Tuesday, June 23, 2026

Surah Al-Anbiya’ Ayat 1-3: Apabila Hati Menjadi Lalai



“Telah dekat kepada manusia perhitungan mereka, sedang mereka dalam kelalaian dan berpaling.” (Surah Al-Anbiya’: 1)

Pernah tak kita terfikir, apa perkara yang paling banyak dipenuhkan dalam hati dan fikiran kita setiap hari? Ada yang sibuk memikirkan pekerjaan, ada yang memikirkan keluarga, ada yang memikirkan kewangan dan tak kurang juga yang menghabiskan masa memikirkan perkara-perkara yang akhirnya tak bawa manfaat yang besar pun dalam hidup. Dek kerana kesibukan itulah, Allah membuka Surah Al-Anbiya’ dengan satu peringatan yang cukup menggetarkan jiwa, “Telah dekat kepada manusia perhitungan mereka…”

Ayat ini tak sebut kiamat akan datang suatu hari nanti, tapi Allah nyatakan bahawa perhitungan manusia telah dekat. Ini mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia bukanlah destinasi terakhir. Setiap hari yang berlalu sebenarnya membawa kita makin dekat kepada saat bertemu Allah. Tak kiralah orang tu berumur 20 tahun, 40 tahun atau 60 tahun, hakikatnya perjalanan menuju akhirat tetap sedang berlangsung. Persoalannya bukan berapa lama lagi kita akan hidup, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menghadapi hari perhitungan itu.

Allah kemudian gambarkan keadaan manusia yang telah terima peringatan demi peringatan, tapi mereka mendengarnya sambil main-main. Mereka mendengar tapi tak hayati. Mereka tahu tapi tak ambil peduli. Mereka faham tapi tak cuba ubah diri. Inilah salah satu penyakit yang sering menimpa manusia apabila hati mula terbiasa dengan kebenaran sehingga peringatan tidak lagi memberi kesan.

Jika kita lihat dan nilai, cabaran ini juga sangat dekat dengan kehidupan kita hari ini. Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan maklumat dan hiburan. Setiap hari kita menerima puluhan notifikasi, tonton pelbagai video dan baca pelbagai kandungan. Namun dalam lambakan maklumat itu, berapa banyak yang bawa kita lebih dekat kepada Allah? Kadangkala kita dengar bacaan al-Quran, ikut kuliah agama atau baca artikel peringatan, tapi semuanya berlalu tanpa meninggalkan kesan yang mendalam pada hati.

Menariknya, Allah tidak menyebut bahawa telinga mereka yang lalai. Sebaliknya Allah berfirman, “Hati mereka dalam keadaan lalai.” Ini menunjukkan bahawa masalah sebenar bukan pada pendengaran, tetapi pada hati. Dua orang boleh dengar ayat yang sama. Seorang menangis dan berubah, tapi seorang lagi tak rasak apa-apa. Ayat yang dibaca sama, cuma keadaan hati yang berbeza menentukan bagaimana seseorang menerima hidayah.

Para ulama menjelaskan bahawa antara punca hati menjadi lalai ialah terlalu cinta kepada dunia, banyak melakukan dosa tanpa taubat, kurang mengingati Allah dan terlalu sibuk dengan perkara-perkara yang sia-sia. Apabila hati dipenuhi oleh urusan dunia semata-mata, akhirat akan semakin jauh daripada pandangan. Sedikit demi sedikit, peringatan yang dahulunya menyentuh jiwa menjadi biasa dan akhirnya tidak lagi memberi kesan.

Ayat-ayat awal Surah Al-Anbiya’ sebenarnya adalah satu bentuk kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Sebelum datangnya kematian, Allah ingatkan. Sebelum tibanya hisab, Allah beri peluang untuk berubah. Sebelum pintu taubat ditutup, Allah ajak manusia kembali kepada-Nya. Peringatan ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan.

Mungkin hari ini adalah masa yang sesuai untuk kita bertanya kepada diri sendiri, apakah yang paling banyak memenuhi hati dan fikiran kita? Adakah kita sedang bergerak semakin dekat kepada Allah atau semakin tenggelam dalam kelalaian? Apabila Allah menggambarkan keadaan hati kita pada hari ini, apakah perkataan yang paling sesuai, hati yang sedar atau hati yang lalai?

Semoga Surah Al-Anbiya’ ayat 1 hingga 3 menjadi cermin untuk kita melihat keadaan diri sendiri dan ambillah langkah untuk kembali mendekatkan hati kepada Allah sebelum tibanya hari perhitungan yang pasti.

No comments: