Showing posts with label Keadilan Dalam Islam. Show all posts
Showing posts with label Keadilan Dalam Islam. Show all posts

Friday, June 26, 2026

Keadilan Lebih Tinggi Daripada Kepentingan: Menimbang Kebenaran dengan Neraca Mizan al-’Amal



Ketika kita menjalani kehidupan, tidak sukar untuk berlaku adil kepada orang yang kita sayangi. Kita mudah memuji sahabat yang berjasa, mempertahankan keluarga sendiri dan menyokong mereka yang sehaluan dengan kita. Namun, ujian sebenar terhadap keadilan bukanlah ketika kita bersama orang yang kita cintai, tetapi ketika kita berhadapan dengan orang yang kita tidak sukai, mereka yang berbeza pandangan, bahkan mereka yang pernah menyakiti kita. Maka, di sinilah Islam meletakkan satu piawaian akhlak yang jauh lebih tinggi daripada pertimbangan emosi dan kepentingan diri.

Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Ayat ini bukan sekadar menyeru manusia berlaku adil, tetapi mengingatkan bahawa keadilan yang sebenar ialah keadilan yang tetap teguh walaupun hati sedang dipenuhi rasa benci. Itulah sebabnya Allah mengaitkan keadilan dengan ketakwaan. Orang yang benar-benar bertakwa ialah orang yang mampu meletakkan kebenaran mengatasi kepentingan dirinya kerana keadilan adalah amanah bukan pilihan.

Hari ini, dunia sering memberi tafsiran keadilan mengikut sudut kepentingan masing-masing. Apabila keputusan memihak kepada kita, kita menyebutnya adil. Apabila ia tidak memihak kepada kita, kita mula mempersoalkannya. Islam mengajar sesuatu yang berbeza. Keadilan bukan bergantung kepada siapa yang mendapat manfaat, tetapi kepada siapa yang berada di pihak yang benar.

Seorang hakim tidak boleh menghukum berdasarkan perasaan. Seorang pemimpin tidak boleh membuat keputusan kerana tekanan penyokong. Seorang ibu bapa tidak boleh membezakan layanan terhadap anak-anak. Bahkan seorang Muslim juga tidak boleh menilai seseorang hanya kerana sentimen kaum, politik, organisasi atau latar belakang. Keadilan ialah amanah daripada Allah, bukan alat untuk mempertahankan kelompok sendiri. Inilah yang dijelaskan dalam Mizan al-’Amal, menimbang dengan neraca Allah.

Menurut catatan Mizan al-’Amal, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa sesuatu amal tidak boleh diukur hanya melalui hasil yang kelihatan, tetapi perlu ditimbang dengan neraca wahyu, hikmah dan akhlak. Sesuatu tindakan mungkin kelihatan berjaya pada pandangan manusia, tetapi jika ia dibina di atas kezaliman atau berat sebelah, maka nilainya menjadi ringan di sisi Allah. Inilah yang membezakan neraca manusia dengan neraca Tuhan.

Manusia sering menimbang berdasarkan, siapa yang bercakap, siapa yang lebih berpengaruh, siapa yang lebih dekat dengan kita atau mungkin siapa yang memberi manfaat kepada kita. Tetapi Allah menimbang berdasarkan kebenaran. Mizan al-’Amal mengajar kita supaya tidak membiarkan emosi mengatasi prinsip dan tidak membiarkan kepentingan mengatasi keadilan. Apabila kebencian menjadi asas pertimbangan, neraca kita sudah tidak lagi seimbang dan sudah tentu ia harus bermula dari diri sendiri.

Ramai orang bersemangat memperjuangkan keadilan di pentas masyarakat, tetapi terlupa menegakkannya dalam kehidupan sendiri. Adakah kita berlaku adil kepada pasangan kita? Adakah kita berlaku adil kepada anak-anak tanpa pilih kasih? Adakah kita berlaku adil kepada rakan sekerja dengan menghargai usaha mereka? Adakah kita berlaku adil ketika menulis di media sosial, atau kita hanya berkongsi maklumat yang menyokong pandangan sendiri tanpa menyemak kebenarannya?

Keadilan bukan hanya isu mahkamah atau pentadbiran negara. Ia bermula daripada cara kita bercakap, membuat keputusan dan melayani manusia setiap hari. Rasulullah SAW adalah contoh keadilan yang terbaik. Baginda tidak pernah membenarkan hubungan kekeluargaan mengatasi prinsip. Ketika seorang wanita daripada kabilah bangsawan melakukan kesalahan dan ada yang meminta hukuman diringankan kerana kedudukannya, Baginda bersabda, “Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang bangsawan mencuri, mereka membiarkannya, tetapi apabila orang lemah mencuri, mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku sendiri akan memotong tangannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa keadilan dalam Islam tidak mengenal pangkat, keturunan atau pengaruh kerana di hadapan Allah, semua manusia tertakluk kepada neraca yang sama dari keadilan inilah melahirkan kepercayaan. Setiap organisasi, keluarga dan masyarakat hanya akan bertahan apabila keadilan menjadi budaya. Apabila pemimpin berlaku adil, masyarakat akan percaya. Apabila guru berlaku adil, pelajar akan menghormati. Apabila ibu bapa berlaku adil, anak-anak akan membesar tanpa rasa dipinggirkan. Apabila organisasi mengamalkan keadilan, ahli akan terus setia kerana mereka yakin keputusan dibuat berdasarkan prinsip, bukan kepentingan individu.

Sebaliknya, apabila keadilan digantikan dengan pilih kasih, kronisme dan sentimen, kepercayaan akan runtuh sedikit demi sedikit. Mungkin organisasi masih kelihatan kuat pada zahirnya, tetapi hakikatnya ia sedang kehilangan roh. Keadilan seharusnya menjadi jalan menuju ketakwaaan. Mengapa Allah menyebut, “Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada takwa”? Kerana orang yang bertakwa sentiasa sedar bahawa Allah melihat setiap keputusan yang dibuatnya. Dia mungkin boleh menyembunyikan keberpihakan daripada manusia, tetapi tidak daripada Allah.

Keadilan memerlukan keberanian untuk berkata benar walaupun pahit. Keadilan memerlukan kejujuran untuk mengakui kesilapan sendiri. Keadilan memerlukan kebesaran jiwa untuk menerima bahawa kadang-kadang orang yang kita tidak suka sebenarnya berada di pihak yang benar. Inilah jalan menuju takwa, apabila kita lebih takut kepada penilaian Allah daripada penilaian manusia.

Dunia hari ini sangat memerlukan manusia yang adil. Bukan sekadar adil ketika keadaan memihak kepada mereka, tetapi adil walaupun ketika hati sedang dipenuhi emosi dan kepentingan. Sebagai gerakan dakwah dan masyarakat madani, WADAH Selangor harus menjadi contoh dalam membudayakan keadilan. Setiap program, keputusan dan tindakan hendaklah sentiasa ditimbang dengan Mizan al-’Amal, neraca yang mengutamakan wahyu, hikmah, akhlak dan maslahat umat mengatasi kepentingan diri atau kelompok kerana akhirnya, ukuran kejayaan bukanlah berapa ramai yang menyokong kita, tetapi sejauh mana kita mampu berdiri teguh di atas kebenaran. Keadilan bukan sekadar nilai dalam pentadbiran. Keadilan adalah ibadah dan dalam neraca Allah, keadilan sentiasa lebih tinggi daripada kepentingan.

Saturday, June 20, 2026

Al-Ma’idah Ayat 10–13: Sebelum Menegur Orang Lain, Lihatlah Perjanjian Kita Dengan Allah



Kita boleh melihat hari ini ada satu kecenderungan yang sering berlaku apabila kita membaca Al-Quran. Khususnya bila membaca ayat tentang pengkhianatan, kita mula akan teringat kepada orang yang pernah mengkhianati kita. Bila kita baca ayat tentang amanah, kita teringat kepada pemimpin yang gagal menunaikan Amanah dan bila kita baca ayat tentang hati yang keras, kita teringat kepada orang yang enggan menerima nasihat. Jarang sekali kita berhenti seketika dan bertanya, “Apakah ayat ini sedang bercakap tentang aku?”

Mungkin itulah antara cabaran terbesar dalam bertadabbur. Kita lebih mudah melihat orang lain di dalam ayat Al-Quran daripada melihat diri sendiri. Sedangkan Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk menjadi cermin masyarakat. Ia terlebih dahulu menjadi cermin kepada jiwa kita. Apabila membaca Surah Al-Ma’idah ayat 10 hingga 13, saya merasakan Allah sedang membawa manusia kepada satu tema yang sangat besar tetapi sering dipandang ringan, iaitu tentang perjanjian, amanah dan kesetiaan.

Menariknya, selepas Allah berbicara tentang penyucian diri, ketaatan dan keadilan dalam ayat-ayat sebelumnya, Allah mengingatkan pula tentang satu nikmat yang jarang manusia syukuri. Allah berfirman, “Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangan mereka kepada kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu.”

Apabila melihat perkataan nikmat, kebanyakan kita akan memikirkan tentang perkara yang kita dapat. Kita bersyukur kerana mendapat pekerjaan, rumah, pasangan hidup, anak-anak atau rezeki yang baik. Tetapi ayat ini memperkenalkan satu bentuk nikmat yang sangat berbeza. Nikmat yang Allah suruh kita ingat ialah sesuatu yang tidak berlaku. Allah tidak menyuruh kita mengingati apa yang diberikan. Allah menyuruh kita mengingati apa yang telah dihalang daripada berlaku.

Mungkin ada fitnah yang hampir menghancurkan hidup kita tetapi Allah menahannya. Mungkin ada kemalangan yang hanya terlepas beberapa saat. Mungkin ada keputusan yang kita kecewa dahulu tetapi akhirnya menyelamatkan masa depan kita. Mungkin ada hubungan yang tidak menjadi dan kita menyangka itu satu kehilangan, sedangkan sebenarnya Allah sedang melindungi kita daripada sesuatu yang lebih buruk.

Hakikatnya, boleh jadi kehidupan kita hari ini lebih banyak dibentuk oleh apa yang Allah lindungi daripada kita berbanding apa yang Allah berikan kepada kita. Namun selepas mengingatkan tentang perlindungan-Nya, Allah membawa kita kepada kisah Bani Israil. Allah menyebut bahawa Dia telah mengambil satu perjanjian yang kukuh daripada mereka. Atau dalam bahasa Al-Quran, perjanjian itu disebut sebagai “mithaq”.

Mithaq bukan janji biasa. Ia bukan komitmen yang boleh ditunaikan apabila ada masa dan ditinggalkan apabila tidak selesa. Mithaq ialah ikatan yang mempunyai tanggungjawab. Allah telah memberikan kepada mereka petunjuk, nabi, kitab dan pelbagai nikmat. Sebagai balasan, mereka diminta untuk mendirikan solat, menunaikan zakat, beriman kepada para rasul dan membantu perjuangan yang dibawa oleh para nabi. Tetapi mereka gagal menjaga perjanjian tersebut dan di sinilah datang satu ayat yang sangat menggerunkan. Allah berfirman, “Maka disebabkan mereka melanggar perjanjian mereka, Kami jadikan hati mereka keras.”

Perhatikan susunan ayat ini. Allah tidak berkata bahawa mereka melanggar perjanjian kerana hati mereka keras. Sebaliknya Allah menunjukkan bahawa hati mereka menjadi keras kerana mereka melanggar perjanjian. Ini memberi satu pelajaran yang sangat besar. Keras hati bukan berlaku secara tiba-tiba. Tiada siapa yang bangun pada suatu pagi lalu tiba-tiba menjadi keras hati. Ia berlaku perlahan-lahan. Ia mungkin bermula dengan amanah yang diabaikan. Janji yang dimungkiri. Tanggungjawab yang ditangguhkan. Nasihat yang tidak diendahkan. Peringatan yang didengar tetapi tidak dilaksanakan. Apabila perkara itu berulang kali berlaku, hati mula kehilangan kepekaan.

Pada mulanya manusia masih mendengar kebenaran. Kemudian dia mula menangguhkan perubahan. Kemudian dia mula mencari alasan. Akhirnya dia mula menyesuaikan kebenaran mengikut kehendaknya sendiri dan itulah yang disebut oleh Al-Quran apabila Allah menyatakan bahawa mereka mula mengubah perkataan daripada tempat-tempatnya. Mereka tidak semestinya menolak kebenaran secara terbuka. Mereka hanya menyesuaikan kebenaran supaya sesuai dengan kehendak mereka. Bukankah ini sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan manusia moden?

Hari ini kita mempunyai akses kepada ilmu yang tidak pernah dimiliki oleh generasi sebelum kita. Ceramah berada di hujung jari. Tafsir boleh dibaca pada bila-bila masa. Kuliah boleh ditonton dari mana-mana sahaja. Tetapi persoalannya bukan lagi sama ada kita tahu atau tidak. Persoalannya ialah sama ada ilmu itu masih mengubah diri kita atau tidak kerana salah satu tanda hati mula mengeras ialah apabila ilmu terus bertambah tetapi perubahan semakin berkurang.

Kita mendengar perkara yang sama berulang kali. Kita memahami apa yang perlu dilakukan. Kita tahu apa yang perlu diperbaiki. Tetapi hati tidak lagi bergerak. Nasihat tidak lagi menyentuh. Peringatan tidak lagi menggoncang jiwa dan mungkin itulah antara perkara yang paling perlu kita takuti. Bukan kehilangan harta, jawatan atau pengaruh. Tetapi kehilangan kepekaan hati terhadap Allah. Menariknya, walaupun Allah menyebut tentang pengkhianatan dan hati yang keras, ayat ini tidak berakhir dengan nada dendam. Allah memerintahkan Rasulullah SAW, “Maka maafkanlah mereka dan berlapang dadalah.”

Ini sangat luar biasa kerana Al-Quran bukan sahaja mahu kita memahami kesalahan manusia lain. Al-Quran juga mahu memastikan hati kita sendiri tidak menjadi keras ketika berhadapan dengan kelemahan orang lain. Kadang-kadang dalam usaha menentang kesalahan orang lain, kita sendiri boleh kehilangan rahmat dan belas ihsan. Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah berkali-kali mengembalikan kita kepada tema yang sama sejak ayat pertama. Amanah, akad, perjanjian dan kesetiaan kerana kekuatan seorang manusia tidak bermula dengan kedudukannya. Kekuatan seorang manusia bermula dengan sejauh mana dia menjaga perjanjiannya dengan Allah dan mungkin tadabbur paling besar daripada ayat-ayat ini ialah bahawa sebelum kita sibuk mempersoalkan amanah orang lain, kita perlu terlebih dahulu bertanya kepada diri sendiri, apakah amanah yang Allah telah berikan kepadaku yang mula aku abaikan?

Boleh jadi keruntuhan yang paling berbahaya bukan yang berlaku di luar diri kita. Tetapi yang sedang berlaku secara perlahan-lahan di dalam hati kita sendiri.

Thursday, May 28, 2026

Al-Ma’idah Ayat 6–9: Dunia Hari Ini Bersih Luaran, Tetapi Letih Jiwanya



Lama juga saya berhenti menulis dalam misi tadabbur saya. Bukan lupa, sentiasa teringat, Cuma masa memang amat mencemburui saya. Tapi saya takut tidak teruskan, hati akan makin lalai dan makin jauh. Jom kita sambung lagi. Kali ini ayat 6 hingga 9 surah Al-Mai’idah.

Ada sesuatu yang sangat menarik apabila kita membaca Surah Al-Ma’idah ayat 6 hingga 9 secara perlahan-lahan. Selepas Allah mengisytiharkan bahawa agama Islam telah sempurna, Allah tidak terus membawa manusia berbicara tentang kemenangan besar, kekuatan politik atau pembinaan tamadun. Sebaliknya Allah membawa manusia kepada sesuatu yang kelihatan sangat sederhana iaitu bab wuduk, mandi wajib, tayammum dan penyucian diri.

Pada pandangan biasa, ia mungkin kelihatan seperti perbincangan hukum yang rutin. Namun apabila ditadabbur dengan hati yang tenang, ayat-ayat ini sebenarnya sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar ritual ibadah. Allah sedang membina manusia yang bersih jiwanya. Allah berfirman, “Allah tidak mahu menyusahkan kamu, tetapi Dia mahu menyucikan kamu…”

Perhatikan bagaimana Allah menggunakan perkataan menyucikan, bukan sekadar membersihkan kerana dalam Islam, konsep bersih bukan hanya tentang tubuh dan penampilan. Islam berbicara tentang kebersihan yang lebih dalam iaitu kebersihan hati, jiwa dan hubungan manusia dengan Allah.

Hari ini manusia hidup dalam dunia yang sangat cenderung terhadap kebersihan luaran. Industri kecantikan berkembang dengan begitu besar. Manusia menjaga penjagaan kulit, pemakanan, gaya hidup sihat dan penampilan media sosial. Semua orang mahu kelihatan baik. Semua orang mahu nampak sempurna di hadapan manusia lain.

Namun dalam masa yang sama, semakin ramai manusia sebenarnya sedang penat secara dalaman. Jiwa manusia moden semakin letih. Emosi semakin rapuh. Manusia mudah marah, mudah terasa, mudah hasad dan semakin sukar menemukan ketenangan walaupun hidup dikelilingi kemudahan. Seolah-olah manusia semakin bersih di luar, tetapi semakin kusut di dalam. Mungkin sebab itu Islam tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk mencuci tubuh. Islam juga mengajar manusia bagaimana untuk membersihkan hati.

Wuduk misalnya, bukan sekadar proses membasuh muka, tangan dan kaki. Wuduk sebenarnya ialah latihan jiwa yang Allah ulang berkali-kali setiap hari. Apatah lagi dalam dunia yang terlalu laju hari ini, wuduk seperti ruang kecil yang Allah hadiahkan untuk manusia berhenti seketika daripada kesibukan hidup. Ketika air menyentuh wajah dan anggota badan, seorang Muslim sebenarnya sedang diajar untuk kembali menenangkan dirinya, kembali mengingati Allah dan kembali menjadi manusia.

Menariknya, selepas ayat tentang penyucian ini, Allah membawa pula kepada kita satu ungkapan yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Inilah budaya yang dibina oleh Al-Quran. Bukan sekadar budaya mendengar ilmu atau suka berbincang tentang agama, tetapi budaya tunduk kepada Allah dan di sinilah cabaran terbesar manusia moden.

Kita hidup dalam zaman yang mengajar manusia supaya memilih apa sahaja berdasarkan keselesaan diri. Manusia dibiasakan dengan pendapat bahawa mereka berhak menentukan sendiri apa yang benar dan salah menurut kehendak peribadi. Akhirnya agama mula dilihat seperti menu pilihan. Mana yang sesuai dengan gaya hidup diterima, manakala yang mengganggu hawa nafsu mula dipersoalkan atau ditinggalkan.

Sedangkan para sahabat Rasulullah SAW dididik dengan satu prinsip yang sangat besar, “Kami dengar dan kami taat.”

Ini tidak bermaksud Islam membunuh akal atau melarang manusia berfikir. Al-Quran berkali-kali mengajak manusia berfikir, merenung dan memahami. Namun selepas kebenaran itu jelas, Islam mendidik manusia supaya tunduk kepada Allah, bukan kepada ego sendiri kerana masalah terbesar manusia sebenarnya bukan kurang ilmu. Masalah terbesar manusia ialah ego yang tidak mahu tunduk dan mungkin sebab itu ayat tentang ketaatan ini datang selepas ayat penyucian. Ia mungkin kerana hati yang bersih lebih mudah menerima kebenaran. Hati yang terlalu penuh dengan ego, cinta dunia dan hawa nafsu akan sentiasa mencari alasan untuk menolak panduan Allah. Selepas itu, Allah membawa pula manusia kepada satu lagi nilai besar dalam kehidupan, iaitu keadilan. Allah berfirman, “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.”

Ayat ini sangat luar biasa kerana Islam tidak hanya mengajar manusia berlaku baik kepada orang yang disukai. Islam mengajar manusia supaya tetap berlaku adil walaupun terhadap orang yang dibenci. Hari ini dunia semakin kehilangan kemampuan untuk berlaku adil. Media sosial menjadikan manusia terlalu cepat marah, terlalu cepat menghukum dan terlalu mudah membenci. Kadang-kadang hanya dengan satu potongan video atau satu naratif tertentu, manusia terus menjatuhkan hukuman tanpa mendengar keseluruhan cerita.

Budaya memalukan orang, membuka aib dan “cancel culture” menjadi semakin biasa. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana tegang dan penuh kebencian. Manusia semakin sukar mendengar dengan tenang dan semakin mudah dipengaruhi emosi sedangkan Al-Quran mendidik manusia supaya kebencian tidak menghapuskan keadilan.

Ini sangat sukar kerana ketika marah, ego manusia mahu membalas, mahu memenangkan diri dan mahu melihat lawannya jatuh. Namun Islam mahu manusia dipimpin oleh takwa, bukan emosi. Sebab itu Allah menyebutkan, “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”

Ini menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar isu sosial atau politik. Keadilan sebenarnya lahir daripada hati yang bersih dan takut kepada Allah. Hanya hati yang benar-benar sedar bahawa Allah melihat dirinya akan berusaha berlaku adil walaupun dirinya sedang terluka dan mungkin sebab itu susunan ayat-ayat ini sangat indah. Allah bermula dengan penyucian diri, kemudian membawa manusia kepada ketaatan dan akhirnya kepada keadilan. Seolah-olah Allah sedang menunjukkan bahawa masyarakat yang adil tidak akan lahir hanya melalui undang-undang atau sistem semata-mata. Ia lahir daripada manusia yang bersih jiwanya, tunduk kepada Allah dan mampu mengawal emosinya.

Hari ini dunia mempunyai terlalu banyak manusia yang pandai bercakap, hebat berhujah dan kuat membina imej. Tetapi dunia semakin kekurangan manusia yang benar-benar bersih hatinya sedangkan kerosakan masyarakat selalunya tidak bermula kerana kurang ilmu. Ia bermula apabila hati menjadi keras, ego tidak terkawal dan manusia semakin jauh daripada Allah.

Mungkin sebab itu Surah Al-Ma’idah tidak bermula dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina manusia dahulu kerana tamadun yang hebat tidak akan bertahan lama jika dibina oleh jiwa yang rosak dan mungkin tadabbur paling besar daripada ayat ini ialah bahawa dunia hari ini terlalu sibuk mengajar manusia bagaimana untuk kelihatan baik di hadapan manusia lain, tetapi Al-Quran datang mengajar manusia bagaimana untuk benar-benar bersih di sisi Allah.

Tuesday, April 28, 2026

Tadabbur Surah An-Nisa’ Ayat 135–140: Keadilan Tanpa Kompromi dan Iman yang Diuji



Ada satu hakikat yang kita jarang akui secara jujur iaitu manusia mencintai kebenaran, selagi kebenaran itu tidak menyakitkan dirinya. Kita mahu hidup dalam dunia yang adil. Kita mahu dilayan dengan benar. Kita marah apabila dizalimi. Tetapi apabila kebenaran itu menuntut kita mengaku salah atau menentang orang yang kita sayang atau kehilangan sesuatu yang kita pegang, tiba-tiba kebenaran menjadi sesuatu yang berat. Maka, di sinilah ayat 135 Surah An-Nisa’ datang dengan satu arahan yang tidak memberi ruang untuk kompromi. Allah tidak sekadar menyuruh berlaku adil, tetapi menyuruh kita menjadi penegak keadilan walaupun terhadap diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat. Ayat ini tidak berbicara tentang keadilan dalam keadaan ideal. Ia berbicara tentang keadilan ketika hati kita berperang dengan kepentingan sendiri.

Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini adalah asas kepada keadilan yang sebenar dalam Islam. Keadilan yang tidak tunduk kepada emosi, hubungan atau kepentingan dan di sinilah letaknya ujian sebenar iman kerana berlaku adil terhadap orang lain mungkin sukar, tetapi berlaku adil terhadap diri sendiri itu jauh lebih menyakitkan. Allah kemudian mengingatkan tentang sesuatu yang sangat halus tetapi berbahaya iaitu hawa nafsu. Nafsu tidak pernah datang dengan wajah yang jelas sebagai musuh. Ia datang dengan alasan, dengan justifikasi, dengan bisikan yang kelihatan masuk akal. Ia tidak berkata buatlah salah, tetapi ia berkata, tak apa, kali ini saja dan tanpa sedar, kita mula memutar kebenaran untuk melindungi apa yang kita tidak sanggup lepaskan. Kala semua itu berlaku, Allah menyeru sesuatu yang kelihatan pelik pada zahirnya, “Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah.”

Seolah-olah iman itu boleh habis. Seolah-olah iman itu perlu diperbaharui dan memang itulah hakikatnya. Al-Tabari menjelaskan, seruan ini adalah panggilan untuk memperdalam iman, bukan sekadar memiliki, tetapi menghidupkannya kerana iman yang tidak dijaga akan menjadi rapuh, kemudian ayat seterusnya menggambarkan satu keadaan yang sangat membimbangkan iaitu manusia yang beriman, kemudian kufur, kemudian beriman semula, kemudian kufur lagi. Ini bukan sekadar jatuh dan bangun. Ini adalah gambaran jiwa yang tidak mempunyai pendirian. Jiwa yang tidak tahu di mana ia berdiri dan mungkin ini lebih berbahaya daripada kejatuhan itu sendiri.

Lebih menyedihkan, apabila manusia mula mencari kekuatan pada selain Allah. Ayat 138 dan 139 menggambarkan golongan yang bergantung kepada manusia untuk rasa selamat, untuk rasa kuat, untuk rasa diterima. Sedangkan hakikatnya, segala kekuatan itu milik Allah. Tetapi manusia sering tertipu dengan sesuatu yang boleh dilihat, sehingga melupakan sesuatu yang lebih hakiki tetapi tidak kelihatan maka akhirnya, ayat 140 membawa kita kepada satu realiti yang sangat dekat dengan kehidupan harian. Apabila kita berada dalam satu suasana di mana kebenaran dipermainkan, di mana agama dijadikan bahan senda, di mana keburukan dinormalisasikan, kita diperintahkan untuk tidak duduk bersama mereka. Bukan kerana kita lebih baik, tetapi kerana hati manusia itu mudah terpengaruh kerana apa yang kita biasakan, akhirnya akan kita terima.

Kadang-kadang kita tidak melakukan dosa itu sendiri. Tetapi kita duduk di sekelilingnya. Kita mendengarnya. Kita membiarkannya dan perlahan-lahan, hati kita menjadi kebal. Tidak lagi terasa bersalah. Tidak lagi terasa janggal lalu di situlah bermulanya kejatuhan yang tidak disedari. Ayat-ayat ini sebenarnya sedang membawa kita kepada satu persimpangan yang sangat jelas antara kebenaran dan keselesaan. Kita semua tahu apa yang benar. Tetapi tidak semua sanggup hidup dengannya kerana kebenaran sering datang dengan harga dan persoalannya bukan sama ada kita tahu, tetapi sama ada kita sanggup.

Mungkin muhasabah paling jujur yang kita boleh tanyakan kepada diri sendiri hari ini ialah jika kebenaran itu menyakitkan, adakah kita masih akan memilihnya? Jika keadilan itu merugikan kita, adakah kita masih akan mempertahankannya? Jika iman itu menuntut kita berubah, adakah kita benar-benar bersedia? Akhirnya, iman bukan sekadar apa yang kita percaya. Ia adalah keberanian untuk hidup dengan apa yang kita tahu benar.

Thursday, April 16, 2026

Konflik Rumah Tangga, Keadilan dan Muhasabah Hati


Ada satu realiti yang jarang kita akui bahawa tidak semua hubungan itu mudah dan tidak semua cinta itu kekal tanpa luka. Ayat 128 hingga 134 Surah An-Nisa’ tidak menggambarkan kehidupan yang ideal. Ia menggambarkan kehidupan yang sebenar penuh emosi, konflik dan pilihan yang sukar. Tetapi di tengah semua itu, Al-Quran tidak membiarkan kita tanpa arah. Bahkan Allah tahu ada ketikanya akan datang waktu apabila cinta tidak lagi seimbang.

Ayat 128 dibuka dengan satu situasi yang sangat realistik mengenai seorang wanita yang bimbang akan sikap suaminya sama ada menjauh atau tidak lagi peduli tentang dirinya. Ini bukan teori tetapi inilah kehidupan bahkan ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini mengiktiraf bahawa hubungan manusia boleh berubah dan Allah memberi satu solusi melalui perdamaian lebih baik (sulh). Perkara ini menjelaskan bahawa tidak semua masalah perlu diselesaikan dengan menang. Kadang-kadang, yang lebih penting ialah memelihara apa yang masih ada dan kena beringat, ego kita selalunya yang jadi musuh yang tidak kelihatan.

Ayat ini menyebutkan satu hakikat yang sangat dalam, “manusia itu cenderung kepada sifat kedekut”. Ini bukan hanya tentang harta ini juga tentang ego yang tidak mahu mengalah, tentang hati yang mahu menang dan perasaan yang mahu dihargai. Banyak hubungan rosak bukan kerana kurang cinta, tetapi kerana terlalu banyak ego. Ego akan membunuh keadilan dan menjadilah keadilan itu tidak sempurna.

Ayat 129 mengakui sesuatu yang sangat jujur iaitu kamu tidak akan mampu berlaku adil sepenuhnya. Al-Qurtubi memberikan tafsiran ini, merujuk kepada keadilan dalam hati sesuatu yang manusia sukar kawal. Tetapi Allah tetap memberi tanda aras, jangan condong hingga menzalimi. Allah tidak menuntut kita sempurna tetapi menuntut kita tidak berlaku zalim. Maka, boleh bersama kita fahami, perpisahan bukan bererti gagal, tetapi ia lebih kepada usaha untuk tidak menzalimi.

Ayat 130 membawa satu perspektif yang sangat menenangkan. Jika mereka berpisah, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing. Ini mengubah cara kita melihat perpisahan. Tidak semua perpisahan adalah kegagalan. Kadang-kadang ia adalah rahmat yang tersembunyi. Sebab itulah, banyaklah bergantung dengan Allah dan janganlah terlalu bergantung pada manusia. Ayat 131–132 mengingatkan kita tentang segala yang di langit dan di bumi milik Allah dan Allah tidak memerlukan manusia. Ini satu peringatan besar mengenai hubungan manusia itu penting tetapi ia tidak boleh menggantikan hubungan dengan Allah. Apabila kita terlalu bergantung kepada manusia, kita akan mudah kecewa.

Ego yang perlu dirobohkan dan inilah pesanan penting dalam ayat 133 yang menyebutkan. Allah boleh menggantikan kamu dengan yang lain. Ini ayat yang sangat menusuk. Ia meruntuhkan ilusi bahawa kita terlalu penting. Kita bukan pusat dunia tetapi kita hanya hamba yang diberi peluang. Kemudian, Ayat 134 menutup dengan satu pilihan. Sesiapa yang menginginkan ganjaran dunia, Allah menyebutkan bahawa kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat berada di sisi-Nya. Tetapi manusia perlu memilih fokus. Masalahnya bukan kita tidak tahu akhirat itu penting. Masalahnya kita terlalu sibuk dengan dunia.

Ayat-ayat ini membawa kita kepada satu soalan yang sangat halus, adakah kita mencintai manusia kerana Allah atau kita menggantikan Allah dengan manusia? Apabila manusia menjadi sumber utama kebahagiaan, kita akan mudah kecewa, mudah terluka dan mudah hilang arah tetapi apabila Allah menjadi pusat kita, kita akan lebih stabil, lebih tenang dan lebih kuat. Jadi, cuba tanyakan kepada diri kita, adakah aku sanggup mengalah untuk menjaga hubungan atau aku lebih pentingkan ego? Adakah aku berlaku adil kepada orang yang aku sayang? Adakah aku terlalu bergantung kepada manusia sehingga lupa kepada Allah? Satu soalan yang paling dalam, jika semua manusia pergi dari hidup aku adakah aku masih kuat bersama Allah?

Hari ini, kita hidup dalam budaya cinta yang cepat, putus yang cepat, ego yang tinggi tetapi kesabaran rendah. Sebenarnya kita diajar untuk jangan mengalah dan utamakan diri tetapi Al-Quran mengajar kita kadang-kadang mengalah itu kekuatan dan kadang-kadang melepaskan itu rahmat. Langkah perubahan yang jujur, perlu kita lakukan adalah bermula dengan melatih diri mengalah kerana Allah bukan kerana lemah, tetapi kerana hikmah. Jaga keadilan dalam hubungan walaupun dalam perkara kecil. Kurangkan kebergantungan kepada manusia dan tambahkan pergantungan kepada Allah. Nilai semula fokus hidup kita dan sentiasa ingat dunia sebagai alat, bukan matlamat.

Ayat 128 hingga 134 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat jujur iaitu hubungan manusia tidak sempurna, hubungan dengan Allah yang sentiasa sempurna dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, kita mungkin kehilangan manusia, tetapi jangan sampai kita kehilangan Allah.

Tuesday, April 14, 2026

Harapan Syurga, Amal Soleh dan Keadilan dalam Islam


Hari ini, untuk semua insan yang hidup, hampir semua orang mempunyai harapan. Harapan untuk bahagia, harapan untuk berjaya dan harapan untuk selamat di akhirat. Tetapi ayat 122 hingga 127 Surah An-Nisa’ datang dengan satu peringatan yang sangat jujur bahawa tidak semua harapan membawa kita ke mana-mana. Ada harapan yang membina dan ada harapan yang menipu. Namun kita mesti ada keyakinan bahawa ada satu janji yang tidak pernah mengkhianati.

Ayat 122 dibuka dengan janji yang sangat indah apabila Allah menjanjikan syurga kepada orang yang beriman dan beramal soleh dan Allah menutup ayat itu dengan satu penegasan, “Siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”

Dunia hari ini, kita terbiasa dengan janji sama ada janji manusia, janji sistem, janji kehidupan yang sering tidak pasti. Tetapi di sini, Al-Quran mengajak kita memegang satu janji yang tidak pernah gagal. Sering menjadi permasalahan bagi kita bukan kerana kurangnya harapan tetapi selalu meletakkan harapan pada tempat yang salah. Peringatan penting juga bagi kita, amat berbahaya harapan tanpa amal.

Ayat berikutnya, 123, memotong satu ilusi yang sangat biasa ada pada kita iaitu, “Ia bukan berdasarkan angan-angan kamu…”

Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini menolak sikap berasa selamat hanya kerana identiti tanpa usaha. Ini sangat dekat dengan realiti kita rasa cukup kerana “aku Muslim”, rasa selamat kerana “aku baik”, rasa layak sebab “aku Melayu, aku bumiputera” dan ini adalah rasa yakin yang tidak muhasabah. Ingat, iman bukan perasaan selesa bahkan iman adalah tanggungjawab yang hidup. Keadilan yang tidak memilih identity mahupun jantina.

Ayat 124 pula menambah dengan membawa satu lagi prinsip yang sangat penting bahawa lelaki dan perempuan yang beramal soleh akan mendapat balasan yang sama. Ini satu revolusi besar dalam konteks sejarah manusia. Nilai seseorang tidak ditentukan oleh jantina, latar belakang, status sosial tetapi ia amat bergantung kepada amal dan keikhlasan. Allah tidak melihat siapa kita sebaliknya Allah melihat apa yang kita lakukan dengan apa yang kita ada. Maka tidak hairanlah jika jalan hidup yang paling lurus itu adalah dengan kita menyerahkan diri kita kepada ketentuan Allah s.w.t.

Ayat 125 menjelaskan jalan hidup yang paling lurus adalah mereka yang lebih baik dan mereka itu adalah orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah dan berbuat ihsan. Ini adalah formula kehidupan yang sebenar. Tunduklah kepada Allah, berbuat baik kepada manusia dan ikutilah jalan para nabi. Kita hidup dengan pelbagai pilihan, namun ayat ini memberi satu kompas hidup yang terbaik bukan yang paling bebas tetapi yang paling terarah kepada Allah. Secara tidak langsung kita telah memperakui hakikat kepemilikan.

Ayat 126 mengingatkan kita pula tentang segala yang di langit dan di bumi milik Allah. Ini satu ayat yang sangat membumi kerana kebanyakan masalah manusia datang dari ilusi seperti “ini milik aku”. Apabila kita berasa memiliki, kita menjadi tamak, menjadi takut kehilangan dan menjadi tidak adil. Lalu, apabila kita sedar semua milik Allah, kita belajar untuk melepaskan, bersyukur dan berlaku adil. Maka atas dasar inilah dapat kita lihat bagaimana agama yang membela mereka yang lemah.

Ayat 127 membawa kita kembali kepada realiti masyarakat tentang wanita dan anak yatim merupakan golongan yang sering diabaikan, dizalimi dan tidak diberikan hak. Rujukan tafsir Al-Tabari turut memperjelaskan bahawa ayat ini turun kerana masyarakat ketika itu mengambil kesempatan terhadap golongan ini terutamanya dalam harta dan perkahwinan. Lalu Al-Quran datang untuk membetulkan pandangan bahawa agama bukan hanya ibadah bahkan agama adalah keadilan. Ukuran kekuatan masyarakat bukan pada yang kuat tetapi pada bagaimana mereka melayan yang lemah dari kalangan mereka.

Ayat-ayat ini membawa kita kepada satu persoalan yang sangat jujur, adakah kita hidup dengan harapan yang benar atau sekadar angan-angan yang menenangkan? Ramai orang mahu syurga, kebahagiaan dan ketenangan tetapi tidak semua mahu berubah, berusaha dan berlaku adil. Maka, tanyakan diri kita dengan jujur, adakah aku sedang beramal atau hanya berharap? Adakah aku berlaku adil kepada orang di sekeliling aku? Adakah aku menggunakan apa yang Allah beri untuk kebaikan umum atau hanya untuk diri sendiri? Saya tutupkan dengan satu soalan yang paling dalam, jika Allah menilai aku hari ini berdasarkan amal, bukan harapan, agaknya di mana aku berdiri?

Kita hidup dalam dunia yang menjual motivasi tanpa disiplin, menjual harapan tanpa usaha dan menjual imej tanpa reality. Maka ingatlah, Ayat 122–127 datang sebagai pembetulan tentang harapan tanpa amal adalah ilusi dan iman tanpa keadilan adalah kosong. Wajar untuk kita merangka langkah perubahan yang jujur. Tukarkanlah harapan kepada tindakan dan mulakan dengan amal kecil yang konsisten. Latihlah keadilan dalam kehidupan harian bermula dengan keluarga dan orang terdekat. Perbetulkan niat. Buatlah kerana Allah, bukan kerana imej. Jagalah golongan yang lemah kerana di situlah nilai iman kita diuji.

Ayat 122 hingga 127 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat mendalam iaitu iman bukan sekadar berharap tetapi iman adalah membina. Iman membina diri, amal, masyarakat dan mungkin inilah muhasabah paling penting, adakah kita hanya menunggu syurga atau kita sedang berjalan menuju ke arahnya?

Thursday, April 2, 2026

Adil Tidak Semestinya Sama: Memahami Subsidi, Wilayah dan Keadilan Sebenar


Perbincangan tentang subsidi petrol dan diesel hari ini semakin panas. Ia disebabkan di Semenanjung, subsidi dikurangkan dan disasarkan manakala di Sabah dan Sarawak, ia masih dikekalkan. Kemudian timbullah pula suara, “Kenapa tidak sama?”, “Ini tidak adil!”, “Kenapa kami yang perlu tanggung?” Reaksi ini pada saya bukan sesuatu yang pelik kerana apabila sesuatu menyentuh kehidupan harian, kita cenderung melihatnya dari sudut paling dekat dengan diri kita.

Kita sering menyamakan dua perkara, kesamarataan (equality) dengan kefahaman semua dapat benda yang sama dan keadilan (equity) iaitu setiap orang mendapat apa yang diperlukan. Sekilas, kedua-duanya nampak serupa tetapi dalam realiti yang kompleks, ia sangat berbeza. Apabila kita memberi perkara yang sama kepada semua, tidak semestinya menghasilkan keadilan.

Satu perkara yang kita wajib sedar, Malaysia tidak seragam, maka dasarnya juga tidak boleh seragam. Malaysia bukan satu blok yang homogen. Perbezaan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak agak besar. Geografi yang luas dan mencabar, kepadatan penduduk yang rendah, kebergantungan lebih banyak kepada pengangkutan diesel dan kos logistik yang jauh lebih tinggi juga di banyak kawasan di Sabah dan Sarawak bot adalah pengangkutan harian, kenderaan pacuan empat roda adalah keperluan serta akses kepada kemudahan asas lebih terhad. Maka, apabila subsidi dikekalkan di sana ia bukan kelebihan tetapi satu keperluan.

Kita tidak wajar untuk melihat hanya dari sudut kita sahaja. Inilah cabaran sebenar. Kita cenderung bertanya “kenapa mereka dapat, aku tidak?” Jarang kita bertanya “apa keadaan mereka sebenarnya?” Apabila perspektif menjadi sempit, keadilan akan mula kelihatan seperti ketidakadilan. Kita bersama boleh faham tentang kemarahan, tetapi kemarahan itu perlulah dipandu. Reaksi netizen tidak boleh terus ditolak. Ia lahir daripada tekanan kos hidup, kebimbangan masa depan dan rasa terbeban. Namun, dalam masa yang sama emosi tanpa kefahaman boleh membawa kepada kesimpulan yang salah.

Keadilan dalam islam adalah lebih mendalam, bukan sekadar sama rata. Allah tegaskan dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil…” (Surah An-Nahl: 90)

Keadilan dalam Islam bukan sekadar memberi sama rata. Ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan mengambil kira keadaan serta menilai dengan hikmah. Jadi, di mana kita perlu berdiri? Penilaian isu ini perlu berlandaskan pendirian yang matang bukan ekstrem. Tetapi seimbang. Saya menyokong prinsip subsidi bersasar agar bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan. Pada masa yang sama, kita perlu menerima realiti perbezaan wilayah bahawa tidak semua kawasan mempunyai keperluan yang sama.

Jika kita berhasrat untuk mengkritik, kritiklah secara membina terutamanya dalam aspek komunikasi dasar dan ketelusan pelaksanaan. Jagalah adab dalam perbezaan kerana perbezaan pandangan tidak sepatutnya memecahkan kita. Marilah kita bermuhasabah, kita mahu sama atau kita mahu adil? Mungkin persoalan sebenar bukan “Kenapa tidak sama?” tetapi “Apa yang paling adil untuk semua?” Jika kita hanya menuntut kesamarataan, kita mungkin mengabaikan keperluan mereka yang lebih memerlukan dan jika kita benar-benar memahami keadilan kita akan sedar bahawa kadang-kadang, perbezaan itulah yang menjadikan sesuatu itu adil.

Marilah kita belajar melihat dengan mata yang lebih luas. Dunia hari ini menuntut kita berfikir lebih dalam bukan sekadar melihat apa yang kita dapat tetapi memahami bagaimana sesuatu itu diagihkan. Jika tidak, kita akan terus hidup dalam perasaan tidak puas hati, walaupun sebenarnya kita sedang berada dalam sistem yang cuba berlaku adil. Maka dalam isu ini mungkin yang perlu kita ubah bukan hanya dasar tetapi cara kita melihat dasar itu sendiri, dari menuntut sama rata kepada memahami makna sebenar keadilan.

Tuesday, March 31, 2026

Minyak Naik, Dunia Bergolak: Antara Realiti Global Dan Tanggungjawab Kita


Bila dunia bergolak, dapur kita pun terasa. Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar isu luar negara. Ia meresap perlahan-lahan ke dalam kehidupan kita. Harga barang naik. Kos pengangkutan meningkat. Perbualan di warung berubah nada dan tiba-tiba isu minyak menjadi perbualan nasional. Minyak itu global, bukan lokal.

Ramai melihat kenaikan harga minyak sebagai kegagalan dasar tempatan. Tetapi hakikatnya harga minyak adalah permainan global, bukan keputusan satu negara. Apabila kawasan strategik seperti laluan minyak dunia terancam, pasaran akan bertindak balas. Apabila risiko meningkat maka harga akan naik, ketidakstabilan berlaku akan sebabkan pelabur panik dan akhirnya bekalan terganggu yang menyebabkan kos melonjak. Malaysia tidak terkecuali. Kita hanyalah sebahagian daripada ekosistem dunia yang saling bergantung.

Malaysia ni sebenarnya berada dalam keuntungan atau beban? Inilah uniknya kedudukan malaysia. Kita adalah pengeluar minyak, tetapi dalam masa sama pensubsidi bahan api. Maka berlakulah paradoks bahawa negara “untung” apabila harga minyak dunia naik sepatutnya hasil negara juga meningkat. Hakikatnya kerajaan “terbeban” kerana harga domestik dikawal, subsidi menjadi semakin meningkat. Kita sebagai rakyat yang sebenarnya “dilindungi sementara” sahaja. Harga tidak naik mendadak, tetapi kos sebenar sedang ditanggung di belakang tabir.

Persoalannya, subsidi ini rahmat atau ilusi? Subsidi sering dilihat sebagai penyelamat dan dalam banyak keadaan tidak dapat kita nafikan. Ia dapat meredakan tekanan kos hidup, menstabilkan ekonomi dan memberi ruang bernafas kepada rakyat. Namun dalam diam, ia juga membawa persoalan berapa lama kita mampu menahan harga daripada realiti sebenar? Jika harga dunia terus meningkat, subsidi bukan lagi pelindung, tetapi boleh menjadi beban yang memakan masa depan.

Situasi ini, memerlukan kita berlaku jujur dalam menilai. Saya berpendirian langkah kerajaan mengekalkan subsidi dalam jangka pendek adalah wajar, berperikemanusiaan demi untuk menstabilkan keadaan. Tetapi kita juga kena sedar, dalam jangka panjang subsidi menyeluruh tidak mampan, ketirisan boleh berlaku dan sistem perlu diperbaiki lagi.

Oleh yang demikian, masalah sebenar kita di malaysia ini adalah cara kita berfikir. Ini jelas dalam masyarakat, sering muncul dua reaksi ekstrem iaitu yang pertama menyalahkan sepenuhnya kerajaan seolah-olah semua berpunca dari dasar tempatan dan tidak kurang juga yang menafikan langsung masalah, seolah-olah semuanya terkawal dan tidak perlu risau. Kedua-duanya lahir dari satu punca yang sama apabila kita melihat tanpa memahami.

Allah mengingatkan dalam Al-Quran, “…dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya…” (surah Al-Isra’: 36)

Ayat ini seolah-olah menegur cara kita memberi reaksi hari ini. Khususnya dalam isu minyak ini, pendirian seorang muslim bukan sekadar menyokong atau membantah tetapi biarlah memahami sebelum menghukum. Lihatlah isu dari sudut global, bukan sempit. Jika menyokong, sokonglah dengan kesedaran bukan sokongan membuta tuli. Sokong berasaskan kefahaman. Kritikan amat digalakkan, tetapi kritiklah dengan beradab. Usahlah bertuankan emosi, tetapi membina. Elakkanlah dengan perkataan cacian dan makian apatah lagi memperolok-olokkan tindakan kerajaan.

Kita juga disuruh untuk berfikir jangka panjang bukan hanya hari ini. Masa depan ummah harus menjadi peranan kita dan ia lebih dari sekadar pengguna biasa. Kita mungkin tidak menentukan harga minyak dunia. Tetapi kita masih punya peranan mendidik masyarakat agar faham reality, mengelakkan penyebaran naratif salah dan membina budaya berfikir, bukan sekadar memberi maklum balas kerana akhirnya krisis bukan hanya menguji ekonomi, tetapi juga kematangan fikrah umat.

Harga minyak mungkin naik dan turun. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah adakah kita juga naik dalam kefahaman atau sekadar turun naik dalam emosi? Dunia akan terus bergolak. Konflik akan silih berganti. Namun jika kita tidak membina cara melihat yang benar kita akan terus terperangkap dalam kitaran yang sama, panik, marah, keliru dan akhirnya penat sendiri.

Maka mungkin hari ini, di sebalik isu minyak allah sedang mengajar kita untuk tidak hanya melihat apa yang berlaku, tetapi memahami bagaimana kita sepatutnya melihatnya.

Sunday, March 29, 2026

Solat dalam Ujian, Keadilan Tanpa Pilih Kasih


Ada satu persoalan yang sangat jujur untuk kita renungkan bersama. Adakah kita hanya menjaga iman ketika keadaan tenang atau kita mampu mempertahankannya ketika keadaan sukar? Ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ membawa kita ke satu realiti yang sangat praktikal tentang bagaimana iman itu hidup dalam dua situasi paling mencabar iaitu ketika kita sibuk dan terancam dan pada ketika kita perlu membuat keputusan yang melibatkan keadilan. Ini bukan ayat teori. Ini ayat yang mengajar cara hidup dan amat dekat dengan situasi kita hari ini.

Solat tidak digugurkan walau dalam keadaan berbahaya. Ini mesej yang sangat jelas dalam ayat 102 yang turut memperkenalkan konsep solat khauf yakni solat dalam keadaan takut atau peperangan. Sebahagian sahabat solat bersama Nabi SAW, sementara sebahagian lagi berjaga. Kemudian mereka berganti. Apabila dirujuk tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ini menunjukkan bahawa solat tetap diwajibkan walaupun dalam keadaan paling genting. Jika dalam peperangan pun solat tidak ditinggalkan, apa alasan kita meninggalkannya kerana kesibukan?

Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangan antara dunia dan akhirat. Ayat ini juga mengajar satu keseimbangan yang indah. Tidak lalai dalam ibadah serta tidak lalai dalam tanggungjawab dunia. Islam tidak mengajar kita memilih salah satu sebaliknya aa mengajar kita untuk mengurus kedua-duanya dengan bijaksana.

Ayat 103 menyebutkan, “Ingatlah Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring…”

Ini membawa kita kepada satu tahap iman yang lebih tinggi, zikir yang tidak terhenti. Hubungan dengan Allah tidak terhad kepada waktu tertentu. Kemudian Allah tegaskan bahawa solat itu diwajibkan pada waktu-waktu tertentu. Iman bukan sekadar ritual malahan ia adalah kesedaran yang berterusan.

Pesan saya untuk diri saya terutamanya, jangan lemah dalam perjuangan. Ayat 104 mengingatkan, jangan merasa lemah, jangan merasa berat kerana jika kita merasa sakit, orang lain juga merasa sakit cuma perbezaannya, orang beriman mempunyai harapan dari Allah. Inilah kekuatan sebenar bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang yakin.

Keadilan tidak pernah berpihak melainkan kepada kebenaran. Ayat 105 adalah antara ayat paling penting dalam soal keadilan, “Janganlah kamu menjadi pembela bagi orang yang khianat…”

Asbabun nuzul ayat ini menjelaskan tnetang kebenaran lebih tinggi dari identiti. Tafsir Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan apabila seorang Muslim mencuri dan cuba menuduh seorang Yahudi sebagai pelaku. Sebahagian masyarakat cuba mempertahankan lelaki Muslim itu kerana “dia dari kalangan kita”. Namun Allah menurunkan ayat ini untuk menegaskan bahawa kebenaran tidak bergantung kepada siapa tetapi kebenaran bergantung kepada apa yang benar. Keadilan sebenar bukan memihak kepada orang kita tetapi memihak kepada kebenaran.

Mari kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya hubungan antara ibadah dan integriti dalam dunia hari ini. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sibuk tanpa henti, penuh tekanan serta dipenuhi kepentingan dan dalam keadaan ini solat kita sering ditangguhkan, kebenaran sering dikompromi. Ayat 102–105 datang sebagai peringatan bahawa iman mesti kekal dalam tekanan dan keadilan mesti kekal dalam konflik.

Kritikan untuk diri saya sendiri mungkin. Kita mungkin rajin beribadah, tetapi tidak adil atau adil dalam kata, tetapi lemah dalam ibadah. Ayat ini mengajar bahawa kedua-duanya mesti berjalan bersama. Hubungan dengan Allah dan kejujuran dengan manusia.

Saya sarankan diri saya dan teman-teman beberapa langkah perubahan praktikal sebagai muhasabah diri kita. Jagalah solat walau sibuk. Jadikan ia keutamaan, bukan pilihan. Latihlah diri untuk berlaku adil walaupun terhadap orang yang kita sayang. Kurangkan kompromi terhadap kebenaran walaupun ia tidak popular dan hidupkan zikir harian supaya hati sentiasa terhubung dengan Allah.

Kesimpulannya, ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ mengajar satu prinsip yang sangat kuat, iman bukan hanya tentang ibadah tetapi juga tentang integrity dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, adakah kita menjaga hubungan dengan Allah? Pada masa yang sama, adakah kita berlaku adil kepada manusia? Pengakhirannya, iman yang sebenar adalah teguh dalam ibadah dan jujur dalam keadilan.

Friday, March 27, 2026

Nilai Nyawa, Bahaya Menghukum Tanpa Ilmu dan Fitnah di Era Media Sosial


Ada satu perkara yang sering kita lupa dalam kehidupan moden. Kita mungkin tidak membunuh dengan tangan, tetapi kita boleh “membunuh” dengan kata-kata. Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu asas yang sangat penting dalam Islam iaitu kesucian nyawa, keadilan dalam hukum dan disiplin dalam menilai manusia. Ini bukan sekadar hukum jenayah bahkan ini adalah pendidikan hati.

Nyawa bukanlah satu perkara kecil atau ringan yang tidak perlu kita ambil perhatian. Ayat 92 menyatakan bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya membunuh mukmin yang lain, kecuali tersalah. Walaupun kesalahan itu tidak disengajakan, Islam tetap menetapkan tanggungjawab kepada si pelaku untuk membebaskan seorang hamba, membayar diyat kepada keluarga kecuali jika si pelaku tadi dimaafkan. Ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir yang menunjukkan bahawa Islam sangat serius dalam menjaga nyawa manusia. Kesalahan tanpa niat pun ada tanggungjawab apatah lagi kesalahan yang disengajakan.

Sekiranya berlaku nyawa diragut dengan sengaja maka ayat 93 datang dengan amaran yang sangat keras. Si pelaku akan ke neraka, mendapat kemurkaan Allah, dilaknat serta dijanjikan azab yang besar. Ini menunjukkan bahawa pembunuhan bukan sekadar kesalahan sosial. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan terhadap Tuhan dan dalam Al-Quran, jarang kita melihat hukuman yang disebut dengan begitu tegas. Secara langsung ini menjelaskan semakin besar kesan sesuatu dosa kepada manusia, semakin besar akibatnya di sisi Allah.

Asbabun nuzul ayat 94 mempunyai latar belakang yang sangat menyentuh. Jangan hukum hati manusia lain seperti yang dijelaskan dalam riwayat tafsir oleh ibn kathir dan al-tabari, disebut bahawa seorang sahabat telah membunuh seseorang yang telah mengucapkan syahadah dalam peperangan. Dia menyangka orang itu hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. Namun Rasulullah SAW menegurnya dengan tegas, adakah kamu membelah hatinya? Soalan ini sangat dalam yang jelas memisahkan antara apa yang zahir dan apa yang tersembunyi malahan manusia tidak diberi hak untuk menilai yang tersembunyi.

Bahaya jika kita menghukum tanpa ilmu dan inilah diajar dalam ayat 94. Teliti dahulu sebelum membuat keputusan, jangan cepat menuduh, jangan menolak seseorang hanya kerana sangkaan dan satu peringatan penting, “kamu dahulu juga seperti mereka, lalu Allah memberi nikmat kepada kamu…”

Maksud ayat itu Allah tegaskan, jangan merasa diri lebih baik, jangan lupa kita juga pernah berada di tempat orang lain.

Era media sosial, “membunuh” mungkin tidaklah sehingga seseorang itu kehilangan nyawa. Hari ini, kita mungkin tidak terlibat dalam peperangan tetapi kita hidup dalam satu medan lain di mana, di sinilah berlaku perkara-perkara seperti pembunuhan karakter, fitnah, tuduhan tanpa bukti dan “trial by public opinion”. Hanya dengan satu komen boleh menjatuhkan seseorang. Hanya dengan satu perkongsian boleh merosakkan kehidupan. Ayat ini bukan hanya tentang pedang atau senjata lain tetapi ia juga tentang lidah dan jari kita.

Hari ini, kita hidup dalam budaya yang cepat menilai, cepat menghukum dan lambat memahami. Ramai orang lebih suka menjadi “hakim” daripada menjadi “pencari kebenaran”. Namun, Al-Quran mengajar kita sebaliknya iaitu berhenti, teliti, fahami kemudian barulah  membuat keputusan.

Kedatangan syawal tahun ini diharapkan kita kembali kepada hati yang bersih kerana dalam suasana syawal, kita sering bercakap tentang maaf, silaturahim bahkan tentang pembersihan hati. Tetapi ayat ini mengajak kita bertanya adakah kita benar-benar menjaga hati orang lain? Adakah kita berhati-hati dengan kata-kata kita? Persoalan ini timbul adalah kerana hati yang bersih bukan hanya memaafkan tetapi aa juga tidak mudah menghukum.

Oleh itu, marilah kita berusaha mengambil langkah-langkah perubahan yang praktikal dalam kehidupan kita sebagai muhasabah diri selepas ramadan. Berhentilah sebelum menghukum. Tanya duluu diri adakah aku tahu keseluruhan cerita? Selepas itu, mari kita kurangkan sangkaan sebab tidak semua yang kita nampak adalah realiti sebenar. Kemudian, jagalah lisan dan media sosial kita supaya jangan menjadi penyebab orang lain terluka. Akhir sekali, latihlah empati dalam diri kita. Cubalah kita letakkan diri kita di tempat orang lain.

Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ mengajar satu perkara yang sangat mendalam. Islam bukan hanya melarang pembunuhan fizikal. Ia juga melatih kita untuk tidak “membunuh” manusia dengan penilaian yang zalim dan mungkin inilah muhasabah paling penting, berapa ramai yang pernah kita hukum tanpa kita benar-benar tahu? Berapa banyak kata-kata kita yang mungkin telah melukakan orang lain? Ini muhasabah yang penting kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang apa yang kita lakukan, bahkan tentang bagaimana kita melihat manusia lain.

Tuesday, March 24, 2026

Iman, Keberanian dan Tanggungjawab Selepas Syawal


Ada satu persoalan yang sangat penting selepas kita melalui Ramadan dan memasuki Syawal, adakah iman kita hanya menjadikan kita baik untuk diri sendiri atau juga bermanfaat untuk orang lain? Ayat 75 hingga 79 Surah An-Nisa’ membawa kita keluar daripada zon selesa ibadah peribadi, kepada satu dimensi yang lebih luas iaitu iman sebagai tanggungjawab sosial dan keberanian moral. Ini bukan lagi tentang apa yang kita rasa. Ini tentang apa yang kita lakukan.

Persoalannya, mengapa kita tidak bangkit? Ayat 75 datang dengan satu pertanyaan yang menggoncang jiwa, “mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah dan membela orang-orang yang tertindas…”

Golongan yang disebut bukan sekadar simbolik. Lelaki, wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam penindasan dan berdoa agar dibebaskan. Huraian oleh ibn kathir dalam tafsir klasik menjelaskan, ayat ini merujuk kepada mereka yang tidak berdaya di mekah pada waktu itu. Tetapi mesejnya lebih luas. Iman bukan hanya tentang menyelamatkan diri. Iman juga tentang membela mereka yang tidak mampu menyelamatkan diri.

Ayat 76 menjelaskan dengan sangat jelas, tiada jalan neutral. Orang beriman berjuang di jalan Allah, orang lain berjuang di jalan taghut dan ini memberi satu realiti yang tegas bahawa dalam hidup ini, kita tidak benar-benar neutral. Pilihan kita, tindakan kita, dan sikap kita, semuanya berada dalam salah satu jalan dan ayat ini mengingatkan bahawa walaupun kezaliman kelihatan kuat, tipu daya syaitan itu lemah. Maknanya, kebenaran mungkin kelihatan kecil, tetapi ia mempunyai kekuatan yang sebenar.

Ayat 77 sangat dekat dengan realiti manusia. Ada orang yang sebelum diwajibkan berjuang, mereka berkata, “mengapa belum diperintahkan?” Tetapi apabila perintah datang, mereka menjadi takut. Ini sangat jujur. Kita sering bersemangat dalam idea tetapi takut dalam tindakan. Selepas ramadan, kita mungkin mempunyai semangat yang tinggi tetapi syawal menguji, adakah kita berani bertindak atau kembali kepada kebiasaan? Jika kembali kepada kebiasaan, inilah yang dikatakan ketakutan yang menghentikan tindakan.

Kematian tidak boleh dielakkan. Ayat 78 membawa perspektif yang sangat besar, di mana sahaja kamu berada, kematian akan menemui kamu. Ini membebaskan manusia daripada satu ketakutan yang sering menghalang mereka daripada melakukan kebaikan. Kadang-kadang kita tidak bertindak kerana takut kehilangan keselamatan, keselesaan bahkan kedudukan. Tetapi ayat ini mengingatkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada takdir.

Berhentilah menyalahkan orang lain. Ayat ini juga menggambarkan sikap manusia apabila mendapat kebaikan dikatanya dari Allah tetapi bila mendapat musibah, mulalah menyalahkan orang lain. Ini sangat biasa dalam kehidupan moden dan ayat 79 meluruskan, apa sahaja kebaikan dari Allah dan apa sahaja keburukan dari diri kamu sendiri.

Al-Qurtubi memberikan tafsiran bahawa ayat ini mengajar manusia mesti bertanggungjawab atas pilihan mereka. Ini adalah titik perubahan hidup. Berhenti menyalahkan dan mulalah bermuhasabah.

Ramadan telah berlalu dan mulakanlah usaha dari ibadah ke tindakan. Ramai yang merasakan diri lebih dekat dengan Allah. Tetapi ayat 75–79 membawa satu cabaran, adakah iman itu akan diterjemahkan dalam tindakan? Adakah kita lebih peka terhadap ketidakadilan? Adakah kita lebih berani mempertahankan kebenaran? Adakah kita lebih jujur melihat kelemahan diri? Kerana syawal bukan sekadar sambutan. Ia adalah ujian sama ada kita benar-benar berubah.

Satu pandangan kritis untuk zaman kita ini. Hari ini, ramai orang mahu menjadi baik tetapi tidak semua mahu menjadi berani. Tidak kiralah sama ada berani berkata benar, berani menolak kezaliman mahupun berani mengakui kesalahan diri. Kita hidup dalam dunia yang sering menggalakkan keselesaan, bukan keberanian. Tetapi Al-Quran mengajar bahawa iman yang sebenar bukan sekadar lembut. Ia juga tegas apabila diperlukan.

Saya ingin mencadangkan langkah perubahan untuk diri kita khususnya diri saya sendiri sebagai refleksi praktikal selepas syawal. Latih diri untuk peduli dan jangan hanya fokus kepada diri sendiri. Kedua, ambil langkah kecil membela kebenaran walaupun sekadar suara atau tindakan kecil. Ketiga, hadapilah ketakutan dengan iman dan usah biarkan ketakutan menghalang kebaikan. Terakhir, biasakanlah bermuhasabah diri. Kurangkan menyalahkan dan usaha tambah kebaikan.

