Thursday, June 4, 2026

Larilah Kepada Allah: Tadabbur Surah Az-Zariyat Ayat 47-50



"Maka larilah kamu menuju kepada Allah." (Az-Zariyat: 50)

Kita berada dalam kehidupan moden yang serba pantas yang menjadikan manusia sering berlari. Ada yang berlari mengejar kekayaan, jawatan, pengaruh dan pengiktirafan. Ada yang berlari daripada masalah, tekanan hidup, kegagalan dan kekecewaan. Namun Surah Az-Zariyat ayat 47 hingga 50 mengemukakan satu persoalan yang lebih mendasar, ke manakah sebenarnya arah larian kita?

Melalui empat ayat yang ringkas tetapi sarat dengan makna dalam perbincangan usrah WADAH Selangor semalam, kami difahamkan bahawa Allah SWT membawa manusia menelusuri alam semesta, merenungi fitrah penciptaan dan akhirnya mengajak mereka kembali kepada destinasi yang sebenar iaitu Allah SWT.

Allah SWT berfirman, "Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami), dan sesungguhnya Kamilah yang meluaskannya." (Az-Zariyat: 47)

Menurut Imam al-Tabari, perkataan “bi aidin” bermaksud kekuatan dan kekuasaan Allah. Langit yang terbentang luas bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi dibina oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa. Manakala perkataan “lamuusi’uun” menunjukkan keluasan dan pengembangan ciptaan Allah. Sebahagian mufassir moden melihat ayat ini selari dengan penemuan saintifik mengenai pengembangan alam semesta, namun tujuan utama ayat ini bukanlah untuk membicarakan sains semata-mata. Ia adalah seruan agar manusia melihat kebesaran Allah melalui penciptaan-Nya.

Ketika kita berada di tengah kemajuan teknologi dan pencapaian manusia hari ini, ayat ini mengingatkan bahawa sehebat mana pun kemampuan manusia, mereka tetap hidup di dalam alam yang dicipta dan ditadbir oleh Allah SWT dengan dihamparkan bumi untuk kehidupan mereka. Allah SWT meneruskan firman-Nya, "Dan bumi itu Kami hamparkan; maka sebaik-baik Yang menghamparkan ialah Kami." (Az-Zariyat: 48)

Imam al-Razi menjelaskan bahawa Allah menjadikan bumi sesuai untuk kehidupan manusia. Segala keperluan asas kehidupan disediakan seperti tanah yang subur, air yang mencukupi, udara yang sesuai dan pelbagai sumber yang membolehkan manusia hidup dan berkembang. Namun sering kali manusia terlalu sibuk mengejar apa yang belum dimiliki sehingga lupa mensyukuri apa yang telah dianugerahkan.

Ayat ini mengajarkan bahawa setiap kemudahan yang kita nikmati bukanlah hasil usaha manusia semata-mata, tetapi sebahagian daripada rahmat dan pengurusan Allah terhadap alam ini yang juga Allah ciptakan berpasangan dan itulah hakikat ketuhanan. Firman Allah seterusnya, "Dan daripada tiap-tiap sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengambil pelajaran." (Az-Zariyat: 49)

Menurut Ibn Kathir, pasangan yang dimaksudkan merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti yang semua kita maklum seperti lelaki dan perempuan, siang dan malam, matahari dan bulan, kebaikan dan keburukan atau kekuatan dan kelemahan. Segala makhluk mempunyai pasangan, pelengkap atau kebergantungan kepada sesuatu yang lain. Tetapi terdapat satu hakikat besar yang ingin ditunjukkan oleh ayat ini bahawa hanya Allah yang tidak mempunyai pasangan dan tidak memerlukan sesiapa.

Semua makhluk bersifat berhajat. Hanya Allah yang Maha Sempurna dan Maha Berdiri Sendiri, maka di sinilah letaknya asas tauhid. Semakin manusia memahami hakikat dirinya sebagai makhluk yang serba memerlukan, semakin dia menyedari bahawa tempat pergantungan yang sebenar hanyalah Allah SWT, maka datanglah seruan yang akan mengubah kehidupan.

Setelah membawa manusia melihat langit, bumi dan keajaiban ciptaan berpasangan, Allah menutup perbahasan ini dengan satu arahan yang sangat ringkas tetapi amat mendalam, "Maka larilah kamu menuju kepada Allah." (Az-Zariyat: 50)

Menurut Imam al-Tabari, maksudnya ialah, "Larilah daripada kemurkaan Allah kepada keredaan-Nya."

Ibn Kathir pula mentafsirkan, "Larilah daripada syirik kepada tauhid, daripada maksiat kepada ketaatan dan daripada azab kepada rahmat Allah."

Manakala Ibn al-Qayyim memberikan satu ungkapan yang sangat indah, "Tidak ada tempat lari daripada Allah melainkan kepada Allah."

Biasanya manusia lari daripada sesuatu yang menakutkan. Tetapi dalam hubungan dengan Allah, manusia diperintahkan untuk lari kepada Tuhan yang sama yang dia takut akan kemurkaan-Nya. Inilah hakikat taubat, pengabdian dan pergantungan kepada Allah. Inilah mungkin jawapan kepada krisis manusia moden dan keperluan kembali kepada Allah.

Hari ini manusia berhadapan dengan pelbagai krisis. Krisis keluarga, krisis identiti, krisis akhlak, krisis makna hidup dan krisis ketenangan jiwa. Walaupun kemajuan material semakin meningkat, kadar kemurungan, tekanan hidup dan keruntuhan institusi sosial juga semakin membimbangkan. Kita hidup dalam dunia yang semakin canggih tetapi semakin gelisah. Mungkin kerana ramai yang berlari ke pelbagai arah, tetapi terlupa ke mana sepatutnya mereka menuju.

Surah Az-Zariyat mengingatkan bahawa penyelesaian kepada krisis manusia bukan sekadar melalui teknologi, ekonomi atau kuasa politik. Semua itu penting, tetapi ia tidak akan menyelesaikan kekosongan jiwa. Penyelesaian asas tetap bermula dengan hubungan manusia dengan Penciptanya. Apabila hubungan dengan Allah diperbaiki, manusia akan lebih tenang menghadapi ujian, lebih adil dalam membuat keputusan dan lebih seimbang dalam menjalani kehidupan.

Susunan ayat-ayat ini sangat menarik. Allah menunjukkan kepada manusia langit yang luas, bumi yang terhampar dan sistem ciptaan yang sempurna. Kemudian Allah membuat kesimpulan yang sangat jelas, "Maka larilah kepada Allah."

Inilah mesej yang relevan sepanjang zaman. Ketika dunia semakin kompleks, larilah kepada Allah. Ketika hati semakin gelisah, larilah kepada Allah. Ketika umat berdepan pelbagai cabaran dan kekeliruan, larilah kepada Allah kerana hanya Dia tempat bergantung, tempat berharap dan tempat kembali dan sesungguhnya, larian yang paling penting dalam hidup bukanlah larian menuju dunia, tetapi larian menuju Allah SWT.

No comments: