Tuesday, July 28, 2026

Menjaga Amanah Sebelum Membina Gerakan: Renungan Daripada Surah Al-Ma’idah



Setiap kali menghadiri muktamar atau mesyuarat organisasi Islam, kita sering berbincang tentang pelbagai perkara. Kita membicarakan program, strategi, struktur organisasi, sasaran dakwah, pembangunan belia dan hala tuju gerakan. Semua itu penting. Tanpa perancangan yang baik, sesebuah organisasi sukar bergerak dengan tersusun. Muktamar Belia Islam ABIM Selangor kali ini, saya mewakili pimpinan WADAH diberikan peluang untuk berucap dan saya fikir mungkin ini waktu terbaik untuk meninggalkan pesan-pesan yang mampu membuat mereka berfikir.

Ia amat dekat dengan misi saya dan sekarang saya dalam misi mentadabbur Surah Al-Ma’idah. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menemui satu hakikat yang sangat menyentuh hati. Rupa-rupanya Allah tidak memulakan pembinaan umat dengan membina sistem terlebih dahulu. Allah membina hati manusia terlebih dahulu. Mungkin inilah sebabnya Surah Al-Ma’idah dibuka dengan satu arahan yang sangat ringkas tetapi cukup besar maknanya, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah segala akad (perjanjian).”

Ayat ini mengajar kita bahawa asas kepada sebuah masyarakat yang kuat ialah amanah. Sebelum kita berbicara tentang kepimpinan, strategi atau pengaruh, kita perlu bertanya satu soalan yang lebih asas, adakah aku masih menjaga perjanjianku dengan Allah? Kita sering menganggap amanah bermula apabila seseorang dilantik menjadi pengerusi, ketua, setiausaha atau ahli jawatankuasa. Hakikatnya, amanah bermula jauh lebih awal daripada itu.

Sebelum kita menjadi pemimpin organisasi, kita terlebih dahulu adalah hamba Allah. Sebelum kita memegang amanah manusia, kita telah memegang amanah sebagai seorang Muslim. Jika hubungan kita dengan Allah mula longgar, lambat laun hubungan kita dengan manusia juga akan longgar. Sebab itu Surah Al-Ma’idah berkali-kali mengingatkan tentang akad, mithaq dan kesetiaan terhadap perjanjian.

Ketika membaca ayat 11 pula, saya berhenti agak lama pada satu peringatan Allah, “Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangan mereka kepada kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu.”

Selama ini apabila menyebut nikmat, saya sering memikirkan perkara yang Allah berikan kepada saya. Rezeki, kesihatan, peluang, keluarga. Tetapi ayat ini memperkenalkan satu bentuk nikmat yang sangat berbeza. Allah meminta kita mengingati perkara yang tidak berlaku. Musibah yang tidak jadi menimpa. Fitnah yang Allah halang. Pengkhianatan yang Allah bongkarkan sebelum sempat berlaku. Kemalangan yang Allah jauhkan.

Mungkin kehidupan kita hari ini sebenarnya lebih banyak dibentuk oleh apa yang Allah lindungi daripada kita berbanding apa yang Allah berikan kepada kita dan sebagai seorang yang terlibat dalam dakwah dan pembangunan masyarakat, saya merasakan ayat ini sangat mendidik jiwa. Kadang-kadang kita terlalu yakin dengan pengalaman, kepakaran dan strategi yang kita miliki. Sedangkan boleh jadi organisasi masih bertahan hingga hari ini bukan semata-mata kerana kebijaksanaan kita, tetapi kerana Allah telah melindungi kita daripada pelbagai perkara yang tidak pernah kita ketahui.

Surah Al-Ma’idah kemudian membawa kita kepada kisah Bani Israil. Allah tidak menyebut bahawa mereka rosak kerana kekurangan ilmu. Mereka mempunyai kitab. Mereka mempunyai nabi. Mereka mempunyai sejarah yang hebat. Tetapi mereka gagal menjaga perjanjian. Lalu Allah berfirman bahawa akibat daripada pelanggaran perjanjian itu, hati mereka menjadi keras. Ayat ini sangat menggerunkan kerana ia menunjukkan bahawa keruntuhan tidak bermula apabila sesebuah organisasi kehilangan ahli atau sumber kewangan.

Keruntuhan sebenar bermula apabila hati orang yang memikul amanah mula kehilangan kepekaan terhadap Allah. Hati yang tidak lagi mudah menerima nasihat. Hati yang lebih suka mempertahankan ego daripada mencari kebenaran. Hati yang melihat jawatan sebagai kemuliaan, bukan tanggungjawab. Selepas itu saya membaca pula ayat yang menyebut bahawa Ahli Kitab telah melupakan sebahagian daripada wahyu yang diberikan kepada mereka.

Perhatikan bahawa Allah tidak mengatakan mereka meninggalkan seluruh kitab. Mereka hanya melupakan sebahagian daripadanya. Namun daripada “sebahagian” yang diabaikan itulah lahir permusuhan dan kebencian sesama mereka. Ayat ini mengubah cara saya melihat setiap perselisihan. Selama ini apabila berlaku perbezaan pandangan dalam organisasi, saya mudah bertanya, “Siapa yang betul?” Tetapi Surah Al-Ma’idah mengajar saya bertanya soalan yang lebih penting, “Apakah petunjuk Allah yang sedang aku abaikan dalam perselisihan ini?” Boleh jadi petunjuk itu ialah adab, sabar. Boleh jadi menjaga lidah. Boleh jadi berlaku adil. Boleh jadi juga mendengar sebelum menghukum.

Saya juga menyedari bahawa tugas menguruskan organisasi dan sumber manusia memang memerlukan kita berbincang tentang orang lain. Namun Al-Quran mendidik kita supaya setiap perbincangan sentiasa dipandu oleh niat mencari penyelesaian, bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Perbezaan itu kelihatan kecil, tetapi kesannya sangat besar. Kita boleh berbincang tentang seseorang untuk membimbingnya. Kita juga boleh berbincang tentang seseorang untuk menjatuhkannya. Lidah mungkin mengucapkan ayat yang sama, tetapi hati membawa niat yang sangat berbeza.

Satu lagi ayat yang sangat menyentuh saya ialah apabila Allah menyebut bahawa telah datang kepada manusia “satu cahaya dan sebuah Kitab yang jelas.” Al-Quran bukan sekadar kitab ilmu. Al-Quran ialah cahaya. Cahaya tidak menghilangkan malam. Tetapi cahaya membolehkan kita berjalan tanpa tersesat. Begitu juga Al-Quran. Ia tidak menjanjikan kehidupan tanpa cabaran. Tetapi ia menjanjikan bahawa hati kita tidak kehilangan arah ketika berhadapan dengan cabaran.

Semakin lama saya mentadabbur Surah Al-Ma’idah, semakin saya memahami bahawa dakwah bukan sekadar mengajak manusia kepada Allah. Dakwah juga ialah usaha memastikan hati pendakwah sendiri sentiasa kembali kepada Allah kerana pendakwah juga boleh diuji dengan ego. Pemimpin juga boleh diuji dengan kuasa. Aktivis juga boleh diuji dengan rasa paling benar. Sebab itu saya merasakan bahawa antara doa yang paling penting untuk seorang pemimpin ialah, “Ya Allah, jangan jadikan aku sibuk membina organisasi sehingga aku lupa membina hati.”

Akhirnya, saya membawa satu kesimpulan daripada perjalanan tadabbur Surah Al-Ma’idah ini. Gerakan Islam tidak akan menjadi kuat hanya kerana banyak program. Gerakan Islam juga tidak akan menjadi besar hanya kerana hebat strateginya. Gerakan Islam akan benar-benar kuat apabila orang yang memikul amanah sentiasa menjaga perjanjiannya dengan Allah, membiarkan Al-Quran menerangi hatinya dan sentiasa mencari kebenaran lebih daripada kemenangan dirinya kerana akhirnya nanti, Allah tidak akan bertanya berapa banyak mesyuarat yang kita hadiri atau berapa lama kita memegang jawatan. Allah akan bertanya bagaimana kita menjaga amanah yang telah Dia letakkan di bahu kita. Semoga Allah menjadikan kita bukan sekadar pewaris organisasi yang baik, tetapi pewaris hati yang ikhlas, amanah yang terpelihara dan dakwah yang sentiasa dipimpin oleh cahaya Al-Quran.

No comments: