“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (As-Saff: 2–3)
Dunia hari ini tidak kekurangan orang yang pandai bercakap. Kita hidup dalam zaman di mana ilmu boleh diperoleh hanya di hujung jari, ceramah boleh ditonton tanpa batas dan nasihat boleh disebarkan dalam beberapa saat. Namun, persoalan besar yang perlu ditanya ialah adakah ilmu yang kita miliki benar-benar membentuk akhlak dan tindakan kita?
Inilah antara persoalan utama yang dibangkitkan dalam konsep Mizan al-‘Amal atau neraca yang menimbang bukan sekadar apa yang diketahui, tetapi sejauh mana ilmu itu diterjemahkan menjadi amal dan perubahan diri. Petikan dalam ucapan dasar WADAH Selangor bertajuk “Mizan al-‘Amal: Jalan Kebangkitan Umat & Peranan WADAH Selangor”, ditegaskan bahawa salah satu krisis terbesar umat masa kini ialah jurang yang semakin melebar antara ilmu dan amal dan ia memberikan gambaran bahaya apabila ada ilmu tanpa amal.
Al-Quran memberikan peringatan yang sangat tegas kepada mereka yang bercakap tentang kebaikan tetapi gagal melaksanakannya. Surah As-Saff ayat 2 hingga 3 bukan sekadar teguran kepada individu tertentu, tetapi satu prinsip kehidupan yang perlu sentiasa dihayati oleh setiap Muslim.
Imam al-Ghazali menjelaskan tentang Mizan al-‘Amal dengan menegaskan bahawa amal yang diterima bukan hanya bergantung kepada bentuk luaran, tetapi juga kepada keikhlasan, kefahaman dan kesan yang dihasilkan kepada diri serta masyarakat. Amal yang tidak berpaksikan ilmu boleh tersasar, tetapi ilmu yang tidak menghasilkan amal juga menjadi sia-sia.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang alim yang dihumbankan ke dalam neraka sehingga ususnya terburai. Apabila ditanya mengapa dia menerima azab sedemikian, dia menjawab, “Aku menyuruh manusia melakukan kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Aku melarang manusia daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya.”
Hadis ini menggambarkan bahawa ilmu semata-mata tidak menjamin keselamatan. Sebaliknya, ilmu yang tidak melahirkan amal boleh menjadi hujah yang memberatkan seseorang di hadapan Allah SWT dan dengan adanya ilmu sepatutnya akan memanggil amal.
Hasan al-Basri pula pernah mengungkapkan kata-kata yang sangat mendalam, “Ilmu itu memanggil amal. Jika amal tidak menyahut, ilmu akan pergi.” Kata-kata ini mengandungi satu hakikat besar. Ilmu bukan sekadar maklumat yang tersimpan di dalam fikiran. Ilmu ialah cahaya yang sepatutnya menggerakkan hati, membentuk akhlak dan memandu tindakan.
Seseorang mungkin mengetahui kewajipan solat, tetapi ilmu itu belum benar-benar hidup jika dia masih meremehkannya. Seseorang mungkin memahami kepentingan amanah dan integriti, tetapi ilmu itu belum berfungsi jika dia masih berbohong atau menyalahgunakan kuasa. Maknanya, ukuran sebenar ilmu bukanlah berapa banyak yang diketahui, tetapi sejauh mana ia mengubah cara hidup seseorang.
Antara cabaran besar masyarakat hari ini ialah lambakan maklumat tanpa panduan hikmah. Ramai mengetahui pelbagai perkara, tetapi semakin sedikit yang benar-benar menghayati nilai yang dipelajari. Fenomena ini turut disentuh dalam ucapan dasar Mizan al-‘Amal apabila disebut bahawa masyarakat kini berhadapan dengan kebanjiran maklumat, namun kehilangan panduan ilmu yang sebenar. Ilmu sering menjadi alat untuk menunjuk kepandaian, bukan jalan menuju ketakwaan.
Akibatnya, lahirlah masyarakat yang banyak berbicara tentang akhlak tetapi gagal mempraktikkannya, banyak berbincang tentang perubahan tetapi enggan berubah, banyak mengkritik tetapi kurang menyumbang, banyak menuntut hak tetapi lupa melaksanakan tanggungjawab. Inilah penyakit yang akhirnya melemahkan umat dari dalam.
Mulakanlah perubahan dengan diri sendiri. Sering kali kita terlalu sibuk melihat kelemahan orang lain sehingga terlupa memperbaiki diri sendiri. Kita mudah menuntut perubahan daripada masyarakat, organisasi, pemimpin atau generasi muda, tetapi jarang bertanya, “apakah perubahan yang telah aku lakukan terhadap diriku sendiri?”
Para ulama mengingatkan bahawa reformasi sebenar sentiasa bermula daripada individu. Allah SWT sendiri berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra‘d: 11)
Perubahan yang besar bermula dengan langkah yang kecil tetapi istiqamah. Menjaga solat tepat waktu, memperbaiki hubungan dengan keluarga, berlaku jujur dalam pekerjaan dan mengawal lidah daripada menyakiti orang lain dan semua ini mungkin kelihatan kecil, tetapi inilah amal-amal yang membina masyarakat yang lebih baik.
Umat Islam pernah menjadi pemimpin tamadun dunia bukan kerana mereka memiliki ilmu semata-mata, tetapi kerana mereka hidup dengan ilmu tersebut. Ilmu melahirkan adab. Adab melahirkan amal. Amal melahirkan peradaban. Hari ini, kebangkitan umat tidak bermula dengan slogan atau retorik. Ia bermula apabila setiap individu berusaha menjadi contoh kepada apa yang diucapkannya. Apabila ilmu diterjemahkan menjadi tindakan, maka dakwah menjadi lebih berkesan daripada seribu ucapan.
Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita bermuhasabah. Jangan sekadar menjadi orang yang tahu, tetapi jadilah orang yang mengamalkan apa yang diketahui. Jangan hanya menyeru orang lain kepada kebaikan, tetapi mulakanlah dengan diri sendiri kerana pada akhirnya, Allah SWT tidak akan bertanya berapa banyak ceramah yang kita dengar, berapa banyak buku yang kita baca atau berapa banyak nasihat yang kita berikan. Sebaliknya yang akan ditimbang ialah sejauh mana ilmu itu membentuk amal dan kehidupan kita.
Mizan al-‘Amal mengajar kita bahawa ukuran kejayaan bukanlah banyaknya ilmu yang dimiliki, tetapi sejauh mana ilmu itu menjadikan kita hamba yang lebih taat, manusia yang lebih berakhlak dan khalifah yang lebih bermanfaat. “Mulakanlah perubahan dengan diri sendiri sebelum menuntut perubahan daripada orang lain. Kerana dakwah yang paling kuat bukanlah pada kata-kata, tetapi pada teladan yang hidup.”

No comments:
Post a Comment