Akhir sekali, kita rujuk ayat 75 hingga 79 surah an-nisa’ ini, ia mengajar kita bahawa, iman itu hidup dan iman yang hidup akan bergerak. Ia tidak hanya berada dalam hati bahkan ia keluar dalam tindakan dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan iaitu adakah kita hanya menjadi hamba yang beribadah? Atau kita juga menjadi hamba yang membela, berani dan jujur? Kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang hubungan kita dengan allah. Ia juga tentang bagaimana kita berdiri di dunia ini.

Wednesday, March 18, 2026

Amanah, Kuasa dan Prinsip Kepimpinan dalam Islam


Kita hayati surah An-Nisa’, kita melihat satu pola yang sangat menarik. Al-Quran tidak hanya mengkritik penyimpangan manusia, tetapi juga membina semula asas sebuah masyarakat yang adil. Ayat 52 hingga 59 berada tepat pada titik perubahan itu. Selepas ayat-ayat sebelumnya menyingkap bagaimana ilmu boleh diputar, bagaimana manusia boleh merasa dirinya suci dan bagaimana kebenaran boleh ditolak walaupun sudah jelas, bahagian ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar iaitu tentang apa yang berlaku apabila manusia kehilangan hidayah dan bagaimana masyarakat beriman sepatutnya dibina.

Ayat 52 adalah berkenaan kesan apabila hati dijauhkan dari rahmat. Ia membawa maksud mereka yang dilaknat oleh Allah dan apabila merujuk bahasa Al-Quran, jelas sekali laknat bukan sekadar kutukan. Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, keadaan ini menggambarkan manusia yang telah menutup dirinya daripada petunjuk sehingga dia tidak lagi mampu melihat kebenaran walaupun ia berada di hadapannya. Ini adalah tragedi rohani yang sebenar. Seseorang boleh memiliki kekayaan, kedudukan atau pengaruh, tetapi apabila rahmat Tuhan menjauh daripadanya, kehidupannya kehilangan arah.

Kita bersama memasuki ayat ke 53 yang menjelaskan dengan sinis tentang kuasa dan hati yang kedekut. Ayat ini bertanya dengan nada sinis, adakah mereka memiliki bahagian kekuasaan? Jika mereka memiliki kuasa sekalipun, mereka tidak akan memberi kepada manusia walaupun sedikit. Ayat ini menggambarkan satu sifat yang sering muncul apabila manusia melihat kuasa sebagai milik peribadi. Kuasa menjadi sesuatu yang perlu dipertahankan, bukan amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Sejarah manusia penuh dengan contoh ini. Apabila kuasa tidak lagi dilihat sebagai amanah, ia berubah menjadi alat untuk mengukuhkan kepentingan diri.

Kemudian ia diikuti dengan perbincangan tentang satu penyakit hati yang sangat tua dalam sejarah manusia iaitu iri hati dan bagaimana iri ini mengalahkan kebenaran. Sebahagian manusia menolak kebenaran bukan kerana ia salah, tetapi kerana mereka tidak suka siapa yang membawanya. Menurut tafsir Al-Tabari, ayat ini merujuk kepada iri hati sebahagian kelompok terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa wahyu. Ini adalah satu pelajaran yang sangat mendalam. Kadang-kadang manusia tidak menolak idea. Mereka menolak orang yang menyampaikan idea itu dan apabila iri hati menguasai hati, kebenaran yang jelas pun boleh kelihatan salah.

Terdapat dua reaksi terhadap wahyu dalam ayat 55 bahawa dalam kalangan manusia ada yang beriman kepada wahyu dan ada yang berpaling daripadanya. Ini menunjukkan bahawa wahyu tidak memaksa manusia untuk percaya. Ia membuka jalan, tetapi manusia tetap bebas memilih arah. Pilihan itu akhirnya menentukan masa depan rohani mereka. Sebahagian manusia melihat wahyu sebagai cahaya yang membimbing kehidupan dan tidak kurang juga sebahagian lagi yang melihatnya sebagai ancaman kepada kepentingan mereka.

Ayat 56 dan 57 memberikan gambaran akhir perjalanan. Ia menggambarkan dua destinasi yang sangat berbeza dimana bagi mereka yang menolak ayat-ayat Allah, Al-Quran menggambarkan azab yang berterusan. Sebaliknya bagi orang yang beriman dan melakukan kebaikan, dijanjikan syurga yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Gambaran ini mengingatkan bahawa kehidupan manusia bukan sekadar perjalanan dunia. Ia adalah perjalanan menuju satu keputusan akhir yang akan menentukan nasib mereka selama-lamanya.

Maka, tibalah kita kepada Prinsip Besar Masyarakat Beriman dalam ayat ke 58. Ia satu prinsip yang sangat penting dalam pembinaan masyarakat. Allah memerintahkan manusia untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan menghukum antara manusia dengan keadilan. Menurut tafsir Al-Qurtubi, ayat ini dianggap sebagai salah satu asas dalam sistem keadilan Islam. Dua konsep besar disebut secara jelas iaitu amanah dan keadilan. Amanah memastikan bahawa kuasa tidak disalahgunakan. Keadilan pula memastikan bahawa keputusan tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri. Tanpa dua prinsip ini, masyarakat akan mudah terjatuh ke dalam kezaliman.

Perbincangan hari ini ditutup dengan struktur ketaatan dalam Islam. Ayat 59 membawa kita kepada satu prinsip yang sering disebut dalam perbincangan tentang kepimpinan iaitu taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Namun ayat ini juga memberi satu garis yang sangat penting. Apabila berlaku perselisihan, perkara itu mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, ketaatan kepada pemimpin bukanlah ketaatan mutlak. Ia berada dalam kerangka ketaatan kepada wahyu. Pemimpin dihormati, tetapi wahyu tetap menjadi rujukan tertinggi.

Struktur besar ayat 52–59 ini adalah apabila kita melihat keseluruhan ayat ini sebagai satu unit. Kita akan melihat satu perjalanan yang sangat jelas. Ia bermula dengan gambaran manusia yang kehilangan hidayah kerana penyakit hati seperti iri dan cinta kuasa diikuti dengan akibat menolak wahyu dan ganjaran kepada mereka yang beriman. Akhirnya, Al-Quran membina asas masyarakat beriman melalui dua prinsip besar iaitu amanah dan keadilan serta satu struktur ketaatan yang berpaksikan wahyu. Seolah-olah Surah An-Nisa’ sedang menunjukkan bahawa pembinaan masyarakat yang adil bermula daripada hati yang bersih dan sistem yang amanah.

Apabila membaca ayat-ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita mungkin melihat bahawa cabaran yang sama masih wujud. Kuasa sering dilihat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan, bukan sebagai amanah untuk melayani masyarakat. Perbezaan pendapat sering dipengaruhi oleh iri hati atau persaingan, bukan pencarian kebenaran. Situasi begini seharusnyanya mengingatkan kita bahawa kekuatan masyarakat tidak hanya bergantung kepada sistem politik atau ekonomi. Ia bergantung kepada dua perkara yang lebih asas iaitu kejujuran hati dan keadilan dalam kuasa.

Tadabbur ayat ini saya ingin mengajak kita melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan. Pertama, melihat setiap tanggungjawab yang kita pegang sebagai amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah. Kedua, berusaha berlaku adil dalam keputusan walaupun ia tidak menguntungkan diri kita. Ketiga, mengawal penyakit hati seperti iri dan keinginan terhadap kuasa yang boleh merosakkan hubungan manusia dan akhirnya, sentiasa kembali kepada wahyu apabila kita berhadapan dengan kekeliruan.

Ayat 52 hingga 59 Surah An-Nisa’ mengingatkan bahawa masyarakat yang adil tidak lahir secara kebetulan. Ia lahir apabila manusia memahami bahawa kuasa adalah amanah, keadilan adalah kewajipan dan wahyu adalah rujukan tertinggi. Apabila tiga perkara ini dijaga, masyarakat boleh bergerak menuju keseimbangan dan mungkin di situlah rahsia sebenar pembinaan tamadun dalam Al-Quran bahawa ia bermula dengan hati manusia yang tunduk kepada Tuhan sebelum ia membentuk sistem di dunia.

Wednesday, March 11, 2026

Kuasa, Amanah dan Penyakit Hati


Hari ini kita bincangan bahagian surah An-Nisa’ yang sering menjadi perbincangan hangat dalam dunia moden. Ayat 34 mungkin antara yang paling banyak dipetik tak kira dari sudut untuk mempertahankan sesuatu, tidak kurang juga untuk menyerang Islam. Tetapi seperti banyak ayat dalam Al-Qur'an, masalahnya bukan pada ayat itu sendiri. Masalahnya sering datang apabila ayat itu dibaca tanpa memahami struktur besar surah dan roh yang dibina oleh wahyu.

Surah An-Nisa’ sejak awal sebenarnya sedang membina satu masyarakat yang adil bermula daripada perlindungan anak yatim, keadilan pusaka, maruah wanita, disiplin hubungan lelaki dan wanita, sehinggalah kepada struktur keluarga dan masyarakat. Ayat 34 hingga 37 berada dalam rangka besar itu. Ia bukan ayat tentang dominasi. Ia ayat tentang amanah dan tanggungjawab.

Ayat 34 merujuk kepada perbincangan mengenai kepimpinan sebagai amanah. Ia menyebutkan bahawa lelaki adalah qawwam terhadap wanita. Istilah qawwam sering diterjemahkan secara simplistik sebagai “pemimpin”. Tetapi para mufassir klasik seperti Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa maknanya lebih luas. Ia merujuk kepada seseorang yang memelihara, menjaga, bertanggungjawab dan menanggung beban. Maknanya, kepimpinan dalam ayat ini bukan sekadar hak. Ia adalah beban tanggungjawab.

Ayat ini sendiri memberikan dua sebab mengapa tanggungjawab itu diletakkan pada lelaki. Pertama kerana tanggungjawab nafkah dan kedua, struktur sosial pada waktu itu yang memerlukan lelaki memikul beban ekonomi keluarga atau dalam bahasa lain, kepimpinan ini datang bersama pengorbanan, bukan keistimewaan semata-mata.

Kemahiran mengurus konflik rumah tangga turut menjadi perhatian dalam ayat ini. Ia membicarakan tentang konflik dalam rumah tangga melalui konsep nusyuz yakni keadaan apabila hubungan suami isteri menjadi tegang atau rosak. Al-Qur’an tidak menafikan bahawa konflik adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Tetapi ia memberi pendekatan bertahap. Awalnya nasihat, kemudian penjarakan emosi sementara dan disusuli tindakan disiplin yang sangat terhad.

