Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

Thursday, March 17, 2022

Minat Dan Kerjaya: Diari Baru

Tahun-tahun pandemik ni memang mencabar betul. Masa ni lah, apa yang aku minat dan ada keseronokan untuk buat terhalang. Berjumpa orang, berbincang dan berkongsi pandangan, memberikan kata-kata semangat depan orang, semua terhalang. Allah betul-betul Maha Tahu. Dia sahaja yang tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk aku. Aku sendiri pun tak tahu, buntu memikir, apa pulak lepas ni aku dengan company aku IQ Class Management ni nak dihalakan lagi.

Ni bukan aku mengeluh, tapi sah berpeluh jugak la. Start je tutup semua bila PKP, program-program sekolah berhenti, terduduk jugakla memikir, macamana nak buat. Setiap hari menunggu mengharapkan dibuka semula, tetapi sampai sekarang, aku masih belum kembali untuk beraksi dipentas program sekolah. Sekarang tu maknanya lebih 2 tahun, start 2020, dan sekarang dah 2022. Apa aku buat ek dalam tempoh masa ni? Lama jugak rupanya. Pada satu masa aku fikir, kemodenan ini mustahil boleh paksa aku ikut dia, tetapi Allah itu Maha Kaya, Maha Tahu dan Maha Mendengar, mungkin masa tu aku ada perasaan bangga diri yang aku tak kan terima perubahan ini secara drastik.

Tetiba pandemik datang. Macam biasa, aku ni memanglah tak mudah panik, tapi bila dah empat lima bulan kat rumah tanpa perancangan teliti, tanpa kantong duit yang melimpah, terasalah macam air dah nak masuk hidung dah. Maka, tanpa sebarang sebab lain, mudah sahaja Allah jadikan sebab kepada aku utk belajar mengenai teknologi ni. Berusahalah aku untuk bangkit dengan minat ini. Sebab aku ada minat dan kerjaya yang seiring, nampak mudah, tetapi penuh cabaran. Orang menafsir kita mengikut selera mereka. Ada yang kata, senang buat duit kerja sendiri ni, ada betulnya juga tapi, aku kerja ni bukan semata-mata kerjaya, tapi passion! Oleh sebab tu, pada kedudukan aku ni, bukan hiraukan sangat mengenai bayaran, tapi, kita sebolehnya nak all out apa yang kita ada untuk deliver. Selalunya untung jadi kecik sebab itu, tapi itu salah aku jugak la. Almaklumlah, kita ni bukan figure ternama yang bayaran kita makan ribu perjam.

Ada jugak yang menyangka, bidang aku ni, bayar murah, maknanya low quality. Aku sebenarnya nak buktikan yang mereka salah. Tapi menjadi cabaran juga, bila kota letak harga berpatutan, masih minta diskaun. Bila datang orang besar, ternama, masuk TV, diorang sanggup bayar lima puluh kali ganda lebih mahal! Sakit hati. Akhirnya, tahun berikutnya, cari aku balik, minta diskaun lagi, sampai aku pernah cakap dengan cikgu sekolah tu, "Kalau cikgu bayar saya macam tu, saya boleh datang buat program kat sekolah cikgu sepuluh kali setahun dengan kualiti lebih baik".

Tapi ni cerita dulu la kan. Buat apa lah nak dikenang-kenangkan sangat. Cuma ke hadapan ni macam mana? Sejujurnya, IQ Class Management ni masih belum jelas jalannya dengan keadaan ekonomi yang sebegini. Regu-regu aku dalam IQ pun terpaksa memilih haluan dan jalan masing-masing untuk hidup, maka aku pun perlu letak hala tuju yang memungkinkan aku kekalkan minat ini tapi mungkin melalui kerjaya yang baharu. Sinar itu ada tapi sampai bila? Dan sampai mana mungkin? Teka-teki yang aku perlu teroka jawapannya.

IQ Clas Management? Aku takkan tinggalkan. Cuma ia perlu hala tuju baru dan lebih cerah. Ia amat sinonim dengan diri aku. Melekat dan aku tak nak lepaskan. Moga diberi kekuatan untuk ia kembali dimanfaatkan satu masa nanti. Harap ia akan mampu kembali!

Sunday, August 30, 2020

KEUTAMAAN PEMBINAAN SIKAP BAGI SEORANG FASILITATOR

Selama mengendalikan program latihan dan bimbingan fasilitator baru ataupun lanjutan dipelbagai peringkat sasaran, didapati terdapat satu permasalahan utama yang mengundang rasa kurang senang para fasilitator terhadap potensi dan keupayaan sebenar setiap mereka dalam mendepani pelbagai kelompok dalam dunia latihan yang bakal mereka terjun ke dalamnya. Jika merujuk kepada Konsep ABCDE Fasilitator yang ketiga, ia merupakan isi penting di dalam salah satu senarai Ciri Fasilitator itu sendiri. Ciri tersebut adalah untuk mereka memiliki keupayaan memotivasikan diri sendiri yang diterjemahkan melalui Teori Motivasi S.M.A.R.T.. Teori ini menekankan lima ciri penting dan yang menjadi jantungnya adalah huruf 'A' dan sekiranya huruf itu digantikan kepada huruf vokal yang lain, pasti akan menghasilkan bunyi sebutan yang berbeza dari perkataan asalnya. Huruf 'A' disitu ditakrifkan sebagai 'attitude' atau sikap. Tidak dapat kita nafikan, sikap ialah sesuatu yang sukar untuk diukur (konstruk hipotetikal). Kebanyakan skala mengandaikan bahawa sikap boleh diukur melalui pendapat atau kepercayaan seseorang terhadap sesuatu objek sikap. Sikap adalah konsep abstrak yang merujuk kepada proses-proses dan kejadian-kejadian yang dijangkakan berlaku di dalam diri seseorang tetapi tidak boleh dilihat atau diukur secara langsung.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, terdapat beberapa kelompok fasilitator yang mahu memakai gelaran ini tetapi tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab atas peranan sebenar mereka. Keutamaan pembinaan sikap bagi seorang fasilitator adalah untuk memastikan mereka mempunyai sikap yang baik dan tepat sepanjang penglibatan dalam dunia fasilitator khususnya apabila mereka berhadapan dengan peserta yang sentiasa melihat diri mereka sebagai ejen perubahan yang boleh dijadikan contoh dan iktibar. Fasilitator terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang memerlukan perubahan sikap dalam kelompok bimbingan. Oleh sebab yang demikian, pembentukan sikap yang dibentuk sejak kanak-kanak melalui proses sosialisasi yang akhirnya menghasilkan seorang individu fasilitator itu seharusnya baik dan positif. Namun, ini tidak bermakna, tiada harapan bagi mereka yang melalui proses sebaliknya, bahkan kelompok inilah yang harus memberi perhatian terhadap pembinaan sikap baru buat diri mereka yang lebih baik pada masa akan datang. Secara umum, sikap terbentuk melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup.

Sebab itulah di dalam Konsep ABCDE Fasilitator yang kedua, pertama sekali akan ditekankan tentang budaya ilmu dalam I-T.U.N.E.. Huruf 'I' itu merujuk secara khusus kepada ilmu kerana secara hakikatnya, pembinaan sikap atau perubahan padanya adalah sesuatu yang mustahil akibat dari pengaruh persekitaran, agama, budaya dan adat resam yang tebal di dalam diri seseorang. Secara logika, tidak mungkin seseorang yang telah hidup dengan sikap itu melebihi dari 20 tahun akan berubah hanya dalam masa kurang dari 48 jam (3 hari 2 malam). Namun, dengan penambahan ilmu pada diri seseorang beserta dengan kepercayaan kepada kepentingan perubahan itu akan membawa lebih banyak kebaikan, akan mewujudkan kecenderungan untuk mengurangkan nilai negatif itu dengan cara mengubah sikap negatif itu sedikit demi sedikit sehingga sesuai dengan harapan ditetapkan. Akhirnya ia akan menjadi satu sikap baru buat diri kita untuk masa hadapan. Ini yang disebut sebagai Disonans Kognitif oleh Leon Festingerm seorang ahli psikologi sosial Amerika. Keutamaan pembinaan sikap ini akan membantu beberapa kelompok sasaran bimbingan fasilitator khususnya bagi mereka yang suka meniru atau mengikuti perbuatan orang lain.

Segala usaha untuk membina sikap seorang fasilitator perlu dilihat dari 3 komponen bermula dengan afektif atau perasaan terhadap objek atau sesuatu berkenaan. Kemudian lagi adalah kognitif iaitu kepercayaan terhadap keadaan sebenar objek atau sesuatu berkenaan secara objektif berdasarkan kepada maklumat yang ada serta yang terakhir adalah tingkah laku atau cara seseorang itu sebenarnya bertindak atau bercadang untuk bertindak terhadap objek atau sesuatu berkenaan berdasarkan komponen-komponen afektif dan kognitif tadi. Sebab itu, jika dilihat dari segi definisi sikap adalah suatu kecenderungan untuk bertindakbalas kepada sesuatu rangsangan melalui cara-cara tertentu. Maknanya, komponen terakhir itu yang biasanya akan mendominasi 2 komponen lain dalam melahirkan sikap kita terhadap sesuatu perkara. Fasilitator mempunyai peranan menjadi contoh dan memberikan bimbingan kepada kelompok mereka, maka seharusnya sikap mereka akan berfungsi untuk;
  1. memberi makna dan arah bagi sesuatu pengalaman dengan menyediakan suatu struktur rujukan (frame of reference) untuk menilai sesuatu keadaan, objek atau seseorang;
  2. membantu seseorang untuk menyesuaikan diri di dalam sesuatu kelompok pelajar bimbingan supaya dapat diterima;
  3. membolehkan seorang fasilitator menonjolkan keterampilan diri yang positif serta;
  4. melindungi kita daripada mengaku secara terbuka sebarang kekurangan peribadi yang ada (ego-defensive).

Secara kesimpulannya, keutamaan pembinaan sikap fasilitator ini bukan sahaja khusus untuk diri mereka sendiri, bahkan lebih banyak kepada sesiapa yang akan mereka bimbing pada masa hadapan. Fasilitator yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan orang lain akan membiarkan sikap negatif terus bersarang dalam diri serta membenarkan segala keburukan ditonton bahkan dicontohi oleh kelompok bimbingan mereka sendiri. Maka menjadilah kita insan yang bukan mewariskan kebaikan tetapi keburukan yang menjadi bekalan berpanjangan untuk diri kita sendiri. Bercakap tentang perubahan memang mudah tetapi, yang lebih utama adalah untuk berusaha melakukan perubahan. Tambahkan ilmu pengetahuan dan lakukan perubahan sekarang.

Saturday, August 15, 2020

MUKTAMAR BELIA ISLAM SELANGOR KALI KE 48

Saya diberi kesempatan untuk turut hadir dalam Majlis Perasmian Muktamar Belia Islam Selangor kali ke 48 hari ini (15 Ogos 2020) di Perpustakaan Tun Raja Uda Shah Alam mewakili WADAH Selangor bagi mendengar ucapan YDP ABIM Selangor dengan tema pilihan, "Gerakan Berprinsip Dan Dinamik Dalam Norma Baharu." Saya mulakan dengan perasaan bangga dan ucapan tahniah untuk melihat generasi mereka ini memiliki keberanian untuk bercerita tentang zaman hari ini dan akan datang tanpa meninggalkan pengkisahan sejarah yang lalu. Secara jelas beliau menyebutkan bahawa generasi ABIM adalah generasi yang mengenang jasa tetapi tidak menjadikan sejarah silam itu sebagai semata-mata kepentingan dan batu loncatan untuk meneruskan kegemilangan. Beliau memetik pepatah inggeris yang berbunyi, "If you are the surfer, you don't confuse yourself with the wave." Petikan ini amat tepat sekali untuk diterjemahkan bagaimana seorang 'surfer' mengambil manfaat ombak itu untuk mengangkat dirinya tanpa melupai kepentingan dirinya juga yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu agar ombak itu menjadi pemangkin untuknya pergi jauh, lebih tinggi dan lebih yakin melaluinya.

Saya yakin, para penggerak ABIM di luar sana sedar akan sejarah yang telah dilakar bagaimana gerakan ini dimulakan bukan atas dasar kepentingan kewangan, kedudukan atau pangkat yang dijanjikan, sebaliknya, ia dibangunkan oleh sekumpulan masyarakat yang melihat pelbagai kekurangan dan kepincangan yang berlaku pada umat melalui kaca mata para cendikiawan dalam dan luar negara. Keimanan dan keIslaman mereka itu dahulu mendasari segala pergerakan sehingga wujud pemikiran atau gagasan 'manhaj maliziy' yang mana kesannya sehingga mewujudkan pemikiran ahli ABIM tidak boleh bekerja dalam kerajaan. Pada ketika awal pergerakan ini, ABIM begitu kuat menjadi organisasi yang memberi tekanan kepada kerajaan serta mendahului peranan sebagai 'the enlightenment power group' sehingga menghasilkan gelombang Islamisasi secara 'subtle and gradual'. Melalui kaedah keMalaysiaan inilah ABIM mengatur langkah pada waktu ramai kelompok Islamis berakujanji dengan Ikhwanul Muslimin, ia menarik tangan walaupun idea-idea mereka itu merata dalam pemikiran para ahli gerakannya. Bahkan ABIM tidak terpengaruh dengan kebanyakan idea revolusi yang diketengahkan sebaliknya mengambil jalan tengah menghadapi kepelbagaian di Malaysia. Kesedaran para penggerak ABIM dahulu mengenai kemajmukan Malaysia menjadikan pendekatan yang dipilih lebih menyantuni kepelbagaian tersebut tanpa meninggalkan jati diri Islam dan keMelayuan bangsa.

Walaupun ABIM telah dipadankan dengan pelbagai kelompok, apatah lagi apabila individu seperti DS Anwar Ibrahim itu berada dihadapan, maka ABIM secara terus menerus menerima kecaman dan tidak kurang juga yang sentiasa memberikan dorongan dan melihat ABIM sebagai sebuah organisasi yang terkehadapan. Saya menilai, walau apapun pandangan masyarakat terhadap ABIM, ia masih berperanan kepada masyarakat dengan tata cara yang tersendiri. Pemikiran dan pandangan bahawa tidak ada yang lebih utama berbanding dakwah menjadikan para penggerak ABIM berada hampir di setiap kelompok masyarakat tidak kira dalam lapangan politik, pentadbiran, kemasyarakatan, pendidikan dan banyak lagi. Realiti ini saya amat bersetuju sebagai yang dicatatkan di dalam ucapan YDP dengan jelas menunjukkan bagaimana ABIM mampu meneruskan peranan kepada masyarakat secara dinamik. Kedinamikaan itulah bukti kebeliaan ABIM itu sendiri dan para penggeraknya harus mengambil keberanian untuk berbuat selagi mana ia boleh diterima pakai dari sudut syariat Islam. YDP  juga menjelaskan tentang norma baharu yang dihadapi, dan beliau sangat optimis akan peluang yang terhidang melaluinya dan disinilah kedinamikaan itu diperlukan untuk melatari kehidupan masyarakat yang berada dalam keadaan tertekan dan masing-masing kebuntuan bagaimana untuk meneruskan kehidupan.

Keberanian YDP menyatakan pendirian mengenai politik semasa, perlu diketengahkan dalam bentuk pendidikan dalam masyarakat mengenai kuasa rakyat terhadap wakil rakyat mereka. Sudah pasti, mendidik masyarakat bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa semalaman, namun, sejarah ABIM telah membuktikan bagaimana proses Islamisasi berlaku dalam masyarakat negara ini, mengubah corak pemikiran dan kehidupan sehingga akhirnya kini ia menjadi norma yang sudah tidak dapat dipisahkan. Usaha itu perlu dimulakan. Retorika perubahan perlu didendangkan. Pemimpin dipilih untuk berkhidmat bukan untuk mendapatkan perkhidmatan. Mereka perlu sedar, mereka yang menawarkan bakti, bukan bakti mereka ditagih. Maka, syor saya, ABIM Selangor khususnya perlu lebih cermat dalam perhubungan politik dan pada masa yang sama sentiasa menjadi rakan dalam membangun masyarakat. Rakyat diberi tongkat, wakil rakyat diberi ingat. Maka setiap jalan ABIM kepada masyarakat perlu menghasilkan beberapa bentuk tinjauan dan kajian masyarakat yang dapat membentuk hala tuju jelas bagaimana rakyat boleh diperkasakan sehingga wakil rakyat sedar bahawa hayat mereka berada dalam tangan rakyatnya.

Benar sebagaimana kalam YDP, setiap amalan ada kesannya. Kesannya bukan di sana, tetapi akan dirasai juga di sini. Sama ada amalan baik atau buruk, dirasai di dalam hati. Ia akan berbekas dan akan kekal di dalamnya. Sebab itu, penyakit hati adalah penyakit yang tiada ubatnya melainkan kembali kepada yang Maha Pencipta. Teringat saya pada pesanan seorang 'alim kepada saya, terjemahan surah Ibrahim ayat tujuh yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih."

Azab yang dimaksudkan itu bukan hanya di akhirat sana, bahkan, di dunia lagi Allah s.w.t. telah sediakan azab itu dengan kehidupan yang sukar, kehidupan yang bercelaru dan keliru. Bersyukur tidak hanya dengan ungkapan 'Alhamdulillah'. Ayat lima dalam surah yang sama diperintahkan bersyukur ini secara khusus diberikan kepada kaum Nabi Musa 'alaihissalam yakni Bani Israil. Tetapi, pada ayat itu tercatat bahawa bersyukur saja tidak cukup, umat Nabi Musa harus mampu menahan diri atau bersabar terhadap hal-hal yang kurang atau lebih-lebih lagi pada perkara yang tidak disukai. Peringatan ini juga terpakai kepada umat Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam. Jadi, jika kita soroti pula pada lafaz syukur yang terdiri dari huruf syin, kaf, dan ra’, secara bahasa, ia membawa makna membuka, menampakkan, menyingkap, dan menunjukkan. Catatan Ahmad Ibn Faris dalam karyanya Maqayis al-Lughah menjelaskan terdapat empat makna dari kata ini. Pertama, adalah pujian kerana adanya kebaikan yang kita dapat. Kedua, syukur juga bermakna penuh atau lebat. Oleh yang demikian, dua makna tersebut adalah terkait langsung dengan sikap manusia yang redha dan berasa puas atas nikmat Allah s.w.t., tidak kira banyak atau sedikit. Inilah yang dapat saya simpulkan melalui penjelasan oleh YDP dalam ayat 'Every act of goodness enlightens the soul'. Sebab itu sebagai penggerak ABIM, pepatah yang pernah saya dengar ungkapannya melalui Pengerusi WADAH Selangor, saya percaya dari ungkapan Indonesia, 'buat jahat biar sekali, buat baik jangan sekali' seharusnya menjadi pedoman dan muhasabah.

Jadilah seperti pokok mangga, dibaling kasut, dibalasnya buah mangga. Walaupun apa orang kata, dan buruk-burukkan, tetaplah kita pada kerja memberi kerana pesanan Pak Natsir, 'hidup adalah memberi hidup'. Namun, saya pernah juga menyatakan kepada rakan-rakan saya, sekali-sekala perlu juga jadi seperti lebah, dibaling kasut, si pembaling disengat, madunya beri manfaat pada orang lain. Saya amat bersetuju dengan 'core business' ABIM seperti yang dinyatakan oleh YDP tadi. Beliau menyingkap pesanan Dato' Dr. Siddiq Fadhil, wibawa gerakan ini terletak pada ciri-ciri ilmuwan berakhlak mulia. Lawanlah sifat egois, angkuh, tamak dan tidak berdisiplin. Pembinaan dalaman diri seharusnya menjadi keutamaan kerana itulah tarbiyah harakah mesti diletakkan dihadapan. Persiapan itu amat penting bagi memenuhi keperluan kita nanti dari sudut pembangunan sosial, kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan miskin bandar dan pengukuhan institusi. Tidak mungkin, ABIM akan mampu menogkah arus yang semakin mencabar ini, menjawab pelbagai tohmah dan fitnah dunia ini, memberi harapan dan sinar kepada yang memerlukan jika hati luhur tiada budi dan erti.

Kita Tenaga jati gah berjuang demi keadilan;
Kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.
(rangkap dalam sajak Di Atas Padang Sejarah oleh A. Samad Said)

Berjuang demi keadilan dan kebenaran adalah dakwah dan ia menuntut kita untuk istiqamah. Maka bersedialah diri kita setiap masa untuknya. Berhentilah dari beralasan atau berasa selesa dengan apa yang kita ada. Kisah dan amaran Allah s.w.t. harus dijadikan pengajaran dan panduan buat kita semua sebagai penggerak dakwah. "Dan datanglah pula orang-orang yang menyatakan uzurnya dari orang-orang "A'raab", memohon supaya mereka diizinkan (tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik di antara mereka) yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk (mendiamkan diri). (Oleh itu) orang-orang yang kafir di antara mereka, akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (At-Taubah ayat 90).

Sunday, August 2, 2020

PRA SYARAT FASILITATOR MUSLIAM BAHAGIAN 1

Memahami peranan fasilitator bukanlah pra-syarat sebagai seorang Fasilitator Muslim. Peranan dan tanggungjawab Fasilitator Muslim jauh lebih besar dan ia sangat berhubungan dengan urusan agama Islam itu sendiri. Untuk menjadi seorang Fasilitator Muslim perlulah memiliki pra-syarat jelas dan jitu dengan pegangan juga pengetahuan yang benar. Ini adalah kerana, tugasnya bukan hanya sebagai guru atau pembimbing mahupun pemudahcara, tetapi lebih kepada teladan, murabbi, naqib serta penyambung risalah Nabi kepada ummat atau kelompok yang mereka depani. 

Melihat kepada peranan ini, menjadi Fasilitator Muslim tidaklah semudah yang disangka namun ia tidak langsung mustahil. Cuma, praktikalitinya begitu halus, tekun dan amat berkesan. Kehidupan mereka juga dipenuhi dengan ilmu, kewarakan dan kerendahan hati serta menjadikan setiap kelompok manusia yang ditemuinya sebagai jalan ibadah, syurga dan amanah dalam kehidupan. Kefahaman asal fasilitator sebagai pemudahcara sekaligus membawa erti yang sedikit berbeza. Fasilitator bukanlah memudahkan urusan kelompok sasar mereka, tetapi memudahkan perkara yang sepatutnya mereka fahami khususnya dalam hal beragama dalam kehidupan mereka. Tidak susah bukan? 

Pernah satu ketika, apabila saya menjadi fasilitator, saya didatangi oleh 3 orang pelajar yang terdiri daripada mereka yang menganut agama Kristian, Hindu dan Buddha. Mereka dari kelompok pelajar sekolah rendah sahaja, tetapi soalannya pada saya amat sukar untuk didepani. “Dimanakah tuhan?” Tanya salah seorang dari mereka. Rakan-rakan pelajar yang Muslim saling berpandangan dan memandang ke arah fasilitatornya. Jadi apakah jawapan yang harus diberi? Sebagai seorang Fasilitator Muslim, Islam adalah keutamaan dan kefahaman kita harus menjadi tunjangnya, tetapi bagaimana ia boleh diselami dengan idea dari agama-agama lain? 

Oleh kerana itulah, apa yang utama bagi seorang Fasilitator Muslim adalah ketajaman akal bukan lidahnya. Kepentingannya adalah untuk menunjukkan contoh bukan hanya sekadar kata bicara yang tiada nilainya. Suka untuk saya ingatkan diri saya dan kita semua, Fasilitator Muslim adalah satu usaha pembaikan diri yang berterusan dan tiada noktahnya, bukan untuk kemasyhuran dan kemegahan. Kemahirannya untuk masa depan, bukan hanya sekadar dalam kursus atau program yang selesai selepas 3 hari atau dalam tempoh yang lebih ringkas. Ingatlah pesan Nabi s.a.w. yang bermaksud sampaikanlah dariku walau satu ayat. Ini bermakna, tugas menyampaikan ini bukan tugas yang ditamatkan selepas kewafatan Nabi s.a.w. tetapi satu tugas yang perlu disambung oleh ummatnya sehingga hari kiamat. 

Friday, July 31, 2020

CATATAN PENGORBANAN DALAM DAKWAH SEMPENA AIDIL ADHA 1441H

Saya berkesempatan bersama adik-adik PEPIAS Kuala Selangor bermusafir sebuah kereta ke Usrah WAP Selangor semalam (29 Julai 2020) di Sekretariat ABIM Selangor, Petaling Jaya. Setelah lebih 3 bulan kami tidak berhimpun untuk mendengar mutiara kata indah dari sahabat-sahabat kami, semalam pertemuan pertama yang dijalankan dengan langkah amat berhati-hati telah bersama mengupas tajuk PENGORBANAN DALAM DAKWAH dengan dibarisi para panelis dari PEPIAS, saudara Anas Mohd Yusop, dari ABIM Selangor saudara Mohamed Azlan Dhajul Amin serta mewakili WADAH Selangor Ustaz Dr. Haji Ahmad Zaki Haji Abd. Latiff. Moderator perbincangan oleh saudara Firdaus Dato' Hadzir. Segala ungkapan itu saya kongsikan di sini agar menjadi panduan dan peringatan kita menyambut kehadiran hari raya Aidil Adha pada 31 Julai 2020 insyaAllah. Penghargaan saya berikan kepada Haji Shirajuddin Sirat yang berkongsi catatan ini kepada kami. Semoga kebaikan ini akan berpanjangan dan akan ada pewarisnya dalam disiplin mencatat yang amat baik ini.

Perbincangan dimulakan dengan aluan oleh moderator dan menjemput saudara Anas memulakan bicara beliau. Saudara Anas mengambil peluang mengingatkan tentang keutamaan 10 hari di awal Zulhijjah merupakan antara 10 hari terbaik dalam setahun. Ia disebabkan telah dihimpunkan padanya 3 amalan utama yang dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia iaitulah puasa, haji dan ibadah korban. Kami juga diperingatkan tentang Hari Arafah yang mana ia adalah hari berlakunya pernyataan penyempurnaan Islam itu sendiri. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah Al-Maidah ayat tiga yang diantaranya bermaksud, "... Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Peringatan ringkas dan padat kemudiannya dikongsikan oleh saudara Azlan. Pada saya, ia amat mengesankan apabila beliau mengingatkan semua kami, sesungguhnya apabila kita ditimpa masalah, sebagai manusia, perkara pertama yang dibuat mestilah mengadu kepada Allah s.w.t.. Maka, beliau berpesan, ambillah peluang iaitu manfaat berpuasa sunat pada Hari Arafah. Beliau mengungkap kisah Nabi Ibrahim a.s. yang juga merupakan anak muda yang mempunyai keberanian membinasakan segala bentuk berhala di sekeliling Kaabah dengan kapak secara taktikal dan berstrategi, itu yang menyebabkan baginda meninggalkan satu berhala yang tidak dimusnahkan dan menggantungkan kapaknya pada berhala tersebut. Lalu, apabila semakin meningkat usia Nabi Ibrahim a.s., makin tinggi hikmahnya. Beliau sentiasa berdakwah untuk mengajak manusia menyembah Allah. Beliau melakukan pengorbanan dengan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail yang masih kecil di Mekah, bumi yang tandus, atas perintah Allah s.w.t.. Kisah penyembelihan Nabi Ismail dalam sejarah kehidupan anak beranak pilihan Allah s.w.t. itu memberikan gambaran jelas mengenai kepentingan kita memanfaatkan hikmah golongan tua dan semangat orang muda dan mestilah terus digembleng secara bersama.

Ramai yang mungkin berasa terkilan tentang larangan menunaikan haji bagi mereka yang bukan bermastautin di Mekah. Sebagai makluman, menurut saudara Azlan, sejak diwajibkan ibadah haji, tahun ini merupakan kali ke-41 ibadah haji ditangguhkan atas beberapa perkara yang sememangnya pelbagai dan tidak dapat dielakkan. Saudara Azlan berpesan lagi, letakkan Allah di dalam hati kita terhadap segala tindak tanduk yang dilakukan dan sentiasalah bermuhasabah. Berterusanlah melabur untuk manfaat di Hari Kemudian kelak dengan terus menuntut ilmu dan komitmen yang tinggi dalam kerja-kerja dakwah.

Giliran Ustaz Zaki dimulakan dengan ungkapan "Allah suka orang yang berjuang di jalanNya dalam keadaan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang kukuh, saling bantu membantu." Beliau tidak menyangkal bahawa dakwah memerlukan pengorbanan yang pelbagai. Terlibat dengan dakwah kerana ianya merupakan satu sunnah yang besar yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Tidak ada seorang Nabi dan Rasul pun yang tidak berdakwah. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud, "Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung."

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?”

Pengorbanan dalam Islam itu amat luas. Hidup mati kita kerana Allah. Keseluruhan hidup kita ini perlu berkorban atas niat yang suci murni. Maka, lakukanlah pengorbanan kita ini kerana Allah, bukan kerana mahu tunjuk hebat atau menjadi hero. Ustaz Zaki berkongsi catatan beliau mengenai 'Tabaruk' iaitu satu perbuatan menyumbangkan sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Beliau menyenaraikan terdapat 10 jenis 'tabaruk' itu.
  1. Berjuang atau beri sumbagan dengan jiwa (diri).
  2. Kepimpinan yang baik.
  3. Mengorbankan waktu kerehatan tidur dan kelazatan dunia untuk melaksanakan kebaikan.
  4. Pengorbanan dengan ilmu dan menyampaikan dengan ilmu: zakat ilmu.
  5. Berjuang dengan kedudukan atau darjat/pangkat. Anugerah pangkat bolehlah diterima sekiranya dengan status tersebut, boleh dimanfaatkan agar dapat buat lebih banyak kerja kebajikan.
  6. Berjuang dengan manfaat atau khidmat badan.
  7. Menjaga kehormatan seperti bercakap benar.
  8. Berkorban dengan sifat sabar dan menanggung derita atau kesusahan.
  9. Berkorban dengan akhlak yang baik.
  10. Berkorban meninggalkan sifat terlalu bergantung kepada manusia, berdikarilah.
Namun, yang sedihnya pada hari ini, ramai yang terkorban apabila mendapat jawatan dan kuasa khususnya yang berkaitan dengan politik di dalam negara kita ini. Akhirnya, masyarakat melihat politik menjadi kotor. Hakikatnya, bukan politik itu kotor tetapi politik itu dijadikan sebagai alat atas kepentingan diri dan kelompok tertentu. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang memahami dakwah, pasti mereka memahami bahawa ia memerlukan pengorbanan. Ia adalah jihad untuk meninggalkan kelazatan yang bersifat sementara. Ada yang berkorban seperti memperuntukkan masa yang panjang dan kewangan yang tinggi demi untuk mendapat ilmu. Pesanan ustaz, sebagai ahli yang terlibat di dalam gerakan ini, jadikanlah 'tarbiyyah ruhiyyah' kita mantap bagi mencapai sesuatu itu secara berkualiti. Orang yang berjaya menahan marah dan bersabar dengan ujian yang melandanya merupakan satu pengorbanan yang besar juga. Refleksilah diri sama ada kita memang sudah benar-benar berkorban dalam hidup ini. Bermuhasabahlah. Maksud dari surah At-Taubah ayat 16 yang bermaksud, "Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahui Nya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan."

Pengakhiran usrah, saudara moderator berkongsi kisah hidupnya yang memberikan beliau satu pengajaran yang besar iaitu pengorbanan ini biasanya dapat dilaksanakan secara istiqamah apabila kita dapat merasa kemanisannya. Juga, objektif kita dalam melaksanakan sesuatu perkara itu mestilah jelas bahawa pengorbanan yang dilakukan adalah bagi mendapat redha Allah demi kebaikan kita di akhirat kelak. Di sini suka untuk saya kongsikan juga hasil catatan tambahan oleh Haji Shiraj, perbincangan beliau dengan ustaz Zaki yang tidak sempat untuk dibentangkan beliau kepada semua. Semoga ia dapat menjadi manfaat dan iktibar bersama. Ustaz Zaki menjelaskan tentang perkara-perkara yang menghalang diri kita dari melakukan pengorbanan.
  1. Lemah iman.
  2. Kecuaian dalam aspek pendidikan.
  3. Terlalu panjang cita-cita atau angan-angannya (ubati dengan banyak mengingati mati).
  4. Hati kita beralih kepada anak yang dilahirkan hingga berkurangnya pengorbanan kasih sayang kita kepada Allah. (Ubati dengan yakin kepada jaminan Allah)
  5. Fitnah perkahwinan. Sewajarnya, jadikan perkahwinan itu sebagai satu ikatan yang saling memberi semangat bagi melaksanakan amal kebajikan.
  6. Terlalu cenderung kepada dunia.
  7. Cinta kepada pelbagai keinginan yang melampau.
  8. Cinta pada harta.
  9. Hilangnya sifat qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah) dan sikah (kepercayaan).
  10. Lunturnya sifat kesungguhan dalam melakukan kebaikan dan menghindarkan kemungkaran.
  11. Pentingkan diri sendiri dengan hal-hal peribadi.
  12. Berusaha untuk mencapai tujuan keduniaan.
  13. Kelemahan mengenali realiti semasa. Ambil pengajaran dari peristiwa atau sejarah yang lepas juga.
  14. Cinta kepada nafsu. Ubati dengan qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah) dan banyakkan bersabar.
Ustaz Zaki menambah, sebagai bukti (testimoni) berlakunya pengorbanan adalah adanya kesempurnaan iman, jaminan daripada Allah akan penggantian terhadap apa yang kita infaqkan, mendapat baraqah kerana malaikat berdoa pada waktu pagi, "Ya Allah, berilah ganti apa yang diinfaqkan oleh penyumbang ini dan binasalah bagi orang yang kedekut." Suka juga untuk saya catatkan mengenai perbincangan yang berlaku, apabila ditimbulkan tentang ada dikalangan ahli keluarga kita yang tidak mahu terlibat sama di dalam gerakan ini. Sambil, berseloroh, kebanyakan senior akan merujuk kepada kisah Nabi Nuh alaihissalam. Namun maklum balas Ustaz Zaki amat mengesankan apabila beliau menjelaskan, ada benarnya kisah tentang Nabi Nuh itu, tetapi sebenarnya itulah kemanisan dakwahnya. Kita sebenarnya diperintahkan Allah untuk tidak berputus asa dalam berdakwah yang sebenarnya bukan kepada orang yang jauh dari kita pun, bahkan ahli keluarga kita yang berada di dalam rumah kita sendiri.


Rujukan catatan dari Haji Shirajuddin Sirat.

Monday, July 13, 2020

SINGKATKAN MASA BELAJAR ANAK-ANAK

Ketika saya mula membina modul SSG atau S.M.A.R.T Study Group ini, terlintas dalam pemikiran saya tentang apa sebenarnya dasar kepada pembelajaran anak-anak di sekolah dan di rumah-rumah mereka? Pemikiran itu melintas dalam pemikiran saya khususnya ketika meminta anak-anak saya di rumah untuk melakukan ulang kaji terhadap pelajaran mereka dengan masa dan jadual yang ketat dengan mengharapkan mereka dapat mendisiplinkan diri terhadap pembelajaran. Ulang kaji subjek-subjek yang dipelajari di sekolah sekerap yang mungkin dan mesti dengan masa yang cukup iaitu sekurang-kurang 1 hingga 2 jam sehari. Namun, apa yang saya perhatikan, ketika melihat anak-anak sendiri belajar di rumah, mereka nampak tertekan dan kerap menjadi borak-borak itu sebagai pengganti kebosanan. Mereka adik-baradik, apabila tanpa pengawasan saya, mereka mula berbincang dan berborak dan selalu juga bergurau ketawa, tampak bahagia.

Pada saat saya memerhatikan ini, timbul persoalan mengapa saya ingin mereka belajar 2 jam pelajaran mereka dan apa yang saya mahu mereka dapat darinya apabila perbuatan yang mereka lakukan itu hanya semata-mata kerana di suruh untuk melakukannya? Selain dari mereka dapat menjawab soalan dalam peperiksaan, apa lagi yang saya patut harapkan dan adakah pelajaran hanya untuk menjawab soalan peperiksaan? Renungan ini lebih menekan saya apabila masuk musim PKP ini. Banyak masa mereka di rumah dan segala pelajaran dan tajuk dalam buku pelajaran mereka habis diulang kaji sehingga mereka rasa sangat bosan ditambah dengan subjek yang belum pun dipelajari. Pada tahap ini, saya mula menilai SSG atau kini saya menukarkan namanya kepada Belajar Berkumpulan sebagai satu metodologi untuk anak-anak dapat memanfaatkan masa 2 jam mereka bersama, belajar, berborak, bergurau dan bertukar-tukar pandangan.

Menjadikan masa belajar anak-anak singkat bukanlah bermakna kurang tempoh masa pembelajaran, tetapi lebih kepada menjadikan pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan sehingga mereka terlupa kepada masa yang mereka habiskan itu. Keadaan yang sama berlaku apabila anak-anak kita bermain dengan gajet mereka. Mereka mampu bertahan sehingga lebih 8 jam sehari hanya untuk menghabis beberapa fasa dalam permainan gajet mereka itu. Lupa mereka kepada jarum jam yang berdetik adalah kerana layanan keseronokan dalam minda mereka sehingga melalaikan mereka. Maka, SSG berusaha menggunakan pendekatan belajar berkumpulan untuk mewujudkan suasana yang menyeronokkan dalam pembelajaran sehingga mereka lupa akan masa yang berjalan. Secara amalinya, anak-anak yang terlibat dalam SSG akan membuat persiapan untuk menghadapi rakan-rakan mereka dan memberikan penerangan untuk memahamkan mereka pada tajuk dan subjek yang menjadi pilihan mereka.

Proses persiapan itu adalah proses penyerapan maklumat anak-anak kerana mereka mempunyai fokus yang tinggi untuk memahamkan orang lain, maka secara logiknya mereka perlu lebih faham. Apabila mereka masuk ke dalam kumpulan dan membuat pembentangan, maka mereka akan merasai pengalaman, 'persiapan untuk bercakap sebentar lebih panjang berbanding bercakap panjang'. Akhirnya, masa 2 jam di dalam kumpulan SSG dimanfaatkan dengan 4 atau 5 pembentangan bergantung kepada bilangan ahli kumpulan. Pilihan perkataan mereka akan lebih bijak serta mereka lebih fokus kepada apa yang perlu disampaikan berbanding hanya menyampaikan. 2 jam membuat SSG bersamaan dengan mengulang kaji 4 atau 5 subjek siap dengan nota yang disediakan oleh rakan-rakan mereka sendiri yang akan membentang. Maka, berbalik semula kepada situasi anak-anak saya yang belajar tadi, barulah saya sedari, pembelajaran perlu ada proses penyerapan maklumat sehingga mereka faham dan dapat diluahkannya semula dengan baik.

Antara ciri-ciri penyerapan maklumat yang berkesan itu adalah mereka akan membuat lantunan maklumat dengan memberikan pandangan, maklum balas bahkan persoalan. Ini pembuktian bagaimana pembacaan mereka menggerakkan minda mereka untuk bekerja. Kecerdasan minda ini tidak berlaku dalam keadaan anak-anak yang minatnya rendah terhadap apa yang diarahkan mereka lakukannya. Sebab itu kita lihat, anak-anak kita mudah terganggu fokus mereka di dalam kelas dan apatah lagi apabila mereka membuat ulang kaji secara bersendirian di rumah. Kesimpulannya, memendekkan masa belajar bukanlah mengurangkan bilangan masa belajar itu, tetapi fokus kepada bagaimana menghasilkan waktu belajar mereka dengan minat dan kesungguhan untuk melakukannya. Keupayaan berfikir itu akan tercetus atas usaha mereka mempersiapkan diri untuk membuat pembentangan dan itu sekaligus akan menjadikan mereka lebih berfikiran tajam, luas dan berkeyakinan.

Wednesday, July 8, 2020

MELATIH REMAJA HIDUP TERATUR

Pengalaman saya membangunkan program bimbingan Remaja O.S.E.M menampakkan kepentingan keteraturan dalam kehidupan remaja. Keteraturan ini ada pasaknya. Pasak yang baik itu akan memberikan kesan langsung kepada apa sahaja yang cuba diusahakan oleh remaja tersebut, bahkan juga untuk orang dewasa yang kerap kali juga dilihat terlepas pandang atau menganggap ia remeh serta salah memberi tanggap kepada beberapa perkara. Maka keteraturan menjadi elemen yang amat penting buat kami dalam memastikan keberhasilan remaja di Kuala Selangor yang kami bimbing dan kami olahkan pelbagai aktiviti bagi membolehkan mereka menjadi lebih berkesan di dalam kehidupan mereka.

Teratur ini berpasakkan kepada tanggapan mereka terhadap kehidupan mereka. Apakah yang paling bernilai dalam kehidupan kita? Ramai remaja hari ini menilai material atau keuntungan fizikal itu yang paling penting. Tambahan pula, segala medium media sosial kerap kali mengetengahkan gambaran kehidupan yang serba serbi mewah dan bergaya menyebabkan bagi mereka, itulah dia nilai sebuah kehidupan. Pasak utama kehidupan adalah kehidupan itu sendiri. Oleh sebab itu mereka harus menjalani kehidupan mereka dengan baik dan kehidupan ini adalah masa. Tanpa masa, mana mungkin ada kehidupan dan tanpa kehidupan maknanya mati. Kebanyakan remaja menganggap masa itu bernilai sekiranya ada keuntungan untuknya sedangkan masa itu sendiri bernilai dan jika tidak diambil kesempatan maka, kitalah yang rugi. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah Al-'Asr ayat 1 dan dua telah menjelaskan;

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia di dalam kerugian."

Sebab itu dapat kita perhatikan tindak tanduk remaja apabila banyaknya masa rehat, mereka menjadi semakin tidak produktif, semakin 'lemau dan masuk angin'. Kekuatan diri adalah bersumber dari pengambilan makanan yang sihat, kekuatan rohani dari ketaatan kepada Tuhan dan keluasan pemikiran pada minatnya membaca dan mencari pengalaman. Namun keduanya dirosakkan dengan adanya gajet yang kerap kali menjadi pengganti ketika ada waktu lapang.

Selepas mereka sedar akan kepentingan dan keutamaan waktu, perlu pula disedarkan tentang bagaimana untuk meningkatkan keupayaan diri. Bukan hanya bergantung kepada orang lain khususnya ibu bapa mereka. Ibu bapa kadang kala ada perasaan gusar dan tidap percaya kepada tindakan anak remaja mereka. Kegusaran itu sewajarnya ada namun harus diteliti keadaannya dan disediakan alternatif agar perkembangan diri mereka untuk hidup berdikari itu tidak diabaikan. Maka, ibu bapa juga harus menyediakan anak remaja ini dengan kelengkapan kemahiran pengaturan diri dan disiplin harian. Pendekatan yang amat konsevatif namun kita tidak punya banyak pilihan kerana begitulah juga ibu bapa hari ini dibesarkan. Jika kita kenangkan, pasti kita akan mengingati segala kenangan pahit dan manis bagaimana ibu dan ayah kita dahulu mendisiplinkan anak-anaknya. Walaupun terdapat beberapa pandangan yang mengatakan remaja hari ini tidak suka dikongkong ibu bapa, pada saya punca perasaan itu timbul adalah fitrah yang ada pada diri kita juga sewaktu remaja. Bahkan, mereka juga bebas menilai ibu bapa mereka dengan ibu bapa rakan-rakan mereka yang lain yang tentunya lain cara pendidikan yang kita berikan di rumah dan pendekatan kita.

Oleh yang demikian, penting juga untuk remaja ini dilatih tentang pengurusan masa yang berkesan kerana inilah aset terbesar kita yang telah dipinjamkan Allah s.w.t. agar dapat dimanfaatkan keseluruhannya oleh umat manusia. Melatih anak-anak khususnya remaja untuk memiliki kehidupan teratur tidak boleh berjalan dengan paksaan tetapi ia harus menjadi amalan bersama. Lakukanlah sesuatu itu bersama, perbanyakkan komunikasi sihat, kerap meninggalkan pesanan dan nasihat serta luangkan masa yang paling berkualiti bersama mereka. Dengari mereka dan selami mereka sebelum kita boleh ingin untuk membuat diri mereka teratur dalam kehidupan mereka.

Secara kesimpulannya, penting pada diri remaja untuk membetulkan tanggapan mereka terhadap nilai kehidupan yang bukan terletak pada nilai material, wang ringgit, tetapi kepada masa yang menjadi asas dalam kehidupan mereka. Ajarilah mereka tentang kepentingan pembinaan diri dari sudut mental, emosi dan rohani bukan hanya fizikal kerana manusia itu sendiri mempunyai kesemua unsur ini. Akhir sekali, latihlah mereka dengan kehidupan yang punya peraturan dan disiplin secara bersama. Latih bermakna buat bersama dan dijadikan diri kita sebagai contoh yang paling utama, bukan hanya menyuruh kerana suruhan adalah sesuatu yang berat untuk mereka lakukan tambahan pada perkara yang mereka tidak menyukainya.

Friday, June 26, 2020

AKHLAK PERJUANGAN

Semalam (17 Jun 2020), saya berkesempatan berusrah dengan teman-teman dalam WADAH Selangor secara maya dan tema perbincangan usrah adalah Akhlak Perjuangan yang dibentangkan oleh Pengerusi, Haji Nik Mohd Yusoff atau lebih mesra kami kenali dia dengan panggilan Pak Nik. Maklum balas pertama saya adalah seronok. Seronok disebabkan banyak perkongsian pengalaman khususnya berkenaan dengan sejarah gerakan khususnya ABIM dan bagaimana pemikiran-pemikiran itu terbentuk sehingga menampakkan masyarakat Islam di Malaysia hari ini. Macam-macam kisah yang mustahil untuk saya catatkan di sini. Semuanya berasal dari perkongsian pembentang yang merujuk tajuk ini kepada tiga orang tokoh dakwah yang masih hidup. Masih bernafas dan masih melakukan usaha dakwah serta perjuangan mengikut sisi pandangan kami. Jika ada yang menilai nama-nama yang dibincangkan ini tidak wajar, saya pohon supaya kita membuat pertimbangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang dicatatkan oleh orang lain yang pernah bersama mereka tetapi bukan dari tiupan angin yang datang entah dari mana.

Menurut Pak Nik, konsistensi ketiga-tiga tokoh ini amat jelas. Mereka ialah Dr. Ahmad Totonji, Hisham Al Thalib serta Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Semua yang terlibat di dalam gerakan atau berada dalam dunia dakwah tidak akan pernah asing dengan nama-nama ini khususnya ABIM. Sepanjang tempoh sebelum pembentangan ini juga, selain DSAI, kedua-dua tokoh itu kerap menjadi jemputan untuk membuat pelbagai pembentangan di Malaysia melalui IIIT. Pak Nik memulakan dengan memilih, apakah kata kunci yang sering dipegang, disebut atau dilaungkan oleh mereka ini? Kata kunci yang konsisten sehingga orang akan mengingatinya. Tidak banyak yang diperkatakan mengenai DSAI kerana secara umumnya semua kami maklum keberadaan beliau dengan istiqamahnya kepada perjuangan kebenaran dan keadilan sejak dahulu, bukan dikira dari bermulanya penglibatan beliau di dalam politik, tetapi jauh lebih awal dari itu lagi sejak beliau dibangku persekolahan.

Dr. Ahmad Totonji, dinyatakan amat sinonim dengan keupayaannya dan fokus beliau kepada semangat kebersamaan, nilai 'inclusiveness' beliau yang sering dilihat memberikan nilaian potensi manusia sebagai sangat positif untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semuanya yang berlaku akan diletakkan dari sudut positifnya dahulu dan sukar untuk mendatangkan pandangan yang negatif, hampir ke tahap mustahil. Hisham Al Thalib pula sangat istiqamah berpegang kepada ayat 33 surah Al-Fussilat yang bermaksud;

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?”

Beliau juga menjelaskan bahawa, Hisham Al Thalib berpendapat bahawa kerja dakwah ini merupakan satu perjanjian kita dengan Allah s.w.t. yang dilandaskan kepada ayat pertama surah Al-Maidah yang bermaksud;

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu. Dihalalkan bagimu binatang ternak, kecuali yang akan dibacakan kepadamu. (yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya."

Hisham Al Thalib juga pada pandangan beliau begitu mengutamakan soal niat yang mana ia adalah punca kuasa kepada keupayaan mengawal tindakan kita selepas itu. Pada saya, segala perincian peribadi ini memberikan kita tanda aras, pendakwah seharusnya 'consistent'. Ini bahkah telah ditegaskan juga di dalam Al-Quran surah Al-Fussilat ayat 30 hingga 32 yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Rabb kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang”.

Pak Nik juga menimbulkan beberapa nilai yang secara umumnya, memiliki persamaan pada ketiga-tiga tokoh ini. Pada saya, bukan hanya kepada tiga tokoh ini, bahkan kepada banyak para pendakwah besar di luar sana yang kita akui ketokohan mereka serta kita hormati usaha-usaha mereka juga khususnya tokoh-tokoh yang berada di Nusantara ini. Pertama, Pak Nik menjelaskan bahawa pada mereka ini memiliki persamaan dari segi budaya hijrah. Keutamaan mereka banyaknya kepada berusaha untuk melakukan perubahan-perubahan yang sesuai dengan keperluan dan memenuhi tekad agenda dalam Islam. Dr. Ahmad Zaki juga sempat berkongsi bagaimana pengalaman beliau berhadapan dengan persoalan adakah Islam itu Ad-Din? Satu ungkapan yang sangat baru dalam dunia zaman 70 dan 80-an dahulu yang mana sebelumnya, pemahaman dan penilaiannya berbeza. Slogan ini diperkenalkan pada waktu penerimaan Islam belum diiktiraf sebagai cara hidup. Slogan ini diperkenalkan oleh DSAI.

Nilai persamaan yang kedua adalah, kehidupan mereka yang bermisi untuk mencari redha Ilahi. Bagi saya, seharusnya kita sentiasa menilai pandangan Allah s.w.t. kepada kita itu lebih utama berbanding nilai pandangan manusia. Nilai pandangan ini tidak terhad dalam dunia dakwah bahkan terpakai dalam dunia apa pun termasuk dunia politik yang DSAI dan rakan-rakan lain dari ABIM dan WADAH turut tidak terkecuali. Selalu orang kata, dunia politik ini lain pencaknya, bunganya bukan biasa-biasa, tetapi bagi saya orang yang 'bese-bese' ini, sebagai seorang pendakwah, ia tidak patut berubah kerana ini adalah asas agama bukan sekadar pendirian peribadi. Saya tidak mahir dalam hal politik, tapi suka bercerita pasal politik (rasa berdosa, sebab banyak juga mengutuk orang, astaghfirullahalazhim). Ahli politik Islam seharusnya tidak soal sokongan dan dokongan pengikut khususnya apabila telah memikul amanah untuk dilaksana. Maka, saya mendoakan misi ini terus kekal dalam jiwa DSAI bahkan dalam jiwa kita semua.

Mereka juga dinilai dengan kerap memulakan dari yang kecil dalam kerangka fikiran yang besar dan berjangka masa panjang. Penilaian yang penting ini menatijahkan tindakan yang mungkin hari ini kita tidak dapat fahami kerana keterbatasan ilmu pengetahuan dan kesediaan masyarakat sebagaimana dalam catatan sejarah, gagalnya Dato' Onn untuk menyatukan orang Melayu, Cina dan India dalam satu organisasi politik dahulu sehingga beliau ditolak. Hari ini suasana parti politik sudah ada perubahan sedikit dan masyarakat sudah mula memahaminya walaupun ada sentimen perkauman yang masih dimainkan. Ini adalah fitrah dakwah, bermula dari kecil tetapi berfikir besar, sebagaimana fitrah bayi di dalam rahim ibu.

Pak Nik juga turut menjelaskan 3 elemen utama kehidupan mereka yang bermula dengan huruf S iaitu sabar, syukur dan solat yang juga harus menjadi pegangan kita sebagai seorang Muslim. Kehidupan yang mementingkan kesederhanaan serta adab yang tinggi juga sering mencari penyelesaian masalah dan kelemahan dengan mengambil pandangan kedua daripada rakan karib. Paduan utama adalah beramal dengan Islam melalui perlaksanaan di dunia nyata atau lapangan. Perbincangan malam itu diakhiri juga dengan perkongsian mengenai bagaimana ahli ABIM dahulu serta masyarakat diberikan perhatian dari sudut pendidikan ummat yang pada awalnya tidak mahu menerima syiah walaupun memperakui ada pengajaran yang boleh diambil dari Revolusi Iran, tidak mahu terlibat dengan gerakan takfiri serta usaha membangunkan pemikiran terjajah melalui pelbagai pemikiran yang kehadapan serta buku-buku sehinggakan buku tersebut dianggap sebagai buku radikal. Saya amat gemar bersama dalam perbincangan yang bercerita tentang pengalaman serta bagaimana untuk menilai apa yang ada hari ini melalui penghujahan yang benar serta dari sumber yang kita boleh akui pada kadar pengetahuan kita sendiri. Saya akui pada setiap diri mereka itu juga adalah kelemahan juga pada diri kita. Tetapi apa yang sudah berlaku bukan sesuatu yang kita boleh tinggalkan dan abaikan. Ia perlu diperakui dan diambil pelajaran untuk tindakan kehadapan. Usaha mereka dalam meletakkan perjuangan Islam sebagai yang perjuangan yang utama adalah sesuatu yang wajar untuk kita sanjungi dan teladani. Semoga Malaysia akan akan sejahtera dengan dakwah.

Thursday, June 25, 2020

GERAK KERJA KE SEKOLAH DENGAN PELAJAR SEKOLAH PASCA COVID 19

Menghadapi realiti baru ini sungguh mencabar buat saya. Pada satu sudut pandangan, ia cuti yang merehatkan sungguh, dengan tempoh yang amat panjang. Pada awalnya saya berasa lega punya waktu untuk berada di rumah, namun semakin lama perasaan itu semakin berubah. Sudut pandangan yang pertama saya mula berubah masuk ke sudut pandangan kedua, di mana kesudahannya? Bagaimana dengan kerja saya? Dan yang lebih merisaukan bagaimana dengan kantong simpanan saya? Walaupun namanya bekerja sendiri, saya bukanlah seorang yang kreatif untuk membina pelbagai platform pendapatan. Saya seorang yang konsevatif, sukar untuk berubah dan suka melakukan perkara yang menjadi kebiasaan saya sahaja. Mencuba yang baru itu bukan tabiat saya walaupun ada juga cuba-cuba. Apabila Covid 19 melanda, kini saya termenung panjang bermuhasabah, saya di mana dan bagaimana masa depan saya. Rakan latihan lain mungkin punya perniagaan sampingan atau punya keberanian untuk menukar arus sementara, tetapi bagaimana saya?

Soalan ini terus bermain diminda saya dan lebih mengesankan apabila ada dikalangan adik-adik yang saya bimbing mereka, menghubungi saya dan bertanyakan tentang bagaimana dengan 'niche' mereka yang akan datang memandangkan mereka sudah tidak boleh berkumpul dan menganjurkan program. Mereka risaukan tentang pembangunan ahli mereka, kaderisasi mereka bahkan perubahan ahli sedia ada mereka yang berhadapan dengan pelbagai rintangan yang disebabkan oleh Covid 19? Saya berfikir sejenak, dalam hati turut terdetik, mereka fikirkan tentang orang lain, tentang apa nak buat, bagaimana nak teruskan? Mereka fikir? Permulaan suatu gerak kerja adalah dengan adanya pemikiran kecil yang berfokus kepada beberapa permasalahan yang timbul. Asalnya mungkin terlalu kecil, namun kita tidak pasti bagaimana ia akan berakhir sama ada berakhir kecil atau berakhir besar, sebab apa? Sebab tiada siapa yang pernah menyangka pun Covid 19 ini berakhir begini, yang asalnya dulu hanya beberapa kes kecil sahaja. Jadi begitulah corak apa-apa gerak kerja pun. Mestilah bermula dengan berfikir tentang permasalahan yang timbul. Asas ini perlu ada, dan menakjubkan, kerana mereka berfikir tentangnya.

Apabila ada pemikiran mengenai permasalahan kecil-kecil ini mungkin, maka timbullah niat untuk melakukan sesuatu untuk menambahbaik atau membantu menyelesaikan permasalahan itu. Niat itu baik dan niat itu sahaja sudah ada pahala untuknya insyaAllah. Cuma, bahagian melaksana yang perlukan kerja usaha yang gigih. Berhadapan dengan keadaan Covid 19, para pengendali kursus dan program berasa amat tertekan kerana perlu mengubah pendekatan secara drastik tanpa banyak pengalaman dan kesediaan. Itu antara kenyataan yang mesti ditelan dan mesti dilakukan perubahan yang bersesuaian. Pernah dulu saya bincangkan dengan rakan-rakan mengenai dunia latihan yang suatu hari nanti, kita tidak perlu hadir pun ke tempat latihan, mungkin hanya menggunakan hologram sahaja. Saya rasa masanya sudah semakin hampir dan atau mungkin ia patut berlaku sekarang. Sebab itu hari ini saya menulis luahan ini hari ini, walaupun sebenarnya sudah lama saya fikirkan.

Perhatian Saya
Meletakkan diri saya sebagai fasilitator dalam kerjaya saya, adalah berbohong jika saya katakan yang saya tidak risau kepada terjejasnya sumber pendapatan saya. Namun, yang lebih merisaukan saya adalah, apakah perasaan yang ditanggung oleh anak-anak yang tidak ke sekolah? Apakah nilai pembelajaran bagi mereka sebenarnya? Adakah persekolahan ini kerana 'emak kata kena pergi sekolah' atau kerana ilmu itu obor kehidupan? Persoalan ini menarik perhatian saya dan sepatutnya juga menarik perhatian para ibu bapa dan guru-guru juga. Bagi anak-anak yang bakal berhadapan dengan peperiksaan utama, SPM, STAM dan STPM, pada mereka, keadaan ini melambatkan proses pembelajaran dan mereka mula risaukan keadaan mereka yang kurang bersedia untuk mengambil peperiksaan. Mereka takut akan perubahan-perubahan yang berlaku di sekolah yang mungkin menjejaskan persiapan mereka. Mereka takut kerana apa? Kerana apa yang berlaku ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan mereka. Adakah belajar ini untuk semata-mata keputusan peperiksaan? Semata-mata mendapat tempat untuk ke universiti? Ya, perhatian saya ini lebih membesar apabila membayangkan, sebahagian besar anak-anak yang dibatalkan peperiksaan mereka iaitu UPSR dan PT3, tersenyum lebar kerana, saya tidak perlu bersusah-susah lagi sebab tahun ini saya 'tak periksa'.

Norma baru ini rupanya membuka satu lembaran buat saya sebagai seorang fasilitator. Fasilitator yang terlibat secara khusus dalam program pembangunan pendidikan, saya mula menilai bahawa, selama hari ini, hala tuju pendidikan anak-anak kita ini sebenarnya amat jauh tersasar. Yang kita benamkan di dalam diri anak-anak ini untuk ke sekolah adalah kecemerlangan untuk mendapat keputusan yang terbaik tetapi bukan pada kepentingan ilmu dan proses pembelajaran. Ilmu adalah matlamat utama persekolahan dengan mengambil manfaat berakhlak serta beradab kepada mereka yang memberikan ilmu itu. Berbakti kepada para guru juga mengangkat mereka sebagai insan yang berjasa dalam kehidupan kita. Namun hari ini, hakikatnya saya sedar, para pendidik seolah-olah hanyalah mereka yang diberikan jawatan untuk dilaksana, 'yang penting kerja aku siap'. Bukanlah saya maksudkan semua, saya yakin ada yang menyerahkan sepenuhnya jiwa mereka untuk mendidik anak bangsa, tetapi kehendak pihak atasan tidak menghalakan kita kepada fokus pembinaan anak-anak terhadap keilmuan tetapi lebih kepada peperiksaan. Sebab itu, sebagai fasilitator, saya kerap dipanggil ke sekolah untuk memberikan motivasi peperiksaan dan apabila, terkena pandemik ini, maka saya berasa akan hilang semuanya kerana tiada lagi penekanan kepada peperiksaan, jika ada pun untuk pelajar nenengah atas yang akan meninggalkan persekolahan mereka.

Maka, sebagai fasilitator, saya memilih untuk tidak menamatkan kerjaya saya di dalam bidang ini, bahkan ia menjadi lebih utama sama ada menghasilkan pendapatan atau tidak. Kekayaan sesuatu bangsa bukan kepada banyaknya harta pusaka yang ditinggalkan tetapi kepada kayanya ilmu yang diwariskan. Saya ingin menggesa para fasilitator dan pendidik di luar sana untuk kita mula menyusun langkah baru untuk bangkit memperbaikinya.

Hidup Perlukan Ilmu
Kehidupan susah bukan kerana gagal peperiksaan. Kehidupan berjaya bukan kerana peperiksaan dapat A. Saya percaya, semua pendidik dan fasilitator bersetuju dengan saya. Maka, mengapa penilaian kejayaan anak-anak berdasarkan berapa peratus yang dapat A? Apa yang kita sibukkan dengan A? Asas utama yang kita perlu pasakkan dalam pemikiran anak-anak di sekolah adalah kehidupan kita perlukan ilmu dan ilmu akan menyebabkan kita boleh hidup. Ilmu perlu diperolehi dan didiklah anak-anak ini untuk mementingkan ilmu. Orang yang mementingkan ilmu akan hidup dengan beradab. Ilmu menyebabkan manusia panjang akalnya, rasional pemikirannya dan akan mampu mengawal emosinya. Maka,  kempenlah ke sekolah kerana ilmu yang ada di sana bukan kerana peperiksaan yang akan dihadapi mereka. Peperiksaan hanya norma kepada pembelajaran tetapi bukan itu sebab utama.

Sekolah Sebagai Institusi Keilmuan
Maka, persekolahan harus mewujudkan suasana keilmuan. Apa makna persekolahan jika tiada di dalamnya adab dan ketamadunan? Apa makna persekolahan jika di dalamnya tiada budaya keilmuan? Pelajar yang suka membaca, suka bertanya, suka bereksperimen serta para guru yang gemar menimbulkan persoalan berdasarkan kehidupan, bukan hanya andaian untuk memenuhi keperluan peperiksaan. Guru yang  menggalakkan pelajar berfikir dan melakukan sesuatu dengan bimbingan yang meninggalkan kesan di dalam hati mereka. Saya begitu teruja dengan filem hindustan Speed 30 lakonan Hitrik Roshan. Bagaimana gambaran penghargaan yang diberikannya kepada nilai keilmuan. Ya, mungkin cara pendidikan pasca Covid 19 ini dengan menonton filem kan?

Motivasi Cari Ilmu
Saya yang sering dijemput untuk beri ceramah untuk peperiksaan sebelum ini, sebenarnya sudah mula mengubah haluan motivasi saya kepada pelajar-pelajar yang saya jumpa. Pada saya, peperiksaan adalah rutinan tahunan, walaupun SPM atau STPM. Ia adalah rutinan. Ia dilihat besar kerana kita momokkan bahawa peperiksaan ini penentu hala tuju akan datang. Jika tidak berjaya dalam peperiksaan, 'tak dapat masuk U, nanti susah dapat kerja', itu zikir kita. Saya sudah mula ubah pesanan saya dalam ceramah-ceramah saya. Saya fokus kepada kejayaan sebenarnya bergantung kepada sikap manusia. Tidak kiralah sama ada mereka itu peperiksaannya A, B atau C, jika sikap mereka salah, maka kejayaan tidak akan ada bersama mereka. Bukti banyak, kita hanya perlu bukakan mata sahaja.

Pada saya mencari ilmu juga perlu ada sikap. Sebab itu, mesti ada adab kepada ilmu. Bermula dari menghargai ilmu sehingga menghargai tempat dapat ilmu dan penyampai ilmu itu sendiri. Semuanya terkait rapat. Mencari ilmu juga bersangkutan dengan keupayaan menggunakan akal untuk berfikir. Pengetahuan yang disuapkan, tidak akan jadi ilmu, tetapi maklumat yang dicernakan akan meninggalkan kesan bukan hanya kepada yang berusaha mendapatkannya tetapi manfaatnya akan turut dirasai oleh orang lain. Persoalannya adalah dari pada mana nak mula? Jawapan cliche saya, daripada DIRI SENDIRI.

Para pendidik harus mengiktiraf ilmu itu sebagai satu kemestian dalam kehidupan, Elaklah menyuap anak-anak didik kita dengan ilmu kononnya. Ilmu tidak boleh disuap, tetapi ilmu perlu digali dan dicari. Membiarkan mereka melakukan kesalahan itu sebahagian dari pembelajaran itu sendiri. Galakkan mereka buat dan biarkan mereka salah. Pandu mereka untuk betulkan dari apa yang mereka salah, bukan membetulkan apa yang salah. Galakkan mereka berfikir, kerana berfikir itu asas keilmuan. Kita usaha membetulkan diri kita sendiri tentang cara dan pendekatan kita dalam memperkenalkan dunia persekolahan kepada anak-anak kita. Saya telah fikirkan tajuk ceramah yang perlu saya bawa ke sekolah-sekolah akan datang. Tajuknya adalah "Ilmu Pelita Kehidupan, Belajarlah Untuk Menyalakannya".

Tuesday, June 23, 2020

BAGAIMANA UNTUK TERUS BERMOTIVASI?

Bukan mudah untuk mengekalkan motivasi dalam diri. Namun, kerapa kali kita berpesan dengan orang yang kita kenali untuk terus bermotivasi. Saya adalah seorang penceramah dan ramai yang mengenali saya sebagai penceramah motivasi bahkan ada juga dikalangan mereka yang memanggil saya dengan panggilan pakar motivasi. Benarkah ada pakar motivasi? Adakah boleh kita memotivasikan orang lain atau kita mendapatkan motivasi dari orang lain? Kerap kali saya bercerita dan berkongsi dengan ramai pendengar di luar sana bahawa motivasi adalah hak diri sendiri. Ia tidak dimiliki oleh orang lain. Namun kesilapan yang selalu dilakukan adalah dengan meletakkan motivasi itu pada sesuatu yang lain dan menjadikan ia sebagai salah satu alat pelengkap dalam kitaran kepada apa yang ingin kita capai. Saya sudah melihat pelajar yang meletakkan cita-cita kejayaannya kerana ibu atau bapanya. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila salah seorang dari mereka meninggal, ia turut memusnahkan cita-citanya.

Tidak kurang mereka yang meletakkan motif kejayaan mereka pada orang yang tersayang. Rasa sayang dan ingin melakukan yang terbaik untuk mereka amat memberangsangkan dan menyebabkan ia begitu teruja dalam setiap perkara yang disusahakan. Namun, dalam tidak sedar, apabila hubungan yang erbina itu roboh dipertengahan, ia turut meranapkan segala usaha yang telahpun berjalan dan diusahakan. Sebab itu, motivasi harus diletakkan kepada diri sendiri. Kitalah penentu apa yang kita mahu selain bersedah diri kepada DIA yang empunya segalanya. Usah kita melakukan kesilapan dalam meletakkan impian dan cita-cita. Tiada yang dapat meranapkan impian dan cita-cita itu melainkan diri kita sendiri. Ramai pakar-pakar di luar sana yang membincangkan tajuk bagaimana untuk kita mengekalkan motivasi diri kita. Ada yang bermula dengan mengenali diri sendiri dan keupayaan diri. Ada yang bermula dengan memasangkan angan-angan dan cita-cita yang jelas dan ada juga yang mencadangkan agar berani melawan ketakutan dalam diri.

Pada hemat saya, untuk mengekalkan motivasi, sudah pasti seseorang itu telah pun memiliki apa yang kita sebutkan sebagai sasaran, misi atau mudahnya sebagaimana yang selalu saya bincangkan adalah motif mereka. Mereka telah punyainya bahkan saya yakin mereka pasti telah memulakannya. Cuma persoalan yang timbul, apabila tiba dipertengahan perjalanan, semangat tu mula hilang, kobarnya lemah, gendang sudah tiada paluan. Di sinilah bermulanya soalan bagaimana untuk terus bermotivasi? Motivasi diri ini kita boleh gambarkan seperti graf berbentuk loceng. Awalnya menaik dan kemudian akan sampai pada satu tahap, ia mula menurun. Tindakan kita harus segera.

Beritahu Diri
Pertama, sila beritahu diri anda bahawa, akan sampai masa yang motivasi diri ini akan turun dan buatlah persiapan untuk itu. Maka, dari awal, sediakanlah apa sahaja kelengkapan seperti misi, visi yang dicetak dan ditampal didinding, motif yang dirakamkan dalam video untuk tontonan, rakaman suara menjelaskan ke mana hala tuju yang kita ingin pergi. Semua ini adalah persiapan kerana pasti akan sampai perasaan malas, lemah dan bosan itu. Wujudkan 'motivation library' untuk anda tiupkan semula semangat yang semakin menghilang tu.

Pendamping Tegar
Dia mesti seorang yang kenal benar diri kita. Seorang yang sentiasa mahu mencabar dalam masa yang sama membantu membina keyakinan dan kemahuan dalam diri kita. Seorang yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam perhubungan serta penasihat yang tekun untuk memberikan kita pesanan yang terbaik untuk di bawa pulang. Mereka ini tidak lokek dengan ilmunya dan tidak segan menegur kita bahkan merekalah pengkritik yang paling konsisten di dalam kehidupan kita.

Rekod Pengalaman
Cuba biasakan diri untuk menulis diari atau catatan ringkas harian apa yang telah kita lalui. Catatan ini perlu dijadikan bahan bacaan apabila lemah mula menjelma. Kadang kala catatan ini yang sebenarnya akan membangkitkan semangat juang kita yang pudar itu.

Baca dan Dengarlah Pengalaman
Pengalaman amat mematangkan bahkan itulah guru yang tidak pernah berputus asa dengan kita. Carilah dan selamilah pengalaman itu. Pasti ia akan amat bermanfaat. Ada pepatah inggeris mengatakan, orang cerdik adalah mereka ang belajar dari pengalaman dan orang yang lagi cerdik adalah mereka yang belajar dari pengalaman orang lain.

Semoga apa yang dicatatkan ini akan dapat memberikan bimbingan kepada diri kita untuk berhadapan dengan keadaan kelesuan, kelemahan, kemalasan dan kebosanan. Keadaan itu akan datang dan amat bergantung dengan keupayaan kita untuk mengatasinya. Buatlah yang terbaik dan jangan sekali-kali kita tersalah membuat pilihan dalam menentukan bagaimana untuk berterusan bermotivasi. Paling utama, pastikan anda jelas dengan motif diri dan ke mana hala tuju anda yang sebenarnya.

Monday, June 22, 2020

KREATIVITI MENYEDIAKAN NOTA BELAJAR

Niat saya apabila memulakan modul SMART Study Group adalah untuk menimbulkan rasa keseronokan dalam diri pelajar terhadap proses pembelajaran. Sekaligus ia akan menggalakkan mereka untuk berfikir dan belajar secara kreatif. Kreativiti adalah menghasilkan sesuatu yang baru. Kamus Dewan (1993) mendefinisikan ia sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif atau kekreatifan. Ramai orang menggambarkan kreativiti ini adalah satu pemberian. Ia selari dengan pandangan Viktor Lowenfeld (1975) yang merupakan seorang profesor dalam bidang pendidikan kesenian dalam era 1950-an, pada beliau, kreativiti adalah naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak. Adakah ia satu kebenaran bahawa kreativiti adalah suatu pemberian?

Pada saya ada kebenarannya, cuma dalam konteks kreativiti yang kita bincangkan, semua kita dianugerahkan dengan kreativiti ini. Seorang lagi profesor dalam bidang pendidikan kesenian menjelaskan bahawa kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru, bagi mengemas kini perlambangan yang sedia ada. Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap suatu kreativiti. Oleh sebab yang demikian, bagi pelajar-pelajar yang kami bimbing di dalam SMART Study Group ini, dorongan untuk mereka mempersembahkan sesuatu yang menarik serta dapat membantu rakan mereka dalam pembelajaran bersama khususnya sewaktu pembentangan mereka akan mampu membangun daya kreativiti mereka untuk menghasilkan nota yang paling menarik dan itu adalah kreativiti tidak kira bagaimana bentuk dan rupa asalkan ianya berbeza dari keadaan asal buku mereka. Saya ingin membantu parapelajar agar mengeluarkan diri mereka dari belenggu pembelajaran yang mereka telah labelkan keadaannya sebagai bosan. Jika kita telusuri catatan J. P. Guilford, seorang ahli psikologi Amerika Syarikat, beliau menjelaskan bahawa pemikiran kreatif sebagai pemikiran yang fleksibel, terlepas daripada belenggu pemikiran lama dan berusaha mencari arah pemikiran dan hala tuju yang baru. Pemikiran yang mengharapkan dan menjangkakan kepada sesuatu yang unik dan asli.

Oleh yang demikian, dalam menjana kreativiti anak-anak atau para pelajar untuk menyediakan nota-nota mereka, seharusnya mereka perlu diberikan sebab dan alasan yang kuat sehingga mereka ingin menyediakan dengan cara yang terbaik. Penghasilan nota untuk tatapan orang lain adalah khususnya rakan baik mereka sendiri antara suntikan yang dinilai amat berkesan. Bukan itu sahaja, bahkan mereka akan lebih menghargai daya kreativiti antara sesama sendiri kerana nilaiannya sudah tentu amat berbeza sekali antara satu dengan yang lain. Penyediaan nota dalam SMART Study Group menekankan agar anak-anak atau para pelajar menyediakan nota untuk dikongsikan bersama rakan-rakan. Maka, sudah tentu ia bukan nota contengan, tetapi nota yang kemas dan boleh dibaca. Nota tersebut harus sesuai dengan corak pembentangan yang akan mereka lakukan sendiri di dalam kumpulan. Maka, secara langsung anak-anak kita atau para pelajar akan mendapat nota yang pelbagai serta menjana kreativiti mereka untuk menyediakan nota yang seterusnya. Pada masa yang sama, mereka akan mempunyai nota salinan dari rakan mereka sendiri yang lengkap dengan catatan mereka secara peribadi. Ia memendekkan masa ulang kaji mereka. SMART Study Group hanya mensyaratkan 2 jam tempoh pembelajaran dan di dalam tempoh itu, anak-anak atau para pelajar akan dapat mengulangkaji sekurang-kurangnya empat tajuk siap dengan nota yang menarik.

Sunday, June 21, 2020

BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL

Selalu kita perhatikan, ramai yang melakukan sesuatu hanya kerana orang lain melakukannya. Tidak ramai dari kalangan kita yang benar-benar faham kenapa dan apa natijahnya apabila kita berbuat sesuatu itu. Pernah satu ketika, saya berinteraksi dalam kumpulan 'Whastapp' kejiranan saya. Seseorang telah berkongsi dengan kami satu video yang agak panjang. Saya dengan rasa ingin tahu, mendengar dan menonton video tersebut dan didapati ada beberapa fakta di dalam video tersebut menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan saya rasa tidak selesa dan segera membuat semakan sebagaimana yang dimaksudkan video tersebut. Apabila saya telah mendapt maklumat tersebut, maka saya pun berkongsi pandangan saya di dalam kumpulan itu semula dan saya mohon kepada yang menghantar video tersebut untuk memberikan jawapan balas kerana pada saya ia boleh terjebak ke arah penipuan fakta dan fitnah. Namun, jawapannya amat mengecewakan apabila pesanan itu dibalas dengan, "Saya tak tahulah, saya forwardkan saja...". Astaghfirullahal'azhim.

Begitulah pesanan yang harus diberikan kepada para pendidik khususnya mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai fasilitator. Tidak sal;ah berkongsi, tetapi yang salahnya apabila yang dikongsi itu suatu perkara yang salah. Jangan hanya berbuat atau bercakap dek hanya kerana orang lain buat dan bercakap. Berusahalah untuk kita mendapatkan maklumat yang benar dan sahih sebelum kita menyebarkannya. Ia tidak tertakluk hanya kepada isu berkongsi maklumat dalam 'whatsapp' sahaja, ia lebih berat dan utama apabila melibatkan para pendidik yang memberikan maklumat dan contoh kepada insan yang mereka didik. Para pendidik tidak seharusnya menjadikan 'oranglain punbuat' sebagai sandaran kepada setiap tindakan kita. Pendidik yang ulung bukanlah mereka yang sentiasa bersama dengan arus apatah lagi terbuai dan terbawa-bawa arus kebiasaan, tetapi mereka amat mencermatinya dan kadangkala mereka akan segera berasa perlu keluar dari keselesaan arus lalu menongkah arus bagi memastikan yang terbaik untuk bimbingan masa depan mereka yang dididiknya.

Ini bukan bermakna, perkara yang biasa itu semestinya tersalah. Cuma, apabila kita tidak tahu hujung pangkalnya perbuatan tersebut, maka perbuatan itu jadi bersalahan secara tidak disengajakan. Fahami apa kehendak dari perbuatan tersebut dan lakukanlah ia dengan penuh keyakinan. Meyakini sesuatu perbuatan itu dengan ilmu adalah lebih mengamankan berbanding meyakini sesuatu hanya dari apa yang orang kata. Pada saya, ini adalah perjuangan sebenar seorang fasilitator atau pendidik dalam usaha untuk mengubah identiti serta budaya-budaya yang ada di dalam sesuatu kelompok masyarakat. Sudah tentu, ia bukan kerja mudah namun ia juga bukan alasan untuk tidak melakukan perubahan. Meninggalkan sesuatu yang susah atau lari darinya juga adalah satu bentuk tindakan biasa yang orang lakukan sedangkan sepatutnya setiap permasalahan dan kesusahan harus didepani dan diselesaikan. Moga kita mampu untuk berusaha membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Monday, June 15, 2020

HALA TUJU KEHIDUPAN REMAJA (BAHAGIAN 2)

Perjalanan hidup tidak mudah. Namun, remaja gemar menilai ia sebaliknya. Sekiranya mereka jelas akan hala tuju kehidupan itu adalah untuk memberi hidup, maka mereka akan dapat memahami bahawa hidup ini penuh dengan kesukaran tetapi dengan adanya kehidupanlah memudahkan kita untuk berbakti dan memberi manfaat kepada yang lain. Inilah yang diistilahkan sebagai sifat Ihsan. Kehidupan kita tidak hanya berpaksi kepada diri sendiri, sebaliknya ia mempunyai hubungan menegak dan melintang. Hubungan dengan yang Maha Pencipta dan hubungan sesama makluk yang diciptakan Nya. Pujangga pernah menyebutkan, "Jika mahu melihat negara pada masa hadapan, lihatlah pemudanya pada hari ini." Persoalan yang selalu saya timbulkan, "Bagaimana mereka hari ini?" Ramai msyarakat di luar sana mengambil tugas untuk menyalahkan sama ada mereka memiliki atau tidak memiliki hali keluarga yang remaja. Bagi yang tidak memiliki, kita dapat fahami mungkin mereka tidak tahu dan perlu diberi tahu, tetapi mengapa yang memiliki ahli keluarga yang remaja juga membuat kerja menyalahkan ini?

Sebab itu, peranan dan perhatian orang dewasa dan masyarakat juga perlu ada penilaian. Jika kita mahu remaja ini hidup untuk memberi hidup, maka yang dewasanya harus merentas jalan itu. Bukan hanya memekik mengatakan mereka salah itu dan mereka salah ini, dan apabila orang dewasa melakukan kesalahan, pelbagai alasan diberikan dan dikatakan kepada mereka, "apa kau tahu." Kegagalan menanam hala tuju ini sebenarnya akan memandu mereka untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan. Berasa bahawa hidup itu amat mudah dan murah, maka lahirlah sifat bermewah-mewah dengan waktu muda mereka. Kegagalan ini bukan hanya terbeban atas bahu ibu bapa yang sudah pastinya menjadi contoh pertama buat mereka, bahkan juga kepada masyarakat yang berada di sekitar mereka. Jika kita ingin soroti isu kerapuhan sistem kekeluargaan, pasti akan dapat kita kenalpasti pelbagai faktor yang menggagalkan institusi kekeluargaan disebabkan kelemahan keibubapaan.

Kita tidak boleh nafikan kesan dan pengaruh rakan sebaya mereka juga. Ia akan berbalik kepada setebal mana daya tahan serta jati diri remaja yang ditanamkan oleh ibu bapa mereka apabila merujuk kepada rakan-rakan mereka. Sama ada mereka terpengaruh atau mereka yang memberikan pengaruh. Itulah idea asal gerakan Remaja O.S.E.M itu sendiri, yang mana para penggeraknya mengharapkan, para remaja yang kami bimbing itu akan mampu untuk memberikan pengaruh yang positif dan sangat signifikan dengan keadaan rakan sebaya mereka. Sikap dan pemikiran masyarakat harus diperbaiki. Bukan menyalak menyalahkan tetapi fahami dan kenali mereka untuk bantu mengenali kehidupan yang bakal mereka lalui. Jika kita mengharap kehidupan mereka baik seperti generasi dewasa hari ini, maka itu adalah amat mustahil kerana dunia mereka adalah dunia tanpa sempadan. Dunia yang amat berbeza dari apa yang pernah kita semua saksikan.

Maka, mari kita bersama berusaha membantu mereka. Bina pemikiran hidup untuk memberi hidup. Buat ibu bapa dengan anak-anak remaja di rumah, kenal pasti minat mereka, dengarkan harapan dan cita-cita mereka dan sentiasa berikan nasihat, bimbingan, sokongan dan dokongan atas apa sahaja usaha murni mereka untuk kehidupan mereka. Untuk masyarakat awam yang bersama, remaja kita adalah masa depan kita juga, berhenti menyalahkan, mulalah menjadi insan yang menggalakkan. Bantu mereka dengan menyediakan peluang serta maklumat buat rujukan mereka, jadilah pendorong kepada kejayaan mereka serta gunakanlah keupayaan kita untuk membantu mereka dari apa segi sekalipun sama ada wang, masa, idea serta keringat, kerana sesungguhnya, harta yang paling berharga buat kita adalah generasi muda kita.

Sunday, June 14, 2020

HALA TUJU KEHIDUPAN REMAJA (BAHAGIAN 1)

Sehingga ke saat ini, masih tidak berhenti kita mendengar pelbagai keluhan masyarakat mengenai remaja atau anak muda mereka. Ada yang mencemuh, ada yang berasa kasihan tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli mengenai apa yang berlaku kepada mereka melainkan sekiranya mereka itu adalah darah daging mereka sendiri. Adakah tiada yang baik pada mereka? Adakah kerana ini memang kebiasaan remaja yang rus kita depani bersama atau bagaimana?

Apabila saya memulakan gerakan Remaja O.S.E.M di Kuala Selangor tempat tinggal saya, yang saya impikan bermula dengan untuk memberikan sesuatu yang saya ada kepada masyarakat setempat khususnya generasi muda di sini. Saya hanya memulakan satu bengkel sehari memperkenalkan para remaja ini tentang peranan mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat terdekat sekitar mereka. Memang tidak dinafikan, sambutannya tidaklah memberangsangkan walaupun bengkel ini yurannya hanya yuran komitmen sahaja. Tetapi pada saya bukan isu yuran yang menarik minat remaja, tetapi isu apa isi kandungannya. Bengkel sehari yang tiada waktu bersuka ria, berbincang mengenai permasalahan masyarakat, bercerita tentang peranan sebagai remaja yang positif, secara umumnya bukan bahan perbincangan yang diminati remaja. Adakah itu memang sikap mereka atau bagaimana?

Kesedaran apabila memulakan gerakan ini memberikan saya pelbagai input untuk diperbesar dan dibawa kepada perbincangan lebih serius sehinggalah wujudnya hari ini Kelab OSEM Selangor. Melalui pengalaman beberapa tahun, menganjurkan bengkel kemudian beranikan diri untuk anjurkan bermalam, penyertaan hanya sekadar belasan orang sahaja bukan ratusan. Tetapi itu menyedarkan saya. Apabila dijalankan perbincangan dengan modul khusus yang dibangunkan, sebenarnya, remaja diluar sana secara umumnya telah dipesongkan dari hala tuju sebenar kehidupan mereka sebagai manusia. Kegagalan mengenalpasti hala tuju ini membawa kepada berlaku keruntuhan daya tahan diri, jati diri serta kemampuan mengurus diri dengan berkesan. Tambahan pula, bersama mereka adanya pengaruh budaya luar yang mengajak kepada gaya hidup bebas dan tiada kawalan, gaya hidup mewah, alam maya yang tanpa sempadan semuanya mengajak mereka untuk mengambil pengaruh dari budaya luar yang kononnya remaja harus ada kehendak atau kemahuan untuk mencuba apa sahaja yang baru kerana remaja adalah umur yang sangat sukakan penerokaan.

Andaian ini telah memusnahkan hala tuju besar kehidupan sebagai remaja yang seharusnya ditanam lebih awal. Hala tuju hidup untuk memberi hidup. Remaja disesatkan dari nilai kehidupan yang sewajarnya mereka syukuri dan laluinya dengan membina ruang manfaat sebanyak mungkin. Apabila gerakan Remaja O.S.E.M berlangsung, saya melihat bagaimana sekumpulan remaja kecil ini mula merasakan bahawa diri mereka boleh memberikan manfaat kepada masyarakat walaupun pada nilaian orang lain hanya sedikit. Hala tuju kehidupan adalah untuk memberikan kehidupan itu kepada diri sendiri. Nilai manusia yang hidup terletak pada akal dan hatinya. Akal isinya pengetahuan manakala hati isinya adalah hidup bertuhan. Apabila diri telah mendapat kehidupan yang sebenar, penilaian mereka akan bertambah baik terhadap ahli keluarga mereka yang sentiasa berada bersama mereka sehingga ke saat ini. Tidak sukar untuk remaja itu mengungkapkan ucapan sayang dan kasih kepada ahli keluarga mereka apabila sudah timbul perasaan mahabbah kekeluargaan akibat dari tuntunan ilmu pengetahuan dan petunjuk dari pemilik kebenaran. Kesan ini akan terus merebak kepada masyarakat yang secara langsung saya dapat melihat bagaimana adik-adik yang kami bimbing dalam gerakan Remaja O.S.E.M ini begitu teruja untuk melakukan sesuatu kepada masyarakat setempat mereka. Bukan sahaja diri mereka bahkan mereka berjaya memberikan pengaruh secara tidak langsung kepada rakan-rakan mereka dan termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Friday, June 5, 2020

DUNIA SEPERTI BAYANG-BAYANG

Dunia ini adalah seperti bayang-bayang. Jika kamu berusaha untuk mendapatkannya, nescaya anda pasti akan menemui kegagalan. Jika anda membelakangkannya dan berusaha untuk meninggalkannya, ia tiada pilihan sebaliknya ia pasti akan mengikutimu. Ini antara maksud mutiara kata dari Ibn Qayyim Al-Jawziyyah. Sungguh amat mendalam untuk kita amati kata-kata ini. Sudah hampir 40 tahun saya hidup di dunia ini, saya dapat merasakan kerisauan diri saya pada setiap perkara yang saya tidak miliki atau kekurangan. Perasaan itu bertambah apabila membanding diri dengan apa yang dimiliki orang lain. Kadang kala datang rasa sesal, rasa marah dan paling teruk datang rasa rendah diri tidak tentu hala sehingga berasa takut untuk bertemu dengan orang lain. Perasaan itu kerap datang dan bermain-main dalam fikiran. Lagi pula musim PKP, PKPB dan Covid-19 ini. Segala kekurangan itulah agaknya yang menjadi bayang-bayangnya. Apabila sesuatu tidak ada pada kita maka itulah yang kita harap sangat datang pada kita sehingga kita terlupa banyak sebenarnya yang telah ada pada kita. Bayang-bayang itu adalah sesuatu yang kita harapkan akan jadi, tetapi siapa yang tahu? Dunia ini bukan kita punya, DIA yang punya, maka hanya DIA yang Maha Tahu. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud;

"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan serta perhiasan, juga bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat, dan keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Begitu saya terasa diri seperti diherdik bahawa dunia ini hanya tempat permainan yang keseronokannya sudah tentu sementara bermain sahaja. Pada tika kita bermain, itu akan berlaku perselisihan, pergaduhan juga rasa tidak puas hati dan ianya semuanya berlaku kerana ingin menang dalam permainan dan permainan tiu sementara sahaja. Saya membayangkan bagaimana pernah dahulu saya main konda-kondi, galah panjang, memang kita bertegang leher mempertahankan yang kita betul, tapi itu hanya dalam permainan. Akhirnya kita pilih, tak nak main sebab tak dapat pertahankan yang kita rasa betul pada diri kita. Do you want to quit from you life? Tentu tidakkan?

Hiburan memang satu perkara yang amat melalaikan. Tiada siapa yang dapat nafikan sehinggakan apabila saya penat, saya akan mula buka YouTube dan tengok video-video yang mengesankan hingga saya ketawa berdekah-dekah ada kalanya meleleh air mata, dan tanpa saya sedar, saya habiskan masa lebih dari 60 minit hanya untuk menonton dan selepas itu kita mengharapkan kesenangan, keberuntungan datang masuk ke poket kita? Saya rasa sesal lepas enam puluh minit dan ia telah membuang masa saya. Kerja tertangguh, hendak memulakan hilang 'mood', dan banyak lagi. Ada yang kata nak cari idea dengan hiburan, nak cari pengalaman dengan tengok pengalaman orang, persoalannya, berapa ramai yang benar-benar mendapat manfaat melalui cara ini? Hanya kita sendiri yang bmampu jawab dengan kenanglah diri sendiri.

Dunia amat sinonim hari ini dengan segala kemajuan. Apabila kita melakukan sesuatu, kerap orang tanya, "apa kau dapat?". "Tak kan harap pahala je kot," dan macam-macam lagi. Kalau saya, memang jawapannya, "pahala pun dah cukup baik kalau ada," sebab saya takut, riak menyebabkan pahala pun tak ada. Apa sahaja kita buat, kita mahukan keuntungan dunia. Salah ke? Tidaklah selagi mana keuntungan itu untuk kelangsungan selama kita hidup di dunia tidak sehingga menjadi alat bermegah-megahan serta perlumbaan yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Ada orang tanya saya, "kau anak berapa orang?". "Belum ada lagi," jawab saya mudah. Dulu orang akan kata dan belas tahun kahwin anak belum ada lagi, kasihan. Sekarang alhamdulillah, banyak saya terima doa yang baik-baik dari kawan-kawan dan kerana mereka ada kesedaran bahawa anak-anak juga perhiasan. Ia ujian dalam anugerah Tuhan.

Apabila ayat ini saya bacakan dan kongsikan adalah semata-mata untuk mengingatkan diri saya sendiri, bahawa dunia ini hanya untuk mereka yang terpedaya. Ya Allah, jauhkanlah diri kami dari tipu daya dunia ini. Bayang-bayang akan ikut ke mana sahaja kita pergi. Kita ke masjid, kita ke dewan kuliah, kita mendengar ceramah, kita membuat kebajikan membantu orang lain, kita menyebarkan kebaikan, bayang-bayang akan kekal bersama kita dan akan terus bersama walaupun kita pelaku maksiat. Tapi kita tidak akan dapat menangkapnya dan mengikat dia atau simpan dan sorokkan dia daripada orang lain. Bayangan ini akan berada dari mana cahaya menyuluh kita. Jika cahaya itu dari kanan kebaikan, maka bayangan itu akan turut membuat kebaikan, jika cahaya itu dari kiri keburukan, maka bayang akan bersama kita dalam amal keburukan. Sebab itu dunia seperti bayang-bayang dan dunia ini adalah fitnah juga untuk kita. Dunia adalah keseronokan yang amat sementara.