sebaliknya mencari ilmu hanya kerana untuk mendapatkan segulung ijazah buat bekalan diri masa hadapan. Ilmu tadi diharapkan dapat digunakan untuk kesenangan atau sekadar untuk keselamatannya tanpa memikirkan untuk ia diaplikasikan di dalam kehidupannya. Itu tidak dimaksudkan dengan ilmu tetapi itu adalah sekadar informasi dalam kotak fikiran kita sahaja.

Pemikiran sebegini adalah kerana pengaruh yang kuat dalam fahaman yang cuba memisahkan soal kehidupan dan akhirat. Pemikiran yang mengutamakan dunia hanya untuk dunia, akhirat kita usahakan cara lain. Ini amat berbahaya. Pemikiran begini dikaitkan dengan pemikiran sekularisme oleh ahli-ahli falsafah terdahulu. Adakah kita tidak tahu atau buat-buat terlupa bahawa pengetahuan yang ada pada kita ini akan dipersoalkan lebih berat berbanding mereka yang tidak tahu? Seperti dalam sepotong hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Orang yang paling sedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya."

Bahkan menurut satu riwayat daripada Imam Al-Junaid Al-Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau diwaktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam dengan katanya, "Apa khabar kamu wahai Abu Qassim?" Lalu Imam menjawab, "Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin. Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam."

Mimpi ini memberikan suatu gambaran tentang hilangnya segala manfaat keilmuan terhadap umat manusia. Ia berpunca dari mengutamakan hawa nafsu diri yang hanya mahukan kesenangan hidup di dunia dan bukan mencari keredhaan Allah s.w.t. dan mendapatkan akhirat yang pastinya akan kekal selama-lamanya. Ingatlah, pada setiap masihat yang disampaikan kepada kita, itulah teguran dari Allah s.w.t. melalui perantaraannya. Bukan hanya perkataannya, bahkan situasinya dan segala apa yang berlaku disekitarnya. Namun, memang ketika hampirnya manusia dengan hari kiamat, maka Allah hilangkan segala keilmuan dan begitulah yang diisyaratkan di dalam mimpi Imam itu. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Maka marilah bersama kita ingatkan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Waqi'ah ayat 10 hingga 14 yang bermaksud;

"Dan antara mereka ialah orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia). yang akan mendahului orang lain dalam mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Mereka itulah orang-orang yang didampingkan di sisi Allah SWT. Terus menetap di dalam syurga yang penuh nikmat. Sebahagian besar daripada mereka adalah dari umat manusia yang terdahulu dan sebilangan kecil dari orang yang datang kemudian."

Kesimpulannya, bukanlah bermakna kita tidak harus menambahkan ilmu kita, kerana menambah ilmu itu adalah kewajiban tetapi harus difahami apabila ada satu kewajiban maka akan hadir bersamanya kewajiban yang lain untuk memungkin kewajiban tadi itu terlaksana. Semoga kita sentiasa memperbaiki diri dan menjadikan nasihat sebagai ilmu yang tidak tergambarkan hikmah dan pengajarannya.

Wednesday, May 6, 2020

JANJI ALLAH DIBULAN RAMADHAN

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Pabila menjelang sahaja Ramadhan, maka ayat ini akan seperti diulang-ulang menjelaskan bahawa berpuasa dibulan Ramadhan ini adalah suatu kewajipan bagi muslim. Ia adalah kerukunan, Salah satu dari 5 pasak kemusliman kita. Maka kewajiban ini di Malaysia seolahnya menjadi keraian sehinggakan ramai yang menunggu dengan penuh debar dan tidak kurang yang mengadakan kenduri-kendara untuk menyambut Ramadhan. Inilah semangat yang dipertontonkan rakyat kita yang mana ia wajar berdasarkan kemuliaan yang Allah berikan kepada Ramadhan, bulan rahmat dan keberkatan. Namun, disebalik itu, tidak kurang juga yang menjadikan Ramadhan sebagai bulan kerehatan, bersenang-senang dan memperbanyakkan masa diperbaringan. Fenomena berbondong-bondong ke bazar Ramadhan juga sebahagian dari kebiasaan dahulu, namun, tahun ini, dengan PKP yang sedang berjalan, telah wujud norma baru dalam masyarakat. Kita tidak lagi berbondong-bondong ke bazar Ramadhan bahkan yang lebih menyedihkan, kita juga tidak diberikan kesempatan untuk berbondong-bondong berjemaah di masjid.

