Hari ini, untuk semua insan yang hidup, hampir semua orang mempunyai harapan. Harapan untuk bahagia, harapan untuk berjaya dan harapan untuk selamat di akhirat. Tetapi ayat 122 hingga 127 Surah An-Nisa’ datang dengan satu peringatan yang sangat jujur bahawa tidak semua harapan membawa kita ke mana-mana. Ada harapan yang membina dan ada harapan yang menipu. Namun kita mesti ada keyakinan bahawa ada satu janji yang tidak pernah mengkhianati.
Ayat 122 dibuka dengan janji yang sangat indah apabila Allah menjanjikan syurga kepada orang yang beriman dan beramal soleh dan Allah menutup ayat itu dengan satu penegasan, “Siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”
Dunia hari ini, kita terbiasa dengan janji sama ada janji manusia, janji sistem, janji kehidupan yang sering tidak pasti. Tetapi di sini, Al-Quran mengajak kita memegang satu janji yang tidak pernah gagal. Sering menjadi permasalahan bagi kita bukan kerana kurangnya harapan tetapi selalu meletakkan harapan pada tempat yang salah. Peringatan penting juga bagi kita, amat berbahaya harapan tanpa amal.
Ayat berikutnya, 123, memotong satu ilusi yang sangat biasa ada pada kita iaitu, “Ia bukan berdasarkan angan-angan kamu…”
Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini menolak sikap berasa selamat hanya kerana identiti tanpa usaha. Ini sangat dekat dengan realiti kita rasa cukup kerana “aku Muslim”, rasa selamat kerana “aku baik”, rasa layak sebab “aku Melayu, aku bumiputera” dan ini adalah rasa yakin yang tidak muhasabah. Ingat, iman bukan perasaan selesa bahkan iman adalah tanggungjawab yang hidup. Keadilan yang tidak memilih identity mahupun jantina.
Ayat 124 pula menambah dengan membawa satu lagi prinsip yang sangat penting bahawa lelaki dan perempuan yang beramal soleh akan mendapat balasan yang sama. Ini satu revolusi besar dalam konteks sejarah manusia. Nilai seseorang tidak ditentukan oleh jantina, latar belakang, status sosial tetapi ia amat bergantung kepada amal dan keikhlasan. Allah tidak melihat siapa kita sebaliknya Allah melihat apa yang kita lakukan dengan apa yang kita ada. Maka tidak hairanlah jika jalan hidup yang paling lurus itu adalah dengan kita menyerahkan diri kita kepada ketentuan Allah s.w.t.
Ayat 125 menjelaskan jalan hidup yang paling lurus adalah mereka yang lebih baik dan mereka itu adalah orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah dan berbuat ihsan. Ini adalah formula kehidupan yang sebenar. Tunduklah kepada Allah, berbuat baik kepada manusia dan ikutilah jalan para nabi. Kita hidup dengan pelbagai pilihan, namun ayat ini memberi satu kompas hidup yang terbaik bukan yang paling bebas tetapi yang paling terarah kepada Allah. Secara tidak langsung kita telah memperakui hakikat kepemilikan.
Ayat 126 mengingatkan kita pula tentang segala yang di langit dan di bumi milik Allah. Ini satu ayat yang sangat membumi kerana kebanyakan masalah manusia datang dari ilusi seperti “ini milik aku”. Apabila kita berasa memiliki, kita menjadi tamak, menjadi takut kehilangan dan menjadi tidak adil. Lalu, apabila kita sedar semua milik Allah, kita belajar untuk melepaskan, bersyukur dan berlaku adil. Maka atas dasar inilah dapat kita lihat bagaimana agama yang membela mereka yang lemah.
Ayat 127 membawa kita kembali kepada realiti masyarakat tentang wanita dan anak yatim merupakan golongan yang sering diabaikan, dizalimi dan tidak diberikan hak. Rujukan tafsir Al-Tabari turut memperjelaskan bahawa ayat ini turun kerana masyarakat ketika itu mengambil kesempatan terhadap golongan ini terutamanya dalam harta dan perkahwinan. Lalu Al-Quran datang untuk membetulkan pandangan bahawa agama bukan hanya ibadah bahkan agama adalah keadilan. Ukuran kekuatan masyarakat bukan pada yang kuat tetapi pada bagaimana mereka melayan yang lemah dari kalangan mereka.
Ayat-ayat ini membawa kita kepada satu persoalan yang sangat jujur, adakah kita hidup dengan harapan yang benar atau sekadar angan-angan yang menenangkan? Ramai orang mahu syurga, kebahagiaan dan ketenangan tetapi tidak semua mahu berubah, berusaha dan berlaku adil. Maka, tanyakan diri kita dengan jujur, adakah aku sedang beramal atau hanya berharap? Adakah aku berlaku adil kepada orang di sekeliling aku? Adakah aku menggunakan apa yang Allah beri untuk kebaikan umum atau hanya untuk diri sendiri? Saya tutupkan dengan satu soalan yang paling dalam, jika Allah menilai aku hari ini berdasarkan amal, bukan harapan, agaknya di mana aku berdiri?
Kita hidup dalam dunia yang menjual motivasi tanpa disiplin, menjual harapan tanpa usaha dan menjual imej tanpa reality. Maka ingatlah, Ayat 122–127 datang sebagai pembetulan tentang harapan tanpa amal adalah ilusi dan iman tanpa keadilan adalah kosong. Wajar untuk kita merangka langkah perubahan yang jujur. Tukarkanlah harapan kepada tindakan dan mulakan dengan amal kecil yang konsisten. Latihlah keadilan dalam kehidupan harian bermula dengan keluarga dan orang terdekat. Perbetulkan niat. Buatlah kerana Allah, bukan kerana imej. Jagalah golongan yang lemah kerana di situlah nilai iman kita diuji.
Ayat 122 hingga 127 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat mendalam iaitu iman bukan sekadar berharap tetapi iman adalah membina. Iman membina diri, amal, masyarakat dan mungkin inilah muhasabah paling penting, adakah kita hanya menunggu syurga atau kita sedang berjalan menuju ke arahnya?

No comments:
Post a Comment