Para ulama seperti Al-Qurtubi menjelaskan bahawa langkah terakhir ini bukanlah ruang untuk keganasan rumah tangga bahkan dalam banyak tafsiran, ia dianggap sebagai tindakan simbolik yang tidak boleh mencederakan. Namun, ramai yang sering terlepas pandang tentang bagaimana ayat ini ditutup. 

“Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Seolah-olah Allah mengingatkan bahawa walaupun manusia mempunyai peranan dalam keluarga, kuasa sebenar tetap milik-Nya. Tiada manusia yang boleh menggunakan ayat ini untuk menjadi zalim.

Kebijaksanaan sosial islam memperkenalkan peranan mediator atau orang tengah. Ayat 35 membawa satu penyelesaian yang sangat matang apabila konflik menjadi serius iaitu dengan melantik seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak melihat rumah tangga sebagai ruang yang terasing daripada masyarakat. Sebaliknya, keluarga adalah institusi sosial yang boleh dibantu oleh komuniti.

Menurut tafsir Al-Tabari, sistem ini bertujuan memberi peluang kepada pasangan untuk memperbaiki keadaan sebelum sampai kepada perceraian. Menariknya ayat ini menyebut bahawa jika kedua-dua pihak benar-benar ingin memperbaiki hubungan, Allah akan memberi jalan perdamaian. Ini menunjukkan bahawa penyelesaian konflik bukan sekadar soal teknik. Ia soal niat hati.

Selepas berbicara tentang keluarga, ayat 36 tiba-tiba meluaskan skop kepada masyarakat. Ayat ini bermula dengan asas paling penting, “sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya.”

Kemudian Allah menyebut satu demi satu kumpulan manusia yang perlu dilayan dengan ihsan bermula dari ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran dekat, jiran jauh, sahabat, musafir dan mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita. Imam Al-Qurtubi melihat ayat ini sebagai salah satu peta akhlak sosial paling lengkap dalam Al-Qur’an. Tauhid bukan hanya pengakuan teologi. Tauhid mesti diterjemahkan dalam cara kita melayan manusia.

Penyakit hati yang merosakkan masyarakat diperjelaskan pula dalam ayat seterusnya. Ayat 37 menutup bahagian ini dengan menyebut satu penyakit jiwa yang sangat halus tetapi merosakkan iaitu bakhil. Al-Qur’an tidak hanya menyebut orang yang bakhil, tetapi juga mereka yang, mengajak orang lain menjadi bakhil dan menyembunyikan nikmat yang Allah berikan. Menurut tafsir Ibn Kathir, ini merujuk kepada budaya kedekutan yang merosakkan masyarakat. Apabila manusia tidak lagi suka memberi, masyarakat akan kehilangan empati. Hubungan sosial menjadi dingin dan kekayaan menjadi alat pemisah, bukan alat kebajikan.

Jika kita melihat ayat 34 hingga 37 sebagai satu unit, kita akan melihat satu pola yang sangat menarik. Ia bermula dengan kepimpinan dalam keluarga, kemudian bergerak kepada penyelesaian konflik, kemudian meluaskan kepada akhlak sosial, dan akhirnya menutup dengan penyakit hati yang merosakkan masyarakat. Seolah-olah Al-Qur’an sedang menunjukkan bahawa kerosakan masyarakat sering bermula dari dua tempat, pertama rumah yang tidak stabil dan kedua hati yang tidak bersih.

Apabila membaca ayat ini dalam konteks dunia hari ini, kita melihat dua kecenderungan yang ekstrem. Satu, ada yang menggunakan ayat ini untuk membenarkan dominasi lelaki tanpa tanggungjawab. Dua, ada pula yang menolak keseluruhan ayat ini kerana melihatnya sebagai tidak sesuai dengan nilai moden. Kedua-duanya sebenarnya gagal melihat roh ayat ini. Ayat ini bukan tentang dominasi. Ia tentang tanggungjawab kepimpinan yang berat dan jika kepimpinan itu disalahgunakan, ia sebenarnya bertentangan dengan keseluruhan nilai keadilan yang dibina oleh Surah An-Nisa’.

Tadabbur ayat ini mengajak kita khususnya saya melakukan beberapa perubahan penting dalam hidup. Pertama, fahamilah bahawa kepimpinan dalam keluarga atau masyarakat adalah amanah, bukan keistimewaan. Kedua, belajar mengurus konflik dengan hikmah, bukan dengan ego. Ketiga, membina hubungan sosial yang penuh empati terhadap orang di sekeliling kita dan keempat, melawan penyakit hati seperti bakhil dan kesombongan yang boleh merosakkan masyarakat secara perlahan.

Oleh yang demikian dapat saya simpulkan dalam ayat 34 hingga 37 Surah An-Nisa’ sebenarnya sedang mengajar satu pelajaran yang sangat mendalam. Kekuatan masyarakat tidak bermula di institusi besar. Ia bermula di rumah. Ia bermula di hati manusia. Apabila kepimpinan dalam keluarga dipenuhi amanah, apabila konflik diselesaikan dengan hikmah dan apabila hati manusia bebas daripada kedekutan dan kesombongan, masyarakat akan menjadi lebih adil dan lebih berperikemanusiaan dan mungkin di situlah rahsia Surah An-Nisa’. Ia tidak cuba membina tamadun dari atas. Ia membinanya dari dalam diri manusia.

 

Catatan: Tulisan ini adalah menurut kefahaman penulis merujuk kepada Al-Quran Surah An-Nisa’ Ayat 34–37.

Monday, March 2, 2026

Apabila Harta Menjadi Ujian Taqwa


Ada orang menyangka bahawa perbahasan pusaka hanyalah isu teknikal berkait angka, pecahan, matematik. Tetapi apabila saya meneliti Surah An-Nisa’ ayat 7 hingga 11, saya melihat sesuatu yang jauh lebih dalam. Allah sedang membina benteng keadilan dalam ruang paling sensitive iaitu harta selepas kematian. Kematian selalunya mengundang duka. Tetapi tidak jarang juga ia membuka ruang sengketa. Di sinilah wahyu turun bukan sekadar memberi nasihat, tetapi menetapkan sistem.

Hak itu milik semua. Ayat 7 datang dengan satu pengisytiharan yang tegas, “Bagi lelaki ada bahagian… dan bagi perempuan juga ada bahagian…” Dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir dan Al-Tabari, ayat ini turun dalam konteks masyarakat Arab Jahiliah yang menafikan hak pusaka kepada wanita dan kanak-kanak. Hanya lelaki dewasa yang berperang dianggap layak mewarisi. Wahyu datang memotong budaya itu. Saya termenung lama pada ayat ini.

Hak dalam Islam tidak ditentukan oleh kekuatan fizikal. Hak tidak ditentukan oleh suara yang paling lantang. Hak ditentukan oleh Allah. Dan apabila Allah menyebut “nasiban mafrudan” atau bahagian yang telah ditetapkan, ia memberi makna bahawa pusaka bukan ruang tawar-menawar emosi. Ia ruang ketaatan.

Fiqh ini juga tidak kering dari akhlak. Ayat 8, jika kita teliti, menyentuh sesuatu yang sangat halus. Jika ketika pembahagian harta hadir kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin, maka berilah mereka sedikit dan ucapkan kata yang baik. Imam Al-Qurtubi menegaskan bahawa ayat ini menunjukkan dimensi ihsan dalam sistem faraid. Walaupun bahagian waris telah ditetapkan secara terperinci, Islam tidak mahu suasana pembahagian menjadi keras dan tidak berperasaan. Ada hukum yang tegas. Tetapi ada juga ruang belas ihsan. Saya belajar bahawa keadilan Islam bukan sekadar tepat pada angka, tetapi juga lembut pada hati.

Ayat 9 sangat menyentuh jiwa, “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang jika mereka meninggalkan anak-anak yang lemah…” Bayangkan anak sendiri. Para mufassir seperti Ibn Kathir menjelaskan bahawa ini adalah peringatan kepada para wali yang mengurus harta anak yatim. Allah mengajar satu kaedah empati dengan bayangkan jika anak kamu sendiri berada di tempat mereka. Ini bukan sekadar hukum. Ini tarbiah hati. Keadilan akan menjadi lebih hidup apabila kita membayangkan kesannya terhadap orang yang kita sayang.

Kemudian datang ancaman yang menggoncang dalam ayat 10 dengan nada yang sangat keras, “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, mereka sebenarnya menelan api ke dalam perut mereka…” Dalam Sahih al-Bukhari, memakan harta anak yatim termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan. Mengapa ancamannya begitu dahsyat? Kerana ia menggabungkan dua kezaliman, pertama mengkhianati amanah harta dan kedua menindas pihak yang tidak mampu mempertahankan diri. Di sini saya sedar, Surah An-Nisa’ bukan sekadar membicarakan warisan harta. Ia juga membicarakan warisan akhlak.

Sudah ada ketetapan yang tidak boleh dipinda. Ayat 11 memperincikan bahagian waris, nisbah anak lelaki dan perempuan, bahagian ibu bapa dan sebagainya. Dan ayat itu ditutup dengan kalimah, “Faridatan min Allah” yang bermaksud satu ketetapan daripada Allah. Bukan adat. Bukan hasil perbincangan keluarga. Bukan kompromi sosial. Tetapi ketetapan Ilahi.

Saya melihat susunan ayat 7 hingga 11 ini seperti satu struktur yang rapi bermula dari hak diisytiharkan kemudian akhlak dipelihara, empati dihidupkan, ancaman ditegaskan akhir sekali sistem diperincikan. Seolah-olah Allah mahu memastikan keadilan ini berdiri di atas tiga asas iaitu hukum, hati dan takut kepada-Nya.

Surah An-Nisa’ tidak bermula dengan perbahasan ibadah ritual. Ia bermula dengan keluarga dan harta. Soal harta dan taqwa. Mungkin kerana di sinilah taqwa benar-benar teruji. Kita mungkin boleh bersabar ketika berpuasa. Tetapi adakah kita mampu berlaku adil ketika membahagi pusaka? Kita mungkin boleh khusyuk dalam solat. Tetapi adakah kita jujur ketika memegang amanah harta orang lain?

Saya semakin yakin bahawa taqwa bukan sekadar urusan atas sejadah. Ia terserlah ketika angka-angka pusaka berada di hadapan kita. Dan mungkin sebab itu ayat-ayat ini turun dengan ketegasan yang luar biasa, supaya manusia tidak mengubah hukum Allah hanya kerana dorongan emosi, tekanan keluarga atau kepentingan diri. Akhirnya saya bertanya pada diri sendiri, jika hari ini saya diamanahkan menjaga hak orang lain, adakah saya benar-benar takut kepada Allah atau sekadar takut kepada manusia? Kerana di hadapan sistem pusaka ini, yang diuji bukan sekadar kefahaman fiqh. Yang diuji adalah kejujuran hati.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah An-Nisa' ayat 7 hingga 11.