Penghujung ayat di atas, Allah meletakkan pengharapan kepada manusia untuk mendapatkan ganjaran ketakwaan, "supaya kamu bertakwa" melalui puasa di bulan Ramadhan. Pengharapan itu secara langsung menjelaskan bahawa, ia adalah sesuatu yang perlu diikhtiarkan, bukanlah hanya semata-mata tunggu, lalui dan dapat. Maka, kehadiran Ramadhan bersama PKP kali ini, haruslah kita bersama mengambil kesempatan yang sebaik mungkin untuk mencari ketakwaan itu. Bukanlah alasan Ramadhan ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, maka, kita tidak ada upaya, namun, norma baru ini jelas memberikan kita lebih banyak masa untuk memperbaiki pelbagai kekurangan diri sesama makhluk bahkan dengan Allah s.w.t. yang Maha Mengatur segalanya.

Pada bulan ini, bahkan kali ini, Allah telah memudahkan segala peluang untuk kita membuat amal kebajikan dalam kehidupan. DIA tempatkan kita di rumah bersama ahli keluarga untuk kita manfaatkan masa ini bersama sambil melakukan kebajikan buat mereka. Bukanlah namanya kebajikan hanya dengan solat, puasa, zakat, haji, tetapi, amal kebaikan seperti memberi makan, mendidik, membimbing, memberi nasihat, mengajak anak-anak dan isteri bertadarus, tadabbur Al-Quran, saling ingat-mengingatkan, saling bermesraan dan berkasih sayang juga sebahagian dari kebajikan. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu."

Maknanya, melalui Ramadhan, membuat atau melakukan kebaikan dimudahkan, dan secara automatik manusia akan mengurangkan perbuatan maksiat mereka dan Allah melindungi kita dari bisik was-was syaitan. Sebab itulah, mengisi kesempatan masa bersama keluarga dengan segala amal kebaikan juga sebahagian dari pintu-pintu syurga yang terbuka. Jika kita ingatkan kembali, mungkin, kita tidak pernah melalui pengalaman Ramadhan sebaik hari ini pada masa sebelum ini. Ramadhan juga adalah ibadah yang khusus untuk Allah. Sebagaimana dalam potongan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya"

Ibaratnya seperti, ibadah puasa ini, pahalanya kita akan terima terus dari Allah s.w.t. Ia menunjukkan betapa dimuliakan sungguh amal berpuasa ini sehinggakan Baginda Rasul s.a.w. sendiri pernah berkata bahawa Baginda amat suka amalnya diangkat pada tika Baginda berpuasa. Kemuliaan Ramadhan itu sendiri ada pada amal berpuasa itu. Puasa terlalu istimewa kerana ianya adalah perisai diri dari sikap dan sifat buruk manusia. Sebab itulah Baginda s.a.w. berpesan; "Apabila salah seorang kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata-kata dengan perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya ada orang yang mencaci atau memeranginya, dia hendaklah berkata, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa.'"

Ada dua kegembiraan yang dijanjikan untuk mereka ini iaitu, kegembiraan ketika berhari raya kerana kemenangannya melawan hawa nafsu dirinya dan ketika bertemu Tuhannya atas amalan puasanya itu. Namun, amat kita kesali hari ini, ramai diantara kita yang tidak mampu atau tidak mahu melakukan sepertimana yang disarankan oleh Baginda  Rasulullah s.a.w.. Benar, mereka tidak menyebutkan perkataan yang kotor, tetapi, ramai yang menulis sehingga menyakitkan hati orang lain. Mudah-mudahan, kita berjaya menjadi sebahagian dari orang yang menahan diri kita dari perbuatan buruk itu. Sabda Baginda Rasul s.a.w. lagi yang bermaksud; "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut sebagai Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa diseru menerusi pintu ini. Barangsiapa yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang berpuasa, dia akan masuk. Sesiapa yang memasukinya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya."

Kegembiraan itu disajikan melalui pintu khusus buat mereka yang berpuasa. Namun, mari kita muhasabahkan diri kita bersama, adakah puasa kita selayaknya memasuki pintu ini? Oleh sebab itulah, nilaian puasa itu pada tiga tahap iaitu puasa 'awwam', puasa 'khusus' dan puasa 'khususul khusus'. Sama ada puasa kita hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, atau dengan memahami serta menghayati erti sebenar ibadah puasa itu? Puasa adalah latihan buat nafsu dan diri kita. Sekiranya dalam bulan Ramadhan, dengan tidak makan dan minum pun kita masih gagal mengawalnya, bagaimana harus kita letakkan keadaan kita dalam tempoh sebelas bulan lagi yang tidak diperintahkan berpuasa?

Sabda Rasul s.a.w. yang bermaksud; "Sesungguhnya orang yang berpuasa itu akan didoakan keampunan oleh malaikat, jika ada yang makan disisinya sehinggalah mereka selesai."

Orang yang berpuasa akan mendapat perhatian dari malaikat dalam apa jua situasinya. Bayangkan bagaimana harus seseorang yang berpuasa itu melawan hawa nafsunya pada tika ada disisinya orang yang sedang menjamu selera. Sukar bagi hawa nafsu untuk ditahan melainkan dengan niat yang tulus dari orang yang mengamalkannya. Walaupun pada hakikatnya, berpuasa itu sendiri telah menjadi sebab kita diberikan pengampunan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "... dari satu bulan Ramadhan ke satu bulan Ramadhan akan datang ialah penghapus dosa, selama mana dia menjauhi perbuatan dosa besar."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang lainnya bermaksud; "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjarannya, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu."

Maka seharusnya kita terus membina cita-cita kecemerlangan dalam bulan Ramadhan untuk mengharap ganjarannya dan yang lebih utama adalah untuk mendapatkan ketakwaan. Seharusnya kita perlulah memastikan;

  1. kita terus menahan dari makan dan minum serta perbuatan yang membatalkan puasa itu sebagai latihan menahan nafsu syahwat yang mana jika tidak dididik akan merosakkan nilai ketinggian insan kerana hanya tunduk kepada kemahuan yang banyaknya didorong oleh syaitan. Terdapat dalam sepotong hadis yang bermaksud; "Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui peredaran darah, (sempitkanlah jalan-jalan syaitan dengan berlapar)."
  2. segala cabaran kesusahan di bulan Ramadhan adalah suatu pembelajaran mengenai kesukaran yang dilalui oleh insan lain yang serba kekurangan. Maka, perbanyakkanlah sedekah tanda kita benar-benar merasai dan menginsafi kesusahan mereka.
  3. agar diperbanyakkan amalan-amalan ketaatan kepada Allah s.w.t. kerana terkesannya pada perasaan lapar dan dahaganya ahli neraka. Maka hidupkanlah segala amal ketaatan secara istiqamah agar ia menjadi disiplin dalam kehidupan selepas Ramadhan.
  4. kita sentiasa menjadi insan yang bersyukur atas segala nikmat yang nampak dan tidak nampak (tersembunyi). Apa sahaja yang berlaku pada diri kita adalah dengan izin-Nya.
  5. diri kita terhalang dari sebarang bentuk pemikiran maksiat dan lintasan tindakan yang bertentangan dengan perintah Allah s.w.t. serta Baginda Rasulullah s.a.w.
Pada sebahagian ulama salaf apabila ditanyakan mengenai keutamaan berpuasa, mereka menjawab, "Sekiranya Allah s.w.t. melihat nafsuku dan mendapatinya sedang menggalakkan aku kepada makanan dan minuman lebih aku suka berbanding Dia melihat nafsuku ketika ia sedang menyeru untuk melakukan maksiat kepadanya jika aku kenyang."

Kesimpulannya, Allah janjikan kepada manusia dengan adanya Ramadhan, manusia diberikan peluang untuk membina ketaqwaan yang akan menempatkan mereka mulia di sisi Allah s.w.t. melalui kemudahan untuk melakukan kebaikan, pahala ganjaran secara terus dari Tuhan bersama dua kegembiraan. Satunya yang bertahun-tahun telah kita lalui dengan gembira iaitu hari raya dan keduanya pada ketika bertemu dengan Allah s.w.t.. Bahkan Allah menyediakan pintu khusus untuk mereka yang berpuasa iaitu pintu Ar-Rayyan. Allah juga menjanjikan keampunan untuk orang berpuasa. Janji Allah ini pasti ditepati. Sebagai persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan adalah, adakah kita telah menepati janji kita pula kepada Allah s.w.t.?

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 172 yang bermaksud;

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, 'Bukankah Aku Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab, 'Benar, kami menjadi saksi!' Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak; "Sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini."

Itu janji kita dan adakah kita sudah tunaikannya?

Wednesday, April 29, 2020

HIKMAH PKP DALAM BULAN RAMADHAN

Sudah lebih sebulan rakyat Malaysia menjarakkan diri dari bersosial dan mendiam diri di rumah setelah didatangkan ujian dari Allah dengan makhluk halus yang sukar difahami kewujudannya namun nampak jelas keberadaannya sehingga menyebabkan kematian di seluruh dunia. Covid-19 dianggap sebagai ujian namun mungkin juga sebagai balasan kepada keengkaran dan kerakusan manusia ke atas amanah yang telah DIA berikan. Ujian atau bala, keduanya datang dari Allah s.w.t. yang pastinya menyuruh manusia untuk terus berfikir. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud;

"Mengapa kamu menyuruh orang lain dengan (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu lupa akan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Tidakkah kamu berfikir?"

Suruhan berfikir ini bukan satu malah banyak terungkap di dalam Al-Quran kerana inilah peranan kitab ini untuk menjadi penyuluh kepada orang-orang yang beriman. Kadangkala, apabila mendepani Covid-19 ini dengan mudah kita menuding jari gara-gara dosa orang lain tanpa kita sendiri menilai bagaimana peranan kita dan adakah terdapat faktor kita dalam situasi ini yang mengundang ujian sebesar ini. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 118 yang bermaksud;

"Dan (orang muysrikin) yang tidak berilmu pengetahuan berkata, "Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (tentang kebenaran Muhammad) atau datangkan kepada kami satu bukti yang jelas?" Demikian juga orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka, hati mereka semuanya serupa (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin."

Covid-19 adalah bentuk interaksi Allah s.w.t. dengan kita jika sekiranya kita menjadi orang yang berfikir. Dorongan berfikir adalah diasaskan oleh ilmu pengetahuan dan kembali semula kepada ayat pertama yang diwahyukan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dalam surah Al'Alaq ayat 1. "Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan". Allah s.w.t. hantarkan tentera halus ini sebagai peringatan buat mereka yang beriman untuk bermuhasabah diri tentang betapa banyaknya kelalaian yang kita telah penuhkan di dalam jiwa-jiwa kita.

Insan sebagai individu, kerap kita habiskan masa untuk kepuasan peribadi kita sehingga tergungkap pada lidah kita, "yang penting aku selamat" atau "yang penting bukan aku". Sebagai muhasabah, pernahkah ayat sebegini terpacul dari lidah kita dan atas apa sebabnya? Covid-19 menegur kita, disaat Allah berikan peluang untuk kita rebut kebaikan itu, kita mementingkan diri kita hanya kerana tidak mahu penat atau susah. Beristighfarlah. Jika kita berjawatan, bagaimana dilaksana amanah kita itu? Sesempurnanya atau seadanya? Jika kita ketua keluarga adakah mereka aman bersama kita atau sebaliknya. Semua itu, Covid-19 memainkan peranannya dengan sempurna atas perintah dari Nya. Peringatan yang telah Allah s.w.t. ajarkan kepada kita di dalam Al-Quran juga dari surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa, serta hasil tanaman. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar".

Allah berfirman dalam surah yang sama pada awalnya ayat 45 yang bermaksud;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya solat itu amat berat kecuali kepada orang yang khusyuk."

Sebelum kehadiran Covid-19, solat kita bagaimana? Berjemaah atau bersendirian? Awal atau akhir waktu?  Sempurna atau asalkan solat? Sekiranya Covid-19 ini ujian untuk orang beriman, maka ketika ini, kitalah insan yang makin khusyuk solatnya, makin bersegera apabila masuk waktunya dan tidak akan lepaskan peluang berjemaah walaupun hanya berdua. Orang beriman akan bercita-cita untuk menjadi lebih baik selepas didatangkan ujian besar ini. Bagi anak-anak mungkin tidak terlalu merasainya, tetapi untuk yang mukallaf, bebannya tentu berat untuk dipikul.

