Friday, June 19, 2026

Menahan Marah Itu Kekuatan: Neraca Orang Beriman dalam Mizan al-‘Amal



Kita menjalani kehidupan seharian, marah adalah satu emosi yang tidak dapat dipisahkan daripada manusia. Kita marah apabila dikhianati, dipandang rendah, difitnah, dizalimi atau apabila harapan tidak menjadi kenyataan. Bahkan para nabi juga pernah merasa marah. Namun, Islam tidak menilai seseorang berdasarkan sama ada dia pernah marah atau tidak, tetapi bagaimana dia menguruskan kemarahan tersebut dan di sinilah letaknya perbezaan antara manusia yang dipimpin oleh akal dan iman dengan manusia yang dikuasai oleh emosi dan hawa nafsu.

Allah SWT berfirman, “Iaitu orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu senang dan susah dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Ali ‘Imran: 134)

Ayat ini meletakkan kemampuan menahan marah sebagai salah satu ciri utama orang yang bertakwa. Menariknya, Allah tidak menyebut orang yang tidak pernah marah, tetapi orang yang mampu menahan marah. Ini menunjukkan bahawa kemarahan itu fitrah, namun mengawalnya adalah pilihan yang memerlukan kekuatan jiwa keran marah adalah api yang membakar diri.

Imam al-Ghazali dalam karya-karyanya menjelaskan bahawa marah merupakan salah satu kekuatan yang diciptakan Allah dalam diri manusia. Jika dikawal dengan baik, ia boleh menjadi tenaga untuk mempertahankan kebenaran dan menolak kezaliman. Namun jika tidak dikawal, ia akan menjadi api yang membakar diri sendiri sebelum membakar orang lain.

Berapa banyak persahabatan yang terputus kerana kemarahan sesaat? Berapa banyak keluarga yang berpecah kerana kata-kata yang dilafazkan ketika marah? Berapa banyak organisasi yang kehilangan tokoh dan tenaga kerana kegagalan mengurus emosi?

Ketika marah menguasai akal, manusia tidak lagi melihat dengan neraca hikmah. Yang benar menjadi kabur, yang salah dianggap betul dan keputusan dibuat berdasarkan emosi, bukan pertimbangan yang matang. Namun dengan Mizan al-‘Amal, kita sepatutnya berupaya untuk menimbang antara emosi dengan hikmah.

Gagasan Mizan al-‘Amal, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa manusia perlu sentiasa menimbang setiap tindakan dengan neraca yang benar. Amal tidak hanya dinilai pada zahir perbuatan, tetapi juga pada keadaan hati yang melahirkannya. Kemarahan yang tidak terkawal sering menjadi punca kepada pelbagai dosa lain seperti mengumpat, memfitnah, menghina, memutuskan silaturrahim dan berlaku zalim terhadap orang lain. Oleh sebab itu, kemarahan perlu ditimbang dengan hikmah sebelum diterjemahkan kepada tindakan.

Seseorang mungkin menang dalam pertengkaran, tetapi kalah dalam neraca amalnya. Dia mungkin berjaya membuktikan dirinya betul, tetapi kehilangan kasih sayang manusia dan keredaan Allah. Mizan al-‘Amal menekankan, kemenangan sebenar bukanlah apabila kita berjaya menundukkan orang lain, tetapi apabila kita berjaya menundukkan diri sendiri dan itulah kekuatan seorang mukmin yang sebenar.

Rasulullah SAW bersabda, “Orang kuat bukanlah yang menang bergusti, tetapi orang kuat ialah yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengubah definisi kekuatan yang sering difahami oleh masyarakat. Dunia mengukur kekuatan melalui kuasa, kedudukan dan kemampuan menundukkan orang lain. Namun Islam mengajar bahawa kekuatan sebenar ialah kemampuan mengawal diri ketika emosi sedang memuncak.

Seseorang yang mampu menahan dirinya daripada membalas penghinaan, menahan lidah daripada mengeluarkan kata-kata kesat dan memilih jalan perdamaian ketika marah sebenarnya sedang menunjukkan kekuatan jiwa yang luar biasa. Kekuatan seperti ini tidak lahir dalam sehari, tetapi dibina melalui latihan rohani, muhasabah dan kesedaran bahawa setiap tindakan akan ditimbang di hadapan Allah SWT bahkan disisi-Nya, memaafkan mempunyai darjat yang lebih tinggi.

Menariknya, ayat Ali ‘Imran 134 tidak berhenti pada “menahan marah”, tetapi disusuli dengan “memaafkan kesalahan orang lain”. Menahan marah adalah langkah pertama. Memaafkan adalah darjat yang lebih tinggi. Memaafkan bukan bermaksud menghalalkan kezaliman atau melupakan kebenaran. Memaafkan adalah keputusan untuk tidak membiarkan luka menguasai jiwa. Ia membebaskan hati daripada dendam dan membuka ruang kepada ketenangan.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik ketika pembukaan Kota Makkah. Baginda memiliki kuasa untuk membalas segala penghinaan dan penyeksaan yang pernah dilakukan oleh Quraisy. Namun yang keluar daripada lisannya ialah kata-kata pengampunan, “Pergilah kamu, kamu semua bebas.” Inilah akhlak seorang pemimpin yang memahami bahawa rahmat lebih kuat daripada dendam dan kerana itulah kita harus menjadi umat yang berhikmah.

Hari ini, kita hidup dalam zaman yang penuh dengan provokasi. Media sosial membuka ruang yang luas untuk kemarahan disebarkan dengan pantas. Satu komen mampu mencetuskan pergaduhan. Satu hantaran mampu merosakkan persahabatan yang dibina bertahun-tahun. Oleh itu, masyarakat yang ingin membina tamadun perlu kembali kepada budaya hikmah dan dialog. 

Kita boleh berbeza pandangan tanpa bermusuhan. Kita boleh menegur tanpa menghina. Kita boleh mempertahankan prinsip tanpa merendahkan maruah orang lain. Inilah roh Mizan al-‘Amal yang perlu dihidupkan dalam keluarga, organisasi dan masyarakat. Setiap kata-kata, tindakan dan reaksi perlu ditimbang dengan neraca ilmu, akhlak dan ketakwaan.

Menahan marah bukan tanda kelemahan. Ia adalah tanda kematangan iman apatah lagi dalam dunia yang semakin bising dengan kemarahan dan kebencian, umat Islam perlu tampil sebagai pembawa ketenangan dan pendamai. Kekuatan sebenar bukan pada siapa yang paling lantang bersuara, tetapi pada siapa yang paling mampu mengawal dirinya ketika marah.

Semoga kita menjadi golongan yang disebut oleh Allah sebagai orang-orang yang menahan amarah, memaafkan manusia dan akhirnya memperoleh kasih sayang-Nya kerana dalam neraca Mizan al-‘Amal, kemenangan terbesar bukanlah mengalahkan orang lain, tetapi mengalahkan hawa nafsu yang ada dalam diri sendiri.

No comments: