Setiap impian bermula dengan ilmu maka di sebalik setiap kejayaan yang kita lihat hari ini, pasti ada satu perjalanan yang panjang. Tiada seorang doktor yang terus mahir tanpa melalui proses pembelajaran. Tiada seorang guru yang mampu mendidik tanpa menuntut ilmu. Tiada seorang jurutera yang membina bangunan pencakar langit tanpa menguasai ilmu kejuruteraan. Begitu juga tiada seorang pemimpin yang mampu memimpin masyarakat dengan baik tanpa memiliki ilmu, hikmah dan pengalaman.
Malangnya, masih ramai pelajar melihat belajar sebagai satu beban. Buku dianggap membosankan, kerja sekolah dirasakan menyusahkan, manakala peperiksaan menjadi sesuatu yang menakutkan. Hakikatnya, belajar bukan tentang peperiksaan semata-mata. Belajar adalah proses membina diri untuk menghadapi kehidupan. Ilmu adalah langkah pertama ke arah kejayaan.
Kejayaan bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula daripada langkah-langkah kecil yang dilakukan setiap hari. Apabila seorang pelajar membuka buku untuk membaca, dia sebenarnya sedang membina asas masa depannya. Setiap ilmu yang dipelajari akan menjadi bekalan untuk menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks. Tidak kira apa cita-cita seseorang, semuanya bermula dengan ilmu. Tanpa ilmu, impian hanyalah angan-angan dan dengan ilmu, impian mempunyai jalan untuk menjadi kenyataan. Tangga kejayaan dibina satu anak tangga pada satu masa.
Ramai orang hanya melihat puncak kejayaan, tetapi jarang melihat tangga yang perlu didaki untuk sampai ke sana. Jika diperhatikan, perjalanan menuju kejayaan sebenarnya melalui beberapa peringkat penting. Pertama belajar. Segala-galanya bermula dengan belajar. Membaca, bertanya, mendengar, mengkaji dan berlatih adalah proses mengumpulkan ilmu. Semakin banyak ilmu yang dimiliki, semakin luas pandangan seseorang terhadap kehidupan.
Kedua berusaha. Ilmu sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan usaha. Kejayaan menuntut kesungguhan, disiplin dan istiqamah. Orang yang berjaya bukan kerana mereka paling bijak, tetapi kerana mereka tidak berhenti berusaha. Ketiga adalah membina kemahiran. Ilmu perlu diterjemahkan kepada kemahiran. Kemahiran berfikir, berkomunikasi, menyelesaikan masalah, bekerjasama dan memimpin merupakan aset yang sangat bernilai dalam kehidupan. Boleh kita fahami bahawa di sinilah punca seseorang mula membentuk nilai dirinya.
Keempat membuka peluang. Apabila seseorang mempunyai ilmu dan kemahiran, peluang akan mula terbuka. Peluang melanjutkan Pelajaran, mendapat pekerjaan, menjadi usahawan dan mungkin juga peluang untuk menyumbang kepada masyarakat. Ramai yang menyangka peluang datang kerana nasib, sedangkan kebanyakan peluang datang kerana seseorang telah membuat persediaan. Kelima mencapai kejayaan. Kejayaan bukan sekadar memperoleh gaji yang tinggi atau jawatan yang besar. Kejayaan sebenar ialah apabila seseorang mampu mencapai impiannya sambil memberi manfaat kepada orang lain. Inilah kejayaan yang membawa kebahagiaan dan keberkatan.
Siapa kita pada hari esok? Hari ini kita hanyalah seorang pelajar. Namun ilmu yang dipelajari hari ini mampu menentukan siapakah kita pada masa hadapan. Mungkin suatu hari nanti kita menjadi seorang doktor yang menyelamatkan nyawa, seorang guru yang membentuk generasi baharu. Mungkin kita menjadi seorang jurutera yang membina infrastruktur negara atau mungkin kita menjadi seorang saintis yang menemui inovasi baharu untuk manusia. Mungkin kita menjadi seorang usahawan yang membuka ribuan peluang pekerjaan atau mungkin juga kita menjadi seorang pemimpin yang membawa masyarakat ke arah perubahan yang lebih baik. Apa sahaja profesion yang kita impikan, semuanya mempunyai satu persamaan. Ia bermula dengan belajar.
Ilmu yang tidak memberi manfaat belum sempurna nilainya. Islam meletakkan ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi. Namun, matlamat ilmu bukan sekadar untuk dibanggakan atau menghiasi sijil. Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang melahirkan manfaat. Rasulullah SAW mengajar kita supaya sentiasa memohon ilmu yang bermanfaat. Ini menunjukkan bahawa nilai ilmu bukan hanya pada banyaknya pengetahuan yang dimiliki, tetapi sejauh mana ilmu itu memperbaiki diri dan memberi kebaikan kepada orang lain.
Apabila ilmu melahirkan akhlak yang baik, kejujuran, amanah dan kasih sayang, maka ilmu tersebut telah mencapai tujuan yang sebenar. IQ Class Management dalam Model Transformasi Diri Berasaskan Ilmu (I-T.U.N.E) yang dibangunkan hasil pengalaman kami, perubahan seseorang bermula daripada I – Ilmu. Ilmu membuka ruang untuk seseorang Teroka diri, mengenal potensi yang Allah kurniakan kemudian daripada proses itu lahirlah kesedaran untuk Ubah sikap, meninggalkan kelemahan dan membina disiplin yang lebih baik. Seterusnya individu akan Nilai diri melalui muhasabah yang berterusan sebelum akhirnya mengalami Evolusi pemikiran, iaitu perubahan cara berfikir yang lebih matang, berprinsip dan berpandangan jauh. Justeru, belajar bukan sekadar aktiviti di dalam kelas. Belajar ialah titik mula kepada transformasi kehidupan.
Hari ini mungkin kita penat mengulang kaji pelajaran. Hari ini mungkin kita berasa sukar memahami sesuatu topik. Hari ini mungkin kita gagal dalam satu ujian. Tetapi jangan biarkan kegagalan hari ini menghentikan perjalanan menuju kejayaan. Ingatlah bahawa setiap buku yang dibaca, setiap ilmu yang dipelajari dan setiap usaha yang dilakukan sedang membina masa depan yang belum kita lihat.
Belajarlah bukan kerana takut kepada peperiksaan, tetapi kerana kita ingin menjadi manusia yang mampu memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara kerana akhirnya, kejayaan bukan sekadar sampai ke puncak, tetapi menggunakan ilmu untuk mengangkat martabat manusia.
"Belajar hari ini, membina masa depan. Ilmu membina diri, adab mengangkat martabat." – KAMZ | IQ Class Management

No comments:
Post a Comment