Wednesday, June 17, 2026

Maal Hijrah: Mengubah Diri, Membina Peradaban



Setiap kali tibanya 1 Muharam, umat Islam di seluruh dunia menyambut Maal Hijrah dengan pelbagai program, ceramah dan peringatan. Namun persoalan yang sering wajar kita tanyakan kepada diri sendiri ialah, adakah hijrah sekadar peristiwa sejarah yang dikenang setiap tahun atau ia sebenarnya suatu seruan berterusan untuk mengubah diri dan membina semula kehidupan?

Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah sekadar perpindahan geografi. Ia adalah titik perubahan besar dalam sejarah Islam dari sebuah masyarakat yang tertindas, lahirlah sebuah masyarakat yang berdaulat. Awalnya dari kelompok yang lemah, terbentuk sebuah ummah yang memimpin dunia. Hijrah membuktikan bahawa perubahan besar sentiasa bermula dengan keberanian untuk meninggalkan keadaan yang lama menuju keadaan yang lebih baik. Allah SWT mengingatkan, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd: 11)

Ayat ini menegaskan bahawa perubahan adalah sunnatullah. Allah menjanjikan pertolongan dan kejayaan, namun manusia terlebih dahulu perlu memulakan langkah perubahan dalam diri mereka. Hijrah bukan bermula dengan perubahan orang lain, tetapi bermula dengan muhasabah terhadap diri sendiri. Dunia hari ini memperlihatkan cabaran umat bukan lagi berbentuk penindasan fizikal semata-mata. Kita berhadapan dengan pelbagai bentuk "jahiliyyah moden" seperti krisis identiti, keruntuhan akhlak, budaya materialisme, ketagihan media sosial, perpecahan masyarakat dan kehilangan arah hidup. Kemajuan teknologi yang pesat tidak semestinya membawa ketenangan jiwa. Bahkan ramai yang hidup dalam kemewahan, tetapi kehilangan makna kehidupan.

Justeru, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam konteks semasa. Hijrah hari ini ialah hijrah daripada kejahilan kepada ilmu. Hijrah daripada budaya menyalahkan kepada budaya memperbaiki. Hijrah daripada sikap mementingkan diri kepada semangat khidmat kepada masyarakat. Hijrah daripada perpecahan kepada persaudaraan. Hijrah daripada sekadar bercakap tentang perubahan kepada benar-benar menjadi agen perubahan.

Sesungguhnya peradaban yang hebat tidak dibina hanya dengan bangunan pencakar langit atau angka pertumbuhan ekonomi. Peradaban dibina oleh manusia yang mempunyai nilai, akhlak dan tujuan hidup yang jelas. Sebab itu Rasulullah SAW memulakan hijrah dengan membina manusia sebelum membina negara. Baginda membina aqidah, memperkukuh ukhuwwah dan menyusun masyarakat berasaskan keadilan serta rahmah.

Hari ini, umat Islam memerlukan semangat hijrah yang sama. Kita memerlukan generasi yang mencintai ilmu, berani menyatakan kebenaran, mempunyai integriti dalam pekerjaan dan menjadikan agama sebagai panduan kehidupan. Kita memerlukan keluarga yang menjadi madrasah pertama pembentukan akhlak. Kita memerlukan masyarakat yang saling membantu dan institusi yang berfungsi membangunkan insan.

Maal Hijrah juga mengingatkan kita bahawa setiap perubahan menuntut pengorbanan. Rasulullah SAW meninggalkan tanah kelahiran yang dicintai. Para sahabat meninggalkan harta benda dan keselesaan demi mempertahankan prinsip dan akidah. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Tidak ada kejayaan tanpa kesungguhan. Tidak ada kebangkitan tanpa kesabaran. Firman Allah SWT, "Maka segeralah kembali kepada Allah." (Surah Az-Zariyat: 50)

Seruan ini sangat relevan untuk kita pada hari ini apatah lagi dalam kesibukan mengejar dunia, jangan sampai kita kehilangan hubungan dengan Allah. Keghairahan kita membina kerjaya, jangan sampai kita mengabaikan pembinaan jiwa. Usaha memajukan masyarakat, jangan sampai kita melupakan tujuan utama kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Maal Hijrah bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar Islam. Ia adalah panggilan untuk memperbaharui azam, memperbetulkan niat dan memperkukuh amal. Ia mengingatkan kita bahawa setiap hari adalah peluang untuk menjadi insan yang lebih baik daripada semalam.

Semoga tahun 1448 Hijrah menjadi titik permulaan kepada penghijrahan yang lebih bermakna. Hijrah dalam pemikiran, hijrah dalam akhlak, hijrah dalam amal dan hijrah dalam perjuangan. Mudah-mudahan dengan semangat hijrah yang sebenar, kita bukan sahaja berjaya membina diri yang lebih baik, tetapi turut menyumbang kepada kebangkitan ummah dan pembinaan sebuah masyarakat yang lebih beradab, adil dan sejahtera. Salam Maal Hijrah 1448H. Hijrah membina diri, mengangkat ummah.

No comments: