Ketika kita menjalani kehidupan, tidak sukar untuk berlaku adil kepada orang yang kita sayangi. Kita mudah memuji sahabat yang berjasa, mempertahankan keluarga sendiri dan menyokong mereka yang sehaluan dengan kita. Namun, ujian sebenar terhadap keadilan bukanlah ketika kita bersama orang yang kita cintai, tetapi ketika kita berhadapan dengan orang yang kita tidak sukai, mereka yang berbeza pandangan, bahkan mereka yang pernah menyakiti kita. Maka, di sinilah Islam meletakkan satu piawaian akhlak yang jauh lebih tinggi daripada pertimbangan emosi dan kepentingan diri.
Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Ayat ini bukan sekadar menyeru manusia berlaku adil, tetapi mengingatkan bahawa keadilan yang sebenar ialah keadilan yang tetap teguh walaupun hati sedang dipenuhi rasa benci. Itulah sebabnya Allah mengaitkan keadilan dengan ketakwaan. Orang yang benar-benar bertakwa ialah orang yang mampu meletakkan kebenaran mengatasi kepentingan dirinya kerana keadilan adalah amanah bukan pilihan.
Hari ini, dunia sering memberi tafsiran keadilan mengikut sudut kepentingan masing-masing. Apabila keputusan memihak kepada kita, kita menyebutnya adil. Apabila ia tidak memihak kepada kita, kita mula mempersoalkannya. Islam mengajar sesuatu yang berbeza. Keadilan bukan bergantung kepada siapa yang mendapat manfaat, tetapi kepada siapa yang berada di pihak yang benar.
Seorang hakim tidak boleh menghukum berdasarkan perasaan. Seorang pemimpin tidak boleh membuat keputusan kerana tekanan penyokong. Seorang ibu bapa tidak boleh membezakan layanan terhadap anak-anak. Bahkan seorang Muslim juga tidak boleh menilai seseorang hanya kerana sentimen kaum, politik, organisasi atau latar belakang. Keadilan ialah amanah daripada Allah, bukan alat untuk mempertahankan kelompok sendiri. Inilah yang dijelaskan dalam Mizan al-’Amal, menimbang dengan neraca Allah.
Menurut catatan Mizan al-’Amal, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa sesuatu amal tidak boleh diukur hanya melalui hasil yang kelihatan, tetapi perlu ditimbang dengan neraca wahyu, hikmah dan akhlak. Sesuatu tindakan mungkin kelihatan berjaya pada pandangan manusia, tetapi jika ia dibina di atas kezaliman atau berat sebelah, maka nilainya menjadi ringan di sisi Allah. Inilah yang membezakan neraca manusia dengan neraca Tuhan.
Manusia sering menimbang berdasarkan, siapa yang bercakap, siapa yang lebih berpengaruh, siapa yang lebih dekat dengan kita atau mungkin siapa yang memberi manfaat kepada kita. Tetapi Allah menimbang berdasarkan kebenaran. Mizan al-’Amal mengajar kita supaya tidak membiarkan emosi mengatasi prinsip dan tidak membiarkan kepentingan mengatasi keadilan. Apabila kebencian menjadi asas pertimbangan, neraca kita sudah tidak lagi seimbang dan sudah tentu ia harus bermula dari diri sendiri.
Ramai orang bersemangat memperjuangkan keadilan di pentas masyarakat, tetapi terlupa menegakkannya dalam kehidupan sendiri. Adakah kita berlaku adil kepada pasangan kita? Adakah kita berlaku adil kepada anak-anak tanpa pilih kasih? Adakah kita berlaku adil kepada rakan sekerja dengan menghargai usaha mereka? Adakah kita berlaku adil ketika menulis di media sosial, atau kita hanya berkongsi maklumat yang menyokong pandangan sendiri tanpa menyemak kebenarannya?
Keadilan bukan hanya isu mahkamah atau pentadbiran negara. Ia bermula daripada cara kita bercakap, membuat keputusan dan melayani manusia setiap hari. Rasulullah SAW adalah contoh keadilan yang terbaik. Baginda tidak pernah membenarkan hubungan kekeluargaan mengatasi prinsip. Ketika seorang wanita daripada kabilah bangsawan melakukan kesalahan dan ada yang meminta hukuman diringankan kerana kedudukannya, Baginda bersabda, “Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang bangsawan mencuri, mereka membiarkannya, tetapi apabila orang lemah mencuri, mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku sendiri akan memotong tangannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa keadilan dalam Islam tidak mengenal pangkat, keturunan atau pengaruh kerana di hadapan Allah, semua manusia tertakluk kepada neraca yang sama dari keadilan inilah melahirkan kepercayaan. Setiap organisasi, keluarga dan masyarakat hanya akan bertahan apabila keadilan menjadi budaya. Apabila pemimpin berlaku adil, masyarakat akan percaya. Apabila guru berlaku adil, pelajar akan menghormati. Apabila ibu bapa berlaku adil, anak-anak akan membesar tanpa rasa dipinggirkan. Apabila organisasi mengamalkan keadilan, ahli akan terus setia kerana mereka yakin keputusan dibuat berdasarkan prinsip, bukan kepentingan individu.
Sebaliknya, apabila keadilan digantikan dengan pilih kasih, kronisme dan sentimen, kepercayaan akan runtuh sedikit demi sedikit. Mungkin organisasi masih kelihatan kuat pada zahirnya, tetapi hakikatnya ia sedang kehilangan roh. Keadilan seharusnya menjadi jalan menuju ketakwaaan. Mengapa Allah menyebut, “Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada takwa”? Kerana orang yang bertakwa sentiasa sedar bahawa Allah melihat setiap keputusan yang dibuatnya. Dia mungkin boleh menyembunyikan keberpihakan daripada manusia, tetapi tidak daripada Allah.
Keadilan memerlukan keberanian untuk berkata benar walaupun pahit. Keadilan memerlukan kejujuran untuk mengakui kesilapan sendiri. Keadilan memerlukan kebesaran jiwa untuk menerima bahawa kadang-kadang orang yang kita tidak suka sebenarnya berada di pihak yang benar. Inilah jalan menuju takwa, apabila kita lebih takut kepada penilaian Allah daripada penilaian manusia.
Dunia hari ini sangat memerlukan manusia yang adil. Bukan sekadar adil ketika keadaan memihak kepada mereka, tetapi adil walaupun ketika hati sedang dipenuhi emosi dan kepentingan. Sebagai gerakan dakwah dan masyarakat madani, WADAH Selangor harus menjadi contoh dalam membudayakan keadilan. Setiap program, keputusan dan tindakan hendaklah sentiasa ditimbang dengan Mizan al-’Amal, neraca yang mengutamakan wahyu, hikmah, akhlak dan maslahat umat mengatasi kepentingan diri atau kelompok kerana akhirnya, ukuran kejayaan bukanlah berapa ramai yang menyokong kita, tetapi sejauh mana kita mampu berdiri teguh di atas kebenaran. Keadilan bukan sekadar nilai dalam pentadbiran. Keadilan adalah ibadah dan dalam neraca Allah, keadilan sentiasa lebih tinggi daripada kepentingan.

No comments:
Post a Comment