Maka, ambillah saranan ini, bahkan Maha Kaya Allah memberikan kita melaluinya di dalam bulan Ramadhan, syaitan terbelenggu dan yang ada cuma nafsu yang perlu diperbetulkan. Perbanyakkan masa membaca Al-Quran dan mentadabburnya. Sempurnakanlah solat serta bermuhasabahlah akan peranan kehambaan serta kemanusiaan kita di dunia. Tampak mudah hari ini, tetapi yakinlah, ia pasti tidak mudah selepas tamat PKP ini. Berubah itu hidayah, namun bahagian yang paling sukar adalah isriqamah.

Thursday, February 2, 2017

FOKUS DALAM ISLAM - Rukun Asas dan Kepercayaan

Muslim Mukmin amat meyakini dan mempercayai bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dialah yang Maha Agung, Maha Perkasa, Maha Pencipta, Maha Pengasih, Maha Mengetahui dan Maha Memberi. Kepercayaan ini perlukan keyakinan yang penuh dalam memastikan ia berkesan dalam kehidupan dan sentiasa meletakkan segala kehendak kita di bawah kehendak Nya. Harus percaya, hanya Dia yang Maha Memberi Pertolongan. Kepercayaan kepada keEsaan Allah akan memelihara kemudian insan dan menyelamatkan mereka dari perasaan takut dan ragu-ragu.

Muslim Mukmin yakin dan percaya kepada semua para nabi dan rasul yang diutuskan tanpa ada sebarang diskriminasi ke atas mereka. Setiap bangsa yang kita ketahui dianugerahkan wakil dari Allah sebagai penyampai peringatan. Golongan mursalin kemudian Nya di akhiri dengan dimahkotakan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang melengkapkan penurunan Islam dikalangan masyarakat kita. Mereka adalah guru-guru terhebat yang menjuarai segala bentuk kebenaran. Mereka adalah pilihan Allah dan menyampaikan apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada mereka dengan penuh amanah. Mereka telah diutuskan pada waktu dan tempat yang berasingan kepada ummat manusia sama ada bersendirian atau lebih dari seorang diri. Mesej mereka satu iaitu kepada keEsaan Allah s.w.t walaupun kepada bangsa dengan bahasa yang berbeza-beza. Kita wajib mempercayai para nabi dan rasul selama 25 orang seperti yang terdapat di dalam Al-Quran. Pemilihan Baginda Rasulullah bukanlah satu kebetulan, tetapi ia bukti mengenai kewujudan Allah s.w.t. sebagai tuhan. Ia adalah kepastian yang jelas mengenai kuasa dan keupayaannya.

“Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata.” (Al-Baqarah 2: 136)

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).” (Ali ‘Imran 3: 84)

“Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur. Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan). Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa’ 4: 163 - 165)

“Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-An’am: 84 - 87)

Apabila seseorang Muslim Mukmin itu meyakini dan mempercayai para rasul dan nabi utusan Allah s.w.t maka sudah tentulah mereka akan mempercayai sepenuhnya juga apa yang diwahyukan kepada para nabi dan rasul yakni kitab-kitab. Setiap kitab itu adalah cahaya kebenaran yang membawa ummat kepada jalan lurus dan jalan kebenaran. Al-Quran telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan Al-Quran sendiri telah menjelaskan dan penyambung kepada kitab Ibrahim, Musa, Daud dan Isa. Al-Quran menjelaskan mengenai kitab yang juga diutuskan kepada rasul-rasul tersebut sebelum turunnya Al-Kitab. Namun, kitab-kitab dan wahyu yang sebelumnya itu telah hilang, rosak, dilupakan, ditukar, ditambah sehingga memesongkan wahyu yang sebenar. Satu-satu kitab yang terpelihara sehingga hari ini adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w. yang kita baca bersama sehingga hari ini sejak 1400 tahun dahulu. Maka Muslim, tidak perlu untuk mencungkil segala khazanah untuk mencari kebenaran di dalam Al-Quran itu kerana ia disempurnakan dan dipeliharakan oleh Allah s.w.t tanpa ada sebarang perubahan dan kerosakan walau pelbagai usaha dibuat untuk merosakkannya.

