Showing posts with label Ramadan 2013. Show all posts
Showing posts with label Ramadan 2013. Show all posts

Friday, July 19, 2013

BAGAIMANA DENGAN DIRI KITA?

Jauh di dalam lubuk hati saya ini, tertanya-tanya tentang kehidupan yang dilalui setiap hari. Sebagai Muslim, banyak perkara yang kita nilai dengan pengetahuan dan pandangan agama kita. Segala perbuatan insan itu mahu tanpa disuruh kita menilai dari sudut agama, adakah perbuatan mereka itu Islami atau tidak Islami? Nampak seseorang berjalan di bazar Ramadan dengan pakaian ketat dan rambutnya perang, terus terlintas difikiran, puasa ke dia ni?

Apabila saya ke masjid pula, melihat orang beramai-ramai datang untuk solat terawih, ramai pada awalnya. Timbul pula difikiran, mereka ni sampai lapan balikla... Apa sebenarnya yang telah terpahat di dalam fikiran saya ni? Megapa apa sahaja yang dilihat mesti didahului dengan pemikiran negatif dan tidak sihat? Samalah seperti apabila melihat atau mendengar usaha yang dilakukan oleh orang Islam, maka jawapannya tak lama la tu, orang Islam tak pandai meniaga, orang Islam itu, orang Islam ini dan apabila dibandingkan antara orang bukan Islam dan Islam, yang lebih dipercayai saya orang bukan Islam, apa yang berlaku sebenarnya?

Saya cuba meneropong diri sendiri, sebenarnya cakap kita mengenai orang Islam, tuduhan kita mengenai orang Islam itu tidak lain tidak bukan adalah tuduhan kepada diri sendirilah. Saya Muslim juga seperti mereka. Jika saya menuduh mereka tidak Islami adakah perbuatan menuduh dan bersyak wasangka sesama Muslim itu Islami? Aduh, saya sebenarnya yang tidak Islami! Islam tidak mengajar kita menuduh tanpa bukti, bersyak wasangka sesama Muslim. Ia hanya mengeruhkan hubungan dan suasana.

Saya sedar, pemikiran ini telah terbentuk di bawah minda separa sedar kita sehingga ia menjadi kebiasaan dan amalan harian hidup seorang Muslim khususnya di Malaysia ini. Namun ia bukan sekadar datang dari pemikiran sahaja, ia juga patut disedari oleh semua orang bahawa mereka perlu mengatasi syak-syak yang wujud pada diri individu Muslim itu sendiri. Baru saya perasan di mana sebenarnya peranan dakwah itu perlu berlangsung. Bukan untuk semata-mata mengajak orang ke masjid, mengajak orang buat baik, tetapi yang terlebih utama adalah menunjukkan akhlak sebagai seorang Muslim. Adakah kita berakhlak sebagai seorang Muslim?

Sudah menjadi adat Melayu, apabila masuk ke masjid bersalam dengan orang di kiri kanan kita. saya pun dulu tak rajin sangat untuk bersalam sebab kononnya ia boleh mengganggu ke khusyukan orang lain. Bila dikenangkan keadaan ini, datanglah faham akan tindak-tanduk atuk nenek kita dahulu dengan budaya bersalam apabila masuk ke dalam majlis atau masjid ini. Akhlak. Melemparkan senyuman, bersentuhan, membina keakraban, membina kepercayaan, melemparkan rasa keikhlasan melalui perhubungan antara insan. Subhanallah. Berapa ramai yang saya tengok sukar untuk memberikan senyuman, memaafkan orang lain atas salah yang tidak disengajakan, khususnya di atas kenderaan dan sebagainya.

Saya terduduk sebentar bila memikirkan keadaan itu. Ini akhlak fizikal kita bagaimana akhlak di dalam hati kita? Hasad dengki, syak wasangka, tidak ikhlas dan banyak lagi penyakit-penyakit hati kita. Astaghfirullahal'azhim. Saya selalu juga memberi kuliah dan kerapkali cerita yang saya ungkapkan tentang apabila tiba akhir Ramadan, ibu-ibu akan sibuk membuat kuih raya dan pergi membeli belah untuk hari raya. Bagaimana jika Ramadan kali ini mereka tidak berbuat demikian? saya berhasrat untuk susuli teguran ini dengan merancang perubahan. Kita perlukan Muslim yang 'standard', jika mereka kerja dengan manusia ada 'standard' maka sebagai Muslim, 'standard' itu tidak akan berkurangan apabila mereka melakukannya demi Allah yang satu.
Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah yang potong ayatnya bermaksud;

‎وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
(serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia)
(Al-Baqarah 2:83).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

