Nasihat itu sangat mudah untuk diberikan oleh sesiapa sahaja dan kepada sesiapa sahaja apatah lagi apabila mereka itu bergelar teman rapat, keluarga atau jiran. Namun, yang menjadi cabaran untuk si pemberi nasihat adalah apabila menerima reaksi mereka yang menerima nasihat. Benar, memberi nasihat itu terlalu mudah tetapi untuk menerima nasihat selalunya dirasakan ianya terlalu pahit untuk ditelan khususnya bagi sesiapa yang terlalu mengikut hawa nafsunya. Nafsu amat menggalakkan perkara-perkara yang sia-sia dan terlarang tambahan pula bagi mereka yang mencari ilmu bukan kerana Allah tetapi sebaliknya mencari ilmu hanya kerana untuk mendapatkan segulung ijazah buat bekalan diri masa hadapan. Ilmu tadi diharapkan dapat digunakan untuk kesenangan atau sekadar untuk keselamatannya tanpa memikirkan untuk ia diaplikasikan di dalam kehidupannya. Itu tidak dimaksudkan dengan ilmu tetapi itu adalah sekadar informasi dalam kotak fikiran kita sahaja.
Pemikiran sebegini adalah kerana pengaruh yang kuat dalam fahaman yang cuba memisahkan soal kehidupan dan akhirat. Pemikiran yang mengutamakan dunia hanya untuk dunia, akhirat kita usahakan cara lain. Ini amat berbahaya. Pemikiran begini dikaitkan dengan pemikiran sekularisme oleh ahli-ahli falsafah terdahulu. Adakah kita tidak tahu atau buat-buat terlupa bahawa pengetahuan yang ada pada kita ini akan dipersoalkan lebih berat berbanding mereka yang tidak tahu? Seperti dalam sepotong hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Orang yang paling sedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya."
Bahkan menurut satu riwayat daripada Imam Al-Junaid Al-Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau diwaktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam dengan katanya, "Apa khabar kamu wahai Abu Qassim?" Lalu Imam menjawab, "Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin. Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam."
Mimpi ini memberikan suatu gambaran tentang hilangnya segala manfaat keilmuan terhadap umat manusia. Ia berpunca dari mengutamakan hawa nafsu diri yang hanya mahukan kesenangan hidup di dunia dan bukan mencari keredhaan Allah s.w.t. dan mendapatkan akhirat yang pastinya akan kekal selama-lamanya. Ingatlah, pada setiap masihat yang disampaikan kepada kita, itulah teguran dari Allah s.w.t. melalui perantaraannya. Bukan hanya perkataannya, bahkan situasinya dan segala apa yang berlaku disekitarnya. Namun, memang ketika hampirnya manusia dengan hari kiamat, maka Allah hilangkan segala keilmuan dan begitulah yang diisyaratkan di dalam mimpi Imam itu. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
Maka marilah bersama kita ingatkan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Waqi'ah ayat 10 hingga 14 yang bermaksud;
"Dan antara mereka ialah orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia). yang akan mendahului orang lain dalam mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Mereka itulah orang-orang yang didampingkan di sisi Allah SWT. Terus menetap di dalam syurga yang penuh nikmat. Sebahagian besar daripada mereka adalah dari umat manusia yang terdahulu dan sebilangan kecil dari orang yang datang kemudian."
Kesimpulannya, bukanlah bermakna kita tidak harus menambahkan ilmu kita, kerana menambah ilmu itu adalah kewajiban tetapi harus difahami apabila ada satu kewajiban maka akan hadir bersamanya kewajiban yang lain untuk memungkin kewajiban tadi itu terlaksana. Semoga kita sentiasa memperbaiki diri dan menjadikan nasihat sebagai ilmu yang tidak tergambarkan hikmah dan pengajarannya.

Comments