15:9, 2:75-79, 5:13-14, 41, 45, 6:91, 41:43

Muslim Mukmin percaya kepada para malaikat ciptaan Allah s.w.t. Malaikat diciptakan dengan cahaya, mereka tidak makan dan tidak minum. Tidak tidur dan tidak pula berkeinginan pada sesuatu pun melainkan hanya memenuhi perintah Allah s.w.t tanpa soal dan keluhan. Mereka diberikan tugas khusus sehingga hari kiamat dan wajib kita mempercayainya walaupun mereka tidak dapat dengan mata kasar manusia. Ia umpama kita mengetahui kewujudan gas tetapi tidak dapat melihatnya.

“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.” (An-Nahl: 49 - 50)

“Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.” (Al-Anbiya’: 19 - 20)

Muslim Mukmin percayakan hari kebangkitan, hari perhitungan, hari hisab atau hari kiamat. Segalanya akan ditamatkan. Kerja, makan, bersukan bahkan cita-cita dan niat-niat akan terhenti apabila tiba hari ini. Ketika inilah para pembuat kebaikan akan dipimpin dan ditunjukkan jalan untuk ke syurga manakala para pelaku dosa pula akan menerima balasan setimpal dengan perbuatannya. Pelbagai kupasan syurga dan neraka dapat kita jumpa di dalam Al-Quran dan hadith tetapi ia tidak patut difahami secara zahir hidup manusia di dunia. Kata Nabi Muhammad s.a.w. di sana kita akan melihat perkara yang tidak pernah dilihat mata kasar kita, mendengar perkara yang tidak mampu telinga dunia kita dengar serta tiada minda yang berupaya membayangkannya. Muslim Mukmin percaya dan yakin pastinya akan ada tuntutan dan balasan dari Allah dengan apa yang telah Dia modalkan kepada kita. Itulah hari keadilan, hari akhirat dan penyudah kepada segala perkiraan amal.

Jika ada dikalangan kita yang merasakan bahawa mereka boleh terlepas dari dijatuhkan hukuman dari undang-undang dunia, dari pengadilan di mahkamah yang disaksikan dan dihakimi oleh sesama manusia, maka takutlah dan waspadalah kerana dia pasti tidak akan terlepas dari pengadilan Allah s.w.t. Apabila dia dibangunkan di padang mahsyar, di kala itu tiada peguam yang akan membela, tiada peguam yang akan bicara melainkan Yang Maha Menghakimi sahaja membuka segala catatan para malaikat yang menjadi pencatat sebarang perilaku kita di dunia. Jika ada di antara kita yang tidak menerima keadilan dunia, maka kebangkitan semula adalah berita gembira buat mereka.

Keyakinan kepada hari kebangkitan menjadikan Muslim Mukmin sentiasa berfikiran terbuka, positif dan proaktif. Tiada kerisauan dalam diri mereka kerana mereka meyakini, setiap kebaikan akan dibalas kebaikan, jika tidak di dunia, maka pasti diakhirat begitu jugalah keburukan, pastinya tidak akan terlepas dari perhitungan Allah s.w.t.

30 Disember 2016
Usrah Mingguan Cuti Sekolah, ABIM-PEPIAS Kuala Selangor
AYG Tanjong Karang

Penulis merupakan seorang fasilitator sepenuh masa bersama IQ Class Management. Awal pendidikan beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Air Panas Setapak dan kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) - yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur. Tamat pengajian sarjana muda beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan mengambil peluang menambah pengetahuan di dalam ilmu asas kaunseling di KUISCell dalam Sijil Asas Kaunseling 1. Aktif di dalam NGO di Malaysia seperti PEPIAS, ABIM, BBM dan YATIM dan kini beliau masih aktif menjadi fasilitator, melatih fasilitator, menganjurkan program fasilitator serta memberikan ceramah melalui syarikat beliau.

Thursday, January 5, 2017

FOKUS DALAM ISLAM - Makna Islam

Islam adalah berakar umbikan perkataan “salama” yang bermaksud antaranya, aman, kejernihan, penyerahan dan kepatuhan. Islam pula bermaksud penyerahan diri kepada kehendak Allah (Will of God) dan kepatuhan kepada undang-undang Nya. Gabungan keduanya memberikan makna yang sangat mendalam iaitu hanya dengan menyerahkan diri kepada ‘Will Of God’ dan dengan mematuhi undang-undang Nya, kita akan dapat merasai nikmat sebenar keamanan serta mengecapi kejernihan akal dan hati selama-lamanya.

Terdapat sebahagian dari mereka yang tidak memahami dan mengetahui yang memanggil Muslim dengan gelaran “Mohammedans” kerana mereka merujuk kepada agama Islam itu sebagai “Muhammadnism”. Ini menggambarkan salah anggap mereka bahawa Muslim itu menyembah Muhammad sebagaimana agama Kristian yang menyembah Jesus. Jika Islam itu merujuk kepada susuk tubuh dan pembawakan kepercayaan sekadar seorang manusia iaitu Muhammad, maka ia tidaklah lebih berbanding agama-agama lain dan kepercayaan-kepercayaan lain. Tidak kurang juga yang menganggap Muslim ini seperti kepercayaan pemikiran yang lain seperti Judaism, Buddhism, Hinduism dan beberapa contoh yang lain. Kepercayaan dan kefahaman sebegini adalah sangat karut yang mana tidak memenuhi erti Islam yang sebenar. Lebih merisaukan apabila pemikiran ini bukan sekadar pada mereka yang bukan Islam, tetapi turut berkembang dikalangan ummat Islam sendiri sama ada dalam sedar atau tidak sedar. Mereka beranggapan seolah-olah Islam ini ditemui oleh Muhammad. Pemahaman ini perlu ditolak kerana secara tidak langsung ia akan memberikan kesan kepercayaan kepada malaikat, Al-Quran dan beberapa perkaitan yang lain.

Semua Muslim sedar dan tahu, Nabi Muhammad s.a.w. hanyalah seorang manusia biasa yang diberikan Allah s.w.t satu tugas menyampaikan risalah kepada ummat manusia dan menjadi contoh ikutan buat mereka. Baginda Rasul s.a.w. kekal dalam sejarah panjang yang menceritakan tentang kehebatan seorang manusia dan itulah hakikatnya kebolehberadaan manusiawi di dunia. Apa yang dicapainya, apa yang ditunjukkannya, siapa yang bersamanya, bagaimana hubungan mereka yang bersamanya, semua dibincangkan agar ia menjadi panduan hidup lengkap bagi seorang Muslim. Oleh yang demikian hak mutlak pemilikan Islam itu akan kembali kepada Allah s.w.t bukanlah Muhammad. Konsep ketuhanan dalam Islam menjelaskan bahawa Dialah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Maha Mengetahui dan Maha Penyantun. Maha Agung dan Maha Bijaksana yang merencanakan setiap perjalanan makhluk Nya.

Apabila masyarakat bertamadun diperkenalkan, pada ketika itu ketamadunan itu hadir bersama undang-undang dan peraturan dalam masyarakat. Kehidupan mereka menjadi teratur dan memenuhi keperluan hidup bersama, aman dan sejahtera. Oleh kerana kepatuhan masyarakatnya kepada undang-undang maka, mereka dikatakan sebagai masyarakat yang baik dan jujur. Masyarakat yang kuat dan bermoral iaitu masyarakat yang mengangkat amanah keamanan dan kesejahteraan itu dengan menerima undang-undang dan segala peraturan yang ditetapkan. Tidak akan ada, mana-mana manusia yang mindanya bertanggungjawab dan rasional menyatakan bahawa, akan tercabut keamanan dan kebebasan dengan adanya sikap mematuhi undang-undang dan peraturan masyarakat. Sudah tentulah mereka tidak akan disia-siakan dan tidak dipedulikan. Secara khususnya, begitulah juga persamaannya mereka yang menyerahkan diri mereka ke bawah kehendak Allah s.w.t dan segala peraturan yang ditetapkan ke atas mereka. Dia yang Maha Pencipta dan Maha Perkasa juga Maha Merencana, maka sudah tentulah mereka yang menyembah dan menyerahkan diri untuk Nya tidak akan dipersia-siakan dan akan dipedulikan. Itulah hak bagi yang hidup dan siapakah yang lebih adil berbanding Allah s.w.t?

Penyerahan diri kepada Allah bahkan memberikan kebebasan juga kepada perkara yang tidak terjangkau dek akal manusia. Ia membebaskan minda dari kepercayaan karut animisme kepada cahaya yang benar. Ia membebaskan roh dari belenggu dosa dan mendorong kepada mengejar pahala dan syurga. Bahkan ia menjadikan manusia bebas dari sifat cemburu, tamak, tekanan dan ketakutan. Ia membebaskan manusia dari kekusutan pemikiran, kerendahan jiwa kepada berpandangan jauh serta keberanian mencipta kejayaan dan kecemerlangan.

Menyerah diri kepada Allah dan memenuhi segala perintah dari Nya adalah penyelamat buat manusia di dunia dan di akhirat. Ia menjadikan manusia juga dapat menghasilkan rasa selamat dan kasih sayang di kalangan manusia. Ia akan mengangkat karamah insaniah ke satu tahap yang telah kita hadami dalam sirah-sirah nabawiyah. Peranan inilah yang menatijahkan setiap makhluk berusaha untuk memenuhi keperluan masing-masing sebagaimana apa yang telah Allah ciptakan dan hanya semata-mata untuk mencari redha Allah s.w.t. Makhluk ciptaan Allah yang lainnya tidak diberi pilihan, melainkan menurut perintah Allah s.w.t. Alangkah indahnya dunia jika ‘khalifahnya’ itu nanti juga turut sama hanya menurut perintah Allah s.w.t. Mereka diberikan akal untuk membuat pelbagai pilihan. Dek kerana itulah mereka mesti ‘dipanggil’ untuk menyerah diri kepada Allah dan memenuhi segala tuntutan yang Maha Pencipta.

“Man alone is singled out as being endowed with intelligence and the power of making choices. And because man possesses the qualities of intelligence and choice he is invited to submit to the goog Will of God and obey His Law.” (Hammudah Abdalati, Islam In Focus)

Apabila Islam itu membawa maksud penyerahan diri kepada “the Good Will of God” dan kepatuhan kepada perintah Nya yang disebarkan oleh manusia pilihan Allah s.w.t, maka Islam mengiktiraf semua para nabi dan rasul tanpa ada diskriminasi dan percaya bahawa setiap mereka adalah Muslim yang taat kepada Allah s.w.t.

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani; "Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". Tidak ada orang yang membenci sgama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam". (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)". Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan. Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (Wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik". Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata". Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami Dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadanya; "Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Baqarah 2: 128 – 140)

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak). Maha Sucilah Allah dan tertinggilah ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu. Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Isra’ 17: 42 – 44)

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Luqman 31: 22)

Sama ada Ishmael, Isaac, David, Moses, Jesus, Abraham dan Muhammad, mereka semua adalah nabi dan rasul dan Muslim mempercayai mereka tanpa ada sebarang diskriminasi atau mengangkat mereka lebih dari sebagai seorang perutusan Allah s.w.t. Islam adalah agama universal oleh itu ia tidak mengamalkan dikriminasi bangsa, puak kaum atau yang berkaitan dengannya. Nama Islam itu sendiri tidak disandarkan kepada sesiapa pun dan ianya adalah agama yang tersebar luas tanpa sempadan.

Islam adalah agama sejahtera dan ia bermaksud penyerahan diri kepada kehendak Allah dan mematuhi segala perintah Allah. Kehendak Allah ini pula merujuk kepada Al-Quran sebagai sumber utama Islam. Al-Quran memberikan penjelasan dan Al-Quran menjelaskan Islam di bawa oleh bukan sahaja Muhammad bahkan, Ibrahim, Isa, Musa dan rasul serta nabi yang lain, maka Muslim bukan sahaja mengikuti Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga Nabi-nabi yang lain.

Perkataan Allah di dalam Islam adalah tanda keEsaan Dia sebagai yang Maha Pencipta. Berpeganglah keyakinan kita kepada Nya kerana persaksian kita bahawa tiada tuhan selain Allah dan kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

RUJUKAN BUKU - ISLAM IN FOCUS oleh Hammudah Abdalati

15 Disember 2016
Usrah Mingguan Cuti Sekolah, ABIM-PEPIAS Kuala Selangor
AYG Tanjong Karang

Penulis merupakan seorang fasilitator sepenuh masa bersama IQ Class Management. Awal pendidikan beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Air Panas Setapak dan kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) - yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur. Tamat pengajian sarjana muda beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan mengambil peluang menambah pengetahuan di dalam ilmu asas kaunseling di KUISCell dalam Sijil Asas Kaunseling 1. Aktif di dalam NGO di Malaysia seperti PEPIAS, ABIM, BBM dan YATIM dan kini beliau masih aktif menjadi fasilitator, melatih fasilitator, menganjurkan program fasilitator serta memberikan ceramah melalui syarikat beliau.