‎الْمُؤْمِنُ يَأْلَفُ وَيُؤْلَفُ ، وَلا خَيْرَ فِيمَنْ لا يَأْلَفُ وَلا يُؤْلَفُ
(Orang mukmin adalah bersahabat dan disahabati dan tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak bersahabat dan tidak disahabati)

[Lihat As-Shahihah 1/784 no 425]

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيَدْخُلَ الْجَنَّةَ فَلْتُدْرِكْهُ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْتِي إِلَى النَّاسِ مَا يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ
“Barangsiapa ingin dijauhkan dari api neraka, dan ingin dimasukkan ke dalam surga maka hendaklah ia menemui kematiannya dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhir, serta memberikan kepada manusia sesuatu yang ingin diberikannya kepadanya.”
(Shåhiih, HR. Ahmad; dishahiihkan oleh Syaikh Ahmad Syaakir)

Råsulullåh shållallåhu ‘alayhi wa sallam bersabda:

‎لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidaklah beriman salah seorang dari kalian hingga dia menyukai (menginginkan) bagi saudaranya segala (kebaikan) yang dia sukai bagi dirinya sendiri”
[HR Al-Bukhari (13) dan Muslim (45)]

dalam riwayat lain:

‎وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْه
“Hendaknya ia memberi kepada orang lain apa yang ia suka untuk diberikan padanya.”
[HR Muslim (1844)]

Semoga Ramadan kali ini adalah yang terbaik buat diri kita memperbaiki pendangan dan cara hidup kita sebagai seorang Muslim dan menjadi Mukmin insyaAllah.

Rumah Kuala Selangor
19 Julai 2013 / 10 Ramadan 1434H
1.00 petang

Monday, July 15, 2013

JANGANLAH DIPALINGKAN DARI HIDAYAH

Alhamdulillah, kita sudah melangkah enam hari di dalam bulan Ramadan 1434H. Bulan yang diberikan kemuliaan dan keberkatan. Sempat saya berbuka semalam di rumah Pak Lang (Dato' Abdul Majid, Timbalan Mufti Selangor) bersembang, bermesra dengan ahli keluarga, solat berjemaah Maghrib dan Isyak, berterawih dan mendengar tazkirah ringkas dari beliau. Ramadan Al-Mubarak tidak disebut di dalam Al-Quran. Bulan di dalam Al-Quran cuma ada bulan Ramadan sahaja, 11 bulan yang lain tidak disebutkan. Mengapa bulan ini dipanggil al-mubarak?

Ia bermakna diberkati atau bulan yang penuh keberkatan. Berkat ini bererti disukai dan diganjari Allah s.w.t dengan pahala dan akan dilimpahi lagi dengan kebaikan. Maka, berkat ini sebagai contoh pada harta pendapatan gaji bulanan kita, dari RM1000.00 jika kita sedekahkan RM100.00 maka itulah harta yang diberkati, yang lainnya belum tentu lagi. Jika mahu menjadikan ia diberkati bermakna, sesuatu pemilikan itu, kepunyaan atau perbuatan itu mestilah memberi manfaat kepada diri atau orang lain. Jika makan, maka makanan itu biarlah memberi sumber tenaga untuk beribadah. Jika membeli belah pakaian hari raya, biarlah pakaian itu mampu menutupi aurat kita dari dilihat orang lain. Maka akan hadirlah keberkatan.

Maka, Ramadan Kareem ini juga bulan keberkatan. Bagi sesuatu yang berkat Allah akan limpahkan, gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Firman Allah s.w.t dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.”

Maka, Allah s.w.t telah memilih kita untuk melalui bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai tanda kemuliaan dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Kemuliaan yang sehinggakan setiap mereka yang melakukan ibadah sunat maka akan diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan setiap amalan wajib digandakan dengan 7 kali gandaan atau lebih. Kemuliaan yang hanya Allah anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.. Terdapat satu ungkapan Nabi s.a.w yang panjang bingkisan dari Al-Targhib yang bermaksud; Dari Salman r.a, katanya; Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya, "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).

"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".

"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".

"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa." Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".

"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".

"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah: Pertama - mengucap:

أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله

Kedua - (banyakkanlah) beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:

أستغفر الله


Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:

نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
.

"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.


(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Demikian mulianya dan berkatnya bulan Ramadhan dan demikian pula besarnya pahala yang diberikan bagi tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan di sepanjang bulan yang membawa rahmat itu.

"(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian Nya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya." Ali-Imran  3: 8-9)


Semoga Ramadan kali ini yang terbaik untuk kita semua dan janganlah Ya Allah, Engkau palingkan kami dari hidayah Mu. Amin.


Rumah Kuala Selangor
8.41 pagi
15 Julai 2013 / 6 Ramadan 1434H